Tidak jadi saya dan Mat Sitam ke Lancang menjemput
Ulung Bahar kerana keadaan Saidon semakin teruk. Terkopak papan-papan dinding
ditendangnya. Dia terus mengamuk, tidak peduli ditegah oleh Ngah Jamat
sekalipun. Sebab itulah saya dan Mat Sitam mengambil keputusan tidak pergi
menjemput Ulung Bahar.
Bukanlah bererti kami mengalah kepada kemahuan
Saidon yang sudah dirasuk syaitan itu menyebabkan tidak jadi ke Lancang, tetapi
kami tidak sampai hati membiarkan Ngah Jamat seorang sahaja lelaki di situ,
sekiranya kami berdua pergi. Cuma Mak Ripah isteri Ngah Jamat yang ada di situ.
Jiran-jiran lain belum datang kerana masing-masing belum ke rumah dari bekerja.
Ada yang ke sawah, ada yang ke kebun, ada yang ke hutan mencari rotan.
Mereka semua tidak tahu mengenai penyakit Saidon
berbalik semula. Kalau jiran-jiran tahu mereka tetap akan datang menziarah.
Mereka kasihan dengan nasib yang menimpa keluarga Saidon. Sebelum Saidon
dihinggapi penyakit ganjil itu dia seorang yang selalu mengambil berat tentang
jiran-jiran.
Jiran-jiran minta tolong perkara-perkara yang
bersangkutan dengan tanah dan cukai tanah di Pejabat Daerah, dia sanggup. Kalau
ada kenduri kendara, Saidon terlalu ringan tangan menolong. Kerja-kerja gotong
royong juga Saidon akan memainkan peranan utama.
Sebab itulah simpati orang-orang kampung begitu
mendalam terhadap Saidon dan keluarganya. Kudis yang menyelaputi seluruh badan
Saidon memang meloyakan, Baunya hanyir serta nanah meleleh berlendir. Memang
kalau tidak mengenangkan budi baiknya selama ini, orang-orang kampun jijik mahu
menziarahi dia.
Tetapi semua derita yang ditanggung oleh Saidon
sekarang bukanlah kehendak dia. Hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya.
Memang Saidon sendiri tidak mahu menderita dengan kudis tokak seluruh badan.
Siapalah yang mahu berkeadaan begini?
Takdir telah menentukan segala-galanya. Selepas
timbul cerita orang berkepala anjing muncul di kampung itulah, Saidon berubah
kelakuannya. Dia menjadi orang yang cepat panas baran, berkelakuan perongos dan
akhirnya dihinggapi penyakit kudis tokak seluruh badan.
“Bunuh! Bunuh aku !...” gerutu Saidon
menyondol-nyondolkan kepalanya ke dinding.
“Sabar Saidon, jangan ikutkan perasaan,” rayu Mak
Ripah saya melihatkan keadaan Saidon menyondol-nyondol kepala. Kudis yang
berkerak dikepalanya berdarah akibat disondol-sondol.
Dari segi zahirnya kita melihat Saidon marah akan
penyakitnya tidak sembuh sekian lama. Itulah yang menyebabkan dia meradang
menendang-nendang dinding. Kemudian menyondol-nyondolkan kepalanya ke situ
sambil memekik menyuruh orang membunuh dia.
Tetapi saya tidak melihat dari segi zahirnya. Saya
yakin penyakit kudis itu bukannya penyakit kulit biasa yang kita lihat.
Kalaulah penyakit kulit biasa tentu sudah sembuh bila dibawa ke hospital.
Masakan kulitnya bertambah reput di samping beberapa bahagian sudah ditumbuhi
ulat-ulat berengau.
“Kita cuba ubatkan dulu, sebelum panggil Ulung
Bahar,” bisik saya pada Ngah Jamat, Saya sendiri tidak tertahan hiba di hati
melihat keadaan Saidon menyondol-nyondol kepala ke dinding.
Dua orang anaknya yang masih kecil terkebil-kebil
mata melihat ayahnya melatam-latam dinding. Mereka juga menangis terisak-isak
tidak ketahuan apa. Sementara Lijah memang sudah hilang akal sejak datang
menjemput Ngah Jamat tadi lagi.
“Kalau ustaz nak cuba, cubalah...” Ngah Jamat
menepuk bahu saya.
“His, Ngah Jamat lah mulakan,” kata saya menginsut
punggung ke depan sedikit.
“Saya dah mati akal ustaz,” ujar Ngah Jamat
memberi pengakuan.
Serba salah juga saya mendengar jawapan Ngah
Jamat. Masakan orang seperti dia kehilangan punca menghadapi suasana demikian.
Tetapi semuanya ini adalah atas
pengalaman belaka. Boleh jadi Ngah Jamat belum pernah menerima pengalaman
begini meyebabkan dia cepat kehilangan punca. Malah kebanyakan dukun akan
kehilangan punca bila pesakit yang di ubatnya sudah sembuh, kemudian penyakinya
berbalik semula akibat terlanggar pantang larangnya.
Memang dia tidak berupaya
Untuk mengubatnya lagi setelah penyakit yang sudah
sembuh itu, berbalik semula. Teringat saya kepada bapa saudara saya bernama Mat
Ali mengubat seorang kawan digigit ular tedung senduk pada bahagian tangannya.
Ular tedung senduk itu ditangkap oleh bapa saudara
di sebatang anak sungai. Semasa balik dia bertemu dengan kawannya itu bernama
Sahak. Kawannya ini pula memang suka mengikut Mat Ali bermain ular. Sudah
menjadi kebiasaan Sahak akan meminta untuk bermain dengan ular, setelah ular
berkenaan dapat ditangkap oleh Mat Ali.
Sahak ini pula terlalu nakal. Ketika dia
melilitkan ular di lehernya seorang gadis di kampung itu mahu ke sungai. Dia
pun mengacah-acahkan ular tedung senduk itu kepada gadis tersebut, menyebabkan
gadis itu terperanjat.
Perbuatan Sahak ini menaikkan kemarahan ayah gadis
berkenaan, lalu digunakan kebolehan dia menjadikan ular yang sudah jinak tadi
garang semula. Sekali gus ular tedung senduk menerkam belakang tangan Sahak.
Dia terjerit kesakitan. Mat Ali juga heran bagaimana ular yang sudah dijinakkannya
tadi bertukar menjadi garang.
Bagaimanapun Mat Ali menyedari bahawa perbuatan
Sahak tadi punca semangat ular berkenaan sudah dipermainkan oleh orang. Mahu
tidak mahu Mat Ali terpaksa melepaskan
ular tedung senduk ke dalam belukar kerana dia sudah menjadi liar semula.
Setelah ular itu pergi Mat Ali mengubati tangan Sahak yang digigit ular tadi
dengan tangkalnya saja.
“Kau jangan menempuh cucur atap dua kali “ kata
Mat Ali mengingatkan Sahak. “Bila kau balik ke rumah, terus saja masuk dan
jangan keluar lagi selama tiga hari..” dia berpesan sungguh-sungguh pada Sahak.
Apabila melintasi kedai, sahak terlupa pesanan Mat
Ali. Dia terus masuk ke kedai itu untuk membeli rokok. Bermakna dia telah
melintasi cucur atap kedai sekali ketika memasukinya. Kemudian bila keluar dia
melintasi cucur atap buat kali kedua. Tepat seperti yang diingatkan oleh Mat
Ali sebaik sahaja Sahak keluar dari kedai dia terasa tangannya seperti
direnggut kuat. Kepalanya berpusing langsung jatuh tidak sedarkan diri.
Orang yang ada di kedai terkejut melihat Sahak
jatuh tidak sedarkan diri. Kebetulan ketika itu Mat Ali datang ke situ. Melihat
keadaan tersebut Mat Ali hilang punca. Dia tidak berdaya lagi untuk membantu
Sahak yang sudah melanggar pantangnya.
Mat Ali sendiri menyuruh orang-orang di situ
membawa Sahak ke hospital kerana bisa gigitan ular tedung senduk itu sudah
tidak dapat dikawal oleh Mat Ali lagi.
Tiga hari Sahak tidak sedarkan diri di
hospital. Tangannya membengkak sampai ke
lengan. Apabila dokter cuba mengurut tangan yang bengkak itu turunlah nanah
bercampur darah pada bahagian gigitan ular. Semakin diurut semakin banyak darah
dan nanah kelua, tetapi akhirnya bercampur dengan daging yang mula reput.
Hampir tiga bulan Sahak terlantar di hospital,
barulah dokter mengambil keputusan membuat sedikit pembedahan bagi membuangkan
bahagian daging yang mula busuk. Kemudian daging pehanya diambil bagi
ditampalkan pada daging yang reput itu.
Inilah kejadian melanggar pantang dukun yang saya
ketahui. Kalau lah di patuk ular biasanya dalam masa tiga hari boleh sembuh
apabila dbawa ke hospital. Kalau lebih dari jangka masa demikian alamat masa
itu akan mati. Tetapi kisah Sahak ini berlainan dari gigitan ular biasa, sebab
ular yang mematuk Sahak itu semangatnya sudah dirasuk oleh satu kuasa lain.
Bila mengingatkan peristiwa Sahak ini, saya
bandingkan dengan nasib yang menimpa Saidon. Walaupun Saidon bukannya digigit
ular tedung senduk, tetapi masaalah yang dihadapinya adalah sama. Penyakitnya
sudah sembuh apabila diubat oleh Ngah Jamat, tetapi cabuh semula setelah
melanggar pantang.
Saya fikir Saidon tidaklah bersalah bila memakan
rendang daging di rumah orang kenduri. Tentu dia merasa penyakitnya sudah
sembuh betul. Masakan tidak boleh menjamah rendang daging setelah penyakitnya
benar-benar sembuh, Sebab itulah dia berani menjamah. Kalaulah dia tahu cabuh pantang
menjadi sedemikian tenat, mungkin dia tidak akan berani menjamah rendang daging
seumur hidupnya.
Tetapi mengapa pula dipantangkan memakan daging?
Memang benar
semasa anak lelaki saya dihinggapi sejenis kudis, dokter di klinik swasta tidak
membenarkan anak saya makin daging, telur, kerang dan ayam. Setelah kudisnya
sembuh, sengaja saya suruh anak saya memakan makanan yang dilarang oleh dokter.
Dua hari selepas itu kaki tangan anak saya kembali
mengudis dan gatal. Bagaimanapun saya tetap tidak percaya dengan pantang larang
makanan ini. Saya membaw anak saya ke klinik kerajaan di Setapak, Kuala Lumpur.
Dokter yang merawatnya seorang perempuan bermini telekong. Dia tidak melarang
memakan apa jua makanan.Dia memberi ubat minum untuk dua hari dan ubat sapu
untuk tiga hari. Kemudian dia menyuruh isteri saya merebus semua pakaian
anak-aak saya apabila membasuhnya.
Insya Allah, dua hari selepas itu penyakit kudis
anak saya sembuh sampai sekarang.
Sebab itu saya yakin bukan disebabkan tersalah
makan itu yang menyebabkan penyakit Saidon berbalik semula. Bagaimanapun saya
tidaklah menerangkan kepada Ngah Jamat, kerana bimbang dia berkecil hati.
Tetapi dari tingkah laku Ngah Jamat, saya percaya dia seorang yang boleh
menerima hakikat sebenarnya. Tidak heranlah mengapa dia mengaku tidak mampu
lagi mahu mengubat Saidon.
Lagipun setiap orang dukun mempunyai kepandaian
sendiri seperti yang pernah dipelajarinya. Sekiranya dia menghadapi penyakit
diluar kepandaiannya, maka cepat-cepat dia mengaku tidak sanggup mengubatinya.
“Cuba lah ustaz...” desaknya beriya-iya. “Kemenyan
sebesar tungku tak dibakar, takkan berbau,” katanya menolak paha saya supaya
rapat kepada Saidon yang masih menghantuk-hantuk kepala ke dinding.
“Saya tak
berani” jelas saya serba salah dengan desakan Ngah Jamat. “Elok Ngah Jamat
mulakan, Insya Allah saya membantu dari belakang,” ujar saya perlahan.
Ngah Jamat bersila rapat merenungi Saidon
menumbuk-numbuk dinding. Dia tidak bercakap sepatah pun untuk menyahut
kata-kata saya tadi. Matanya tidak berkedip langsung.
Lama dia merenung ke arah Saidon tidak berkedip,
tiba-tiba Saidon menjadi lemah. Saidon duduk semula menangis terisak-isak. Dia
tidak lagi garang menerkam dnding seperti mula-mula tadi. Tetapi kepalanya
dibasahi darah yang mengalir dari kuing kudis.
Setelah Saidon tenang barulah Lijah berani
mendekati dia untuk megelap darah yang mengalir dari kuping di kepalanya. Bila
disentuh saja oleh Lijah berkeping-keping daging reput lekat pada kain
pengelap.Saya juga heran dengan penyakit yang dideritai oleh Saidon, kerana
sebelum ini tidak pernah saya melihat penyakit seperti ini.
Tetapi apakah yang mesti diherankan. Allah SWT
berkuasa melakukan apa saja.
Apabila Ngah Jamat sudah berkumat kamit mulut
menundukkan kepala, saya juga memejamkan mata lalu memulakan zikir. Semakin
lama semakin dapat saya rasakan diri saya sudah dapat menghampiri Saidon.
Sehingga saya sampai ke satu kawasan lapang seakan-akan gua batu yang tidak saya ketahui di mana letaknya. Ketika ini saya
dapati Saidon hanya terbaring tidak bergerak. Manakala seorang lelaki berkepala
anjing duduk menghadapnya. Seluruh badan lelaki berkepala anjing itu dipenuhi
kudis dan kutu. Bulunya sudah banyak gugur seolah-olah anjing kurap saja
rupanya.
‘Bunuhlah aku! Bunuh.....” jerit lelaki itu
seolah-olah anjing sedang menyalak.
“Kalau kau nak mati. Matilah!” dia terkejut bila
melihat saya tercegat di depannya. “Mengapa kau siksa Saidon, lepaskan dia pada
keluarganya. Kau sendirilah mati! “ bentak saya memandang tajam ke arahnya.
“Awak orang baru di sini, mana tahu hal,” dia
memarahi saya.
“Aku tak peduli hal awak,” sahut saya semakin
rapat kepadanya. “Kalau badan awak sudah dipenuhi pekung, mengapa awak siksa
Saidon. Awak sendirilah tanggung kena pekung seluruh badan.....!” ujar saya
menyakitkan hatinya.
“Awak jangan campur, awak orang baru di sini,”
bentaknya mahu menerkam ke arah saya. Tetapi ternyata dia tidak berdaya mahu
melompat.
“Kalau aku campur ?” saya mahu menguji keberanian
dia.
“Awak akan susah nanti !” katanya menakut-nakutkan
saya.
“Awak sendiri tak larat nak berjalan ...” ejek
saya mengerling dia dalam keadaan susah payah untuk bergerak.
“Aku susah, aku mesti bawa Saidon susah sama,” dia
terus memberi amaran kepada saya.
Saya
membacakan Surah As-Safa lalu menghembuskan ke arahnya. Tubuhnya menjadi
mengerekot macam dipanggang ke api. Terjerit-jerit dia menahan kesakitan.
Laungnya sama seakan-akan salakan anjing.
‘Sekarang cakap siapa kau !” herdik saya mengancam
lelaki berkepala anjing itu.
Dia tidak mahu bercakap. Sebaliknya menyalak saya
seperti seekor anjing. Bagaimanapun dia tidak dapat menerkam kerana keadaan
tubuhnya yang dipenuhi kutu serta kudis berkuping-kuping keras.
“Siapa kau ?” bentak saya lebih keras.
Dia tetap tidak menjawap kecuali menyalak seperti
anjing. Dia berligar-ligar juga tidak jauh dari Saidon yang kelihatan
terbaring. Di sekelilingnya dipenuhi dengan nanah yang berbau hanyir sehingga
meloyakan anak tekak saya.
Bila dia engan memberitahu saya membeacakan Surah
Al-Ikhlas tiga kali dan menghembuskan ke arahnya. Terjerit-jerit dia seperti
seekor anjing kesakitan terkongkong-kongkong merebahkan badan ke tanah.
“Aku tau siapa kau sekarang...!” ejek saya
menyakitkan hatinya. “Kau setan yang tak sempurna, sebab itu kepala kau jadi
binatang, jadi anjing...!” bentak saya seterusnya.
Lembaga orang berkepala anjing itu
mengolek-golekkan tubuh ditanah menahan kesakitan. Saya tahu, lembaga itulah
yang meresap ke tubuh Saidon ketika penduduk kampung diganggu orang berkepala
anjing. Tetapi bagaimana Saidon boleh terjerumus jadi demikian?.
“Cakap ! Mengapa kau ganggu Saidon ?” jerkah saya
lagi.
Dia mendongak ke atas menyalak nyaring. Seluruh
tubuhnya berkudis itu dipenuhi dengan nanah. Ternyata keadaannya
benar-benar parah. Tetapi penderitaan itu terpaksa ditanggung oleh Saidon juga.
Disebabkan lembaga orang berkepala anjing itu
masih juga tidak dapat bercakap, saya tidak boleh terus menerus menyerangnya.
Bagi mencari jalan mendapatkan rahsia dirinya, saya mula menguatkan zikir Ya
Latiff. Saya memohon doa kepada Allah supaya lembaga orang berkepala anjing itu
memberitahu rahsia sebenarnya. Setelah mendapat rahsia tersebut barulah boleh
diusahakan bagaimana mahu menyelamatkan Saidon dari genggamannya.
Selagi rahsia itu tidak diperolehi, saya tidak
dapat melepaskan Saidon dari kawalannya. Saidon hanya terlentang sahaja tidak
bergerak. Matanya saja terkebil-kebil memerhatikan lembaga orang berkepala
anjing itu berligar-ligar di sampingnya. Saidon tidak berusaha langsung untuk
melepaskan diri dari kawalan lembaga tersebut.
Selepas saya menamatkan zikir ini saya dapat
melihat di mana Saidon mempunyai keinginan mahu belajar dari Ngah Jamat
ilmu-ilmu kebatinan. Tetapi dia tidak berani berterus terang. Bagaimanapun dia
sering berdamping dengan Ngah Jamat. Satu hari dia telah mencuri buku tulisan
tangan Ngah Jamat mengenai jampi serapah dan ilmu perdukunan.
Dengan tidak setahu Ngah Jamat, dia telah menyalin
beberpa amalan yang tercatit dalam buku tersebut. Saidon cekal untuk
mengamalkan satu ilmu boleh bekerja kuat dengan tujuan dia boleh membuat
kerja-kerja berat yang boleh mendapatkan pendapatan lumayan. Tentu dia mudah
bekerja kontrak dengan menerima upah yang tinggi.
Dia pun mengamalkan dengan tidak mendapat bimbingan
dari guru tertentu seperti Ngah Jamat. Apa yang disalin dari buku catitan Ngah
Jamat itu diharapnya akan berhasil memperolehi cita-citanya itu. Inilah
kesilapan besar Saidon melakukan amalan dengan tidak berguru. Setiap amalan
seharusnya mempunyai guru membimbing supaya amalan itu tidak terpesong.
Tetapi Saidon tidak pernah memikirkannya. Baginya
setiap amalan tidak perlu guru, memadai dengan membaca petua-petua seperti yang
dicatitkan. Kira-kira 40 malam dia mengamalkan seperti yang disalainnya dari
buku catitan Ngah Jamat dia merasa seluruh badannya ditumbuhi bulu. Ketika itu
datanglah satu lembaga orang berkepala anjing mengajaknya merayau-rayau ke
dalam kampung.
Setiap malam dia keluar mengikut lembaga berkepala
anjing itu. Lembaga tersebut melatih dia, membimbing dia dan melindungkan dia
dari sebarang ancaman. Sejak itu Saidon tidak lagi mengenal masyarakat kampung.
Dalam masa ini Saidon sudah dapat merasakan dirinya cukup kuat kerana mampu
memikul sebatang pokok sagu.
Malah dia pernah menguji kekuatannya dengan menggegarkan
sebatang pokok kelapa hingga gugur buahnya. Selepas itu yakinlah dia bahawa amalannya
selama ini sudah mencapai kejayaan. Sayangnya dia lupa akan lembaga orang
berkepala anjing yang memimpinnya selama ini sering membawa dia mengganggu
orang-orang kampung pada waktu malam.
Akibat dari gangguan itu orang-orang kampung
berkumpul disurau membaca assin. Kesan dari orang-orang kampung membaca Yassin
beramai-ramai itulah tubuh orang berkepala anjing itu mula dihinggapi kutu
anjing. Akhirnya menjadi gatal serta ditumbuhi kudis seluruh badan.
Ketika dia
termasuk perangkap Ngah Jamat, hampir juga dia dibunuh oleh orang-orang
kampong. Mujurlah lembaga tersebut datang menyelamatkan dan melarikan dia.
Bagaimanapun lembaga berkenaan tidak dapat mengatasi kekuatan Surat Yassin yang
dibaca beramai-ramai oleh orang kampung. Penderitaan lembaga orang berkepala
anjing inilah yang dirasakan oleh Saidon sekarang.
“Sekarang aku
dah tahu siapa awak!” kata saya mencabar lembaga orang berkepala anjing itu.
Dia mahu
melompat menerkam saya, tetapi tidak berdaya. Kulitnya semakin reput dan luruh
berkeping-keping ke tanah.
“Kau dah nak
mati. Kau tak boleh lawan Surat Yassin yang orang-orang kampung baca
beramai-ramai dulu. Pergilah kau dan tinggalkan Saidon...” perintah saya
mengingatkan dia supaya jangan berkeras.
Dia berpaling
ke arah saya. Menyalak seperti anjing garang. Saya tahu dia pun jenis puaka
juga. Dia mencari kesempatan bila diseru oleh Saidon dulu, dan meresapi
semangat Saidon yang berminat sangat mahu menuntut ilmu-ilmu kebatinan,
sekalipun dengan tidak berguru.
Bagaimanapun
Saidon mesti diselamatkan. Saya tidak boleh menyerang puaka itu selagi Saidon
tidak dapat dibawa balik, kerana Saidon
juga akan terancam sekiranya saya terus menyerang puaka orang berkepala anjing
itu. Sebab mereka berdua sama-sama sudah menerima balasan dari Surat Yassin
yang dibacakan oleh orang-orang kampung beramai-ramai.
Itulah saya katakan, sesiapa yang dapat melihat ke
dalam makrifat tentang bagaimana kuatnya ayat Allah, akan dapat menyaksikan
sendiri bagaimana seksanya syaitan atau kaum kerabatnya apabila diserang dengan
ayat-ayat Quran.
Lembaga orang
berkepala anjing ini sudah merasakan derita akibat Surat Yassin itu. Seluruh
tubuhnya ditumbuhi kudis. Dagingnya semakin reput jatuh berkeping-keping luruh
seperti daun-daun kering. Tetapi dia masih tidak mati. Dia tetap bertahan
walaupun bagaimana derita sekalipun.
“Kau dah tak
tahan dengan bacaan Yassin dulu...” kata saya cuba memujuknya mengalah.
“Sekarang lepaskan Saidon. Biar dia dijaga oleh keluarganya...” tegas saya
sambil perlahan-lahan meniupkan Fatihah tiga kali.
Semakin
dihembuskan Fatihah semakin luruh dagingnya berkeping-keping. Barulah saya
dapat fahami bahawa langkah Ngah Jamat melarang Saidon memakan daging sesudah
sakitnya sembuh dulu, adalah untuk menjauhkan dari orang berkepala anjing.
Sekiranya Saidon dapat semla ke tangannya, dia tentu membalas dendam kepada
Saidon. Bukan lagi bersahabat dengan Saidon seperti sebelumnya.
Apa yang
dialami oelh Saidon sekarang adalah kesan dari balas dendam lembaga berkenaan.
Ertinya kalau dia tersiksa biarlah sama-sama tersiksa. Saya cuba menjauhkan
lembaga tersebut dari Saidon, tetapi dia seolah-olah tahu maksud saya. Dia
tidak mahu bergerak jauh dari sisi Saidon.
Saya boleh
menyerangnya dalam keadaan demikian. Bagaimanapun Saidon tentu terancam sama.
Dalam keadaan begini mereka berdua sebenarnya sudah bersatu. Hanya untuk
merenggangkannya menjadi masalah sedikit. Kecuali kalau Saidon berupaya
menentang lembaga tersebut maka bolehlah saya membantu.
Dalam masa
saya teragak-agak mencari jalan ini, Ngah Jamat muncul dari satu kepulan asap
putih dari penjuru sebelah kanan. Saya lihat dahi Ngah Jamat bercahaya
memancar-mancar hingga menyilaukan mata lembaga tersebut melihatnya.
“Dah lama aku
bersabar dengan kau.....!” bentak Ngah Jamat keras. Suaranya bergema sampai
mengegarkan bumi tempat lembaga itu berjejak.
“Aku tak cari
Saidon, tapi dia yang cari aku...” sahut lembaga itu terketar-ketar. Suaranya
tidaklah berapa jelas kerana seakan-akan rungutan anjing juga.
“Aku dah suruh
kau pisahkan dia !” Ngah Jamat semakin marah.
“Dia cari aku
lagi.....” katanya ketakutan.
“Apa pasala
kau terima dia, bukankah kau dah berjanji tak akan menganggu lagi........"
jerkah Ngah Jamat bercekak pinggang. Cahaya dari dahinya semakin bersinar
menyilaukan.
Saya lihat
lembaga itu terlalu takut melihat kehadiran
Ngah Jamat. Tidak seperti semasa berhadapan dengan saya. Bagaimanpun dia
tetap tidak bergerak jauh dari sisi Saidon. Memang Ngah Jamat juga tidak akan
menyerang lembaga berkepala anjing itu selagi dia tidak menjauhkan diri dari
Saidon. Lagipun adalah mustahil mahu memisahkannya kerana ekor lembaga tersebut
bercantum dengan ekor yang tumbuh pada Saidon.
Masaalah itu
yang saya perhatikan sejak tadi. Kalau lembaga itu terus diserang bererti
Saidon juga terancam.
Mungkin dengan
kedatangan Ngah Jamat ini boleh mengelirukan lembaga berkenaan. Silauan cahaya
di dahi Ngah Jamat mungkin boleh saya gunakan kesempatan untuk melepaskan
cantuman dua ekor tersebut.
“Saidon tak
bersalah, dia tak pernah panggil kau !” Ngah Jamat memberi ingatan keras. “Dia
beramal tak berguru, mengapa kau berani mengaku guru...?” suara Ngah Jamat
bergema dan mengerunkan.
Silauan cahaya
di dahi Ngah Jamat semakin menganggu pandangan lembaga tersebut. Dia berpusing
– pusing mahu menyembunyikan matanya dar silauan cahaya itu. Ternyata Ngah
Jamat bukanlah sebarang dukun biasa, tetapi seorang ahli agama yang
bermertabat. Tidak salah tekaan saya selama ini bahawa Ngah Jamat bukanlah
sembarangan.
Memang saya
sedari silauan cahaya di dahi Ngah Jamat itu adalah menunjukkan zikirnya yang
mantap. Silauan zikir yang mantap itu tidak akan dapat ditentang oleh syaitan.
Mata syaitan akan terbakar tatkala merenungi dahi orang-orang yang mempunyai
zikir yang mantap.
“Kalau kau
degil, seluruh keturunan kau akan mengutuk !” .
Ngah Jamat.
Dalam sekelip
mata saja beratus-ratus lembaga orang berkepala anjing menjelma disitu. Semuanya
menyalak seperti anjing menghadap lembaga yang dipenuhi kudis tokak seluruh
tubuh itu. Salakkan itu menggerunkan siapa saja yang mendengarnya.
“Berhenti......!”
perintah Ngah Jamat. Semua lembaga orang berkepala anjing itu patuh kepada
perintahnya. Silaun cahaya di dahinya semakin bersinar memancar-mancar seperti
matahari terbit pagi.
Bagi saya
tidaklah mengherankan bila Ngah Jamat boleh memerintah semua lembaga orang
berkepala anjing yang beratus-ratus itu. Kalau dengan doa dan ayat-ayat Allah,
Nabi Sulaiman boleh memerintah seluruh makhluk jin termasuk syaitan, bukanlah
mustahil bagi Ngah Jamat melakukan demikian bila sudah mengamalkan doa-doa
tertentu dari ayat-ayat Quran itu.
Tidak menjadi
kesalahan kalau kita menggunakan syaitan-syaitan untuk memerangi
syaitan-syaitan yang lain. Sebaliknya kalau kita bersahabat dan meminta
pertolongan dari syaitan, ini adalah bertentangan dari akidah. Sebab itulah
ramai alim ulama tidak membenarkan sangat kita mempelajari kebatinan Islam,
kalau tidak mendalami pengajian Islam.
Sebab itulah
saya tercari-cari tentang kebatinan Islam ini. Tetapi janganlah fikir semuanya
dapat dengan mudah, kecuali dengan izin Allah belaka.
Berbalik
kepada cerita Ngah Jamat tadi, saya melihat beratus-ratus lembaga berkepala
anjing sudah mengawal Saidon dari ancaman lembaga yang penuh ditumbuhi kudis
itu.
“Kau yang
bersalah, maka kau sendiri mesti menerima hukuman,” ujar Ngah Jamat memberi isyarat
kepada lembaga berkepala anjing yang lain supaya melepaskan Saidon. “Kau tak
akan lepas lagi, kawasan ini semua sudah dikawal oleh ustaz tu....” kata Ngah
Jamat menudingkan jari ke arah saya.
Rupa-rupanya
Ngah Jamat sudah pun tahu saya ada di situ. Dengan ini saya semakin bersemangat
kerana saya tidaklah berseorangan menghadapi lembaga orang berkepala anjing
yang mengancam Saidon.
Lembaga itu
memang tahu dirinya sudah terkurung, sebab itulah dia semakin gementar dengan
kedatangan Ngah Jamat. Pada mula-mulanya dia hanya berpura-pura saja mahu menentang saya, pada hal dia sendiri
tahu kekuatannya tidak dapat menandingi kekuatan ayat Quran yang saya bacakan.
Seperti tidak
bermaya lembaga yang dipenuhi kudis itu mengelak sedikit apabila beratus-ratus
kaum kerabatnya yang mematuhi Ngah Jamat melepaskan Saidon darinya. Dia
terjerit-jerit sebaiknya Saidon diambil oleh kaum kerabatnya lalu diserahkan
kepada Ngah Jamat.
Kemudian
mengelupur ke atas tanah menahan siksa yang amat sangat. Selama ini kesakitannya
dikongsi bersama oleh Saidon. Tetapi selepas Saidon dipulangkan kembali oleh
kaum kerabatnya kepada Ngah Jamat, dia menganggung siksa akibat bacaan Surat
Yassin itu bersendirian saja.
Ngah Jamat pun
menyuruh semua lembaga orang berkepala anjing meninggalkan tempat itu. Mereka
semua mematuhi perintah Ngah Jamat, lalu ghaib dari pandangan saya.
Selepas itu
dia memberi isyarat kepada saya mengajak balik semula. Dia sendiri yang
mengawal Saidon untuk dibawa balik. Kemudian kami berdua pun berpisah.
Apabila saya
membuka mata, saya dapati Saidon sudah terbaring letih. Manakala Ngah Jamat
sedang menghisap rokok daunnya. Dia tersenyum melihat saya masih lemah.
“Syukurlah
ustaz ada membantu....” katanya sambil menghulur gelas berisi kopi o. Saya
tidak menyahut, kerana pengalaman begini hanya saya dan Ngah Jamat saja yang
dapat merasakan. Sedangkan jiran-jiran yang lain tidak tahu apa-apa mengenai
apa yang telah berlaku.
“Insya Allah,
abang Saidon akan sembuh kak...” saya memberitahu Lijah yang masih dalam
keadaan sedih.
Keesokkan
harinya saya diberitahu oleh Lijah, kudis di seluruh badan Saidon sudah mulai
kering. Tidak ada lagi nanah membengkak. Bagaimanapun saya terpaksa balik juga
setelah tidak disangka-sangka sampai dua malam di rumah Ngah Jamat.
Alhamdulillah,
saya mendapat khabar dari Mat Sitam, dua minggu selepas itu penyakit Saidon sembuh betul.
-------Selesai------
No comments:
Post a Comment