Saya bersetuju dengan pandangan arwah nenek saya bahawa
ilmu yang sebaik-baiknya ialah ilmu yang diredai Allah. Tok Aji sendiri iaitu ayah kepada ayah saya
sering mengingatkan saya supaya hanya meminta pertolongan serta perlindungan
Allah semata-mata. Kisah Ngah Jaaman ini
adalah baik untuk dijadikan tauladan, kerana kekuatan ilmu batinya tidak dapat
mengatasi keganasan tentera Jepun yang memerintah Tanah Melayu dulu.
Dimana Ngah Jaaman menuntut ilmu kebatinan, nenek juga
tidak tahu. Tetapi nenek menberitahu
saya Ngah Jaaman boleh menyelam di dalam air sampai satu hari satu malam. Mula-mula tentera Jepun memburunya dia telah
terjun ke dalam lombong. Puas tentera
Jepun menunggunya di tepi lombong selama 12 jam. Namun Ngah Jaaman tidak juga
timbul ke permukaan air.
Sejak itulah tentera-tentera Jepun sentiasa berdendam
dengan Ngah Jaaman. Apa lagi
talibarut-talibarut Jepun memberitahu penglibatannya dengan golongan anti-Jepun
di dalam hutan. Sebelum Jepun datang ke
Tanah Melayu, suasana di kampung adalah aman tenteram. Walaupun politik di negeri ini hebat, tetapi
Ngah Jaaman tidaklah mencampuri urusan politik.
Dia membuat kerja-kerja kampung seperti abangnya Pak Tua Mahat.
Kelebihan Ngah Jaaman pada penglihatan mata orang kampung
ialah dia menjadi pawang air. Tidak sama
dengan abangnya Pak Tua Mahat yang menjadi pawang berburu, tetapi pengajian
agama Pak Tua Mahat lebih mendalam kerana sejak ayah saya berkahwin dengan emak
saya yakni adiknya (emak saya ialah adik Pak Tua Mahat dan Ngah Jaaman), Pak
Tua Mahat rajin mendampingi Tok Aji ayah
kepada ayah saya.
Sama ada Ngah Jaaman pernah belajar dengan Tok Aji atau
tidak memang nenek tidak tahu, kerana Ngah Jaaman tidaklah rapat dengan Tok Aji
seperti Pak Tua Mahat. Kata ayah saya,
pernah satu waktu air sungai bah, Tok
Aji menyebarang sungai itu kerana mahu menyelamatkan emak saya yang sedang
mengandungkan saya. Kebetulan rumah ayah
saya terletak di seberang sungai, jadi Tok Aji terpaksa menyeberangi sungai
untuk membawa emak saya ke sebelah darat kampung. Ketika inilah orang-orang kampung melihat Tok
Aji berjalan di atas air seperti meniti di atas jambatan saja.
Orang-orang kampung tidak mengetahui tentang kebolehan
Ngah Jaaman. Hanya setelah di berkahwin
dengan Ngah Som di Kampung Kuala dan berpindah tinggal di kampung Ngah Som,
barulah orang mendengar akan kebolehan Ngah Jaaman itu. Nenek sendiri heran dari mana Ngah Jaaman
mendapat kepandaian tersebut.
Mula-mulanya cerita mengenai Ngah Jaaman ini diketahui apabila seorang
gadis disambar buaya ketika membasuh di sungai.
Pak Dahok yang menjadi pawang di situ telah berusaha
mencari gadis yang disambar buaya itu tetapi tidak berjaya. Biasanya Pak Dahok akan memanggil semua buaya
beratur di atas pasir, dan buaya yang bersalah akan menyerah diri minta
hukuman. Kemudian buaya itu akan
dibunuh, dan mengikut arahan Pak Dahok,
buaya itu kemudian dikapankan seperti mayat manusia dan disempurnakan
pengkebumiannya seperti manusia juga.
Apabila gadis itu diketahui oleh emaknya sudah disambar
buaya, maka Pak Dahok pun mula membakar kemenyan di tebing sungai. Kemudian orang-orang kampung melihat satu
demi satu buaya naik ke pasir. Selepas
itu dia kembali terjun ke air.
“Ah, dia nak minta geruh aku ni!” rungut Pak Dahok mengertap bibir.
“Mengapa?” Ngah
Jaaman yang ada bersama di situ bertanya.
Kebetulan gadis yang disambar buaya itu ada hubungan kekeluargaan dengan
Ngah Som.
“Tak mau naik dia ke atas,” jelas Pak Dahok gelisah.
Dia merasa dirinya sudah dicabar. Sebagai seorang pawang berpengalaman dia
sudah dapat mengagak akan cabaran tersebut.
Ketika ini dia sudah dapat menggambarkan bahawa buaya ini berdendam
dengan dirinya sebagai pawang sungai di situ.
Selama ini orang-orang di kampung Kuala selalu meminta Pak Dahok
membakar kemenyan kalau mahu mencari ikan di sungai.
Setelah Pak Dahok membakar kemenyan, mereka tidak takut
lagi untuk menjeramak ikan, walaupun masuk ke kawasan teluk. Mereka tidak takut memasukkan jeramak ke
bawah perut buaya. Di bawah perut buaya
itulah ikan banyak berkumpul.
Orang-orang kampung akan gembira kerana mendapat ikan banyak setelah Pak
Dahok membakar kemenyan.
“Memang dia nak cari geruh aku,” gerutu Pak Dahok sambil meramas-ramas pasir.
“Kalau Tok Pawang benarkan, biar aku bantu,” tiba-tiba saja Ngah Jaaman menawarkan diri.
Terkejut juga Pak Dahok dengan permintaan Ngah
Jaaman. Malah Ngah Som juga terkejut
apabila mendengar suaminya bersungguh-sungguh mahu membantu Pak Dahok. Dia percaya kalau nenek saya ada di situ
tentu nenek melarang Ngah Jaaman membantu.
Maklumlah perkara menentang buaya di air samalah macam menempah
musuh. Sedangkan Pak Dahok yang sudah
bertahun-tahun menjadi pawang sungai lagikan tidak berdaya mengatasi keadaan
itu.
“Awak nak buat macam mana?” Ngah Som menyatakan rasa bimbangnya.
Ngah Jaaman tersenyum mendengar kata-kata Ngah Som. Dia tahu Ngah Som terkejut mendengar dia mahu
membantu Pak Dahok. Cara mana dia mahu
membantu Pak Dahok tidak pula diketahui.
Boleh jadi Ngah Jaaman pula akan memanggil buaya yang menyambar gadis
itu naik ke darat. Bolah jadi juga Ngah
Jaaman akan menangkap buaya tersebut.
“Aku boleh membantu Tok Pawang,” beritahu Ngah Jaaman lagi.
Pak Dahok tertunduk mendengar pengakuan Ngah Jaaman yang
mahu membantunya itu. Di sebabkan dia
terdesak maka Pak Dahok pun bersetuju menerima bantuan Ngah Jaaman. Sebaik saja Pak Dahok bersetuju ditolong,
orang-orang kampung yang berdiri di tebing sungai melihat Ngah Jaaman terus
meluru ke air. Dia terjun ke dalam air
sungai berarus deras.
Setelah terjun ke air, Ngah Jaaman tidak timbul-timbul ke
permukaan air. Ngah Som mula gelisah
setelah hampir 10 minit Ngah Jaaman tidak naik semula ke tebing sungai.
“Jangan khuatir Som.”
Pak Dahok mententeramkan hati Ngah Som.
Dia tahu Ngah Som cemas dengan peristiwa itu. Tetapi Pak Dahok sudah dapat merasakan
kebolehan Ngah Jaaman itu. Bagaimanapun
bukanlah mudah baginya untuk menerangkan perkara tersebut kepada orang-orang
kampung, biarpun mereka melihat sendiri Ngah Jaaman terjun ke air.
Siapa pun tidak tahu apa telah berlaku kepada Ngah Jaaman
sebaik saja dia terjun ke air kira-kira jam 11.00 pagi. Hingga jam 5 petang barulah Ngah Jaaman
timbul di permukaan air membawa mayat gadis yang disambar buaya itu. Mayat itu masih belum reput lagi, kerana pagi
itu saja dia disambar oleh buaya berkenaan.
Setelah mayat itu dapat dibawa naik, Ngah Jaaman tidak
menceritakan apa-apa mengenai peristiwa yang berlaku semasa dia menyelam ke
dalam sungai selam 6 jam. Bagi manusia
biasa 6 minit pun tidak berdaya untuk tinggal di dalam air, tetapi Ngah Jaaman
telah membuktikan dia boleh hidup di dalam air berjam-jam.
Sejak peristiwa gadis membasuh kain di tebing sungai di
sambar buaya, orang-orang di kampung Kuala takut untuk mandi ke sungai. Mereka juga takut menangkap ikan ke
sungai. Malah mereka tidak berani lagi
untuk menjeramak ikan, walaupun Pak Dahok sanggup membakarkan kemenyan.
Perbuatan Ngah Jaaman menyelam ke air itu diceritakan
oleh Ngah Som kepada nenek saya, apabila dia berkunjung ke rumah nenek. Ngah Jaaman hanya tersengih-sengih saja bila
dimarahi oleh nenek. Bagaimanapun nenek
sendiri merasa kagum akan kebolehan Ngah Jaaman. Tetapi apabila diberitahu pada Pak Tua Mahat,
dia merasakan tidak ada apa-apa anehnya tentang kebolehan adiknya itu. Katanya, tidak ada yang mustahil kalau
diizinkan Allah.
Beberapa tahun kemudian barulah Ngah Jaaman menceritakan
pada Ngah Som bagaimana dia mencari gadis yang disambar buaya itu. Ngah Jaaman menceritakan pada isterinya sebab
ketika ini orang-orang di Kampung Kuala telah menjadikan Ngah Jaaman pawang
air, setelah Pak Dahok meninggal dunia.
Semasa Pak Dahok meninggal dunia dia menghempas-hempas badan seperti
seekaor buaya. Kakinya melibas ke kiri
ke kanan seperti ekor buaya melibas juga.
Apa yang dicerita oleh Ngah Jaaman kepada Ngah Som,
diceritakan semula oleh Ngah Som kepada nenek.
Cerita ini pula disampaikan oleh nenek kepada saya.
Sebaik saja Ngah Jaaman terjun ke air dia didampingi oleh
‘akuan’nya. (Akuan – ialah sahabat
kepada mereka yang mempelajari ilmu pawang dan ini tidak ada pada mereka yang
mengamalkan ilmu-ilmu Allah, kerana bagi mereka yang memberi pertolongan dan
perlindungan hanya Allah semata-mata).
Ngah Jaaman hanya menyebut ‘Tok Syeikh’ saja mengenai akuannya itu.
“Kau ni berani buta aje Jaaman!” Tok Sheikh memarahi Ngah Jaaman.
“Ah, aku tau Tok Sheikh akan datang juga,” sahutnya penuh yakin.
“Cepat naik ke atas belakang aku,” perintah Tok
Sheikh. Ketika ini Tok Sheikh sudah
menjelma menjadi buaya putih. Ngah
Jaaman mematuhi perintah Tok Sheikh lalu naik ke atas belakang buaya putih itu seperti
menunggang kuda.
Ngah Jaaman di bawa menghilir sungai jauh dari tempat
orang berkumpul. Dengan panduan buaya
putih itu dia dibawa ke tengah sungai berarus deras yang terdapat sebatang
tunggul kayu. Di celah-celah akar bawah
tunggul kayu itulah mayat gadis itu tersadai.
Memang manjadi kelaziman buaya dia tidak akan memakan mangsanya selagi
tidak reput. Sebab itulah gadis yang
menjadi mangsanya itu diletakkan di situ sementara mayatnya menjadi reput.
Apabila sudah reput barulah di makannya, kerana buaya
memang memakan bangkai iaitu daging yang sudah reput. Mujurlah mayat gadis itu ditemui sebelum
sempat dimakan oleh sang buaya. Dengan
bantuan Tok Sheikh, Ngah Jaaman cuba mengeluarkan mayat tersebut dari
celah-celah akar kayu. Sekonyong-koyong
datanglah seekor buaya besar menuju kearah Ngah Jaaman.
Setelah mangsanya diletakkan pada celah akar-akar kayu,
buaya itu tetap menjaganya supaya tidak disambar oleh buaya yang lain. Dari Tok Sheikh itulah Ngah Jaaman mendapat
tahu, bahawa setelah buaya berkenaan menyambar mangsanya dia membunuhnya
terlebih dulu ke dalam air. Selepas itu
dia akan menjulang mangsanya ke permukaan air sebanyak tiga kali sebagai
menyatakan bahawa bukan dia yang membunuh mangsanya, tetapi air.
Kemudian barulah dia menyimpan di tempat-tempat yang
tidak boleh dihanyutkan oleh air, sementara menunggu daging mansanya
reput. Di samping itu dia memerhatikan
dari jauh supaya tidak ada buaya-buaya lain yang melarikannya. Dia akan mengenjah beberapa kali untuk
mempastikan sama ada mangsanya itu sudah reput atau belum.
Ketika Ngah Jaaman sedang mengeluarkan mayat gadis itu
dari celah agar tunggul di tengah air, tidak disedarinya buaya berkenaan mara
ke arahnya. Cepat-cepat Tok Sheikh
melaung ke arahnya. “Hoi, Jaaman kenapa
kau ni lalai sangat!” suara Tok Sheikh bergema kuat.
Ngah Jaaman berpaling kearah buaya yang datang meluru
kearahnya. Dia bersiap sedia menunggu
kedatangan musuhnya. Ketika ini
dirasakannya Tok Sheikh menyambar dirinya.
Dia masuk ke dalam mulut Tok Sheikh seperti duduk di dalam balang
kaca. Ngah Jaaman nampak bagaimana Tok
Sheikh yang menjelma menjadi buaya putih memukul buaya yang datang mahu
menyerang itu dengan ekornya. Setiap
kali buaya itu mahu menyerang, Tok Sheikh memukulnya sampai terhambur keatas
permukaan air.
Tok Sheikh mendapat tahu itulah buaya ganas di sungai itu
yang ditakuti oleh buaya-buaya lain.
Malah Ngah Jaaman sendiri mengagakkan tentulah buaya itu merupakan
penghulu buaya di situ. Sebab itulah dia
tidak naik ke darat bila diseru oleh Pak Dahok.
Ini bererti dia tidak mahu lagi tunduk kepada kekuasaan Pak Dahok.
Tetapi selepas menerima tentangan hebat dari Tok Sheikh,
buaya itu lari jauh dari situ. Bahagian
pinggang buaya itu bagaikan patah dipukul oleh tok Sheikh. Fasal itulah terpaksa melarikan diri selepas
merasakan kesakitan akibat di pukul oleh Tok Sheikh. Bagaimanapun Ngah Jaaman seolah-olah dapat
memahami pertelingkahan antara Tok Sheikh dengan buaya tersebut.
“Tak patut awak berkasar dengan aku,” tegas buaya ganas itu yang mengakui dirinya
penghulu buaya.
“Awak ganas sangat,”
jerkah Tok Sheikh keras.
“Aku bukan ganggu awak, aku ganggu manusia,” sahutnya mempertahankan diri.
“Tapi, Jaaman ni sahabat aku, awak tau!” Tok Sheikh mengingatkan. “Aku tahu, awak ni puaka air. Jangan awak nak berdusta. Kalau dengan Dahok bolehlah awak
main-mainkan,” kata Tok Sheikh
menyindir.
“Bukan aku yang bunuh orang tu,” jelas penghulu buaya yang dipanggil oleh Tok
Sheikh puaka air. “Air sungai yang bunuh
orang tu, aku hanya menyambar dari atas tebing,” dia masih berdendam dengan Tok Sheikh kerana
menghalang maksudnya.
“Sekarang aku pun tak ambil budak ni dari kau,” sindir Tok Sheikh ketawa mengejeknya. “Aku mahu ambil budak ni dari air, sebab air
yang membunuhnya. Kalau kau yang
membunuhnya aku akan ambil dari mulut kau, faham!” katanya sambil mengancam.
Buaya itu tahu bahawa dia tidak akan dapat menentang Tok
Sheikh. Kalau dia berkeras menentang Tok
Sheikh bererti dia tidak akan dapat melepaskan diri ke mana pun. Sebab itulah dia melarikan diri dari Tok
Sheikh hilang dari pandangan mata Ngah Jaaman.
Selepas itu tidak ada apa-apa halangan lagi bagi
membolehkan Ngah Jaaman menarik mayat itu keluar dari celah-celah akar bawah
tunggul di tengah air itu. Mayat itu
kemudiannya selamat di bawa semula ke darat dan dikebumikan sempurna..
Itulah yang diceritakan oleh Ngah Jaaman kepada Ngah Som
mengenai pengalamannya menyelamatkan mayat gadis yang disambar buaya itu. Sejak itu juga orang-orang Kampung Kuala
iaitu kampung Ngah Som mengkagumi akan kebolehan luar biasa Ngah Jaaman. Hanya Pak Tua Mahat saja menasihatkan Ngah Jaaman
supaya tidak meneruskan amalan yang dikira oleh Pak Tua Mahat bertentangan
dengan aqidah. Malah Pak Tua Mahat mengatakan seseorang yang menuntut ilmu
melemahkan buaya maka lambat laun kematiannya adalah disebabkan oleh buaya
juga.
Namun Ngah Jaaman tidak menghiraukan nasihat Pak Tua
Mahat. Dia tetap berpegang kuat bahawa
amalannya tidak ada kena mengena dengan aqidah.
Bagaimana pun ini adalah keyakinan Ngah Jaaman, kerana dari segi aqidah
kita hanya memohon pertolongan dari Allah, bukannya dari Tok Sheikh atau
lain-lain ‘akuan’. Sayangnya semasa Ngah
Jaaman mati dibunuh oleh tentera Jepun saya baru berumur 10 tahun saja. Tidak banyak yang saya ketahui sangat
mengenai dirinya.
Tetapi selepas kejadian dia menyelamatkan mayat gadis
itu, buaya di sungai Kampung Kuala bertambah ganas. Setiap hari ada saja mengsanya sama ada
kerbau atau lembu. Ketakutan
penduduk-penduduk kampung juga semakin membimbangkan. Mereka selalu diserang sakit merasakan sungai
sudah menjadi puaka yang menggerunkan.
Ketika inilah Pak Dahok selalu diserang sakit-sakit. Dia selalu mengadu kepada isterinya tentang
pinggangnya yang sakit seperti patah pada bahagian tersebut.
Sakit yang dideritainya itulah yang membawa kepada
kematian Pak Dahok. Selepas kematian Pak
Dahok, buaya di sungai kampung Kuala tetap mengganas. Orang-orang kampung tidak lagi membiarkan
ternakan mereka meragut rumput di tebing sungai. Mereka juga tidak berani untuk ke sungai,
sama ada mandi atau membasuhkain. Satu
hari anak Pak Dahok, Usup Magang menemui Ngah Jaaman memberitahu wasiat ayahnya
sebelum menghembuskan nafas.
“Ayah yang suruh beritahu Ngah Jaaman, supaya selamatkan
kampung ni dari keganasan buaya,”
beritahu Usup Magang.
“Pawang buaya di sini cuma Pak Dahok dan
keturunannya,” Ngah Jaaman cuba menolak,
kerana tugas seterusnya untuk menjadi pawang buaya di kampung itu ialah Usup
Magang. Tetapi Pak Dahok sudah tidak
membenarkan lagi anaknya itu menjadi pawang buaya di situ.
“Ini wasiat ayah!”
kata Usup Magang bersunguh-sunguh.
“Aku tak pernah buat kerja ni,” ujar Ngah Jaaman.
“Tapi ayah kata, cuma Ngah Jaaman saja boleh mengamankan
sungai ni. Ayah tau mengenai diri Ngah
Jaaman,” jelas Usup Magang.
Kalau tidak ada pawang yang mengawal buaya di sungai,
sudah tentulah keganasannya tidak dapat diatasi. Usup Magang yang mewarisi tugas menjadi
pawang buaya di situ sudah bersedia menyerahkannya kepada Ngah Jaaman. Setelah puas usup Magang memujuk barulah Ngah
Jaaman menceritakan bahawa buaya yang mengakui dirinya penghulu buaya semasa
menyambar gadis dulu berdendam kepada Pak Dahok.
“Ayah tau penghulu buaya berdendam,” kata usup Magang mengingatkan semula cerita
ayahnya. “Mujurlah Ngah Jaaman datang membantu, kalau tidak geruh ayah masa
tu,” ujarnya macam menyesali kejadian
yang menimpa kampungnya itu.
“Ayah kau salah menghukum,” keluh Ngah Jaaman perlahan.
“Bukan salah, tapi ayah tersalah,” sahut Usup Magang.
Ngah Jaaman terangguk-angguk. Memang benar kata Usup Magang bahawa aruah
Pak Dahok tersalah menghukum seekor buaya yang tidak bersalah. Peristiwa itu bermula bila seekor lembu
penduduk kampung disambar buaya. Pak Dahok
telah membakar kemenyan menyeru semua buaya naik ke pasir. Hampir 30 ekor buaya naik ke pasir berbaris
menunggu perintah dari Pak Dahok.
Dengan petuanya Pak Dahok memukul satu demi satu kepala
buaya yang berbaris di pasir. Setelah
ekor buayan yang sudah diketuk kepalanya segera terjun semula ke air. Hinggalah sampai kepada seekor buaya julung,
apabila diketuk kepalanya dia tidak terus terjun ke air. Pak Dahok dapat melihat air mata buaya itu
seolah-olah tergenang macam air mata di pelupuk mata manusia.
“Kau yang buat ye?”
soal Pak Dahok mengetuk sekali lagi kepala buaya tersebut.
Buaya itu tidak juga terjun ke air. Melihatkan keadaan itulah Pak Dahok merasakan
buaya itulah yang telah melakukan kesalahan menyambar lembu berkenaan. Demikian petua yang dipelajari dari gurunya
turun temurun. Setelah merasakan
keputusannya adil, dia menyuruh orang menembak buaya tadi. Bangkai buaya itu dikapan dan dikebumikan
seperti adat kebiasaan yang dilakukan oleh Pak Dahok.
Malamnya Pak Dahok bermimpi dia didatangi oleh penghulu
buaya yang memarahinya kerana membunuh anaknya.
Mengikut katanya, anaknya tidak melakukan perbuatan menyambar lembu di
tebing sungai. Anak penghulu buaya itu
datang semata-mata menerima seruan dari Pak Dahok, dan dia tidak terjun ke air
apabila kepalanya diketuk kerana kekeliruan.
Apakah masalah kekeliruan itu hanya diketahui oleh Pak Dahok dan
penghulu buaya itu saja.
Walaupun esoknya Pak Dahok menyeru semua buaya-buaya bagi
mempastikan mimpinya benar, dan buaya yang melakukan kesalahan itu dapat
dikesan, tetapi perbuatan Pak Dahok sudah terlanjur. Dia sudah membunuh anak penghulu buaya yang
disangkanya melakukan perbuatan menyambar lembu penduduk kampong. Oleh itu dia terpaksa menghadapi ancaman dari
penghulu buaya tersebut.
Hinggalah peristiwa gadis yang disambar buaya itu
terjadi. Pak Dahok tidak menyatakan rahsia
dendam penghulu buaya berkenaan. Anehnya
setelah Pak Dahok meninggal, keganasan penghulu buaya tidak juga berkhir. Pantang saja mendapat peluang dia akan
menyambar mangsanya. Sebab itulah Usup
Magang meminta Ngah Jaaman mengambil alih tugasnya sebagai pawang buaya.
Ngah Jaaman tidak bersetuju menjadi pawang buaya. Dia meminta Usup Magang meneruskan warisan
kerja ayahnya, tetapi dia bersedia membantu Usup Magang.
“Sama-sama kita buat kerja ni Sup,” katanya pada Usup Magang.
“Kalau Ngah Jaaman saja buat , apa salahnya?” Usup Magang masih mengharapkan Ngah Jaaman
bersedia memikul tugas menjadi pawang buaya itu.
“Ini hak kau Sup, aku cuma boleh membantu aje,” jelas Ngah Jaaman selanjutnuya.
Setelah mendapat pengakuan Ngah Jaaman, esoknya Usup
Magang pun mula membakar kemenyan di atas tebing sungai. Orang-orang kampung datang melihat upacara
Usup Magang memberitahu buaya-buaya di sungai mengenai kedudukannya sebagai
pawang buaya. Sejak turun temurun dari
datuknya apabila upacara itu dibuat semua buaya di sungai akan naik ke pasir
seolah-olah memberi pengakuan taat setia kepada pawang buaya.
Inilah yang dilakukan oleh Usup Magang seperti dibuat
oleh datuk moyangnya turun temurun. Tetapi
baru saja Usup Magang membakar kemenyan tiba-tiba seekor buaya besar muncul di
permukaan air lalu melibaskan ekornya kearah Ngah Jaaman yang berdiri di tebing
sungai. Hujung ekornya menyinggahi
pinggang Ngah Jaaman hingga dia tercampak ke air.
Ngah Som yang melihat kejadian itu terpekik, kerana dia
depan matanya Ngah Jaaman disambar buaya.
Orang-orang kampung hanya melihat saja dari jauh kejadian yang menimpa
Ngah Jaaman. Oleh itu mereka hanya
nampak Ngah Jaaman terhumban ke dalam air lalu tenggelam bersama buaya yang
menyambarnya.
Tapi tidak lama kemudian mereka nampak seekor buaya
berenang pantas di permukaan air dikejar oleh seekor buaya putih.
Buaya putih itu tiba-tiba muncul dan menghambat buaya
yang menyambar Ngah Jaaman tadi. Selepas
itu mereka tidak nampak apa-apa lagi mengenai kelibat buaya yang berhambat-hambatan
itu. Hanya Ngah Jaaman kelihatan
terapung-apung di permukaan air.
Bagaimana pun tidak seorang yang berani terjun ke sungai menyelamatkan
Ngah Jaaman, kerana mereka masih bimbang akan ancaman buaya.
Tidak lama kemudian tubuh Ngah Jaaman yang tidak sedar
diri itu ditolak oleh seekor buaya putih naik ke atas pasir. Tiga hari Ngah Jaaman demam sengal-sengal
badan hingga terlantar di rumah. Tetapi
dia tidak mahu panggil sesiapa pun mengubatinya. Setelah di desak oleh Ngah Som barulah Ngah
Jaamah menceritakan semua pengalamannya menyelamatkan gadis dari menjadi mangsa
penghulu buaya.
Dari situlah Ngah Som tahu akan kebolehan suaminya
itu. Setelah memahami kedudukannya
tidaklah lagi Ngah Som binbang, kerana dia yakin Ngah Jaaman boleh mengatasi
ancaman buaya di sungai. Malah
orang-orang kampung juga sering nampak buaya putih muncul di permukaan
air. Sejak buaya putih sering kelihatan,
keganasan buaya di sungai Kampung Kuala tidak ada lagi.
Orang-orang perempuan yang membasuh kain di tebing sungai
tidak lagi nampak kelihat buaya.
Ternakan meragut rumput di tepi tebing sungai pun tidak lagi disambar
buaya. Cuma mereka diingatkan oleh Ngah
Jaaman jangan sekali-kali membasuh pinggan mangkuk atau sengkalan di sungai.
“Ingat Sup, pantangkan orang-orang kampong jangan basuh
pinggan mangkuk di sungai,” Ngah Jaaman
mengingatkan.
Usup Magang mengangguk tanda akan mematuhi perintah Ngah
Jaaman’
“Sengkalan atau lesung batu menumbuk lada juga jangan
basuh di sungai,” katanya lagi.
Usup Magang bersetuju dengan syarat-syarat yang diberikan
oleh Ngah Jaaman.
Sejak itu sering orang melihat buaya putih timbul di
permukaan sungai. Orang-orang kampung
tidak menghiraukan sangat fasal buaya putih timbul di sungai kerana mereka
sudah tahu mengenai Ngah Jaaman. Malah
ada yang mengesyaki bahawa buaya putih itu adalah jelmaan dari Ngah
Jaaman. Ini disebabkan ada di antara
mereka yang melihat Ngah Jaaman turun mandi ke sungai, kemudiannya hilang. Tidak lama selepas itu munculah buaya putih.
Mereka juga diberitahu sekiranya buaya putih itu berenang
mudik ke hulu, tidaklah ada musuh menganggu.
Sekirannya buaya putih itu berenang menghilir sungai janganlah bermain
di tebing, atau membiarkan ternakan meragut rumput di tebing. Itulah tandanya buaya sedang mencari
mangsa. Isyarat yang diberikan oleh
buaya putih ini, adalah isyarat yang dinyatakan oleh Ngah Jaaman kepada Usup
Magang.
Selepas Ngah Jaaman dan Usup mengawal suasana di sungai Kampung Kuala,
masalah gangguan dari buaya-buaya mengganas tidak ada lagi. Malah penghulu buaya yang dikatakan tidak
mahu tunduk dengan aruah Pak Dahok dulu pun tidak muncul-muncul lagi. Apakah penghulu buaya itu sudah mati dibunuh
oleh buaya putih atau sudah melarikan diri tidak pula diketahui? Orang-orang kampung juga tidak berani sangat
mahu bertanyakan mengenai buaya putih yang mengawal sungai mereka dari Ngah
Jaaman.
Itulah kisah Ngah Jaaman yang diceritakan oleh arwah
nenek kepada saya, kerana dalam zaman Jepun memerintah negeri ini, Ngah Jaaman
berpindah balik ke kampung kami. Dia tidak
mahu tinggal di kampung kuala, kerana kebanyakan orang-orang di situ takut
apabila digertak oleh tentera-tentera Jepun.
Mereka mudah mengaku kalau di gertak dengan ancaman, hinggakan orang
yang tidak bersalah pun jadi dituduh bersalah.
Siapa pun tidak berani membantah.
Pada hari Pak Tua Mahat pergi ke Mentakab, Ngah Jaaman
ditangkap oleh tentera Jepun. Ayah saya
yang menjadi Jaikedan (ketua pengawal kampung) cuba menyelamatkannya, tetapi
ayah saya pula dinasihatkan oleh pegawai Jepun di daerah kami, supaya tidak
mencampuri masalah pegawai-pegawai tingginya. Menurut pegawai Jepun itu, Ngah
Jaaman di dapati menjadi ketua gerakan melawan Jepun sejak dia di Kampung Kuala
lagi. Apakah benar dakwaan dari
tentera-tentera Jepun ini tidaklah diketahui sangat oleh keluarga kami.
Tetapi kata nenek, dia tidak pernah melihat Ngah Jaaman
meninggalkan kampung. Cuma dia enggan menyertai Jaikedan iaitu pengawal kampung
di zaman pemerintahan Jepun. Pak Tua
Mahat tidak dapat dihubungi semasa Ngah Jaaman ditangkap Jepun, kerana masalah
perhubungan ketika ini adalah sukar.
Seminggu Ngah Jaaman dalam kurungan Jepun, dia pun di jatuhkan hukuman
bunuh. Pada mulanya dia dipancung
setelah menggali lubang sendiri. Tetapi
mata pedang Jepun itu tidak memberi bekas langsung.
Keadaan ini menyebabkan pegawai Jepun yang
bertanggungjawab memancung leher Ngah Jaaman menjadi marah. Lantas Ngah Jaaman dipaksa meminum air sabun,
kemudian diletakkan sekeping papan di atas perutnya. Beberapa orang tentera Jepun memijak papan
tersebut, namun tidak juga memberi bekas kepada Ngah Jaaman. Keganasan Jepun tidak berakhir begitu saja,
selagi mangsanya tidak dapat dibunuh mereka tetap tidak berpuas hati.
Setelah dua percubaannya gagal untuk membunuh Ngah
Jaaman, mereka menggantung Ngah Jaaman pula dengan kaki ke atas kepala ke bawah
di batang sepohon pokok kekabu. Kemudian
di tembak bertalu-talu. Tembakan itu
juga tidak memberi bekas. Akhir sekali
barulah Ngah Jaaman di tonggengkan, kemudian diradak buntutnya dengan
benet. Tusukan benet pada bahagian
lubang duburnya ini tidak dapat dipertahankan lagi oleh Ngah Jaaman. Dia mengeletek kesakitan, dan berakhirlah
riwayatnya di tangan tentera-tentera Jepun.
Bagaimanapun bagi saya semua kejadian itu adalah dengan izin Allah
belaka.
Saya sendiri tidaklah berhajat mahu mempelajari ilmu-ilmu
seperti yang di amalkan oleh Ngah Jaaman
itu, tetapi saya merasa bersedih dengan kematiannya yang sungguh terseksa. Nasib yang menimpa Ngah Jaaman terus memburu
keluarga saya, apabila Jepun menyerah diri.
Ketika inilah berlakunya keganasan yang di lakukan oleh golongan Bintang
Tiga. Mereka menangkap sesiapa saja yang
disyaki menjadi talibarut Jepun.
Hal ini berlaku juga kepada keluarga saya. Seramai 20 orang golongan Bintang Tiga telah
datang mencari ayah saya, kerana mereka
mengesyaki ayah saya menjadi penyokong Jepun.
Ayah saya mengajak saya yang baru berumur 10 tahun pergi ke rumah Tok
Aji, dan meninggalkan emak saya yang baru saja seminggu melahirkan adik saya. Kerana emak saya masih lagi dalam ‘pantang’
maka terpaksalah emak saya ditinggalkan.
Ayah saya mengingatkan saya supaya jangan bercakap
sepatah pun, walau ada ternampak apa-apa.
Ketika menuruni tubir seramai 20 orang kumpulan Bintang Tiga berselisih
jalan, tetapi mereka tidak menghiraukan ayah saya yang mereka cari. Kami pun teruslah berjalan menuju ke rumah
Tok Aji yang terletak kira-kira tiga batu dari rumah kami.
Selepas kejadian itu emak memberitahu bahawa 20 orang
kumpulan Bintang Tiga telah mengepung rumah kami. Mereka berkeliling saja, tidak dapat rapat ke
rumah. Manakala adik saya yang baru
lahir itupun tidak menangis langsung, menjadikan suasana di rumah itu senyap
sepi seperti tidak berorang. Kira-kira
setengah jam orang-orang Bintang tiga itu berkeliling rumah kami, mereka pun
beredar dari situ. Emak tidak dapat
memahami kata-kata mereka disebabkan semuanya bercakap dalam Bahasa Cina.
Tidak lama selepas itulah berlakunya peristiwa amukan
orang-orang Melayu di marata tempat di negeri ini. Di Batu Pahat telah muncul
Kiyai Salleh mengetuai tindakan menentang orang-orang Bintang Tiga yang
mengganas. Ketika itu saya hanya
mendengar nama Kiyai Selamat bertindak di Batu Kikir, tetapi siapa pun tidak
tahu siapakah Kiyai Selamat ini. Dalam
masa ini ayah saya memberitahu Tok Aji memang pergi ke Batu Kikir, kerana
menantunya ada tinggal di sana.
Macam mana Tok Aji tidak pula di ketahui, kerana tidak
ada kenderaan ke sana yang letaknya hampi 60 batu dari tempat kami. Kalau mahu menaiki basikal pula Tok Aji
memang tidak tahu menunggang basikal disebabkan kaki kanannya layuh atau
tepok. Tetapi kata kakak ayah saya yang
di Batu Kikir itu, memang Tok Aji sampai ke sana semasa peristiwa berdarah
berlaku. Ada orang melihat Tok Aji
berdiri di atas satu jambatan, dan tidak dapat hendak melarikan diri apabila
dikepong oleh 30 orang lelaki Cina.
Di sebabkan tidak boleh mengelak lagi lantas Tok Aji
menangkap pinggang salah seorang lelaki Cina itu seperti seekor harimau
menggonggong kambing saja layaknya. Dia
menepuk-nepuk punggung lelaki itu dengan tapak tangannya, Tiba-tiba seluruh anggota badannya luruh
seperti ranting kering. Melihatkan
keadaan kawannya itu maka habislah lari semua lelaki Cina yang mengepungnya
tadi. Bagaimanapun apa yang dilihat oleh
orang ramai ini, tidak diakui oleh Tok Aji.
Semasa hayatnya saya pernah bertanya kepada dia mengenai peristiwa itu,
tetapi Tok Aji tetap menafikannya.
Inilah kisah keluarga saya yang dapat saya kumpulkan
semasa berlakunya peristiwa kemelut di masa pemerintahan Jepun dan selepas
Jepun menyerah kalah sebagi memenuhi permintaan penerbit buku ini. Saya harap anda pembaca dapat menganggapnya
sebagai hiburan saja, kerana untuk menjangkau masalah-masalah seperti ini
bukanlah kudrat kita.
Saya sendiri mendengar cerita semasa berlakunya rusuhan
di negeri kita dalam tahun 1969 dulu,
ramai orang yang menjual tangkal azimat.
Sebenarnya tangkal azimat tidak boleh menolong kita, sebaliknya tangkal
azimat itu hanya sebagai penguat semangat saja.
Kita merasa diri kita tidak diancam bahawa kerana adanya tangkal azimat
tadi, sedangkan itu hanyalah perasaan semata-mata. Yang memberi pertolongan dan perlindungan
kepada kita hanyalah Allah.
Ketika saya menulis cerita ini kebetulan datang seorang
wanita kononnya dari Terengganu menjual keropok. Dia memberi salam kepada saya yang
menyebabkan saya terhenti menulisnya.
Sebaik saja isteri saya membuka pintu, dia tiba-tiba serba salah untuk
masuk. Bagaimanapun saya mempersilakan
dia masuk. Mahu tidak mahu dia terpaksa
juga masuk, tetapi keadaannya macam gelisah sedikit.
Memandangkan keadaannya itu saya dapat menduga tentu
perempuan ini ada gangguan sedikit. Dia
seolah-oleh kepanasan bila berada di dalam rumah saya. Untuk mempastikannya lagi saya cuba
membacakan Ayat Kursi sebanyak 33 kali, sekaligus dia memekik lantas
memaki-maki saya. Jiran-jiran semuanya
terkejut dan datang melihatnya.
Disebabkan jiran-jiran sudah tahu akan kedudukan saya, maka mereka pun
ikut sama membantu.
“Hah, kalau ada simpan-simpan permainan, jangan jejak
rumah ustaz ni,” ujar salah seorang jiran
saya.
Namun saya tidak hiraukan sangat bualan jiran-jiran
seperti itu. Yang penting bagi saya
ialah menentang setan yang mengganggu manusia.
Gangguan setan ini akan berterusan kepada manusia, selagi manusia tidak
teringat dan memohon pertolongan kepada Allah.
“Permainan turun termurun ni,” kata salah seorang lagi jiran, “Boleh jadi dia sendiri tak tau menahu dengan
permainan tu,” jelasnya sambil membantu
saya memegang kaki wanita itu. Saya
membacakan 11 ayat dari Surah As-Saffa
sambil menghembuskan perlahan-lahan ke kepalanya. Hingga masuk Asar berulah wanita itu dapat di
pulihkan semula.
SELESAI
Cerita kali ni macam dah tamat je siri Tok Awang Ngah?
ReplyDeleteTak perlu risau ..... banyak lagi siri siri a\yang akan dimuatkan ,,,,,, Bukunya banyak ,,,,,dan setiap buku mengandungii antara 12 hingga 15 tajuk ..... ia nya tidak semudah itu tamatnya
ReplyDeleteTerbaik.
ReplyDelete