Saturday, November 5, 2016

201. KATAK KELUAR DARI MULUT



KETABAHAN hati seorang suami keperti Siamid menghadapi kejadian ganjil yang menimpa isterinya itu memang dikagumi.  Dia dapat menerima hakikat sebenarnya sejak Bainah jatuh sakit batuk-batuk darah, hinggalah isterinya menutup mata meninggalkan alam fana ini.  Semasa Bainah terlantar sakit, Siamid berusaha mengubati dengan apa cara sekalipun.  Apabila kejadian yang berlaku ke atas Bainah selepas kematiannya dilihat sendiri dengan mata kepalanya.  Siamid tatap menerimanya dengan tenang.
Inilah keistimewaan Siamid yang terdidik dalam ilmu agama yang mengajarnya mengakui akan untung baik dan untung jahat itu datangnya dari Allah SWT.  Setelah dia bersama dua tiga orang keluarga Bainah membacakan Yassin di atas kuburnya berturut-turut tiga senja, tidak adalah lagi didengar bunyi suara tangisan mendayu-dayu di tengah malam itu.
Siamid juga tidaklah lagi tinggal di kampung isterinya, tetapi berpindah menetap di kampung asalnya.  Dia mendirikan rumah di tanah emaknya apabila berkahwin lain setahun kemudiannya.  Apabila ditanyakan mengenai kisah yang dilalui oleh Bainah, dia enggan mengenang kembali kisah pahit yang menjadi awan mendung dalam hidupnya itu.
Dua bulan sebelum Bainah jatuh sakit batuk-batuk darah, memang Siamid sendiri yang terlantar sakit.  Tiba-tiba saja dia merasa dadanya panas membakar setelah terbangun dari tidurnya pada suatu tengah malam, disebabkan dia bermimpi tertelan bara.  Memang tidak diduganya mimpi tersebut membawa bencana pula. Siamid sendiri menganggap mimpi itu hanya sekadar ingau tidur saja.
Tetapi dia tidak dapat mengelak dari kenyataan yang dihadapinya.  Dia tiba-tiba tersintak apabila bermimpi menelan bara lantas terbangun dari tidurnya.  Dia merasa dadanya hangat hingga dia menggelupur meminta tolong.  Bainah semacam merasakan suaminya hanya bermimpi hingga mengigau, walaupun Siamid menggelupur di tempat tidur.
“Bara, bara…”  jerit Siamid menghempas-hempas badan ke kiri dan ke kanan.
“Awak ni gila, bara apa pula ni!”  gerutu Bainah keras sambil menuduh suaminya mengada-ngada.
Tetapi Siamid terkapai-kapai tangannya menahan kesakitan di dada.  Emaknya Itam Senah yang datang berkunjung ke rumahnya, segera mendapatkan Siamid yang semakin tidak berdaya menahan kesakitan.
“Panggilkan Musid…”  Itam Senah menyuruh menantunya segera memberitahu jiran-jiran supaya mereka boleh sama-sama berikhtiar.
“Buat apa menyusahkan orang.  Siamid ni sengaja nak mengada-ngada,”  ujar Bainah mendengus,
“Siamid ni sakit, Bainah!”  Itam Senah tersinggung dengan sikap menantunya itu.  Dia memang menyedari selama ini Siamid terlalu bersabar menghadapi sikap Bainah yang sering langgar bahasa dengan suami.  Tetapi tidak sepatutnya di depan dia pun Bainah berani bersikap demikian terhadap Siamid.
Bagaimanapun Itam Senah tidaklah boleh sangat mencampuri masalah rumahtangga Siamid.  Dia sendiri pernah mendengar Jumin memberi tahunya mengenai Bainah yang bersikap keterlaluan hingga berani mencampakkan kain baju Siamid ke tengah halaman, dan menghalaunya.
Namun Siamid tetap bersabar.  Dia tidak mahu menuruti kemarahan Bainah.   Apalagi mereka sudah mempunyai dua orang anak.  Sikap berlembut Siamid itu tidak pernah dihiraukan oleh Bainah.  Sekiranya dia marah, dia akan melakukan apa saja kepada Siamid menurut kemahuannya.
Dalam masa Siamid sakit berhempas pulas pun. Bainah masih bersikap menyepi saja.  Inilah yang membuatkan Itam Senah merasa amat tersinggung terhadap menantunya itu,
Disebabkan Bainah tidak mahu memanggil Pak Musid, terpaksalah Itam Senah sendiri bersuluhkan pelita ayan memanggil Pak Musid yang menjadi jiran terdekat Siamid.  Malam itu juga keluarga Pak Musid datang menziarah Siamid yang menggelupur di tempat tidur mengerang-ngerang kesakitan,
“Bara api, bara…” rintih Siamid terketar-ketar.
“Mana ada bara, jangan merepek!”  jerkah Bainah tidak menghiraukan di depannya ada keluarga Pak Musid dan emak mertuanya sendiri.
Menggeleng kepada Utih Leha dengan sikap Bainah itu, tetapi dia tidak berani mencampuri urusan rumahtangga orang.  Sekalipun Bainah memang mempunyai hubungan bau-bau bacang dengannya, tetapi jarang dia mengambil tahu sangat mengenai rumah-tangga Bainah.
Sikap Bainah yang keras itu mungkin atas kesilapan Siamid sendiri yang terlalu memberi muka sangat kepada isterinya.  Dia tidak akan menegur Bainah, walaupun isterinya bersikap langgar bahasa pada dirinya.  Memang Utih Leha sendiri merasakan kesabaran Siamid itu sudah melampaui batas sangat.
Mahu ditegur bimbang pula dia kalau-kalau Siamid tersalah anggapan lantas menuduhnya sengaja mahu menjaga tepi kain orang.  Tidak ditegur dia tidak tergamak melihat sikap Bainah yang berlebihan terhadap suaminya itu.  Beberapa kali anaknya Jumin terserempak Bainah memukulkan penyapu ke belakang Siamid, namun Siamid hanya mengelak saja sambil merayu supaya Bainah bersabar.
“Kau sukakah laki kau ni mati, Bainah?”  soal Pak Musid merasa kesal dengan sikap Bainah.
“Hidup mati urusan Allah Taala, Pak Utih,”  sahut Bainah memuncungkan hibir.  “Kalau dah sampai ajal Siamid, apa kita nak buat,”  katanya seolah-olah merasa tersinggung dengan soalan Pak Musid.
“Kalau kau kenal Allah Taala, tak macam ni kau lakukan pada Siamid…”  Pak Muasid menunjukkan sikap meluatnya kepada Bainah.
“Aku buat dia macam mana pula!”  Bainah mendengus.
“Adakah patut laki terlantar sakit, kau kata dia mengada-ngada?”  suara Pak Musid mula keras.  Dia sudah tidak peduli lagi sama ada perbuatannya mencampuri urusan rumahtangga orang atau pun tidak.  Tetapi dia hanya menyatakan rasa bencinya terhadap sikap perempuan itu.
Bainah terdiam apabila melihat Pak Musid menunjukkan sikap marahnya.  Bimbang juga dia kalau-kalau orang tua itu naik angin sekiranya dilawan cakapnya.  Dia menyedari Pak Musid bukanlah sekadar jiran terdekat saja, tetapi pangkat bapa saudara juga kepadanya sekalipun dikira bau-bau bacang saja.
“Kau panggil Dukun Lawi, Jumin,”  perintah Pak Musid memerhati anak mudanya.
Serba salah juga Jumin mahu ke rumah Dukun Lawi tengah malam demikian.  Dia tidak boleh melayani ketakutannya dalam saat demikian, kerana pertolongannya amat diperlukan untuk membantu Siamid.  Setidak-tidaknya Siamid selama ini menjadi kawannya mencari rotan dan damar ke hutan.
“Pak Lawi dah dua hari ke rumah anaknya di Segamat,”  baru Jumin teringat mengenai pemergian Dukun Lawi ke rumah anaknya di Segamat.
“Boleh jadi dah balik, pergilah tengok dulu,”  desak Pak Musid cemas dengan keadaan Siamid yang menghempas-hempas badan menahan kesakitan.
“Kalau kau takut, mari Mak Itam temankan,”  segera Itam Senah bangun mengajak Jumin segera ke rumah Dukun Lawi.  Dia juga tidak tergamak membiarkan anaknya mengerang-ngerang kesakitan.  Biarlah menantunya tidak ambil peduli, tetapi dia sebagai emaknya tidak boleh berdiam diri saja membiarkan Siamid mengerang-ngerang.
“Pak Lawi, tak ada…”  beritahu Jumin lagi.  “Petang tadi aku ke rumahnya jumpa anaknya Deris, fasal dia nak minta aku buatkan tengkalak.  Deris yang cakap Pak Lawi ke rumah kakaknya di Segamat,”  dia menjelaskan perkara yang sebenarnya.
Memang dia selalu juga ke rumah Dukun Lawi kerana dia berkawan dengan Deris.  Sebab itulah dia tahu benar memang Dukun Lawi tidak balik lagi dari Segamat.  Kalau balik pun mungkin esoknya seperti yang diberitahu oleh Deris.
Keadaan Siamid semakin pasang.  Mereka tidak boleh membiarkan saja Siamid dalam keadaan demikian.  Sekiranya tidak ada ikhtiar dilakukan, mungkin berlaku sesuatu yang tidak di ingini kepadanya.
“Jemput Bilal Hud saja di seberang…”  Utih Leha mengesyurkan.
“Hiss, jauh sangat,”  rungut Pak Musid semacam kecewa mendenga Dukun Lawi tidak ada.
“Maghrib tadi, aku nampak Ustaz Mat Deh ada sama di surau,”  beritahu Jumin yang sama-sama ke surau bersama Siamid pada senjanya.  “Agaknya, tentu dia bermalam rumah Tok Imam Lah,”  kata Jumin seolah-olah memberi harapan.
Dia percya Ustaz Mat Deh sepupu saya itu jarang balik ke Kampung Seberang, kalau dia datang menemui Tok Imam Lah.  Setidak-tidaknya mereka berdua akan berbual soal-soal agama sampai ke pagi.  Ustaz Mat Deh sanggup bermalam di rumah Tok Imam Lah kalau berbual mengenai agama.  Kadangkala Siamid yang menjadi kawan baiknya itu juga ikut sama berbual sampai ke dinihari.
Apabila dia balik jauh-jauh malam sudah tentulah Bainah meleterinya dengan kata-kata yang kesat.  Namun Siamid tetap sabar dengan sikap isterinya yang terlalu mengikutkan perasaan itu.
“Buat apa dengan Ustaz Mat Deh, kita bukan nak belajar agama.  Nak ubatkan Siamid ni sakit…”  gerutu Pak Musid seolah-olah memarahi anaknya kerana mahu memperolok-olokkan dia.
“Aku selalu dengar Abang Siamid bertanya-tanya pada ustaz tu fasal mengubati penyakit.”  Jumin menyakinkan ayahnya.
Tetapi Pak Musid hanya mencebikkan bibir.  Dia percaya guru agama seperti Ustaz Mat Deh bukannya seorang bomoh. Kalaulah Ustaz Mat Deh yang mengajar agama boleh menjadi bomoh, tentulah Tok Imam Lah juga sanggup mengubati orang sakit.  Sepanjang ingatannya tidak pernah pula Tok Imam Lah mengubati orang sakit.
“Keluarkan bara api dari dada aku ni…”  suara Siamid bergetar mengharapkan bantuan segera.
Siapa pun tidak menyahut.  Bainah hanya tertimpuh duduk memerhatikan suaminya menghempas-hempaskan badan.  Hanya Utih Leha saja memicit-micitkan tengkuk Siamid dengan harapan sakitnya lega sedikit.
“Mari Jumin,”  Itam Senah menggamit Jumin yang masih duduk bersandar ke dinding.  “Kita jemput Ustaz Mat Deh ke, kita jemput Deris ke, kita jemput siapa saja laaa…”  ujarnya tidak sabar lagi melihat keadaan anaknya.
Jumin mengangguk lantas bangun menuju ke serambi,  Dia turun ke halaman bersama Itam Senah di tengah malam yang semakin dingin.
Memang menjadi kebiasaan pula pada sepupu saya Mat Deh, bila balik ke kampung suka benar dia menemui tok Imam Lah di Kampung Hulu.  Kadangkala dia sanggup bermalam di rumah orang tua itu kerana seronok berbual-bual sampai ke dinihari.  Pernah juga dia mengajak saya ke Kampung Hulu kerumah Tok Imam Lah ini, tetapi saya rasa cuti singkat balik ke kampung tidak seronok pula mahu bermalam di rumah yang lain dari ibu bapa sendiri.
Lainlah Mat Deh yang selalu balik ke kampung.  Kadangkala sampai seminggu sekali dia balik.  Tidak heranlah kalau sekali-sekala dia sanggup bermalam di rumah Tok Imam Lah.
Selepas isya disurau Mat Deh masih berbual-bual panjang lagi dengan beberapa orang yang masih belum balik ke rumah.  Jumin dan Siamid juga ikut sama-sama berbual dengan Mat Deh.  Hingga jam sepuluh barulah mereka semua balik ke rumah.
“Buat apa ustaz balik, tidur sini aje laaaa…”  desak Tok Imam Lah semasa turun dari surau untuk balik ke rumah.  “Dah lama ustaz tak tidur di sini,”  katanya berjalan beriringan dengan Mat Deh  meninggalkan surau.
“Siamid, marilah sama,”  Mat Deh berpaling pada Siamid.
“Tak apalah ustaz nanti Jumin ni nak bangun pagi-pagi esok,”  sahut Siamid menepuk-nepuk bahu Jumin yang tersengih-sengih.  Jumin tahu Siamid sengaja membuat dalih dengan meletakkan dirinya sebagai alasan, sedangkan masalahnya memang Jumin tahu.  Sudah tentu Bainah akan berleter panjang sekiranya Siamid bermalam di mana-mana.
Sehingga di situ sajalah mereka bersama pada malamnya.  Setelah Jumin dan Siamid balik ke rumah masing-masing, Mat Deh menerima pelawaan Tok Imam Lah.  Semalaman itu mereka masih berbual-bual di serambi rumah, walaupun isteri Tok Imam Lah, Ulung Mah sudah lama berdengkur tidur.
“Kalau nak kira banyak pengalaman sepupu saya lagi Tok Lah,”  ujar Mat Deh terkuap-kuap.  “Angah tu memang besar dengan Tok Aji, tapi saya tahu dia  tu kedekut sikit,”  katanya menyandangkan baju ke bahu kerana merasa panas.
“Ilmu Allah, buat apa nak kedekutkan…”  kata Tok Imam Lah perlahan.
“Tapi, Angah tu memang susah.  Tak mahu dia mengaku kalau bukan-bukan orangnya,”  jelas Mat Deh yang selama ini mengesyakki saya banyak menerima tunjuk ajar dari Tok Aji.  Selalu juga dia bertanyakan kepada saya sesuatu, tetapi dia tidak percaya sekiranya saya mengakui bahawa sememangnya saya tidak tahu apa-apa tentang perkara yang ditanyakannya.
Dalam masa mereka berdua berbual-bual inilah, Itam Senah dan Jumin datang memanggilnya.  Terkejut juga mereka apabila diberitahu Siamid tiba-tiba sakit sewaktu sedang tidur, pada hal sehingga selepas isya mereka sama-sama berbual di surau.
Dengan tidak bertangguh mereka terus ke rumah Siamid.  Ulung Mah yang terjaga semasa Itam Senah memanggil dari tengah halaman, pun ikut sama mahu menziarahi Siamid.  Dia merasa tidak sedap hati pula kalau tidak menjengah setelah mendengar khabar mengenai jiran sekampung yang jatuh sakit.
Ketika mereka sampai, Pak Musid sedang membasahkan tuala serta di lapkan ke dada Siamid.  Walaupun dilembabkan dengan air dadanya, Siamid tetap juga mengerang-ngerang mengatakan dadanya terlalu panas disebabkan tertelan bara.
“Di mana kau dapat bara?”  soal Tok Imam Lah kehairanan melihat keadaan Siamid.
Pertanyaan itu tidak dijawab oleh Siamid.  Dia hanya mengempas-hempas badan menahan kesakitan yang di dakwanya tertelah bara.
“Ustaz, tolonglah buangkan bara di dada saya ni,,,”  suara Siamid terputus-putus macam tersekat di kerengkung
Mat Deh mengangguk-ngangguk saja.  Matanya merenung tepat ke tubuh Siamid yang menghempas ke kiri dan ke kanan.  Kemudian dia menghela nafas sambil lima jarinya memukul-mukul kepala lutut.
“Macam mana ustaz?”  Pak Musid bagaikan tidak sabar.  Jauh di sudut hatinya dia seolah-olah tidak meyakini kemunculan Mat Deh pada malam itu.  Apalagi umur Mat Deh sendiri terlalu muda hinggakan sebaya dengan Siamid sendiri.
“Biarlah ustaz ni mencuba dulu…”  segera Tok Imam Leh menyahut.
Masing-masing tertumpu kepada Mat Deh yang tidak berkata apa-apa.  Pak Musid juga tidak berkata apa-apa selain dari menghela nafas.  Keadaan Siamid juga masih tidak reda sejak mula-mula mereka semua sampai ke  situ.  Bainah sendiri bagaikan kebingungan dengan membiarkan saja jiran-jiran menguruskan masalah yang dihadapi oleh suaminya.
Malam sudah semakin jauh dinihari.  Kuang di rimba juga sekali sekala terdengar melaung memecahkan kesepian malam.  Hembusan angin yang lembut juga mula terasa dingin hingga menyusup ke tulang.
Perlahan-lahan Mat Deh meletakkan tapak tangannya ke dada Siamid lantas membacakan Al-Fatihah tiga kali.  Dia membiarkan tapak tangannya lama melekap pada dada Siamid dengan memantapkan zikirnya.  Suasana di dalam rumah menjadi hening, dan mereka melihat dada Siamid berasap seperti bara disiram dengan air.
”Awak nak tunjuk pandai ya…?”  Siamid bersuara keras, tetapi seluruh badannya terkaku tidak boleh bergerak.
Mat Deh sudah dapat merasakan bahawa dia bukanlah berdepan dengan Siamid.  Dia tersenyum kerana mengetahui tipu helah sebenarnya untuk menjadikan Siamid sasaran dapat di fahaminya..  Bagaimanapun dia tidak boleh memberitahu sesiapa pun dari apa yang dilihatnya, kerana bimbang juga sekiranya apa yang dilihatnya itu sengaja dikelirukan oleh syaitan.
Dia dapat merasakan dirinya berjalan di tengah kabus hitam melalui perkampungan Orang Asli hingga sampai ke satu busut di bawah pondok.  Orang Asli itu ditemani oleh seorang pemuda yang berhati-hati melihat kerja-kerja yang dilakukan oleh Orang Asli berkenaan.
Seekor katak yang diikatkan tangan dan kakinya kebelakang disumbatkan dengan bara api ke mulutnya.  Kemudian Orang Asli itu meniupkan buluh ke mulut katak berkenaan dengan jampi menteranya.  Apabila katak itu hampir lemah dia mengeluarkan semula bara itu, lantas memasukkan bara merah yang lain pula.  Pemuda itu tidak bergerak-gerak bagaikan khusyuk melihat bagaimana Orang Asli tersebut menyeksa katak di tangannya.
“Hung bayu hung bayuhi…”  mulut Orang Asli itu terkumat-kamit meniupkan buluh yang disumbat ke mulut katak selepas bara api merah dijolokkan ke dalam rahang binatang berkenaan.
Apabila Mat Deh mengisarkan tapak tangannya ke dada Siamid, katak di tangan Orang Asli itu terlepas, menyebabkan Orang Asli itu terkejut.  Matanya liar memerhatikan sekeliling di dalam gelap.
“Berani awak tunjuk pandai?”  bentak Orang Asli itu keras sambil menyuruh pemuda yang bersamanya itu berlindung.
Mat Deh tersenyumn saja.,  Kemudian dia membacakan  Surah Al-Ikhlas menyebabkan angin bertiup kencang di dalam gelap malam yang tidak kelihatan apa-apa.  Melihat keadaan demikian, Orang Asli itu mula ketakutan.
“Tak pernah aku kena macam ni…”  ujarnya menarik tangan pemuda tersebut mencari perlindungan.
Cepat-cepat dia mengenggam pasir lantas menyirakkan ke dalam gelap.  Sirakkan pasir itu jatuh ke  atas kepala Mat Deh, hingga mereka yang sama-sama melihat Siamid malam itu dapat melihat sendiri pasir jatuh bersirak di kepala Mat Deh.
“Mana datang pasir ni?”  Pak Musid gelisah melihat kejadian yang tidak pernah dialaminya itu.  Dia juga melihat begaimana seekor katak yang terikat kaki dan tangan keluar dari mulut Siamid.  Dari mulut katak itu pula tersembur bara merah yang masih berasap seperti disimbah dengan air.
Cepat-cepat  Utih Leha mengambil katak berkenaan di masukkan ke dalam baldi.
“Permainan apa pula ni, agaknya,”  keluh Itam Senah sedih melihat kejadian yanbg menimpa anaknya itu.
“Sabarlah Senah, saya tahu ustaz ni boleh lakukan.  Dia ni bukankah cucu Tok Aji…”  Tok Imam Lah bagaikan memberikan keyakinan kepada mereka yang sama-sama melihat kejadian ganjil menimpa Siamid pada malam tersebut.
Mereka hanya melihat katak yang keluar dari mulut Siamid, dan pasir yang jatuh bersirak di atas kepala Mat Deh.  Memang mereka tidak melihat bagaimanakah puncanya semua kejadian itu berlaku.  Hanya Mat Deh saja yang mengalaminya, dan siapa pun tidak mengetahuinya kecuali diceritakan sendiri oleh Mat Deh.  Cerita inilah yang diberitahu oleh Mat Deh kepada saya kemudiannya.
Apabila merasa dirinya diserang oleh Orang Asli itu dengan pasir, dia segera membacakan ayat terakhir dari Surah At-Taubah sebelas kali, menyebabkan kaki Orang Asli itu tenggelam ke bumi hingga pergelangan kakinya.
“Hus, ilmu apa kau pakai ni?”  tanya Orang Asli itu memerhati sekeliling di dalam gelap tersebut.  “Aku campakkan bara api pada kau, tak panas ke?”  gerutunya melepaskan geram, hingga dapat didengar oleh orang ramai dituturkan oleh Siamid.
“Mana ada bara api, pasir yang kau sirakkan tadi!”  ejek Mat Deh.
Orang Asli itu menyilangkan tangannya pula ke dada kemudian menolak ke hadapan seperti menunda angin.  Ketika ini orang-orang yang berkeliling mengadap Siamid melihat daun-daun kayu kering bertaburan di dalam rumah.
“Terima aku punya panah beracun!”  jerit Orang Asli marah, sekalipun kakinya sudah tenggelam ke bumi.
“Daun-daun kering aje yang sampai,”  sahut Mat Deh mempersenda-sendakan Orang Asli itu.  “Kalau kau nak panah, kau terimalah panahan api dengan izin Allah,”  kata Mat Deh membacakan Lanarjumanakum walayamassannakum minna azabun alim.
Sekaligus berpuluh-puluh panah api berterbangan menjunam ke tubuh Orang Asli bersama pemuda yang dilindunginya itu.  Dia tidak dapat mengelak kerana kakinya yang tertanam separas pergelangan kaki.  Sementara pemuda itu bergayut pada tubuh Orang Asli itu untuk berlindung, namun panahan api itu terus juga menjunam bertalu-talu.
“Ampunlah, ilmu kau ni tinggi,”  rayu Orang Asli itu tidak dapat lagi bertahan.  “Aku ni disuruh orang, tapi aku dah bilang jangan ganggu isteri orang!”  katanya merintih-rintih kesakitan.
“Kau jangan nak bohong!”  jerkah Mat Deh keras.
“Betul, aku tak bohong,”  beritahu Orang Asli selanjutnya.  “Dia gilakan bini Siamid, aku dah tolong sampai bini Siamid gilakan dia.  Sekarang dia suruh bunuh pula fasal dia nak nikah dengan bini Siamid,”  jelasnya terketar-ketar.
“Habis, bini Siamid tak mahu dia,” Mat Deh cuba menduga.
“Suka…aku yang tolong carikan minyak cenuai,”  Orang Asli itu menerangkan kedudukan sebenarnya.
Mat Deh hanya ketawa mengejek.  Kadangkala dia sendiri bimbang juga dengan apa yang di lihatnya itu, berkemungkinan dikelirukan oleh syaitan.  Sebab itu dia tidak berani memberitahu apa-apa kepada mereka semua, setelah dia kembali membuka matanya selepas tenggelam dalam zikirnya yang khusyuk.
“Macam-macam yang direpekkan oleh Siamid…”  ujar Pak Musid memberitahu Mat Deh, sambil mengerling kearah Siamid yang sudah terlena tidur semula dalam keletihan.
Setelah keadaan Siamid pulih semula, mereka tidaklah terus balik ke rumah.  Mereka berbual-bual pula di serambi menunggu subuh.  Berkali-kali Pak Musid memberitahu dia tidak pernah lagi melihat cara perubatan yang dilakukan oleh Mat Deh.  Hanya dengan meletakkan tapak tangan ke dada Siamid sambil membacakan ayat-ayat Quran saja.
Biasanya dia melihat Dukun Lawi menggunakan kemenyan, limau, air segeluk dan tempat membakar kemenyan.  Dukun Lawi mempunyai perkakas-perkakas khas apabila mahu mengubati pesakit, sedangkan Mat Deh tidak memerlukan apa-apa pun perkakas.
“Saya bukannya bomoh, Pak Musid,”  beritahu Mat Deh.  “Kalau dah terdesak tu, bolehlah sikit-sikit.  Tapi kalau ada ikhtiar lain carilah ikhtiar dulu,”  katanya tersengih-sengih memandang Pak Musid.
Sehingga subuh barulah Tok Imam Lah dan Mat Deh meninggalkan rumah Siamid.  Ketika ini Siamid juga sudah tersedar, dan dia sendiri kehairanan melihat orang ramai berkumpul di rumahnya.  Kalaulah tidak diberitahu oleh Utih Leha mungkin dia sendiri pun tidak tahu apa yang telah terjadi.
Apa yang dapat diingati oleh Siamid, dia diberi makan bara api oleh seorang lelaki Orang Asli.  Puas dia menentangnya, tetapi dia bermimpi tangan dan kakinya terikat ke belakang.  Di dalam mimpinya dia merasa tubuhnya terlalu kecil hingga digenggam saja oleh Orang Asli tersebut.
Sebab itu dia tidak dapat mengelak apabila bara api di sumbatkan ke dalam mulutnya.  Dia cuba membacakan Ayat Kursi, tetapi semuanya tidak terlintas lagi dalam kepalanya.  Ketakutan sudah membelenggu dirinya, menyebabkan dia tidak hafal lagi ayat-ayat Quran yang diajarkan oleh Tok Imam Lah.
Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri dari gengaman Orang Asli itu, tetapi tubuhnya tidak boleh bergerak disebabkan kaki dan tangannya terikat.  Ternyatalah mimpi ngeri yang dialaminya itu bukanlah lagi sebuah mimpi, tetapi satu ancaman yang hampir meragut nyawanya.
“Tiba-tiba saja saya melihat Ustaz Mat Deh merampas saya dari genggaman Orang Asli itu,”  kata Siamid menceritakan mimpinya.  “Saya nampak Ustaz Mat Deh melontarkan panah yang berapi-api ke arah Orang Asli itu,”  ujar Siamid lagi bersungguh-sungguh seolah-olah mimpi yang dilaluinya berlaku benar-benar ke atas dirinya.
“Ada orang lain dengan Orang Asli tu?”  tanya Itam Senah berbisik.
“Kalau tak salah Sidon, adik Lajis Tenjot…”  Siamid cuba mengingati semula segala kejadian yang dialaminya dalam mimpi tersebut.
Cerita mimpi Siamid itu menjadi kenyataan juga keesokan harinya, apabila keluarga Lajis Tenjot diberitahu mengenai kematian adiknya Sidon di perkampungan Orang Asli.  Dia di jumpai terbaring di atas busut bersama Itoi seorang bomoh Orang Asli, dengan seluruh badannya berbekas seperti di bakar bara api.
Tidak dapat pihak berkuasa mengesyakki ianya suatu kejadian jenayah, kerana di situ tidak terdapat langsung bara.  Hanya sekitar mereka di temui percikan besi halus bekas terbakar yang menyinggahi seluruh tubuh mereka.  Memang kedua kaki Bomoh Itoi itu juga terbenam ke dalam bumi, walaupun tidak ada kesan rekahan di atas tanah.
Keluarga Lajis Tenjot juga percaya bahawa adiknya mati disebabkan kesilapan sendiri menuntut ilmu salah.  Dia memang percaya sesuatu ilmu yang salah itu kadangkala kalau salah terima boleh memudaratkan diri.  Kesan melecur di seluruh tubuh Sidon pula memang ganjil seperti terkena panahan yang berapi, tetapi siapa pun tidak menemui anak-anak panah tersebut.
Kematian Sidon itu memang menyedihkan hati Bainah.  Belum pun sempat dia menyesali akan sikapnya membuat perhubungan sulit dengan Sidon, Bainah pun jatuh sakit batuk darah.  Sebelum menutup matanya dia mengakui di depan keluarga Siamid akan perbuatannya itu, disamping memberikan Siamid memakan kotoran yang sengaja dirancangnya seperti yang diajarkan oleh Sidon.
“Aku ampunkan kau Bainah…”  bisik Siamid ke telinganya semasa dada isterinya berombak kencang.  Tetapi semua itu ternyata tidak dapat menyelamatkan lagi nasib Bainah. 
Wallahhu alam bissawab.

SELESAI