Saturday, April 30, 2016

174. DENDAM PUAKA ROBOHKAN EMPANGAN



SEHINGGA jam sebelas malam Deraman menunggu di depan pintu pagar Ustaz Muaram masih belum balik. Kalau malam Jumaat memang dia mengajar di Kampung Sena, sampai tengah malam baru balik ke rumah. Di gagahinya juga ke masjid Kampung Sena sejauh 30 kilometer dari rumahnya disebabkan tanggungjawabnya mengajar ke sana.

Tetapi Deraman tetap sabar menunggu sekalipun Ustaz Muaram lambat balik. Masakan Ustaz Muaram mengajar ke Kampung Sena, kerana isterinya juga ikut sama. Lainlah kalau malam Jumaat memang dia mengajar agama di Kampung Sena.

Sebelum asar lagi Deraman sudah bertolak dari rumah ayah saya ke Kampung Gawang itu. Tahu sangat ayah saya mengenai Ustaz Muaram di Kampung Gawang di Jelebu itu, kalau sesiapa patah tulang hingga tidak boleh jejak kaki atau menggenggam tangan.

Sudah ramai yang sembuh setelah diubati oleh Ustaz Muaram sekiranya mereka enggan dirawat hospital. Perkara dirawat di hospital bukan disebabkan mereka tidak suka rawatan perubatan moden, tetapi rimas kalau disimen sampai berbulan-bulan. Apalagi kulit menjadi gatal akibat disimen itu menyebabkan terkial-kial mereka menjolok dengan lidi mahu menggaru sampai ke dalam tempat bersimen.

"Ustaz tu tahu sama ada patah atau pun tidak," bisik ayah saya tidak berganjak duduk di dalam kereta menunggu sementara Ustaz Muaram balik ke rumah.

"Tapi jari budak tu masih boleh digerak-gerakkan," ujar Deraman mengerling anaknya yang baru berumur enam tahun tersandar di belakang. Kalau jarinya tidak boleh digerakkan dia percaya tulang tangan anaknya patah.

Sebaik sahaja anaknya Fazhar jatuh terguling ke lantai tatkala bermain dengan abangnya hingga menangis kesakitan memegang tangannya, Deraman sudah bawakan menemui Opah Sipah minta urutkan. Terjerit-jerit anaknya menangis apakala diurutkan oleh Opah Sipah dengan tangan Fazhar membengkak.

Disebabkan Fazhar masih merengek sakit, selepas maghribnya Deraman bawa juga ke klinik. Doktor klinik yang menjadi kawan baikya itu nasihatkan supaya dibawa juga ke hospital supaya di x-ray, biar doktor sahkan sama ada tangan anaknya patah atau pun tidak.

Tetapi Deraman sekadar mengangguk sahaja apabila dinasihatkan oleh kawannya itu. Disebabkan semalaman tidak dapat tidur apakala Fazhar terus merengek kesakitan, lantas pagi-pagi lagi dia menemui ayah saya. Manalah tahu ayah saya boleh membantunya sebelum Fazhar dibawa ke hospital.

Perkara tergeliat atau pun patah tangan, memang ayah saya tidak berpengalaman langsung. Entah kenapa Deraman menumpu ke rumahnya apabila tangan anaknya membengkak setelah jatuh terguling di lantai semasa bermain dengan abangnya. Manalah dia tahu mahu ubatkan Fazhar, sekalipun takat terkehel urat sahaja.

"Bidan Opah Sipah kata, tak patah," jelas Deraman apabila kenangkan jaminan Opah Sipah setelah mengurut tangan anaknya yang membengkak. "Tapi kawan saya doktor tu syak tangan anak saya ni patah," ujarnya masih berharap biarlah anaknya tidak dibawa ke hospital.

"Kita cubalah dengan ustaz ni," ayah saya meminta dia bertenang dalam saat demikian.

"Dia ni memang mudah gelabah, tuan aji," lantas isteri Deraman, Basirah mencelah.

"Awak pun apa kurangnya!" segera Deraman mencebek bibir mengerling isterinya apabila kenangkan Basirah semalaman tidak dapat lelapkan mata disebabkan Fazhar merengek akibat tangannya menyakit berdenyut-denyut.

Tengah malam itu juga Basirah mendesaknya supaya membawa Fazhar ke hospital. Tentulah sia-sia sekiranya berkeras menghantar anaknya ke hospital tatkala tengah malam demikian. Siapa akan memberi rawatan sekiranya dibawa juga dalam keadaan terdesak. Tentu terpaksa menunggu sampai pagi juga baru rawatan akan diberi.

Lainlah kalau sakit berbahaya sekiranya dibawa ke hospital tengah malam, memang cepat diberikan rawatan. Takat patah tangan, siapa pun tidak peduli sangat.

"Saya tak tahu apa-apa, kalau patah," jelas ayah saya kerana tidak dapat mengagak sama ada anak kecil itu patah tangan atau pun terkehel urat. Mahu diraba-raba lagi dia tidak berani, manalah tahu akan tambah melarat pula.

"Habis, nak buat macam ni pak aji?" Basirah serba salah setelah ayah saya tidak sanggup tengokkan tangan anaknya. Perlahan-lahan ayah saya bangun mencapai telefon. Tetapi Ustaz Muaram tidak ada di rumah ketika itu. Isteri ustaz itu Dinah yang menyambut telefon ayah saya. Dia yang beritahu Ustaz Muaram tidak ke mana-mana malam berkenaan. Sebab itu ayah saya ajak sahaja Deraman ke Jelebu di Kampung Gawang menemui Ustaz Muaram.

Selepas jam sebelas itulah Ustaz Muaram baru balik dari kenduri tahlil di rumah saudara Dinah. Sampai terlupa Dinah memberitahu suaminya. mengenai ayah saya akan datang ke rumahnya. Terkilan juga Ustaz Muaram disebabkan ayah saya terpaksa menunggu lama di luar pagar.

Tidak bertangguh dia mengajak masuk ke rumah sebaik sahaja ternampak ayah saya di luar pagar. Setelah diberitahu mengenai anak kecil yang dibawa bersama, Ustaz Muaram terus mempelawa ke bahagian dapur rumahnya sahaja.

"Hah, patah tangan budak ni," beritahu Ustaz Muaram sebaik sahaja meletakkan tangan Fazhar di tapak tangannya.

Berdebar juga hati Deraman apabila diberitahu tangan anaknya patah, kerana dia sekadar menyangka terkehel urat. Opah Sipah yang berpengalaman menjadi bidan urut itu juga memberitahu Fazhar hanya terkehel urat sahaja.

"Ustaz ni tahulah patah atau tidaknya, saya mana tahu," ujar ayah saya tersengih-sengih setelah dijelaskan oleh Ustaz Muaram.

Terangguk-angguk Deraman menahan keluhan pendek. Hairan juga dia bagaimana Ustaz Muaram mahu menjadi dukun mengubati orang patah. Tidak pernah pula didengarnya guru agama bersedia mengubati orang patah macam dukun mahir di Beranang atau di Merlimau, Melaka.

Tahu sangat Deraman mengenai dukun patah di Beranang sampai berderet panjang orang menunggu untuk dapatkan rawatan. Dari jauh pun orang datang bertumpu ke situ kalau patah teruk hingga tidak boleh diubati di hospital. Mereka sanggup menemui dukun patah itu sekalipun terpaksa lama menunggu giliran.

Memang Deraman juga akan ke Beranang sekiranya tahu mengenai tangan anaknya patah. Tetapi Opah Sipah yang beritahu tangan anaknya sekadar terkehel urat. Kalau takat terkehel urat masakan anaknya merengek sepanjang malam kesakitan tidak dapat lelapkan mata.

Tentu ada gangguan syaitan menyebabkan pada zahirnya sahaja kelihatan seperti terkehel urat. Manalah tahu sekiranya malang mahu menimpa, sampai ada orang yang tergamak gunakan ilmu syaitan untuk menganiaya mereka sekeluarga. Memang mudah sahaja Deraman menuduh demikian, disebabkan sudah beberapa kali dia mengalami gangguan itu.

Sebab itu dia sanggup tidak ke pejabat semata-mata mahu menemui ayah saya. Sekiranya gangguan syaitan tentu mudah ayah saya doakan sampai Fazhar sembuh semula.

Tetapi anak kecil itu bukan diganggu syaitan. Tulang tangannya patah akibat jatuh terhimpit badan sendiri sewaktu bermain dengan abangnya.

"Nak kena urutkan tangannya, ustaz?" Basirah memerhatikan anaknya ketakutan setelah dibelek-belek tangannya oleh Ustaz Muaram. Memang anak kecil itu menjerit kuat semasa tangannya diurut oleh Opah Sipah sebaik sahaja jatuh bermain.

"His, mana boleh diurut," sahut Ustaz Muaram menjuihkan bibir. Dia sendiri terasa ngeri sekiranya tangan patah tulang diurut macam terkehel urat.

"Tahulah ustaz tu nak buat macam mana pun," ujar ayah saya supaya Basirah bertenang.

Ketika Ustaz sapukan minyak ke tangan anak kecil itu, satu keluarga lagi datang ke situ memberi salam dari tengah halaman. Sebaik sahaja masuk mereka memberitahu datang dari Lanchang di Pahang sambil menunjukkan emaknya yang hampir lumpuh.

"Dulu, mak saya ni tak boleh berjalan langsung," jelas lelaki yang memapah emaknya masuk ke ruang dapur rumah Ustaz Muaram. "Tiga kali naik datang ke sini, Alhamdullillah dah boleh berjalan sikit," beritahunya sambil membantu emaknya duduk.

"Rasi pula berubat dengan ustaz ni," ibu tua itu mencelah memerhati Deraman yang terangguk-angguk di sisi anaknya.

Tetapi Ustaz Muaram tidak peduli apa pun mereka bualkan. Sambil menyapukan minyak itu dengan menyongsang naik, dia bacakan doa:

Bismillahillazi la-yaddhurru ma'asmihi syai-infil-.ardha wala-fis-samaa-i wahuwas sami'ul 'lim, laqad jaakum rusulun min anfusikum 'azizun 'alaihi ma-'anittum hari-sun 'alaikum bilmukminun ra-ufur rahim, fa-in tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illahuwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul arsyil 'azzim.

Setelah didoakan Ustaz Muaram meminta isterinya ambilkan daun sisik naga yang sudah dikeringkan dijadikan seperti serbuk teh, kemudian ditaburkan di bahagian yang patah. Selepas itu dibalutnya dengan daun tembaga suasa sebelum diletakkan dua kayu mengapit tangan dan dibalut pula dengan kain bandage.

Memang rumit juga Ustaz Muaram membuat rawatan, hingga hampir jam dua belas baru dia selesai merawat anak kecil itu.

"Kena datang tiga malam berturut-turut ni," tegas Ustaz Muaram setelah selesai merawat Fazhar.

"Jauh dia datang ni," sahut ayah saya apabila diberitahu terpaksa datang berturut-turut tiga malam. "Tak apalah, kita nak berubat," lantas sahaja Deraman memberi jaminan akan .datang lagi ke situ merawat anaknya.

"Doa tu sebagai syarat aje," Ustaz Muaram menerangkan semasa Deraman melangkah ke luar. "Yang pentingnya ubat dan rawatan, sebab tu mahu datang tiga malam berturut-turut," katanya macam mengingatkan lelaki berkenaan.

Semasa Deraman menghantar ayah saya balik ke kampungnya, memang dia beritahu lelaki itu supaya tidak bimbang apa-apa sekiranya anak kecil itu merengek lagi sepanjang malam. Dalam tempoh tiga malam itu memang salah satu daripada malamnya kesakitan akan terasa menusuk-nusuk. Sebab itulah Ustaz Muaram mahu melihat kesannya setelah diberikan rawatan, sama ada beransur sembuh atau pun tidak.

Hampir jam tiga pagi baru Deraman sampai di rumahnya. Sehingga subuh pula Fazhar merengek tidak dapat lelapkan mata akibat berdenyut-denyut sakit. Mahu ditelefon ayah saya memberitahu keadaan anaknya tidak tergamak pula Deraman. Terpaksalah dia dan Basirah juga turut sama tidak dapat melelapkan mata memujuk anaknya supaya bersabar.

Tetapi anak kecil itu tidak dapat menahan sakit yang menusuk-nusuk akibat tulang tangan patah. Puas diusap oleh Basirah sampai ke pangkal lengan pun dia tetap merengek-rengek. Hampir juga Deraman hilang sabar hingga mahu dibawa sahaja ke hospital biar anaknya tidak menderita sakit. Kalau tidak disebabkan Basirah berkeras menghalang, memang tidak bertangguh Deraman hantar sahaja ke hospital.

"Agaknya, ustaz tu tengah mengubatkan," gerutu Basirah apakala suaminya tidak sabar mahu ke hospital menjelang subuh itu.

Terdiam Deraman. Dia percaya juga dengan agakan isterinya, tentu Ustaz Muaram tengah mengubat. Deraman juga tahu mengenai Opah Naemah di Kampung Telaga dekat Pantai Remis kalau merawat orang patah sekadar mengurut daun kelapa sahaja.

Opah Naemah tidak akan merawat sekiranya orang yang sakit masih terconggok di depannya. Memang dia menyuruh orang yang patah itu balik sahaja ke rumah setelah dibalut dengan daun tembaga suasa. Belum sempat sampai ke rumah orang itu akan terjerit-jerit tidak menentu menahan sakit di tangannya.

Sampai setengah jam terjerit-jerit barulah orang yang patah merasa reda. Selepas itu memang mereka tidak akan merasa sakit lagi. Kalau patah tulang kaki pun mereka sudah boleh jejakkan berjalan tertenjot-tenjot setelah Opah Naemah urutkan daun kelapa di rumah-nya.

"Emmm, macam-macam cara orang mengubat," ujar Deraman perlahan setelah anaknya mula lelapkan mata menjelang subuh.

Setelah merengek-rengek sampai ke subuh itu, Fazhar tidak lagi mengeluh sakit. Dia sudah berani menghayun tangannya yang berbalut kain bandage sekalipun terjerit-jerit Basirah melarangnya.

Tetapi Ustaz Muaram mengakui tidak melakukan apa-apa setelah merawatnya. Dia sekadar memberitahu dalam tempoh tiga malam itu memang salah satu daripada malamnya orang yang patah akan terasa sakit sangat hingga berdenyut-denyut ngilu.

Ustaz Muaram sendiri tidak tahu kenapa berlaku kejadian demikian, kerana amalan yang diturunkan oleh ayahnya itu setakat itu sahaja yang diketahuinya. Tetapi dia mengagak tentu daun sisik naga itu yang menjadi puncanya.

"Daun sisik naga ni tumbuh di atas batu," beritahu Ustaz Muaram apabila didesak sangat oleh Deraman. "Kambing gurun gemar memakannya," dia menjelaskan mengenai kambing gurun akan mengunyah daun berkenaan sekiranya terluka atau patah. Kemudian dia akan menjilat-jilat bahagian luka atau patah itu.

"Macam mana rupa daun sisik naga tu, ustaz?" soal Basirah teringin juga mahu melihatnya.

"Itu yang susah nak tunjukkan," tersengih-sengih Ustaz Muaram kerana tidak dapat mahu menunjukkan contoh daun sisik naga itu, disebabkan semuanya sudah dikeringkan dijadikan seperti serbuk teh.

Lagi pun apalah perlulah Deraman mahu tahu sangat mengenai daun sisik naga itu sekiranya tidak tahu gunanya. Malah daun tembaga suasa itu juga dipandangnya macam tidak berharga sahaja macam tumbuhan liar di tengah hutan.

Ustaz Muaram sendiri mengakui, kalau tidak disebabkan dia mengidap banyak penyakit memang dia sendiri tidak tahu apa-apa mengenai khasiat madu lebah hutan. Lama juga dia mengidap darah tinggi sampai terpaksa simpan bekalan ubat di rumah. Asal sahaja tersilap makan mudah sahaja penyakitnya datang mengganggu.

Arwah emaknya ingatkan dia mengenai amalan arwah ayah-nya tidak pernah jamah gula yang dibeli di kedai. Sampaikan air tebu pun arwah ayahnya tidak pernah jamah. Asal sahaja meneguk air Ustaz Muaram akan bancuh dengan madu lebah. Biarlah baunya maung tidak menyelerakan Ustaz Muaram tidak akan lupakan amalan arwah ayahnya.

Kalau terpaksa ke Serting mencari madu lebah hutan pun, dia sanggup gagahi ke sana. Ustaz Muaram sanggup masuk jalan batu gerewel ke Kampung Bayas pun sampai santak ke tepi hutan, asalkan dia dapat bekalan madu lebah.

Ketika saya balik ke kampung, ayah saya tidak ada di rumah kerana menghantar Deraman ke rumah Ustaz Muaram. Sengaja dia minta temankan kepada ayah saya sekalipun dia sudah tahu jalan ke Jelebu. Lagi pun ayah saya tidak ada apa-apa urusan, apalah salahnya temankan Deraman ke sana.

"Ayah kamu, kalau urusan orang bila-bila aje dia sanggup," gerutu emak saya apabila memberitahu mengenai ayah saya sudah ke Kampung Gawang di Jelebu itu. Kadangkala demam terkokol-kokol sejuk pun, ayah saya sanggup bangun tengah malam kalau orang datang meminta bantuan. Diajak temankan ke Muar pun dia sanggup sampai terbatuk-batuk menahan sejuk angin malam. Memang dia tidak pernah serik semenjak masih muda lagi, tidak pernah menolak sekiranya orang datang meminta bantuan.

Merungut juga emak saya kalau ayah terpaksa juga pergi tengah malam setelah didesak orang. Tetapi dalam saat dia terlantar demam sewaktu menunaikan haji, ayah saya masih gagah berjalan tatkala melontar jamrah. Dia boleh menyusup di celah jemaah yang berasak-asak memberi ruang kepada emak untuk mara ke hadapan.

"Kalau untuk manfaat, apa salahnya emak," isteri saya pula sengaja mengusik emak saya apabila kenangkan ayah saya dalam keadaan uzur tetapi sanggup ke mana sahaja untuk memenuhi hajat orang.

"Manfaat apa? Tak ada beban batu digalas," emak saya mendengus seolah-olah geram sangat dengan sikap ayah saya.

Tetapi saya tidak hairan sangat sekiranya emak saya merungut dengan sikap ayah saya. Dia merungut sekadar mahu melepaskan rasa geram sahaja. Sekiranya ayah saya balik jauh-jauh malam siapa lagi yang akan membuka pintu kalau bukan dia? Emak tidak akan mendengus apa-apa sekalipun terkuap-kuap menahan mengantuk apabila membukakan pintu.

Ayah saya pula tidak akan memanggil dari tengah halaman sekiranya pintu tidak akan di-buka. Dia sekadar mendehem tiga kali sahaja, sudah tentu emak saya akan bingkas bangun. Mudah sahaja dia terjaga apakala ayah saja jejak kaki di tengah halaman.

"Ayah ke mana?" sengajasaya mahu pastikan daripada emak saya.

"Emmm, hantar orang ke rumah Ustaz Muaram," tutur emak saya mencebek bibir.

"Orang tu nak berubat?" isteri saya lantas mengerling ke arah saya.

"Anaknya patah tangan tiga bulan dulu," beritahu emak saya mengisar duduk sambil mencapai gobek sirihnya. "Budak tu dah baik, saja-sajalah nak ke rumah ustaz tu," jelasnya kerana Deraman sendiri memberitahu mahu mengunjungi rumah Ustaz Muaram.

Gembira sangat hati Deraman, dalam masa tiga hari sahaja tangan anaknya sembuh. Tetapi Ustaz Muaram tidak mahu balutan kain bandage itu dibuka sekaligus. Kalau dibuka pun sekadar mahu dianginkan sahaja dalam masa setengah jam, selepas itu dibalut semula dengan diapit kayu pembaris biar tulang tangan tidak bergerak.

Ustaz Muaram juga pantangkan supaya tidak jamah belimbing, limau nipis dan buah kundang sampai enam bulan. Buah-buahan masam juga tidak boleh dijamah selagi bahagian patah masih terasa sakit. Tetapi Fazhar tidak merasa sakit apa-apa lagi setelah tiga hari berulang berubat di rumah Ustaz Muaram,

Sebab itulah dia sengaja mahu menemui Ustaz Muararn setelah tiga bulan anaknya sembuh. Sengaja dia mengajak ayah saya ikut sama ke rumah Ustaz Muaram untuk teman berbual dalam perjalanan.

Sehingga jam dua belas malam ayah saya masih tidak balik, sekalipun saya masih berbual dengan emak sambil mencuba gobek sirihnya. Sekali sekala balik ke kampung memang teringin juga saya mahu menjamah sirih digobek. Disebabkan ayah saya masih juga tidak balik, lantas saya terus sahaja tidur. Besok paginya sempat juga bertemu dia. Tidak perlu ditunggu sangat sampai dia balik ke rumah santak subuh.

Memang ayah saya sukar mahu difahami sama ada dia terlantar sakit atau pun tidak. Hingga emak saya sendiri tidak dapat memahaminya semasa mereka ke Mekah sewaktu bermalam di Mina. Dalam keadaan tenaganya lemah dia masih mampu berjalan merempuh ke tengah asakan jemaah yang berebut-rebut mahu melontar jamrah.

Sama juga apabila dia ditemui terbaring di tepi empangan air sewaktu memunggah pasir. Terkejut benar kawannya Lebai Rawi setelah melihat ayah saya tersandar bagaikan tidak sedar diri selepas hujan panas turun menyerak tatkala matahari tegak di kepala.

Memang tiga hari ayah saya terlantar tidak bergerak langsung setelah diusung balik ke rumah. Jiran-jiran sudah tersengguk sayu apabila melihat emak saya sarat mengandung, sedangkan kakak saya baru sahaja pandai berjalan jatuh.

Kalau tidak disebabkan ayah saya berkeras mahu siapkan kerja memunggah pasir siapkan empangan itu, memang dia tidak ditimpa geruh. Lebai Rawi rakannya yang sama-sama mengambil upah sudah melarang disebabkan berturut-turut seminggu empangan itu roboh apabila kontrak membuat kerja.

Cuma Dukun Tahak satu-satunya yang sanggup memunggah pasir di bawah empangan apabila ditawarkan oleh penghulu mukim. Pegawai Daerah orang putih juga percaya dengan penjelasan penghulu mukim, cuma meminta bantuan Dukun Tahak sahaja baru empangan batu itu dapat dibina untuk mengairkan sawah orang-orang kampung.

Sebaik sahaja penghulu mukim serahkan kepada Dukun Tahak memunggah pasir, lantas sahaja dia mempelawa ayah saya dan Lebai Rawi mengambil upah. Disebabkan bayarannya mahal bersetuju sahaja ayah saya dan Lebai Rawi menerima pelawaan Dukun Tahak.

Apa sangat memunggah pasir naik ke tebing biar mudah kontrak membina empangan. Sehari suntuk mereka berdua naikkan pasir ke tebing, besoknya apabila mahu menyambung kerja terkejut benar mereka disebabkan pasir yang dilonggokkan di tebing habis dikaut semula turun ke tengah air.

"Cukuplah bilal, tak usah kita sambung kerja ni," Lebai Rawi ingatkan ayah saya. Dia sudah dapat mengagak tentu buat kerja sia-sia sahaja memunggah pasir kalau dikaut turun semula ke tengah air.

"Awak takut ke, lebai?" sengaja ayah saya mengejek kawannya itu disebabkan Lebai Rawi bimbang mahu meneruskan kerja.

"Lagi pun, Dukun Tahak tak datang sama," Lebai Rawi terus mendesak tinggalkan sahaja kerja tersebut.

Sejak seharian mereka meunggah pasir pun, Dukun Tahak sudah tidak terlarat mahu meneruskan kerja. Mereka berdua bersusah payah ditengah air Dukun Tahak sekadar tersandar di bawah rumpun buluh dengan termengah-mengah menahan rumput.

Tetapi ayah saya tidak peduli sangat disebabkan Dukun Tahak sudah tua. Masakan tenaga mereka berdua yang masih muda sama dengan tenaga Dukun Tahak. Lagipun Dukun Tahak sama juga macam tauke disebabkan dia diberi kontrak oleh penghulu mukim memunggah pasir. Mereka berdua sekadar menerima upah borong dari Dukun Tahak.

"Kalau awak tak mahu, kawan turun juga buat kerja, lebai," tegas ayah saya berkeras apabila kenangkan emak saya sedang sarat mengandung memerlukan belanja. Ketika ini memang emak saya mengandungkan saya sendiri.

"Awak ni memang keras hati, bilal," ujar Lebai Rawi kecewa dengan keputusan ayah saya mahu meneruskan kerja sekalipun Dukun Tahak tidak datang sama.

Disebabkan tidak sampai hati membiarkan ayah saya memunggah pasir berseorangan, Lebai Rawi datang juga menjengah tatkala matahari tegak di kepala. Ketika Lebai Rawi sampai di tempat membina empangan hujan panas turun menyerak. Dia mendengar di sebelah hulu bagaikan air bah menunda laju ke sebelah hilir.

Tetapi tidak kelihatan pun air sungai melimpah sekalipun deru di sebelah hulu telalu kuat. Mahu dituduh angin kencang bertiup pun tidak ada pokok-pokok bergoyang. Dalam keadaan cemas itulah Lebai Rawi melihat ayah saya terkejang di perdu rumpun buluh dengan mulut terkancing. Tidak bertangguh Lebai Rawi memapah balik ke rumah hingga bebatu-batu jaraknya. Dia satu-satunya sahabat baik ayah saya yang sanggup membantu dalam keadaan terdesak sekalipun. Setelah dibawa balik ke rumah memang jiran-jiran bacakan Yasin sahaja, apabila melihat keadaan ayah saya tiga hari terkejang tidak sedarkan diri.

Setelah tiga hari itu pula baru Tok Aji diberitahu mengenai geruh yang menimpa ayah saya. Dia terus datang bersama nenek sebaik diberitahu mengenai keadaan ayah saya terkejang tidak sedarkan diri itu.

"Nak buat macam mana ni, besan?" Nenek Ibah tidak keruan bertanyakan kepada Tok Aji dalam keharuan yang menusuk. Hiba juga dia dengan keadaan menantunya. dalam saat emak saya tengah sarat mengandung.

"Tak apalah, kita sabar aje dulu," ujar Tok Aji bertenang sambil meletakkan tapak tangan ke kepala ayah saya.

Lama Tok Aji merenung muka ayah saya sampai nampak pancaran putih di dahinya, dia segera membacakan:

"Bismillahhi masya Allah layasuqul hairu illallahhi, bismil-lahhi masya Allah layasriful suu-i illallahhi, bismillahi masya Allah makana min ni imatin faminallahhi, bis-millahhi masva Allah lavaa-ti biilhasnata illahhi, bismillahhi masya Allah la-haula wala qau-wata illah billahhi."

Sekaligus Tok Aji tercegat berdiri di tebing empangan batu yang roboh tidak bertahan. Dia melihat ayah saya bercekak pinggang mendongak lembaga hitam yang tinggi hingga kepalanya cecah ke awan. Marah benar dia menghentak-hentak kaki sebaik sahaja melihat ayah saya tidak mahu berundur.

"Ini tempat aku bermain!" bentak lembaga hitarn tinggi hingga kepala cecah ke awan itu. "Siapa pun tak boleh buat sesuka hati," dia cuba menghalau ayah saya supaya jangan bertahan di bahagian bawah empangan.

Tetapi ayah saya tidak pedulikan lembaga berkenaan. Dia terus menyodok memunggah pasir naik ke tebing. Tidak bertangguh pula lembaga hitam tinggi itu menguis dengan kakinya hingga pasir yang dilonggokkan ke tebing jatuh semula ke tengah air.

Lantas ayah saya menggenggam pasir itu dilontarkannya ke udara dengan membacakan:

"Wain yuridu anyakhda 'uka  fain hasbakallahhu huwallazi aiyadaka binasrihi wabil-mukminina waallafa baina qulubihim lau anfaqta mafilardhi jami'an maallafta baina qulubihim walakinnullahha allafa bainahum innahu'azizun hakim."

Pasir yang diiontarkan ke udara itu memancar merah macam bara api berserakan, menyebabkan lembaga hitam yang tinggi itu semakin marah apabila matanya menjadi pedih akibat percikan pasir seperti bara api itu, Melingas-lingas matanya mencari Dukun Tahak yang terbang di udara dengan bertunggang di atas belakang harimau.

"Tahak, awak nak tunjuk keras kepala ye!" lembaga hitam itu membentak garang sebaik sahaja ternampak  Dukun Tahak berligar-ligar di udara.

"Bukankah awak dah berjanji tak akan robohkan lagi empangan ni," gementar suara Dukun Tahak berligar-ligar di udara bertunggang di atas belakang harimau.

"Habis, mana kepala yang awak nak semahkan?" tidak bertangguh lembaga itu memukulkan tangannya ke kepala Dukun Tahak, tetapi segera dielakkannya menyebabkan lembaga berkenaan semakin marah.

"His, awak jangan nak marah tak tentu fasal," sahut Dukun Tahak kesal dengan tindakan lembaga hitam berkenaan menyerangnya. "Bukankah aku dah gantikan dengan kepala Bilal Hud," dia mencebek bibir menuding ke arah saya di bawah.

"Kau nak beri aku susah," laung lembaga itu mengibas-ngibas asap tebal daripada bara merah akibat pasir yang diserakkan oleh ayah saya ke udara. "Tak nampakkah dia melawan tu, kau sengaja nak menyusahkan aku!" marah benar lembaga hitam itu terkial-kial melepaskan diri dari kepungan asap yang menyakiti matanya.

Dukun Tahak juga terketar-ketar mengelak daripada tamparan tangan hitam itu yang mengibas-ngibaskan tangannya mahu menggapai dia yang bertunggang di atas belakang harimau.

Memang ayah saya menyedari bayangan jelmaan Dukun Tahak itu sengaja membiarkan dirinya menjadi mangsa lembaga hitam yang tercegat merobohkan empangan sedang dibina. Dia berkeras tidak benarkan Dukun Tahak memunggah pasir naik ke tebing, selagi tidak memenuhi perjanjiannya yang selama ini mengharapkan pertolongan lembaga hitam yang tinggi hingga kepala cecah ke awan.

Tahu sangat orang-orang kampung mengenai Dukun Tahak yang bersahabat dengan hantu tinggi, sampai dia mampu mengangkat batang sagu rembia melintang panjang. Tiang jambatan sepanjang 15 kaki pun mudah sahaja dibantingnya macam memegang buluh pe-mancang di tepi pagar.

Siapa yang boleh tandingi Dukun Tahak kalau melawan gagah tenaga dengannya? Memang mereka menuduh tentu Dukun Tahak bersahabat dengan hantu tinggi untuk gagahkan tenaga.

"Hah, tergamak awak aniayakan kawan, Dukun Tahak!" ejek ayah saya merenung tepat ke arah Dukun Tahak yang serba salah terserempak ayah saya. Apabila dia mengerling ke arah Tok Aji di tengah kepulan asap memutih laksana kabus, bertambah gementar Dukun Tahak menyembunyikan muka di balik tengkuk harimau yang ditunggangnya.

Jiran-jiran yang sudah membacakan Yasin memerhatikan Tok Aji mengusap-usap muka sambil beristighfar beberapa kali.Apabila didesak oleh nenek aji, dia sekadar mengangguk-angguk perlahan.

"Tak apa, dia sedang berubat sendiri," beritahu Tok Aji berundur ke belakang menyandar ke dinding. Kemudian dia mena-dah tangan lantas mengucapkan doa:

Allahhumma yarnan nuruhufi sirrihi wasirruhu fi kholqihi ikhfini 'an a'yuninnazirina waqulubil hasidina walbaghina kama hafazta rohha filjasadi innaka 'ala kulli syaiin qodir.

Menjelang sahaja subuh, ayah saya mula bergerak dan lantas duduk bangun. Terkejut juga dia apabila diberitahu dihadap keluarga di tengah rumah. Dia masih merasakan dirinya terbaring di bawah rumpun buluh tidak sampai setengah jam, sekalipun emak saya menjelaskan sudah tiga hari dia terkejang tidak sedarkan diri.

Tidak bercakap apa-apa pun ayah saya terus ke telaga. Dia mandi dan mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat syukur. Hairan juga jiran-jiran kerana dia tidak kelihatan lemah setelah tiga hari terkejang di tengah rumah.

Sewaktu sarapan pagi itulah, Lebai Rawi datang memberitahu anak perempuan Dukun Tahak meninggal dunia terkejut tidak menentu. Tiba-tiba sahaja perempuan itu menggelepar bagaikan kambing disembelih hingga tidak sempat suaminya memberitahu Dukun Tahak.

Ketika Dukun Tahak datang menjengah memang anaknya sudah meninggal dunia dihadap jiran-jiran. Dia sekadar mengesat pelupuk mata disebabkan tidak dapat selamatkan anaknya.

Tiga bulan selepas itu baru Dukun Tahak menuturkan dengan kesal di hadapan ayah saya mengenai puaka penunggu empangan itu mahukan simah, sebagai sumpah perjanjian bersahabat. Memang Dukun Tahak mengakui dia gunakan hantu tinggi bagi membolehkan dirinya menjadi kuat dan digeruni orang lain.

Tetapi tiga tahun sekali dia mesti bersimah bagi memenuhi sumpah perjanjian dengan puaka. Disebabkan dia enggan menunaikan simah itulah puaka berkenaan berdendam merobohkan empangan sedang dibina. Apabila empangan dirobohkan tentu orang-orang kampung akan menemui Dukun Tahak juga. Tentu Dukun Tahak serba salah mahu mengelak sekiranya didesak oleh orang-orang kampung pertahankan empangan tersebut daripada roboh berulang kali.

Sudah terniat di hatinya mahu menjadikan ayah saya korban di bawah empangan itu, tetapi dia sendiri dimarahi puaka berkenaan disebabkan tersalah pilih. Sebab itulah puaka berkenaan membalas dendam dengan mematahkan tengkuk anak perempuannya.

Siapa pun tidak melihat puaka berkenaan mematahkan tengkuk anaknya. Tetapi Dukun Tahak tahu sewaktu jiran-jiran memandikan mayat mereka terkejut kerana kepala perempuan itu terkulai bagaikan terpatah tulang tengkuk.

"Kawan minta maaf pada awak, bilal," keluh Dukun Tahak sewaktu mereka minum sama-sama di kedai kopi simpang kampung.

Selepas kejadian itu Dukun Tahak seringkali mengadu sakit-sakit seluruh badan. Kadangkala sampai empat lima hari dia tidak jejak kaki di kedai kopi simpang kampung disebabkan uzur. Setelah dia tidak pernah jengah muka di kedai kopi lagi, ayah saya dan Lebai Rawi datang juga berkunjung ke rumahnya.

Ketika mereka berdua naik ke rumah, keadaan Dukun Tahak sudah semakin tenat. Kepalanya tidak boleh lagi diangkat dari bantal. Tiga maghrib berturut-turut pula ayah saya kumpulkan orang-orang kampung bacakan Yasin di rumah Dukun Tahak.

Tidak lama selepas itulah Dukun Tahak meninggal dunia. Tetapi ayah saya terharu juga dengan kesanggupan Dukun Tahak mengakui kesalahannya setelah cuba menganiaya ayah saya dengan simah puaka hantu tinggi yang menjadi pendampingnya. Sekalipun usianya jauh lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka berkawan rapat.

Bila-bila Dukun Tahak bersedia membantu turun ke sawah kalau diajak bergotong royong oleh ayah saya. Dia juga tidak akan mengelak sekiranya dipelawa ke mana sahaja, hingga orang kampung tahu sangat ayah saya, Lebai Rawi dan Dukun Tahak memang bersahabat baik.

Kadangkala mereka bertiga bergurau juga sudah macam keterlaluan, tetapi masing-masing tidak akan ambil hati. Merungut juga emak saya apakala kain yang baru dibeli, sengaja dibuat lap tangan selepas makan oleh Lebai Rawi dan Dukun Tahak apabila mereka bergurau. Ada masanya ayah saya pula sengaja menimbun celapah rokok Dukun Tahak dalam tahi lembu.

"Memang mereka bertiga kawan rapat," ujar emak saya apabila kenangkan dua orang sahabat ayah saya yang sudah lama meninggal dunia itu. "Sebab itu arwah Lebai Rawi anggap angah dah macam anak dia, jelasnya kerana sempat juga saya berkawan rapat dengan arwah Lebai Rawi itu.

Tidak tahu pula saya bila ayah balik, kerana sewaktu bangun untuk solat subuh dia sudah wirid di atas sejadah. Sampaikan terlambat saya bangun disebabkan keletihan sangat dalam perjalanan balik ke kampung. Deraman juga ikut sama berjemaah di belakangnya kerana tidak terus balik ke Kuantan.

Sewaktu sama-sama sarapan pagi, Deraman memberitahu mereka terlambat sampai disebabkan kereta rosak tidak bersebab ketika melalui jalan berbelok-belok menempuh hutan. Puas juga Deraman memeriksa enjin memang tidak kerosakan apa-apa. Mahu ditunggu kereta melintas dapatkan bantuan, tidak sebuah pun kereta melalui jalan berkenaan.

"Mustahil sebuah kereta pun tak melintas," rungut Deraman terbayang ketakutan di raut wajahnya apabila kenangkan kejadian menimpanya dalam perjalanan di tengah malam.

Dia makin terkejut apabila tersuluh di hadapannya seekor ular sawa sebesar batang kelapa melintasi jalan dari bukit turun ke bawah Iurah. Lama juga mereka terpaksa bersabar membiarkan ular berkenaan bergerak perlahan mengheret tubuhnya melalui jalan aspal itu.

Hampir setengah jam ular sawa itu bergerak melintas jalan, barulah ekornya turun dari tebing jalan. Kemudian perlahan-lahan hilang setelah menuruni lurah bukit itu dalam kegelapan malam. Memang gementar juga Deraman apabila kenangkan sekiranya ular berkenaan berpatah  balik menghulurkan kepalanya ke atas aspal jalan.

"Ah, dia pun nak hidup juga," ujar ayah saya disebabkan ular besar itu tidak berpatah balik mencari mangsa.

Sewaktu ular berkenaan turun ke lurah, memang hujan turun renyai-renyai. Ayah saya tidak bimbang apa-apa tatkala kereta Deraman kerosakan enjin tidak dapat meneruskan perjalanan. Basirah yang duduk di belakang mengurut dada sambil memeluk anaknya Fazhar, sebaik sahaja melihat batik ular itu bergerak perlahan mengheret tubuh.

"Agaknya kalau enjin kereta tak rosak, sudah tentu kami rempuh ular tu," Basirah pula rnenerangkan perlahan.

"Kalau tak ada tuan haji, saya memang panik," tambah Deraman sambil menatap muka ayah saya yang tersengih-sengih.

Memang dia hairan juga sebaik sahaja ular sawa itu hilang ke bawah gaung, tiba-tiba sahaja enjin keretanya boleh dihidupkan. Dia sendiri tergamam kerana enjin kereta boleh dihidupkan dengan tidak dibaiki apa-apa. Apabila meneruskan perjalanan Deraman juga tidak berani lagi memecut laju.


SELESAI