Saturday, January 26, 2013

49. TOK AWANG NGAH - GADIS DISALAI ATAS BARA

    Kesedihan terus menyelubungi keluarga Haji Maali apabila anak gadisnya, Senah telah meninggal dunia setelah hampir 6 bulan terlantar sakit. Haji Maali sudah menjemput Aki Sitam dari Gemas untuk mengubati sakit ganjil Senah tu, tetapi ajalnya sudah ditetapkan sedemikian. Senah meninggal dunia di dalam keadaan tubuh yang kurus kering, matanya cengkung jauh ke dalam dan tulang pipinya menungkal tinggi.

Senah tatkala meninggalnya bukan seperti Senah yang belum jatuh sakit 6 bulan sebelumnya. Tubuhnya yang mongel, berwajah bujur sirih, berkulit putih kuning memang menjadi impian pemuda - pemuda di kampungnya untuk memperisterikan Senah. Bagaimana pun kejelitaan Senah tidak berpadanan pula dengan sikapnya yang keras hati. Dia tidak akan teragak - agak untuk mengherdik sesiapa sahaja kalau cuba mengganggunya di jalanan.

Selama hampir 6 bulan itulah Haji Maali bersama isterinya Hajah Pesah tidak pernah tenteram perasaan melihatkan keadaan Senah. Jika harapkan anak lelakinya, Zarim memang tidak boleh langsung. Kalau Zarim balik setiap hujung minggu ke rumah mereka di Segamat, Zarim akan cepat sahaja mahu menempeleng adiknya Senah sekiranya Senah berkeras tidak mahu mandi. Dia akan mengherdik memaksa Senah supaya bersolek mengemaskan diri.

Kadangkala bagaikan hampir hilang sabar Haji Maali dengan sikap Zarim. Masakan Zarim tidak tahu adiknya jatuh sakit selepas mendapat kelulusan baik di dalam peperiksaan SPMnya. Kemudian Senah telah memohon untuk memasuki maktab perguruan. Setelah hampir sebulan dia jatuh sakit, Senah telah menerima tawaran untuk memasuki maktab perguruan yang diidam - idamkannya selama ini.

Sayangnya, Senah tidak dapat memenuhi keinginannya untuk menjadi seorang guru setelah tiba - tiba sahaja beliau jatuh sakit. Mula disedari oleh Hajah Pesah anaknya jatuh sakit apabila Senah mengigau pada satu malam sambil memekik - mekik meminta tolong. Apabila dikejutkan, Senah terus memeluk emaknya lantas menangis teresak -esak. Dia tidak pula menerangkan apa - apa setelah ditanya oleh emaknya berulang kali mengenai igauannya itu.

Esoknya, Senah tidak segera bangun ke dapur membantu emaknya menyiapkan sarapan pagi. Hajah Pesah tidak mengesyaki apa - apa walaupun pada malamnya Senah telah mengigau memekik - mekik meminta tolong. Biasanya igauan sedemikian memang kerap berlaku kepada sesiapa sahaja. Sebab itulah Hajah Pesah tidak hiraukan sangat apabila Senah tidak membantunya menyiapkan sarapan pagi.

Tetapi sehingga pukul 9.30 pagi, Senah tidak juga bangun barulah Hajah Pesah naik menjengah ke bilik anaknya. Heran juga dia melihat Senah menangis teresak - esak sambil mukanya menelungkup ke bantal.

" Kenapa kau, Senah? " soal Hajah Pesah bimbang.

Senah tidak menyahut. Dia terus menangis sampai terhenjut - henjut bahunya. Hingga Haji Maali sendiri turut menjengah masuk setelah mendengar mulut isterinya becok dari dalam bilik Senah.

" Apa halnya, Senah? ' Haji Maali mula mengesyaki Senah menangis disebabkan telah berlaku sumbang. Tentulah Senah mula ketakutan setelah badannya mulai berlainan. Apa lagi bila beliau melihat Senah menekan - nekan perutnya ketika sedang menangis tersengguk - sengguk itu.

Tetapi Senah tidak juga menyahut.

" Kau dah rosak ye??? " cepat sahaja Haji Maali mengherdik bila kenangkan Senah cuba memberi malu kepada keluarganya.

Senah hanya terus menangis tersengguk - sengguk.

Sekali gus pula Haji Maali merentap rambut Senah sehingga kepala anak gadisnya terdongak. " Kau nak beri aku malu ye?? " tuduhnya sambil menggertapkan bibir.

Airmata Senah banyak mengalir di pipi. Bibirnya bergerak - gerak mahu bercakap tetapi suaranya tidak keluar sepatah kata pun. Ketika inilah Zarim yang balik bercuti hujung minggu masuk ke bilik setelah mendengar suara ayahnya mengherdik adiknya. Dia juga turut menuduh Senah melakukan perbuatan sumbang yang menyebabkan dia menangisi menyesali perbuatannya itu. Tetapi dia harus memujuk Senah supaya menerangkan segala perkara yang telah terjadi, bukannya dengan mengherdik melepaskan geram.

" Cakaplah, siapa yang buat jahat dengan kau!! " Zarim menyoal adiknya.

Senah hanya terkebil - kebil mata merenung Zarim. Airmatanya semakin banyak mengalir ke pipi. Tidak sepatah kata pun yang terluah daripada mulutnya. Haji Maali yang tidak dapat menahan sabar terus menampar muka Senah tetapi gadis yang sudah berumur 18 tahun itu tidak pula terjerit kesakitan setelah ditampar kuat. Ketika inilah Hajah Pesah memekik memarahi suaminya fasal bertindak dengan terburu - buru.

" Awak jangan ikutkan perasaan, abang haji. Entah - entah budak ni sakit... " kata Hajah Pesah mengingatkan suaminya.

Selepas peristiwa itulah baru Haji Maali menyedari bahawa Senah  tidak boleh bercakap lagi. Dia menjadi bisu secara tiba - tiba sahaja setelah mengigau pada sebelah malamnya. Kepalang menyesalnya Haji Maali dengan sikapnya yang terburu - buru itu. Sebab itulah dia sentiasa diselubungi kesedihan bila mengenangkan nasib Senah. Sementara itu Zarim pula cuba melakukan latihan secara kejiwaan dengan memaksa Senah  melakukan sesuatu yang tidak disukainya seperti mandi, makan dan menyolekkan diri.

Kepiluan itu terus mengganggu Haji Maali di hari kematian Senah . " Biarlah dia pergi dulu. Lama sangat dia terseksa, ustaz... " beritahu Haji Maali lemah tatkala saya dan Aki Sitam datang menziarahi jenazah.

Sebenarnya Aki Sitam mengajak saya ke Segamat ke rumah Haji Maali bukanlah untuk menziarahi jenazah, tetapi Aki Sitam mahu mencukupkan 3 hari mengulangi mengubat Senah . Dia berazam mahu membantu keluarga itu walaupun dia tahu keadaan penyakit Senah  sudah terlalu tenat. Disebabkan saya datang berkunjung ke rumahnya, lantas Aki Sitam mengajak saya bersamanya ke Segamat.

Sampai sahaja di rumah Haji Maali kira - kira jam 9 malam, dia pun terus memberitahu Aki Sitam mengenai kematian Senah  selepas waktu maghrib.

" Esok sahajalah nampaknya kita kebumikan, malam ni tak sempat " jelas Haji Maali yang masih kelihatan kesayuan tergaris pada wajahnya.

" Hampir 6 bulan dia mengidap, ustaz " hajah pesah pula menerangkan kepada saya setelah saya diperkenalkan oleh Aki Sitam. " tapi apa boleh buat, Allah lebih menyayangi dia dari kita semua " ujarnya sambil mengesat - ngesat pelupuk mata.

Saya mengangguk - ngangguk lemah. Saya dapat merasakan apa yang terbendung di jiwa Haji Maali dan isterinya, setelah melihat anak kesayangan terlantar hampir 6 bulan. Sudah beberapa kali dibawa ke hospital, hingga pihak hospital sendiri mengagakkan penyakit - penyakit yang sukar hendak difahami oleh Haji Maali.

Berubat secara kampung juga sudah diusahakan dengan menemui beberapa orang dukun dari Merlimau, Serting, Ayer Hitam dan di mana sahaja didengarnya ada dukun Haji Maali akan segera menjemputnya. Aki Sitam merupakan yang terakhir dijemputnya setelah Zarim yang bekerja di Melaka mendapat tahu mengenai kebolehan Aki Sitam di Gemas yang boleh mengubati penyakit - penyakit sedemikian.

Tetapi ternyata manusia hanya boleh berikhtiar, bagaimana pun yang menentukan segalanya adalah Allah SWT. Siapa pun tidak akan dapat melawan takdir yang sudah ditetapkan olehnya.

" Kalau boleh, tunggulah sampai esok hari dikebumikan dia " Haji Maali berkata sambil menepuk paha Aki Sitam.

" Tak tahulah, tuan haji " sahut Aki Sitam sambil tersengih - sengih. " Ustaz ni nak balik juga esok. Saya ke mari tadi pun ustaz ni tak mahu ikut sangat, tapi saya yang kuat mengajaknya " kata Aki Sitam lagi sambil mengerling ke arah saya.

" Bermalam di sini aje laa, ustaz. Boleh kita sama - sama berjaga " ujar Haji Maali sambil memandang ke arah saya.

Saya hanya tersenyum tidak menjawab apa - apa. Memang tidak ada apa - apa perlunya saya menunggu sehingga Senah  selamat dikebumikan. Lagi pun orang yang dikatakan sakit sudah pun meninggal dunia. Apalah yang boleh dilakukan selain daripada membacakan ayat - ayat suci Al Quran sepanjang malam.

Bau nyiur kukur yang dibakar harum semerbak di tengah rumah dekat jenazah dibujurkan. Sewaktu Aki Sitam menyelak kain penutup muka jenazah, sempat juga saya menatap mukanya yang pucat. Tubuhnya yang kurus seolah - olah tidak nampak tenggelam oleh tilam alas jenazah dibujurkan itu. Sayu juga hati saya melihat keadaan tubuhnya setelah menderita hampir 6 bulan mengidap penyakit yang tidak tahu apa puncanya itu.

" Dia bukan sahaja bisu malah juga hilang akal... " Aki Sitam menerangkan kepada saya. " Kadangkala dia bertelanjang dengan tidak memakai seurat benang pun " keluh Aki Sitam sambil menggeleng - gelengkan kepala.

Saya hanya mengangguk - nganggukkan kepala sahaja.

Ketika kami sedang berbual - bual inilah, 2 - 3 orang perempuan yang sedang membaca Al Quran telah terjerit akibat terkejut apabila seekor kucing kesayangan Hajah Pesah telah melompat melintasi jenazah. Mereka semua gempar bila mengingatkan kata orang - orang tua bahawa jenazah yang dilompati kucing mempunyai alamat yang tidak baik.

" Jangan percaya semua itu...!! " ujar Aki Sitam lantas menyuruh mereka meneruskan membaca Al Quran itu.

Walaupun 2 - 3 orang perempuan yang membaca Al Quran itu meneruskan bacaan mereka, tetapi mereka tetap diganggu kegelisahan. Masing - masing mengerling ke arah jenazah sambil menampakkan perasaan rusuh.

Pada kira - kira jam 11.30 malam itu juga Aki Sitam bersama dengan saya meminta diri untuk pulang semula ke gemas, sebab saya akan terus balik ke Kuala lumpur. Ketika sedang menyarung kasut di kaki tangga, saya terkejut bila mendengar suara orang perempuan di atas rumah menjerit ketakutan. Sekali gus pula mereka lari menerpa ke pintu luar.

Haji Maali berkejar ke dalam untuk melihat punca kekecohan, kemudian beliau keluar semula sambil terputus - putus cakap meminta Aki Sitam menunggu lagi. " naik lah dulu, aki. Naiklah dulu, ustaz.... " katanya seperti di dalam kebingungan.

Cepat - cepat Aki Sitam mengajak saya naik semula ke atas rumah. Sewaktu saya sampai ke sisi jenazah, tidak ada sesiapa pun yang menunggu di situ. Masing - masing sudah lari ke dapur atau ke serambi. Ketika ini kepala jenazah sudah tidak lagi terletak di atas bantal, tetapi sudah jatuh melepasi tilam.

" Apa halnya ni? " tanya Aki Sitam yang kehairanan.

" Tak tau laa.... " sahut Haji Maali perlahan sambil tergagap - gagap. " budak - budak ni kata, Senah bangun balik. Kaki tangannya bergerak - gerak " katanya terharu.

Saya mengeluh pendek. Dengan tidak bercakap sepatah pun, saya membetulkan semula kepala jenazah yang sudah pun terkulai melepasi tilam. Aki Sitam pun membantu saya membujurkan semula mayat tersebut seperti keadaan mula - mulanya. Selepas itu barulah Hajah Pesah bersama - sama orang perempuan yang lain masuk semula ke tengah rumah.

" Tak cukup ke semasa hayatnya? Sampai macam ni pun dia nak permainkan lagi... Emmm...syaitan!! " gerutu Aki Sitam sambil menyelubungkan semula jenazah tersebut.

Dua malam berturut - turut sebelumnya, Aki Sitam sudah pun menyedari punca yang menyebabkan Senah ditimpa penyakit ganjil itu. Kadangkala buah dadanya berpintal - pintal dan satu garis hitam telah melintang dari kepalanya hingga sampai ke pusat. Senah tidak dapat berkata apa - apa selain daripada menggeliat - geliat sahaja menahan kesakitan. Kadangkala dia hanya mampu menangis teresak - esak sahaja.

Sewaktu Aki Sitam mengulangi dia dua malam berturut - turut dengan dijemput dan dihantar oleh Zarim, dia sudah dapat mengagak mengenai penyakit yang dideritai oleh Senah. Aki Sitam hanya menggelengkan kepalanya bila dia melihat bagaimana lidah Senah telah dipotong melalui renungannya yang jauh ke dalam jiwa gadis berkenaan.

Dia dapat melihat seolah - olah tubuh Senah diletakkan di atas para bagaikan ikan yang disalai. Tubuhnya diikat dengan benang hitam melalui celah kangkang hingga sampai ke kepala. Aki Sitam mencuba juga untuk mengambil tubuh Senah yang sudah kering disalai itu, tapi tubuh Senah itu semakin hancur berkecai bila disentuh dengan tangan. Seorang lelaki berkepala botak dengan berpakaian serba kuning seperti sami Siam, sentiasa mengawal tubuh Senah yang sedang tersalai di atas para itu.

" Kau lepaskan budak tu....!! " perintah Aki Sitam.

" Kalau aku lepaskan, kau nak buat apa lagi. Dah berkecai semuanya " kata lelaki berkepala botak itu sambil ketawa terbahak - bahak.

" Biar aku dapat dia dengan tubuh berkecai!!! " sahut Aki Sitam yang keras mencabar.

Sekali gus Aki Sitam menolak lelaki berkenaan hingga jatuh tergolek ke tanah. Cepat - cepat pula dia menyambar tubuh Senah yang tersalai di para itu, tetapi tubuh itu telah berkecai menjadi abu. Lelaki itu semakin galak tertawa bila melihat Aki Sitam tidak berjaya merampas Senah dari tangannya.

" Perempuan ni mulut jahat, kau tau " kata lelaki berkepala botak itu mengejek - ngejek. " Dia sudah ludah muka budak tu depan orang ramai, tentulah dia malu " beritahunya sambil menuding ke arah seorang pemuda Serani yang tersengih - sengih mengerling Aki Sitam dari jauh.

Sampai di peringkat itu sahaja yang Aki Sitam menerangkan kepada saya, setelah dua malam berturut - turut dia datang ke situ. Sebab itulah dia beriya - iya mengajak saya ke Segamat kerana dia tahu selama ini saya ingin sangat mengikut dia mengubati orang.

" Setan!!! " gerutu Aki Sitam lagi lantas duduk berlutut di hujung lunjur jenazah. " patutnya cukuplah menyeksa budak ni, sampai dah macam ni pun tak puas - puas lagi " rungutnya lagi sambil menggertapkan bibir.

Kemudian Aki Sitam beralih duduk bertupang lutut di hulu kepala pula, menyebabkan saya berundur ke tepi dinding. Aki Sitam menghembus kepala jenazah 3 kali, sekali gus kedengaran satu benda besar jatuh berdebap di tengah halaman. Serentak dengan itu, di kiri kanan jenazah ternampak asap nipis melenggang - lenggan naik sama seperti asap dari nyiur kukur yang dibakar. Tetapi asap yang keluar di kiri kanan jenazah berwarna hitam laksana asap dari getah yang terbakar.

" Ustaz, marilah sama di sini " Aki Sitam pun menggamit saya agar mara mendekati dia.

Saya mengganguk tapi tidak bergerak mendekati Aki Sitam. Haji Maali juga menepuk paha saya supaya duduk berdekatan dengan Aki Sitam. Saya hanya memberikan isyarat dengan tangan agar saya tidak perlu duduk disebelah Aki Sitam. Memang saya sendiri hairan melihat kejadian sedemikian, kerana setelah mangsanya menjadi korban syaitan yang melakukan kekejaman itu masih terus juga mengganggu. Dia masih tergamak untuk menganiaya jenazah yang sudah terbujur kaku itu.

" Cukuplah kau seksa budak ni!!! " kata Aki Sitam sambil duduk di atas tumit dengan bertumpu lutut ke lantai. " sekarang pergilah kau, puaslah hati kau sekarang!! " ujarnya lagi dengan perlahan.

Tetapi asap hitam masih lagi keluar dari celah ketiak jenazah.

" Beginilah, Pak Haji " kata saya sambil berpaling kepada Haji Maali. " panggilkan 40 orang. Kita bacakan Surah Yassin ramai - ramai. Aki Sitam, biarkan dia buat kerjanya " ujar saya lagi mencadangkan.

Haji Maali tidak membantah. Dia pun mengajak semua jiran - jiran yang datang mengunjungi rumahnya supaya ikut sama membacakan Surah Yassin. Mereka yang tidak hafal, boleh lah berkongsi membaca. Sebaik sahaja kami memulakan membaca Surah Yassin, saya pun melihat Aki Sitam mula berpeluh - peluh. Dia menghembuskan beberapa kali ke kepala jenazah sambil tangannya memegang kepala jenazah itu.

Sebaik sahaja selesai membacakan Surah Yassin secara beramai - ramai, saya pun mara mendekati Aki Sitam yang sedang membacakan sesuatu dengan matanya yang terpejam itu. Saya pun meletakkan tangan saya ke atas bahu Aki Sitam lantas memulakan zikir hingga jauh ke dalam hati. Ketika inilah saya dapat rasakan nafas Aki Sitam kencang turun naik laksana orang sedang berjuang berhabis - habisan. Peluhnya telah banyak memercik hingga tengah belakangnya juga basah berlenjun akibat peluh yang banyak mengalir itu.

Kira - kira setengah jam jugalah saya dan Aki Sitam duduk mendiamkan diri di hulu kepala jenazah, barulah asap hitam itu sedikit demi sedikit mulai hilang. Barulah kami mengundurkan diri ke belakang bersandar pada dinding untuk melepaskan lelah. Hingga jam 1 pagi kami menunggu kalau - kalau jenazah Senah diganggu lagi, tetapi alhamdulillah tidak berlaku lagi kejadian - kejadian ganjil selepas itu.

Haji Maali tidak membenarkan kami untuk balik pada malam itu disebabkan dia bimbang kalau - kalau kejadian jenazah bergerak hingga kepalanya jatuh dari bantal akan berulang lagi. Mahu tidak mahu terpaksalah Aki Sitam bersetuju. Kasihan juga dia melihat keluarga Haji Maali dalam keadaan rusuh sepanjang malam itu.

Sampailah pagi tidak ada apa - apa pun yang berlaku. Disebabkan bimbang dengan kejadian yang mengganggu jenazah, Haji Maali telah mengambil keputusan supaya jenazah Senah segera dikebumikan sebelum matahari tegak di atas kepala. Terpaksalah pula Aki Sitam mengajak saya menunggu sehingga selamat jenazah dikebumikan.

Sebelum zuhur lagi jenazah Senah telah selamat dikebumikan dengan tidak ada apa - apa kejadian ganjil yang berlaku. Dalam perjalanan balik dari kubur itulah Haji Maali memberitahu mengenai seorang guru yang mengajar di sekolah tempat Senah belajar, cuba untuk memikatnya. Guru itu berbangsa Serani, bertubuh tinggi kurus dan mukanya penuh dengan jerawat batu.

Guru itu sering mengusik Senah hingga berani memeluk dan mencium Senah bila ada kesempatan tidak dilihat oleh orang. Semasa guru itu memberikan latihan sukan, dia akan mengarahkan semua pelajar - pelajarnya supaya memakai seluar pendek. Dalam masa mengajar latihan sukan inilah, guru berkenaan secara nakal telah memegang punggung Senah menyebabkan Senah tidak dapat menahan kemarahan.

Senah telah berpaling dan merenung guru tersebut hingga telah mencetuskan pertengkaran. Dengan tidak bertangguh Senah terus meludah ke arah guru tersebut. Kejadian itu tidak dilaporkan oleh Senah kepada guru besar kerana guru berkenaan telah segera meminta maaf.

" Itulah cerita kawan arwah ini pada saya " jelas Haji Maali.

" Mungkin itu hanya kebetulan sahaja, Pak Haji " sahut saya dengan perlahan. " kita tak boleh tuduh - tuduh sahaja..... " kata saya lagi menambah.

Haji Maali menggangguk. " betullah cakap ustaz tu. Tapi macam itulah yang kawan sedarjah arwah ni beritahu. Mereka datang melawatnya semasa arwah masih lagi terlantar " jelasnya sambil menahan rasa terharu yang mengombak di dada

Kami terus balik ke rumah Aki Sitam di Gemas dengan tidak menunggu makan lagi kerana saya mahu segera balik ke Kuala Lumpur. Semasa di dalam kereta, Aki Sitam sendiri menceritakan kepada saya kejadian - kejadian yang dialaminya semasa mengubati Senah.

" Kerja orang kafir, mana ada timbang rasa... " keluh Aki Sitam dengan lemah.

Dia dapat merasakan bagaimana tubuh Senah disalai di atas para dengan api menyala di bawahnya. Lelaki berkepala botak dengan berpakaian serba kuning seperti sami siam itu memain - mainkan patung yang sudah dipujanya itu untuk disamakan dengan Senah.

Patung yang sudah disalai itu kemudian dipotong lidahnya agar Senah juga seolah - olah sudah dipotong lidah hingga tidak boleh bercakap memberitahu apa - apa sepanjang masa dia menderita sakit itu. Memang Aki Sitam dapat melihat sendiri pemuda Serani yang mengupah lelaki botak itu melakukan sesuatu kepada patung tersebut agar penyeksaan itu juga dirasakan oleh Senah.

" Memang sukar nak diselamatkan " kata Aki Sitam bila mengingatkan patung yang disalai itu sudah menjadi seperti abu. Sebaik saja tersentuh oleh jari, patung berkenaan akan hancur menjadi debu.

" Kita tak dapat mengatasi kehendak Allah " sahut saya mengingatkan Aki Sitam, kerana bukanlah kuasa manusia yang boleh menyelamatkan Senah. Malah bukan kuasa manusia yang melakukan ilmu syaitan yang menyebabkan Senah terlantar sakit hampir 6 bulan.

Aki Sitam menggangguk.

" Ajal budak tu memang dah setakat itu... " ujar Aki Sitam dengan lesu.

Tetapi dia tetap tidak dapat melupakan bagaimana dia dapat melihat gangguan yang menimpa tatkala Senah terlantar sakit. Malah setelah Senah meninggal dunia pun, lelaki botak itu terus juga mengganggu. Dia tidak perlu memegang patung tersalai itu, sebaliknya hanya menolak - nolak para tempat penyalai itu. Ketika inilah Aki Sitam menerpa memukul kepala lelaki botak berkenaan.

Semasa orang ramai sedang membacakan Surah Yassin, Aki Sitam dapat melihat lelaki berkepala botak itu terhumbang ke kiri dan ke kanan bagaikan ditolak oleh ribut kencang dari segenap penjuru. Sekali gus pula hujan telah turun lalu memadamkan api yang menyala di bawah para salai. Terjerit - jerit lelaki berkepala botak itu sambil mencari tempat berlindung. Kemana sahaja dia mencuba berlindung, ribut kencang dengan petir memancar akan menyambar tubuhnya.

" Tolonglah, aku buat ni fasal diupah orang... " lelaki berkepala botak itu meminta belas kasihan daripada Aki Sitam.

Dia tidak pedulikan lagi rayuan lelaki berkepala botak itu yang angkuh sangat sebelumnya itu. Deru ribut kencang bergaung kuat di cuping telinga Aki Sitam tatkala bacaan Surah Yassin bergema di tengah rumah. Dia sendiri merasakan bahawa tugasnya menjadi semakin mudah untuk menyerbu kawasan lelaki berkepala botak itu, kerana tidak ada halangan seperti dua malam sebelumnya.

" Ini ilmu apa ni?? Kami tak pernah jumpa ilmu macam ni!! " rintih lelaki berkepala botak itu sambil terkial - kial untuk mencari tempat perlindungan. Tetapi setiap kali dia terhumban, tubuhnya akan berdebam jatuh ke tanah. Ribut kencang terus juga menunda - nunda tubuhnya bagaikan kertas yang sedang ditiup angin sahaja.

Dia tidak dapat lagi bertahan. Apa sahaja usaha yang dilakukannya, kilat dan petir akan memancar bagaikan panahan api lalu menerkam ke arahnya. Habis sahaja deru ribut yang menggila memerangkap lelaki berkepala botak tatkala bacaan Surah Yassin mulai selesai.

Bagaimana pun Aki Sitam melihat lelaki berkepala botak itu sudah tidak berdaya lagi untuk bangun. Seluruh tubuhnya berlubang - lubang kesan terbakar akibat diserbu panah berapi dari segenap penjuru itu. Ketika inilah Aki Sitam dapat merasakan yang saya ada berdiri dibelakangnya bagaikan dinding besi yang melindungkan dirinya.

" Aku sudah kalah.... " ujar lelaki berkepala botak itu terketar - ketar sambil melambai - lambaikan tangan tanda meminta belas kasihan dari Aki Sitam.

Aki Sitam tidak menghiraukan tindakan lelaki tersebut. Dia terus mara mendekati lelaki yang sudah tidak berdaya lagi itu. Sekali pun sudah tertiarap, lelaki berkepala botak itu cuba juga melawan sewaktu Aki Sitam berjalan hampir kepadanya. Dia menyemburkan api dari dalam mulutnya, tetapi tidak mengenai tubuh Aki Sitam kerana sudah dilindungi oleh dinding besi di sekeliling tubuhnya itu.

" Aku cabuk kepala engkau!!! " jerkah Aki Sitam sambil memukul kepala lelaki berkepala botak itu hingga berkecai.

Saya hanya tersenyum sahaja mendengar cerita Aki Sitam, tetapi bukanlah bermakna saya menganggap dia mereka - reka sahaja cerita tersebut. Selepas balik daripada Gemas kira - kira 6 bulan saya tidak mengunjungi Aki Sitam. Apabila saya menemuinya selepas itu, cerita mengenai Senah tidak juga berakhir. Aki Sitam telah diberitahu oleh Haji Maali  bahawa guru berbangsa Serani yang dikatakan telah diludah oleh arwah Senah itu telah dijumpai mati tertiarap di atas kubur arwah Senah. Mulutnya berlumur darah kering akibat disyaki meminum racun di situ. Botol bekas racun juga ditemui di sisinya.

 

                                                    ---------Selesai.----------

Saturday, January 19, 2013

48. TOK AWANG NGAH - KEPALA MELAYANG DI POKOK ASAM

     Sejak mendapat bulu betis dari lembaga tinggi yang dipercayai sebagai hantu tinggi itu, Latip Baran semakin cepat naik panas baran kalau tersinggung. Dia tidak peduli siapa saja akan diiserbunya. Tetapi orang-orang kampung tidak layan sangat sekiranya Latip Baran tiba-tiba naik berang.

Dia akan mati akal kalau orang tidak mahu menentangnya. Cuma sekali Bakri Pekak menghunus parang di depannya fasal permatang sawah kena roboh. Apabila permatang sawah dirobohkan air masuk ke lopak sawah Bakri Pekak sampai anak benihnya habis diacupi air.

Bakri Pekak menuduh Latip Baran yang merobohkan permatang disebabkan sawah mereka bersempadan. Tetapi Latip Baran menafikan. Pada mulanya Latip Baran tidaklah tiba-tiba saja memberang. Dia bercakap perlahan saja mengatakan bukan dia yang membukakan pengempang di permatang sawah. Bakri Pekak tidak peduli akan jawapan Latip Baran.

Cepat-cepat dia  menghunus parang mahu mengertak Latip Baran. Orang-orang kampung yang sama ke sawah segera datang mahu meleraikan. Mereka datang menyabarkan Bakri Pekak yang sudah mula naik berang. Tiba-tiba saja orang-orang yang ada di situ melihat parang dari tangan Bakri Pekak terpelanting. Dia kemudian berlari keliling sawah memekik-mekik minta pertolongan, pada hal Latip Baran tercegat saja berdiri di atas permatang.

Tidak lama kemudian Bakri Pekak jatuh di pinggir sawah. Terpaksa pula panggil Dukun Amid untuk memulihkannya. Dukun Amid terpaksa mengebas dengan kain hitam, barulah Bakri Pekak dapat dipulihkan. Itu pun dia kelihatan masih dalam ketakutan.

Setelah dia pulih betul barulah Bakri Pekak menceritakan mengapa dia pengsan ketika menghunus parang di depan Latip Baran. “Aku nampak Latip Baran bukan main besar. Dia berdiri, kepalanya sampai kat awan....”beritahu Bakri Pekak seram sejuk mengenangkan peristiwa tersebut.

Sejak itu orang tahu Latip Baran tidak boleh dicabar. Cerita mengenai pokok kelapa tumbang semasa dia menjemput Tok Uda Badin pun sudah diketahui oleh orang-orang kampung. Pokok kelapa itu tumbang akibat disepak oleh Latip Baran. Memang sudah sah bahawa Latip Baran sudah berhampir yakni mendapat pertolongan dari lembaga tinggi yang memberikan dia bulu betis itu.

Tiba-tiba satu kampung menjadi gempar bila Latip Baraan jatuh sakit tidak sedar diri. Seluruh badannya berpeluh. Sehingga satu minggu  dia terlentang di tengah rumah, masih juga tidak pulih. Dukun Amid yang dipanggil mengubati Latip Baran juga semacam hilang akal kerana segala usahanya tidak berjaya memulihkan Latip Baran.

“Kena berubat air tawar ni ......” beritahu Dukun Amid pada Mirah isteri Latip Baran.

Mirah tahu apabila Dukun Amid sudah menggunakan air tawar bermakna penyakit Latip Baran terlalu teruk. Bukan senang Dukun Amid mahu menggunakan air tawar iaitu menyediakan 7 geluk air dengan 7 jenis bunga. Hanya penyakit yang tenat sahaja memerlukan Dukun Amid berubat air tawar ini.

Pantang larang juga mesti dijaga supaya tidak cabuh. Orang yang berdiri di tanah tidak dibenarkan melaung memanggil orang di atas rumah, sementara orang di atas rumah pula dilarang dilarang menyahut sebarang panggilan dari halaman rumah. Orang yang mencari tujuh jenis bunga itu juga tidak dibenarkan bercakap  sepatah pun sekalipun ditegur oleh jiran-jiran. Demikianlah pantangnya bila sudah sampai kepada peringkat berubat air tawar.

Di hadapan tangga rumah juga akan digantung daun nyiur tujuh helai sebagai tanda di rumah itu sedang berubat air tawar. Sebab itulah apabila Dukun Amid memberitahu dia bahawa Latip Baran akan dikenakan berubat air tawar, Mirah sudah semakin resah. Dia tahu penyakit Latip Baran semakin tenat.

Biasanya siapa sudah sampai pada peringkat berubat air tawar dengan Dukun Amid, peluang untuk sembuh adalah tipis. Ini menyebakan air mata Mirah cepat tergenang di pelupuk mata. Dia merasakan Latip Baran tempat bergantung hidup anak beranak sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Bagaimanapun dia masih berharap Dukun Amid mampu memulihkan penyakit suaminya. Lainlah kalau sudah tiga kali naik berubat air tawar. Kalau setakat sekali naik tentulah penyakitnya masih boleh diubat. Dukun Amid juga sekadar menolong, kuasa untuk menyembuhkan penyakit Latip Baran hanya pada Allah saja.

Ini memang Mirah faham benar-benar. Ayahnya Pak Itam Nong selalu ingatkan dia semenjak Latip Baran jatuh sakit tiba-tiba dengan tidak bersebab. Pada mulanya dia hanya memberitahu Mirah untuk ke hutan memasang jerat. Tetapi tidak lama kemudian Sarip Juling menemui dia terbaring dibawah pokok asam putat menuju ke kubur. Kebetulan Sarip Juling pergi ke belukar kubur mahu melepaskan kambingnya.

Cepat-cepat Sarip Juling memberitahu Pak Itam Nong mengenai Latip Baran yang dijumpai terbaring tidak sedar diri itu. Hanya itu sajalah puncanya yang diketahui oleh orang-orang kampung.

“Siap-siaplah perkakasnya untuk berubat air tawar...”jelas Dukun Amid sebelum meninggalkan rumah Mirah.

Semua permintaan Dukun Amid terpaksalah dipenuhi. Tujuh geluk air dengan tujuh jenis kuntum bunga, mayang pinang belum terurai, bertih, kain hitam, dan tujuh jenis limau. Itulah perkakas ramuan perubatan yang mesti disediakan. Mak Ibah sendiri menyediakan bersama suaminya Pak Itam Nong.

Mirah memang tidak boleh diharapkan lagi. Sejak seminggu Latip Baran ditemui oleh Sarip Juling terbaring di bawah pokok asam putat, dia sudah semacam hilang akal. Dia tidak tahu apa pun kalau disuruh sediakan itu dan ini. Semuanya terserah kepada Mak Ibah dan Pak Itam Nong saja.

Pada malam Dukun Amid memulakan pengubatan air tawar itu dia meminta semua pelita dipadamkan. Hanya bau asap kemenyan saja memenuhi segenap ruang. Beberapa saat kemudian rumah itu bergegar kuat seperti dilanggar benda besar. Setelah selesai Dukun Amid mengubati, pelita pun dipasang semula.

“Cuba suluh di bawah apa bendanya tadi tu....” perintah Dukun Amid.

Cuma Sarip Juling yang memberanikan hati mengambil pelita untuk turun ke tanah. Sampai di kaki tangga Sarip Juling terpekik menyebabkan  orang-orang yang ada di atas rumah menyerbu kemuka pintu.

“Ada apa Rip?” tanya Pak Itam Nong.

“Itu, itu......” sahut Sarip Juling tergagap-gagap. Dia menunjuk ke arah tapak kaki.  Tumitnya saja sebesar nyiru. “Besarnya tapak kaki...” katanya gementar.

“Huh, ini kerja orang atas ni, “ ujar Dukun Amid perlahan. Dia juga kelihatan gementar bila memerhatikan tapak kaki yang berbekas di muka tangga. “Tak terkerjakan dek aku  ni.......” keluhnya lemah macam tidak yakin lagi akan kebolehannya dapat mengubat Latip Baran.

“Habis macam mana?” Pak Itam Nong cemas dengan sikap Dukun Amid seakan-akan menyerah kalah.

Dukun Amid geleng kepala. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mengubati Latip Baran. Pengalamanya sebagai dukun selama ini sudah dicurahkannya bagi mengubati Latip Baran. Tetapi ternyata dia tidak dapat menyaingi hantu tinggi yang menganggu Latip Baran sekarang.

Memang dia tahu Latip Baran sudah diganggu hantu tinggi. Latip Baran sendiri pernah memberitahunya mengenai bulu betis yang diberi kepadanya. Tetapi mengapa sekarang hantu tinggi ini menganggu? Pada hal bulu betis itu sudah diberikan kepada Latip Baran! Setahu Dukun Amid siapa saja sudah mendapat barang dari makhluk-makhluk ghaib, maka dirinya sentiasa bersahabat dengan makhluk berkenaan. Masakan pula makhluk ghaib seperti hantu tinggi itu menganggu Latip Baran yang sudah bersahabat.

Boleh jadi juga Latip Baran tidak menjaga hati sahabatnya . Sepatutnya hati sahabatnya mesti dijaga. Kalau dia mahukan ayam panggang separuh masak, Latip Baran mesti sediakan. Dia mesti sediakan ancak untuk memberi makan sahabatnya. Dengan cara itulah saja hubungan persahabatan akan terjalin.

“Macam mana dukun?” tanya Pak Itam Nong lagi.

“Aku tak sanggup lagi.....” keluh Dukun Amid. “Macam mana fikir awak Kak Mun?” dia berpaling pada Bidan Mun yang tersandar pada dinding induk rumah.

“Kalau dah Amid tak sanggup, kenalah cari orang yang sanggup....” Bidan Mun mengunyam-ngunyam pinang di mulutnya.

“Siapa agaknya kalau bukan Dukun Mun Amid ni?” Pak Itam Nong berpaling pada Mak Bidan Mun.

“Cuba-cubalah Tok Uda Badin” kata Bidan Mun perlahan. “Berubat ni bukan nak kira dukun besar dukun kecik, yang pentingnya ikut rasi’ beritahunya mengingatkan.

“Betullah kata Kak Mun tu” sahut Dukun Amid. Dia sendiri tidak berkecil hati kalau Tok Uda Badin guru agama di kampung itu boleh mengubati Latip Baran. Tentulah Tok Uda Badin yang sudah belajar mengaji pondok samai ke Sumatera itu mempunyai banyak pengalaman juga. “Cubalah panggilkan Tok Uda Badin. Jangan lengah lagi.....” ujarnya menggesa Pak Itam Nong supa segera memanggil Tok Uda Badin.

Disebabkan Dukun Amid tidak sanggup lagi mengubati Latip Baran, maka dipanggillah Tok Uda Badin. Sarip Juling disuruh ke rumah Tok Uda Badin memanggil orang tua itu.

Apabila Tok Uda Badin datang dia pun diberitahu mengenai nasib yang menimpa Latip Baran. Kisah Latip Baran ditemui terbaring tidak sedarkan diri di bawah pokok asam  putat berhampiran tanah kubur semasa mahu memasang jerat ke hutan, memang mengherankan mereka. Kalau mahu dikatakan ada orang sakit hati terhadapnya lalu memukul curi dari belakang, tidak ada kesan-kesan kena pukul.

Tok Uda Badin tetap tenang apabila diberitahu mengenai Latip Baran dijumpai oleh Sarip Juling berbaring tidak sedarkan diri. Dia bersila menghadapi tubuh Latip Baran yang terkejang tidak bergerak. Cuma nafasnya saja turun naik kencang.

“Mid.......” Tok Uda Badin menggamit Dukun Amid. “Kau gunakan kepandaian kau, biar aku membantu” kata Tok Uda Badin mengertap bibir.

Dukun Amid mengangguk. Dia mara ke kepala Latip Baran.

“Emmm, dah aku nasihatkan dia” Tok Uda badin menghela nafas pendek. Buangkan benda tu, buangkan! Dia degil juga nak simpan. Setan, mana pula boleh buat berjanji!” gerutunya bila kenangkan Latip Baran berkeras tidak mahu membuang bulu betis yang diberi kepadanya oleh hantu tinggi.

Orang ramai berkumpul di rumah Latip Baran tidak berkata apa-apa. Mereka serahkan semuanya kepada pada kesanggupan Tok Uda Badin dan Dukun Amid saja.

“Mulalah Mid......” kata Tok Uda Badin ke arah Dukun Amid.

Dukun Amid mengangguk. Mulutnya kumat kamit sambil matanya pejam. Lama kelamaan peluh memercik di dahi Dukun Amid. Matanya tetap terpejam dengan mulut kumat kamit. Sementara Tok Uda Badin mengangkat kedua belah tangannya. Tapak tangannya dihalakan kepada Dukun Hamid, bukannya pada Latip Baran. Sekali sekala dia mengenjur-ngenjur tangannya menolak sesuatu ke arah Dukun Amid.

Ketika itu barulah Latip Baran mengerakkan kepalanya sama seperti Dukun Amid juga.

“Tolong tengok-tengokan Latip tu” Tok Uda Badin menggamit Pak Itam Nong. Sementara Pak Itam Nong menggamit Sarip Juling. Mereka berdua duduk melutut berhampiran dengan Latip Baran.

Sekali gus Latip Baran bingkas mahu bangun. Tetapi cepat-cepat Pak Itam Nong memaut dadanya. Dia direbahkan semula. Sarip Juling pula menerpa ke arah kaki Latip Baan. Beberapa orang lelaki yang ada di serambi juga menerpa masuk setelah dipanggil oleh Mak Bidan Mun. Mereka sama-sama membantu memegangkan Latip Baran yang mulameronta kuat.

“Celaka kau Amid, kenapa kau panggil orang tua cabuk ni !” bentak Latip Baran. Suaranya garau jauh di kerengkung. Suara itu tidak sama dengan suara Latip Baran sebenarnya.

“Celaka kau Amid !” gertuunya lagi.

Dukun Amid tidak menyahut. Dia sudah semakin jauh ditolak oleh Tok Uda Badin menembusi kawasan gelap. Dia sampai di bawah pokok asam putat di pinggir tanah perkuburan. Tiba-tiba saja sebuah kepala sebesar reban ayam melayang-layang menerpa ke arahnya. Kepala itu tidak bertubuh. Matanya tersembul merah, pipinya berkedut-kedut, rambutnya mengerbang serta dahinya bertanduk.

“Celaka kau Amid, kenapa kau bawa orang tua cabuk tu...... !” herdik kepala melayang-layang iyu. Dia berligar-ligar juga mahu menerkam ke arah Dukun Amid. Tetapi setiap kali dia mahu menerkam dirinya terpelanting ditolak oleh suatu kuasa yang tidak diketahui dari mana.

“Sapa ?” sahut Dukun Amid marah.

“Orang tua tu..........!” mulutnya memuncung panjang menunjukkan ke arah Tok Uda Badin bersila duduk di awang-awangan.

“Kau takut dia?” herdik Dukun Amid macam menyindir.

Kepala itu tidak menyahut. Tetapi mukanya tetap marah kerana tidak dapat menghampiri Dukun Amid.

“Selama ini kau menyorok dari aku, kenapa sekarang kau keluar?” soal Dukun Amid lagi.

“Celaka kau, celupar sangat mulut kau !” kepala melayang-layang itu mengertap bibir. “Macam mana aku nak menyorok dari orang tua tu, panas badan aku. Tempat ini sangat panas...” katanya geram.

“Kalau panas berambuslah kau !” bentak Dukun Amid.

“Macam aku nak pergi, aku tak ada jalan. Biarlah Latip tunjukkan jalan aku...” kepala itu tersengih-sengih mengerling ke arah Dukun Amid.

“Tinggalkan Latip! “ suara Dukun Amid keras. “Kalau kau tahu jalan datang, fasal apa tak tau jalan balik” ujar Dukn Amid lagi.

Belum sempat kepala itu menyahut, Dukun Amid nampak Tok Uda Badin menghembus ke arah kepala melayang – layang itu. Panah-panah berapi menjunam datang beratus-ratus. Kepala itu terjerit-jerit lalu bertukar menjadi kepulan asap hitam yang memanjang macam menungkat ke langit.

Tetapi panah berapi itu menujah juga ke arah kepulan asap sambil terbakar. Api menyala membakar kepulan asap hitam menungkat ke langit.

“Tolong ....jangan bakar aku...” kepulan asap itu memekik bergaung ari udara. “Orang tua ni tak sama macam kau Amid, tak pernah aku jumpa lagi macam ni ilmunya” suaranya merintih menahan kesakitan.

“Kau fikir kau boleh olok-olokkan aku ye?” ejek Dukun Amid memerhatikan kepulan asap hitam itu mengeliat-geliat kesakitan. “Sekarang kau cubalah menyorok diri kau !” jerkah DukunAmid mencabar lembaga hitam yang menjelma dalam kepulan asap itu.

“Aku tak dapat menyorok...” pekik lembaga itu sekuat hati.

“Tidak boleh menyorok berambuslah!” Cabar Dukun Amid lagi.

Kepulan asap itu bertukar menjadi batu kerikil. Dukun Amid kumat kamit membaca sesuatu. Kemudian dia mendengar Tok Uda Badin menyuruhnya membacakan ayat

Wallaunna qurana suriyat bihiljibalu auqutiat bihilar’d auqulimma bihilmaut...

Dukun Amid mengikut saja apa yang disuruh oleh Tok Uda Badin. Sebaik saja dia membaca ayat tersebut tiba-tiba halalintar berdentum menyebabkan batu kerikil itu berkecai.

Sekali lagi jerit lembaga hitam itu bergema melalui pekikan Latip Baran. Meronta-ronta dia menahan kesakitan sekalipun yang dilihat orang-orang kampung Latip Baran meronta-ronta.

“Berani kau dengan Tok Uda Badin !” Dukun Amid menyindir.

“Dengan orang tua ni beranilah awak cakap besar Amid...” sahut lembaga itu bertukar  menjelmakan dirinya menjadi kepala berligar-ligar. Seluruh bahagian mukanya sudah hangus dibakar api. Matanya yang tersembul merah pun sudah terbakar hangus.

“Kalau takut awak, belum undur kawan lagi!” kata Dukun Amid meludah muka kepala yang berligar-ligar itu. “Tak ada Tok Uda Badin pun kawan sanggup melawan awak......” ejeknya sengaja mahu menyakitkan hati lembaga tersebut.

“Habis, kenapa awak panggil orangtua ni?”

“Awak takut pada Tok Uda kan.........Kalau takut cakap”

“Dengan awak, kawan tak takut  Amid.”

“Seranglah !”

“Orang tua tu ada............”

“Awak orang gagah berani, mengapa takut....” Dukun Amid terus mengejek-ngejek untuk menaikkan kemarahan hantu tinggi itu.

Kepala melayang-layang di udara cuba menerkam ke arah Dukun Amid. Dengan pantas Dukun Amid mengambil bertih lalu dilimparkan ke arah kepala berkenaan. Bertih itu menjadi bola-bola besi hinggap menerjah, sampai segenap bahagian kepala itu berdarah. Tetapi dia tetap bertahan dari serangan Dukun Amid. Dia tidak kelihatan merasa sakit pun dengan serangan tersebut.

“Bacakan Ayat Kursi, Amid.........” Dukun Amid terdengar suara Tok Uda Badin mengiang-ngiang di telinganya. Lantas dia membacanya seperti diarahkan oleh Tok Uda Badin.

Sebaik saja dia membaca Ayat Kursi api menyala besar seperti kawah gunung berapi. Kepala melayang-layang itu tidak dapat mengelakkan diri dari api yang menyala. Bahang panas itu menyebabkan seluruh mukanya menjadi merah, kulitnya mengerekot, rambut mengerbangnya habis hangus.

“Cukup jangan baca lagi Amid.......” rintih kepala itu terawang-awang seperti periuk tergagang diatas tunku masak. Api terus menyala membakarnya, sedangkan dia tidak dapat melarikan diri dari api berkenaan.

“Kalau tak tahan, berambus kau!” perintah Dukun Hamid.

“Kawan tak tahu jalan...”

“Kenapa datang kau tahu jalan?”

“Latip yang bawa”

“Kau jangan bohong!”

“Memang Latip bawa aku......”

“Kalau kau tak tahu jalan, kau tahanlah lagi.......!” kata Dukun Amid membacakan lagi ayat kursi.

Terjerit-jerit kepala terawang-awang itu bila api semakin menyala hingga dia tenggelam di dalamnya. Seluruh mukanya habis hangus dijilat api menyala. Dia terketar-ketar menahan kesakitan. Ketika ini orang-orang yang menyaksikan Latip Baran nampak muka Latip Baran semakin banyak memercik peluh. Dia mengelepar ke kiri ke kanan bagaikan tersiksa menahan kesakitan.

Tok Uda Badin pula membongkok sedikit merapatkan mulutnya ke telinga Latip Baran. Dia terus azan pada bahagian telinga kanan Latip Baran. Setiap kalimat azan berkumandang Latip Baran semakin mengeliat kesakitan.

Dukun Amid nampak yang mengeliat itu bukan Latip Baran tetapi kepala yang terapung-apung tidak bertubuh di bawah pokok asam putat. Azan yang dikumandangkan oleh Tok Uda Badin benar-benar menyeksakan kepala berkenaan. Kemana saja dia cuba melarikan diri gema azan itu tetap memukulnya bertalu-talu.

“Ampun Tok Uda !.. Ampun.......” rintih kepala itu terketar-ketar menahak seksa.

“Aku tak ampunkan kau. Aku mahu kau tinggalkan Latip!” jerkah Tok Uda Badin keras. Dukun Amid semakin berani kerana Tok Uda Badin sendiri menentang lembaga tersebut.

“Aku tak tahu jalan balik.....” sahut  lembaga itu merayu-rayu.

“Aku tak peduli sama ada kau tahu jalan atau tak tahu jalan balik “ kata Tok Uda Badin lebih keras. “Aku tak mahu layan setan. Kalau kau tahan tunggulah ayat-ayat Allah ini...” ujarnya sambil mulutnya kumat kamit.

Lembaga itu terjerit-jerit kesakitan, Tetapi Tok Uda Badin tidak menghiraukannya. Dia terus membaca kalimat-kalimat dari ayat Quran. Seluruh kawasan tempat lembaga itu bertahan bergegar kuat. Api membakar dari tiap penjuru. Kepala itu tenggelam dalam nyala api seperti kawah gunung berapi.

Tolong....tolong.....tolong Tok Uda !” rintih kepala yang terperangkap dalam api marak menyala.

Namun Tok Uda Badin tidak menyahut. Dia terus membaca kalimat-kalimat Allah. Dia tidak melayan langsung kata-kata kepala seperti dilakukan oleh Dukun Amid.

“Aku tak akan terpedaya oleh tipu daya setan.!” Jerkahnya setiap kali kepala yang terbakar itu merintih meminta pertolongan. Akhirnya kepala itu mengaku akan pergi dari situ. Dia tidak sanggup lagi menghadapi seksaan yang demikian dasyat.

“Aku pergi Tok Uda... Aku pergi. Cukuplah, hentikan membaca ayat-ayat itu. Aku tak tahan lagi......” katanya terketar-ketar.

“Kalau nak pergi, pergilah!” sahut Tok Uda Badin tidak menghiraukan rintihan tersebut.

Dukun Amid dapat belajar dari cara Tok Uda Badin menghadapi hantu tinggi yang menjelma sebagai kepala sebesar reban ayam itu. Tok Uda Badin terus menyerang dengan tidak memperdulikan apa saja rintihan lawannya. Kalau dilayan sudah tentulah lawannya dapat mengelakkan dari terus diserang. Lawannya akan mencari helah tidak mahu berundur. Inilah tipu daya setan yang tidak dapat memerangkap Tok Uda Badin.

“Latip tak patut...” ujar kepala itu lagi merintih-rintih. “Aku dah beri dia pelindung, tapi tak dijaganya. Aku minta balik dia tak beri. Sebab itulah aku marah” dia menjelaskan dengan harapan dapat menarik perhatian Tok Uda Badin.

Tetapi Tok Uda Badin tidak menyahut. Mulutnya terus kumat-kamit membacakan kalimat-kalimat dari Quran. Api terus marak menyala seperti kawah gunung berapi. Kepala itu tidak dapat melarikan diri dari disambar oleh api dari segenap penjuru. Sebahagian kepala itu sudah menjadi bara merah. Sedikit demi sedikit debu gugur tidak bertahan.

Debu itu dihembus oleh Tok Uda Badin hingga hilang di udara. Dukun Amid mengibas-ngibas debu yang berterbangan itu dengan belakang tangannya.

Kira-kira tengah malam kemnudiannya barulah Latip Baran sedar dari pengsannya. Dia macam orang bingung tidak tahu apa yang berlaku keatas dirinya. Hampir sebulan selepas itu barulah Latip Baran pulih betul. Barulah dia dapat mengingat kejadian yang dialaminya.

Bulu betis yang didapatinya dari hantu tinggi itu sebenarnya sudah hilang entah kemana. Dia selitkan celah atap di kepuk padi. Satu pagi apabila dilihatnya, benda itu tidak ada lagi. Rupa-rupanya benda itu sudah diambil oleh anaknya Din yang lahir bersama kelongsong dulu. Dia telah membakar benda itu yang disangkanya ijuk enau.

Pada mulanya Latip Baran menyangka tidak ada apa-apa masaalah apabila bulu betis itu hilang.   Hinggalah dia diterkam oleh kepala tidak bertubuh sebesar reban ayam di bawah pokok asam putat di pinggir kubur.

“Jangan sekutukan Allah dengan yang lain. Hanya dia yang disembah dan kepadanya meminta pertolongan” Tok Uda Badin mengingatkan dia.

Cerita mengenai Latip Baran ini diceritakan juga oleh nenek saya. Walaupun kisanya sudah berlalu terlalu lama, dan Latip Baran itu pun sudah lama meninggal dunia , tetapi banyak menafaat yang dapat saya fikirkan. Makhluk-makhluk ghaib ini memang sukar kita lihat dengan pancaindera biasa.

Saya sendiri tidak mahu bertemu dengan makhluk-makhluk ghaib dari syaitan ini., tetapi insya Allah saya tidak akan berundur kalau sudah terpaksa menentangnya. Segala apa yang diturunkan  oleh Tok Uda Badin pada anak cucunya, saya kira cukup untuk dipergunakan menentang syaitan selagi berpegang kepada Laillah ha illallah...........
-                            ----------selesai--------