TOK AWANG NGAH - CETAKAN PERTAMA 1985
TAJUK BUKU: ULAR DALAM KUBUR WANITA. (12 siri)
KESIHAN saya mendengar cerita
Jali mengenai kematian emaknya semasa melahirkan anak kira-kira 20 tahun dulu.
Saya kesihan bukanlah disebabkan emaknya meninggal dunia, kerana perkara
meninggal dunia adalah sudah ditentukan Allah. Tetapi saya kesihan kerana
jenazah emaknya sebelum dikebumikan telah dicucukkan jarum pada kesemua jari
tangan dan kakinya.
Mengapa sampai begitu sangat
mereka menyeksa mayat? Kononnya kalau tidak dilakukan begitu jenazah tersebut
akan bertukar menjadi langsuyar. Apakah langsuyar ini saya sendiri pun tidak
pernah menemuinya.
Jali berasal dari Bukit
Mertajam di sebelah utara. Dia hanya sekadar menceritakan peristiwa 20 tahun
dulu kepada saya. Ketika ini dia masih kecil berumur kira-kira 10 tahun.
Tentulah anak kecil seperti ini tidak berdaya membantah apabila orang menyuruh
menyeksa jenazah emaknya.
Mungkin langsuyar yang
dimaksudkan oleh mereka itu adalah sejenis syaitan juga, tetapi tidak mungkin
ianya berasal dari perempuan mati beranak. Di dalam Islam perempuan yang mati
kerana beranak itu dikira sebagai syahid, bagaimanakah kita boleh
mempercayainya bertukar menjadi langsuyar?
Saya difahamkan langsuyar ini
juga dikenali oleh orang-orang di selatan Semenanjung sebagai pontianak. Sebab
itulah dalam tahun-tahun 50an dulu terdapatnya pengusaha filem tempatan membuat
cerita pontianak. Saya juga pernah dibawa oleh sepupu saya menonton filem
pontianak ini. Malah saya tertarik hati dengan pelakon yang jadi pontianak itu
iaitu Maria Menado.
Apakah pontianak yang ujud di
muka bumi sama seperti pontianak yang difilemkan? Atau samakah dengan
kepercayaan orang-orang Melayu bahawa ianya berasal dari perempuan mati
beranak? Tetapi kita tidak boleh menafikan ujudnya syaitan dan iblis serta
makhluk halus yang sentiasa mengganggu ketenteraman manusia.
Sebaliknya kita harus yakin
bahawa syaitan dan iblis itu takut kepada manusia. Syaitan dan iblis akan
berani mengganggu manusia apabila dia digunakan oleh manusia yang mengamalkan
ilmu-ilmu syaitan. Sedangkan syaitan dan iblis secara bersendirian dia tidak
akan dapat mengganggu manusia.
Selalunya mereka berlindung
pada manusia, sebelum mengganggu manusia. Sebaik-baiknya hendaklah manusia
sendiri jangan mengamalkan ilmu-ilmu syaitan.
Hanya orang-orang yang
mengamalkan ilmu syaitan saja memuja mayat perempuan mati beranak supaya
melakukan suruhannya. Apabila mayat ini diresapi oleh semangat syaitan, jadilah
ia langsuyar yang dikatakan mengganggu manusia.
Sebab itulah saya merasa
kesihan dengan cerita Jali mengenai kematian emaknya 20 tahun lalu. Sebenarnya
timbul cerita langsuyar ini, kerana tiba-tiba saja di Kampung Melang heboh
mengenai pontianak mengganggu. Anehnya pontianak ini tidaklah menjadikan
manusia sebagai mangsanya, sebaliknya ternakan.
Mereka dapati kambing, lembu
atau kerbau mati terdapat kesan bertebuk di tengkuknya. Seolah-olah darah di
tengkuk itu kena hisap. Apabila dibawa ke pengetahuan Pejabat Haiwan, pihaknya juga
tidak dapat memastikan apakah binatang yang menghisap darah demikian.
Seorang kawan Jali dari Kampung
Melang telah memberitahunya. Jadi, Jali pun dengan tidak bersoal jawab mengajak
kawannya itu berjumpa dengan saya. Tentulah saya serba salah bila diajak ke
Kampung Melang untuk menangkap pontianak itu.
"Saya tak tau mengenai pontianak..."
beritahu saya pada Jali dan kawannya Hasim.
Memang saya tidak mahu pergi kalau semata-mata
mahu menangkap pontianak. Tetapi ada juga keinginan saya mahu melihat sendiri
apakah rupanya pontianak. Adakah ianya sama seperti yang digambarkan oleh Maria
Menado dalam filem pontianak?
"Lebih baik ajak Pak Hid
di Ulu Kelang" kata saya.
"Maukah dia pergi?"
tanya Jali
"Kita cubalah beritahu
dulu" ujar saya berkuat mahu mengajak Pak Hid pergi sama.
Biasanya Pak Hid ini kalau saya
ajak ke mana-mana, memang dia sanggup. Lagi pun dia bukanlah ada kerja sangat.
Tambah pula menduda sejak kematian isterinya. Anak pun tak ada. Jadi, bila ada
anak-anak muda yang mahu berkawan dengannya dia pun samalah menjadi orang muda.
Pak Hid bukanlah tinggal di Ulu
Kelang, tetapi menumpang di rumah seorang kawannya. Dia berasal dari Kuala
Selangor. Sebelumnya menjadi nelayan di situ menangkap udang dan ketam di kuala
sungai. Saya berkawan dengan Pak Hid pun baru saja, tetapi sudah terasa begitu
mesra.
Semasa menangguk udang di
sebelah malam Pak Hid pernah bertemu dengan pontianak di satu belukar bakau.
Dia mendengar pontianak itu ketawa mengilai sewaktu bulan mengambang penuh. Pak
Hid terus menerpa ke arah bunyi pontianak mengilai itu. Dia dapat melihat jelas
pontianak itu bertenggek di hujung pokok bakau.
Apabila Pak Hid menggoncang
pokok tersebut dia telah dikencing oleh pontianak berkenaan. Akibat dukencing
itu Pak Hid terpaksa membakar pakaiannya yang disimbahi oleh kencing pontianak
itu. Katanya, bau hancing kencing pontianak itu tidak akan hilang sekalipun
berkotak-kotak sabun basuh digunakan.
"Mengapa tak
tangkap?" saya bergurau dengan Pak Hid.
"Memang aku nak tangkap,
tapi dia lari..." sahut Pak Hid tersengih-sengih.
"Pak Hid bawa paku?"
usik saya lagi.
"Buat apa..." katanya
menggaru-garu tunggul janggut di dagu. Memang dia sudah menduga maksud saya
bertanya demikian. "Ustaz mau saya berkahwin dengan pontianak? Buat
apa...kan manusia ramai, lagi cantik..." ujarnya ketawa berderai.
Cerita orang-orang tua mengenai
pontianak ini, kononnya tengkuk pontianak itu berlubang. Bila dicucukkan paku
dia akan menjelma menjadi manusia dan tidak dapat kembali kepada asalnya. Saya
kira inilah sebahagian dari cerita tahyol yang menyimpang dari akidah Islam.
Kalaulah pontianak ini ujud dia tetap jenis syaitan juga yang menjadi musuh
manusia. Tidak ada sebab dia boleh menjelma menjadi manusia dan tidak dapat
kembali kepada kehidupan asalnya setelah lubang di tengkuknya disendal dengan
paku.
Bila mengenang Pak Hid
dikencing pontianak, saya juga pernah mengalami keadaan demikian. Masa ini saya
masih anak nakal berumur dalam lingkungan 15 tahun. Saya telah menemankan
seorang kawan menemui kekasihnya di satu malam berdekatan dengan belukar kubur.
Semasa kawan saya pergi menemui kekasihnya itu, saya tercangkung kira-kira
empat rantai dari tempat pertemuannya menunggu dia. Selapas itu kami akan
sama-sama balik ke madrasah Tok Aji untuk tidur di sana.
Kalaulah Tok Aji tahu perbuatan
nakal saya itu, tentulah saya akan dimarahinya. Tetapi saya sengaja
memberanikan hati untuk menolong kawan saya itu. Bagaimanapun dia kemudiannya
berkahwin juga dengan kekasihnya itu.
Jadi, ketika inilah saya
mendengar bunyi orang ketawa mengilai di atas pokok rambai yang rimbun di tepi
belukar kubur itu. Disebabkan saya tidak mempunyai perasaan takut, kerana Tok
Aji telah mengingatkan supaya takut kepada Allah saja, saya pun menghampiri
pokok rambai tersebut lalu menyuluh dengan lampu picit.
Tiba-tiba saya rasa air
memercik dari atas, dan saya mendengar satu lompatan ke arah pokok enau yang
berhampiran. Jelas pada silau lampu picit itu seekor musang berlari melarikan
diri. Air yang memercik tadi, memangnya air kencing, Baunya hancing dan tidak
hilang setelah direndam dan disabun.
Bagaimanapun saya tidaklah mahu
bertanyakan kepada Pak Hid mengenai persamaan musang dengan pontianak. Bimbang
juga saya kalau-kalau dia kecil hati dengan pertanyaan demikian. Tetapi saya
percaya Pak Hid seorang yang berani, kerana ada kawan-kawannya yang mengatakan
Pak Hid pernah mengejar harimau apabila terserempak sewaktu mencari ketam di
kuala sungai.
Saya tanya Pak Hid mengenai
cerita dia mengejar harimau itu. Katanya "Aku terserempak harimau bintang.
Dia membelakangkan aku di atas tebing, lalu aku pun sergah dia. Disebabkan dia
terperanjat dia pun melompat langsung lari, aku pun pura-puralah mengejarnya.
Aku tak kejar betul-betul, mana tau kalau dia berpaling, huh nahas aku
dibahamnya" dia tertawa terkekeh-kekeh bila mengenang peristiwa dia
dikatakan mengejar harimau itu.
Bagaimanapun saya berpendapat
Pak Hid bukanlah berani membabi buta. Dia tidak akan menyergah seekor harimau
sedang tidur, kalau dengan keberanian hati semata-mata. Tetapi sudah lama sejak
beberapa bulan ini saya mendampingi Pak Hid masih belum dapat saya lihat
kebenaran tentang cerita mengenai dirinya selama ini.
Oleh itulah saya mengajak Pak Hid sama ke
Kampung Melang iaitu kampung kawan Jali. Saya beritahu Hasim bahawa Pak Hid
memang berpengalaman mengenai pontianak, padahal saya tidak tahu sama ada Pak
Hid betul-betul berpengalaman atau tidak. Tujuan saya adalah untuk mengelak
diri dari Hasim, supaya tidak dianggapnya saya tahu mengenai pontianak itu.
Sepanjang umur saya belum
pernah bertemu dengan golongan syaitan ini di alam nyata, kecuali melalui
perubatan secara tidur. Ketika ke Kuala Terengganu dengan seorang kawan, dia
memberitahu mengenai peristiwanya bertemu dengan lembaga manusia di Bukit
Kijal. Oleh itu dia mengingatkan saya agar tidak terkejut sekiranya ternampak
lembaga berkenaan.
Alhamdulillah, apabila kereta
kami sampai di Bukit Kijal kira-kira pukul 11.30 malam, saya tidak ternampak
pun lembaga yang dibimbangkan oleh kawan saya itu. Saya memberitahunya,
"Saya tak mau bertemu dengan syaitan, tetapi kalau bertemu saya tidak akan
undur sebab dia adalah musuh saya". Mujurlah sepanjang perjalanan itu
pergi dan balik, saya tidak bertemu dengan lembaga yang sangat ditakuti oleh
pemandu-pemandu kereta di Bukit Kijal itu.
"Bagaimana kalau ustaz
bertemu dengan lembaga tersebut?" soal kawan itu mahu menguji perasaan
saya.
"Saya tidak akan peduli,
kecuali kalau dia mengganggu saya" jelas saya perlahan.
"Kalau dia
mengganggu?" tanya kawan itu lagi.
"Saya memohon perlindungan Allah"
beritahu saya.
Kawan saya terdiam. Dia sedar
apabila seseorang itu sudah menyerahkan dirinya kepada Allah, bahawa dia tidak
akan takut menghadapi sebarang musuhnya. Kawan saya itu memang pernah belajar
menjadi dukun dari beberapa orang dukun terkenal. Malah dia pernah menuntut
ilmu pendukunan dari seorang Tok Batin di Jerantut.
Bagaimanapun dia telah
meninggalkan ilmu pendukunannya setelah menyertai satu kumpulan harakah Islam.
Dia merasakan ayat-ayat Quran lebih tinggi martabatnya dari sebarang jampi
serapah. Inilah hakikat sebenarnya tentang kekuatan ayat-ayat Quran itu,
terutama dalam menghadapi musuh yang paling besar iaitu godaan syaitan.
Kawan saya itu pernah dihambat
oleh lembaga yang menjelma seperti seorang wanita memakai pakaian nipis di tepi
cermin keretanya semasa melalui Bukit Kijal dalam perjalanan ke Kuala
Terengganu dari Kuala Lumpur. Kawan saya ini dikenali di kalangan
rakan-rakannya Kadir Misai. Dia ke Kuala Terengganu bersama kawannya dari
Temerloh Suman Awangteh.
Suman Awangteh yang memandu
kereta. Biasanya lembaga berkenaan akan menghambat mangsanya dari tepi jalan
saja. Lembaga wanita akan mengejar kalau kereta menuju ke Kuala Terengganu,
manakala lembaga lelaki akan menghambat kalau kereta meninggalkan Kuala
Terengganu. Seolah-olah macam satu simbolik pula iaitu apabila datang ke
Terengganu akan dinanti oleh wanita, dan apabila balik meninggalkan wanita
berkenaan maka akan diperhambatlah oleh lelaki pula.
Kadir Misai sudah mendengar
kisah di Bukit Kijal ini. Dia menceritakan pada Suman Awangteh mengenai
gangguan lembaga halus di Bukit Kijal. Tetapi Suman Awangteh macam percaya
dengan tidak saja cerita Kadir Misai ini. Kebetulan malam itu kira-kira pukul
10.00 mereka melalui Bukit Kijal untuk ke Terengganu.
Sebaik saja menurun dari Bukit
Kijal tiba-tiba Kadir Misai nampak satu lembaga putih menerkam ke arah kereta.
Mujurlah cermin kereta sudah dinaikkan. Jadi, lembaga itu berdentam ke pintu
kereta. Terkejut juga Suman Awangteh melihat kejadian itu. Bagaimanapun dia
masih dapat mengawal perasaan supaya tidak dipengaruhi oleh ketakutan.
" Jangan peduli
Kadir..." bisiknya mengerling ke arah Kadir Misai.
"Awak pun jangan lari laju
sangat, kalau kita laju dia akan berlari laju juga" ujar Kadir Misai
menjauhkan diri dari cermin kereta. Terasa olehnya tangan wanita itu
seolah-olah dapat menggapai mukanya.
"Pontianak ke?" tanya
Suman Awangteh.
"Bukan..." sahut
Kadir Misai. "Kalau pontianak dia mengilai..." jelasnya masih
dirundung bimbang.
"Orang bunian agaknya..."
Suman Awangteh cuba menghilangkan ketakutan yang menyelubungi perasaannya.
"Tak mungkin" Kadir
Misai mengeluh pendek.
Lembaga itu terus mengejarnya
dari arah tepi jalan. Sekali sekala pintu kereta sampai terdengar bunyi
dentamnya. Bagaimanapun tidaklah mengganggu kereta tersebut. Dia akan berlari
mengikut kelajuan kereta. Muka lembaga itu tidaklah berapa jelas kepada Kadir
Misai, tetapi jelas seorang wanita kerana rambutnya yang panjang mengurai, di
samping pakaiannya seperti perempuan memakai baju tidur halus dan jarang.
"Kita berhenti
saja..." Suman Awangteh mula marah dengan kelakuan lembaga itu merempuh ke
arah keretanya.
"Jangan, lebih baik kita
terus saja. Jangan pedulikan dia" kata Kadir Misai. Dia juga sudah mula
rusuh dengan gangguan lembaga tersebut. Sekiranya dia mengikut cadangan Suman
Awangteh bimbang juga lembaga itu bertindak lebih jauh. Mana tahu dia akan
menghumbankan kereta Suman Awangteh ke bawah gaung.
Apa akan jadi kalau kereta
tersebut dihumbankannya ke bawah gaung. Tentu dia dan Suman Awangteh
terperangkap menjadi mangsa. Sudah tentu orang ramai mengatakan kereta mereka
terbabas menyebabkan terhumban ke bawah gaung. Oleh itulah Kadir Misai melarang
kawannya mengikutkan perasaan marah di hati.
Sehingga masuk ke kawasan kampung
barulah lembaga tersebut tidak mengejar kereta itu lagi. Barulah lega hati
Kadir Misai tidak digannggu oleh lembaga berkenaan. Kalaulah dia masih
mengamalkan ilmu pendukunan memang diujinya lembaga tersebut.
"Mengapa kau tak gunakan
ayat-ayat Quran?" tanya saya apabila dia menceritakan peristiwa itu kepada
saya dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu dalam bulan Januari tahun 85
lalu.
"Aku tak tau ayat mana
yang hendak digunakan..." keluhnya perlahan. "Surat Al Ikhlas itu
sudah cukup untuk menghancurkan syaitan" kata saya menjelaskan.
Kadir Misai tidak menyahut.
Sama ada dia tidak yakin dengan ayat tersebut, atau merasakan kata-kata saya
itu hanya untuk menguji dia, tidaklah saya tahu. Tetapi dari keluhannya saya
dapati dia tidak menyangka bahawa ayat yang sering dibacakan itu mempunyai
kekuatan yang tersendiri.
Tetapi dalam perjalanan itu
saya tidaklah berharap untuk bertemu makhluk berkenaan di Bukit Kijal. Doa saya
apabila memohon kepada Allah hanya lindungi saya dan berilah pertolongan apabila
memerlukan. Hanya Allah sajalah yang melindungi dan memberi pertolongan kepada
diri saya, kerana saya adalah lemah di sisiNya.
Itu sajalah cerita mengenai
lembaga perempuan di Bukit Kijal yang saya dengar dari Kadir Misai. Tetapi dia
mengatakan lembaga itu bukanlah pomtianak.
"Ustaz nak jumpa
pontianak?" tanya Kadir Misai di satu masa yang lain.
"Buat apa...!" jawab saya perlahan.
"Saya tak ada urusan dengannya buat apa nak jumpa, kecualilah kalau
terserempak" beritahu saya seterusnya. Memang tidak ada gunanya kita
sengaja mempunyai tujuan untuk bertemu jenis-jenis benda begini.
Sebagai makhluk Allah syaitan
juga mempunyai kegiatan hidup sehari-hari seperti kita. Cukuplah, kita
menyedari bahawa syaitan itu wujud. Tanggungjawab syaitan ialah untuk memusnahkan
anak-anak Adam, setelah dia tidak mahu sujud kepada Adam. Jadi, apa perlunya
kita mahu menemui syaitan?
"Barulah kita dapat
buktikan tentang pontianak..." ujar Kadir Misai tersengih-sengih.
"Apa untungnya...?"
saya tersinggung juga dengan kata-kata Kadir Misai, seolah-olah saya sengaja
mahu mencari syaitan.
"Kita mahu tunjuk pada
orang mengenai pontianak" katanya lagi.
"Ah, kerja sia-sia
Kadir" jelas saya mengingatkan dia. "Kalau orang percaya kepada ayat
A'uzubillahhiminas syaitannir rajim, orang akan sedar syaitan itu ujud dan
mengganggu manusia. Itulah buktinya..." ujar saya kesal dengan sikap Kadir
Misai.
Tetapi saya tahu Kadir Misai
hanya bergurau. Dia seolah-olah mahu mempersenda-sendakan pontianak itu.
Disebabkan sudah lama terlibat dalam ilmu pendukunan tentulah dia sering
ditanya oleh orang ramai mengenai hantu jembalang yang mengganggu pesakitnya
itu. Selama itu juga dia tidak dapat membuktikan kepada orang ramai, apakah
sebenarnya hantu jembalang tersebut.
Jadi dia menganggap saya
menghadapi masalah demikian. Sedangkan berkali-kali saya memberitahu dia bahawa
saya bukanlah seorang dukun.
Beginilah mulanya perkenalan
saya dengan Jali yang berasal dari Bukit Mertajam itu. Pada mulanya dia dan
isterinya datang ke rumah saya dengan tujuan membuat parti arcoroc. Kebetulan
isterinya memang kenal kepada isteri saya, sebab itulah dia meminta isteri saya
membantunya mengadakan parti arcoroc yang diusahakannya.
Jali ikut sama menghantar
isterinya itu. Apabila Mimi isteri Jali mahu masuk ke pintu rumah saya, dia
merasakan dirinya tiba-tiba seram sejuk. Kepalanya juga terasa pening
menyebabkan dia hampir pitam. Akhirnya parti arcoroc itu juga tergendala.
Jiran-jiran yang sudah datang berkumpul di situ pun terkejut melihat peristiwa
yang tiba-tiba saja berlaku.
Melihat keadaan isterinya
cepat-cepat Jali menerpa datang. Dia juga terkejut dengan keadaan isterinya
itu. Sementara isteri saya pula segera memanggil saya di bilik. Ketika ini saya
sedang membaca buku, kerana saya tidaklah mencampuri sangat parti arcoroc yang
dikelolakan oleh Mimi dengan bantuan isteri saya itu.
Apabila saya keluar mahu
melihat Mimi, itulah pertama kali saya berkenalan dengan Jali. Selepas itu kami
pun menjadi kawan baik pula.
"Badan saya ni rasa nak
demam ustaz..." kata Mimi gelisah.
"Bila awak demam?"
tanya saya.
"Tak tau, dari rumah tadi
sihat" beritahu Jali serba salah kerana orang-orang yang dipanggil untuk
parti arcoroc sudah pun datang, tiba-tiba tergendala pula.
"Selalukah dia kena macam
ni..?" saya inginkan kepastian.
"Tak pernah" jelas
Jali gugup. "Tapi, selalu juga dia mengadu sakit kepala, dan badannya
lenguh-lenguh macam membawa beban berat" ujarnya lagi.
Saya menyuruh isterinya
mengambil air sejuk segelas. Kemudian saya membaca Surah Al Ikhlas tiga kali
dan menyuruh dia meminum air tersebut. Sebaik saja Mimi meminumnya dia
terpekik, "Panas...!. Lantas dilemparkannya gelas tersebut. Jali
melekapkan tapak tangannya kepada air yang jatuh di lantai. Dia keheranan
dengan kelakuan isterinya menggelupur seperti terkena air panas sebentar tadi.
"His, air ni sejuk aje. Mengada-ngada aje kau..." suaranya keras
sedikit.
"Awak jangan terkejut Jali..." saya
merenungi dia. "Awak tak boleh marahkan dia, sebab dia ni ada
gangguan..." jelas saya agar dia memahami bahawa Mimi sebenarnya memang
sakit.
Gangguan terhadap Mimi sudah
lama, tetapi mereka berdua tidak menyedarinya. Mimi hanya merasa kepalanya
sering sakit dan badannya lenguh-lenguh. Apanila Jali membawa Mimi ke hospital
atau klinik pihak doktor menyatakan darah tinggi. Anehnya, bila diuji ternyata
Mimi tidak mengidap penyakit darah tinggi.
Disebabkan gangguan itu memang
sudah sebati dengan tubuh Mimi, dia menjadi tertekan ketika masuk ke rumah
saya. Sedapat-dapatnya dia tidak mahu masuk ke rumah saya, tetapi Mimi
menguatkan azamnya untuk masuk juga. Perlawanan antara Mimi dengan gangguan
semangatnya inilah yang menyebabkan dia menggelupur sebentar tadi.
Setelah meminum air sejuk yang
dikatakannya panas tadi, Mimi mula bertindak ganas. Dia menampar pipi saya
sekuat hatinya. "Mengapa kau ganggu aku! Dah lama aku dengan Mimi, tak ada
siapa pun ganggu!" Mimi mula meracau sambil mahu menerkam ke arah saya.
Jiran-jiran pun segera
memegangkan Mimi. Mereka juga tahu bahawa Mimi dalam keadaan tidak sedarkan
diri.
"Awak sabarlah,
Jali..." saya mengingatkan Jali.
Jali hanya mengangguk. Dia
mengerling pipi ssya yang berbekas lima jari akibat ditampar MImi.
Inilah risikonya apabila kita
mahu menolong orang yang diganggu semangat syaitan. Kebanyakan dukun-dukun juga
menghadapi risiko begini. Kadangkala ditampar, dimaki hamun, diludah dan
sebagainya. Tetapi kita terpaksa bersabar kerana yang melakukan perbuatan
tersebut bukannya diri pesakit berkenaan, tetapi jiwanya yang sudah dirasuk.
Saya meminta izin dari Jali
untuk memegang kepala isterinya. Kemudian saya membacakan 6 ayat terakhir dari
Surah Yassin disambung dengan Ayat Kursi. Ketika ini Mimi memekik-mekik
kesakitan.
"Cakap! siapa awak!" jerkah saya
merenung mata Mimi. Di matanya saya lihat perempuan tua yang lemah menunggu
kedatangan saya. Tetapi perempuan tua cuba melindungi kelemahannya, sebaliknya
berpura-pura gagah mahu menentang saya.
"Siapa awak?" soal saya keras.
"Ustaz jangan kacau
saya" sahut perempuan tua itu marah.
"Saya sayangkan budak Mimi
ni, buat apa ustaz nak pisahkan kami" katanya mengancam.
"Mimi tak sukakan
awak!" balas saya.
Perempuan itu menjengilkan mata
mengancam saya. Kemudian dia tertawa mengilai. Ketawa itu sungguh menggerunkan,
dan dapat saya rasakan itulah hilaian pontianak. Saya mengagak inilah jenis
pontianak yang selalu mengganggu manusia.
"Awak simpan pontianak
ye...?" bentak saya bila melihat tiba-tiba perempuan muda berwajah jelita
berdiri di belakang perempuan tua itu.
"His, aku tak kenal dia" sahut perempuan
tua mengalih pandangan kepada perempuan muda yang mengilai tadi.
"Kau nak berolok-olok
dengan aku!" ujar saya lalu membacakan ayat yang lain. Api tiba-tiba
menyala di depannya menyebabkan perempuan tua itu terpekik-pekik mengatakan
panas. Seluruh badannya menggelupur akibat bahang api yang menyala di
kelilingnya.
Perempuan muda itu cuba
melarikan diri dari api menyala, tetapi cepat-cepat disambar oleh perempuan tua
tadi. Mereka berpeluk-peluk menghadapi api yang menjulang.
"Tolong..." kata
perempuan muda itu merayu. "Tolong ustaz...! saya tak tau hal, saya
tersesat jalan. Orang tua ni yang tipu saya" ujarnya merintih-rintih.
Tetapi memang dasar syaitan
tidak mahu mengaku kesalahannya. Dia akan menyalahkan orang lain bila dirinya
terancam. Oleh itu saya tidaklah terpengaruh dengan rintihan dia. Saya terus
membacakan beberapa potong ayat lagi untuk menyerangnya.
"Ustaz, tolong saya"
rayunya meminta belas kasihan. "Saya tersesat jalan, percayalah saya
tersesat jalan. Saya bukan nak ke sini tadi, tapi orang tua ni perdayakan
saya" jelasnya.
"Aku tak percaya!"
sahut saya keras.
"Saya tak bohong
ustaz..." ujarnya lagi merayu-rayu.
"Awak mahu pergi
tinggalkan Mimi?" soal saya tegas.
"Saya memang nak
pergi" dia memberitahu.
Memang saya lihat dia mahu
pergi, tetapi perempuan tua itu memaut pinggangnya kuat-kuat.
"Macam mana awak boleh
sesat?" tanya saya.
"Saya nak balik, orang tua
ni ajak singgah" katanya meronta-ronta mahu lepaskan diri dari pautan
perempuan tua berkenaan.
Perempuan muda berkenaan
mengaku dirinya pontianak. Dia sebenarnya mahu melarikan diri dari manusia.
Demikian yang dialami oleh Pak Hid semasa dia terserempak dengan pontianak. Pak
Hid memberitahu saya pontianak memang takut pada manusia. Dia akan lari apabila
terserempak dengan manusia sampaikan terkeluar kencing. Tetapi mengapa manusia
takut kepada pontianak?
Dia diperalatkan oleh perempuan
tua itu bagi menjadi perisainya apabila diserang dengan api. Sebab itulah
ketika dia melintasi kawasan berkenaan, dia terpedaya sehingga termasuk ke
dalam jebak wanita tua itu. Dia tersesat kerana tidak diketahuinya bahawa
perempuan itu sedang terancam.
"Baiklah, kalau awak nak
balik, baliklah sekarang" kata saya sambil memberhentikan serangan.
Perempuan muda itu mengilai panjang sebaik saja api menyala itu padam.
Tetapi dia tidak dapat
bergerak. Pinggangnya dipaut kuat oleh perempuan tua berkenaan.
"Awak lawan dia dan pergi
dari sini!"
Perempuan muda yang mengaku
dirinya pontianak itu meronta-ronta mahu melepaskan diri, tetapi ternyata
rontaannya tidak dapat membuka pautan tangan perempuan tua. Saya menjadi marah
dengan sikap perempuan tua itu. Dia tahu selagi perempuan muda berkenaan dapat
dipautnya, saya tidak akan menyerang dia.
"Innahu minsulaiman
wainnahu bismillahhirahmannirrahim..." saya menghentakkan kaki. Saya
mempunyai iktikad bahawa pontianak itu adalah hamba yang boleh saya perintah.
Pontianak itu akan mengikut apa saja perintah saya selagi dia di dalam
kekuasaan saya.
"Sekarang awak cakar muka
perempuan tua itu dengan kuku awak!" perintah saya kepada pontianak yang
mendakwa dirinya tersesat tadi.
Sekaligus dia mencakar muka
perempuan tua dengan kukunya yang panjang dan keras. Perempuan tua itu
terjerit-jerit kesakitan. Di sini bererti saya berjaya menggunakan syaitan
untuk menyerang syaitan yang lain. Saya gunakan pontianak tersesat tadi
menyerang perempuan tua itu.
Mau tidak mahu perempuan itu
melepaskan pontianak tadi. Terlalu gembira pontianak itu apabila dia terlepas
dari pautan perempuan tua. Dia mengilai lagi sebagai tanda berjaya.
"Sekarang awak pergi,
jangan mengganggu lagi..." perintah saya setelah menyedari bahawa dia
bercakap benar.
"Baiklah ustaz, saya pergi
sekarang" sahutnya lalu melayang hilang dari pandangan saya.
Setelah pontianak itu pergi saya
melihat orang tua tadi menekup mukanya yang calar balar dicakar pontianak. Dia
mengerang-ngerang kesakitan. Tidak berani memandang saya.
"Awak jangan ganggu Mimi
lagi, tau!" jerkah saya mengancam dia.
"Tujuh tahun aku bela
dia..." perempuan tua itu terisak-isak menangis. "Tujuh tahun aku
bela Mimi, sekarang senang-senang awak nak rampas dia dari tangan aku" dia
menahan kesakitan akibat dicakar kuku pontianak.
"Fasal apa awak bela dia, dia ada
keluarga?" ejek saya. "Aku sayangkan dia..." sahut perempuan tua
itu lagi. "Mimi tak sayang kau, lebih baik kau tinggalkan dia" ujar
saya mengingatkan dia.
Perempuan tua itu menangis
terisak-isak. Kesakitan dicakar oleh pontianak sebenarnya tidak menjadi ancaman
pada dirinya. Tetapi dia tidak dapat bertahan dari ayat-ayat Quran yang
dibacakan di hadapannya.
Rupanya perempuan itu adalah
pemilik tanah tempat tinggal Jali dan Mimi yang dibelinya di Bukit Mertajam.
Perempuan itu telah lama meninggal dunia iaitu sejak tujuh tahun lalu.
Keluarganya menjualkan tanah tersebut kepada Jali.
Disebabkan harga tanah itu
murah, maka Jali pun membelinya. Sejak membeli tanah itulah Mimi selalu merasa
kepalanya sakit. Badannya lenguh-lenguh seperti membawa beban berat. Apabila
dibawa berubat ke hospital doktor mengesyaki penyakit darah tinggi. Tetapi
setelah diuji tidak ada pula kesan-kesan darah tinggi itu.
Setelah Mimi sedar, saya
menasihatkan Jali dan jiran-jiran supaya tidak menceritakan kepada Mimi apa
yang berlaku sewaktu dia tidak sedarkan diri. Segala percakapan saya dengan
perempuan tua dan pontianak yang tersesat itu dapat mereka dengar melalui Mimi.
Bermula dari kisah itu jugalah
Jali mengajak kawannya Hasim menemui saya untuk mengajak ke Kampung Melang.
Saya pula mengajak Pak Hid bersama, kerana saya percaya Pak Hid juga mempunyai
pengalaman lebih dari saya.
TAMAT
bgs ustaz nie
ReplyDelete