Sehingga
jam 11.00 malam Cikgu Salim masih menangis terisak isak menyebabkan isterinya
Cikgu Miah bertambah gelisah. Nampaknya setelah diubat oleh Dukun Hun tidak ada
juga perubahan. Sudah tiga hari Cikgu Salim termenung, menangis terisak-isak
dan kelihatan rusuh sejak peristiwa terserempak perempuan membasuh kain di
malam hari di pinggir sungai berhampiran surau.
Saya
sendiri heran mengapa gangguan masih juga ada, pada hal Dukun Hun sudah mencubanya
bersungguh-sungguh. Usup Tukang Kebun yang saya minta tidur di rumah saya untuk
sama-sama menjaga Cikgu Salim, cepat-cepat bingkas bangun sebaik mendengar
isakan Cikgu Salim yang semakin kuat. Dia memandang saya bagaikan serba salah.
Guru
Besar sudah menasihatkan Cikgu Miah supaya membawa Cikgu Salim berubat di
kampong kalau masih juga tidak sembuh. Memang Guru Besar pun faham penyakit
Cikgu Salim itu bukanlah boleh dibawa ke hospital. Mungkin pihak hospital
juga tidak tahu apakah ubatnya. Paling tidak pun pihak hospital akan mengatakan
Cikgu Salim ‘tension’ sahaja.
“Macam
ustaz, kita panggil Dukun Hun?” Tanya Usup bimbang
Saya
tidak menyahut, tetapi mengajaknya ke sebelah di rumah Cikgu Salim. Kebetulan
semasa kami mahu ke rumahnya, Cikgu Miah sudah memanggil dari sebelah . Dia
juga cemas dengan keadaan yang menimpa suaminya itu.
“Macam
mana ni ustaz?” Cikgu Miah kelihatan rusuh. “ Saya ni dah bodoh, tak tau apa
nak buat lagi” katanya bergetar menahan kesebakan dada.
“Sabarlah
dulu cikgu…” sahut isteri saya berdiri di belakang saya. Dia juga tidak tidur
lagi, kerana kami tinggal bersebelahan tentulah sakit pening jiran sebelah
mesti dipentingkan. “Cikgu Salim ni boleh dikatakan kurang juga sakitnya, ada
orang di kampung saya dulu lebih teruk lagi dari ni” jelas isteri saya memujuk.
“Biarlah
saya panggil Dukun Hun” Usup tidak jadi masuk ke rumah Cikgu Salim . Dia terus
keluar mencapai basikalnya, kemudian hilang dalam kegelapan malam.
“Saya
ingat tak ada gangguan di malam ni” ujar saya memerhatikan Cikgu Salim
terlentang di tempat tidur dengan menekup tangan ke muka.
Cikgu
Miah hanya mengelengkan kepala. Dia tidak faham apa yang saya maksudkan. Tetapi
saya sengaja tidak mahu mengubati Cikgu Salim, kerana tidak ada pun lelaki di
situ. Kalau ada Usup mungkin dia boleh membantu sekiranya ada gangguan yang
boleh menyebabkan Cikgu Salim bangun melawan.
“Macam
mana pun kita tunggulah Usup datang” beritahu saya perlahan.
Malam
mulai sepi. Bunyi kuang jauh di tengah rimba sayup-sayup memanjang. Meremang
juga bulu tengkuk kalau jarang mendengar bunyi kuang sayup-sayup ini.
Kadangkala bunyi burung jampuk di tengah malam pun boleh meremangkan bulu
tengkuk kalau orang tidak biasa mendengarnya. Kesepian malam diganggu juga oleh
bunyi kuang sayup-sayup di tengah rimba itu.
Esakkan
Cikgu Salim masih kedengaran seperti tangisan yang hiba. Dia cuma menekup
mukanya dengan tangan. Tidak pula saya tahu samada dia benar-benar menangis
atau sekadar terisak-isak saja.
“Cikgu
Salim…..” saya memanggilnya.
Dia
mendengus menyahut, tetapi tangannya tetap menekup muka. Dia tidak mahu sesiapa
pun berhadapan dengannya.
“Kenapa
cikgu ni?” Tanya saya mahu menduga.
Dia
mengeleng-ngelengkan kepala sambil isakannya semakin kencang. Saya lihat Cikgu
Miah juga ikut sama tersengguk-sengguk melihat keadaan suaminya demikian.
Mungkin dia belum pernah mengalami keadaan demikian sebelumnya.
Susah
juga hendak diduga apakah gangguan yang dihadapi oleh Cikgu Salim, kerana dia
tidak mahu bercakap apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri saja sejak tiga hari
lalu. Cuma yang dapat didengar ialah isak tangisnya bagaikan orang putus asa.
Usup
pernah memberitahu saya, beberapa orang kampung memang terjumpa lembaga
perempuan membasuh di perdu pokok kelepung itu. Tetapi mereka tidaklah
terganggu sampai tiga hari seperti Cikgu Salim. Apabila mereka nampak perempuan
duduk di perdu pokok itu, cepat-cepat mereka tinggalkan. Tidak ada pula yang
tidak sedar diri selepas melihat lembaga perempuan di situ.
Karim
seorang anak muda berumur 18 tahun ketika menjengah kailnya pada kira-kira 8.00
malam pernah terserempak. Karim rajin memasang kail cucuk di sepanjang sungai.
Kalau hatinya bosan duduk di rumah, pukul 8.00 malam pun dia akan turun ke
sungai menjengah kail cucuknya.
Sikap
gila-gila bahasa Kari mini menyebabkan dia dikenali di kampung sebagai budak
tiga suku. Jadi kekal lah dia dipanggil Karim Tiga Suku. Jarang dia mahu ke
surau, walaupun apabila menjengah kail cucuknya dia menempuh halaman surau.
Tetapi Imam Leh tidak hiraukan sangat anak-anak muda seperti Karim ini. Biarlah
dia bebas melakukan apa yang disukainya.
Semasa
dia meranduk air melintasi pokok kelepung di tubir sungai, dia terdengar isakan
seorang perempuan tersengguk-sengguk. Berdebar juga hati Karim mendengar
tangisan perempuan di situ. Hatinya cepat menuduh tentulah langsuyar di
tempat-tempat begini. Tetapi kalau langsuyar selalunya bukan menangis
terisak-isak, sebaliknya akan mengilai panjang.
Karim
memberanikan hati merapati pokok kelepung sambil menghunus parangnya. Anak muda
tiga suku sepertinya memang tidak merasa takut apa-apa. Selangkan terserempak
harimau kumbangkan lagikan dikejarnya, inikan pula berdepan dengan perempuan.
Kocakan
air diranduk didengar berdepak-depak kuat menyebakkan isak tangis itu hilang.
Apabila dia sampai diperdu pokok kelepung tidak ada apa-apa yang dilihatnya,
cuma kesan orang membasuh ada kelihatan. Buih sabun di atas papan lapuk di situ
masih baru seolah-olah orang yang membasuh masih ada disitu.
Peristiwa
ini diberitahu oleh Karim pada Usup sendiri. Mula-mulanya Usup tidak percaya
mengenai cerita tersebut. Dia menganggap sengaja direka oleh Karim supaya tidak
ada orang berani menjengah kail cucuknya pada sebelah malam hari. Selalu juga
apabila sebelah pagi Karim menjengah kail cucuknya, tetapi ada kesan telah
dijengah orang terlebeih dahulu.
Mungkin
dia sengaja mereka-reka cerita supaya orang tidak berani turun ke sungai pada
sebelah malam. Mereka tidak akan menganggu lagi kail cucuk yang dipasang oleh
Karim.
Tetapi
bukan Karim saja yang terserempak perempuan membasuh di perdu pokok kelepung
itu. Mat Sitam yang mengendap kail cucuk Karim juga pernah terserempak.
Termengah-mengah dia lari bila perempuan itu memegang bahunya. Cepat-cepat dia
menepis tangan perempuan itu dan lari naik memanjat tebing sungai.
Usup
sendiri pernah terserempak. Dia sengaja mengendap di situ bersama Karim kerana
hendak mempastikan siapakah perempuan yang membasuh kain di situ. Mengapa pula
dia membasuh kain pada waktu malam saja.
Lama
dia duduk dalam belukar tebrau berhampiran pokok kelepung berkenaan. Hampir
juga dia berputus asa dan memutuskan tidak mahu lagi menunggu di situ. Tetapi
Karim menyuruh dia menunggu lagi sehingga sampai jam 11.00 malam. Disebabkan
bosan menunggu Usup berkeras mahu balik meninggalkan Karim seorang sahaja di
situ.
Baru
dia mahu bangun dari mencangkung, isak tangisan merintih-rintih kedengaran
hampir dengannya. Dia mencari dari arah mana bunyi isakan itu. Kemudian
mendongak ke atas dan ternampak kain putih berbuai-buai ditiup angin. Karim
menuding ke arah kain putih yang kelihatan berbuai-buai ditiup angin itu.
Sekaligus Karim menerpa ke perdu pokok kelepung untuk merentap kain putih yang
berbuai-buai ditiup angin itu.
Belum
sempat Karim sampai ke perdu pokok kelepung, kain putih itu hilang dari pandangan.
Tangisan itu juga hilang tidak kedengaran.
“Kau
gopoh sangat!”tempelak Usup menegur Karim.
“Aku
nak tangkap, kalau Pontianak aku nak kawin dengannya” kata Karim bergurau.
“Perempuan
begitu ramai, kau nak kawin dengan hantu’ Usup mengejek.
Karim
ketawa berdekah-dekah mendengar ejekan Usup. Sebenarnya dia sengaja memperli
Usup yang tidak percaya dia pernah menemui perempuan membasuh kain di situ.
Tetapi Usup memang sudah mendengar cerita mengenai Milah ini dari emaknya,
kerana Milah itu pangkat emak saudara kepada emaknya.
Memang
benarlah sudah beberapa kali orang terserempak jelmaan perempuan membasuh kain
di situ. Sejak peristiwa Milah dijumpai mati tergantung di situ. Kisah orang
kampung terserempak perempuan membasuh kain di malam hari sudah menjadi bualan.
Orang
yang terserempak sebelum Karim menemui lembaga itu pun mengakui bahawa mereka
pernah terlihat, tetapi enggan menceritakan kepada orang-orang lain. Mereka
merasakan tidak penting diberitahu sesiapa tentang apa yang mereka lihat. Boleh
jadi yang terlihat seperti kain putih yang terbuai-buai ditiup angin itu,
cahaya lampu gaslin dari surau yang menyilau ke daun pokok kelepung yang
rimbun. Bunyi isak tangis itu boleh jadi dibawa angin dari suara kanak-kanak
yang berdekatan.
Tetapi
setelah Karim mengakui menemui lembaga perempuan di situ, barulah mereka mahu
mengaku kebenarannya. Bagaimanapun setakat itu tidak ada siapa pun
diganggu sampai tidak sedarkan diri seperti Cikgu Salim. Jelmaan lembaga
perempuan membasuh itu tidak pernah menyerang mangsanya, sebaliknya hanya
menjelma saja kemudian menghilang. Hanya Cikgu Salim ini sajalah yang tidak
sedarkan diri bila terserempak.
Tidak
lama kemudian selepas meninggalkan rumah Cikgu Salim kerana memanggil Dukun
Hun, Usup balik semula kira-kira pukul 12.30 malam. Dia seorang saja terjongol.
“Tak
ada Dukun Hun, abang Usup?” soal Cikgu Miah menjengah muka.
“Dia
ke Hulu Cheka” sahutnya kepenatan sambil duduk tersandar lemah. “Besoklah baru
dia balik agaknya tu” ujarnya perlahan.
“Habis,
macam mana ustaz?” Cikgu Miah sudah tidak sabar lagi dengan keadaan suaminya
merintih-rintih tidak tentu biji butir. Sudah tiga hari dia tidak bercakap
apa-apa selain dari terisak-isak menangis.
Saya
juga serba salah. Kalau mahu dipanggil Imam Leh mungkin Usup sudah penat.
Kesian juga saya melihat Usup tidak tidur malam selama Cikgu Salim berkeadaan
demikian. Tentu Usup juga memerlukan rihat setelah bersusah payah ke rumah
Dukun Hun. Apakah halnya Dukun Hun ke Hulu Cheka tidak pula diketahui. Boleh
jadi dipanggil oleh orang di sana, atau boleh jadi juga dia menemui gurunya di
sana.
Ada
ceritanya, Dukun Hun ni rajin berguru ke mana-mana saja. Sampai ke Durian Tipus
pun dia sanggup pergi untuk berguru, kadangkala sampai ke Serting di Kuala
Plah. Di Hulu Cheka ini khabarnya dia berguru dengan salah seorang sahabat Mat
Kilau yang terkenal dalam perang melawan Inggeris di Pulau Tawar.
Disebabkan
Dukun Hun tiada terpaksalah saya meminta izin dari Cikgu Miah untuk cuba
mendoakan Cikgu Salim. Sebenarnya ketika ini saya belumlah biasa lagi melakukan
kerja-kerja begini, malah pernah saya dimarahi oleh Tok Aji kerana tidak mahu
mencuba.
Saya
memulakan membaca 7 ayat Surat Yassin yang terakhir dengan kuat dan diikuti
dengan Ayat Kursi. Selepas itu saya bacakan ayat 13 dari Surat Al-Naam, ayat 9
dari Surat Sajadah dan ayat 82 dari Surat Al-Isra’. Setelah membacanya saya
dapati Cikgu Salim masih juga terisak-isak.
Kerana
tidak ada juga perubahan saya terus membaca,
Alif lam mim sat, kaf ha ya ain sat, ha mim
ain sin kaf,
iaitu
awal ayat-ayat Quran yang Allah saja mengetahui maksudnya. Kemudian disambung
lagi dengan:
usqun aiyuhal waji’ billahhillazi ‘inyasya’:
dan
disambung dengan ayat 31 dari Surat Loqman. Biasanya bila dibacakan
ayat-ayat berkenaan kepada mereka yang ada gangguan akan cepat dapat kita
ketahui penyakitnya. Mereka yang ada gangguan itu akan menerkam mahu melawan.
Tetapi
Cikgu Salim hanya menunduk. Dia tidak melawan atau memarahi kami. Heran juga
saya dengan keadaan demikian, kerana belum pernah saya mengalaminya. Saya juga
membaca Surat As-Saffa untuk mencuba samada terdapat gangguan yang menyebabkan
Cikgu Salim berperangai demikian.
Saya
hampir kecewa kerana ayat-ayat Quran yang saya bacakan tidak memberi kesan
kepadanya. Kalau sudah ayat-ayat Quran tidak memberi bekas, apakah yang boleh
saya lakukan lagi?
“Macam
mana ustaz?” Tanya Usup tidak sabar.
“Entahlah…………”
keluh saya memerhatikan Cikgu Salim terlentang di katil dengan menekup muka
dengan tangan. “Agaknya tak ada gangguan apa-apa dengan cikgu ni . Boleh jadi
dia terlalu terkejut, semangatnya hilang” saya menduga-duga.
“Kalau
tak juga baik, Nampak esoknya saya bawa balik aje ke kampong” ujar Cikgu Miah
tersengguk-sengguk.
“Kampung
mana?” Tanya isteri saya pula, kerana Cikgu Miah kampungnya di Jelebu manakala
Cikgu Salim kampungnya di Maran. “Kampung cikgu ke , kampong Cikgu Salim?”
isteri saya merenung muka Cikgu Miah.
”Kampung
dialah” jelas Cikgu Miah lesu.
Setelah
berfikir sejenak, saya pun menyuruh semuanya tenang dan bersabar.
“Jangan
sesiapa pun ganggu saya, walau apa pun yang terjadi” saya mengingatkan Usup dan
Cikgu Miah. Kemudian saya menyuruh isteri saya mengingatkan mereka berdua
apabila saya tidur, sebagai ikhtiar terakhir, saya hendak mengetahui apakah
sebenarnya yang terjadi kepada Cikgu Salim. Cikgu Miah dan Usup hendaklah diam
saja.
Saya
pun membaca doa:
Allahhu yatawafal Anfusa hinna mauti
hawallati lam tamut fi manamiha payumsikullati qada ‘alaihalmaut…….
Sambil
saya meneruskan dengan zikir. Perlahan-lahan saya mula tertidur dan melupakan
segala ingatan, kecuali memusatkan diri kepada masaalah yang dihadapi oleh
Cikgu Salim . Semuanya adalah dengan izin Allah belaka.
Ketika
ini saya merasakan diri saya sampai ke pohon kelepung di tebing sungai. Saya
melihat Milah menangis terisak-isak dalam keadaan bimbang. Sekali sekali dia
meraba perutnya, sedang wajahnya tetap sugul.
Ketika
ini seorang lelaki yang dapat saya fahami ialah Lajak memanggilnya. Semasa
Lajak datang membawa Milah pergi orang-orang kampong berkerumun di perdu pokok
kelepung. Mereka memerhatikan saja Lajak melayang-layang ke udara membawa Milah
pergi bersama.
Setelah
mereka pergi dan tidak diganggu lagi oleh orang-orang kampung, Milah tetap
datang juga bermain main di pokok kelepung itu membasuh kain. Setiap kali dia
akan menangis tersedu apabila datang membasuh kain di situ, kerana sangat
berdosa kepada kedua orang tuanya. Sebab itu dia terus juga membasuh sebagai
usaha membalas jasa baik kedua orang tuanya Mak Embun dan Bakar Tenjot.
Sehinggalah
Cikgu Salim terserempak dia sedang bermain di situ. Disebabkan Cikgu Salim
tidak pernah mengalami kejadian aneh demikian, dia telah terkejut berlebihan.
Inilah yang menyebabkan gangguan jiwanya setiap kali terkenangkan peristiwa
tersebut.
“Kau
tubuh halus…” saya menyeru pasangan lelaki perempuan yang berada di perdu pokok
kelepung. “Jangan kau ganggu Cikgu Salim ni, pergi kau dan jangan datang lagi”
ujar saya menghampiri mereka berdua.
“Kami
tak ganggu dia” sahut lelaki yang berdiri di samping perempuan yang terserempak
dengan Cikgu Salim. “Agaknya dia terkejut, sebab itu tak ingat jalan balik”
jelasnya ramah.
“Nampaknya
kau dari orang-orang baik, oleh itu baliklah kau ke tempat kau dengan cara
baik” kata saya macam memberi amaran.
Saya
melihat mereka berdua serba salah mendengar perintah saya. Yang si lelaki
kelihatan tenang, tetapi si perempuan gementar sedikit. Disebabkan yang
perempuan itu gementar sengaja saya mengancam yang si perempuan.
“Aku
tau asal kau, perempuan mati tergantung asal kau!” sambil saya membaca Al-Fatihah
tiga kali, lantas menghembus ke arahnya.
Dia
tersenyum apabila saya hembuskan Al-Fatihah kepadanya. Seolah-olah dia merasai
nikmat yang membahagiakan.
“Aku
merasa aman dengan doa ustaz” katanya melirik senyum.
“Janganlah
bermain-main dengan saya” gertak saya mengeraskan suara. “Awak jangan ganggu
Cikgu Salim ni, faham!” bentak saya lebih tegas.
“Kami
tak ganggu dia” jelas si lelaki lembut memperlihatkan seperti orang yang
ikhlas. “Agaknya dia tersesat jalan, kerana terlampau terkejut” dia memberitahu
sambil menunjukkan kepada saya ke arah Cikgu Salim yang kelihatan termenung di
atas sebuah busut.
Saya
yakin dia tidak menganggu Cikgu Salim. Sebab itulah apabila dibacakan ayat-ayat
tertentu Cikgu Salim tidak berubah keadaannya. Malah Dukun Hun sudah mencuba
dengan ayat-ayat yang menggempur syaitan, tetapi ternyata tidak memberi kesan.
Memang
Ayat Kursi satu-satunya ayat yang paling digeruni oleh syaitan, tetapi apabila
dibacakan kepadanya keadaan Cikgu Salim seperti juga. Sebab itu saya sudah
menduga tidak ada gangguan apa-apa pada dirinya. Jadi, pengakuan lembaga lelaki
itu saya rasa memang munasabah.
Bagaimanapun
saya rasa kawasan tempat mereka bermain itu mestilah dimusnahkan supaya ianya
tidak membimbangkan orang yang terserempak.
“Eloklah
awak tinggalkan tempat tu” saya cuba memujuk. “ Anak cucu takut, kalau awak
datang juga ke situ, anak cucu juga yang susah” ujar saya mengingatkan mereka
berdua.
Saya
lihat lembaga si perempuan menitiskan air mata mendengar kata-kata saya itu.
Sementara lembaga si lelaki memujuknya. Mereka tidak menyahut apa-apa lagi.
“Tempat
awak bukan di sini, tempat awak di barzah” tegas saya selanjutnya bila mereka
tidak menyahut. Saya membacakan Al-Fatihah lagi sambil menghembuskan kepada
mereka berdua.
Mula-mulanya
mereka kelihatan enggan pergi dari kawasan pokok kelepung itu, Tetapi apabila
saya membaca;
Ihdinas siratul mustaqim
Saya
hembus ke arahnya tiga kali. Mereka berdua kelihatan tersenyum bila saya
hembuskan ke arahnya. Kemudian mereka melayang ke udara hilang ke dalam satu
cahaya yang jauh dari penglihatan mata.
Setelah
mereka berdua hilang dari pandangan, saya dapati Cikgu Salim masih termenung di
atas sebuah busut. Lantas saya bacakan Surat Wadduha dan menghembuskan ke
arahnya. Saya dapat melihat Cikgu Salim yang termenung di atas busut itu
menjadi seperti asap bila dihembus. Dia kemudiannya hilang dari pandangan saya,
dan kepulan asap yang saya hembus itu juga hilang entah ke mana.
Saya
membaca Astaghafarullah sebanyak sepuluh kali sebelum meninggalkan tempat itu.
Hinggalah saya merasa diri saya kembali hilang dalam kegelapan yang seperti
kurungan, tetapi keadaannya cukup selamat barulah saya sedar semula dari tidur.
Terlalu
letih saya apabila bangun dan terus duduk sambil menyandarkan belakang ke dinding.
Saya tidak pedulikan langsung apakah khabarnya Cikgu Salim.
“Pukul
berapa sekarang Bang Usup?” saya berpaling pada Usup setelah lama tersandar.
“Pukul
dua lebih …”katanya melihat jam di tangan. “Lama juga ustaz tidur” ujarnya
tersengih-sengih.
Saya
juga tersengih-sengih. Sebenarnya Usup tidak tahu apa yang saya lakukan, kerana
saya sudah mengingatkan isteri saya jangan memberitahu apa-apa pada Cikgu Miah,
sekiranya saya melakukan pengubatan tersebut.
“Macam
mana Cikgu Salim?” soal saya memerhatikan Cikgu Miah.
“Alhamdulillah,
tidur nampaknya dia “ beritahu Cikgu Miah tergaris kegembiraan di wajahnya.
“Tak lama ustaz tidur tadi, dia berhenti terisak-isak langsunglah dia tidur”
jelasnya terkuap-kuap juga menahan mengantuk.
Besoknya
Cikgu Salim kelihatan segar dan sihat. Dia bercadang untuk pergi ke sekolah
walaupun ditegah oleh isterinya. Heran juga Cikgu Miah kerana Cikgu Salim yang
disangkanya sakit itu tiba-tiba saja sihat dan terus mahu ke sekolah. Usup yang
tidur di rumah saya kerana mahu menemani Cikgu Salim juga terkejut melihat
Cikgu Salim seperti tidak sakit apa-apa.
Disebabkan
kami tinggal berdekatan dengan sekolah, Guru Besar juga datang untuk
bertanyakan Cikgu Salim. Memang dia terkejut kerana baru semalam dilihatnya
Cikgu Salim moyok, tetapi hari itu berkeras pula mahu mengajar.
“Cubalah
berihat dulu Cikgu” Guru Besar menasihatkan.
“Eh,
saya tak sakit apa-apa” ujarnya tersengih-sengih.
“Tak
apalah cikgu, Kalau Cikgu Salim nak ke sekolah biarlah. Apa salahnya…..” saya
mencelah.
Saya
tahu Cikgu Salim tidaklah sakit seperti yang diduga. Dia hanya terkejut
menyebabkan hilang semangat. Kalau budak-budak yang menghadapi masaalah
demikian mungkin juga boleh membawa maut sekiranya sudah ajal, tetapi orang
dewasa seperti Cikgu Salim masih boleh melawan kelemahan semangatnya itu. Sebab
inilah dia tidak sedarkan diri saja.
Cerita
Usup memanggil Dukun Hun pada tengah malam itu juga sampi ke pengetahuan dia.
Dia juga beritahu mengenai Cikgu Salim sudah sembuh dari sakitnya. Tetapi Usup
mengatakan, mungkin bila disebut Dukun Hun menyebabkan penunggu yang menganggu
Cikgu Salim itu cepat-cepat lari. Dukun Hun mengingatkan Usup supaya jangan
percaya tentang penunggu atau puaka.
“Hanya
satu makhluk yang dilaknati Allah iaitu syaitan” ujarnya.
Orang-orang
dikampung itu heboh bercerita mengenai Cikgu Salim yang tidak sedarkan diri
setelah terserempak lembaga perempuan membasuh kain di perdu pokok kelepung.
Mereka juga mendapat tahu Dukun Hun berjaya memulihkan semula Cikgu Salim.
Itulah
sebabnya beberapa hari kemudiannya Dukun Hun mengajak Usup dan Karim Tiga Suku
ke rumah Cikgu Salim. Ketika dia sampai memang Cikgu Salim benara-benar sudah
sihat. Disebabkan ada tetamu di rumahnya saya juga tumpang sekaki, kerana
tetamu itu memang saya kenal belaka. Malah mereka juga mengajak saya ke sebelah
untuk sama-sama berbual.
Semasa
menghadapi hidangan kopi dan rebus ubi, Dukun Hun sengaja bertanya kepada Cikgu
Salim apa terjadi padanya selama tiga hari tidak sedarkan diri.
“Susah
juga nak ingat balik” ujar Cikgu Salim tersengih-sengih. “Selama ini saya tak
percaya benda-benda macam ni ujud, tetapi inilah kuasa Allah” keluhnya macam
mengingatkan semula peristiwa yang menimpanya itu.
Dia
mula menceritakan iaitu selepas menemui perempuan membasuh di perdu pokok
kelepung itu, dia cuba menghampirinya. Tetapi dia nampak ada tali menarik
perempuan itu ke atas menyebabkan dia tergantung. Dia berlari balik ke surau
dengan tujuan meminta pertolongan menyelamatkan perempuan yang tergantung itu,
tetapi dia tidak dapat mencari surau lagi.
Ketika
ini dia merayau-rayau mahu mencari bantuan hingga sampai ke satu busut. Dia
duduk di situ bersedih hati kerana tidak dapat menolong perempuan yang
tergantung pada pokok kelepung itu. Dari atas busut itu dia nampak perempuan
itu terkapai-kapai macam meminta pertolongan, tetapi suaranya tidak keluar
akibat tercerut pada tali.
Dia
cuba menolong tetapi tidak berdaya untuk bangun, kerana lutunya terasa berat
tidak boleh diangkat. Sekali sekala dia terdengar suara azan, tetapi suara itu
tidak tahu dari siapa. Sepanjang masa dia tidak dapat menahan kesedihan kerana
perempuan yang tergantung mengeletek-geletek macam meminta pertolongan.
“Saya
teringat hanya ustaz datang mengajak saya balik” ujarnya mengerling kearah saya
. “Saya nampak ustaz seolah-olah terbang melepaskan perempuan itu dari tali
yang mencerutnya” dia menjelaskan perlahan.
Saya
hanya tersengih-sengih bila Dukun Hun berbisik kepada saya, “Ustaz, kemenyan
sebesar lutut, kalau tak dibakar takkan berbau”. Tetapi mereka tidak dengar apa
yang dibisikkan oleh Dukun Hun itu.
SELESAI