Sunday, August 27, 2017

242. DENDAM WANITA BERLAKI SEMBILAN

SEMBILAN kali ditujah geluk air dengan hujung keris pesaka tidak berhulu, tiba-tiba sahaja semua pelita di dalam rumah padam tidak semena-mena. Sekali gus rumah berkenaan diserkup kegelapan hingga tidak kelihatan apa-apa pun. Lantas sahaja ketawa Merisah kian galak mengilai di tengah kegelapan. Sengaja dia mengejek Malim Saban tengah menghadap tujuh geluk air berisi penuh.
Sudah berhari-hari Merisah terkejang tengah rumah semenjak lepas bersalin akibat kena meriyan. Beberapa kali dia tidak sedar-kan diri setelah pening kepala berpinau-pinau mats. Sebab itu Bidan Sekinah desak Surip Lantun segera beritahu Malim Saban setelah keadaan Merisah semakin membimbangkan.
Lainlah kalau bayi berkedudukan songsang dalam kandungan, bila-bila Bidan Sekinah boleh betulkan semula. Memang dia menyedari kedudukan bayi dalam kandungan Merisah songsang hingga punggung ke bawah. Tiga kali sahaja dia bacakan surah al-Kautsar kemudian diusap perut Merisah tujuh kali, mudah sahaja dia betulkan semula kedudukan bayi berkenaan.
Dia juga tidak bimbang sekiranya Merisah turun darah selepas bersalin, disebabkan Bidan Sekinah sudah lama berpengalaman. Seisi kampung memang harapkan dia sekiranya bidankan sesiapa sahaja bersalin. Balk bayi songsang, balk turun darah, Bidan Sekinah mampu pulihkan biar semuanya sela-mat tidak diganggu apa-apa.
Tahu sangat dia sekiranya turun darah akibat diganggu hantu penanggal yang menjilat di celah lantai. Ketika ini dia akan sangkutkan duri mengkuang biar hantu penanggal tidak boleh rapat menjilat darah di celah lantai tempat Merisah terbaring. Cubalah hantu penanggal rapat ke lantai sudah tentu tali perut yang diheret akan tersangkut pada duri mengkuang.
Tatkala tali perut tersangkut, nescaya seisi kampung dapat melihat sendiri kepala tersangkut di situ dengan tali perut terburai. Lainlah tidak tersangkut pada duri mengkuang, siapa pun tidak boleh nampak dengan mata kasar. Tiba-tiba sahaja mereka akan melihat Merisah terbelalak mata dengan darah turun membuak-buak macam disedut sekuat tenaga.
Memang Bidan Sekinah tahu menghalang hantu penanggal yang menghisap darah perempuan baru lepas bersalin. Asal sahaja perempuan bersalin di dalam kampung nescaya hantu penanggal mudah tercium hanyir darah. Sebab itu Bidan Sekinah cepat-cepat suruh Surip Lantun sangkutkan duri mengkuang di bawah lantai tempat Merisah terbaring.
Tetapi Merisah pening kepala berpinau-pinau bukan disebabkan diganggu hantu penanggal. Bila bila Bidan Sekinah mampu berhadapan dengan hantu penanggal atau cuba mahu tunjuk biadap. Siapa sahaja amalkan hantu penanggal akan terketar-ketar gigi sekiranya berhadapan dengan Bidan Sekinah.
Sengaja Bidan Sekinah Iekatkan kunyit pada mata kacip, teruskan hulurkan bujam sirih ke hadapannya. Mereka yang amalkan hantu penanggal tiba-tiba sahaja pegang kacip terus terketar-ketar laksana memegang bara api. Ketika ini Bidan Sekinah akan membacakan:
Ungguh-ungguh anggah-anggah, datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah, terpijak engkau mati, aku tahu asal kau jadi, darah ular sekati munur asal kau jadi, terserak ke laut jadi tahi nagan, terserak ke darat jadi mambang kuning, hu...
Ketika ini kuning kunyit akan meresap ke tubuh sesiapa yang amalkan hantu penanggal hingga termuntah-muntah tidak bertahan. Bila-bila Bidan Sekinah tidak bimbang sekiranya hantu penanggal cuba tunjukkan belang mahu menjilat darah perempuan baru bersalin.
Apabila Merisah berpinau-pinau mata, dia dapat mengagak perempuan itu bukan turun meriyan. Sebab itu dia desak Surip Lantun segera beritahu Malim Saban. Siapa lagi boleh diharap tatkala Merisah tercungap-cungap menahan sesak nafas, kalau bukan Malim Saban dukun yang menjadi tumpuan mereka di dalam kampung.
"Bidan Sekinah minta Aki Malim tengokkan isteri saya," beritahu Surip Lantun sebaik sahaja tercegat di tengah halaman rumah dukun itu dalam keadaan cemas.
"Kenapa dengan Merisah?" ujar Malim Saban mendongak ke langit memerhati cuaca malam dengan bintang-bintang-bintang bertaburan. Kampung pendalaman itu tetap diserkup kegelapan, sekalipun langit tidak mengangkut awan hitam.
"Entahlah, sejak petang lagi dia kena pitam," Surip Lantun tidak berganjak di tengah halaman menunggu Malim Saban turun ke tanah.
Sebaik sahaja diberitahu mengenai Merisah beberapa kali pitam selepas bersalin, Makcu Kimah juga segera mengikuti suaminya Malim Saban. Setidak-tidaknya Merisah juga memang sudah macam anak juga kepadanya. Semasa Merisah mengidap sakit semasa kecil, ibu bapanya sudah serahkan Merisah jadi anak angkat Malim Saban. Memang Malim Saban terima siapa sahaja menjadi anak angkat setelah ibu bapa mereka berniat demikian sekiranya sembuh daripada mengidap penyakit.
Ketika menghadap sembilan geluk air inilah, tiba-tiba sahaja semua pelita padam serentak. Dalam masa Surip Lantun terkial-kial mahu memasang api, segera Malim Saban menegahnya. Biarlah semua pelita terpadam hingga di dalam rumah gelap gelita sampai santak pagi. Malim Saban tidak akan terpedaya apabila tidak semena-mena semua pelita di dalam rumah terpadam.
"Pak Malim ni suka bergelap rupanya!" suara hilai ketawa Merisah mengejek bagaikan mahu menyinggung perasaan.
Malim Saban tidak menyahut tetapi memerhati keris yang ditujah ke dalam geluk air. Apabila kilau mata keris bercahaya di dalam geluk air, dia melihat jauh ke dalam perkampungan yang sudah lama ditinggalkan. Suara ketawa Merisah di dalam kegelapan sayup-sayup di dengarnya dari perkampungan berkenaan di celah pokok-pokok kelapa meliuk dipuput angin.
Puas dia memerhati di tengah perkampungan itu Malim Saban sekadar mendengar hilai ketawa mengejeknya. Apabila dia kocakkan mata keris berkenaan sampai memercik air ke bibir geluk, tiba-tiba dia melihat hujan, mencurah di kawasan perkampungan yang jauh dapat. dilihatnya.
Dalam hujan mencurah dengan angin kencang itu sekali gus pondok di tengah kawasan pokok-pokok kelapa meliuk-liuk menjadi gelap. Pelita terpasang padam tidak dapat bertahan. Lama Malim Saban memerhati kilauan mata kerisnya, tiba-tiba dia melihat bayangan perempuan menggeliat menahan kesakitan.
Tetapi bayangan perempuan menggeliat kesakitan itu sekali imbas sahaja hilang bersama kilat memancar.Tertegun Malim Saban apabila Surip Lantun berbisik memberi tahu api pelita terpasang semula. Rumah menjadi terang benderang apabila api pelita tidak semena-mena terpasang menyebabkan mereka yang terconggok di situ terpinga-pinga tidak menentu.
Siapa pula memasang pelita di dalam rumah disebabkan mereka semua tekun menunggu keputusan Malim Saban. Kalau dia tidak benarkan pelita dipasang, masakan mereka boleh melanggar larangan. Dukun besar seperti Malim Saban tentu menunggu masa sesuai mahu memasang semula pelita yang terpadam.
Ketika ini Merisah sudah pulih semula daripada pitam yang menyebabkan dia tidak sedarkan diri. Sekali pun tubuhnya Iemah tidak bertenaga, sempat juga Merisah mengusap-usap kepala bayinya yang nyenyak tidur. Kalau tidak disebabkan Bidan Sekinah melarang, memang dia akan susukan juga bayinya.
Tetapi Bidan Sekinah tahu keadaan Merisah masih belum segar. Tentu perempuan itu akan bertambah lemah sekiranya susukan juga bayi berkenaan. Biarlah Surip Lantun tumpangkan bayi itu menyusu pada Uda Embun sementara Merisah pulih segar semula. Apa salahnya bayi berkenaan menyusu pada Uda Embun kakak Merisah sendiri, disebabkan anaknya juga sudah pandai merangkak.
"Kalau tidak disebabkan emaknya sakit, memang Merisah boleh susukan," jelas Surip Lantun apabila beritahu kepada saya mengenai anaknya Saelah memang ibu sesusu dengan sepupunya Tukimin.
"Manalah saya tahu kejadian masa kecil dulu, ustaz," tersengih-sengih Tukimin mengerling bapa saudaranya Surip Lantun apabila kenang kejadian bertahun-tahun dulu.
Dia sendiri tidak peduli sangat mengenai Saelah menyusu bersama dengan emaknya, kerana dia tahu perempuan itu sepupunya. Apabila Saelah mengalami turun darah semasa bersalin, Tukimin sekadar menjengahnya disebabkan perempuan itu sepupunya. Memang dia tidak teringat langsung mahu mengajak emaknya Uda Embun ikut sama menjengah.
Setelah didesak oleh Surip Lantun terpaksa juga Tukimin jemput emaknya dikampung. Tentu emaknya terkilan kalau tidak diberitahu mengenai Saelah terkejang lemah setelah mengalami turun darah semasa bersalin. Merungut juga Uda Embun disebabkan lambat diberitahu kepadanya dalam keadaan Saelah menanggung kesakitan.
Setidak-tidaknya Saelah juga anak susuannya yang terpaksa disusukan selama Merisah terkejang tidak bertenaga. Siapa lagi oleh diharapkan ketika itu kalau bukan dirinya tengah beranak kecil. Sebab itu kasih sayang-nya tumpah kepada Saelah sama juga macam Tukimin yang disusukan bersama.
Memang cemas juga Surip Lantun apabila menantunya Hasbul beritahu mengenai keadaan Saelah turun darah sebaik sahaja selamat bersalin.,Tiga hari setelah bersalin di hospital, Hasbul sudah dibenarkan membawa isterinya balik ke rumah. Sihat benar Saelah apabila dibawa balik ke rumah dengan disambut oleh emak dan ayahnya yang menunggu sejak berhari-hari.
Beberapa jam sahaja Saenah di rumah tiba-tiba dia mengalami pitam berbinau-binau mata. Tidak bertangguh Hasbul mahu bawa semula isterinya ke hospital, tetapi Merisah tidak benarkan terburu-buru. Lantas sahaja Merisah desak supaya beritahu Tukimin mengenai kejadian yang dialami Saelah.
Dia ingatkan suaminya Surip Lantun mengenai kejadian tatkala dia bersalinkan Saelah apabila tidak semena-mena turun darah. Ketika dijemput Malim Saban sekali gus api pelita padam serentak. Sebab itu dia desak beritahu Tukimin saudara sesusu Saelah semasa dia mengalami tumpah darah sepanjang malam.
Apabila Tukimin beritahu saya mengenai sepupunya tiba-tiba mengalami tumpah darah, saya sudah mendesaknya supaya segera dibawa ke hospital. Tetapi serba salah juga saya setelah Tukimin minta doakan juga sebelum sepupunya itu dibawa semula ke hospital.
Memang saya terkejut melihat keadaan Saelah sudah terlalu pucat akibat banyak sangat tumpah darah. Cepat-cepat saya doakan pada air dengan membaca al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-lkhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas. Jauh di sudut hati terasa juga gementar kerana bimbang keadaan Saelah akan bertambah tenat.
Manalah tahu Hasbul akan tersinggung disebabkan dia sudah bernekad mahu menghantar isterinya ke hospital dalam keadaan cemas demikian. Takat doakan air sahaja tentulah tidak sesuai kalau bandingkan keadaan Saelah yang termengah-mengah menahan sesak nafas. Tetapi Surip Lantun tetap bersabar sama macam dia menunggu isterinya terkejang lemah tatkala bersalinkan Saelah sendiri.
Apa sangat dengan Saelah yang tumpah darah kalau bandingkan dengan Merisah yang tersentak-sentak laksana ikan menggelepar dalam besen menunggu masa untuk disiang. Surip Lantun memang cemas tatkala isterinya Merisah tersentak-sentak, tetapi menyedari tumpah darah yang dilihatnya sekadar pada padangan zahir. Apabila Merisah ketawa mengilai di dalam gelap sebaik sahaja semua pelita terpadam serentak, semangat Surip Lantun pulih semula.
Memang dia tidak melihat apa-apa di dalam geluk air Malim Saban, selain daripada mata keris dicancang mengocak ke dasar. Tetapi keris besi kursani Malim Saban bukan takat mencecah dasar geluk, tetapi menembusi perkampungan lama. Terpinga-pinga Onyeng Liyah apabila tujahan mata keris Malim Saban menggegarkan tapak rumahnya yang tersergam di tengah kampung.
Terkekeh-kekeh Onyeng Liyah ketawa mengejek Malim Saban sekalipun keris besi kursani itu menembusi perkampungannya. Kilau cahaya keris itu tempat Malim Saban meniti hingga menyusup masuk ke tengah kampung. Saat ini sengaja Onyeng Liyah padamkan pelita yang terpasang biar Malim Saban meraba-raba tidak menentu.
Tetapi Malim Saban sudah lama berpengalaman. Kilauan cahaya besi kursani itu sudah cukup menerangi dia sebaik sahaja jejak kaki di tengah perkampungan. Segera Onyeng Liyah keluar dari rumah ingatkan Malim Saban supaya tidak mengganggu.
"Buat apa kamu ke sini, Malim Saban?" dia mencemik muka macam Merisah yang terkejang lemah akibat tumpah darah.
"Nak tahu, kenapa kamu ganggu Merisah?" jerkah Malim Saban keras dalam rungutan yang tidak jelas kedengaran.
"Umur aku dah beribu-ribu tahun, jangan nak tunjuk pandai!" sengaja Onyeng Liyah mahu menyakiti hati Malim Saban.
"Perkara umur tak penting, yang pentingnya perkara yang hak dan yang batil," sahut Malim Saban menggertap bibir terus mengocak-ngocak mata keris dalam air di geluk.
Sekali gus pula kawasan perkampungan bergegar kuat menyebabkan rumah Onyeng Liyah juga terjerembap jatuh menyembam bumi. Cepat-cepat dia melayang ke udara mengelakkan daripada ditimpa runtuhan rumah berkenaan. Menghela nafas panjang dia apabila tidak dapat bertahan dari serbuan Malim Saban.
Apabila dia kisarkan tapak tangannya, Malim Saban melihat sembilan orang lelaki tercegat di sisi Onyeng Liyah dengan leher ditanjul tali laksana lembu ternak tertambat pada perdu pokok tembusu. Sembilan orang lelaki tertunduk terkebil-kebil mata menunggu sahaja perintah Onyeng Liyah.
Apabila mereka sembilan orang mara mendekati Malim Saban, tali yang tertanjul pada leher tetap dipegang kukuh oleh Onyeng Liyah. Tersengih-sengih Malim Saban mengejek perempuan itu memegang tali yang ditanjul ke leher tatkala memerintahkan sembilan orang lelaki itu mara mahu menerpa.
Segera Malim Saban memberi isyarat supaya lepaskan sahaja tali di tangannya biar sembilan lelaki macam lembu ternak itu mampu menerpa gagah. Tetapi Onyeng Liyah tidak akan lepaskan tali yang tertanjul di leher lelaki itu. Dia akan pegang kukuh-kukuh biar semua sembilan lelaki itu dikawal laksana lembu ternak yang sudah dipasang kelikir pada hidungnya.
Ketika ini Malim Saban terus sahaja azan tujuh kali hingga goncangan sekitar kampung bergegar kuat. Serentak dengan itu runtuhan batu berterbangan laksana piring-piring menerjah ke arah sembilan lelaki yang terkial-kial mahu mendekati Malim Saban. Terjerit-jerit lelaki berkenaan akibat tali masih tertanjul pada lehernya tidak dapat dilepaskan.
Kemudian Malim Saban mengetuk jari telunjuk pada bibir geluk sama macam dia menggoncang seluruh perkampungan tatkala tubuhnya menjadi besar laksana bukit tersergam. Lantas dia membacakan:
'Alallahhi tawakalna rabbana la-taj'alna fitnatan lil-qau mizzolimin, wanajjina birahmatika minal-qaumil kafirin.
Apabila dentaman petir bertalu-talu di udara, gus pula tali yang regang di tangan Onyeng Liyah putus tidak bertahan. Ketika ini sembilan lelaki yang tertanjul leher tiba-tiba hilang di dalam kegelapan sebaik sahaja tali tertanjul di leher itu putus serentak.
Terjerit kuat Onyeng Liyah tatkala tali berkenaan putus menyebabkan seluruh badannya menjadi cair bagaikan lilin dicucuh ke tengah api menyala. Jeritan halus itu sekadar suara Merisah yang lemah, diikuti dengan lampu pelita terpasang semula. Surip Lantun melihat tubuh isterinya berpeluh-peluh, tetapi Bidan Sekinah beritahu mengenai tumpah darah yang dialaminya sudah berhenti.
Memang Malim Saban tidak beritahu apa-apa pun mengenai gangguan yang dialami oleh Merisah. Asal sahaja Merisah sudah terselamat, dia tidak perlu jelaskan kepada Surip Lantun apa-apa pun fasal Onyeng Liyah dengan sembilan lelaki yang ditanjul leher.
"Biar ustaz doakan dulu, lepas tu baru buat ikhtiar lain," Tukimin memujuk setelah melihat Hasbul kian gelisah dengan keadaan Saelah tumpah darah.
"Jangan kita cemas sangat, Hasbul," ujar Surip Lantun ingatkan menantunya disebabkan dia sendiri sudah mengalaminya berpuluh tahun dulu.
"Insya Allah, doakan biar saya terus bersabar," sahut Hasbul perlahan sekali pun kebimbangan tetap merusuh dalam hatinya.
"Mak, badan Elah lemah sangat," bisik Saelah memegang tangan emaknya hingga tidak berdaya mahu mengangkat kepala.
"Kuatkan semangat tu, jangan ikutkan perasaan," Merisah ingatkan anaknya yang mengerang-erang menahan senak. perut.
Disebabkan keadaan Saelah sudah semakin lemah, memang saya memberi isyarat supaya Hasbul bersiap-siap sahaja bawa ke hospital. Manalah tahu kalau terlambat membahayakan pula keadaan Saelah. Dalam masa Hasbul bersiap-siap itu saya hembuskan perlahan ke ubun-ubun Saelah dengan membacakan:
Allahhu yatawaffal anfusahina mau-tiba wallati lam-tamut fi-manamiha fayumsikul lati qodho 'alaihal-mauta wayursilul ukhro ila ajalimmusamman, inna fi-zalika la-ayatin liqaumiy yatafakkarun.
Setelah direnjiskan air ke muka Saelah, perlahan dia berbisik pada emaknya beritahu tidak lagi mengalami tumpah darah. Apabila Hasbul sudah bersiap-siap mahu ke kereta, Saelah minta bertangguh dulu. Biarlah tenaganya pulih kalau mahu gagahi juga ke hospital. Dalam keadaan dia masih lemah tentulah terpaksa dipapah masuk ke kereta menyebabkan dia tidak dapat berkuat.
"Kita tengok dalam setengah jam lagi," lantas Tukimin melirik senyum setelah melihat Saelah mulai segar.
Mereka semua bersetuju ditangguhkan dulu bawa Saelah ke hospital setelah keadaannya tidak lagi mengerang-erang sakit. Setelah Merisah membantu bersihkan Saelah, saya menyuruh Hasbul pakaikan stokin di kakinya biar ibu jari tidak terdedah sangat. Harapkan selimut tentu sejuk akan menyusup juga melalui ibu jari kaki yang terdedah.
Hingga santak petang Saelah tidak mahu lagi ke hospital setelah keadaannya semakin bertenaga. Dia sudah mula memangku bayinya apabila menyusu. Tetapi Merisah tidak percaya sangat dengan keadaan Saelah sudah bertambah segar demikian. Manalah tahu akan berulang lagi tumpah darah seperti pernah dialami-nya hingga terpaksa biarkan bayinya disusukan Uda Embun.
"Kalau boleh mintalah ustaz ulangi doanya sampai tiga hari," Uda Embun pula mendesak supaya Tukimin mengulangi jengah Saelah.
"Ustaz ni tak sama dengan arwah Pak Malim," beritahu Tukimin berterus terang. Tahu sangat dia memang saya tidak akan dijemput berulang-ulang kalau minta doakan.
"Tukimin pun tahu macam mana nak buat," ujar saya mengerling Tukimin yang tersengih-sengih menguis lantai dengan hujung jari.
"Apa yang Tukimin tu tahu, ustaz?" sahut Uda Embun mencebek bibir apabila saya meminta Tukimin sahaja ulangi berdoa, disebabkan dia harapkan saya akan datang juga mengulangi ke situ.
"Ustaz ni banyak hal lain, mak," segera Tukimin ingatkan emaknya supaya tidak harapkan sangat kepada seseorang.
Mereka seisi kampung sudah harapkan Malim Saban membantu tatkala Merisah mengalami tumpah darah. Selepas Malim Saban meninggal dunia siapa lagi boleh diharapkan jika semata-mata bergantung kepadanya. Sebab itu Tukimin tidak mahu sesiapa pun bergantung sangat kepada saya.
Lagi pun dia tahu mengenai jadual saya tidak pernah tetap di rumah. Kadangkala sampai berturut-turut tiga hari tidak balik ke rumah apabila dijemput kawan-kawan ke Kelantan, ke Johor atau ke mana-mana sahaja. Apa lagi sekiranya Mamak Bandaro meminta datang ke Bukittinggi untuk beberapa hari.
Sekiranya di rumah pun memang saya tidak akan ulangi apabila diminta menjengah sesiapa yang terkejang sakit. Sudah berkali-kali saya ingatkan mereka bahawa saya bukanlah dukun yang akan berulang kali datang mengubati sesiapa. Setiap kali berdoa memang debaran hati saya sentiasa berkocak kerana bimbang keadaan Saelah tidak juga berubah.
Tidak lama selepas kejadian menimpa Saelah itulah, Tukimin beritahu saya mengenai dia hampir lemas ditiup angin kencang semasa diminta Surip Lantun tengokkan keadaan Saelah. Memang Saelah tidak lagi mengerang-erang mengalami tumpah darah, tetapi seluruh badannya sengal-sengal. Asal sahaja malam menjelang dia tergamang-gamang tidak dapat mengawal dirinya.
Sebaik sahaja Tukimin bacakan aI-Fatihah tiga kali, dia merasakan pusaran angin terlalu kencang menyebabkan dia terkial-kial mahu melepaskan diri. Ketika ini dia terdengar saya berbisik menyuruh bacakan:
 La-tattahorraku zurriyatan bi-iznillah, diulangi tujuh kali.
Apabila pusaran angin berhenti bertiup, Tukimin merasakan dia tercegat di kawasan perkampungan tidak didiami sesiapa pun. Tiba-tiba sahaja dia memerhati ke arah rumah buruk berdinding kulit kepung, tatkala seorang perempuan muda membuka pintu. Tertegun perempuan muda itu apabila melihat Tukimin tercegat di tengah halaman tidak berganjak.
Tersengih-sengih perempuan muda itu mengejek, tetapi Tukimin tidak hiraukan apa-apa. Terus sahaja dia bacakan surah al-Ikhlas hingga 100 kali menyebabkan goncangan kuat menggegarkan. Tukimin ulangi dengan membaca Ayatul Kursi, hingga perempuan itu memekik terlalu marah.
"Aku dah berjanji dengan ustaz tak ganggu sesiapa!" ujar perempuan muda di muka pintu rumah buruk ingatkan Tukimin. "Kenapa kamu datang juga ceroboh ke sini?" dia kecewa apabila Tukimin terus menyerbu.
"Ustaz yang suruh aku ke sini!" tegas Tukimin mengejek perempuan muda berkenaan.
"Jangan macam tu, banyak perkara awak tak tahu, sahut perempuan muda itu macam memujuk.
Ketika ini Tukimin mendengar gema zikir di udara bagaikan hembusan nafas saya semasa terconggok di depan Saelah. Gema zikir itu terus menggoncang kawasan perkampungan berkenaan menyebabkan tidak siapa pun berani bertahan. Tetapi perempuan muda itu tidak lari ke mana sekali pun goncangan terus menggetar di situ.
Semasa Tukimin jejak kaki ke situ goncangan bertambah kuat. Apa lagi Tukimin tidak henti-henti membacakan surah aI-Ikhlas dan Ayatul Kursi menyebabkan gema yang bergemuruh membingitkan telinga perempuan itu. Dia berpaut pada jenang pintu akibat rumahnya ikut bergoyang akibat goncangan yang berterusan.
Kemudian Tukimin melihat lantunan batu sebesar perdu pokok meranti menerjah rumah berkenaan hingga roboh menyembam bumi. Perempuan muda itu terhimpit di bawah batu besar yang menerjah dari udara. Terkial-kial perempuan muda itu beritahu mengenai janjinya tatkala berdepan dengan saya tidak akan mengganggu Saelah.
"Siapa nak percaya dengan janji syaitan!" bentak Tukimin mengisar tumit ke tanah dengan membacakan:
 Alif lam mim sod, kaf ha ya a'in sod, ha mim a'in sin kof, uskun aiyuhal waji'billazi iny-yasya yuskinirriho fayazlalna rawakida 'ala zohrihi, inna fi-zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur.
Sekali gus batu besar itu berkisar ligat menyebabkan perempuan itu seolah-olah digiling macam cili dihimpit sengkalan. Apabila perempuan muda itu terpelanting tubuhnya habis tersiat kulit dengan mata terjojol keluar. Dia menjadi hodoh dengan kulit berjuntai-juntai laksana kain perca tergayut.
Dalam kesakitan yang payah, perempuan itu merungut disebabkan Tukimin sengaja menganiaya dirinya. I.antas dia beritahu mengenai Onyeng Liyah dianiaya suaminya sewaktu lepas bersalin hingga tumpah darah. Tok Gasik tidak peduli sama ada Onyeng Liyah sakit selepas bersalin atau tidak, dia tetap mahu dihidangkan makan.
Disebabkan Onyeng Liyah terlambat siapkan hidangan, marah benar Tok Gasik lantas menunjal dahi isterinya sampai perempuan itu jatuh terjelepoh. Ketika Tok Gasik turun tinggalkan rumah, Onyeng Lijah menyedari dia mengalami tumpah darah. Saat inilah Puteri Sembilan menjelma di depannya wap dengan daun sembung siap direbus. Setelah wap dengan daun sembung, barulah Onyeng Liyah bertenaga semula.
Tiga hari Tok Gasik tidak balik jejak kaki ke rumah, siapa lagi yang bantu Onyeng Liyah kalau bukan Puteri Sembilan. Apabila balik ke rumah Tok Gasik masih berkeras menyuruh Onyeng Liyah hidangkan makan. Dia tidak peduli sama ada beras di tempayan penuh atau tidak. Tahu sangat Onyeng Liyah memang suaminya habiskan masa di tempat sabung ayam berhari-hari dengan tidak pedulikan rumahtangga Iangsung.
 Onyeng Liyah tidak pernah membantah disebabkan emaknya sudah ingatkan dia supaya taatkan suami. Semenjak tinggalkan kampung halaman ikut suaminya Tok Gasik memang dia harapkan lelaki itu melindungi dirinya. Sebab itu dia patuhi sahaja kemahuan Tok Gasik sekali pun terpaksa mengambil upah menumbuk padi di rumah Pak Lasah.
Memang Pak Lasah bersama isterinya Mak Inyut seringkali membantu dia. Mereka kesihan pada Onyeng Liyah disebabkan sikap Tok Gasik habiskan masa di tempat sabung ayam. Sekiranya menang berjudi dia akan belikan apa sahaja sampai penuh beras satu tempayan. Apabila kalah berjudi sabung ayam, dia akan lepaskan geram pada Onyeng Liyah sampai dibelasah tidak peduli apa-apa.
Semasa Onyeng Liyah mengalami tumpah darah selepas bersalin, Mak Inyut datang juga menjengah. Tetapi dia berasa hairan disebabkan Onyeng Liyah tidak menanggung apa-apa kesakitan. Dia melihat sendiri Onyeng Liyah bingkas bangun jerangkan air di tungku. Kemudian rendamkan daun sembung buat duduk berdiang wap dengan daun sembung berkenaan.
Manalah Mak Inyut tahu mengenai Puteri Sembilan tercegat di sisi Onyeng Liyah membantu perempuan itu. Tatkala Tok Gasik membentak minta siapkan hidangan makan setelah balik ke rumah akibat kalah judi sabung ayam, memang dia memberang marah apabila Onyeng Liyah sengaja tidak hiraukan.
Apabila dia menerpa mahu menampar muka, tiba-tiba tangannya disengkang. Puteri Sembilan menjelma di depan Tok Gasik memegang cemati lantas disebat ke belakang Tok Gasik. Marah benar dia disebabkan Tok Gasik berkasar pada isterinya baru lepas bersalin.
Terkejut Tok Gasik apabila melihat jelmaan Puteri Sembilan mencematnya berulang kali hingga berbirat merah pada tengah belakang. Tidak bertangguh dia mencapai parang tersandar pada tiang rumah mahu menetak Puteri Sembilan, tetapi dia merasa tangannya kaku laksana batu tidak boleh digerakkan.
Semasa Mak lnyut bersama Pak Lasah tergesa-gesa datang, mereka sekadar melihat Tok Gasik tersandar di dinding dengan terkebil-kebil mata. Mulutnya berbuih-buih tidak dapat bercakap sepatah pun. Rumah yang hiruk pikuk dengan suara bengis Tok Gasik menjadi sepi. Mak lnyut tidak melihat pun Onyeng Liyah di situ, hanya bayinya yang masih kecil sahaja terkial-kial dalam bedungan.
Berbulan-bulan Tok Gasik terkejang sakit, dia mati terbujur juga. Terpaksa bayinya dipelihara Mak lnyut setelah Onyeng Liyah tidak jengah muka. Tetapi dia mendengar berita mengenai Onyeng Liyah melarikan diri sewaktu suaminya memberang balik dari berjudi sabung ayam. Dia melarikan diri ke kampung lain jauh dari kampung halaman suaminya.
Tetapi siapa pun tidak pernah menemui Onyeng Liyah. Tidak lama selepas itu mereka sekadar menyedari perempuan muda seakan-akan Onyeng Liyah sudah bersuami lain. Asal sahaja disebut nama Onyeng Liyah dia akan membentak marah. Mereka juga tahu mengenai perempuan itu mempunyai suami di kampung lain.
Apabila dia balik ke rumah suaminya di kampung nescaya suaminya tidak bimbang apa-apa. Puteri Sembilan akan mendampingi lelaki itu semasa Onyeng Liyah ke kampung suaminya yang lain. Memang dia sudah diingatkan oleh Puteri Sembilan supaya kekalkan dengan sembilan orang suami, kalau mahu terus kelihatan muda.
Tidak seorang pun suaminya boleh membantah setelah diberi makan sup hidung lembu yang dijampi Puteri Sembilan. Biarlah seisi kampung mengutuknya namun Onyeng Liyah tidak peduli apa-apa. Dia lebih rela mematuhi kemahuan Puteri Sembilan daripada membiarkan dirinya diseksa Tok Gasik berterusan.
"Kamu biarkan Onyeng Liyah bersuami sembilan orang lelaki dalam satu masa" Tukimin menuding jari memarahi perempuan hodoh jelmaan Puteri Sembilan di depannya.
"Tok Gasik lama sangat menyeksa dia," sahut perempuan hodoh itu terketar-ketar.
"Sengaja kamu dorong dia ke jalan dilaknati!" bentak Tukimin terus menjurus hingga seluruh tubuh perempuan itu diselaputi air batu membeku.
"Aku nak bantu Onyeng Liyah." ujarnya terketar-ketar akibat terkurung dalam air batu.
"Cukuplah dia diseksa suaminya, kenapa kamu seksa dia lagi!" Tukimin terus menghentak tumitnya ke tanah menyebabkan perempuan hodoh itu terbolos ke dalam gaung dalam.
Jeritnya bergema jauh di dasar dalam getaran yang bertele-tele. Saat ini Tukimin merasa sebak apabila kenang kejadian yang menimpa Onyang Liyah mengalami tumpah darah semasa selepas bersalin. Dia tahu Onyeng Liyah sudah terkejang tidak lagi bergerak tatkala ditinggalkan oleh suaminya Tok Gasik.
Memang Puteri Sembilan yang menjelma di depan Mak Inyut dan Pak Lasah. Sewaktu Tok Gasik balik jejak kaki ke rumah dalam keadaan memberang setelah kalah judi sabung ayam, bukanlah Onyeng Liyah yang tercegat di sisinya. Tetapi dia sudah dikelirukan oleh Puteri Sembilan.
"Alhamdullillah, Saelah sudah sembuh sekarang ni, ustaz," ujar Tukimin tersenyum apabila kenang dia merasa terhumban jauh di perkampungan tempat Puteri Sembilan bertahan.
"Pak mentua saya tu, memang keturunan Pak Lasah, ustaz," beritahu Hasbul setelah diberitahu oleh Surip Lantun.