Sunday, September 13, 2015

141. JIN JELMAAN DI DALAM GELAP



BALIK sahaja dari Bukittinggi saya terus menemui ayah saya di kampung, disebabkan ada buah tangan dikirimkan oleh Mamak Bandaro. Hanya sebentar sahaja singgah di rumah kerana meng-ajak isteri saya sama balik ke kampung. Memang banyak tempat juga saya dibawa oleh Mamak Bandaro menjengah sanak saudara di sana, sekalipun tidak sempat ke Bangkinang.
Apabila diberitahu kepada ayah saya mengenai Mamak Melano di Kapur Sembilan dekat Bangkinang, cepat-cepat dia mengambil surat-surat yang sekian lama disimpan baik-baik dalam laci almarinya. Dia membuka semula semua sampul surat itu dan membacakan isi kandungan surat berkenaan di depan saya.
Terbayang di wajahnya akan keinginan mahu menemui abangnya yang jauh di seberang, malah tidak pernah bersua muka. Hanya beberapa keping poskad gambar Mamak Melano ditatapnya yang dikirimkan dari sana. Tentu keinginan itu juga sama terpendam di hati Mamak Melano, setelah sekian lama berutusan surat.
Tetapi Mamak Bandaro dan Darwis sudah berjanji akan mengusahakan supaya mereka dua beradik akan dapat ditemukan. Darwis juga berharap datuknya Mamak Melano akan jejakkan kaki di tanah Semenanjung, sekalipun ayah saya tidak dapat menjengah sanak saudara di Kapur Sembilan.
"Ah, ramai saudara mara kita di sini pun jarang bertemu," ujar emak saya semacam tidak menyenangi sekiranya ayah saya seringkali ingatkan saudara mara di Sumatera.
"Bukannya sikit belanja kalau ke sana," dia mencemik muka menyindir ayah saya.
"Bukannya aku nak ke sana!" lantas ayah saya mencebek bibir disebabkan tersinggung. Marah juga dia kalau diungkit mengenai hubungan kekeluargaannya yang terputus selepas kematian arwah Tok Aji. Dia percaya sekiranya Tok Aji masih hidup tentulah orang tua itu akan berusaha merapatkan kembali hubungan itu.
"Tengok Uda Lajis, datang juga dia cari keluarga di sini," emak saya beritahu mengenai Uda Lajis yang balik ke kampung itu berkahwin dengan saudara sendiri untuk merapatkan semula hubungan keluarga.
Bertahun-tahun Aki Amid melarikan diri ke Pahang se-telah berselisih faham dengan kaum keluarga di kampung. Sampai dia berkahwin di Pahang mendapat beberapa orang anak pun, Aki Amid tidak jejak kaki ke kampung lagi. Merajuk benar dia disebabkan tersinggung apabila tanah miliknya dijual kepada ayah saya oleh dua orang abangnya yang mempunyai nama dalam satu geran.
Tetapi ayah saya berikan juga bahagian Aki Amid kepada Uda Lajis sekalipun geran tanah berkenaan tidak boleh dipecahkan. Biarlah Uda Lajis mewarisi semula bahagian yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya.
Ketika Aki Amid melarikan diri ke Pahang, memang siapa pun tidak tahu ke mana meng-hilangnya. Setelah dia uzur benar baru dia menghubungi ayah saya dengan menulis surat. Terkejut juga ayah saya apabila dihubungi oleh Aki Amid setelah bertahun-tahun dia meninggalkan kampung halaman.
Memang ayah saya kunjungi juga Aki Amid disebabkan uzurnya semakin teruk. Dia kenal-kan anaknya Uda Lajis kepada ayah saya supaya carikan jodoh di kampung.Kesal juga dia disebabkan lama meninggalkan kampung halaman. Sebab itulah dia harapkan Uda Lajis meng-hubungkan semula dirinya dengan sanak saudara di kampung.
"Aki Amid dulu mudah sangat tersinggung," keluh ayah saya apabila kenangkan sikap Aki Amid hinggakan meninggal dunia pun tidak sempat jejak kaki balik ke kampung. Tetapi ayah saya penuhi juga permintaan dia supaya jodohkan Uda Lajis dengan sanak saudara di kampung.
Sebab itulah Uda Lajis menumpu ke rumah saya kalau mahu mengadukan apa-apa pun masalahnya. Dia sudah anggap ayah saya sama juga seperti Aki Amid yang boleh digantungkan harapan. Apalagi kalau mendengar saya balik ke kampung nescaya Uda Lajis akan datang berkunjung. Dia sanggup sengkang mata sampai jam 2.00 pagi tercokok berbual hingga terkuap-kuap menahan mengantuk. Kadangkala dia akan terlelap juga sampai subuh baru balik ke rumah.
Memang Uda Lajis tahu sangat mengenai ayahnya yang dikatakan keras hati sampaikan orang-orang kampung terkilan dengan sikapnya. Tetapi Aki Amid tidak peduli apa pun sekiranya dia sekeluarga tidak dipedulikan oleh orang-orang kampung.
Dia sanggup menyenseng lengan baju kalau permatang sawahnya dipokah orang dengan tidak bersebab. Bila-bila dia akan menyergah sesiapa pun kalau tapak semaiannya diserbu kambing ternakan orang. Biarlah orang tuduh dia jadi ayam jantan berkokok di halaman orang, asalkan keluarganya tidak dipermain-mainkan.
Sampaikan jiran dekatnya Ngah Latih pun dicekak leher apabila menebang pokok pinang di sempadan tanah jatuh menimpa reban ayamnya. Sebab itulah Ngah Latih menuduh dia keras kepala datang ke kampung orang. Tetapi Aki Amid akan tentang siapa sahaja kalau tuduh dia menumpang di kampung halaman orang, kerana dia tidak pernah meminta-minta.
Tanah tapak rumahnya dibeli dengan titik peluhnya setelah bekerja kuat di estet. Masakan dia menumpang kalau tanah berkenaan dibelinya sendiri. Jangan cuba siapa pun perkecilkan dia fasal menetap di kampung berkenaan.
Hingga Ngah Latih meno-long tengah malam akibat dipatuk ular tatkala batik dari surau, tiba-tiba sahaja Aki Amid terjongol. Dia tidak peduli fasal Ngah Latih marahkan dia disebabkan dicekak leher semasa menebang pokok pinang hingga tumbang menimpa reban ayamnya. Tatkala Ngah Latih memerlukan pertolongan dia wajib datang membantu.
Perkara bermusuh tidak akan berlanjutan menjadi dendam pada Aki Amid. Dia akan berang tatkala hati tengah panas menahan kemarahan yang memuncak, tetapi dia akan kembali melupakan segalanya setelah semua berlalu. Sebab itu dia sanggup jengah Ngah Latih setelah diberitahu oleh Andak Sumi mengenai suaminya dipatuk ular.
Lagipun Andak Sumi sepupu isterinya Melah Kebok, tentulah tidak sampai hati Aki Amid membiarkan Ngah Latih mengerang-erang kesakitan sepanjang malam. Apa lagi mahu dibawa ke hospital, siapa yang sanggup mengusung dengan basikal sampai berpuluh-puluh batu ketika itu?
Ketika perintah orang putih bukan takat hospital sahaja jauh dari kampung terperosok demikian, marah jalan juga dikelilingi belukar padat. Masakan mereka larat mahu mengusung Ngah Latih ke hospital setelah dipatuk ular semasa balik dari surau.
Dia sendiri tidak menyangka bayang hitam di depannya ular tengah melintang jalan. Sebaik sahaja kakinya terdorong ke hadapan tidak bertangguh ular itu mematuk sampai melekat taring ke betis. Ketika dipatuk memang Ngah Latih merasa sakit di bahagian taring ular itu melekat sahaja. Apabila tengah malam baru dia terasa bisanya menyenak sampai ke pangkal paha.
Sebab itulah Andak Sumi menyerbu ke rumah Aki Amid jirannya yang paling dekat. Dia percaya Aki Amid tidak akan berdendam sekalipun suaminya bermasam muka sebelum itu. Melah Kebok juga mendesak suaminya segera menjengah kerana tidak mahu menghampakan sepupunya itu.
"Ambil garam dulu," perin-tah Aki Amid sebaik sahaja melihat bekas patukan ular di betis Ngah Latih. Tidak bertangguh Andak Sumi berkejar ke dapur ambilkan garam.
Apabila disuruh oleh Aki Amid gigit garam berkenaan, Ngah Latih tidak membantah. Dia menggigit garam berkenaan sementara Aki Amid membakar kemenyan sambil mengusap-usap buntat hitam yang berbungkus kain kuning di tangannya.
Dalam beberapa minit sahaja Andak Sumi nampak beberapa ekor ular tedung senduk naik ke rumah menyebabkan dia terkejut tidak keruan. Apabila ular berkenaan melenggok-lenggok kepala bagaikan menggeleng, lantas Aki Amid menyuruhnya segera tinggalkan rumah. Tidak bertangguh ular-ular berkenaan menyerbu ke pintu terus hilang dalam kegelapan malam.
Lama Aki Amid mengusap-usap buntat di tangannya tiba-tiba sahaja dia menampar lantai. marah benar dia sambil merenung tajam ke pintu apabila ular yang diseru menjelma tidak naik ke rumah.
"Kalau kau tak mahu dipanggil, aku akan buat jalan keras!" Aki Amid menggertap bibir lantas mengisar buntat di atas tapak tangan. Ketika ini Andak Sumi nampak tapak tangan Aki Amid berasap laksana bara api disimbah air.
Puas dia mengisar buntat di tangan, barulah seekor ular sebesar lengan berwarna hitam berkilat naik di kepala tangga. Ular hitam itu mengangkat kepala sebaik sahaja sampai di depan Aki Amid dengan lehernya kembang bagaikan bunga teratai.
"Sekarang kau mahu baik atau buruk?" bentak Aki Amid tidak berganjak dari tempat duduknya, sekalipun Andak Sumi sudah berundur berlindung di belakang Melah Kebok.
Ular itu bergerak mahu mematuk ubun-ubun Aki Amid, tetapi terpelanting jatuh ke lantai seolah-olah getah melantun tertampan ke dinding keras. Tiga kali ular itu bingkas bangun mahu mematuk ubun-ubun Aki Amid, tetapi dia tergolek ke lantai seolah-olah kepalanya dihenyak kuat.
"Kalau kau berkeras, memang kau lagi teruk!" keras Aki Amid mengancam terus menunjukkan buntat hitam itu. Sekaligus pula kilauan memancar dari buntat berkenaan menyambar kepala ular tersebut.
Perlahan-lahan ular itu bingkas bangun dengan terhuyung-hayang mendekati Ngah Latih yang mengerang-erang sakit. Kemudian ular itu segera mematuk di bahagian bekas gigitannya sampai lima minit. Ketika ini Andak Sumi nampak tubuh ular itu bertukar warna menjadi biru lebam. Sebaik sahaja gigitannya terlepas dari betis Ngah Latih ular itu menggelepar terus menyerbu ke tangga.
Aki Amid tidak peduli lagi mengenai ular berkenaan sebaik sahaja hilang dalam kegelapan malam. Setelah ular tersebut menyelinap lari, Ngah Latih tidak lagi mengerang-erang sakit. Dia mula lelapkan mata tertidur akibat keletihan menahan kesakitan yang menyenak sampai ke pangkal paha.
Esok paginya baru Andak Sumi melihat bangkai ular tedung tergelimpang di tengah halaman dengan tubuhnya pecah-pecah laksana kain terkoyak. Tidak berani dia mahu mengheret bangkai ular itu dibuang ke sungai. Terpaksalah dia meminta bantuan Uda Lajis buangkan bangkai ular tersebut ke sungai.
Semenjak itu pula Ngah Latih berbaik-baik semula dengan Aki Amid. Kalau diminta menyeraya gotong royong melunggah sawah Aki Amid, bila-bila dia sanggup bersama. Bukan takat Ngah Latih dipatuk ular sahaja Aki Amid sanggup datang menjengah, Mail Boyak terherot mulut dihinggap badi ayam hutan pun dia datang jejakkan kaki ke rumah.
Aki Amid tidak peduli fasal Mail Boyak bermasam muka disebabkan dijerkah apabila kambingnya menyerbu masuk ke tapak semaian. Habis anak benih Aki Amid diragut kambing, Mail Boyak tidak mahu mengaku bersalah. Sebab itulah Aki Amid maki dia sampai ungkit keturunan.
Marah benar Mail Boyak dimaki Aki Amid. Sebab itu dia bermasam muka tidak mahu menegur Aki Amid sampai bila-bila pun. Tetapi apabila dia terherot mulut dihinggapi badi ayam hutan, terpaksa juga Ngah Latih jemput Aki Amid.
Memang dia tidak berdendam apa-apa. Tidak berdalih pun Aki Amid, dia tetap jengah adik Ngah Latih itu, apabila dijemput oleh Ngah Latih. Memang Mail Boyak mengaku dia terkejutkan ayam hutan melintas beberapa ekor sewaktu balik dari kebun pisangnya. Dia sendiri tidak menyangka akibat terkejut itu sampaikan mulutnya terherot tidak bersebab.
"Hah, ini kena buat cara lain!" ujar Aki Amid sebaik sahaja melihat keadaan Mail Boyak. "Ini bukan takat badi aje, tapi angin ahmar juga," jelasnya tidak terburu-buru membuat keputusan.
Aki Amid percaya angin ahmar juga berpunca dari pesona syaitan mahu memusnahkan manusia hingga sesiapa sahaja boleh lumpuh seluruh anggota kalau tidak dapat menghindarkan. Dia sendiri mempelajari amalan mengenai syaitan bernama ahmar yang menyebabkan sesiapa sahaja diserang angin ahmar ini.
"Apa kelengkapan nak disiapkan aki?" Andak Sumi terasa gelisah dengan keadaan Mail Boyak yang terherot mulut sekalipun masih boleh bertutur tersekat-sekat suara.
"Lengkuas, jerangau dan molai," beritahu Aki Amid perlahan.
Bukan susah sangat mahu sediakan lengkuas yang rumpunnya merimbun di hujung halaman.Molai juga tumbuh membiak di baruh rumah dengan jerangau macam belukar tidak bertebas. Memang mereka di kampung sentiasa pelihara tumbuhan demikian dijadikan ubat apabila diperlukan.
Tidak perlu tercari-cari di rumah jiran kalau mahukan lengkuas, jerangau atau molai. Mail Boyak memang tanam baik-baik setelah diberitahu oleh arwah emaknya mengenai perlunya tumbuhan demikian. Bukan takat Mail Boyak sahaja di kampung itu tanam lengkuas, jerangau atau molai, malah Ngah Latih juga tanam di sebelah darat rumahnya.
Apa lagi Aki Amid memang lengkuasnya dipelihara baik-baik. Jerangau dan molai juga sentiasa dipupuk dengan air perlimbahan biar cepat tumbuh segar. Tetapi Aki Amid tidak tergesa-gesa mulakan berubat apabila keadaan Mail Boyak teruk sangat.
Dia perlu menunggu sampai malam selepas waktu isya. Ketika inilah dia meminta pelita dipadamkan di tempat tidur Mail Boyak supaya kelilingnya menjadi samar. Sengaja Aki Amid suruh pasangkan pelita di serambi sahaja, biar dirinya tidak dituduh amalkan perkara yang bertentangan dengan agama.
Tetapi jatuh di sudut hatinya dia tidak bermaksud mahu keliling menjadi gelap baru boleh memulakan pengubatan. Sudah menjadi amalan Aki Amid dia tidak dapat khusuk sekiranya pelita terpasang di depan muka. Biarlah kelilingnya samar-samar tatkala dia mula amalkan amalan untuk pengubatan demikian.
Setelah membaca al-Fatihah sampai 17 kali, Ngah Latih nampak Aki Amid melenggok-lenggok badan di tengah kesamaran itu sambil mula berzikir perlahan menyebut:
Ya Haiyun ya Qaiyum ya Lati fie ya Zaljala-liwal-ikram,
hingga lima ratus kali. Ketika ini mereka yang terconggok di situ mendengar suara Aki Amid bertukar menjadi garau seolah-olah bergaung kuat sampai ke udara. "Tengokkan ni tok, saudara kita ni sakit," tiba-tiba sahaja Aki Amid bercakap sendirian dengan badannya masih lagi terlenggok-lenggok bagaikan batang keladi di tengah arus.
Kemudian Aki Amid merungut-rungut tidak menentu. Sekali-sekala dia memasang telinga bagaikan kurang jelas mendengar orang bercakap di depannya. Selepas itu dia mengangguk-angguk lantas mencapai besen berisi lengkuas, jerangau dan molai di sisinya.
Setelah meramas-ramas ramuan ubat di dalam besen itu Aki Amid terus membacakan:
Innama ilahukumu Allahullazi la-ilaha illahuwa wasi' kulla syai-in 'ilman, la-ilaha illallahhu wallahhu akbar saddaqohu rabbahu faqola la-ilaha ilia ana wa-ana akbar.
Ketika ini besen di hadapan Aki Amid bergerak dan berpusing tiga kali.
Lama Aki Amid membacakan doa, dia kembali berzikir berulang kali hingga suaranya garau seolah-olah bergaung ke udara. Lebih satu jam dia terconggok di tengah kesamaran itu, tiba-tiba sahaja Aki Amid berlari ke jendela. Dia muntah di situ seperti menahan senak perut memulas-mulas yang berlarutan.
Selepas dia muntah barulah Aki Amid benarkan memasang pelita semula. Sebaik sahaja pelita terpasang mereka dapati mulut Mail Boyak yang terherot sudah pulih semula. Beberapa kali Mail Boyak beristighfar kerana terasa penyakitnya beransur sembuh sekalipun seluruh badannya masih sengal-sengal.
"Terasa macam badan saya kena urut, masa Aki buat ubat," jelas Mail Boyak perlahan apabila kenangkan seluruh tubuhnya bagaikan diurut berulang kali setiap kali Aki Amid melenggok-lenggok kepala di tengah kesamaran malam.
"Aku hanya berikhtiar, yang menyembuhnya hanya Allah.”beritahu Aki Amid mengulum senyum setelah keadaan Mail Boyak beransur sembuh.
“Siapa yang urut saya, aki?” terkial-kial Mail Boyak menegakkan badan lantas mendesak.
“Awak sepatutnya bersyukur pada Allah, Mail,” gerutu Aki Hamid mendengus perlahan. “Perkara yang kita tak tahu, tak perlu tanya.” Katanya seolah-olah kesal dengan sikap Mail Boyak. 
Memang Mail botak hairan juga apabila dirasanya seluruh badan diurut kuat.Dia sedar Aki Hamid sekadar duduk bersila rapat beratip dengan kepala berlenggok-lenggok. Tahu benar dia bukannya Aki Amid yang mengurut di tengah kesamaran malam tatkala dia terkaku akibat badi ayam hutan.
Sekali-sekala terasa juga hembusan nafas sejuk singgah di kulit Mail Boyak bagaikan lembaga terconggok di depannya. Tetapi dia tidak melihat siapa pun di situ, kecuali terasa picitan jari mencengkam di seluruh badan. Lama dia terasa jari itu memicit kuat barulah paha dan betis mulai boleh digerakkan.
Tentu siapa pun tidak percaya semasa dia balik dari kebun tatkala matahari tengah rembang seekor induk ayam hutan melintasi lorong dengan memimpin beberapa ekor anak kecil. Lantas sahaja Mail Boyak terniat mahu menangkap anak-anak ayam hutan itu yang berceridau menyusup ke bawah rumput.
Sudah terbayang di ingata-nya anak-anak ayam hutan itu akan dikurung baik-baik sama macam sangkar burung. Dia akan jinakkan anak ayam hutan itu biar boleh makan di tapak tangan. Kalau diternak sejak menetas tentu mudah jinakkan anak-anak ayam berkenaan sampai boleh mengekas bersama ayam-ayam kampung ternakannya.
Sebaik sahaja dia menerkam ke arah anak-anak ayam hutan menyusup, tiba-tiba sahaja dia nampak seekor ular sawa berbatik sebesar betis berlingkar di bawah rumpun senduduk di tepi belukar. Terkejut benar Mail Boyak melihat ular sawa berkenaan berlingkar tidak bergerak. Bimbang juga dia mahu mara ke hadapan sekalipun ular berkenaan menyusupkan kepala ke bawah lingkarannya.
Batik ular itupun sudah cukup mendebarkan hatinya, masakan dia berani mahu mendekati rumpun senduduk berkenaan. Manalah tahu ular itu akan membuka lingkaran lantas menyambarnya dengan tidak bertangguh. Perkara ular tengah belukar bukanlah boleh dimainkan macam menyepak tali ampaian jatuh tiang.
"Saya terkejutkan ular sawa tu!" beritahu Mail Boyak apabila kenangkan dia dituduh terkena badi ayam hutan.
"Nasib baik dia merupa macam ular," sahut Ngah Latih mencebek bibir tetapi geli-gelemam juga asal sahaja disebut ular berlingkar. "Kalau puaka tu menjelma tentu lagi teruk kamu," katanya menghela nafas panjang.
"Badi barang hutan bukan boleh main-main!" Andak Sumi ingatkan sepupu suaminya itu. Memang bimbang benar dia sekiranya terkena geruh badi binatang hutan hingga tidak semena-mena terkejang kaku macam batang pisang.
Sudah beberapa kali mereka di kampung berkenaan diganggu badi binatang hutan kalau berburu-buru tidak memakai petua. Tahu benar Andak Sumi mengenai badi burung puyuh yang keras benar kalau bandingkan dengan ayam hutan atau rusa. Jarang sesiapa sandja terkena geruh badi burung puyuh dapat diselamatkan apabila gigi terkancing dengan mata terbalik putih.
Lainlah badi ayam hutan masih boleh diselamatkan sekalipun mulut terherot sampai sebelah badan mati tidak boleh digerakkan. Mereka akan tuduh diganggu angin ahmar kalau malu dikatakan badi yang meng-ganggu mereka. Tetapi perkara badi memang tidak sama dengan angin ahmar, kerana angin ahmar boleh menyambar di tempat tidur sekalipun.
Siapa pun tidak akan terkena badi sekiranya tidak ke hutan memburu tidak ikut petua. Mereka tahu binatang yang kuat geruh badinya memang ayam hutan, kijang dan rusa. Binatang lain sama sahaja dengan ternakan yang lain, sekadarkan liar sahaja menyusup ke tengah belukar.
‘Hah, saya tak cari dia," keluh Mail Boyak kesal apabila dia terkejut sebaik sahaja nampak ular sawa berlingkar di perdu senduduk.
Balik sahaja ke rumah dia sentiasa terbayang ular sawa itu menjelma di mana-mana. Sampai nyenyak tidur pun dia termimpi-mimpi ular berkenaan membelit seluruh tubuhnya sampai dia tidak dapat bergerak langsung. Semakin kuat dia meronta bertambah keras pula cerutan ular sawa berkenaan hingga terasa dia sesak nafas menyenak ke dada.
Sebaik sahaja membuka mata Mail Boyak tidak boleh lagi menggerakkan badan. Sebelah badannya menjadi kebas seolah-olah masih dibelit ular sawa berlingkar. Mulutnya terherot hingga sukar mahu bertutur untuk memberitahu apa yang berlaku ke atas dirinya.
Tatkala Aki Amid dipanggil datang, memang Mail Boyak tidak pengsan apa-apa. Dia hanya tidak dapat bersuara akibat sebelah badan kebas tidak menentu. Apabila Aki Amid mula mengubati dia, sekali imbas Mail Boyak nampak bayangan ular sawa itu perlahan-lahan membukakan belitan menyelinap lari ke tengah kegelapan malam.
"Kalau kau tak lepaskan Mail, aku hantar kau ke laut dalam!" memang Mail Boyak terdengar Aki Amid membentak kertas menuding ke arah bayangan ular sawa yang bergerak perlahan ke tengah kegelapan malam itu.
Tidak berani ular berkenaan membantah setelah Aki Amid menjadi berang setelah dia membakar setanggi. Sebaik sahaja bau asap setanggi memenuhi ruang, Mail Boyak dapat melihat seolah-olah Aki Amid berpakaian serba putih duduk bersila di depannya.
Aki Amid berbayang-bayang menjadi dua atau tiga bagaikan berlapis-lapis badan. Dia percaya tentu matanya sendiri kabur akibat terkejang sakit selepas dihinggapi badi ayam hutan. Sebab itulah pandangannya juga berbalam-balam hingga tidak dapat melihat Aki Amid dengan jelas.
Tetapi dia masih boleh melihat isterinya terconggok tidak berbalam-balam. Demikian juga Ngah Latih dan Andak Sumi jelas nampak terconggok tidak jauh dari sisinya. Kenapa pula tubuh Aki Amid menjadi dua atau tiga hingga suaranya juga garau apabila serentak berdoa.
Siapapun tidak tahu mengenai Aki Amid tiba-tiba sahaja mampu mengubati orang. Uda Lajis sendiri tidak tahu sangat sekalipun dia beberapa kali membantu ayahnya menyediakan ramuan ubat. Memang Aki Amid berahsia sangat kerana dia tidak mahu orang-orang kampung menganggapnya bomoh di situ.
Cuma ayah saya satu-satunya diberitahu mengenai dia amalkan tareqat semasa bekerja di estet sebelum berpindah menetap di Pahang. Lama dia belajar dari gurunya sehingga mereka berpisah setelah mampu dengan tidak perlu dibimbing lagi.
"Awak gunakan jin Islam ke?" sengaja ayah saya menuduh nya tatkala mereka bertemu apa-ayah saya berkunjung ke kampungnya di Pahang.
Tersengih-sengih Aki Amid. Dia tidak membantah apa-apa sekiranya ayah saya membuat andaian demikian. Biarlah siapa pun menuduh, dia tetap dengan pendiriannya tidak akan memberitahu sesiapa pun mengenai amalan dan petuanya.
Tetapi dia tetap mengangguk apabila ayah saya tanyakan sama ada dia amalkan surah al-Jin. Mana-mana ayat di dalam al-Quran boleh diamalkan. Apa salahnya kalau dia membacakan surah al-Jin sampai lima ratus kali setiap malam.
"Ayat Quran, boleh kita baca sepanjang masa," ujar Aki Amid semacam mengejek ayah saya.
Memang Aki Amid sendiri tengah uzur semasa ayah saya berkunjung ke rumahnya di Pahang. Puas juga ayah saya mencari berpandukan alamat yang diberikan itu, hingga menyusur masuk ke Lubuk Paku. Menitik juga air mata ayah saya sebaik sahaja bertemu dengan Aki Amid yang sengaja membawa diri jauh ke kampung halaman orang. Sebab itulah dia mendesak ayah saya supaya carikan jodoh Uda Lajis di kampung sendiri supaya terjalin semula hubungan keluarga yang kian lama terputus.
Perkara sengaja mahu memutuskan tali persaudaraan itu tidak sama dengan perkara kita terpaksa merantau mencari nafkah. Kakak ayah saya sendiri Ulung Libak pun pernah tersinggung sampai tidak mahu lagi bertemu muka dengan ayah saya.
Puas juga ayah saya memujuk nya, tetapi dia tetap berdegil tidak mahu berbaik-baik. Malah anaknya Mat Deh sendiri memujuk pun Ulung Libak tidak peduli. Marah sangat dia dengan ayah saya disebabkan benarkan emak saya uruskan arwah Nenek Aji tatkala sakit terlantar.
Memang perkara sakit tidak perlu rnenunggu siapa boleh uruskan sama ada anak sendiri mahupun menantu. Siapa sahaja ada masa lapang boleh uruskan asal sahaja ikhlas mahu berbakti kepada orang tua. Tetapi Ulung Libak sengaja menyangka emak saya sekadar mengambil hati apabila uruskan Nenek Aji terlantar sakit.
"Jangan putuskan silaturrahim, mak," pujuk Mat Deh tidak mahu emaknya sengaja membesar-besarkan perkara demikian.
Tetapi Ulung Libak tetap berkeras tidak mahu berbaik-baik dengan ayah saya. Sikap keras hati kakaknya itu memang tidak dihiraukan sangat oleh ayah saya. Malah ketika Ulung Libak mengesyaki saya mengambil vvang masjid yang disimpan oleh suaminya Imam Cumar pun ayah saya tidak tersinggung apa-apa.
Marah juga Tok Aji apabila Ulung Libak sengaja mengesyaki saya mengambil wang berkenaan, tatkala membantu Imam Cumar terjatuh pokok memapahnya balik ke rumah. Sewaktu berumur belasan tahun manalah saya tahu sangat fasal perkara yang terpendam di hati ketika itu setelah Imam Cumar meminta papah dia naik ke rumah.
Sebaik sahaja wang RM 16.00 kutipan untuk masjid itu hilang, lantas sahaja Ulung Libak mengesyaki saya. Disebabkan, bimbang dengan Tok Aji sengaja Ulung Libak melepaskan geram kepada ayah saya. Apabila Tok Aji memarahi dia setelah diberitahu mengenai tuduhan itu, semakin bertambah marah Ulung Libak.
"Aku didik angah bukan untuk perkara macam tu," gerutu Tok Aji perlahan di depan arwah Imam Cumar juga. "Kalau kamu syakkan angah, bermakna kau juga syakkan aku!" tegas Tok Aji seolah-olah menyebelahi saya.
"Tapi, memang tak ada siapa masa tu di rumah, hanya angah..." ujar Ulung Libak tidak puas hati disebabkan Tok Aji berkeras mahu melindungi saya. Sengaja pula mereka semua tidak bertanyakan kepada saya mengenai kehilangan wang kutipan masjid itu.
"Orang buta aje yang tuduh angah tu mencuri," tutur Tok Aji terharu dengan tanggapan Ulung Libak demikian.
"Kami tak tuduh angah mencurl, tapi kalau dia ambil apa salahnya pulangkan balik," tegas Ulung Libak berkeras tidak mahu mengalah.
"Tuduh mengambil samalah macam tuduh mencuri, suami kamu imam, mahu kamu imam jadi buta?" mula Tok Aji keraskan suaranya apabila Ulung Libak sengaja berdegil.
Setelah melihat ayahnya marah lantas Ulung Libak mendiamkan diri sahaja, sekalipun hatinya masih lagi mendongkol. Imam Cumar juga kesal dengan kehilangan wang kutipan masjid itu kerana bimbang dituduh tidak amanah. Sebab itulah dia gagahi juga bangun solat tahajud tengah malam supaya wang kutipan masjid itu tidak membebankan dirinya.
Tiga malam Imam Cumar lakukan solat sunat tahajud itu, Ulung Libak temui wang berkenaan di bawah lipatan kain dalam almari. Memang Imam Cumar sendiri mengakui dia tersalah letak kerana masih ingatkan wang kutipan berkenaan disimpan dalam celapah rokoknya.
Disebabkan takut dimarahi oleh Tok Aji sengaja Ulung Libak tidak memberitahu mengenai wang kutipan masjid itu ditemui di bawah lipatan kain dalam almari. Tidak sampai sebulan pula Imam Cumar tiba-tiba mengidap gatal pelupuk mata menyebabkan buta tidak dapat melihat.
Sampai Tok Aji meninggal dunia pun keadaan mata Imam Cumar tidak juga pulih. Lebih lima belas tahun dia tidak dapat melihat apa-apa hingga meninggal dunia pun, dia simpan baik-baik rahsianya mengenai menuduh saya mengambil wang kutipan masjid berkenaan.
Kalaulah Mat Deh sendiri tidak beritahu kepada saya selepas kematian ayahnya Imam Cumar, memang saya sendiri tidak tahu apa-apa mengenai kejadian itu. Bukan Imam Cumar suami isteri sahaja rahsiakan, tetapi ayah saya dan Tok Aji  juga rahsiakan kerana bimbang saya tersinggung dengan tuduhan demikian. Tentulah dalam masa umur belasan tahun memberi kesan buruk dalam pemikiran sekiranya dituduh melakukan perbuatan tersebut.
Sebab itulah Mat Deh ingatkan emaknya mengenai kejadian kehilangan wang kutipan masjid itu apabila enggan berbaik-baik dengan ayah saya. Menitis juga air mata Mat Deh apabila kenangkan sikap emaknya yang berkeras sangat mahu bermasam muka sesama adik beradik.
Tetapi semasa diberitahu kakaknya sakit, segera ayah saya berkunjung ke rumahnya. Biarlah kakaknya tidak mahu bertemu muka dia tetap juga jengah kakaknya. Sengaja dia mengajak Mat Deh temankan biar Ulung Libak tidak berkeras. Dia wajib ziarahi kakaknya apa-bila diberitahu Ulung Libak terkejang sakit.
Kebetulan pula saya balik ke kampung tatkala diberitahu mengenai Ulung Libak sakit. Terpaksa pula saya memujuk emak disebabkan dia berkecil hati dengan sikap kakak iparnya itu. Disebabkan saya memujuknya mudah sahaja emak saya mengalah.
Sewaktu sampai di rumah Ulung Libak, masing-masing berligar tidak dapat masuk ke dalam bilik. Puas juga Mat Deh dan ayah saya mencari punca pintu terkunci dari dalam, disebabkan Ulung Libak mengerang-erang tidak dapat bangun. Masakan dia boleh mengunci pintu dari dalam semasa keadaan terkejang tidak boleh bergerak itu.
"Macam mana ni angah?" segera Mat Deh menggamit sebaik sahaja saya datang bersama emak. Ketika ini saya masih lagi belum berkahwin, memang tidak ada keluarga lain datang ikut sama.
"Pintu ni terkunci dari dalam," beritahu ayah saya, sekalipun terdengar dari luar Ulung Libak memanggil-manggil ayah saya datang membantunya.
"Kenapa tak pecahkan saja pintu to?" lantas emak saya bersuara setelah menyedari keadaan pintu berkenaan terkunci dari dalam.
"Kalau tak ada jalan lain, kita kena pecahkan juga," beritahu Mat Deh tetap bertenang meng-hadapi suasana demikian.
Kemudian Mat Deh memanggil emaknya lantas meminta menyeru nama ayah saya tiga kali. Terketar-ketar suara Ulung Libak mematuhi perintah anak-nya. Mat Deh juga meminta emaknya bermaaf-maafan dengan ayah saya dan berikrar tidak akan memutuskan tali sila-turrahim.
Setelah Ulung Libak berjanji dengan suara terketar-ketar dari dalam bilik, segera Mat Deh membacakan doa tiga kali:
Laqad ja-akum rusul-um-min anfusikum 'azizun 'alaihi ma-anittum harisun 'alaikum bilmukmini na-ra ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illa huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim.
Sebaik sahaja Mat Deh usapkan tapak tangannya ke pintu itu, tiba-tiba sahaja pintu bilik terbuka. Ketika kami masuk ke bilik Ulung Libak memang terkejang tidak dapat bergerak dengan selimutnya berlubang-lubang bagaikan kesan dicucuh api.
Beberapa kali Mat Deh beristighfar melihat keadaan emaknya yang mengerang-erang sekalipun masih sedar dengan apa yang berlaku. Memang Ulung Libak mengakui dia tidak dapat bangun membukakan pintu, tetapi hairan bagaimana pintu biIiknya terkunci.
Sebak benar hatinya sampai menitiskan air mata sebaik sahaja ayah saya memeluknya erat-erat. Dalam esak tangisnya dia berjanji tidak akan bermasam muka dengan adik beradik sampai tidak mahu bertemu muka. Perkara memutuskan tali persaudaraan bukan sahaja tidak disukai oleh arwah Tok Aji, malah tidak dibenarkan oleh ajaran agama.
Sebelum Mat Deh dan ayah saya sampai ke situ memang puas juga Ulung Libak meminta tolong, apabila kain selimutnya tiba-tiba sahaja memercik api dengan tidak bersebab. Dia cuba bingkas bangun mahu membuang selimut tetapi tenaganya lemah tidak bermaya. Terpaksa dia bacakan surah al-Ikhlas hingga seratus kali untuk tenteramkan hatinya yang gelabah dalam saat demikian.
Habis sahaja dia membacakan surah al-Ikhlas itulah Ulung Libak mendengar suara Mat Deh bersama ayah saya di luar bilik. Lantas dia beristighfar beberapa kali kerana menyangka kejadian itu berlaku sekadar mimpi sahaja. Tetapi apabila ditunjukkan oleh Mat Deh kain selimutnya berlubang-lubang bagai bekas dicucuh api, semakin hairan Ulung Libak.
"Ini semua hikmah dari Allah, mak," ujar Mat Deh meminta emaknya bertenang. "Dah lama benar kita adik beradik bermasam muka," tuturnya kesal dengan masalah yang berlaku di dalam keluarga sendiri.
Kalaulah arwah Mat Deh masih ada tentu dia juga ingin ikut sama menemui sanak saudara di Bukittinggi atau di Bangkinang. Apa sangat dengan laut yang memisahkan jasad asal sahaja tali persaudaraan masih terjalin erat.
Tetapi Mat Deh meninggal dunia setelah tiba-tiba sahaja batuk darah. Puas juga ayah saya juga selamatkan, tetapi Allah lebih mengetahui segalanya. Siapa pun tidak berdaya mahu melawan ketentuan Allah yang telah menentukan segala kejadi-an akan berlaku.
Setiap kali Uda Lajis datang berkunjung memang saya teringatkan arwah Mat Deh. Sekalipun Uda Lajis tidak sama dengan kebolehan Mat Deh, tetapi sikapnya dalam hubungan kekeluargaan memang sama. Mereka terlalu mengambil berat hubungan keluarga hingga sanggup bersengkang mata sampai santak tengah malam sekiranya menghadapi kesusahan.
"Aku ke rumah angah dulu, tapi Hajah Yah kata angah ke Sumatera," tersengih-sengih Uda Lajis naik ke rumah ayah saya sebaik sahaja mendapat tahu saya balik ke kampung.
"Emmm. bertemu saudara mara di sana." beritahu saya lantas bersalam dengannya.
"Angah bolehlah ke sana, ada duit apa salahnya!" ujar Uda Lajis menyandar belakang ke kusyin sebaik sahaja duduk.
"Bukannya duit sendiri, duit orang beri." jelas saya perlahan kerana pemergian saya ke sana diuruskan oleh Mamak Bandaro. Kalau menggunakan perbelan-jaan sendiri tentulah saya juga tidak mampu mahu ke sana.
Tetapi Uda Lajis tidak lama menemui saya. Bergegas-gegas sangat dia mahu balik kerana mahu menghantar sepupunya menemui Ucu Bahili di Felda. Sudah lama benar sepupunya tidak tenteram akibat gangguan di rumahnya di Kuala Lumpur.
Kadangkala terbangun tengah malam sepupunya melihat bayangan hitam di penjuru bilik. Apabila dipasang lampu serta merta sahaja bayangkan hitam itu hilang dengan meninggalkan bau hamis. Dia melihat Ionggokan kertas terbakar di penjuru bilik sebaik sahaja disuluh ke situ.
Sebaik sahaja kejadian demikian berlaku, dia segera melihat dompet wangnya nescaya sebahagian duit di dalamnya akan hilang. Hairan benar dia dengan kejadian yang sukar mahu dipercayai boleh berlaku di tengah pekan Kuala Lumpur.
Apabila diberitahu kepada Uda Lajis, teringat sahaja dia kepada Ucu Bahali di Felda. Biarlah dicuba pada Ucu Bahali kalau gangguan syaitan itu tidak boleh lagi dikawal dengan membacakan ayat-ayat al-Quran. Dibacakan Yassin hingga 41 kali pun, kejadian tersebut berulang juga hingga sampai berturut-turut malam.
"Macam-macam kepandaian orang!" gerutu Uda Lajis tatkala menuruni tangga apabila kenangkan kejadian yang menimpa sepupunya di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment