Saturday, October 6, 2012

25. TOK AWANG NGAH - MANDI AIR 7 KUALA.


Perkara lama terkejang berbulan - bulan hingga ombak dada kencang turun naik tidak sama dengan amalan mahu tenaga gagah. Tentu Kasan Tobek  juga tidak berniat mahu tenaganya gagah apabila datuknya Tok Semulih   mandikan dia apung semasa masih kecil tatkala terkial - kial berjalan. Bimbang juga datuknya akan lutut cucunya akan terkoyak luka kalau jatuh tersungkur.

Sebab itu Kasan Tobek  dimandikan amalan apung apabila dijirus air 7 kuala sungai. beberapa kali Kasan Tobek  jatuh tersungkur, tidak pernah pun dia mengalami luka kepala lutut. ketika umurnya 10 tahun pun Kasan Tobek  tidak berasa sakit apa - apa tatkala jari kakinya ditusuk lidi enau hingga tembus sampai ke sebelah.

Sengaja Kasan Tobek  tidak cabutkan lidi enau yang melekat ke daging itu kerana merasa terlalu sakit sekiranya disentap. 3 hari Kasan Tobek  biarkan sampai daging membusuk barulah lidi enau berkenaan dapat disentap keluar. Memang Kasan Tobek  tidak bimbang apa - apa kalau terjatuh dimana - mana setelah datuknya Tok Semulih   ingatkan dia mengenai mandi air apung 7 kuala sungai.

Sekiranya terluka akibat jatuh tergelincir, Kasan Tobek sekadar pupukkan dengan tasak sarang lelabah melekat pada bumbung atap sahaja. dia juga akan kunyah pucuk senduduk lalu dipupukkan pada luka biar darahnya tidak meleleh berterusan. Tetapi kulit Kasan Tobek  tidak sama dengan kawannya, Tapa Lekeh . Cubalah Tapa Lekeh  jatuh tersungkur hingga luka kepala lutut, nescaya berminggu - minggu menahan kesakitan.

Dipupuk dengan tasak sarang lelabah melekat pada bumbung atap pun, luka Tapa Lekeh  tidak akan sembuh serta merta. Bukan Tapa Lekeh  sahaja luka tidak sembuh dipupuk dengan tasak, Berahim Tenyeh yang luka kaki disinggahi mata tajak pun sampai berhari - hari jalan berdengkot tidak boleh jejak ke tanah.

" Arwah ayah kalau luka, bubuh air liur pun boleh sembuh " ujar Lasah  bila kenangkan ayahnya Kasan Tobek  yang tidak bimbang apa - apa sekiranya terluka.

Tidak lama selepas kematian ayahnya, Lasah  datang juga menemui saya memberitahu mengenai tanah di atas kubur ayahnya roboh bagaikan tanah pasir jerlus. Sudah beberapa kali dikambus semula, tetapi tanah berkenaan jerlus juga bagaikan terowong besar ternganga dibawahnya.

Memang Lasah  tidak percaya tanah kubur ayahnya jerlus hingga tidak boleh dikambus. Dia tahu tanah kubur jerlus itu tidak akan berlubang hingga ternganga sekiranya tidak dikambus dengan tanah lain. Tetapi tanah berkenaan akan terus jerlus apabila dikambus sampai berpungkis - pungkis.

" Dah puas saya kambus tapi tanah tu jerlus juga, ustaz! " keluh Lasah  rusuh dengan kejadian yang menimpa kubur ayahnya.

Tetapi saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu membantu. Kalau sudah dikambus berulang kali tanah berkenaan jerlus juga, manalah saya boleh ikhtiarkan cara lain. Memang hairan juga bagaimana tanah kubur boleh jerlus setelah dikambus berpungkis - pungkis. Ke mana pula tanah berkenaan membolos kalau tanah di dasar kubur tidak berlubang ternganga.

Hanya yang boleh saya lakukan sekadar bacakan surah yassin dengan airnya dijirus ke atas tanah kubur. Kemudian menyuruh Lasah  kambus semula sampai padat. Kalau jerlus juga hingga merendap, lebih baik dikonkrit sahaja dengan simen. seminggu selepas saya bacakan surah yassin, kubur berkenaan tidak lagi jerlus tanahnya.

Selepas bertahan beberapa hari, Lasah  merungut lagi disebabkan tanah kubur ayahnya jerlus juga. Bimbang juga kalau tanah jerlus itu akan berlubang hingga sampai ke liang lahad. tentu mayat ayahnya yang sudah reput akan terbongkar keluar kalau tidak dikambus kukuh. Manalah tahu anjing yang berkeliaran akan mengorek tanah kubur apabila dibiarkan terjerlus sedemikian.

" Tolonglah ikhtiarkan ustaz! " Lasah merayu dalam perasaan terharu yang menusuk.

Mengeluh pendek saya disebabkan tidak tahu bagaimana mahu ikhtiarkan lagi. Tetapi Lasah  terlalu mengharapkan saya sekali pun sudah diberitahu saya tidak pernah mengalami kejadian sedemikian. Memang Kasan Tobek pernah beritahu Lasah  mengenai kawan datuknya sewaktu dia masih lagi di Paya Kumbuh.

Lama ayah kawannya, Rangkayo Bano terkejang setelah mengidap sakit lelah berterusan. Setelah diberitahu oleh Rangkayo Bano   mengenai ayahnya,  Sibingkong  terkejang tidak boleh bergerak bangun lantas Tok Semulih   pun datang menjengah. Tersenyum Sibingkong  sebaik sahaja melihat Tok Semulih   naik ke rumah.

Tiba - tiba sahaja Sibingkong  terus duduk meminta nasi tatkala Tok Semulih   duduk disisinya. Hairan juga Rangkayo Bano   disebabkan ayahnya sudah berbulan - bulan terkejang tetapi terus sahaja bingkas bangun apabila dijengah Tok Semulih  . Sekali gus pula ayahnya meminta nasi disebabkan terlalu lapar.

Tatkala Rangkayo Bano hulurkan hidangan, Sibingkong sekadar menyuapkan nasi sahaja dengan tidak menjamah lauknya. Beberapa kali ditambah nasi, dia masih tetap berselera menyuap. Kemudian dia meratah lauk sampai habis gulai satu belanga. Memang terkejut Rangkayo Bano dengan sikap ayahnya yang terlalu rakus makan sekali pun hidangan yang diberikan kepadanya untuk beberapa orang menjamah makanan.

Lantas Tok Semulih   bisikkan pada rakannya Rangkayo Bano supaya tidak terpengaruh dengan perubahan diri ayahnya. Tahu sangat Tok Semulih   fasal Sibingkong sengaja menumpang tenaga pada dirinya apabila bingkas bangun menjamah makanan. Tatkala Sibingkong  menyuap nasi, terasa pada Tok Semulih   badannya beberapa kali berkisar bagaikan menahan beban yang terlalu berat.

Setelah selasi makan, terus sahaja Sibingkong  turun ke tanah berjalan berkeliling rumah. bangga sangat dia dapat berjalan berkeliling setelah lama sangat terkejang tidak boleh bergerak kemana - mana. memang termengah - mengah Tok Semulih   menahan beban setelah menyedari Sibingkong  menumpang tenaganya ketika itu.

Segera Tok Semulih   memujuknya supaya naik semula ke rumah. Sebaik sahaja Sibingkong  berbaring semula di tempat tidur, tidak bertangguh Tok Semulih   kisarkan tumit kakinya ke lantai lalu membacakan : " Allahu yatawaffal anfusahina mau-tiha wallati lam-tamut fi-manamiha fayumsikul lati qoda 'alaihalmau-ta wayursilul ukhro ila-ajalim musammam, inna fi-zalika la-ayatin liqaumiy yatafakkarun ".

Apabila Tok Semulih   hentakkan tumit kakinya, tiba - tiba sahaja Sibingkong  tergamam bagaikan jatuh terhenyak duduk. terjegil matanya merenung tajam ke arah Tok Semulih seolah - olah kecewa dengan keputusan Tok Semulih.

" Kamu nak biarkan aku terkejang macam ni, Semulih ? " gerutu Sibingkong  tidak berkedip mata memandang Tok Semulih  .

" Kalau gagah bangun sendiri, jangan tumpang pada aku! " sahut Tok Semulih   keras menyebabkan Rangkayo Bano terkejut. bimbang juga dia kalau kawannya itu memarahi ayahnya apabila tiba - tiba sahaja menjamah nasi hingga habis satu periuk. tidak pernah ayahnya boleh gagahi menyuap nasi kalau tidak di depan Tok Semulih.

" Dah lama kamu berkawan dengan Rangkayo Bano, takkan tak boleh aku nak menumpang kamu? " tersengih - sengih Sibingkong  macam memujuk lelaki yang tercongok di depannya itu.

" Aku tahu kamu bukannya Pak  Sibingkong ! " jerkah Tok Semulih   lantas memberi isyarat kepada Rangkayo Bano supaya dibuangkan papan lantai sekeping, bumbung atap sekeping dan ditetas anak tangga.

" Kamu yang pakai susuk gagah Semulih , bukannya aku " lantas Sibingkong  menyindir sebaik sahaja Rangkayo Bano bingkas bangun menuruti apa sahaja yang diberitahu oleh Tok Semulih  .

" Oh, sebab itu kamu hendak menumpang? " sengaja Tok Semulih   mengejeknya apabila Sibingkong  ungkit mengenai susuk besi kursani yang ditusukkan pada rusuknya.

" Tak patut kalau kamu tak bantu aku, Semulih ! " mendengus marah Sibingkong  apabila atap bumbung rumah dibuang sekeping, lantainya diumpil sekeping manakala anak tangga juga ditetas pengikat simpainya hingga tergajai.

" Kalau Pak  Sibingkong  bila - bila aku bantu, tapi kamu setan! " sahut Tok Semulih   menggertapkan bibir setelah beliau melihat Pak  Sibingkong  berbayang - bayang terlindung di sebalik asap hitam yang melabun - labun.

Masakan Rangkayo Bano tidak dapat mengagak bagaimana ayahnya tiba - tiba sahaja boleh bingkas bangun hingga turun ke tengah halaman. Kemudian berjalan berkeliling rumah seolah - olah melepaskan rasa kemaruk setelah berbulan - bulan terkejang tidak boleh berjejak kaki.

Tetapi Tok Semulih   tahu dia sendiri bagaikan memapah Sibingkong  turun ke tengah halaman. puas dia cuba menjauhkan diri dari kepulan asap hitam yang menyelubungi diri Sibingkong  itu. Namun terasa bagaikan besi berani menyentap dirinya. Hairan juga Tok Semulih   apabila lembaga yang bersatu dengan diri Sibingkong  dapat menumpang tenaganya untuk turun ke tengah halaman.

Lama dia terkial - kial mahu melepaskan diri,  barulah Tok Semulih   menyedari akan susuk besi kursani yang ditusukkan pada rusuknya. kalau tidak kenang dia mengidap lemah tenaga lelaki, memang Tok Semulih   tidak akan tusukkan susuk besi kursani pada rusuknya. Memang Tok Semulih   lama terkejang tidak boleh bangun setelah jatuh memanjat pokok kelapa hingga patah pinggangnya.

Terpaksa ayahnya, Malam Sidi  hantarkannya ke rumah kawannya Sutan Balah  yang jauh terpencil di pinggir hutan. di pondok Sutan Balah  yang berdindingkan kulit kepung itu Tok Semulih   ditinggalkan, setelah Sutan Balah  berikan syarat supaya siapa pun tidak boleh datang menjengah sampai 44 hari.

Sewaktu tinggal bersama Sutan Balah , dia sekadar diberi makan umbut sahaja dengan tidak boleh menjamah apa - apa selainnya. disebabkan banyak sangat memakan umbut, memang Tok Semulih   bagaikan tidak sedar sangat bagaimana Sutan Balah  mengubati pinggangnya yang patah itu setelah terjatuh tatkala memanjat pokok kelapa.

Ketika tengah malam, terkejut juga Tok Semulih   apabila lampu dipadamkan yang menyebabkan mereka bergelap. Sutan Balah  sekadar berzikir sahaja sepanjang malam sebaik sahaja beliau merebahkan badan. Dalam masa Sutan Balah  masih berzikir itulah, Tok Semulih   mendegar sekawan gajah berkeliaran disekeliling rumah. sekali sekala gajah berkenaan akan sengaja menggeselkan badannya pada dinding tempat Tok Semulih  terkejang tidak boleh bergerak itu.

Hinggalah Tok Semulih  dikejutkan apabila sekawan gajah yang menggesel dinding rumah itu,  menghulurkan belalai pada celah dinding. Dia bagai terasakan belalai gajah itu menghidu - hidu pada pinggangnya yang patah itu hingga terasa sengal - sengal sampai ke paha. terpaksa Tok Semulih  mendiamkan diri sahaja disebabkan Sutan Balah  sudah ingatkan dia supaya tidak ungkit apa - apa asal sahaja mengalami kejadian yang luar biasa.

Tidak sampai 44 malam di rumah Sutan Balah, pinggang Tok Semulih  mula beransur pulih. dia sudah boleh berpaut pada dinding tatkala berjalan ke pintu. ketika ayahnya Malim Sidi menjengah setelah 44 hari ditinggalkan dipinggir hutan berkenaan, Tok Semulih   sudah mampu bertongkat berjalan berdengkot - dengkot mendekati ayahnya.

Memang terasa terseksanya Tok Semulih   menghadapi ujian getir setelah terjatuh semasa memanjat pokok kelapa itu. Pinggangnya patah sehingga tidak boleh tegakkan badan. dia terkejang tidak boleh bergerak apa - apa bagaikan mayat terbujur di tengah rumah. setelah dibawa berubat pada Sutan Balah , tenaganya kembali pulih apabila 3 malam berturut - turut ditonyoh dengan belalai gajah.

Dia sekadar mendengar gajah - gajah berkenaan mendengus di dalam gelap malam sambil menolak - nolak pinggangnya dengan belalai. Ketika ini dia tidak melihat Sutan Balah, kecuali kedengaran sayup - sayup zikirnya dalam masa Tok Semulih  bagaikan tengah bermimpi. Jikalau diheret gajah turun ke tanah dengan belalainya pun Tok Semulih   tidak dapat berbuat apa - apa disebabkan ketika itu dia di dalam keadaan sedar dan tidak sedar sahaja.

Selepas pinggangnya pulih tidak terasa sakit apa - apa inilah baru Tok Semulih  menyedari bahawa dia sudah kehilangan tenaga kelakian. Malu benar dia mahu memberitahu ayahnya Malam Sidi  mengenai kejadian yang menimpa dirinya. Sebab itu dia terus menemui Sutan Balah  dengan tidak memberitahu ayahnya terlebih dahulu. biarlah dia pendamkan rahsia berkenaan dengan Sutan Balah  sahaja.

Tersenyum Sutan Balah  apabila diberitahu oleh Tok Semulih  mengenai dirinya yang kehilangan tenaga kelakinya itu. Seminggu pula Tok Semulih   diminta tidak menemui sesiapa dengan memakan umbut nibung sahaja. 3 pagi pula Sutan Balah  mengasah tenaga kelakian Tok Semulih   dengan batu petir lalu dibacakan : " gembira ala ali mali wali mali, hidup di atas hidup di bawah, bangkit engkau seperti sediakala, dengan gerak petua, huuu... ".

Setelah dikilir dengan batu petir, Sutan Balah  jiruskan pula dengan air 7 kuala sungai yang ditampung di dalam tempayan. terasa pada Tok Semulih   seluruh badannya berasap tatkala air dijiruskan. Terketar - ketar dia menahan kesejukan apabila Sutan Balah  menyuruh dia mencangkung di bawah tangga tatkala matahari belum lagi memancar.

Semasa mencangkung di bawah tangga Tok Semulih duduk di atas tumit, dengan ditampankan tenaga kelakiannya di situ. ibu jari kaki sahaja cecah ke tanah dengan 2 tangannya menampar pinggang sebanyak 3 kali asal sahaja air dijiruskan oleh Sutan Balah  ke kepala. Tok Semulih  terpaksa mematuhi apa sahaja petua yang ditunjukkan oleh Sutan Balah  dalam masa dia sangat mengharapkan orang tua itu membantunya.

Lagi pun bukanlah sukar sangat mandi di bawah tangga dengan bertupang pada ibu jari kaki dalam masa tumit diasak pada tenaga kelakiannya. Biar terasa segala urat di seluruh badan menyentap semasa duduk di atas tumit sedemikian. ketika tangan menumbuk kuat pada pinggang, Sutan Balah  menyuruhnya membacakan perlahan : " mandi nur mandi nir, mandi di pintu petua, mandi nyawa serta badanku, sangka pasak sangka batu, sangka pasak sangka besi, besi sembilan desa akan pasak pemasung dalam diriku, ikut petua guruku, huu... ".

Setelah siap mandi, Sutan Balah  asapkan pula dengan kemenyan. seminggu dia tidak dibenarkan menemui sesiapa sahaja apabila duduk di rumah Sutan Balah . Kemudian barulah rusuk kanan Tok Semulih   telah ditusukkan dengan besi kursani berwarna kekuningan laksana emas disepuh. 3 kali diketuk Sutan Balah  pada kepala lutut Tok Semulih sambil menyeru supaya biar tenaga kelakiannya pulih semula.

Sebaik sahaja tenaga kelakiannya pulih, segera disangkutkan 4 biji buah kelapa di situ oleh Sutan Balah . Tersenyum Sutan Balah  disebabkan tenaga kelakian Tok Semulih  mampu bertahan tatkala disangkutkan 4 biji buah kelapa. Setelah ditusukkan susuk besi kursani pada rusuk kanannya, memang Tok Semulih   tahu tenaganya di sebelah kanan mampu bertahan sampai bila - bila pun.

Kalau kerbau menghayun tanduk menyinggahi rusuk sebelah kanannya, nescaya tidak berbekas apa - apa pada Tok Semulih. Tatkala dia meninggalkan payakumbuh, sempat juga dia menemui Sutan Balah . Berat juga hatinya mahu tinggalkan sanak saudara apabila ayahnya Malim Sidi mengambil keputusan mahu berpindah ke semenanjung. Dia terpaksa mematuhi kemahuan ayahnya yang mahu mencari penghidupan baru setelah dibaritahu oleh kawan - kawannya mengenai semenanjung yang sesuai untuk membina penghidupan baru.

Tidak lama selepas jejakkan kaki di semenanjung, tiba - tiba ayahnya Malim Sidi  mengidap penyakit demam kura - kura sampai terkukul - kukul kesejukkan sepanjang malam.  Sebulan ayahnya mengidap demam kura - kura, Malim Sidi pun meninggal dunia tanpa sempat memulakan penghidupan baru. Terpaksalah Tok Semulih  menjadi ketua keluarga setelah ayahnya meninggal dunia hingga meneroka di kampung yang dipenuhi belukar tebal.

Sebab itu Tok Semulih   tetap kenang kejadian dia diminta kawannya Rangkayo Bano menjengah ayahnya Sibingkong yang terkejang sakit. setelah dia lepaskan besi kursani yang dipaut oleh lembaga berpusar - pusar yang bagaikan asap hitam menyelubungi Sibingkong , barulah tenaga Sibingkong kembali lemah. Apabila Rangkayo Bano buangkan atap sekeping pada bumbung, anak tangga sebatang dan lantai sekeping tiba - tiba sahaja Sibingkong  menggelepar.

" Kamu nak bunuh aku ke, Semulih ? " terketar - ketar Sibingkong  manahan ombak nafasnya yang beralun - alun kencang.

Tetapi Tok Semulih   tidak peduli apa - apa. dia sendiri tidak menduga Sibingkong  boleh berpaut pada susuk besi kursani di dalam dirinya untuk menumpang pulihkan semula tenaganya yang lemah.

Setelah Tok Semulih hentakkan tumit kakinya ke lantai berulang kali, Sibingkong  pun perlahan - lahan mula menutup matanya. tangannya terkuit - kuit jari bagaikan mahu menggapai mencari tempat berpaut. apabila Rangkayo Bano diberitahu bahawa ayahnya sudah meninggal dunia, cepat - cepat dia membujurkan jenazah ayahnya.

Semasa jiran - jiran datang menjengah jenazah Sibingkong , mereka terkejut apabila melihat mata mayat berkedip. Lantas mereka pun mengesyaki bahawa Sibingkong  masih belum meninggal dunia. Tapi Rangkayo Bano tahu ayahnya memang sudah meninggal dunia disebabkan detak jantungnya sudah berhenti. Sewaktu mereka mahu memandikan jenazah tiba - tiba sahaja seisi rumah menjadi gempar apabila melihat jenazah Sibingkong  hanya tinggal longgokan tulang sahaja.

" Apa salah ayahku, Semulih ? " keluh Rangkayo Bano yang terkilan dengan kejadian yang menimpa ayahnya.

" Aku tak tahu apa amalannya, RangKayo! " beritahu Tok Semulih   yang serba salah mahu menerangkannya.

" Kalau begitu ayahku ada mengamalkan amalan yang salah " gerutu Rangkayo Bano setelah menyedari ayahnya merahsiakan mengenai amalannya selama ini.

" Kamu tentu tahu mengenai amalannya " lantas Tok Semulih  mengagak fasal amalan Sibingkong  apabila dia melihat lembaga hitam bagaikan asap menyelubungi dir orang tua itu.

" Memang aku tak tahu amalan dia, Semulih ! " ujar Rangkayo Bano terkejut kerana tidak menyangka ayahnya mengamalkna amalan sedemikian.

Tetapi memang dia menyedari tenaga ayahnya memang luar biasa apabila kehutan menebang tebas hutan. Tatkala kawan - kawan ke bukit, dia sengaja membelok kebukit lain untuk menebang pokok. dalam masa kawan - kawan yang lain masih terkial - kial mahu menebang sebatang pokok, Sibingkong  sudah tumbangkan 5 - 6 pokok besar hingga 5 - 6 pemeluk.

Pokok - pokok yang tumbang jongkang kalang itu tidak payah dipotong dengan kapak . Kawan - kawannya tahu sangat mengenai tenaganya yang luar biasa kalau menebang tebas meneroka hutan. Tatkala terserempak dengan harimau, tidak bertangguh Sibingkong  akan cabutkan pokok 2 - 3 pemeluk terus dihembat ke belakang binatang berkenaan. Tidak sempat harimau tersebut mahu mengelak apabila pokok besar menimpa belakangnya.

Rangkayo Bano sekadar mendengar cerita jiran - jiran sahaja mengenai tenaga luar biasa ayahnya. Dia sendirI tidak pernah melihat ayahnya memikul beban berat. Kalau ayahnya memikul beban pun, Rangkayo Bano sekadar melihat ayahnya memikul padi seguni penuh. Mudah sahaja ayahnya meletakkan guni padi berisi padat itu ke bahunya lantas terus dipikul tidak bertangguh.

" Ayahku pakai susuk gagah ke, Semulih ? " desak Rangkayo Bano yang masih terkilan dengan kejadian yang menimpa jenazah ayahnya. Dia sendiri melihat mata ayahnya berkedip setelah jenazah dibujurkan di tengah rumah. Kemudian jenazah berkenaan tinggal menjadi longgokan tulang kerangka semasa mahu dimandikan.
Selepas dikebumikan tulang belulang kerangka jenazah itu, Rangkayo Bano terkejut apabila tanah kubur ayahnya jerlus. Kubur berkenaan mendap hingga berlubang laksana kayu reput tidak tertahan. Bagaikan hilang akal Rangkayo Bano disebabkan kubur ayahnya terus juga jerlus sekali pun dikambus berpungkis - pungkis.

Terpaksa Rangkayo Bano memujuk Malim Sidi  membantu setelah dia kecewa dengan kejadian yang menimpa ayahnya itu. Segera Malim Sidi  menyuruh Tok Semulih   memberitahu Sutan Balah  mengenai hal tersebut. Tatkala Sutan Balah datang menjengah ke rumah Rangkayo Bano, terus sahaja dia naik ke atas loteng lalu mengambil peti kayu yang tersembunyi di situ.

Terus sahaja Sutan Balah  menyuruh Rangkayo Bano bakar sahaja peti kayu berkenaan. Sebaik sahaja dibakar, terkejut Rangkayo Bano apabila beliau mendengar jeritan nyaring di udara yang memanggil - manggil nama Sibingkong . Abu peti kayu yang dibakar itu diserakkan di atas kubur. setelah itu, kubur Sibingkong  tidak lagi jerlus.

" Arwah datuknya Tok Semulih   pernah bercerita dengan arwah ayah macam tu, ustaz " ujar Lasah  yang terasa seram sejuk juga apabila kenang kejadian demikian.

" Pak  Kasan ada simpan peti kayu ke? " sengaja saya mahu mengusik Lasah  yang serba salah apabila disebut mengenai peti kayu berkenaan.

" Setahu saya tak ada " sahut Lasah  yang bimbang juga sekiranya ayahnya ada menyimpan peti kayu sama macam kisah Sibingkong .

Tetapi saya tidak peduli sangat mengenai Sibingkong  yang diceritakan oleh Tok Semulih  . Tatkala senja samar -samar, sengaja saya mengajak Lasah  menjengah kubur ayahnya selepas sahaja tunaikan solat maghrib di surau. Setelah membacakan surah al ikhlas 100 kali, lantas saya duduk tersandar pada perdu pokok temunik bersama Lasah .

Sebaik sahaja kawasan kubur menjadi gelap, saya mencuit bahu Lasah  tatkala melihat lembaga besar terconggok di atas kubur. Dia menghenyak - henyakkan punggungnya di atas kubur itu hingga terdengar jeritan halus Kasan Tobek bagaikan dihenyak pinggangnya. tidak bertangguh saya bacakan : " salaman 'ala sulaiman fil-'alamin, hazihi jahannamul-lati kuntum tu'adun ".

Sekali gus pula batu - batu sebesar reban ayam berterbangan menerjah tubuh lembaga besar yang terconggok itu. tercenggang - cenggang dia tergamam apabila batu - batu berkenaan bertubi - tubi menerjah kepalanya. Dalam terjahan batu - batu yang merah berbara itulah, lembaga besar berkenaan bolos lari bersama angin malam yang bertiup sepoi - sepoi itu.

Tatkala itu saya juga terasa melayang bersama elusan angin lalu terus mengekori lembaga berkenaan. Sewaktu lembaga besar itu melompat ke atas batu jeram, segera saya menghambatnya ke situ. Terkejut lembaga besar itu apabila melihat saya berdiri di hadapannya.

Sebaik sahaja lembaga besar itu mahu menghentakkan kakinya, lantas sahaja saya tunjalkan jari ke udara. Tiba - tiba sahaja ia jatuh berguling ke bawah jeram. Apabila dia bingkas bangun, segera saya membacakan surah al fatihah 3 kali lantas membayangkan yang tubuh saya membesar laksana gunung tersergam.

Sekali gus saya melihat ke bawah seolah - olah lembaga besar itu menjadi kecil sekecil - kecilnya. Ke mana sahaja lembaga itu mahu berlindung, segera saya halang dengan jari telunjuk lalu menyebabkan dia terpinga - pinga kecemasan.

" Ilmu syaitan terbatas, tetapi ilmu Allah meliputi 7 petala langit 7 petala bumi! " jerkah saya hingga lembaga tersebut terketar - ketar ketakutan.

Setelah terkial - kial di tengah air jeram mahu melepaskan diri, lembaga berkenaan mendongak memerhatikan saya. Perlahan - lahan dia memberitahu mengenai Tok Semulih  telah memisahkan dirinya dengan Sibingkong . Tidak patut Tok Semulih   pisahkan mereka tatkala Sibingkong  memerlukan tenaganya dalam saat terkejang tidak boleh bangun berjejak kaki.

Apabila Tok Semulih   mandikan cucunya Kasan Tobek  dengan air apung, tentu bukan mudah mahu lunturkan semangatnya. Masakan Kasan Tobek  berasa bimbang mengalami cedera kalau berulang - ulang kali terguling jatuh namun tetap tidak terkehel tulang. Sebab itu sengaja dia halang Kasan Tobek  di tengah perjalanan, biar lelaki itu mengalah di depannya.

Tetapi Kasan Tobek  tetap bertahan. Dia tidak peduli lembaga besar sebesar mana pun yang menghalangnya di tengah jalan, bila - bila akan diterkamnya. Sekali pun tidak dapat dibantingnya sampai terguling ke tanah, Kasan Tobek  tetap paut kaki lembaga tersebut untuk menyentapnya.

" Aku Sibingkong , sahabat baik datuk kamu! " beritahu lembaga besar itu setelah menyedari Kasan Tobek  tidak mahu mengalah.

" Kalau kau berniat baik, tak apa! " sahut Kasan Tobek  memberi amaran. " Kalau kamu berniat jahat, sampai bila pun aku akan tetap lawan " tegasnya sambil mendengus marah.

" Takkan Sibingkong  akan berniat jahat kepada kawan sendiri " ujar lembaga besar itu sambil tersengih - sengih.

Memang Kasan Tobek  tidak peduli sama ada jelmaan Sibingkong  mendampinginya atau tidak. Apa sangat dengan jelmaan Sibingkong  kalau tenaganya mampu bertahan melawan bencana yang menggangu. Tidak pernah dia harapkan jelmaan Sibingkong  setiap kali orang - orang kampung memintanya membantu tatkala diganggu petaka.

Sewaktu ular sawa sebesar batang pinang menyusup masuk ke kandang kambing Itam Serilah, dia menjadi cemas apabila kambingnya mengembek - embek dicerut kuat. Tidak bertangguh Itam Serilah beritahu Kasan Tobek . Sebaik sahaja Kasan Tobek  tercegat di tepi kandang, tiba - tiba sahaja perasaannya menjadi berang hingga tidak disedari terus meluru masuk ke dalam kandang.

Sekali gus Kasan Tobek  mengheret ular berkenaan keluar dari kandang. Tatkala ular sawa membelit tubuhnya, jelmaan Sibingkong  bagaikan bersatu dengan dirinya. Lantas sahaja ular sawa sebesar batang pinang itu terasa seperti ular lidi membelit batang kelapa.

Sekali sentap sahaja akan Kasan Tobek , tubuh ular sawa itu terpokah tidak bersisa. Memang terkejut orang - orang kampung yang melihat kejadian tersebut seolah - olah tenaga Kasan Tobek  bagaikan 100 ekor gajah di tengah hutan.

" Kenapa kamu ganggu kubur Kasan Tobek ? " lantas saya susupkan kepala lembaga itu ke bawah batu jeram. Setelah ditindih dengan batu jeram, saya melihat lembaga tersebut tenggelam di situ tidak mampu melonjak bangun.

Kemudian saya hentakkan tumit ke tanah sambil membacakan surah al ikhlas 17 kali hingga saya melihat batu jeram itu menjadi mampat. Sewaktu saya melayang semula ke udara bersama elusan angin, Lasah  masih lagi terconggok di perdu pokok temunik. Dia berbisik memberitahu saya bahawa timbunan tanah berlonggok di atas kubur datuknya.

selesai.

No comments:

Post a Comment