Sunday, July 10, 2016

184. MAYAT MUNTAHKAN ULAT SEDULANG



PERLAHAN-LAHAN pelupuk mata dikesat dengan lengan baju sebaik sahaja diberitahu Dolah Sepet mengenai abangnya Andak Seman meninggal dunia. Memang sudah lama Lebai Midin tidak jejak kaki ke rumah abangnya semenjak berpindah ke kampung isterinya di hilir. Tersinggung juga dia apabila Andak Seman ungkit mengenai tanah peninggalan pesaka yang tidak seberapa.

Lebai Midin sekadar ingatkan abangnya tanah peninggalan pesaka itu sudah diwasiatkan kepada adik mereka yang cacat anggota. Semua bersetuju Simek Tepok diberikan tanah peninggalan pesaka itu. Cuma satu-satunya yang membantah memang Andak Seman disebabkan adiknya yang cacat itu tinggal di rumahnya.

Perkara Simek Tepok tinggal di rumahnya bukanlah penting sangat, kerana adiknya itu mampu membuat kerja menumbuk padi atau mencari kayu api di belukar kebun getah. Siapa yang menghayun rimbas di sawah sampai rumput menerung acup kepala menyembam ke lumpur kalau bukan Simek Tepok. Seisi kampung tahu Simek Tepok bukan menumpang makan tidur sahaja di rumah abangnya Andak Seman.

Sebab itu Lebai Midin mendesak supaya Simek Tepok tinggal bersamanya di kampung hilir. Tetapi Andak Seman berkeras tidak benarkan Simek Tepok tinggal bersama Lebai Midin. Manalah tahu Simek Tepok akan didera bekerja sampai tidak ada masa rihat langsung.

"Abang Midin tak sama dengan Andak Seman," pernah Simek Tepok beritahu Dolah Sepet tatkala mereka sama-sama menajak tengah sawah. Sekalipun gunakan sebelah tangan sahaja tetapi Dolah Sepet tahu tenaga Simek Tepok tetap mampu melunggah menerung tumbuh meliar sampai acup kepala.

"Kenapa kau tak mahu tinggal dengan Lebai Midin?" Dolah Sepet dapat mengagak memang Simek Tepok sendiri tidak senang untuk menunggu lama di rumah Andak Seman. Apa lagi anak-anak Andak Seman semua orang berpangkat yang menetap di bandar.

"Andak Seman tu bukan boleh ajak berunding!" keluhnya perlahan apabila kenang sikap abangnya yang cepat panas baran. Tahu sangat Simek Tepok kalau dia cuba membantah keputusan Andak Seman tentu mukanya akan ditampar tidak bertangguh. Biarlah segala keluhan di hatinya dipendamkan sahaja.

Satu-satunya kawan yang boleh dia luahkan perasaan cuma Dolah Sepet yang bersempadan sawah. Itu pun puas juga Dolah Sepet mendesak barulah Simek Tepok mahu mengakuinya.

Hinggalah tanah peninggalan pesakanya dijual, Simek Tepok tetap tidak membantah. Apalah salahnya tanah peninggalan pesaka itu dijual kalau boleh membantu Andak Seman berniaga. Dia pun tidak perlu bersusah payah usahakan tanah peninggalan pesaka itu, kalau Andak Seman sendiri mampu untuk menanggung hidupnya..

Ketika Andak Seman ke bandar di rumah anak-anaknya, Simek Tepok tinggal bersendirian di pondok papannya berhampiran rumah Limas Andak Seman tersergam. Satu-satunya yang menjengah dia cuma Dolah Sepet. Tatkala Dolah Sepet menziarahinya di situ, Simek Tepok sudah berhari-hari terkejang sakit.

Dalam keadaan Simek Tepok sudah beberapa hari terkejang sakit inilah Lebai Midin terpaksa membawa adiknya ke kampung hilir. Tersinggung benar dia dengan sikap Andak Seman tidak pedulikan adiknya yang cacat kerana berhari-hari di bandar.

Tetapi Andak Seman salahkan Lebai Midin kerana sengaja mahu mencari salahnya. Perkara Simek Tepok terkejang sakit memang sudah ditakdirkan demikian, kenapa Lebai Midin sengaja mahu salahkan dia? Siapa yang dapat melawan takdir tatkala sakit mengganggu?

Sampailah Simek Tepok meninggal dunia, Lebai Midin tetap terkilan dengan sikap abangnya jualkan tanah peninggalan yang diserahkan kepadanya. Seisi kampung tahu tanah pesaka peninggalan itu dijual disebabkan Andak Seman mahu berniaga di bandar. Apa salahnya dia jualkan tanah Simek Tepok sekiranya dia tidak abaikan adiknya yang cacat itu?

Semenjak bertahun-tahun selepas kematian Simek Tepok itu memang Lebai Midin tidak jejak kaki ke rumah abangnya Andak Seman. Sekalipun arwah Simek Tepok tidak ungkit mengenai tanah pesaka peninggalan yang dijual, tetapi dia dapat rasakan adiknya arwah Simek Tepok memang terkilan juga.

Sebab itulah perasaannya tersentuh asal sahaja kenang tanah pesaka peninggalan yang sudah dijualkan itu. Apa sangat nilainya tanah berkenaan kepada Andak Seman kalau bandingkan anak-anaknya semua berjaya berpangkat besar? Dia sendiri semakin besar perniagaan di bandar!

Memang seisi kampung tahu Simek Tepok kecewa apabila tanah pesaka peninggalan dijual abangnya Andak Seman. Tetapi Simek Tepok pendamkan sahaja kekecewaan itu di dalam hatinya menyebabkan dia jatuh sakit. Apabila didesak Dolah Sepet pun dia tetap rahsiakan kegelisahan yang sentiasa menusuk perasaan-nya.

"Tak ada orang yang nak mandikan jenazah, abang Midin," ujar Dolah Sepet tatkala naik ke rumah memberitahu Lebai Midin.

Sebak dada Lebai Midin apabila diberitahu demikian. Masakan di kampung hulu tidak ada sesiapa pun mampu mandikan jenazah. Dia tahu Siak Busu pun tahu mandikan jenazah terbujur. Masakan Siak Busu pun tidak mahu jejak kaki ke rumah Andak Seman, kerana mereka tidak pernah pun bertengkar atau bermasam muka.

"Kenapa tak jemput Siak Busu?" hairan juga Lebai Midin mengenai alasan yang diberikan oleh Dolah Sepet. Takat mahu ziarah abangnya terkejang meninggal dunia, bila-bila masa pun Lebai Midin akan jejak kaki. Wajib dia jengah abang kandungnya sendiri setelah meninggal dunia, apalagi fardu kifayah menziarah mayat orang mukmin.

"Siak Busu yang mahukan abang Midin mandikan jenazah," jelas Dolah Sepet setelah dibisikkan oleh Siak Busu tatkala sampai pesan memberitahu Lebai Midin di kampung hilir.

Serba salah juga Siak Busu mahu mandikan jenazah sekiranya tidak desak Lebai Midin terlebih dahulu. Seisi kampung tahu mengenai Lebai Midin yang mahir mandikan jenazah, kapankan mayat dan uruskan fasal kerja-kerja pengkebumian.

Mereka di kampung hulu sendiri harapkan Lebai Midin uruskan pengkebumian mayat supaya tidak berbantah-bantah sesama saudara mara. Sebab itu Siak Busu lebih percaya Lebai Midin lebih penting untuk uruskan mayat Andak Seman abang kandungnya sendiri.

"Hah, kamu pun patut belajar mandikan jenazah!" gerutu Lebai Midin kesal kerana perkara mandikan jenazah mesti difahami oleh sesiapa pun. Tidak boleh harapkan dia atau Siak Busu sahaja. Manalah tahu mereka yang mahir mandikan, kapankan dan uruskan pengkebumian jenazah juga diganggu aral sampai tidak dapat datang menjengah.

"Eloklah abang Midin aje yang buat, dah tahu sempurnanya," sahut Dolah Sepet tersengih-sengih sebaik sahaja Lebai Midin dan keluarganya bersiap-siap untuk ke kampung hulu.

Sewaktu Lebai Midin bersama isterinya jejak kaki di halaman rumah, hampir dia terjeluih muntah akibat bau busuk menusuk-nusuk ke hidung. Tidak pernah dia tercium bau busuk demikian tengik sampai meloyakan seolah-olah berdepan dengan bangkai sekawan gajah yang bertimbun tulang di tengah hutan.

Tidak ramai jiran-jiran yang menziarah kecuali anak-anak dan kaum keluarga Andak Seman sahaja. Mereka pun tidak peduli sangat dengan mayat terbujur kerana masing-masing sekadar bersembang menunggu kedatangan Lebai Midin. Sudah tentu Lebai Midin yang boleh bersuara menetapkan waktu untuk kebumikan mayat.

"Kamu pegawai tinggi, takkan tak tahu uruskan jenazah!" Iantas sahaja Lebai Midin mencebek bibir mengerling Suhor anak Andak Seman yang tercegat di lunjur kaki jenazah. Memang Suhor terpaksa menunggu Lebai Midin setelah Siak Busu serba salah mahu mandikan jenazah.

Marah juga Suhor dengan sindiran Lebai Midin tatkala jenazah ayahnya terbujur demikian. Kalau tidak kenangkan dia memerlukan Lebai Midin memang dia akan membentak supaya jangan sentuh jenazah. Tetapi dia tidak boleh berkeras setelah Siak Busu enggan mandikan jenazah sekiranya tidak bersama dengan Lebai Midin.

Siapa lagi boleh diharapkan kalau Lebai Midin juga tidak mahu mandikan jenazah ayahnya. Kalau longgokkan duit sekarung pun tidak akan berguna apa-apa, kalau mereka yang mahir mandikan jenazah enggan melakukan. Perkara fardu kifayah tidak akan dihiraukan lagi apabila masing-masing sudah tersinggung.

Memang Suhor dengar juga rungutan orang-orang kampung mengenai keluarganya yang dituduh sombong kerana anak-anak Andak Seman berpangkat besar. Tetapi Suhor percaya mereka di kampung iri hati dengan kejayaan keluarganya. Sebab itu mereka sengaja mencari kesalahan keluarganya sampaikan ayahnya jualkan tanah Simek Tepok juga diungkit-ungkit.

Anak-anak Andak Seman berkahwin di bandar tidak jemput orang-orang di kampung juga dituduh tidak kenang budi lagi. Sejak itu Suhor ingatkan ayahnya supaya tidak pedulikan orang-orang kampung yang iri hati dengan kejayaan keluarga mereka.

"Fasal jenazah ayah bawa balik ke kampung, kami serahkan pada Acik Midin laaa," jelas Suhor mencemik muka menahan rasa marah yang bergelora dihatinya. Namun Lebai Midin tahu sikap Suhor itu memang menampakkan kesombongan dirinya selama ini.

Sengaja Lebai Midin tidak mahu ungkit apa-apa lagi setelah melihat jenazah abangnya perlu segera disempurnakan. Dia tidak boleh bertangguh setelah diberitahu Andak Seman hanya meninggal dunia satu jam sebelum itu, tetapi bau busuk terlalu tengit ke seluruh penjuru rumah. Jiran-jiran yang terconggok di tengah rumah terus sahaja turun setelah menjengah muka.

Di halaman rumah juga mereka tidak mahu duduk bertenggong menunggu jenazah disempurnakan. Masing-masing balik sahaja ke rumah disebabkan bau busuk meloyakan tekak itu sampai ke tengah halaman. Lantas Lebai Midin menyuruh bakarkan nyiur kukur setelah gaharu yang dibakar tidak memberi kesan apa-apa.

Terpaksa Mijah isteri Andak Seman sendiri yang kukurkan nyiur disebabkan Lebai Midin tidak mahu diparut. Siapa lagi boleh kukurkan nyiur kalau bukan Mijah? Harapkan menantu atau anak perempuannya, mereka semua sudah tidak mahu mengukur nyiur. Kalau digagahkan juga nescaya mata kukur akan meragas tapak tangah sampai berdarah.

Sebaik sahaja Mijah membakar nyiur kukur itu, segera Lebai Midin bacakan doa:

Qul mai-yunajjikum min zulumatil barri wal-bahri tad-'unahu tadhurru 'au-wakhufyatan la-in anjana min-hazihi lanaku nanna minasy-syakirin.

Setelah dia berdoa Lebai Midin kisarkan tapak tangannya tiga kali, sekaligus pula angin bertiup kencang beberapa minit. Tatkala angin kencang mulai reda, bau busuk yang menusuk-nusuk itu hilang bersama hembusan angin berkenaan.

Sekalipun bau busuk yang meloyakan itu sudah beransur hilang, Lebai Midin perintahkan juga supaya nyiur kukur terus dibakar. Biarkan asap nyiur kukur itu memenuhi ruang tengah rumah. Dia tidak benarkan gaharu yang dibawa dari bandar itu dibakar setelah bau meloyakan itu dihembus angin jauh dari kawasan rumah.

Kemudian perlahan-lahan Lebai Midin mengeluh lantas membacakan:

Innallahha lahu mulkus samawati wal-ardhi yuhyi wayumitu wamalakum min dunillahhi min waliyin wala-nasir. Setelah itu Lebai Midin duduk di sisi jenazah mem bacakan ayat-ayat al-Quran.

Memang Lebai Midin tidak menyangka abangnya Andak Seman meninggal dunia setelah adiknya yang cacat Simek Tepok meninggal dua tahun sebelum itu. Semenjak Simek Tepok meninggal, dia sekadar mendengar khabar sahaja mengenai Andak Seman berulang alik ke hospital.

Tetapi sakitnya tidaklah terkejang sampai tidak boleh bergerak ke mana-mana. Asal sahaja Andak Seman tidak sihat badan Suhor akan bawa menemui doktor tidak bertangguh. Bukan Suhor sahaja akan hantar ayahnya dapatkan rawatan doktor pakar, tetapi Juki juga sanggup hantar berubat sampai ke luar negeri.

Mereka adik beradik berkedudukan tinggi, masakan tidak mampu dapatkan rawatan. Saenah juga memang doktor yang boleh merawat ayahnya sementara menunggu doktor pakar. Sebab itu mereka tidak bimbang apa-apa mengenai penyakit ayahnya.

Andak Seman juga tidak harapkan bantuan jiran-jiran kalau dia terkejang sakit. Sebab itu dia tidak peduli sangat takat sakit darah tinggi atau gout terketar-ketar mahu melangkah. Anaknya Saenah akan bekalkan ubat sampai sakitnya sembuh betul.

Dia tahu anak-anaknya tidak sama dengan anak-anak jiran yang lain takat belajar di sekolah menengah sahaja. Mereka tidak sampai ke mana kalau bandingkan anak-anaknya yang berjaya dalam kehidupan duniawi. Siapa tidak tahu mengenai anak-anaknya yang berkedudukan tinggi di bandar. Tidak ada sebab dia mesti tertunduk-tunduk hormat dengan orang kampung kalau terserempak melintas di jalan.

Semasa masuk ke bilik air untuk solat tubuh, tiba-tiba sahaja Mijah terdengar suaminya jatuh. Tatkala dia menjengah ke bilik air Andak Seman sudah tertangkup tidak bergerak apa-apa. Belum sempat Mijah memberitahu jiran-jiran Andak Seman sudah tidak bergerak lagi.

Siak Busu sendiri ingatkan dia tidak perlu lagi dibawa ke hospital disebabkan tubuh Andak Seman sudah kaku tatkala jiran-jiran sampai ke rumah. Terkial-kial Mijah mahu memapah naik ke katil di bilik tidur, tetapi tenaganya Iemah tidak termampu. Semasa Siak Busu, Dolah Sepet dan beberapa orang jiran mengangkatnya mereka menyedari memang Andak Seman sudah meninggal dunia sebelum mereka jejak kaki ke situ.

"Ayah hembuskan nafas dengan mudah," tutur Suhor bangga kerana kematian ayahnya tidak menderita terkial-kial. Tentu ayahnya banyak membantu sesiapa sahaja hingga Allah juga meredzai. Sebab itu ayahnya tidak menderita bertahun-tahun sama seperti mereka yang tidak diredzai.

"Tengoklah tu, dia terbujur macam orang tengah tidur," Saenah pula menegaskan lantas merenjis-renjiskan air mawar biar bau harum semerbak memenuhi ruang tengah rumah.

"Perkara ketentuan Allah, jangan kamu nak mendahului takdir," lantas Mijah ingatkan Suhor dan Saenah supaya tidak membuat tafsiran sendiri dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka.

Satu-satunya yang memahami perasaan emaknya cuma Juki,. Dia tidak mahu kematian ayah mereka semata-mata mahu tunjukkan kepada orang kampung tentang kemuliaan. Hanya selepas kedatangan bapa saudara mereka Lebai Midin sahaja baru bau busuk yang menusuk hilang dibawa angin kencang. Dalam tempoh satu jam ayahnya mati semua jiran-jiran tahu mengenai bau busuk meloyakan itu mengganggu mereka.

Juki juga mematuhi kemahuan Lebai Midin yang mahu segera dikebumikan supaya tidak menunggu selepas zohor. Dolah Sepet sudah dikerah menggali kubur sejak matahari mula naik segalah. Tidak bertangguh Dolah Sepet mengajak kawan-kawannya ke kubur sebaik sahaja disuruh oleh Lebai Midin. Masakan dia mahu membantah keputusan guru agama yang disegani sejak bertahun-tahun.

Belum pun jam 11.00 pagi Lebai Midin mahu mayat dimandikan segera setelah menerima pesan dari Dolah Sepet kubur digali tengah siapkan liang lahad. Sementara mayat dimandi, dikapan dan disembahyangkan tentu Dolah Sepet selesai tohok tebing kubur siapkan liang lahad seluk ke dalam.

Memang Siak Busu diharapkan oleh Lebai Midin mandikan jenazah sampai suci bersih. Semasa Siak Busu mula jiruskan air bau busuk kembali menusuk ke hidung. Setelah diberitahu kepada Lebai Midin, cepat-cepat dia menyuruh semua jiran-jiran turun ke tengah halaman. Biar anak-anak Andak Seman sahaja mandikan mayat ayahnya mengikut tunjuk ajar Siak Busu.

Terpaksa anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu-nya sahaja dibenarkan oleh Lebai Midin naik ke rumah mandikan jenazah. Cucu yang besar memangku tubuh mayat, manakala yang lain nya jiruskan air. Tatkala mencuci najis, Siak Busu meminta kebenaran supaya mayat tersebut ditangkupkan setelah berkali-kali dicuba seperti biasa tidak dapat diteruskan.

Lebai Midin tidak memberikan kata putus. Dia sekadar bertanya kepada Juki dan Mijah. Setelah Juki dan Mijah benarkan barulah Siak Busu tangkupkan mayat. Ketika ini dari mulut mayat melambak ulat-ulat berenga sebesar pangkal lidi hingga penuh ditadah satu besen. Ulat berenga itu masih terkuit-kuit hidup bagaikan menghurung tokak tengah membusuk daging di buku lali kaki.

Terkejut Suhor melihat ulat  berenga penuh satu besen itu. Sekalipun dia kesal ulat berenga itu terpaksa dikeluarkan melalui mulut jenazah ayahnya, tetapi dia terpaksa juga mematuhi keputusan adik beradik yang lain. Alangkah sedihnya dia melihat sendiri ulat berenga penuh satu besen itu keluar melalui mulut mayat!

Selesai sahaja Siak Busu mandikan ayah, terus dibujukan tengah rumah untuk dikapankan. Ketika ini Lebai Midin sudah benarkan jiran-jiran naik ke rumah. Tatkala Siak Busu mahu kapankan mayat, hairan juga dia disebabkan kain kapan tidak mencukupi. Masakan kain kapan tidak cukup, kerana Suhor sendiri yang belikan sampai 25 ela.

Lantas sahaja Suhor menuduh Siak Busu tidak tahu kapankan mayat disebabkan tidak tahu mengukur kain. Hampir pula Juki bertengkar dengan abangnya kerana menuduh Siak Busu demikian. Tatkala mereka ditimpa musibah pun abangnya masih mahu tunjukkan sikap sombong terhadap Siak Busu yang datang membantu secara sukarela.

Lainlah kalau dihantar mereka boleh upahkan sesiapa sahaja kapankan jenazah. Bila-bila Suhor sanggup bayar sekira-nya Siak Busu menuntut upah kapankan jenazah ayahnya. Tetapi Siak Busu bukan sebut perkara upah tatkala kain kapan tidak cukup kapankan mayat.

Ditambah lagi kain kapan pun masih juga tidak mencukupi. Sampaikan kaki hingga paras lutut pun tidak dapat dilingkup habis. Sebab itu Suhor tidak sabar lagi lantas membentak, "Kalau tak pandai kapan mayat, kenapa tak suruh orang lain?"

"Kamu nak suruh siapa?" tidak bertangguh Juki menjerkah abangnya yang mahu menunjukkan sikap keras kepala.

"Upah saja berapa ratus mereka mahu!" tegasnya mencebek bibir menyindir Juki.

"Kalau begitu kamu carikan orangnya, biar aku tambah lagi upahnya," bertambah marah Juki disebabkan kelakuan abangnya yang mahu tunjuk kesombongan tatkala jenazah terbujur.

Lebai Midin mendehem tinggi. Tersinggung juga dia dengan sikap Suhor yang tidak mahu belajar dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka. Setelah menelan keluhan disebabkan mayat tidak dapat dikapankan segera Lebai Midin membacakan doa perlahan:

Wama bikum min ni-matin faminallahhi summa iza massakumudh dhurru fa-ilaihi taj-arun.

Sebaik sahaja dihembuskan oleh Lebai Midin ubun-ubun mayat, sekaligus pula Siak Busu mudah mengkapankan. Kain yang tidak mencukupi juga berlebihan bakinya setelah mayat selesai dikapankan oleh Siak Busu.

Bau busuk yang menuuk-nusuk itu semakin meloyakan sebaik sahaja mereka selesai bacakan talkin setelah Andak Seman selamat dikebumikan. Tetapi siapa pun tidak hiraukan lagi bau berkenaan disebabkan mayat sudah dikebumikan dengan sempurna. Mereka tidak perlu bimbang lagi sekiranya bau tersebut boleh memudaratkan.

Sampai berhari-hari bau busuk itu tetap mengganggu. Tetapi anak-anak Andak Seman tidak jejak lagi ke kampung setelah ayah mereka selamat dikebumikan. Mijah juga dibawa ke bandar kerana mereka buat kenduri tahlil di rumah Suhor. Tidak seorang pun jiran-jiran di kampung yang dijemput apabila kenduri tahlil dibuat di rumah Suhor di bandar.

Tiga bulan selepas itu Siak Busu datang juga menemui Lebai Midin di kampung hilir beritahu dia fasal dimarahi oleh Suhor. Memang Suhor tidak puas hati dengan kejadian yang menimpa ayahnya. Sebab itu Suhor tuduh Siak Busu beritahu orang-orang kampung mengenai ulat berenga satu dulang melambak keluar dari mulut jenazah ayahnya.

"Istighfarullahhul azim, abang Midin," kesal benar Siak Busu tatkala beritahu Lebai Midin mengenai sikap Suhor jerkah dia di surau kampung. "Takkan saya nak hebahkan apa yang kita lihat dulu pada orang kampung," sebak sangat hatinya apabila kenang Suhor bercekak pinggang mendongak di tengah halaman surau.

"Suhor tu takutkan bayang sendiri," memang terkilan juga Lebai Midin dengan sikap Suhor yang sepatutnya bersyukur disebabkan orang-orang kampung sama-sama kebumikan mayat Andak Seman. Tetapi dia tidak boleh jerkah Suhor macam anak kecil nakal bermain lumpur selut.

Siak Busu pun sekadar mahu Iuahkan rasa terkilannya pada Lebai Midin sahaja. Dia tahu masakan Suhor mahu dengar nasihat Lebai Midin sekiranya mereka bertemu muka. Kalau tidak disebabkan ayahnya meninggal di kampung, nescaya Suhor sendiri tidak akan jejak kaki jengah jenazah ayahnya di situ.

Tetapi kejadian yang menimpa Andak Seman itu bukan boleh dirahsiakan lagi. Seisi kampung melihat sendiri ulat berenga sedulang selepas mayat dimandikan. Mereka juga gelisah dengan bau busuk menusuk-nusuk tatkala mayat terbujur tengah rumah. Hanya selepas Lebai Midin jejak kaki sahaja bau busuk itu beransur hilang.

Selepas sahaja mayat selamat dikebumikan mereka seisi kampung juga menanggung bau busuk sampai berminggu-minggu. Hujan turun lebat pun bau busuk yang meruap-ruap itu tidak juga hilang. Disebabkan bau busuk itulah Mijah tidak mahu jengah muka balik ke kampung. Malu sangat dia sekiranya orang-orang kampung akan mengejek dirinya pula.

Sebab itulah Suhor sengaja membentak Siak Busu kerana mengesyaki lelaki itu sudah memberitahu seisi kampung mengenai ulat berenga penuh sedulang keluar dari mulut mayat. Siapa sahaja akan mencebek bibir mengejek apa-bila terserempak emaknya di mana-mana.

Memang siapa pun tidak dapat Iupakan kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun. Siak Busu masih terpandang-pandang ulat berenga penuh sedulang meremut-remut yang keluar dari mulut mayat Andak Seman. Apabila kenang kejadian itu mudah sahaja dia merasa loya tekak, kerana dia satu-satunya bukan dari keluarga si mati yang terconggok mandikan mayat.

"Siak Busu tahu segalanya, ustaz," jelas Lebai Midin mengerling Siak Busu apabila kenangkan kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun dulu. "Tak ada apa yang kita nak rahsiakan, semuanya ketentuan Allah belaka," ujarnya sebaik sahaja saya jengah dia bersama Kadir Misai.

Setelah anak saudaranya Naemah meminta Kadir Misai datang menjengah suaminya terkejang di hospital dengan mulut berbuih-buih, lantas sahaja dia ingatkan biarlah dirawat hospital terlebih dahulu. Sebaik sahaja boleh dibawa balik ke rumah, bila-bila boleh cuba diubati cara doa-doa yang sesuai dengan ayat al-Quran. 

Sekiranya masih terkejang di hospital tentulah tidak sesuai mengganggu. Manalah tahu doktor tidak benarkan dicampur aduk dengan doa-doa demikian tatkala dirawat di hospital. Tetapi memang suaminya Suhor tidak mahu keluar dari wad hospital selagi tidak sembuh betul.

Masakan Kadir Misai boleh berkeras sekiranya Suhor tidak rela didoakan. Kalau Juki sendiri memujuk tidak dipedulikan oleh Suhor, apa sangat dengan Kadir Misai sekadar bapa saudara sahaja pada Naemah. Tetapi Naemah merayu juga supaya Kadir Misai tidak berkecil hati dengan sikap Suhor apabila darah mengalir melalui hidung dan telinganya.

"Kalau boleh, tolonglah Pak Kadir doakan juga," bisik Juki memujuk Kadir Misai disebabkan darah masih keluar melalui hidung dan telinga Suhor.

"Buat apa panggil bomoh, dia bukan tahu sakit aku ni!" gerutu Suhor marahkan isterinya Naemah yang bersungguh-sungguh sangat memanggil Kadir Misai.

"Siapa yang kata Pak Kadir ni bomoh?" lantas Naemah ingatkan supaya Suhor tidak membebel tidak tentu biji butir. Kalau tidak disebabkan suaminya berkeras enggan jengah balik ke kampungnya tentu Suhor mengenali sanak saudara. Semenjak mereka berkahwin sampai beranak pun, memang Suhor tidak mengenali Kadir Misai itu pangkat bapa saudaranya.

Masakan Kadir Misai tahu Suhor sekiranya Naemah sendiri tidak temukan mereka. Lagipun tidak ada masa Kadir Misai mahu mengenali sanak saudara kalau mereka jarang balik ke kampung. Sekiranya Naemah tidak mendesak dia datang menjengah Suhor terkejang di hospital memang Kadir Misai juga tidak pernah menatap muka suami anak saudaranya itu.

Disebabkan Suhor tidak mahu didoakan, terpaksalah Kadir Misai balik sahaja ke rumah. Dia tidak mahu jengah Iagi sekiranya Suhor bersikap biadap demikian. Apalah gunanya dia mahu membantu kalau lelaki itu tidak ikhlas menerima kunjungannya.

Tetapi sebelum malam menjelang, Juki datang bersama Naemah mendesak Kadir Misai datang menjengah semula ke hospital. Ketika ini Suhor tidak sedarkan diri akibat darah banyak mengalir melalui hidung dan telinga. Memang Suhor sudah membuat keputusan mahu dirawat ke luar negeri sekiranya rawatan di dalam negeri tidak mampu memulihkan.

Serba salah juga Kadir Misai mahu menjengah setelah terluka hati dengan sikap Suhor. Apabila kenangkan Naemah tersengguk-sengguk merayu supaya jengah juga suaminya, lantas Kadir Misai hubungi saya. Dia mengajak Juki ke rumah saya setelah diberitahu Suhor terkejang tidak sedarkan diri.

Selepas maghrib saya dibawa Juki ke wad Suhor yang terkejang tidak sedarkan diri. Memang darah mengalir di hidung dan telinganya. Terpaksa pula letakkan kapas di telinga biar darah tidak meleleh ke bantal. Tidak henti-henti Naemah mengelap hidung yang berdarah mengalir berterusan.

"Dah minta pada doktor nak keluar?" saya memandang Juki yang cemas dengan keadaan abangnya. Apalagi Saenah adiknya sudah tentu tidak rela abangnya dibawa keluar. Kalau di rumah tentu tidak mendapat rawatan sempurna.

"Doktor dah rekmen nak hantar ke luar negeri," jelas Saenah yang menjadi doktor juga. "Tapi, dia pengsan tak semena-mena," ujarnya tidak bersetuju kalau Naemah berkeras mahu membawa Suhor keluar dari hospital.

"Biar ustaz ni doakan dulu," Naemah mula berkeras setelah sekian lama dia mematuhi sahaja kemahuan keluarga suaminya.

"Keputusan di tangan Kak Naemah!" lantas sahaja Juki menyebelahi kakak iparnya. Saenah tidak berhak membuat keputusan dalam saat demikian, kerana Naemah dan anak-anak-nya wajib menentukan sendiri. Bila-bila Juki akan menyebelahi Naemah kalau mahu mengambil keputusan.

Saenah tidak boleh membantah setelah Juki sendiri mahukan Naemah membuat keputusan. Tersengguk-sengguk Naemah menatap muka Kadir Misai harapkan dibuat apa sahaja untuk membantu Suhor. Tidak menunggu apa-apa pun, saya terus bacakan Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-Ikhlas tiga kali dan Ayatul Kursi 17 kali. Kemudian saya bacakan 7 kali dengan berdoa:

Qul innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yarju liqo-a rabbihi falya’mal 'amalan solehan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi ahadan.

Apabila saya hembuskan ubun-ubunnya seolah-olah kepala Suhor berasap laksana bara disiramkan dengan air. Memang Saenah sendiri melihat kepala abangnya bagaikan berasap menyebabkan dia berasa hairan. Tetapi Saenah malu mahu bertanya apa-apa kepada Juki.

Setiap kali dia melihat kepala Suhor berasap, memang Saenah dapat bayangkan tatkala mayat ayahnya dimandikan. Apabila ditekan belakangnya oleh Siak Busu, sekaligus mulut mayat berbuih dengan bau busuk rnenusuk-nusuk. Ketika ini ulat berenga jatuh melambak ke dalam dulang yang ditadahkan bersama besen. Geli gelemam Saenah melihat ulat berenga meremut-remut di dalam dulang macam anak haruan merenik-renik di permukaan lubuk.

Macam tidak percaya dengan kejadian tersebut kerana belum pernah pun dilihatnya semenjak dia bertugas di hospital. Tetapi kejadian yang menimpa abangnya Suhor tidak sama dengan nasib malang ayahnya. Suhor masih terkejang sakit di hospital dengan kepalanya berasap semasa saya doakan dia di situ.

Tetapi tubuh Suhor tidak bergerak apa-apa sekali pun asap masih banyak melabun di celah rambutnya. Tatkala Saenah mahu meminta bantuan pihak hospital supaya Suhor segera dirawat, lantas sahaja dimarahi oleh Juki.

"Kamu tak percaya kuasa Allah!" jerkah Juki yang sudah tidak sabar lagi dengan perangai Saenah. "Sepatutnya kamu belajar dengan kejadian yang menimpa Suhor sekarang," tegasnya ingatkan Saenah supaya tidak terburu-buru dalam saat demikian.

"Apa-apa hal bersabar dulu, Saenah!" Naemah juga tidak mahu adik iparnya membuat keputusan sendiri sebelum berunding dengan adik beradik yang lain.

"Tunggu dulu apa ustaz dengan Pak Kadir nak buat," ujar Juki selanjutnya setelah menyedari kepala Suhor yang berasap bukan boleh dirawat dengan peralatan biasa. "Kamu fikir kepala Suhor tu terbakar api rokok?" dia mencebek bibir menunjukkan rasa jijik dengan sikap Saenah yang tidak mahu menghormati ikhtiarnya menjemput Kadir Misai bersama saya ke situ.

"Sabarlah, Juki," lantas Kadir Misai memujuk supaya bertenang dalam suasana cemas demikian.

"Saenah ini kena berterus terang, Pak Kadir," sahut Juki masih menahan gelora kemarahan di dadanya. "Kalau tak cakap macam tu, dia tak faham!" gerutunya perlahan setelah saya memberi isyarat meminta dia tidak ikutkan sangat perasaan.

Ketika ini tangan Suhor mula bergerak perlahan. Dia membuka pelupuk mata, tetapi masih belum cam siapa yang berdiri di sisinya. Darah juga kian kering di hidung dan di telinga apabila Naemah mengelapnya. Naemah menghela nafas dengan melafazkan syukur beberapa kali setelah melihat darah yang mengalir mulai kering.

Kemudian saya hembuskan lagi ubun-ubunnya tiga kali dengan membacakan:

Laqod ja-akum rasulum min anfusikum 'azizun 'alaihi ma 'anittum harisun 'alaikum bilmu’minina ra-ufurrahim,fa-in tawallau faqul hasbi-yallahhu la-ilaha illahuwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil 'azim.

Tujuh kali saya doakan dengan ayat tersebut, perlahan-lahan asap di celah rambut itu menipis terus hilang tidak berbekas apa-apa. Menggeleng-geleng Saenah, tetapi dia merungut dengan menuduhnya sama seperti permainan silap mata.

Memang saya tidak salahkan Saenah merungut, kerana dia tidak memahami keadaan sebenarnya. Dia sekadar melihat Suhor terkejang dengan kepala berasap sahaja. Masakan Saenah melihat berpuluh-puluh ekor ular bisa berlingkar di kepala Suhor macam ulat berenga beremut-remut ditadah dalam dulang.

Setiap kali Suhor gerakkan kepala tidak bertangguh ular bisa itu mematuk sampai darah meleleh melalui hidung dan telinganya. Sekalipun bayangan itu sekadar dilihat dalam imbasan sahaja, tetapi penderitaan yang dialami oleh Suhor samalah dengan patukan ular bisa yang tidak mempunyai belas kasihan.

Tentu Saenah sendiri akan terjerit ketakutan sampai menggeletar seluruh badan kalau melihat sendiri keadaan yang dilihat dalam bayangan tersebut. Memang tidak mudah mahu melihatnya kalau sekadar tercegat berdiri di sisi Suhor sahaja. Masakan saya dapat menerangkan keadaan tersebut kepada Saenah setelah dia merungut menuduhnya macam satu permainan silap mata.

Bukan saya sahaja tidak dapat menerangkan kepadanya, mungkin Lebai Midin juga tidak berupaya. Bagaimana dia mahu menerangkan kejadian ulat berenga penuh sedulang keluar dari muIut mayat laksana muntah terjeluih? Masakan perkara silap mata kalau ubat berenga itu meremut-remut hidup laksana anak haruan tengah lubuk.

Tiga hari selepas itu saya tidak jengah lagi Suhor ke hospital, kerana Juki tidak memberitahu apa-apa. Kadir Misai juga sudah balik ke Pahang setelah tidak tertahan dengan sikap Saenah, sekalipun anak saudaranya Naemah terus memujuk. Dalam tempoh tiga hari itu Suhor sudah mulai segar setelah darah tidak lagi mengalir di hidung dan di telinganya.

Sebab itu Suhor berkeras juga mahu dirawat ke luar negeri. Dia tidak peduli Naemah memintanya supaya ulangi lagi menjemput Kadir Misai atau saya ke hospital. Suhor juga tidak hiraukan Juki mendesaknya supaya bersabar sebelum ambil keputusan ke luar negeri.

Seminggu selepas Suhor bercadang mahu dapatkan rawatan ke luar negeri itu, dia kembali diganggu kejutan sampai seluruh badan kejang kaku. Darah kembali mengalir di hidung dan di telinga. Tidak sempat lagi dia dibawa ke luar negeri dengan keadaan yang menimpanya itu.

Setelah diberitahu Kadir Misai keadaan Suhor bertambah tenat, dia sendiri jelaskan kepada Naemah tidak mahu mencampuri urusan keluarga Suhor. Masakan dia boleh membantu sekiranya Suhor sendiri tidak harapkan apa-apa bantuan.

Bukan takat Kadir Misai sahaja tidak mahu jengah, malah Juki berasa malu mahu menjemput saya. Hanya setelah Suhor meninggal dunia barulah dia beritahu. Tetapi saya sudah ke Bukittinggi semasa Juki menelefon ke rumah mengenai kematian Suhor. Darah masih juga mengalir di hidung dan di telinganya sewaktu mayat dimandi dan dikapankan.

"Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya, ustaz," keluh Lebai Midin apabila kenang kejadian yang menimpa abangnya arwah Andak Seman dan anak saudaranya Suhor itu. Sebak juga dadanya disebabkan Saenah juga seolah-olah mengikuti jejak langkah ayah dan abangnya, hingga tidak percaya kejadian demikian boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

SELESAI

No comments:

Post a Comment