DI KAMPUNG saya ayam hutan
biasanya dipanggil ayam denak, walaupun di setengah tempat denak itu merupakan
burung pemikat. Ayam denak ini pula menjadi kegemaran kepada Pak Tua saya,
kerana itu dia sering menggalas senapang mengendap ayam denak suka mengekas.
Pak Tua saya ini bernama
Mahat. Di kampung saya memang Pak Tua Mahat terkenal sebagai seorang pemburu.
Sedikit sebanyak saya belajar juga kepadanya ilmu perburuan. Pak Tua Mahat ini
ialah anak nenek saya yang tua.
Ketika arwah nenek saya
masih ada hayat lagi pun, nenek tidak marah kalau saya belajar apa-apa pun dari
Pak Tua Mahat. Tetapi yang mengherankan saya, sejak belajar ilmu berburu dari
Pak Tua Mahat saya memang mengamalkan apasaja yang di suruhnya.
Anehnya, setiap kali saya
masuk ke hutan untuk memburu bersama kawan-kawan, saya tidak pernah berhasil
mendapat binatang buruan. Seorang kawan saya bernama Deraoh selalu meminjam
senapang ayahnya masuk ke hutan. Walaupun perbuatannya salah dari sisi
undang-undang kerana menggunakan senjata api ayahnya, tetapi demikianlah cara
hidup kami di kampung-kampung pendalaman.
Yang penting ialah menjaga
keselamatan. Pernah juga seorang kawan saya tertembak ketika memburu pelanduk.
Tetapi apabila dimasukkan ke hospital ketua kampung telah menolong kami dengan
memujuk pihak hospital supaya tidak melaporkan kepada pihak polis. Dan kawan
saya itu di katakan terkena buluh runcing.
Deraoh ini memanglah mahir
dalam perkara berburu. Belum pernah dalam sejarah perburuannya tidak berhasil
memperolhi binatang buruan. Tetapi setiap kali dia mengajak saya ke hutan,
nasibnya agak malang. Seekor pelandok pun tidak ditemui.
Akhirnya baru saya dapat
tahu bahawa Pak Tua Mahat sudah mengajar saya ilmu ‘pelengang’ dan bukannya
ilmu perburuan. Ilmu pelengang yang diajar oleh Pak Tua Mahat ini bertujuan
menghindarkan dari sebarang binatang buas mendekati kita apabila masuk ke
hutan. Bagaimana pun kerana amalan yang dibuat itu meliputi semua binatang
hutan, maka binatang-binatang yang jadi perburuan pun tidak mendekati.
Setelah kawan-kawan tahu
saya menggunakan ‘pelengang’, maka mereka tidak mahu lagi mengajak saya ke
hutan. Kalau mereka pergi pun, mereka terpaksa menyembunyikan dari saya.
Tiba-tiba esoknya mereka mengirimkan saya daging pelanduk hasil buruan mereka.
Saya cuba
membuang’pelengang’ ini kerana tidak mahu diketepikan oleh kawan-kawan apabila
mereka masuk berburu kehutan. Tetapi Pak Tua Mahat memberitahu adalah lebih
baik ‘pelengang’ dari ilmu menyeru binatang-binatang hutan datang.
“Ilmu berburu bermacam-macam,
pelengang juga ilmu berburu iaitu supaya kita dijauhi musuh,” ujar Pak Tua
Mahat. “Kalau kita sudah boleh menyeru binatang datang, tak perlu lagi masuk ke
hutan. Kita boleh seru dari rumah saja,” katanya menasihatkan saya.
Rupa-rupanya saya mendapat
tahu Pak Tua Mahat sengaja tidak mahu mengajar saya ilmu perburuan yang
sebenarnya. Ilmu perburuan yang ada pada Pak Tua Mahat itu mempunyai banyak
dugaan. “Binatang-binatang di hutan banyak badinya memakan diri sendiri,” jelas
Pak Tua Mahat bila saya mendesak dia supaya mengajarkan saya ilmu-ilmu lain
mengenai perburuan.
Dari cerita emak saya, ada
sesuatu rahsia pada diri Pak Tua Mahat menyebabkan dia tidak mahu menurunkan
ilmu perburuannya kepada anak-anak muda. “Binatang-binatang di hutan itu pun
ada gembalanya,” beritahu emak saya. “Kalau kita tidak tahu gembalanya,
tentulah gembalanya akan memusnahkan kita. Lebih baik jangan dituntut saja
ilmu-ilmu macam itu,” emak saya menasihatkan saya.
Nampaknya sikap emak ini
sama juga seperti nenek. Tetapi anak-anak muda yang tinggal di kampung
pendalaman seperti saya ketika itu, tentulah tidak selesa kalau tidak menuntut
ilmu-ilmu demikian. Kalau hendak menuntut ilmu moden di university, pelajaran
saya tidak seberapa. Jadi, ilmu-ilmu tradisional seperti inilah yang sesuai
bagi diri saya.
Satu ketika dulu, kata emak
saya, Pak Tua Mahat sudah mengalami keadaan yang memilukan hatinya. Hanya
ketabahan dia saja dapat menyelamatkan segala-galanya.
Pak Tua Mahat itu anak
nenek saya dengan suaminya yang pertama. Setelah Pak Tua Mahat berumur
kira-kira dua belas tahun, barulah nenek berkahwin dengan aki saya iaitu ayah
kepada emak saya. Semasa Pak Tua berkahwin , emak saya masih anak-anak lagi.
Sebagai anak muda kampung,
Pak Tua Mahat rajin mempelajari ilmu-ilmu kebatinan. Kepada siapa dia menuntut
nenek saya tidak ambil peduli sangat. Aki juga tidak hiraukan sangat apakah
ilmu-ilmu yang di tuntutnya. Selalu juga nenek perhatikan Pak Tua Mahat
membakar kemenyan di tengah-tengah malam.
Apabila sudah berkahwin,
Pak Tua Mahat berpindah tinggal di rumah isterinya. Di sinilah kejadian yang
mengerikan itu berlaku.
Pagi-pagi lagi Pak Tua
Mahat sudah menggalas senapang mengendap ayam denak ke hujung kampung.
Kebetulan dia mendapat senapang itu dengan pertolongan OCPD seorang pegawai
kulit putih, kerana Pak Tua Mahat bekerja sebagai pemandu kapal korek sebuah
perlombongan kepunyaan syarikat kulit putih.
Pengurus syarikat
perlombongan itulah yang meminta OCPD berkenaan memberikan senapang patah
kepada Pak Tua Mahat. Sementara itu Pak Tua Mahat pula setiap kali pergi
berburu, dia tidak akan lupa menghadiahkan sebahagian hasil buruannya kepada
pengurus lombong dan OCPD itu.
Dengan ini dia sangat
disayangi oleh pegawai-pegawai kulit putih itu.
Pada pagi berkenaan dia
tidak bekerja seperti biasanya. Pak Tua Mahat bercadang untuk mengendap ayam
denak, kerana beberapa hari sebelum itu Mak Tua Siah ada memberitahunya tentang
bunyi ayam denak berkokok di belukar kubur.
Sampai saja di belukar Pak
Tua Mahat menjejak kesan tanah yang dikekas oleh ayam denak. Dia terus menyusur
hingga sampai ke pinggir bukit yang bersempadan dengan hutan besar. Ketika dia
sampai ke sepohon pokok medang terdengar olehnya kokok ayam denak.
Pak Tua Mahat
mengamat-amati bunyi kokok itu dari arah mana datangnya. Apabila dia menyusup
belukar senduduk dekat pohon medang itu, dia nampak seekor ayam denak jantan
bertenggek di atas akar yang berjuntaian dari pokok enau.
“Huh, siapa nak nahas ni,
kau atau aku…..?” bisiknya bila melihat ayam tersebut bertenggek di atas akar
atau di atas busut, itulah tandanya dia mahu memakan korban.
Tetapi Pak Tua Mahat sudah
yakin, bahawa dirinya cukup mempunyai ilmu mempertahankan diri dari gangguan
puaka-puaka hutan seperti itu.
“Kalau belum geruh ku,
sia-sia saja kau…..” dia mengangkat senapang mahu membedek. Ayam denak itu
masih juga berkokok sambil mengirai-ngirai bulu di atas akar berjuntaian di
pokok enau yang berhampiran dengan pokok terap.
Pak Tua Mahat masih belum
dapat menembak kerana kedudukan ayam itu terlindung sedikit oleh daun terap.
Dia tidak mahu bergerak dari situ ditakuti ayam denak itu terbang jauh apabila
terdengar bunyi daun-daunterap kering dipijak.
Daun terap kering yang
gugur di bumi memang kuat bunyi gemersiknya kalau dipijak. Sebab itulah Pak Tua
Mahat terpaksa berhati-hati supaya ayam denak itu tidak terbang. Dia sudah
nekad mahu menembaknya walaupun ayam itu bertenggek di atas akar atau pun
busut.
Mengikut petuanya dia tidak
boleh mengelak lagi kalau sudah bertemu kedudukan ayam tersebut demikian. Mahu
tidak mahu dia mesti menembak juga. Perkara geruh adalah soal lain.
“Kau nak bagi aku geruh ye!
Belum tahu lagi siapa geruh siapa tidak!” rungutnya membedek betul-betul kearah
ayam denak bertenggek.
Marah benar hati Pak Tua
Mahat mendapat alamat demikian. Belum pernah dia diduga seperti itu. Kalau ada
pun dugaan yang dihadapi hanya tidak seberapa. Dia dapat mengatasi dugaan itu
dengan mudah. Tetapi apabila bertemu saja ayam denak sudah bertenggek di atas
akar,bukanlah dugaan kecil lagi.
“Aku tak akan geruh, kau
yang geruh nanti,” rungutnya dengan harapan ayam denak itu turun ke tanah
mengekas.
Tetapi ayam itu tidak juga
turun ke tanah mengekas, Dia tetap mengirai-ngirai kepak sambil berkokok
nyaring macam mencabar Pak Tua Mahat. Ekornya yang menghala kearah muka Pak Tua
Mahat terjongket-jongket menyebabkan Pak Tua Mahat semakin meradang.
Setelah puas menunggu ayam
itu turun mengekas ke tanah, tetapi tidak juga mahu turun, maka Pak Tua pun
melepaskan tembakan. Sebaik saja tembakan itu dilepaskan, sekaligus ayam denak berkenaan
menjunam ke bawah. Dia menggelupur di celah-celah daun terap kering yang
berserakan di tanah.
Semasa Pak Tua menerkam
untuk menyembelihnya didapatinya tidak ada ayam yang menggelupur tadi.
Bulu-bulunya saja bertaburan dengan tetesan darah pekat melekat pada daun-daun
terapdi situ.
“Ah, geruh aku,” bisik hati
Pak Tua Mahat melihat bulu-bulu ayam denak bertaburan, tetapi ayam yang
ditembaknya tidak ada di situ.
Dia menghunus parangnya
lalu ditikam ke tanah ditempat terdapat kesan tetesan darah itu. Kemudian dia
mengambil anak-anak kayu secekak untuk ‘mengebas’ mengikut petua yang
dipelajarinya. Belum pun sempat dia sampai semula ke tempat parang dicacak tadi
tiba-tiba dilihatnya seorang lelaki tua berpakaian serba hitam berdiri di situ.
“Hah, hari ni geruh awak
Mahat,” kata orang tua itu terketar-ketar.
Berdebar juga hati Pak Tua
Mahat menghadapi keadaan yang tidak di duganya itu. Dia merenung lelaki tua itu
tepat-tept. Kaki orang tua itu tidak cecah ke bumi, manakala mukanya tidak
berapa jelas kerana terlindung dibalik tutup kepalanya.
“Macam mana Mahat?”
tanyanya macam menyindir.
“Perkara geruh bukan
perkara kita To’ Pawang,” ujar Pak Tua Mahat tidak bergerak dari tempatnyua
berdiri. “Tetapi, kalau dah nak geruh siapa pun tak boleh mengelak. Kalau geruh
kawan binasalah kawan, kalau geruh To’ Pawang binasalah To’ Pawang….” Tegasnya
bercampur bimbang.
“Salah awak Mahat, awak
ambil hak kawan tak minta izin pun,” orang tua itu mengingatkan.
“Salah kawan yang awak
nampak, salah awak, awak tak nampak ke?” Pak Tua Mahat menggertap bibir.
“Nak berdalih apa lagi
Mahat,” kata lelaki tua itu tersengih-sengih. “Awak yang ambil hak kawan.
Bagaimana jkalau kawan ambil hak awak pula?” soalnya macam mencabar Pak Tua
Mahat.
“Kalau awak berani cubalah.
Soal geruh ni tak kira kawan, tak kira awak. Siapa geruh dialah binasa. Kalau
awak nak merasa geruh cubalah tunjukkan jantan awak,” sahut Pak Tua Mahat
“Nampaknya awak dah tunjuk
takbur, Mahat,” suara orang tua itu terketar-ketar tetapi menggerunkan.
Sebenarnya Pak Tua Mahat
sudah tahu orang tua itu sebenarnya hantu badi ayam denak iaitu merupakan salah
satu puaka hutan. Dia tidak boleh lagi undur ke belakang bila sudah terserempak
dengan puaka berkenaan.
Geruh Pak Tua Mahat sudah
ada di depannya. Mahu tidak mahu dia terpaksa menghadapinya. Undur atau mara,
geruh tetap geruh. Dalam keadaan demikian hanya kecekalan hati saja yang boleh
menolong. Dia berserah kepada Allah untuk melindunginya dari bahaya yang sudah
menunggu.
“Kawan tak minta
pertolongan awak To’ Pawang kawan minta perlindungan dari Allah,” kata Pak Tua
Mahat masih tidak bergerak dari tempat dia berdiri.
“Kawan tau, awak dah mula
main-mainkan kawan. Hah, ni geruh geruh awak dah sampai,” sindir puaka itu lagi
yang menjelma sebagai orang tua.
“Geruh siapa belum tau lagi
To’ Pawang. Kalau geruh kawan, kawan binasalah. Kalau geruh awak, nanti awak
pula binasa,” dia mengejek.
Pak Tua Mahat cekalkan hati
menghadapi dugaan tersebut. Di kampung saya Pak Tua Mahat bukan saja terkenal
sebagai pawang berburu, tetapi juga seorang ahli agama yang kuat beribadat.
Disinilah kelebihan Pak Tua
Mahat. Walaupun dia mempunyai ilmu kebatinan orang Melayu, tetapi dia banyak
menggunakan ayat-ayat quran. Ada juga orang-orang kampung mengatakan Pak Tua
Mahat seorang dari murid ahli tasauf yang terkenal di daerah saya.
Sejauh mana kebenarannya
tidaklah saya tahu. Bagaimanapun seperti yang diceritakan oleh emak saya, Pak
Tua Mahat ini hanyalah seorang pawang berburu. Kejadian yang menimpa Pak Tua
Mahat itu masih dapat di ingat oleh emak saya.
Ketika berdepan dengan
hantu badi ayam denak itu, Pak Tua Mahat tidak berhenti-henti membaca jampi
serapahnya. Pertengkarannya dengan hantu badi itu hanya dia saja yang
mengetahuinya. Cerita dia bertemu dengan hantu badi itu tidaklah berakhir di
situ saja, tetapi terus samjpai ke rumah juga. Di sinilah rahsia dia bertentang
dengan badi ayam denak itu diketahui orang.
“Awak yang salah, Mahat,”
sahut oang tua itu terketar-ketar.
“Salah kawan aje awak
nampak. “Pak Tua Mahat tersengih-sengih. “Salah awak selama ni, awak nak pejam
mata aje,” katanya mengerling mata parang yang terbenam di tempat ayam denak
jatuh tadi. Selagi mata parang itu tercancang di situ, dia tahu hantu badi itu
tidak boleh melakukan apa-apa kepadanya.
“Kawan nak hak kawan…” ujar
badi hantu tercegat di situ dengan kaki tidak jejak ke tanah. “Awak dah ambil
hak gembala kawan, takkan nak ambil percuma,” katanya terbatuk-batuk.
“Yang ni hak kawan, yang
gembala awak memang kawan tak usik. Kalau awak nak berunding boleh, tapi kalau
nak ugut, kawan amuk awak,” sahut Pak Tua Mahat.
“Nampaknya keras sangat
hati awak Mahat,” orang tua itu tersengih-sengih.
“Kalau awak berkeras, kawan
berkeras juga To’ Pawang!” Pak Tua Mahat tidak mahu menyerah kalah. Dia mara ke
depan sambil menggenggam ranting anak-anakl kayu yang sudah dicekaknya tadi.
“Kawan mesti hendak juga
hak kawan,” rintih orang tua itu sebaik saja Pak Tua Mahat nerdiri dekatnya.
Pak Tua Mahat tidak peduli
lagi apa pun yang orang tua itu mahu katakan. Puaka hutan tersebut tidak boleh
dilayan. Dalam petuanya memang hantu atau puaka tidak boleh dilayan bercakap.
Kalaudilayan bercakap semakin memberangsangkan dia.
Pak Tua Mahat membuka lilit
kepalanya kain berwarna hitam. Kemudian kain itu diikatkan pada ranting
anak-anak kayu. Cepat-cepat dia menyebatkan ranting anak-anak kayu itu ke muka
orang tua berkenaan. Dia mendengar orang tua itu jenjerit kesakitan.
“Awak yang mungkir janji,”
sahut Pak Tua Mahat marah sambil mengibas-ngibas ranting anak-anak kayu ke
tubuh orang tua berkenaan. “Awak tak tau yang mana hak kawan, yang mana hak
awak. Ayam gembala awak jagalah baik-baik, jangan di lepaskan. Mana yang lepas
tu rezeki kawan. Bukanlah macam itu janji awak dengan kawan…” tangannya terus
mengibas-ngibas ke atas ke bawah sekuat hati.
Tiba-tiba darah memercik
dari tubuh orang tua tersebut di bahagian yang disinggahi ranting anak-anak
kayu itu. Dia menggelupur seperti orang dalam kesakitan sangat. Kemudian
tersungkur di atas daun-daun terap kering dengan darah memercik.
“Kawan hendak juga hak
kawan, kawan hendak juga…” rintih badi hantu yang menyerupai oang tua itu. Dia
menggelupur-gelupur di dalam daun terap kering berserak-serak di bumi.
Perlahan-lahantubuh orang tuahilang, lalu menjelmalah ayam denak yang di tembak
oleh Pak Tua Mahat tadi.
Dengan tidak bertangguh Pak
Tua Mahat pun menyembelih ayam tersebut.
Semasa dia menyembelih itu,
Pak Tua Mahat masih dapat mendengar rintihan orang tua tersebut.
“Mentang-mentang awak anak cucu Pawang Akir,awak langgar bahasa dengan kawan
ye. Kawan nak juga hak kawan,” rintihnya semakin lama semakin menghilang.
Setelah semuanya dapat
dipulihkan semula, Pak Tua Mahat pun baliklah ke rumah. Dia sampai ke rumah
kira-kira pukul 11 pagi, didapatinya orang ramai berkumpul di rumahnya. Berebar
juga hati Pak Tua Mahat bila melihat keadaan demikian.
“Hai, geruh juga aku
nampaknya. Tak dapat tanduk, telinga dipulasnya juga,” katanya perlahan.
Kalaulah benar seperti apa yang diduganya, dia terpaksa juga menghadapinya
dengan cekal. Ketika ini pada zahirnya, dia tidak akan berakap sepatah pun
dengan orang ramai.
Pak Tua Mahat mengesat air
matanya sambil memerhatikan orang ramai yang datang berkumpul.
“Kau memang degil, Mahat,”
pekik ibu mertuanya Cu Limah sebaik saja Pak Tua Mahat sampai di kaki tangga.
Walaupun orang ramai menyabarkan Cu Limah, tetapi dia terus menyerbu kearah Pak
Tua Mahat sampai di kaki tangga. Walaupun orang ramai menyabarkan Cu Limah,
tetapi dia terus menyerbu kearah Pak Tua Mahat. “Berapa kali aku cakap, jangan
berburu ke hutan, kau degil juga. Puaslah hati kau, tengok anak kau tu dah
terbujur….” Cu Limah mengongoi-ngongoi menangis kerana kehilangan cucu
kesayangannya.
Sebaik mendengar saja
kata-kata emak mertuanya Pak Tua Mahat tidak jadi melangkah naik ke rumah. Dia
tidak akan melihat muka anaknya yang di katakana sudah terbujur oleh emak
mertuanya itu. Dengan tidak bercakap sepatah pun, Pak Tua Mahat menjerang air
panas untuk merendam ayam denak tadi.
Selepas air mendidih
dituangkannya ke dalam kuali. Ayam denak siap disembelih dimasukkan ke dalam
air panas berkenaan. Dia mencabut bulunya, kemudian menyiangnya untuk di gulai.
Orang-orang kampung yang
berkumpul melihat saja kelakuan Pak Tua Mahat hendak menggulai ayam denak itu.
Sepatah pun dia tidak bercakap walaupun dimaki hamun oleh Cu Limah. Dia tidak
peduli pun fasal orang berkumpul menziarahi anaknya yang mati secara tiba-tiba.
Sambil dia menumbuk lada
dan memarut kelapa, dia masak nasi. Sebaik saja air nasi kering, dia siap
memerah santan. Dia tidak menyuruh isterinya Mak Tua Siah membantu dia.
Kononnya kata emak saya,
semasa Pak Tua Mahat menembak ayam denak dihutan, anaknya itu sedang bermain
dengan kawan-kawannya sebaya di halaman rumah. Itulah seorang anak Pak Tua
Mahat baru berumur empat tahun, bernama Suhur. Kerana cucu seorang itulah Cu
Limah terlalu memanjakannya.
Sedang bermain-main itulah
Suhur tiba-tiba pengsan terbeliak mata. Mulutnya berbuih-buih sambil
menggelupur-gelupur seperti ayam denak kena tembak. Bila Cu Limah diberitahu
tentang penyakit ganjil Suhur, dia sudah menduga bahawa Suhur kena badi
binatang hutan.
Sebab itulah dia terlalu
marah dengan Pak Tua Mahat. Sudah selalu dia menasihatkan Pak Tua Mahat supaya
berhenti memburu ke hutan. “Lambat laun akan memakan diri sendiri juga.
Barang-barang hutan tu berpuaka…” dia mengingatkan Pak Tua Mahat.
Tetapi Pak Tua Mahat tetap
berkeras. Dia pergi juga ke hutan berburu. Apabila berlaku kejadian tersebut
pada Suhur, cepat sajalah hati Cu Limah terbakar mengenangkan kedegilan Pak Tua
Mahat.
ApabilaSuhur dibawa naik ke
rumah tubuhnya sudah lembik. Mulutnya keluar darah pekat. Dia mati sebelum
sempat Cu Limah memanggil Dukun Busu. Ketika Dukun busu sampai, Suhur sudah
menghembuskan nafas. Dari telekan Dukun Busu nyatalah Suhur ‘bertukar nyawa’
dengan ayam denak yang ditembak oleh ayahnya.
“Kalau sempat aku sampai,
boleh juga aku cuba menolong,” kata Dukun busu memerhatikan Pak Tua Mahat
memasak di dapur.
Di atas rumah orang ramai
cuba menenangkan Cu Limah. Mulutnya becok tidak berhenti-henti memaki-hamun Pak
Tua Mahat. Dia tidak peduli lagi walaupun nenek saya iaitu besannya ada di
situ.
“Cucu awak, cucu kawan
juga. Sabarlah, besan….” Pujuk nenek yang tersinggung dengan sikap Cu Limah
memaki hamun Pak Tua Mahat itu.
Orang-orang kampung juga
tidak menghiraukan sangat keributan dalam keluarga. Masing-masing membuat
kerja-kerja yang patut dilakukan. Ada yang ke kubur menggali kubur, ada yang
menyediakan papan gendeng lahad, ada yang menyediakan kain kapan.
Pendek kata mereka tidak
ambil peduli tentang kekecohan anak beranak itu. Kalau asyik dengan meleraikan
orang berkelahi anak beranak, satu kerja pun tidak boleh siap.
Pak Tua Mahat juga tidak
menghiraukan orang ramai yang datang berkumpul. Dia mendiamkan diri saja
mendengar maki hamun dari mertuanya Cu Limah. Emak saya pula disuruh oleh nenek
membaca quran di sisi mayat Suhur yang sudah di bujurkan.
Setelah siap memasak, Pak
Tua Mahat menghidangkan di dalam dulang. Kemudian mengangkat hidangan itu ke
sisi mayat Suhur yang terbujur. Melihatkan keadaan demikian, emak saya terpaksa
berundur jauh dari situ. Nenek juga menyuruh emak saya beredar supaya tridak
mengganggu Pak Tua Mahat.
Perlahan-lahan Pak Tua
Mahat meletakkan hidangan di sisi mayat Suhur. Orang-orang kampung menjadi
heran dengan kelakuan Pak Tua Mahat itu. Malah Dukun Busu juga ikut sama
keheranan.
Kemudian Pak Tua Mahat
menyelak kain yang menyelubungi mayat anaknya. Dia menampar-nampar pipi anaknya
perlahan seperti mengejutkan orang dari tidur.
“Suhur, Suhur…….bangun kau.
Mari, marilah…”katanya berulang kali.
Tiba-tiba emak saya melihat
Suhur bangun seperti orang bangun dari tidur. Mereka berdua beranak pun memakan
hidangan yang disediakan itu. Semua orang yang melihat kejadian itu
tercengang-cengang sama sendiri. Tiga hari lamanya selepas kejadian itu Pak Tua
Mahat tidak mahu bercakap sepatah pun dengan sesiapa saja.
Agaknya kerana kejadian
tersebutlah Pak Tua Mahat tidak mahu mengajarkan saya ilmu berburu yang ada
padanya. Sehinggalah dia meninggal dunia dua tahun lalu, saya masih tidak
diajarnya ilmu berkenaan.
SELESAI
Adakah citer nie dari tok awang ngah...sebab penulisan citer nie lain sejak dari kisah bunian tu...
ReplyDeleteMemang cerita ini ada lah dari buku yang sama ,,, Entah kenapa ia lari dari tahuk bukunya mengenai orang bunian
Deletebapak saya peminat no 1 siri cerita bercakap dengan jin.. dye sorang jaa pham
ReplyDeleteItu cerita Tamar Jalis siri bercakap dengan jin tu ,,, Ini cerita Tok Awang Nganh
Deletepetua ni sama macam diceritakan oleh seorang pak cik yang selalu berburu ayam denak.
ReplyDeleteMemang begitu ... saya pun seorang pengankap ayam hutan ,... teta[i belakang rumahje
DeleteBest la blog ni. Bersambung ke kisah seterusnya. Huhu.
ReplyDeleteBest. Next story. Nk dgr cite pde mlut org lme ni pyh. Kte bce je dari blog. Hehe
ReplyDeleteBest la blog ni. Bersambung ke kisah seterusnya. Huhu.
ReplyDelete