BULAN
mengambang penuh. Malam bertambah sepi bila dinihari semakin hampir. Ketika ini
Mat Akir terdengar suara Puteri Bungsu memanggilnya. Dia terus turun dari rumah
mendapatkan Puteri bungsu. Kedatangannya disambut oleh Puteri Bungsu dengan
penuh kasih sayang.
Seperti
pertemuan teruna dara ketika itu,mereka hanya saling berbual mesra mencurahkan
perasaan masing-masing saja. Mat Akir tidak menyentuh sedikit pun tubuh Puteri
Bungsu,
Kasih
yang suci bukanlah dengan berdakap-dakapan sepanjang malam, Baginya dengan
pertemuan demikian sudah memadai untuk melepaskan rindu dendamnya selama ini.
Untuk menunggu bulan mengambang penuh di tengah malam pun terlalu lama terasa
pada Mat Akir.
Kalau
boleh dia tidak mahu berpisah sesaat pun dengan Puteri Bungsu. Tetapi dia tidak
boleh tergesa-gesa memutuskan untuk berkahwin dengan Puteri bungsu, kerana
syarat sudah diberi oleh Penghulu Bunian, Dalam masa dia disuruh balik terlebih
dahulu (bolehlah di anggap dalam masa bertunang), dia dikehendaki merahsiakan
semuanya dari pengetahuan orang-orang kampung. Sekiranya dia berjaya melalui
ujian itu,maka Penghulu Bunian bersedia menerima dia menjadi menantu.
Sebenarnya
ujian itu terlalu berat. Gerak gerinya tentulah menjadi tanda tanya kepada penduduk-penduduk
kampung, tetapi dia mesti menyakinkan oang-orang kampung bahawa dia masih
normal. Walaupun ada pandangan mata kasar memang dia kelihatan seperti orang
sakit hilang akal.
“Masa
perkahwinan kita semakin hampir,” kata Puteri bungsu sambil dudukdi atas satu
busut. “Putera Ali janganlah bimbang lagi, kita tidak akan berpisah,” ujarnya
mengerling pada Mat Akir.
“Tetapi
kita tidak boleh dengan keadaan demikian,” sahut Mat Akir. “Kalau keadaan ini
berpanjangan, saya bimbang orang-orang kampung mengetahui akan perhubungan
kita,” jelasnya serba salah.
“Tak
apalah tentang perkara tu, Penghulu akan menolong Putera Ali. Tetapi,
jaga-jagalah sikit jangan biarkan Pawang Bulin mendekati Putera Ali,” Puteri
Bungsu memberi amaran.
“Kenapa
pula dengan Pawang Bulin?” Mat Akir terkejut bila Puteri Bungsu menyebut nama
Pawang Bulin.
“Dia
tu musuh Penghulu. Saya takut dia akan mengganggu perhubungan kita,” jelasnya
berbisik ketelinga Mat Akir.
“Saya
akan tentang Pawang Bulin kalau dia berani mengganggu perhubungan kita….” Mat
Akir menggertap bibir macam menyimpan dendam.
“Pawang
Bulin tu bukan tandingan Putera Ali,” Puteri bungsu tersenyum dengan kata-kata
Mat Akir. “Nantilah bila Putera Ali sudah menjadi keluarga kami, mungkin
Penghulu akan mengajar Putera Ali banyak perkara lagi,” dia memberi keyakinan.
Pertemuan
itu berakhir bila bulan mulai pudar di hujung malam. Puteri Bungsu meminta diri
lalu hilang di dalam kabus tebal. Tiba-tiba Mat Akir menyedari dia berada di
belukar senduduk di belakang rumahnya.
Dari
keadaan yang di alami oleh Mat Akir itu, ternyatalah dirinya dapat dikuasai
oleh bunian. Walaupun dia mempelajari banyak ilmu kebatinan, tetapi dirinya
dapat dikuasai oleh bunian secara tidak disedarinya. Perkara seperti ini
sebenarnya tidaklah diherankan, kerana mereka yang menyandarkan ilmu kebatinan dengan
menyeru kuasa-kuasa ghaib (bukan meminta perlindugan dari Allah), mudahlah
dikuasai oleh kuasa-kuasa ghaib itu pula.
Inilah
kononnya yang terjadi pada Mat Akir. Lama juga dia mengalami keadaan seperti
orang hilang akal, semenjak hilang tiga hari ketika masuk ke hutan mencari
rotan, manau dan damar. Bagaimanapun dia tidak menampakkan perubahan pada
dirinya kepada emaknya, kerana dia terus kehutan mencari rotan, manau atau
damar seperti kebiasaannya.
Kadangkala
dia pergi juga merawai ke sungai. Tempat yang ditujunya ialah di selekoh sungai
tempat pokok kelepung tumbuh di tebing. Kadangkala puas dia duduk berjuntai
kaki di perdu pokok kelepung itu, Puteri Bungsu tidak pun menjelma.
Setiap
kali dia pergi merawai, banyak ikan yang diperolehinya. Inilah yang
mengherankan Mak Teh. Bila ditanya oleh Mak Teh, dia tidak mahu bercakap
berterus terang.
Bagaimanapun
Mak Teh memang selalu mendengar bunyi orang berbual-bual di belakang rumahnya.
Sehinggalah To’ Lah dan pemuda-pemuda kampung mengendap, barulah Mak Teh
menyedari bahawa dakwaan Pawang Bulin mengenai hubungan Mat Akir dengan bunian
itu benar.
Sepanjang
bulan tidak mengambang, Mat Akir akan duduk termenung seperti orang bersedih.
Tetapi bila bulan mengambang malam purnama, dia akan kelihatan riang gembira.
Sikap Mat Akir ini pun dapat dicamkan oleh Mak Teh.
Mat
Akir terlalu gelisah apabila bulan tidak mengambang. Dia terpaksa menunggu
kemunculan Puteri Bungsu hanya pada malam bulan mengambang penuh saja. Inilah janjinya
semasa meninggalkan perkampungan bunian dulu sebagai satu ujian untuk
menentukan kejujuran hatinya.
Masa
yang pendek itu dirasakan oleh Mat Akir seperti betahun-tahun lamanya. Dalam
seminggu bulan mengambang penuh dia merasakan hanya beberapa saat saja dapat
bertemu dengan Puteri bungsu. Setiap detik wajah Puteri Bungsu sentiasa bermain
di matanya.
Pada
malam bulan pernama yang diharap-harapkannya dapat bertemu Puteri bungsu,
tiba-tiba dia diganggu oleh Latip Debok. Entah mengapa pada malam berkenaan
Latip Debok tidur di rumahnya. Dia tidak sampai hati mahu menghalau Latip Debok
supaya jangan tidur di rumahnya.
“Hai,
bagaimana kalau dia datang pada malam ini. Tentu dia akan kata aku mungkir
janji kalau tidak datang menemuinya…” bisiknya merasa kecewa kerana Latip Debok
tidur dirumahnya pada malam tersebut.
“Apa
kata kau Akir. Siapa nak datang malam ni?” Latip Debok terkejut dengan
kata-kata Mat Akir. Rupa-rupanya keluhan Mat Akir itu dapat didengar dengan
jelas oleh Latip Debok.
“Aku
tak bercakap apa-apa pun,” sahut Mat Akir.
“Aku
dengar kau cakap ada orang nak datang, siapa?”desak Latip Debok
tersengih-sengih mengerling kawanya sejak kecil itu.
“Merepek
kau, siapa pula yang nak datang malam-malam buta begini,” ujar Mat Akir merasa
tersinggung dengan kata-kata Latip Debok.
“Aku
tahu Akir, kau jangan nak sembunyi-sembunyi dari aku,” Latip Debok mengejak,
“Jangan kau ikut perasaan kau, nanti binasa diri sendiri. Kau salah bawa, ilmu
kau salah bawa…..” dia mengingatkan kawannya itu.
“Kau
apa tahu, Tip,” dia menyindir Latip Debok pula. “Kau tak perlu ambil tahu soal
aku, bukan aku mengusik orang lain. Aku juga tidak menyusahkan sesiapa!”
katanya menggertap bibir.
“Jangan
terpengaruh dengan ilmu bunian, nanti kau jadi bunian Akir,” Latip Debok
berkata kuat sedikit. Dia memang sudah menduga sejak lama lagi, mengenai diri
Mat Akir yang menuntut ilmu kebatinan yang berkaitan dengan bunian. Sayangnya
Mat Akir tidak mencari ‘dinding’ pertahankan diri.
Setiap
ilmu kebatinan ada mempunyai ‘dinding’ yang bertujuan mempertahankan diri
supaya tidak dikuasai oleh ilmu kebatinan itu. Sesiapa yang tidak mencari pendinding,
dia akhirnya akan dimusnahkan oleh ilmu kebatinan itu sendiri.
Dia
tidak berani memberitahu pada Mak Teh mengenai kegiatan Mat Akir menuntut ilmu
kebatinan dari Pawang Bulin itu. Amalan-amalan yang diberi oleh Pawang Bulin
belum habis, Mat Akir sudah mencari jalan sendiri. Tujuan Mat Akir pada mulanya
hanya untuk murahkan rezeki dengan meminta bunian menolong mencarikan rotan,
manau dan damar sebanyak-banyaknya untuk dia.
“Kau
akan dikuasai bunian, Akir…..” kata Latip Debok lagi.
“Merepeklah
kau Tip. Aku tak tahu apa yang kau cakapkan ini,” Mat Akir menyindir sambil
berpusingke kiri ke kanan mengharapkan Latip Debok supaya cepat tertidur.
Malam
sudah semakin larut. Burung pungguksudah mendayu-dayu berbunyi di tengah rimba.
Tetapi Latip Debok tidak juga tidur. Sekejap-sekejap dia bangun menghisap rokok
dauntembakau jawanya. Sekejap-sekejap dia ke dapur mencari air.
Bagi
Latip Debok rumah Mat Akir itu sudah macam rumah dia juga. Sejak kecil lagi dia
berkawan dengan Mat Akir. Mereka seringbertandang bergilir-gilir ke rumah
masing-masing.
“Mengapa
kau tak tidur….?” Tanya Mat Akir memerhati Latip Debok tersandar di tengah
serambi.
“Kau
mengapa pula tak tidur….?” Latip Debok mengerling sambil tersenyum. Dia memang
ditugaskan oleh To’ Lah supaya mengawasi Mat Akir sama ada turun ke tanah atau
pun tidak.
“Aku
masih belum mengantuk,” kata Mat Akir mendongkol.
“Aku
juga macam kau, belum mengantuk,” Latip Debok mendehem-dehem macam mengejek.
“Mata tak mengantuk, macam mana nak tidur,” katanya tersengih-sengih sambil
terkuap-kuap menahan mengantuk.
“Agaknya
kau tak serasi tidur di rumah aku, sebab tu tak mahu lelap mata,” ujar Mat Akir
kesal dengan sikap Latip Debok mengganggu dia. Hatinya bimbang kalau Puteri
Bungsu sudah menunggu kedatangannya apabila bulan mula mengambang. Tentu Puteri
bungsu menuduh dia menungkiri janji sekiranya dia tidak muncul.
Kalau
digagahinya juga pergi menemui Puteri Bungu, tentulah rahsianya selama ini akan
terbongkar. Rahsia inilah mahu di sembunyikannya dari pengetahuan manusia
biasa.
“Ah,
takkan tak serasi. Yang kau tak mahu tidur tu, adakah tidak serasi juga?” Latip
Debok masih mahu mengelak. Tetapi dia merasa matanya sudah semakin mengantuk.
Dia seolah-olah sudah tidak dapat lagi menahan rasa mengantuk itu. Di dalam,
Mak Teh juga sudah lama terlina.
Dalam
keadaan bersungguh-sungguh menahan rasa mengantuk itulah, akhirnya Latip Debok
tertidur. Dia terkapar di tengah serambi tidak bergerak sedikit pun. Ketika ini
bulan sudah mengambang penuh di tengah malam yang sepi.
Apabila
Latip Debok terlina, Mat Akir mendengar namanya diseru berulang kali.
Cepat-cepat dia bangun dari tempat tidurnya. Perlahan-lahan dia membuka pintu
lalu turun ke tanah menuju ke belakang rumah. Sampai saja di belukar senduduk
tiba-tiba kabus tebal menyelubungi dia. Puteri Bungsu sudah pun menunggu dia di
situ.
“Sudah
lamakah Puteri Bungsu menunggu saya?” Tanya Mat Akir bimbang Puteri Bungsu
kecil hati kerana dia terlambat datang.
“Janganlah
Putera Ali bimbang, sebenarnya saya sudah tahu apa yang membimbangkan hati
Putera Ali,” sahut Puteri Bungsu tersenyum. “Saya tahu Putera Ali sudah mula di
ganggu orang. Kawan Putera Ali itu sudah tidur, dan dia tidak akan terjaga
selagi Putera Ali masih ada di sini,” ujarnya perlahan.
Barulah
Mat Akir sedar bahawa Puteri bungsu memang sudah mengawasi Latip Debok.
“Mari
tengok kearah itu,” Puteri Bungsu memegang tangannya lalu menunjukkan kearah
sekumpulan orang yang terhendap-hendap mencari sesuatu. Mat Akir nampak To’ Lah
dengan beberapa orang anak muda menjengah kearah tempat dia bertemu dengan Putri
Bungsu.
“Itu
Ketua Kampung To’ Lah. Apa dicarinya?” bisik Mat Akir serba salah.
“Mereka
mengendap kita,” beritahu Puteri Bungsu.
“Mengapa
dia mesti ambil tahu hal kita,” Mat Akir merungut dengan perbuatan orang-oang
kampung. “Kita tidak pernah mengganggu sesiapa pun, mengapa mereka mesti
mengganggu kita,” katanya menyimpan perasaan dendam.
“Putera
Ali mesti bersabar,” Puteri Bungsu mengingatkan. “To’ Lah itu orang tua,
tentulah dia tidak mahu kampungnya dicemar oleh orang-orang muda yang tidak
bertanggungjawab. Putera Ali tidak boleh marah kepadanya. Sebab itu kita
mestilah menjaga diri kita supaya tidak terlanjur,” bisik Puteri Bungsu lagi.
Mat
Akir tidak menyahut. Dia merasa jari Puteri Bungsu begitu lembut memaut
lengannya. Hatinya berdebar bila setiap kali jari-jari Puteri Bungsu
mengusap-ngusap pipinya. Ketika ini dia tidak peduli lagi fasal To’ Lah dan
orang-orang kampung sedang mengendapnya.
Biarlah
To’ Lah terserempak dia di situ. Dia percaya To’ Lah tidak akan menemui dia di
situ selagi Puteri Bungsu ada di sampingnya. Bagaimanapun hatinya tersinggung
juga kerana orang-orang kampung cuba mengganggu perhubungan dia dengan Puteri
Bungsu.
Tentulah
perhubungannya dapat dipisahkan sekirannya To’Lah menemui dia di situ. Kalau
To’ Lah mengeluarkan kata-kata kesat kepada Puteri Bungsu, sudah tentu puteri
bunian itu tersinggung. Gadis-gadis mudah tersinggung kalau hatinya dilukai.
Mereka akan pergi meninggalkan tempat itu bila hatinya tersinggung.
Inilah
yang membimbangkan Mat Akir.
Dia
tidak mahu hati Puteri Bungsu tersinggung. Kalau To’ Lah sudah mengeluarkan
kata-kata kesat, pasti Puteri Bungsu lari meninggalkan dia. Dia akan kehilangan
Puteri Bungsu buat selama-lamanya. Mat Akir tidak mahu Puteri Bungsu
meninggalkan dia, kalau semata-mata To’ Lah yang menyinggung perasaannya.
“Bagaimana
kalau To’ Lah tahu perhubungan kita?” Tanya Mat Akir gelisah.
“Oh,
dia tidak akan tahu selagi kita tidak terlanjur,” Puteri Bungsu meletakkan
kepalanya ke bahu Mat Akir.
Mat
Akir dapat mencium bau harum yang menyegarkan dari tubuh Puteri Bungsu. Semakin
erat Puteri Bungsu memeluknya, semakin berdebar hati Mat Akir. Tetapi dia tetap
menahan godaan yang menyesakkan nafasnya itu. Dia tahu Puteri Bungsu sengaja
mahu menguji perasaan dia.
“Kasihkah
Puteri bungsu kepada saya?” bisik Mat Akir ke telinga Puteri Bungsu.
“Mengapa
Putera Ali bertanya kepada saya, sepatutnya Putera Ali bertanya diri sendiri,”
sahut Puteri Bungsu sambil mencium di bawah telinga Mat Akir.
“Saya
mahu tahu hati Puteri Bungsu sendiri,” kata Mat Akir.
“Segala-galanya
terletak pada hati Putera Ali. Saya ibarat kain yang putih, terpulanglah kepada
Putera Ali mahu mencorakkan,” dia semakin erat merapatkan tubuhnya kepada Mat
Akir.
Mat
Akir terdiam. Hatinya tidak berubah mengenai cintanya terhadap Puteri Bungsu.
Walaupun diketahuinya bahawa Puteri Bungsu bukan manusia biasa, tetapi dia
sanggup menerimanya demi cintanya yang mendalam. Cintanya yang suci inilah yang
meyakinkan Puteri Bungsu untuk membawa Mat Akir masuk ke dalam masyarakat
bunian.
Kalau
cinta Mat Akir hanya sekadar memuja kecantikan dirinya, sudah lama dia
melepaskan Mat Akir dari perasaannya. Mat Akir juga akan terpedaya oleh
keindahan-keindahan yang sengaja diciptakan untuk anak muda itu terus
berkhayal. Tetapi dia tahu Mat Akir memang benar-benar mencintai dirinya. Dia tidak
akan memperdayakan anak muda itu.
Sehinggalah
bulan mulai pudar di balik awan, Puteri Bungsu meminta diri untuk balik ke
tempatnya. Apabila Mat Akir naik semula ke rumah, dia merasakan dakapan Puteri
Bungsu semakin erat. Dan dia berjaya menghadapi godaan yang mendebarkan itu.
Esoknya,
Mak Teh pula mendesak dia menceritakan apa sebenarnya telah berlaku kepada
dirinya selama ini. Kerana tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberikannyalah, Mak Teh terpaksa bersetuju denan nasihat To’ Lah supaya
meminta pertolongan dari Pawang Bulin.
“Kalau
kau tak mahu cakap, aku panggil Pawang Bulin ke sini,” Mak Teh mengingatkan.
“Aku tak suka bunian mengganggu rumahtangga aku, jangan sekali-sekali bunian
nak larikan anak aku,” katanya macam bercakap kepada bunian, walaupun yang
duduk di hadapannya itu ialah anaknya sendiri Mat Akir.
“Apa
yang mak cakapkan ni,” Mat Akir cuba mengelak dari membincangakan perkara
bunian. “Saya ni tak sakit apa-apa, buat apa panggil Pawang Bulin,” katanya
lagi.
“Sakit
ke tak sakit ke, aku tetap panggil Pawang Bulin. Aku tak mahu bunian ganggu
anak aku,” teas Mak Teh dengan perasaan benci. Dia percaya dengan kata-katanya
itu boleh menyinggung hati bunian. Bila hati bunian tersinggung mereka akan
meninggalkan Mat Akir.
“Saya
tak mahu mak panggil Pawang Bulin. Saya bukannya sakit,” bantah Mat Akir.
Pesanan Penghulu Bunian supaya jangan menghampiri Pawang Bulin tetap di
ingatnya betul-betul. Hanya kepada dirinya sajalah terletak keupayaan Penghulu
Bunian untuk melindungkan dia dari keupayaan Pawang Bulin.
Kalau
Mat Akir boleh ditewaskan oleh Pawang Bulin, bererti Penghulu Bunian tidak akan
berjaya membawa dia masuk ke dalam masyarakat bunian. Sekiranya Mat Akir dapat
membawa Puteri Bungsu keluar dari masyarakat bunian, tentu Mat Akir tidak
sanggup memenuhi syarat-syaratnya. Akhirnya Mat Akir juga menerima padahnya
menjadi gila nanar seumur hidup.
Sebab
itu terletak kepada tangan Mat Akir sendirilah supaya dia sentiasa menjauhkan
diri dari Pawang Bulin.
“Kau
dah jauh dibawa oleh bunian, Akir. Cuba ingatkan balik, nak. Cubalah lepaskan
diri kau dari bunian, kau pun bukannya sebarang orang. Tak kan kau tak dapat
melepaskan diri,” Mak Teh cuba memujuk Mat Akir supaya menerima cadangannya
berubat dengan Pawang Bulin.
Mat
Akir jadi serba salah. Dia tidak boleh menyinggung hati emaknya, sebelum
berjaya melepaskan diri darikawalan Pawang Bulin. Dia hanya mendiamkan diri saja
bila emaknya menimbulkan perkara mahu berubat dengan Pawang Bulin.
Cepat-cepat
pula dia membawa rawai ke sungai. Dia menuju ke pokok kelepung di tempat dia
selalu memasang rawai.
Setiap
hari ke situlah dia datang memasang rawai, apabila emaknya mula meminta
pertolongan dari Pawang Bulin. Pada malam pertama Pawang Bulin membakar
kemenyan untuk mengubatnya, Mat Akir merasa dadanya macam terbakar. Dia
merasakan seolah-olah api kemenyan itu ditaburkan ke dalam hatinya.
Semakin
kuat Pawang Bulin membaca jampi serapah, semakin kuat pula Mat Akir membaca
jampi serapah, menghalang Pawang Bulin menyeru itu dan ini. Pawang Bulin
sendiri merasakan perlawanan dalam diri antara dia dengan Mat Akir. Di samping
itu Pawang Bulin mendapati Penghulu Bunian ada membantu Mat Akir dalam
perlawanan dalam diri itu.
Walau
pun tidak berjaya pada malam pertamanya Pawang Bulin berjanji akan datang lagi.
Dia akan cuba menyelamatkan Mat Akir dari dikuasai oleh bunian.
Pada
malam Pawang Bulin datang mengubat itulah Mat Akir bermimpi kononnya Puteri
Bungsu jatuh sakit. Puteri bungsu memanggil-manggil dia supaya meninggalkan
rumahnya. Selagi dia berada di rumah itu dengan diubat oleh Pawang Bulin,
selagi itulah Puteri Bungsu tidak boleh sembuh dari sakitnya.
Esoknya,
pagi-pagi lagi Mat Akir sudah membawa rawai ke sungai. Setelah memasang
rawainya, dia duduk termenung di atas perdu pokok kelepung, tempat Puteri
bungsu selalu duduk menjuntaikan kaki ke air. Disitu, dia mula membaca jampi
serapah yang diamalkannya selama ini.
Sekonyong-konyong
muncullah Penghulu Bunian di situ. Penghulu Bunian tersenyum melihat dia duduk
di situ.
“Memang
hati Putera Ali bersih. Saya bersedia menerima kedatangan Putera Ali, dan
Putera Ali lah yang berhak ke atas masyarakat bunian sekarang ini,” ujar
Penghulu Bunian memegang tangan Mat Akir.
Mat
Akir bangun mengikut ke mana dituju oleh Penghulu Bunian. Dia di bawa masuk ke
perkampungan bunian. Di situlah dia pernah dibawa oleh Puteri Bungsu
sebelumnya. Sampai saja di dalam istana Penghulu Bunian, dia dibawa oleh
seorang perempuan tua ke bilik tidur Puteri Bungsu.
Semasa
Mat Akir masuk ke situ didapatinya memang benar Puteri Bungsu sedang terbaring
sakit.
“Maafkan
saya Puteri Bungsu, kerana saya menyusahkan Puteri Bungsu,” katanya lalu
memegang jari Puteri bungsu. Dia dapat merasakan jari itu terlalu lembut
bagaikan kapas.
“Tidak
apa-apa, Putera Ali sudah menyelamatkan nyawa saya. Kalau tidak kerana
kejujuran hati Putera Ali, sudah tentu saya mati di bunuh oleh Pawang Bulin,”
dia menjelaskan sambil menangis teresak-esak.
Dengan
keputusan nekad Mat Akir itu kekallah dia tinggal bersama Penghulu Bunian. Dia
kemudiannya dinikahkan oleh Penghulu Bunian dengan Puteri Bungsu. Mulai saat
itu lenyaplah cerita Mat Akir dari kampungnya. Hanya tiga empat tahun selepas
kehilangannya itu dia pernah muncul, dan memberitahu keluarganya tentang
perkahwinannya dengan bunian itu.
Selepas
itu sampailah dengan apa yang diceritakan oleh nenek saya kepada saya. Mat Akir
tidak muncul-muncul lagi. Kehilangannya dianggap oleh saudara maranya sebagai
sudah tidak ada lagi. Walaupun Mat Akir tidak meninggalkan zuriat, tetapi
zuriat dari kakaknya itulah dalam beberapa keturunan sampai kepada nenek saya.
Selesai
memang buku kegemaran aku ni masa kecil-keci dulu baca novel Tamar Jalis Bercakap Dengan Jin
ReplyDelete👍
ReplyDelete