Saturday, February 28, 2015

113. DI GODA JELMAAN BUNIAN


HUJAN lebat sejak subuh menyebabkan semakin kukuh menarik selimut hingga mata juga tidak mahu terbuka.  Malas sangat Mat Sunoh mahu bingkas bangun  disebabkan kesejukan masih lagi membungkus suasana pagi.  Lagi pun bukan boleh turun menoreh getah tatkala hujan berterusan turun mencurah-curah.  Mahu ke kebun pisang juga sia-sia sahaja kerana tidak tahu apa pun kerja yang boleh dibuat ditengah hujan demikian.
Satu-satunya yang terlintas di benak Mat Sunoh hanya menarik selimut kukuh-kukuh sementara menunggu hujan bnerhenti.  Biarlah dia tidak bangun untuk sarapan pagi sekalipun perut terasa juga kosong.  Tentu isterinya Melah Gedek tengah masak rebus keladi untuk sediakan sarapan pagi, disebabkan dia sendiri yang cabut ubi keladi semalam petangnya.
Memang gemar benar Mat Sunoh makan rebus keladi cecah nyiur parut apakala menghadap sarapan pagi.  Tahu sangat Melah Gedek kegemaran suaminya jika dia sudah mencabut ubi keladi di kebun di belakang rumah.  Kalau tidak direbus pun digoreng macam goreng pisang tetap menyelerakan Mat Sunoh.
Kalau tidak disebabkan hujan turun sejak subuh tentu Mat Sunoh sendiri yang bangun rebus keladi di dapur.  Dia tidak peduli sama ada Melah Gedek bangun atau tidak sediakan sarapan pagi.  Asal sahaja dia selesai solat subuh Mat Sunoh tetap ke dapur jerangkan cerek air ke tungku.  Tidak perlu mahu manunggu isterinya bangun kalau takat jerang air di dapur.
“Hei, kanapa tak bangun lagi?” Melah Gedek melaung dari dapur sambil mendiangkan badan ke api akibat kesejukan pagi yang menusuk-nusuk.
Mat Sunoh tidak menyahut.  Dia semakin kukuh menarik selimut.  Apalah guna cepat sangat bangun kalau hujan masih turun mencurah-curah.  Kalau bangun pun sekadar mahu menyirat jeramak di pangkal serambi.  Jeramak yang koyak perlu jua disirat.  Manalah tahu apabila sungai susut boleh juga menjeramak ikan terasak ke tebing.
“Bangunlah, boleh sarapan pagi,”  desak Melah Gedek disebabkan suaminya tidak juga bingkas bangun.
Sekiranya Mat Sunoh tidak bangun apalah gunanya dia bancuh kopi yang dibancuh akan sejuk hingga tidak berselera mahu dihirup.  Dia terpaksa juga tunggu suaminya bangun kalau mahu sediakan sarapan pagi.
Kadangkala gelisah juga Melah Gedek apabila kenang nasibnya masih juga tidak mempunyai anak setelah hampir sepuluh tahun mereka berkahwin.  Kalau mahu dituduh dia mandul, semua adik beradiknya mempunyai ramai anak  setelah berkahwin.  Masakan dia seorang sahaja mandul hingga tidak mempunyai anak langsung.
Adik beradik Mat Sunoh juga mempunyai ramai anak, masakan Mat Sunoh pula yang mandul! Sebab itu Melah Gedek tidak percaya dia suami isteri yang mandul.  Lantas sahaja dia menuduh tentu badi puaka hutan menyebabkan nasib malang menimpa mereka.  Apalagi memang Mat Sunoh kerapkali mengikut Pak Tua Mahat berburu ke hutan.
Sudah beberapa kali pada Melah Gedek mengandung, tetapi takat dua atau tiga bulan usia kandungannya nescaya akan keguguran.  Tidak tahu pula dia mengapa kejadian itu berulang beberapa kali.  Tetapi Melah Gedek malu sangat mahu memberi tahu nenek saya Bidan Ibah mengenai kebimbangan yang ditanggungnya selama ini.
Memang Melah Gedek sendiri bimbang kalau mengandung.  Bukan takat anak dalam kandungan  keguguran, tetapi dia tidak mahu berlaku seperti dialami oleh emak saudaranya Alang Maherah.  Dia sendiri masih kecil lagi tatkala kejadian itu menimpa Alang Maherah tengah mengandung Sembilan bulan.  Melah Gedek tidak berapa ingat sangat kejadian itu kalau tidak diberi tahu oleh emaknya.
Siapa lagi diharapkan membidankan Alang Maherah kalau bukan nenek saya Bidan Ibah? Memang dia satu-satunya menjadi tempat bergantung orang kampung apakala isteri mereka tengah sarat mengandung.  Semasa Alang Maherah mula mengadu sakit merengat-rengat, tidak bertangguh suaminya Malim Sukat menjemput nenek saya.
Di sebabkan hari siang nenek saya tidak perlu terburu-buru ikut Malim Sukat balik sama.  Biarlah lelaki itu balik terlebih dahulu.  Dia akan mengikuti kemudian setelah siapkan semua kelengkapan berbidan.  Sebaik sahaja Malim Sukat jejak kaki dirumahnya, dia mendapati Alang Maherah terkejang tidak sedarkan diri.  Perutnya yang memboyot juga sudah kempis seolah-olah sudah melahirkan bayi.
Tatkala nenek saya sampai dia sendiri berasa hairan kerana Alang Maherah sudah melahirkan anak.  Tetapi ke mana pula anaknya hilang selepas perut Alang Maherah kempis?  Tidak siapa pun datang menjengah kerumahnya sewaktu Alang Maherah mengerang-ngerang sakit mahu melahirkan anak.  Jiran-jiran yang sudah berkumpul di situ pun tidak menyedari bagaimana perut Alang Maherah boleh kempis tidak semena-mena.
Semasa Alang Maherah mengerang-ngerang menahan kesakitan tiba-tiba sahaja dia melaung kuat.  Apabila jiran-jiran membantunya Alang Maherah sudah terkancing gigi langsung pengsan.  Ketika Malim Sukat balik ke rumah dia juga gelabah dengan keadaan yang menimpa isterinya itu.
“Panggilkan Dukun Samid cepat,” desak nenek saya supaya Malim Sukat tidak bertangguh.
Sebaik sahaja Malim Sukat turun mahu menjemput Dukun Samid, nenek saya segera sangkutkan duri mengkuang di bawah rumah bersetentang dengan Alang Maherah terkejang.  Tahu sangat nenek saya kalau amalan syaitan penanggal cuba mengganggu nescaya duri mengkuang itu akan menjadi penghalan.  Sudah menjadi pantang sesiapa sahaja amalkan ilmu syaitan penanggal tidak boleh tersangkut pada duri mengkuang.
Kalau tersangkut pada duri mengkuang amalannya tidak akan dapat bertahan.  Rahsianya akan terdedah kepada manusia menyebabkan dia tidak dapat lagi mengelak.  Tentu semua orang akan memusuhinya sampai dia terpaksa melarikan diri dari kampung halaman sendiri.  Sebab itu mereka yang amalkan ilmu syaitan penanggal tidak akan sentuh pun duri mengkuang.
Tetapi nenek saya tahu sesiapa yang amalkan ilmu syaitan penanggal itu kadangkala di perangkap juga.  Mereka sekadar mahu amalkan semangat padi sahaja biar sawah bendangnya buah padi menjadi.  Tentu mereka mahu padi penuh sekepuk setelah jenuh bertungkus lumus di tengah sawah.  Setelah menuai padi dua tiga bakul sahaja nescaya padi yang selebihnya akan masuk sendiri ke kepuk.
Tatkala amalan ilmu semangat padi ini diturunkan, gurunya akan turunkan amalan syaitan penanggal itu.  Memang gurunya juga sudah tidak tertahan lagi amalkan.  Sebab itu dia mencari sesiapa sahaja yang sanggup menerima amalan tersebut supaya mudah dilupuskan dari dirinya.
Setelah amalan diturunkan dia dikehendaki menyimpan tempayan cuka yang dibekalkan oleh gurunya.  Asal sahaja musim padi berbunga, memang dia merasakan perut sentiasa lapar.  Bila-bila sahaja keinginannya bergelojak mahu menghirup darah perempuan baru lepas bersalin.  Ketika ini dia akan menggelepar tidak menentu hingga terpaksa bersembunyi di dalam bilik.
Apabila sesiapa pun tidak melihatnya, tiba-tiba sahaja dia merasa kepalanya tertanggal dari tubuh lantas mengheret tali perunya berjurai-jurai.  Memang dia tidak tahu apa-apa lagi ketika itu kecuali dibawa terbang melayang oleh lembaga perempuan hodoh dengan kulit mengelambir berdedut-kedut.
Sebaik sahaja tercium banyir darah perempuan bersalin, lembaga perempuan hodoh itu tidak bertangguh menjunam turun.  Lembaga perempuan hodoh itu tidak bertangguh menjilat darah yang masih mengalir pekat bersama tembuni sampaikan dia sendiri merasa loya tidak bertahan.  Tidak bertangguh lembaga perempuan hodoh itu akan memarahinya kalau terjeluih muntah akibat loya tekak dengan bau hanyir darah tersebut.
Setelah puas menjilat darah berkenaan dia akan diterbangkan semua ke udara oleh lembaga perempuan hodoh itu.  Kemudian dibenamkan tali perutnya ke dalam tempayan yang disediakan di penjuru dapur.  Setelah tali perutnya kecut, lembaga perempuan hodoh itu akan masukkan semula ke dalam tubuhnya dengan kepala berpusing ke belakang.
Perlahan-lahan kepalanya berpusing hingga kedudukannya pulih semula dengan muka di sebelah hadapan.  Ketika ini barulah dia terbangun bagaikan terpisat-pisat terkejut dari tidur.  Dia akan merasa seluruh badannya sakit-sakit dengan lehernya ngilu seolah-olah dikelar mata parang.  Masakan dia boleh melepaskan diri setelah amalkan ilmu syaitan penanggal itu kecuali ada sesiapa yang sanggup menyimpan tempayan cuka peninggalan gurunya.
Memang tahu sangat nenek saya mengenai sesiapa sahaja yang amalkan ilmu syaitan penanggal itu.  Sebab itu dia tahu mengenai pantang larang amalan itu yang tidak akan berani menyentuh duri mengkuang.  Bila-bila pun mereka yang amalkannya akan mengelak supaya tidak bersentuhan dengan duri mengkuang yang akan memusahkan dirinya.
Apa lagi lembaga perempuan hodoh itu akan meraung kesakitan sekiranya duri mengkuang tercangkuk di tekaknya tatkala menjilat darah melalui celah lantai.  Sebab tiu apabila disangkutkan duri mengkuang di bawah lantai tempat Alang Maherah terkejang tentu lembaga perempuan hodoh itu akan jauh-jauh membawa diri.
“Kalau macam ni, tak tahu saya kak bidan,’ ujar Dukun Samid sebaik sahaja jejak kaki menjengah Alang Maherah.  Setelah diberi tahu mengenai kejadian yang menimpa Alang Maherah memang Dukun Samid mengaku tidak sanggup membantu.
“Habis, apa kita nak buat sekarang ni?”  desak nenek saya semakin rusuh dengan keadaan Alang Maherah terkejang dihadap oleh jiran-jiran.
“Cubalah, Kak Bidan ikhtiar,”  sahut Dukun Samid terkebil-kebil mata memandang nenek saya.
Nenek saya menjadi serba salah apabila Dukun Samid meminta dia ikhtiarkan, sekali pun dia sudah menyerahkan kepada keputusan Dukun Samid. Tetapi Dukun Samid bersedia membantu kerana perkara yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar terpaksa dilakukan dengan penuh kesabaran.
Bukan mudah mahu mencari punca kenapa anak dalam kandungan Alang Maherah tiba-tiba hilang.  Kalau keguguran pun tentu mereka boleh melihat mayat bayi dilahirkan.  Mereka terpaksa kebumikan juga dengan sempurna kalau bayi berkenaan sudah cukup sifatnya.
Dalam masa nenek saya dan Dukun Samid mula membakar kemenyan.  Pak Tua Mahat terjongol muka.  Sebaik sahaja dia diberi tahu mengenai adik iparnya Alang Maherah tengah mengandung hilang bayinya, terus sahaja Pak Tua Mahat bergegas datang.
“Mak dengan Dukun Samid, buatlah cara mana pun,” ujar Pak Tua Mahat tidak mahu mengganggu nenek saya dan Dukun Samid tengah membakar kemenyan.  Pak Tua Mahat terus sahaja mengambil wuduk lantas tunaikan solat sunat dua rakaat.
Selesai sahaja Pak Tua Mahat solat sunat dia memerhatikan Tok Syeikh berjubah kuning sudah tercegat di belakang nenek saya.  Mengeleng-geleng kepala Tok Syeikh apabila Alang Maherah mengaku di depannya membawa nasi kunyit ke kubur Tok Sepada berkaul meminta cepat mengandung.  Kecewa benar dia setelah bertahun-tahun berkahwin dengan Malim Sukat masih juga tidak mempunyai anak.
Memang sudah berkali-kali Pak Tua Mahat melarang orang-orang kampung supaya tidak berkaul di kubur Tok Sepada itu.  Apa sangat diharapkan pada kubur lama di kawasan tanah perkuburan di kampung itu selain daripada batu nesannya dikatakan hidup tumbuh sampai setinggi berdiri.
Tetapi Alang Maherah tidak peduli juga.  Disebabkan kehampaannya tidak mempunyai anak setelah bertahun-tahun berkahwin.  Lantas sahaja dia menjunjung nasi kunyit sepantar.  Dukun Samid sendiri yang sediakan kemenyan supaya dibakar sewaktu menghantar sepantar nasi kunyit di atas kubur berkenaan.
“Hah, awak buat apa Dukun Samid!”  gerutu Tok Syeikh berjubah kuning marah apabila menatap muka Dukun Samid.
“Kawan hanya sediakan kelengkapan ubat aje,”  beri tahu Dukun Samid serba salah kerana tidak dapat menyembunyikan rahsia bagaimana Alang Maherah berkaul di kubur Tok Sepada.
“Sepatutnya awak yang bertanggung jawab,”  lantas Tok Syeikh mengejeknya disebabkan Dukun Samid menyerahkan ikhtiar itu kepada nenek saya.  “Macam mana awak buat kerja tak selesai ni?”  tegasnya semacam mendesak Dukun Samid sendiri mesti pulihkan keadaan Alang Maherah.
“Kawan dah mati akal,” sahut Dukun Samid ikhlas kerana dia sudah tidak dapat melakukan apa-apa lagi.
Tentu Alang Maherah sudah melanggar pantang larang yang ditetapkan setelah dia mengandung apabila berkaul di kubur Tok Sepada.  Dukun Samid dapat mengagak kalau berkaul dengan mengantar nasi kunyit sepantar tentu diingatkan pantang larangnya.  Bukan mudah kalau harapkan berkaul di kubur Tok Sepada meminta pertolongan!.
Dalam masa Tok Sheikh berjubah kuning masih bertelagah dengan Dukun Samid, tidak bertangguh Pak Tua Mahat menyerbu ke tengah asap hitam yang berpusar di sekelilingnya.  Sebaik sahaja dia melepasi pusaran asap hitam itu, Pak Tua Mahat tercegat berdiri ditengah halaman rumah tersergam dikelilingi bunga-bungaan.
Apabila dia masuk ke kawasan taman bunga yang banyak kuntum-kuntum berkembang, dia melihat seorang perempuan muda di atas buaian memangku bayi kecil.  Tersenyum perempuan muda itu apabila melihat Pak Tua Mahat tercegat di depannya.
“Janganlah marah, Tok Pawang,” tutur perempuan muda memujuk setelah melihat Pak Tua Mahat terlalu marah.
Pak Tua Mahat tidak menyahut.  Dia merenung tepat ke mata perempuan muda itu hingga terpancar asap memutih di celah pelupuk mata itu.  Lantas Pak Tua mahat membacakan doa:
Wa-in yamsaskallahhu bidhurin fala kasyifa lahu illahuwa, wa-in yuridka bikhairin fala radda lifadhlihi, yusibubihi man yasya-u min ‘ibadihi, wahuwal ghafurur rohim.
Apabila Pak Tua Mahat menepuk kedua belah tangannya tiba-tiba sahaja tali buaian terputus hingga perempuan muda itu jatuh terhenyak.  Bayi di tangannya juga jatuh bergolek ke tanah dengan tangisnya yang menyayukan.  Tetapi lama kelamaan tangisan bayi itu tenggelam bersama tiupan angin.
Kemudian Pak Tua Mahat melihat bayi yang jatuh tergolek itu diselaputi lumut hingga bertukar menjadi batu nesan yang keras.  Beberapa kali Pak Tua Mahat beristighfar menahan rasa sebak dengan kejadian yang dilihatnya.  Betapa malangnya nasib bayi kecil itu akibat gangguan syaitan yang mencari kesempatan disebabkan kebodohan Alang Maherah yang mengharapkan pertolongan daripadanya.
“Kenapa kamu perdayakan Maherah?”  Pak Tua Mahat menghentakkan tumit ke tanah lantas mengisarnya tiga kali.  Terbatuk-batuk perempuan muda itu seolah-olah dadanya dihentak oleh Pak Tua Mahat dengan tumit.
“Maherah minta nak mengandung, bukannya nakkan anak,” sengaja perempuan itu berdalih.
“Memang kamu memalukan bunian!” tersengih-sengih Pak Tua Mahat mengejeknya biar perempuan muda itu tersinggung.  “Bunian selalunya baik-baik, bukan macam syaitan yang dilaknat,”  ujarnya menyebabkan perempuan muda itu tertunduk malu dihina demikian.
“Tok Sheikh dah tak sukakan aku,”  sahut perempuan muda itu mengaku dirinya memang dari golongan bunian.  Apabila dia menyebut Tok Syeikh berjubah kuning, Pak Tua Mahat dapat mengagak tentu bunian yang mahu memperdayakan Alang Maherah.
Kemudian Pak Tua Mahat membacakan Ayatul Kursi 17 kali dan dihembuskan kearah perempuan muda itu.  Tiba-tiba sahaja api menyambar kearahnya hingga perempuan muda itu terkial-kial mahu melarikan diri.  Apabila perempuan muda itu terkurung di sekeliling tembok akibat api menyambar pantas Pak Tua Mahat terus membacakan tiga kali:
Huwallahhul kholiqul bari-ul musauwiru lahul asma-ul husna, yusabbihu lahu mafis-samawati wal-ardhi wahuwal ‘azizul hakim.
Tidak bertangguh perempuan muda itu menekup telinganya akibat bunyi guruh yang menggegar di udara.  Tersengguk-sengguk dia menangis kerana tidak bertahan dengan ancaman guruh yang menggegar itu.  Kulit tubuhnya juga melecur disambar api setiap kali guruh bergema di udara.
“Minta ampun Pak Tua Mahat,”  gerutunya terketar-ketar menahan kesakitan akibat melecur seluruh badan.
Dalam suara terketar-ketar juga dia memberi tahu Pak Tua Mahat mengenai Alang Maherah meminta bantuan Dukun Samid.  Malim Sukat berharap sangat mahukan isterinya mengandung setelah bertahun-tahun mereka berkahwin.  Sebab itu Dukun Samid berikan petua supaya hantarkan sepantar nasi kunyit ke kubur lama Tok Sepada.
Di situlah berkaul supaya jelmaan Tok Sepada boleh membantu.  Tentu Tok Sepada akan berikan petua yang mesti di patuhi oleh Malim Sukat dan Alang Maherah biar cepat boleh mengandung.  Setelah berkaul di kubur Tok Sepada itulah Malim Sukat bermimpi menemui perempuan muda yang mengajaknya berkahwin kalau inginkan anak.
Tidak pernah pula Malim Sukat beri tahu Dukun Samid mengenai mimpinya itu.  Masakan mimpi boleh mengganggu keluarganya.  Sebab itu dia tidak beri tahu apa-apa pada Dukun Samid.  Biarlah mimpi dia berkahwin dengan perempuan muda itu menjadi rahsia dirinya sendiri sahaja.
Apalah gunanya dia beri tahu mengenai perkahwinan dengan perempuan muda di dalam mimpi.  Tentu Puteri Bayu yang ditemuinya di dalam mimpi itu tidak sama dengan Alang Maherah.  Dia dilayani oleh Puteri Bayu bagaikan raja yang berkuasa di mana-mana.  Apa sahaja kemahuannya dituruti oleh Puteri Bayu.
Memang jelmaan Puteri Bayu itu melihat dia bersama Alang Maherah menghantar sepantar nasi kunyit ke kubur Tok Sepada.  Tentu Tok Sepada tidak akan menjelma kerana sudah lama tok pawang itu meninggal dunia.  Kalau pun Tok Sepada dikenali sebagai tok pawang terkenal hanya semasa hayatnya sahaja.  Setelah Tok Sepada meninggal dunia kebolehannya sebagai tok pawang juga sudah berakhir sebaik sahaja tubuhnya dimasukkan ke liang lahad.
Sebab itu Puteri Bayu sengaja menawarkan diri kepada Malim Sukat.  Sebaik sahaja dia mengajak berkahwin memang Malim Sukat tidak membantah apa-apa.  Biarlah Puteri bayu membawa dia kemana sahaja asal sahaja dia dilayani tiada batasan.
Di sebabkan Malim Sukat tidak memberi tahu apa-apa kepadanya mengenai mimpi yang dialaminya.  Dukun Samid pun tidak bertanya apa-apa.  Dia mengagak tentulah Malim Sukat berpuas hati setelah menghantar sepantar nasi kunyit berkaul di kubur lama Tok Sepada.
Apa lagi tidak selepas berkaul di kubur Tok Sepada, memang Alang Maherah mengandung. Setelah kandungannya membesar Alang Maherah juga tidak bertanya kepada Dukun Samid apa perlu dibuat selanjutnya.  Sebab itu Dukun Samid tidak berani mahu campur tangan mahu tunjukkan petua-petua yang perlu diamalkan.
“Maherah hanya mengandungkan anak aku!” jelas perempuan muda itu mendayu-dayu menatap muka Pak Tua Mahat.  “Sebab itu aku mesti ambil balik,”  dia menggertap bibir kerana kecewa setelah diserbu oleh Pak Tua Mahat di situ.
“Kamu bunian yang tak bermalu” ejek Pak Tua Mahat selanjutnya mahu menyakiti hati perempuan muda itu.  Nanti aku tunjukkan wajah kau yang sebenar pada Malim Sukat,”  ujarnya memberi amaran supaya jangan mengganggu keluarga Alang Maherah.
Semakin gelisah perempuan muda itu apabila rahsia wajahnya yang sebenar sudah diketahui oleh Pak Tua Mahat.  Masakan dia boleh bersembunyi daripada Pak Tua Mahat mengenai kepalanya yang bertanduk macam binatang ternak, tidak berhidung serta tengkuknya yang berlubang macam tunggul tengah belukar.
Tentu Malim Sukat akan ketakutan sekiranya melihat wajah perempuan muda itu demikian.  Belum pun sempat perempuan itu merayu kepada Pak Tua Mahat, lantas sahaja dibacakan al-Fatihah tiga kali dan Ayatul Kursi 11 kali terus di hembuskan kearah perempuan muda yang terkaku bagaikan di pukau.
Serta merta sahaja wajah perempuan muda itu bertukar menjadi hodoh dengan rambut mengerbang, hidung ternganga dan dua tanduk bercangap laksana kambing jantan.  Dia menjadi bertambah malu di sebabkan wajah sebenarnya sudah tidak dapat disembunyikan lagi.
Apabila Pak Tua Mahat bangun dari tempat dia solat, terus sahaja Dukun Samid berjabat tangan dengannya.  Dukun Samid mengakui fasal Alang Maherah dan Malim Sukat menemuinya minta petua supaya mereka suami isteri cepat mengandung.  Memang Dukun Samid tidak tahu bagaimana gangguan bunian itu boleh menyebabkan nasib malang demikian menimpa Malim Sukat suami isteri.
Sebab itu Melah Gedek tidak peduli sangat mengenai dirinya tidak mempunyai anak setelah beberapa tahun berkahwin dengan Mat Sunoh.  Kalau suaminya berkeras sangat mahukan anak biarlah mereka mengambil anak angkat sahaja.  Tentu saudara mara mereka sanggup serahkan anak yang baru lahir sekirannya dia menujuk dengan baik.
Bimbang benar Melah Gedek apabila kenangkan kejadian yang menimpa Alang Maherah bertahun-tahun dulu.  Tidak perlu dia berkaul di kubur lama Tok Sepada semata-mata mahukan cepat mengandung.  Perkara mendapat anak atau tidak memang urusan Allah Subhanahu Wataala, kenapa pula dia mersti berkaul pada kubur lama yang hanya tersergam batu nesan sahaja?.
“Hei, anak kita kena hujan, kenapa biarkan?”  terkejut Melah Gedek apabila suaminya terjerit-jerit di tengah rumah.  Tidak bertangguh dia menjengah mahu memastikan kenapa Mat Sunoh menjerit-jerit menyebut mengenai anak.  Bagaimana pula anaknya terkena hujan sedangkan mereka berdua belum pun di kurniakan seorang anak.
“Hah, dah siang pun mengigau lagi!” gerutu Melah Gedek terus menampar-nampar bahu suaminya biar cepat bangun.
“Kenapa biarkan anak kita main hujan?” keras suara Mat Sunoh membentak masih lagik menarik selimut kukuh-kukuh.
“Anak kita yang mana pula ni?” tersengih-sengih Melah Gedek disebabkan Mat Sunoh merapik tidak menentu.
“Di tengah halaman tu, jangan biarkan dia main hujan!”  marah benar Mat Sunoh apabila isterinya tidak pedulikan dia.
“Awak aje bangun, suruh anak awak naik,”  Melah Gedek tersenyum merenung suaminya mengigau tidak hiraukan dia di sisinya.
Puas ditampar-tampar bahunya oleh Melah Gedek, perlahan-lahan Mat Sunoh membuka mata.  Dia mengusap-usap muka dalam keadaan terpisat-pisat.  Hairan benar dia disebabkan Melah Gedek mentertawakan setelah mengejutkan dia dari tidur.
Cepat-cepat Mat Sunoh berkejar ke tingkap memerhati hujan yang masih turun di luar.  Dia merenung ke tengah halaman lantas menggeleng-geleng lemah.  Apabila tertentang mata dengan isterinya Mat Senoh masih terpinga-pinga disebabkan Melah Gedek terkekeh-kekeh ketawa.
“Kenapa awak ketawakan saya?”  tersinggung juga Mat Senoh disebabkan isterinya perolok-olokkan dirinya.
“Awak tu mengigau sampai mengaku dah ada anak,”  beritahu Melah Gedek tidak dapat menahan rasa geli hatinya dengan igauan Mat Sunoh.
“Hah, aku mimpi…”  keluhnya terharu apabila kenangkan mimpinya dia sudah mempunyai anak tengah galak berlari.
Gembira benar dia bermain dengan anak kecil tengah galak berlari itu.  Tetapi Melah Gedek sengaja membawa anak kecil itu bermain di tengah halaman hinggakan hujan turun lebat pun tidak dipedulikan langsung.  Isterinya  asyik bermain di tengah hujan bersama anak kecilnya.  Beberapa kali dipanggil oleh Mat Sunoh tidak juga dihiraukan Melah Gedek sampai anak kecil itu tercungap-cungap kesejukan.
Lantas sahaja Mat Sunoh mahu melompat ke tengah halaman menyambar anak kecilnya.  Dia akan jerkah Melah Gedek kerana biarkan anak kecilnya kesejukan ditengah hujan mencurah-curah.  Tetapi kaki Mat Sunoh tekaku tidak boleh di gerakkan langsung.  Terkial-kial dia mahu melompat turun dalam keadaan terlalu payah.
“Sebab tu, lepas subuh jangan tidur lagi,”  Melah Gedek mengusik dengan tersengih-sengih.
Hampir jam 10.00 pagi baru hujan mulai reda.  Mat Sunoh hanya tersandar di jenang pintu duduk berjuntai kaki di kepala tangga.  Kalau sudah hujan pagi memang buntu fikiran mahu tuju ke mana.  Mahu ke kebun pisang tanah masih lekit dan becak akibat hujan turun mencurah.  Hanya ke sungai sahaja yang boleh lakukan menggalas joran kail.  Sekiranya air sebak ikan juga tidak akan menyambar kail disebabkan tengah kenyang.
Sengaja Mat Sunoh terconggok di depan pintu memerhati ayam mengekas di hujung halaman.  Itik juga berdepap-depap menyudu di bawah rumput becak dilinati lumpur.  Apabila hujan teduh burung-burung juga berkicau riang di hujung dahan.  Asyik sangat Mat Sunoh memerhati burung-burung berlompatan di hujung dahan jambu sampai tidak turun lagi ke telaga untuk mandi.
“Tak ada anak awak di halaman tu, pergilah mandi,”  semakin galak Melah Gedek mengusik suaminya yang leka duduk di kepala tangga.  Lainlah dalam mimpi semuanya terlintas di kepala menjelma di depan mata.  Apa lagi Mat Sunoh asyik sangat mahu menimang anak tentulah terbawa-bawa dalam mimpinya yang serba indah.
Sebab itu sudah santak pagi pun Mat Sunoh bermimpi mengenai anak kecil bermain di tengah halaman.  Kalaulah dia tidak asyik mahukan anak masakan boleh bermimpi demikian.  Sudah berkali-kali juga Mat Sunoh merungut disebabkan tidak mendapat anak setelah bertahun-tahun berkahwin.  Tetapi apabila didesak oleh Melah Gedek supaya mengambil anak kakanya dijadikan anak angkat berkeras sangat Mat Sunoh tidak mahu.
Malu sangat dia mahu mengambil anak angkat seolah-olah dirinya benar-bernar mandul.  Bila-bila Mat Sunoh sanggup berkahwin lain kalau mahu buktikan dirinya bukan mandul hingga tidak mempunyai seorang anak pun.  Biarlah Melah Gedek berkeras membantah, dia tetap akan berkahwin lain sekirannya perempuan itu mandul tidak boleh mengandung.. 
“Aku mahu kahwin lagi,”  ujar Mat Sunoh perlahan menyebabkan Melah Gedek tersentak. “Aku mesti buktikan aku tak mandul,” tegasnya macam mencabar perempuan itu.
“Apa awak cakap?” gerutu Melah Gedek marah dengan keputusan Mat Sunoh tiba-tiba mendadak sahaja.
Terpinga-pinga Mat Sunoh apabila bahunyua ditampar kuat oleh Melah Gedek.  Dia sendiri tidak menyedari apa yang di tuturkannya menyebabkan isterinya marah tidak bertahan.
“Kalau awak nak kahwin biar aku balik ke rumah mak ayah aku!”  Melah Gedek terus memberikan kata putus.
Belum pun sempat Mat Sunoh menyahut, dia sudah masuk ke dalam.  Tergocoh-gocoh Melah Gedek kemaskan pakaiannya dimasukkan ke dalam gendong kain.  Dia sudah mendengar sendiri keputusan Mat Sunoh mahu berkahwin lain disebabkan tidak mempunyai anak semenjak bertahun-tahun berkahwin.
Tidak berguna lagi dia bertahan di situ sekiranya Mat Sunoh sudah berdetak hati menyalahkan dirinya.  Apalah ertinya dia menjadi isteri setelah Mat Sunoh tidak menghargai dirinya lagi hingga tergamak menyatakan mahu berkahwin lain.
Ketika Melah Gedek turun meninggalkan rumah, memang Mat Sunoh tidak memujuk apa-apa.  Dia seolah-olah merelakan isterinya meninggalkan dia berseorangan di situ.  Memang terkejut besar Uda Seman apabila diberi tahu oleh Melah Gedek puncanya meninggalkan Mat Sunoh.  Kalau takat Mat Sunoh menuturkan mahu berkahwin kenapa pula anaknya Melah Gedek cepat sangat berasa hati?
Puas dipujuk pun Melah Gedek tetap dengan keputusannya tidak mahu balik semula ke rumah Mat Sunoh.  Dia sudah nekad mahu tinggalkan suaminya setelah hatinya tersinggung dengan keputusan Mat Sunoh.  Tidak patut lelaki itu menuduh dia mandul disebabkan sudah bertahun-tahun kahwin tetapi masih juga tidak mempunyai anak.
“Boleh jadi Sunoh tu cakap main-main,”  Uda Seman memujuk anaknya supaya tidak membuat keputusan terburu-buru.
“Dengan siapa Sunoh nak kahwin?” lantas emaknya Uda Demah pula mencelah. Tidak di duganya langsung menantunya sudah berkira mahu berkahwin lain kalau banding sikapnya yang lemah lembut tutur bahasa.
“Ah, biarkan dia nak kahwin, dia tuduh saya ni mandul” jelas Melah Gedek meluahkan rasa terkilan yang menusuk-nusuk di dalam hatinya.
“Jangan ikutkan hati marah, Melah,” ujar Uda Seman ingatkan anaknya supaya banyak bersabar dalamj menghadapi keadaan demikian.
Desebabkan Melah Gedek berkeras tidak mahu lagi balik ke rumah, terpaksa Uda Seman menemui Mat Sunoh.  Biarlah dia mendesak Mat Sunoh memujuk Melah Gedek.  Manalah tahu hati Melah Gedek akan surut semula sekiranya Mat Sunoh sendiri datang mengajaknya balik ke rumah.
Sebaik sahaja Uda Seman jejak kaki di tengah halaman dia melihat rumah Mat Sunoh bertutup rapat.  Apabila dia merapat ke kaki tangga Uda Seman mendengar suara berbisik-bisik lelaki dan perempuan.  Berdebar hatinya disebabkan Mat Sunoh tergamak melakukan perbuatan yang mengaibkan demikian.
Siapa pula perempuan yang naik ke rumah Mat Sunoh sebaik sahaja ditinggalkan oleh Melah Gedek.  Berkali-kali Uda Seman beristighfar dengan perbuatan menantunya yang menjolok mata itu.  Taktala dia menjengah di celah lubang dinding memang Uda Seman sekadar melihat Mat Sunoh sahaja terlentang di tempat tidur dengan tangan langgung ke kepala.  Tidak ada siapa pun di sisi Mat Sunoh ketika ini.
Tetapi Mat Sunoh masih bercakap tidak menentu bagaikan maraca seorang diri.  Sekali gus pula suara perempuan yang di layannya bercakap hilang sebaik sahaja Uda Seman menjengah di celah lubang dinding.  Apabila dia berundur ke tengah halaman Uda Seman dapat mendengar suara perempuan itu berbisik-bisik dengan Mat Sunoh.
Di sebabkan dia dapat mengagak Mat Sunoh bercakap seorang diri, lantas sahaja Uda Seman memberi tahu Pak Tua Mahat.  Nenek saya juga diberi tahu setelah Pak Tua Mahat mengesyaki tentu Mat Sunoh diganggu bunian.  Memang mereka di kampung itu akan menemui nenek saya kalau sesiapa digangglu bunian hingga meracau tidak menentu.
Memang kesal sangat Melah Gedek setelah menyedari suaminya bukan membuat keputusan mahu menyakiti hatinya.  Apabila dipujuk emaknya Uda Demah supaya menjengah Mat Sunoh, tidak bertangguh dia ikut sama.  Sewaktu jiran-jiran berkumpul di rumahnya Mat Sunoh sendiri berasa hairan kenapa mereka menuduh dia tidak siuman hingga meracau-racau seorang diri.
“Habis, kau bercakap dengan siapa?”  Uda Seman mendesaknya disebabkan Mat Sunoh mengakui dia masih siuman.
“Saya bercakap dengan Melah, dengan siapa pula lagi?” beri tahu Mat Sunoh mengerling isterinya Melah Gedek.
“Aku balik ke rumah ayah, awak jangan merapik,”  sahut Melah Gedek menjelaskan apabila kenangkan dia bertengkar dengan suaminya.
“Huh, pening kepala aku,” gerutu Mat Sunoh setelah diberi tahu demikian oleh Melah Gedek.  Seingat-ingat dia sebaik sahaja Melah Gedek berkemas mahu balik ke rumah ayahnya, tidak bertangguh Mat Sunoh memujuk.  Kemudian mereka sama-sama memasak nasi di dapur.  Selepas makan tengah hari mereka berbaring sama-sama dengan tidak turun ke mana-mana.
Siapa pula yang melayani dia kalau bukan isterinya sendiri Melah Gedek?  Sepanjang hari isterinya di samping dia, kenapa pula Melah Gedek mengaku sudah balik ke rumah ayahnya Uda Seman? Memang Mat Sunoh sendiri hairan apabila Melah Gedek juga menuduh dia tidak siuman hingga meracau tidak menentu.
Tetapi nenek saya tidak melayani sangat Mat Sunoh yang mula terkekeh-kekeh ketawa.  Dia tidak peduli Mat Sunoh menuduh jiran-jiran yang datang ke situ tidak siuman.  Lantas sahaja nenek saya minta sediakan tujuh kuntum bunga raya dan jantung pisang kelat.
Semasa nenek saya memotong jantung pisang kelat di belah empat, tiba-tiba sahaja Mat Sunoh terketar-ketar.  Mukanya berubah menjadi pucat dengan peluh memercik di seluruh badan.  Tujuh kuntum bunga raya yang belum kembang itu direndam ke dalam geluk berisi air.
“Kenapa kau menggeletar Sunoh?” sengaja Pak Tua Mahat mengusiknya disebabkan Mat Sunoh betul-betul ketakutan.
“Buat apa nenek buat macam tu?”  lantas sahaja Mat Sunoh menangis hiba memerhati jantung pisang kelat dibelah empat di dalam geluk air.
“Buat macam mana pula?” nenek sahya mengangkat muka memandang Mat Sunoh.
“Nenek nak bunuh Melah ke?” terketar-ketar Mat Sunoh menahan kesedihan yang menusuk-nusuk.  “Melah tu isteri saya, kenapa dipotong-potong badannya,”  dia mengeluh panjang dalam keadaan tidak bermaya.
“Melah isteri kamu di sana tu!”  sahut Pak Tua Mahat menuding kearah Melah Gedek yang tercengang kehairanan.
Memang mereka semua tahu keadaan Mat Sunoh bukan lagi dilamun mimpi.  Dia mengalami tekanan perasaan akibat terlalu memikirkan sangat mengenai anak.  Tetapi nenek saya menyedari Mat Sunoh bukan takat mengalami tekanan perasaan. Malah dia melihat Mat Sunoh sudah jauh dibawa bunian ke tengah hutan rimba.
Pak Tua Mahat sudah mengakui dia tidak berupaya membantu kalau Mat Sunoh diganggu bunian.  Lainlah kalau puaka hutan yang menjelma laksana lembaga tinggi dengan kepala santak keawan, bila-bila Pak Tua Mahat sanggup berikhtiar.
“Macam itulah ustaz keadaan Mat Sunoh,”  beri tahu Itam Lijah sewaktu saya menziarahi anaknya Mat Sunoh.  Memang Mat Sunoh tidak pedulikan saya sekali pun pernah berkawan semenjak kecil-kecil.  Dia tersengih-sengih sahaja apabila saya menegurnya.. 
 SELESAI.