Kebimbangan dan ketakutan
penduduk-penduduk di kampung di Chenor sudah diberitahu kepada ketua kampung
mengenai ada lembaga menceroboh masuk ke dalam rumah, tetapi boleh
menghilangkan diri apabila mangsanya terjaga dari tidur. Bagaimanapun ketua
kampung enggan melaporkan kepada polis kerana perkara itu belum sahih.
Setengahnya mengatakan orang
minyak, tetapi mangsa yang pernah diceroboh tidak pula mengatakan orang minyak.
Katanya, lelaki biasa berdiri dekat tempat tidurnya, kemudian hilang di sebalik
langsir tingkap, sedangkan tingkap masih berkunci rapat dari dalam.
Ketua kampung menyuruh beberapa
orang pemuda kampung berkawal malam bagi memerangkap penceroboh berkenaan,
tetapi sudah 10 hari mereka berkawal gangguan penceroboh itu masih juga
mengancam. Dia sempat naik ke rumah Derih Gagap makan minum sebelum tidur
berbaring di sebelah isteri Derih Gagap. Dia telah menanggalkan pakaian Kak
Senah, tetapi tidak melakukan apa-apa.
Apabila tersedar dari tidurnya
kira-kira jam 11 malam, Kak Senah mendapati pakaiannya sudah dilucutkan,
manakala lelaki itu terbaring di sebelahnya terlentang.Disebabkan cahaya lampu
pelita samar-samar Kak Senah tidak cam mukanya, sebaliknya dia hanya menjerit
saja sekuat hati. Ketika ini Derih Gagap ikut sama berkawal.
Lelaki itu tidak tergopoh-gopoh
lari. Dia hanya berjalan longlai kemudian melompat ke atas tingkap. Dia hilang
di sebalik langsir tingkap, walaupun tingkap berkunci dari dalam. Kak Senah
memang tidak dapat bangun untuk memukul lelaki berkenaan kerana pakaiannya
sudah terlucut. Kelam kabut pula dia menarik cadar tilam untuk membungkus
tubuhnya.
Kak Senah mengaku dia tidak
dicabul oleh lembaga tersebut. Bukan Kak Senah saja, malah Jenab, Mirah, Ibah,
Seli yang pernah diceroboh juga mengaku tidak dinodai oleh lelaki yang
melucutkan pakaiannya itu. Dia hanya berbaring saja dan lari menghilangkan diri
apabila mangsanya terjaga dari tidur.
Puas juga ketua kampung
memikirkan apakah bencana yang menimpa kampungnya. Untuk dilaporkan pada polis
pula, perkara sia-sia saja kerana tidak ada bukti. Malah dia pula akan dimarahi
oleh penghulu Mukim kerana seolah-olah mengadakan cerita saja dan mahu
menyusahkan pihak polis.
"Ini perbuatan orang biasa
" kata Aki Kidam apabila diberitahu oleh Derih Gagap mengenai rumahnya
yang diceroboh. "Inilah padahnya menuntut ilmu syaitan , buat saja apa
yang disuruh syaitan" dia mencemuh.
"Kalau dapat aku hentak
kepala dia" Derih Gagap menggertap bibirnya.
Aki Kidam tersenyum mendengar
kata-kata Derih Gagap yang terlalu geram kerana rumahnya diceroboh. Mujurlah
isterinya tidak ternoda. Bagaimanapun dia merasa malu juga lelaki itu berani
tidur di sebelah isterinya . Kalau lelaki itu berani menunjukkan diri,memang
dia akan tumbuk mukanya . Siapa kalah siapa menang dia tidak peduli.
Dia menjadi lelaki dayus kalau
membiarkan isterinya ditiduri oleh lelaki lain, sekalipun lelaki itu tidak
menodainya. Sebab itulah Derih Gagap meminta nasihat Aki Kidam bagaimana mahu
menentang penceroboh tersebut.
"Mau melawan orang gunakan
ilmu setan, jangan cepat marah" ujar Aki Kidam mengingatkan dia. "
Setan memang suka kita marah, sebab dia boleh melemahkan kalau kita cepat
marah" Aki Kidam tersengih-sengih melihat Derih Gagap yang terlalu marah
dengan peristiwa isterinya diceroboh oleh lelaki tersebut.
Di rumah Jenab juga berlaku
sebelum rumah Derih Gagap dinaiki oleh lelaki berkenaan.
Ketika ini suami Jenab, Safar
Iguk ada tidur di sebelahnya. Lelaki itu boleh tidur di sebelah Jenab sedangkan
Safar Iguk ada tidur di situ. Safar Iguk hanya terkebil-kebil biji mata melihat
lelaki itu melucutkan pakaian isterinya, kemudian tidur di sebelahnya.
Hanya apabila Jenab menjerit
barulah Safar Iguk boleh bangun, tetapi sudah lambat bertindak. Dia nampak
lelaki itu terjun ikut tingkap. Sebaliknya apabila diperiksa tingkap itu
ternyata masih berkunci kuat dari dalam.
"Safar Iguk macam kena
pukau, sampai dia tak cam orang tu" rungut Derih Gagap masih tidak dapat
menahan sabar.
"Memang dia pakai
pukau" sahut Aki Kidam perlahan. "Dia nak mencubakan ilmunya, itu
aje" katanya menambah.
"Anjang Hak adalah bagi
tangkal" beritahu Derih Gagap menunjukkan kain kuning selebar dua jari
kepada Aki Kidam. Aki Kidam hanya mengerling saja kain kuning yang dikatakan
tangkal itu. Dia tidak pun mencapai untuk membeleknya.
"Emmm, simpanlah tangkal
tu" Aki Kidam menyuruh Derih Gagap menyimpan tangkal yang diberi Anjang
Hak itu baik-baik.
Orang-orang kampung semua diberi
oleh Anjang Hak tangkal yang bertulis ayat dari Surah Al-Qalam, disuruh pakai
waktu tidur. Setelah diberi tangkal oleh Anjang Hak pun, masih juga ada
gangguan. Malah rumah-rumah yang pernah dicerobohnya juga dinaiki lagi.
Bagaimanapun dia tidaklah mengganggu tangkal yang diikat pada lengan.
"Nampaknya dah melampau
ni" keluh Usup Kecih ketika minum di kedai kopi Sidin Bular. "Dah tak
dapat ditahan-tahan lagi. Lat-lat dua tiga malam dia menceroboh juga, walaupun
kita berkawal" katanya menggertap bibir.
"Hai kita berkawal malam,
rumah kita pula dicerobohnya" ujar Derih Gagap menggertap bibir.
"Tak boleh jadi macam
ni" sampuk Sidin Bular tercongok tidak jauh dari Derih Gagap. Semua orang
kampung bercerita mengenai gangguan ini di mana-mana saja.
Perempuan-perempuanlah yang berada dalam ketakutan. Mereka mahu membasuh ke
sungai atau ke telaga juga menjadi takut.
Di samping itu cerita mengenai
lelaki menceroboh itu berlaku juga di lain-lain kampung seperti Kampung Awah,
di Kampung Belawan dan lain-lain. Malah ada orang datang dari Pelangai juga
menceritakan juga lelaki seperti itu mengganggu juga di Pelangai dan di Mancis.
Sejauh mana dakwaan itu benar
tidak pula diketahui kerana tidak siapa pun yang membuat aduan kepada polis.
"Kita repot aje pada
polis" Usup Kecih mencadangkan. "Ketua kampung kata jangan..."
cepat saja Derih Gagap menegah. "Kita tak boleh biarkan" gerutu Usup
Kecih tidak puas hati dengan ketua kampung tidak mahu membuat aduan kepada
polis.
"Saya setuju dengan ketua
kampung" sahut Sidin Bular pula. "Kalau perkara ini dah lepas ke
tangan polis, habis budak-budak tak bersalah pun kena tangkap, kena soal. Orang
yang bersalah tetap terlepas juga. Lebih baik kita bersabar untuk
menangkapnya" dia terangguk-angguk macam mempertahankan pendirian ketua
kampung.
"Sampai habis orang kampung
kena perkosa?" Usup Kecih mencemuh.
"Takat ni, belum ada yang
kena" kata Sidin Bular macam memujuk supaya Usup Kecih bersabar.
Ketakutan seperti ini pernah juga
berlaku di kampung Hulu Cenderak di Jelebu dalam Negeri Sembilan. Pernah juga
berlaku di Segamat, Johor. Orang-orang di Cangkat Jong di Teluk Intan pun
pernah juga gempar dengan cerita-cerita seperti ini. Tetapi semuanya
disenyapkan saja oleh penduduk-penduduk kampung hingga akhirnya gangguan itu
lenyap begitu saja.
Memang benarlah kata Aki Kidam,
mereka yang melakukan perbuatan itu untuk menguji ilmu yang dituntutnya.
Apabila amalan itu sudah sempurna mereka pun tidaklah lagi melakukannya. Inilah
sebahagian dari ilmu-ilmu yang di dampingi oleh syaitan yang masih menjadi
kegemaran orang-orang yang mengejar ilmu kebatinan dengan tidak berpandukan kepada
ajaran islam. Demikian kata Aki Kidam semasa berbual-bual dengan saya di pondok
buruknya.
Aki Kidam memberitahu saya
peristiwa yang berlaku ketika dia tinggal di Chenor dulu memang diketahui siapa
yang melakukannya. Tetapi orang-orang kampung tidak tahu siapa yang melakukan
kerana orang berkenaan bukan dari kampung tersebut. Setelah dapat ditangkap
oleh Aki Kidam, dia melepaskan semula pemuda berkenaan.
Sejak itu tidaklah berlaku lagi
gangguan menceroboh rumah orang di situ.
"Buat apa Ustaz nak tanya hal-hal
macam tu, Aki rasa Ustaz lebih banyak mengetahui" dia enggan menceritakan
kepada saya bagaimana dia boleh menangkap pemuda yang menceroboh itu.
"Saya ni mencari-cari saya
tak mengetahui" balas saya perlahan. Kadang-kadang saya malu bila orang
tua-tua seperti Aki Kidam ini menganggap saya lebih mengetahui darinya, padahal
orang-orang kampung semua tahu mengenai kebolehan dia selama ini.
Memang saya sudah mengenali Aki
Kidam sejak dia berpindah ke situ. Ketika tingal di Chenor, Pahang katanya dia
bertukang kayu. Tetapi selepas uzur dan tidak berupaya lagi membuat kerja-kerja
berat, Aki Kidam berpindah ke kampung yang didiami sekarang. Dia berpindah ke
situ kerana mengikut anak saudara isterinya, dan dia sudah pun membeli sekeping
tanah sawah di situ.
Jadi, dia menceritakan kisahnya
di Chenor itu pun, kerana saya mendesak sangat mahu mendengar kisah dia berjaya
menghindar bencana tersebut. Anak Derih Gagap yang berkawan dengan saya di
Kuala Lumpur itu memberitahu saya mengenai peristiwa tersebut. Dan dialah
memberitahu mengenai Aki Kidam yang didengarnya khabar sudah berpindah ke
kampung yang kami tujui itu.
Dengan adanya Tumin anak Derih
Gagap tidaklah dapat Aki Kidam menyembunyikan kisah dia di Chenor dulu.
"Inilah Tumin, Aki. Tumin ini anak Derih Gagap yang Aki tolong tu"
jelas Tumin mengingatkan dia.
Disebabkan Tumin ada bersama
saya, mahu tidak mahu Aki Kidam mengakui juga yang dia bertanggunggjawab
menangkap pemuda yang melakukan perbuatan menceroboh rumah orang itu. Mula-mula
Derih Gagap mahu memenggal leher pemuda berkenaan, tetapi dilarang oleh Aki
Kidam. Itulah syaratnya kalau mahu pertolongan dari Aki Kidam.
Setelah orang-orang kampung kelam
kabut dengan bencana menimpa mereka, Derih Gagap bersama ketua kampung menemui
Aki Kidam yang pada masa itu bertukang membuat rumah. Satu hari kakinya telah
terpijak paku menyebabkan kakinya membengkak dan tidak dapat dipijakkan. Aki
Kidam mengambil minyak kelapa yang direndamkan dengan paku, kemudian dia
mendoakan sesuatu. Lepas itu disuruhnya gosok pada bahagian ditusuk paku itu.
Sebaik saja disapu minyak tersebut Derih Gagap boleh memijakkan tumitnya
semula. Sakit pada bahagian ditusuk paku itu juga berkurangan. Tiga hari
kemudian luka tusukan paku tidak menyakitkan lagi.
Sejak itulah Derih Gagap sering
menemui Aki Kidam kalau dia sakit atau memerlukan doa orang tua itu.
Ketua kampung bersetuju dengan
cadangan Derih Gagap untuk menemui Aki Kidam. Dalam pertemuan itu ketua kampung
juga bersetuju dengan syarat yang diberi oleh Aki Kidam supaya tidak memberitahu
orang kampung, apakah yang harus dibuatnya. Sementara itu dia menyuruh semua
orang memakai tangkal yang diberi oleh Anjang Hak.
Malah apa yang disuruh buat oleh
Anjang Hak juga mereka lakukan seperti yang diingatkan oleh ketua kampung.
Mereka dikehendaki merentang benang hitam pada tiap-tiap tingkap dan pintu.
Kata Anjang Hak sekiranya orang itu menceroboh juga dia akan dapat dilihat,
ilmu ghaib tidak akan menjadi lagi. Lebih sebulan mereka melakukan seperti yang
disuruh oleh Anjang Hak iaitu merentangkan benang hitam pada pintu dan tingkap,
sejak itu lenyaplah cerita lelaki menceroboh itu.
Setahu orang-orang kampung usaha
Anjang Hak itulah yang membantu mereka menghindarkan malapetaka itu. Rahsia
sebenarnya hanya diketahui oleh ketua kampung dan Derih Gagap. Mereka berdua
teguh memegang janji dengan Aki Kidam supaya tidak memberitahu mengenai usaha
Aki Kidam itu kepada orang-orang kampung.
Sudah berpuluh tahun berlalu
barulah Derih Gagap menceritakan pada anaknya Tumin. Dialah berpesan kepada
Tumin supaya menjengok-jengok orang tua itu kalau masih hidup. Puas juga Tumin
mencari barulah ditemuinya orang tua itu. Dia pula mengajak saya menemui orang
tua tersebut, kerana dia tahu saya sangat gemar menemui orang tua seperti Aki
Kidam ini.
Aki Kidam sudah dapat mengagak
bahwa kekacauan di kampung tempat dia menumpang itu dilakukan oleh orang yang
baru mencuba amalannya. Walaupun setakat itu lelaki berkenaan belum melakukan
kejahatan, tetapi ianya amat membimbangkan orang-orang kampung.
Memang Aki Kidam tahu bahwa
amalan itu tidak boleh mencabul kehormatan mangsanya. Dia hanya dikehendaki
melucutkan pakaian mangsanya dan berbaring di sebelahnya beberapa ketika
sehingga mangsanya terjaga dari tidur. Jika itu berjaya dilakukannya barulah
amalannya dikira berjaya sepenuhnya.
Bagi Aki Kidam amalan itu
bukanlah asing kepadanya. Malah dia juga pernah melakukannya, tetapi tidak mahu
diteruskan kerana diketahuinya bertentangan dengan ajaran islam. "Ilmu ini
tidak memberi manafaat, kecuali untuk tujuan jahat dan ditunggang oleh
setan" katanya menyesali perbuatan pemuda itu.
Kelebihan pada pemuda itu sudah
dapat dirasakan oleh Aki Kidam. Di mana saja ada bahagian yang boleh lulus
angin, maka di situlah dia boleh masuk. Oleh itu tidak semestinya dia masuk
melalui tingkap atau pintu saja. Pemuda itu itu boleh masuk ke dalam rumah
melalui celah-celah dinding juga.
"Tetapi tiap-tiap ilmu
setan, ada kelemahannya. Kita mesti cari tempat lemahnya" jelas Aki Kidam.
Dia tidak menerangkan di mana
kelemahan yang mesti dicari. Tetapi setakat ini memang Derih Gagap tahu bahawa
rumah Aki Kidam tidak pernah diganggu oleh lelaki tersebut. Malah semasa
orang-orang kampung heboh dengan pencuri, rumah Aki Kidam tidak pernah
diganggu. Pernah juga Usup Kecih mengesyaki perbuatan Aki Kidam, sebab itulah
rumahnya tidak diganggu.
Aki Kidam hanya mengajak ketua
kampung dan Derih Gagap saja berkawal malam. Orang-orang lain hanya disuruh
menunggu rumah masing-masing saja setelah mendapat tangkal dari Anjang Hak.
Malam pertama mereka bertiga
berkawal, tidak ada tanda lelaki berkenaan masuk menceroboh. Ketua kampung dan
Derih Gagap dibawa oleh Aki Kidam berjalan di sekeliling kampung, dan menunggu
di jalan masuk ke kampung itu. Setelah jam 12 malam Aki Kidam mendapati tidak
ada apa-apa tanda. Dia pun mengajak kedua-dua rakannya itu balik saja.
Tiga malam berkawal masih belum
ada tanda-tanda yang diagak oleh Aki Kidam. Dalam masa tiga malam itu juga
tidak ada orang yang gempar kerana diceroboh.
"Agaknya dia dah tahu kita
berkawal" bisik Derih Gagap.
"Boleh jadi juga" Aki Kidam
mengangguk. Orang seperti itu memang ada gerak sendiri. Sekiranya dia mendapati
nahas di pertengahan jalan, dia tidak akan meneruskan perbuatannya. Dia akan
menunggu orang-orang kampung terlalai barulah dia bertindak semula.
"Aki kena usahakan juga,
hindarkan dia dari mengganggu" ujar ketua kampung gelisah dengan bencana
yang menimpa kampungnya. "Kalau tak dapat kita halang, orang-orang kampung
tak senang nak buat itu dan ini" katanya dengan penuh harapan.
Aki Kidam menggigit ibu jarinya
macam memikirkan sesuatu, tetapi sebenarnya ada petua dia lakukan demikian.
"Kita lorongkan dia ke rumah kau ajelah Derih" Aki Kidam
tersengih-sengih.
Mula-mula Derih Gagap gelisah
juga dengan permintaan Aki Kidam itu. Mana tahu pemuda itu lebih dari Aki
Kidam. Orang jahat mesti ada muslihatnya sendiri untuk melepaskan diri. Tetapi
kerana nekadnya untuk mengetahui apakah kesudahan penceroboh itu dia bersetuju
dengan apa sahaja cadangan Aki Kidam.
Mereka bertiga menuju ke rumah
Derih Gagap. Samapai di kepala simpang Aki Kidam menghentakkan tumitmya tiga
kali ke bumi, kemudian barulah mereka terus ke rumah Derih Gagap. Dia menegah
Derih Gagap dari membangunkan isterinya, sebaliknya dia menyuruh Derih Gagap
duduk di bawah rumah bersetentang dengan tempat isterinya tidur. Manakala ketua
kampung duduk di bawah serambi.
Derih Gagap nampak Aki Kidam
mengelilingi rumahnya dengan mengguriskan kelengkeng ke tanah, sebanyak tiga
kali pusing. Apakah yang dibuatnya mereka berdua tidak tahu. Lepas itu barulah
Aki Kidam masuk ke bawah rumah di bahagian dapur. Sebelum itu dia berpesan
kepada dua orang rakannya itu jangan buat apa-apa kalau terlihat sesuatu,
kecuali apabila dia memberi isyarat supaya keluar dari bawah rumah.
Kira-kira 1 jam mereka bertiga tercangkung
di bawah rumah, barulah Derih Gagap terdengar bunyi orang mendehem. Pada
mulanya dia menyangka Aki Kidam. Begitu juga ketua kampung, dia menyangka Derih
Gagap yang mendehem. Marah juga dia pada Derih Gagap kerana melanggar arahan
Aki Kidam supaya jangan berbunyi sedikit pun.
Tetapi jelas bunyi orang mendehem
itu jauh di luar kawasan rumah. Kemudian dehemnya lebih kuat kerana sudah dekat
dengan kawasan rumah. Lepas itu terdengar pula bunyi pasir diserakkan ke atas
bumbung rumah itu sebanyak tiga kali. Tetapi Derih Gagap belum melihat
sesiapapun melakukan perbuatan itu. Bagaimanapun dia tetap memegang teguh
amaran Aki Kidam supaya jangan berbunyi sedikit pun kalau terdengar atau
terlihat sesuatu yang ganjil.
Dia memerhati ke arah bawah rumah
serambi, ketua kampung mengangkat tangan sambil meletakkan jari telunjuk ke
mulut menyuruh dia mendiamkan diri. Apabila melihat ke bawah rumah di bahagian
dapur, Aki Kidam juga menyuruh dia mendiamkan diri. Barulah lega hati Derih
Gagap, kerana dia yakin penceroboh itu tidak akan dapat lagi masuk ke rumahnya.
Setelah beberapa minit bunyi
pasir dilemparkan ke atas atap itu berhenti, sekali lagi terdengar orang
mendehem tiga kali. Kemudian barulah ternampak oleh Derih Gagap, seorang lelaki
berjalan mengelilingi rumahnya di dalam kawasan yang diguris oleh Aki Kidam
sebelum tadi.
Lelaki itu memakai seluar hitam
dan berbaju teluk belanga biru tua, berjalan saja sambil matanya
terlangah-langah seperti mencari sesuatu. Dia berlegar-legar saja di sekeliling
rumah, tetapi tidak terkeluar dari kawasan yang diguris oleh Aki Kidam dengan
kelengkengnya.
Selepas itu barulah Aki Kidam
merangkak mendapatkan Derih Gagap. Mereka berdua terus pula mendapatkan ketua
kampung di bawah rumah serambi.
"Biarlah dulu, tak ke mana
larinya" bisik Aki Kidam mengeluarkan rokok dari sakunya. Dia menghisap
rokok macam tidak menghiraukan lelaki di halaman rumah berlegar-legar.
"Biar aku ajar dia,
Aki" ujar Derih Gagap menyimpan dendam.
"Hah, kau dah lupa
Derih...!" Aki Kidam mengingatkan.
"Betullah kau ni tak sabar kan dek
apa" ketua kampung memarahinya, menyebabkan Derih Gagap terdiam. Memang
dendamnya masih membara kerana pemuda berkenaan telah tidur berbaring di
sebelah isterinya, walaupun dia tidak memperkosa tetapi sudah tentu mencabar
dirinya sebagai seorang lelaki.
Kalaulah tidak mengenangkan
janjinya dengan Aki Kidam, memang dia tidak dapat bersabar. Tetapi janji itu
mesti dipegang teguh kerana masalah yang dihadapi bukanlah dirinya seorang,
sebaliknya untuk kepentingan semua penduduk-penduduk kampung. Bila mengenangkan
hal-hal seperti ini, Derih Gagap terpaksa menahan perasaan dendamnya yang
terbuku di hatinya.
Mereka bersama-sama menghisap
rokok daun yang dibawa oleh Aki Kidam dengan tidak memperdulikan lelaki itu
berpusing-pusing sekeliling rumah. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku
di situ. Derih Gagap bersandar kepada sendi tiang, terlelap juga beberapa
ketika sampai ke pagi. Dia tertunggu-tunggu juga apa yang akan dilakukan oleh
Aki Kidam seterusnya.
Setelah pagi cerah, barulah
mereka bertiga keluar dari bawah rumah. Aki Kidam mengajak mereka berdua
sembahyang subuh saja di rumah Derih Gagap, kemudian sembahyang sunat syukur.
Sebelum itu Derih Gagap sudah membangunkan isterinya supaya perempuan itu tidak
terkejut. Dia membisikkan tentang lelaki yang sedang berlegar-legar di
sekeliling rumahnya.
"Memang dia tu laa"
bisik Kak Senah pada Derih Gagap apabila terlihat lelaki itu melalui tingkap.
"Sudah, kau masak air. Nanti buatkan kopi pekat untuknya. Aki Kidam yang
suruh buat macam tu" dia memberitahu isterinya.
Perempuan itu tidak membantah.
Dia terus ke dapur untuk memasak air seperti yang disuruh suaminya. Lagi pun
ketua kampung akan membuat keputusan mengenai lelaki yang sudah dikira masuk
perangkap itu. Tetapi dari raut mukanya, Kak Senah tidak mengenali lelaki
berkenaan. Ternyata dia bukanlah berasal dari kampung tersebut.
Setelah selesai sembahyang, Aki
Kidam duduk di muka tangga dengan berjuntai kaki. Apabila lelaki itu melintas
di depan halaman , Aki Kidam memukul kedua-dua lututnya dengan penumbuk. Lelaki
itu tiba-tiba berhenti dan berpusing mengadap Aki Kidam di muka tangga.
"Hai, nak kemana awak
ni?" tegur Aki Kidam memerhati lelaki yang berumur kira-kira 25 tahun itu.
"Nak cari jalan keluar, sekeliling ni tembok batu. Entah mana pintunya tak
jumpa" sahut lelaki itu lemah.
"Awak ni siapa, datang dari mana?"
Aki Kidam bertanya, manakala ketua kampung dan Derih Gagap sudah tercegat di
belakangnya. Kak Senah juga berdiri di tingkap keheranan melihat peristiwa
tersebut.
"Nama saya Johar dari
Kampung Pesagi" ujarnya ketakutan.
"Hah, jauh awak ke mari" kata
Aki Kidam macam mengejek. Pemuda itu terdiam. Dia terkelip-kelip mata mendongak
ke arah Aki Kidam yang masih duduk di muka pintu dengan dua tapak tangannya
menekan kepala lutut.
"Tolonglah lepaskan saya,
saya minta ampun" dia terketar-ketar meminta perlindungan.
"Naiklah dulu..." Aki
Kidam menyuruhnya naik.
Dia tidak membantah dan terus
naik ke rumah. Kemudian dia menyuruh Kak Senah mengeluarkan kopi O. Mereka
berempat pun minumlah bersama-sama. Setelah disoal oleh ketua kampung pemuda
bernama Johar itu mengaku telah melakukan perbuatan tersebut. Dia telah
menuntut satu ilmu kebatinan yang mengikut pesan gurunya mesti melakukan
perbuatan tersebut sampai genap 44 malam.
"Awak berjanji tak ganggu
lagi kampung ni!" kata Aki Kidam. Pemuda itu mengangguk. Dia juga melihat
ke tengah halaman, tidak ada tembok batu yang dikatakannya itu. Barulah dia
menyedari bahawa ilmu setan yang dituntutnya boleh dikalahkan juga.
"Ilmu setan boleh
dikalahkan, kerana ianya terbatas" ujar Aki Kidam mengingatkan dia.
"Tetapi ilmu Allah tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun, apatah lagi
oleh setan. Ilmu Allah meliputi tujuh petala langit tujuh petala bumi dengan
tidak ada batasnya" dia menasihatkan pemuda berkenaan.
Selepas itu dia menyuruh pemuda
itu balik ke kampungnya dengan tidak membenarkan Derih Gagap membalas dendam.
Sejak itu tidak ada lagi gangguan seperti itu di kampung tersebut. Memang
menjadi syaratnya orang yang ditawan secara demikian tidak boleh dicederakan,
sebaliknya diberi makan dan wang sebanyak dua ringgit sebagai sedekah.
"Insya Allah, dia akan insaf
dan kembali kepada jalan Allah" beritahu Aki Kidam menutup ceritanya
kepada saya dan Tumin.
No comments:
Post a Comment