Dia
akan mati akal kalau orang tidak mahu menentangnya. Cuma sekali Bakri Pekak
menghunus parang di depannya fasal permatang sawah kena roboh. Apabila
permatang sawah dirobohkan air masuk ke lopak sawah Bakri Pekak sampai anak
benihnya habis diacupi air.
Bakri
Pekak menuduh Latip Baran yang merobohkan permatang disebabkan sawah mereka bersempadan.
Tetapi Latip Baran menafikan. Pada mulanya Latip Baran tidaklah tiba-tiba saja
memberang. Dia bercakap perlahan saja mengatakan bukan dia yang membukakan pengempang
di permatang sawah. Bakri Pekak tidak peduli akan jawapan Latip Baran.
Cepat-cepat
dia menghunus parang mahu mengertak Latip Baran. Orang-orang kampung yang sama
ke sawah segera datang mahu meleraikan. Mereka datang menyabarkan Bakri
Pekak yang sudah mula naik berang. Tiba-tiba saja orang-orang yang ada di situ
melihat parang dari tangan Bakri Pekak terpelanting. Dia kemudian berlari
keliling sawah memekik-mekik minta pertolongan, pada hal Latip Baran tercegat
saja berdiri di atas permatang.
Tidak
lama kemudian Bakri Pekak jatuh di pinggir sawah. Terpaksa pula panggil Dukun
Amid untuk memulihkannya. Dukun Amid terpaksa mengebas dengan kain hitam,
barulah Bakri Pekak dapat dipulihkan. Itu pun dia kelihatan masih dalam
ketakutan.
Setelah
dia pulih betul barulah Bakri Pekak menceritakan mengapa dia pengsan ketika
menghunus parang di depan Latip Baran. “Aku nampak Latip Baran bukan main
besar. Dia berdiri, kepalanya sampai kat awan....”beritahu Bakri Pekak seram
sejuk mengenangkan peristiwa tersebut.
Sejak
itu orang tahu Latip Baran tidak boleh dicabar. Cerita mengenai pokok kelapa
tumbang semasa dia menjemput Tok Uda Badin pun sudah diketahui oleh orang-orang
kampung. Pokok kelapa itu tumbang akibat disepak oleh Latip Baran. Memang sudah
sah bahawa Latip Baran sudah berhampir yakni mendapat pertolongan dari lembaga
tinggi yang memberikan dia bulu betis itu.
Tiba-tiba
satu kampung menjadi gempar bila Latip Baraan jatuh sakit tidak sedar diri.
Seluruh badannya berpeluh. Sehingga satu minggu
dia terlentang di tengah rumah, masih juga tidak pulih. Dukun Amid yang
dipanggil mengubati Latip Baran juga semacam hilang akal kerana segala usahanya
tidak berjaya memulihkan Latip Baran.
“Kena
berubat air tawar ni ......” beritahu Dukun Amid pada Mirah isteri Latip Baran.
Mirah
tahu apabila Dukun Amid sudah menggunakan air tawar bermakna penyakit Latip
Baran terlalu teruk. Bukan senang Dukun Amid mahu menggunakan air tawar iaitu
menyediakan 7 geluk air dengan 7 jenis bunga. Hanya penyakit yang tenat sahaja
memerlukan Dukun Amid berubat air tawar ini.
Pantang
larang juga mesti dijaga supaya tidak cabuh. Orang yang berdiri di tanah tidak
dibenarkan melaung memanggil orang di atas rumah, sementara orang di atas rumah
pula dilarang dilarang menyahut sebarang panggilan dari halaman rumah. Orang
yang mencari tujuh jenis bunga itu juga tidak dibenarkan bercakap sepatah pun sekalipun ditegur oleh
jiran-jiran. Demikianlah pantangnya bila sudah sampai kepada peringkat berubat
air tawar.
Di hadapan
tangga rumah juga akan digantung daun nyiur tujuh helai sebagai tanda di rumah
itu sedang berubat air tawar. Sebab itulah apabila Dukun Amid memberitahu dia
bahawa Latip Baran akan dikenakan berubat air tawar, Mirah sudah semakin resah.
Dia tahu penyakit Latip Baran semakin tenat.
Biasanya
siapa sudah sampai pada peringkat berubat air tawar dengan Dukun Amid, peluang
untuk sembuh adalah tipis. Ini menyebakan air mata Mirah cepat tergenang di
pelupuk mata. Dia merasakan Latip Baran tempat bergantung hidup anak beranak
sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Bagaimanapun
dia masih berharap Dukun Amid mampu memulihkan penyakit suaminya. Lainlah kalau
sudah tiga kali naik berubat air tawar. Kalau setakat sekali naik tentulah
penyakitnya masih boleh diubat. Dukun Amid juga sekadar menolong, kuasa untuk
menyembuhkan penyakit Latip Baran hanya pada Allah saja.
Ini
memang Mirah faham benar-benar. Ayahnya Pak Itam Nong selalu ingatkan dia semenjak
Latip Baran jatuh sakit tiba-tiba dengan tidak bersebab. Pada mulanya dia hanya
memberitahu Mirah untuk ke hutan memasang jerat. Tetapi tidak lama kemudian
Sarip Juling menemui dia terbaring dibawah pokok asam putat menuju ke kubur.
Kebetulan Sarip Juling pergi ke belukar kubur mahu melepaskan kambingnya.
Cepat-cepat
Sarip Juling memberitahu Pak Itam Nong mengenai Latip Baran yang dijumpai
terbaring tidak sedar diri itu. Hanya itu sajalah puncanya yang diketahui oleh
orang-orang kampung.
“Siap-siaplah
perkakasnya untuk berubat air tawar...”jelas Dukun Amid sebelum meninggalkan
rumah Mirah.
Semua
permintaan Dukun Amid terpaksalah dipenuhi. Tujuh geluk air dengan tujuh jenis
kuntum bunga, mayang pinang belum terurai, bertih, kain hitam, dan tujuh jenis
limau. Itulah perkakas ramuan perubatan yang mesti disediakan. Mak Ibah sendiri
menyediakan bersama suaminya Pak Itam Nong.
Mirah
memang tidak boleh diharapkan lagi. Sejak seminggu Latip Baran ditemui oleh
Sarip Juling terbaring di bawah pokok asam putat, dia sudah semacam hilang
akal. Dia tidak tahu apa pun kalau disuruh sediakan itu dan ini. Semuanya
terserah kepada Mak Ibah dan Pak Itam Nong saja.
Pada
malam Dukun Amid memulakan pengubatan air tawar itu dia meminta semua pelita
dipadamkan. Hanya bau asap kemenyan saja memenuhi segenap ruang. Beberapa saat
kemudian rumah itu bergegar kuat seperti dilanggar benda besar. Setelah selesai
Dukun Amid mengubati, pelita pun dipasang semula.
“Cuba
suluh di bawah apa bendanya tadi tu....” perintah Dukun Amid.
Cuma
Sarip Juling yang memberanikan hati mengambil pelita untuk turun ke tanah.
Sampai di kaki tangga Sarip Juling terpekik menyebabkan orang-orang yang ada di atas rumah menyerbu
kemuka pintu.
“Ada
apa Rip?” tanya Pak Itam Nong.
“Itu,
itu......” sahut Sarip Juling tergagap-gagap. Dia menunjuk ke arah tapak kaki. Tumitnya saja sebesar nyiru. “Besarnya tapak
kaki...” katanya gementar.
“Huh,
ini kerja orang atas ni, “ ujar Dukun Amid perlahan. Dia juga kelihatan
gementar bila memerhatikan tapak kaki yang berbekas di muka tangga. “Tak
terkerjakan dek aku ni.......” keluhnya
lemah macam tidak yakin lagi akan kebolehannya dapat mengubat Latip Baran.
“Habis
macam mana?” Pak Itam Nong cemas dengan sikap Dukun Amid seakan-akan menyerah
kalah.
Dukun
Amid geleng kepala. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mengubati Latip Baran.
Pengalamanya sebagai dukun selama ini sudah dicurahkannya bagi mengubati Latip
Baran. Tetapi ternyata dia tidak dapat menyaingi hantu tinggi yang menganggu
Latip Baran sekarang.
Memang
dia tahu Latip Baran sudah diganggu hantu tinggi. Latip Baran sendiri pernah
memberitahunya mengenai bulu betis yang diberi kepadanya. Tetapi mengapa
sekarang hantu tinggi ini menganggu? Pada hal bulu betis itu sudah diberikan
kepada Latip Baran! Setahu Dukun Amid siapa saja sudah mendapat barang dari
makhluk-makhluk ghaib, maka dirinya sentiasa bersahabat dengan makhluk
berkenaan. Masakan pula makhluk ghaib seperti hantu tinggi itu menganggu Latip
Baran yang sudah bersahabat.
Boleh
jadi juga Latip Baran tidak menjaga hati sahabatnya . Sepatutnya hati
sahabatnya mesti dijaga. Kalau dia mahukan ayam panggang separuh masak, Latip
Baran mesti sediakan. Dia mesti sediakan ancak untuk memberi makan sahabatnya.
Dengan cara itulah saja hubungan persahabatan akan terjalin.
“Macam
mana dukun?” tanya Pak Itam Nong lagi.
“Aku
tak sanggup lagi.....” keluh Dukun Amid. “Macam mana fikir awak Kak Mun?” dia
berpaling pada Bidan Mun yang tersandar pada dinding induk rumah.
“Kalau
dah Amid tak sanggup, kenalah cari orang yang sanggup....” Bidan Mun
mengunyam-ngunyam pinang di mulutnya.
“Siapa
agaknya kalau bukan Dukun Mun Amid ni?” Pak Itam Nong berpaling pada Mak Bidan
Mun.
“Cuba-cubalah
Tok Uda Badin” kata Bidan Mun perlahan. “Berubat ni bukan nak kira dukun besar
dukun kecik, yang pentingnya ikut rasi’ beritahunya mengingatkan.
“Betullah
kata Kak Mun tu” sahut Dukun Amid. Dia sendiri tidak berkecil hati kalau Tok
Uda Badin guru agama di kampung itu boleh mengubati Latip Baran. Tentulah Tok
Uda Badin yang sudah belajar mengaji pondok samai ke Sumatera itu mempunyai
banyak pengalaman juga. “Cubalah panggilkan Tok Uda Badin. Jangan lengah
lagi.....” ujarnya menggesa Pak Itam Nong supa segera memanggil Tok Uda Badin.
Disebabkan
Dukun Amid tidak sanggup lagi mengubati Latip Baran, maka dipanggillah Tok Uda
Badin. Sarip Juling disuruh ke rumah Tok Uda Badin memanggil orang tua itu.
Apabila
Tok Uda Badin datang dia pun diberitahu mengenai nasib yang menimpa Latip
Baran. Kisah Latip Baran ditemui terbaring tidak sedarkan diri di bawah pokok
asam putat berhampiran tanah kubur
semasa mahu memasang jerat ke hutan, memang mengherankan mereka. Kalau mahu
dikatakan ada orang sakit hati terhadapnya lalu memukul curi dari belakang,
tidak ada kesan-kesan kena pukul.
Tok
Uda Badin tetap tenang apabila diberitahu mengenai Latip Baran dijumpai oleh
Sarip Juling berbaring tidak sedarkan diri. Dia bersila menghadapi tubuh Latip
Baran yang terkejang tidak bergerak. Cuma nafasnya saja turun naik kencang.
“Mid.......”
Tok Uda Badin menggamit Dukun Amid. “Kau gunakan kepandaian kau, biar aku
membantu” kata Tok Uda Badin mengertap bibir.
Dukun
Amid mengangguk. Dia mara ke kepala Latip Baran.
“Emmm,
dah aku nasihatkan dia” Tok Uda badin menghela nafas pendek. Buangkan benda tu,
buangkan! Dia degil juga nak simpan. Setan, mana pula boleh buat berjanji!”
gerutunya bila kenangkan Latip Baran berkeras tidak mahu membuang bulu betis
yang diberi kepadanya oleh hantu tinggi.
Orang
ramai berkumpul di rumah Latip Baran tidak berkata apa-apa. Mereka serahkan
semuanya kepada pada kesanggupan Tok Uda Badin dan Dukun Amid saja.
“Mulalah
Mid......” kata Tok Uda Badin ke arah Dukun Amid.
Dukun
Amid mengangguk. Mulutnya kumat kamit sambil matanya pejam. Lama kelamaan peluh
memercik di dahi Dukun Amid. Matanya tetap terpejam dengan mulut kumat kamit.
Sementara Tok Uda Badin mengangkat kedua belah tangannya. Tapak tangannya
dihalakan kepada Dukun Hamid, bukannya pada Latip Baran. Sekali sekala dia
mengenjur-ngenjur tangannya menolak sesuatu ke arah Dukun Amid.
Ketika
itu barulah Latip Baran mengerakkan kepalanya sama seperti Dukun Amid juga.
“Tolong
tengok-tengokan Latip tu” Tok Uda Badin menggamit Pak Itam Nong. Sementara Pak
Itam Nong menggamit Sarip Juling. Mereka berdua duduk melutut berhampiran
dengan Latip Baran.
Sekali
gus Latip Baran bingkas mahu bangun. Tetapi cepat-cepat Pak Itam Nong memaut
dadanya. Dia direbahkan semula. Sarip Juling pula menerpa ke arah kaki Latip
Baan. Beberapa orang lelaki yang ada di serambi juga menerpa masuk setelah
dipanggil oleh Mak Bidan Mun. Mereka sama-sama membantu memegangkan Latip Baran
yang mulameronta kuat.
“Celaka
kau Amid, kenapa kau panggil orang tua cabuk ni !” bentak Latip Baran. Suaranya
garau jauh di kerengkung. Suara itu tidak sama dengan suara Latip Baran
sebenarnya.
“Celaka
kau Amid !” gertuunya lagi.
Dukun
Amid tidak menyahut. Dia sudah semakin jauh ditolak oleh Tok Uda Badin
menembusi kawasan gelap. Dia sampai di bawah pokok asam putat di pinggir tanah
perkuburan. Tiba-tiba saja sebuah kepala sebesar reban ayam melayang-layang
menerpa ke arahnya. Kepala itu tidak bertubuh. Matanya tersembul merah, pipinya
berkedut-kedut, rambutnya mengerbang serta dahinya bertanduk.
“Celaka
kau Amid, kenapa kau bawa orang tua cabuk tu...... !” herdik kepala
melayang-layang iyu. Dia berligar-ligar juga mahu menerkam ke arah Dukun Amid.
Tetapi setiap kali dia mahu menerkam dirinya terpelanting ditolak oleh suatu
kuasa yang tidak diketahui dari mana.
“Sapa
?” sahut Dukun Amid marah.
“Orang
tua tu..........!” mulutnya memuncung panjang menunjukkan ke arah Tok Uda Badin
bersila duduk di awang-awangan.
“Kau
takut dia?” herdik Dukun Amid macam menyindir.
Kepala
itu tidak menyahut. Tetapi mukanya tetap marah kerana tidak dapat menghampiri
Dukun Amid.
“Selama
ini kau menyorok dari aku, kenapa sekarang kau keluar?” soal Dukun Amid lagi.
“Celaka
kau, celupar sangat mulut kau !” kepala melayang-layang itu mengertap bibir.
“Macam mana aku nak menyorok dari orang tua tu, panas badan aku. Tempat ini
sangat panas...” katanya geram.
“Kalau
panas berambuslah kau !” bentak Dukun Amid.
“Macam
aku nak pergi, aku tak ada jalan. Biarlah Latip tunjukkan jalan aku...” kepala
itu tersengih-sengih mengerling ke arah Dukun Amid.
“Tinggalkan
Latip! “ suara Dukun Amid keras. “Kalau kau tahu jalan datang, fasal apa tak
tau jalan balik” ujar Dukn Amid lagi.
Belum
sempat kepala itu menyahut, Dukun Amid nampak Tok Uda Badin menghembus ke arah
kepala melayang – layang itu. Panah-panah berapi menjunam datang beratus-ratus.
Kepala itu terjerit-jerit lalu bertukar menjadi kepulan asap hitam yang
memanjang macam menungkat ke langit.
Tetapi
panah berapi itu menujah juga ke arah kepulan asap sambil terbakar. Api menyala
membakar kepulan asap hitam menungkat ke langit.
“Tolong
....jangan bakar aku...” kepulan asap itu memekik bergaung ari udara. “Orang
tua ni tak sama macam kau Amid, tak pernah aku jumpa lagi macam ni ilmunya”
suaranya merintih menahan kesakitan.
“Kau
fikir kau boleh olok-olokkan aku ye?” ejek Dukun Amid memerhatikan kepulan asap
hitam itu mengeliat-geliat kesakitan. “Sekarang kau cubalah menyorok diri kau
!” jerkah DukunAmid mencabar lembaga hitam yang menjelma dalam kepulan asap
itu.
“Aku
tak dapat menyorok...” pekik lembaga itu sekuat hati.
“Tidak
boleh menyorok berambuslah!” Cabar Dukun Amid lagi.
Kepulan
asap itu bertukar menjadi batu kerikil. Dukun Amid kumat kamit membaca sesuatu.
Kemudian dia mendengar Tok Uda Badin menyuruhnya membacakan ayat
Wallaunna qurana
suriyat bihiljibalu auqutiat bihilar’d auqulimma bihilmaut...
Dukun
Amid mengikut saja apa yang disuruh oleh Tok Uda Badin. Sebaik saja dia membaca
ayat tersebut tiba-tiba halalintar berdentum menyebabkan batu kerikil itu
berkecai.
Sekali
lagi jerit lembaga hitam itu bergema melalui pekikan Latip Baran. Meronta-ronta
dia menahan kesakitan sekalipun yang dilihat orang-orang kampung Latip Baran meronta-ronta.
“Berani
kau dengan Tok Uda Badin !” Dukun Amid menyindir.
“Dengan
orang tua ni beranilah awak cakap besar Amid...” sahut lembaga itu
bertukar menjelmakan dirinya menjadi
kepala berligar-ligar. Seluruh bahagian mukanya sudah hangus dibakar api.
Matanya yang tersembul merah pun sudah terbakar hangus.
“Kalau
takut awak, belum undur kawan lagi!” kata Dukun Amid meludah muka kepala yang
berligar-ligar itu. “Tak ada Tok Uda Badin pun kawan sanggup melawan
awak......” ejeknya sengaja mahu menyakitkan hati lembaga tersebut.
“Habis,
kenapa awak panggil orangtua ni?”
“Awak
takut pada Tok Uda kan.........Kalau takut cakap”
“Dengan
awak, kawan tak takut Amid.”
“Seranglah
!”
“Orang
tua tu ada............”
“Awak
orang gagah berani, mengapa takut....” Dukun Amid terus mengejek-ngejek untuk
menaikkan kemarahan hantu tinggi itu.
Kepala
melayang-layang di udara cuba menerkam ke arah Dukun Amid. Dengan pantas Dukun
Amid mengambil bertih lalu dilimparkan ke arah kepala berkenaan. Bertih itu
menjadi bola-bola besi hinggap menerjah, sampai segenap bahagian kepala itu
berdarah. Tetapi dia tetap bertahan dari serangan Dukun Amid. Dia tidak
kelihatan merasa sakit pun dengan serangan tersebut.
“Bacakan
Ayat Kursi, Amid.........” Dukun Amid terdengar suara Tok Uda Badin
mengiang-ngiang di telinganya. Lantas dia membacanya seperti diarahkan oleh Tok
Uda Badin.
Sebaik
saja dia membaca Ayat Kursi api menyala besar seperti kawah gunung berapi.
Kepala melayang-layang itu tidak dapat mengelakkan diri dari api yang menyala. Bahang
panas itu menyebabkan seluruh mukanya menjadi merah, kulitnya mengerekot,
rambut mengerbangnya habis hangus.
“Cukup
jangan baca lagi Amid.......” rintih kepala itu terawang-awang seperti periuk
tergagang diatas tunku masak. Api terus menyala membakarnya, sedangkan dia
tidak dapat melarikan diri dari api berkenaan.
“Kalau tak
tahan, berambus kau!” perintah Dukun Hamid.
“Kawan
tak tahu jalan...”
“Kenapa
datang kau tahu jalan?”
“Latip
yang bawa”
“Kau
jangan bohong!”
“Memang
Latip bawa aku......”
“Kalau
kau tak tahu jalan, kau tahanlah lagi.......!” kata Dukun Amid membacakan lagi
ayat kursi.
Terjerit-jerit
kepala terawang-awang itu bila api semakin menyala hingga dia tenggelam di
dalamnya. Seluruh mukanya habis hangus dijilat api menyala. Dia terketar-ketar
menahan kesakitan. Ketika ini orang-orang yang menyaksikan Latip Baran nampak
muka Latip Baran semakin banyak memercik peluh. Dia mengelepar ke kiri ke kanan
bagaikan tersiksa menahan kesakitan.
Tok
Uda Badin pula membongkok sedikit merapatkan mulutnya ke telinga Latip Baran.
Dia terus azan pada bahagian telinga kanan Latip Baran. Setiap kalimat azan
berkumandang Latip Baran semakin mengeliat kesakitan.
Dukun
Amid nampak yang mengeliat itu bukan Latip Baran tetapi kepala yang
terapung-apung tidak bertubuh di bawah pokok asam putat. Azan yang
dikumandangkan oleh Tok Uda Badin benar-benar menyeksakan kepala berkenaan.
Kemana saja dia cuba melarikan diri gema azan itu tetap memukulnya
bertalu-talu.
“Ampun
Tok Uda !.. Ampun.......” rintih kepala itu terketar-ketar menahak seksa.
“Aku
tak ampunkan kau. Aku mahu kau tinggalkan Latip!” jerkah Tok Uda Badin keras.
Dukun Amid semakin berani kerana Tok Uda Badin sendiri menentang lembaga
tersebut.
“Aku
tak tahu jalan balik.....” sahut lembaga
itu merayu-rayu.
“Aku
tak peduli sama ada kau tahu jalan atau tak tahu jalan balik “ kata Tok Uda
Badin lebih keras. “Aku tak mahu layan setan. Kalau kau tahan tunggulah
ayat-ayat Allah ini...” ujarnya sambil mulutnya kumat kamit.
Lembaga
itu terjerit-jerit kesakitan, Tetapi Tok Uda Badin tidak menghiraukannya. Dia
terus membaca kalimat-kalimat dari ayat Quran. Seluruh kawasan tempat lembaga
itu bertahan bergegar kuat. Api membakar dari tiap penjuru. Kepala itu
tenggelam dalam nyala api seperti kawah gunung berapi.
Tolong....tolong.....tolong
Tok Uda !” rintih kepala yang terperangkap dalam api marak menyala.
Namun
Tok Uda Badin tidak menyahut. Dia terus membaca kalimat-kalimat Allah. Dia tidak
melayan langsung kata-kata kepala seperti dilakukan oleh Dukun Amid.
“Aku
tak akan terpedaya oleh tipu daya setan.!” Jerkahnya setiap kali kepala yang
terbakar itu merintih meminta pertolongan. Akhirnya kepala itu mengaku akan
pergi dari situ. Dia tidak sanggup lagi menghadapi seksaan yang demikian
dasyat.
“Aku
pergi Tok Uda... Aku pergi. Cukuplah, hentikan membaca ayat-ayat itu. Aku tak
tahan lagi......” katanya terketar-ketar.
“Kalau
nak pergi, pergilah!” sahut Tok Uda Badin tidak menghiraukan rintihan tersebut.
Dukun
Amid dapat belajar dari cara Tok Uda Badin menghadapi hantu tinggi yang
menjelma sebagai kepala sebesar reban ayam itu. Tok Uda Badin terus menyerang
dengan tidak memperdulikan apa saja rintihan lawannya. Kalau dilayan sudah
tentulah lawannya dapat mengelakkan dari terus diserang. Lawannya akan mencari
helah tidak mahu berundur. Inilah tipu daya setan yang tidak dapat memerangkap
Tok Uda Badin.
“Latip
tak patut...” ujar kepala itu lagi merintih-rintih. “Aku dah beri dia
pelindung, tapi tak dijaganya. Aku minta balik dia tak beri. Sebab itulah aku
marah” dia menjelaskan dengan harapan dapat menarik perhatian Tok Uda Badin.
Tetapi
Tok Uda Badin tidak menyahut. Mulutnya terus kumat-kamit membacakan
kalimat-kalimat dari Quran. Api terus marak menyala seperti kawah gunung
berapi. Kepala itu tidak dapat melarikan diri dari disambar oleh api dari
segenap penjuru. Sebahagian kepala itu sudah menjadi bara merah. Sedikit demi
sedikit debu gugur tidak bertahan.
Debu
itu dihembus oleh Tok Uda Badin hingga hilang di udara. Dukun Amid
mengibas-ngibas debu yang berterbangan itu dengan belakang tangannya.
Kira-kira
tengah malam kemnudiannya barulah Latip Baran sedar dari pengsannya. Dia macam
orang bingung tidak tahu apa yang berlaku keatas dirinya. Hampir sebulan
selepas itu barulah Latip Baran pulih betul. Barulah dia dapat mengingat
kejadian yang dialaminya.
Bulu
betis yang didapatinya dari hantu tinggi itu sebenarnya sudah hilang entah
kemana. Dia selitkan celah atap di kepuk padi. Satu pagi apabila dilihatnya,
benda itu tidak ada lagi. Rupa-rupanya benda itu sudah diambil oleh anaknya Din
yang lahir bersama kelongsong dulu. Dia telah membakar benda itu yang
disangkanya ijuk enau.
Pada
mulanya Latip Baran menyangka tidak ada apa-apa masaalah apabila bulu betis itu
hilang. Hinggalah dia diterkam oleh kepala tidak
bertubuh sebesar reban ayam di bawah pokok asam putat di pinggir kubur.
“Jangan
sekutukan Allah dengan yang lain. Hanya dia yang disembah dan kepadanya meminta
pertolongan” Tok Uda Badin mengingatkan dia.
Cerita
mengenai Latip Baran ini diceritakan juga oleh nenek saya. Walaupun kisanya
sudah berlalu terlalu lama, dan Latip Baran itu pun sudah lama meninggal dunia
, tetapi banyak menafaat yang dapat saya fikirkan. Makhluk-makhluk ghaib ini
memang sukar kita lihat dengan pancaindera biasa.
Saya
sendiri tidak mahu bertemu dengan makhluk-makhluk ghaib dari syaitan ini.,
tetapi insya Allah saya tidak akan berundur kalau sudah terpaksa menentangnya.
Segala apa yang diturunkan oleh Tok Uda
Badin pada anak cucunya, saya kira cukup untuk dipergunakan menentang syaitan
selagi berpegang kepada Laillah ha illallah...........
- ----------selesai--------
No comments:
Post a Comment