PERUT yang memboyot
itu memang tidak hamil, sekalipun keadaannya sama seperti orang mengandung
masuk sembilan bulan. Tahu benar Tiamit
dia bukanlah hamil tengah sarat. Masakan
dia mengandung ketika umurnya sudah lebih empat puluh tahun setelah tidak turun
kotor lagi. Tetapi perut memboyot itu
terasa bergerak-gerak hingga dia menjadi rimas tidak menentu.
Tidak pula terasa
sakit menyeksa diri kalaulah benar ada ketumbuhan di dalam perut. Hospital juga tidak dapat sahkan sama ada
ketumbuhan ataupun tidak, tetapi dia perlu dibedah.
Mengeluh panjang Tok
Kimar ketika merenung air di dalam geluk, sewaktu dijemput mengubati
Tiamit. Sudah berubat besar sampai
menurun menyeru Moyang Labuh membantu, penyakit perempuan itu tidak juga mahu
seruh. Jaamat suami Tiamit juga sudah
mati ikhtiar mahu mengubati penyakit perut yang membesar seperti busung.
“Kalau tak boleh
juga, bawa isteri awak ke hospital,” ujar Tok Kimar menggeleng-geleng lemah.
“Tak payahlah,” cepat
sahaja Tiamit membantah. “Kalau bawa
hospital, memang kena belah,” katanya
apabila kenangkan keputusan pihak hospital mahu membedah perutnya yang memboyot
besar.
“His, takkan semua
penyakit nak dibelah,” Tok Kimar terus memujuk setelah dia tidak berupaya
membantu.
“Kami baru balik dari
hospital,” jelas Jaamat perlahan mengerling isterinya yang terkejang
termengah-mengah.
“Sebab itu saya minta
keluar wad, bila Tiamit tak mahu dibelah,”
ujarnya menghela nafas.
Terdiam Tok Kimar
dengan keputusan mereka suami isteri.
Anak mereka Badun tidaklah mendesak sangat sekiranya Tiamit tidak mahu
berubat di hospital. Biarlah emaknya
buat keputusan sendiri sama ada mahu berubat di hospital atau pun secara
tradisional.
Marah juga adiknya
Semiah disebabkan Badun tidak mahu mendesak emaknya berubat di hospital. Kalau Badun berkeras tentu emaknya serba
salah juga. Semiah tahu emaknya jarang
membantah keputusan Badun kalau abangnya sendiri mendesak.
Sejak balik dari
Kuala Lumpur memang Semiah mendesak abangnya supaya memujuk emak mereka ke
hospital. Apalagi Tok Kimar sendiri
sudah mengaku kalah hingga tidak menyanggupi untuk terus mengubati. Siapa lagi boleh diharap kalau Tok Kimar
sudah tidak menyanggupi.
“Abang patut pujuk
emak tu,” Semiah terus mendesak setelah
Tok Kimar sendiri menyuruh ke hospital.
Kalau dukun mencadangkan dibawa ke hospital tentulah penyakit emaknya
tidak boleh diubat cara tradisional.
Badun menunduk tidak
menyahut. Dia tidak mahu membuat
keputusan dalam saat emaknya menderita sakit.
Kalau emaknya sendiri yang membuat keputusan mahu berubat ke
hospital, Badun akan terus membawanya
dengan tidak bertangguh. Manalah tahu
penyakit emaknya kian melarat apabila dibawa ke hospital. Tentulah semua adik beradik menyalahkan dia
terburu-buru membuat keputusan.
“Tunggu adik beradik
kau yang lain,” Jaamat mengingatkan
Semiah supaya tidak mendesak. Kalau
mereka berkeras juga mendesak, tentu perasaan Tiamit bertambah cemas. Penyakitnya juga akan menjadi beban yang
lebih menyeksa.
“Tapi, mak dah tak
boleh diubat di kampung,” ujar Semiah
menelan keluhan yang menyebak di dada.
Sepatah pun Badun
tidak menyahut. Dia tetap menunduk
bagaikan buntu tidak dapat memikirkan apa pun.
Memang adiknya Semniah tidak rela enaknya terlantar. Setidak-tidaknya dia jururawat di hospital
daerah, tentulah berpengalaman menghadapi saat cemas.
“Eloklah ke
hospital,” tutur Tok Kimar lantas
mengukuhkan sandar belakangnya ke dinding tengah. Dia dapat mengagak bengkak di perut Tiamit
disebabkan angin bisa. Puas dia menolak
angin bisa itu keluar, tetapi sudah sebati sampai tidak dapat di pisahkan
dengan darah dan daging Tiamit.
Tiamit tidak mahu
dibawa ke hospital. Biarlah dia
terlantar di rumah hingga terbujur kejang menutup mata. Tiamit tidak akan jejakkan kaki lagi ke hospital. Cukuplah dia berminggu-minggu dimasukkan ke
wad hingga ke Hospital besar pun.
Kesian juga dia pada
suaminya Jaamat terpaksa berulang alik ke hospital menjengah dia. Anak-anak tidak akan datang menjengah setiap
hari. Kalau mereka jejakkan kaki pun
apabila setiap hujung minggu.
Kecil juga hati
Tiamit dengan sikap anak-anak apabila dia dimasukkan ke hospital. Tidak siapa pun mahu luangkan masa jengah
ayah mereka di rumah. Semiah tentu tidak
ambil tahu fasal makan minum ayahnya, sekiranya dia terlantar di wad hospital.
Sebab itu Tiamit
tidak rela dipisahkan dengan Jaamat.
Kalau di rumah dia boleh gagahkan memasak di dapur. Perutnya yang memboyot tidaklah menyakitkan
sampai terkejang tidak boleh bangun langsung.
Hanya kalau dibawa bergerak kuat barulah terasa menyenak hingga terloya
mahu muntah.
“Biarlah saya mati di
rumah ni, Tok Kimar,” lantas Tiamit
membuat keputusan sendiri. Siapa pun
tidak boleh memaksa dia ke hospital.
Takdirnya Tok Kimar sudah tidak menyanggupi untuk mengubat, biarlah dia
menanggung penyakit itu sampai ke mati.
Menggeleng-geleng Tok
Kimar. Perlahan-lahan dia menghela nafas
kerana tidak berupaya membantu. Sudah
puas dia berusaha sampai menurun dengan menyeru nama Moyang Labuh menjelma. Tok Kimar mendengar sendiri bisikan daripada
Moyang Labuh menyuruh dapatkan air di tujuh kuala untuk dilangirkan Tiamit di
masjid lama.
Masakan Moyang Labuh
berbohong apakala menjelma tatkala dia membakar kemenyan di tengah malam. Gementar juga Tok Kimar apabila bayangan
Moyang Labuh tercegat di hadapannya dengan menunggang harimau hitam sebesar
bapak lembu.
“Carikan air tujuh
kuala,” suara bisikan Moyang Labuh
bergetar menusuk ke telinga Tok Kimar.
“Apa penyakit Tiamit
ni, moyang?” Tok Kimar mendongak
memerhati Moyang Labuh bertunggang di belakang harimau berkenaan.
“Jangan Tanya
penyakit!” keras sahaja suara Moyang
Labuh seolah-olah membentak. “Tiamit tu
sakit, ubatkan saja, kenapa nak tanya penyakitnya?” katanya memarahi Tok Kimar.
Tersipu-sipu Tok
Kimar. Tidak pernah Moyang Labuh marah
sekiranya di seru namanya tatkala berubat besar. Memang dia terpaksa berubat besar sekiranya
penyakit yang diubati itu terlalu tenat.
Sebaik sahaja di
bakar kemenyan dia akan menyeru nama Moyang Labuh sampai lembaga tersebut
menjelma di hadapannya. Moyang Labuh
yang datang sewaktu dia bertapa di masjid lama berjanji akan membantunya
sekiranya dia memerlukan pertolongan.
Sudah beberapa kali
dia berubat besar memang jelmaan Moyang Labuh tetap tercegat dengan bertunggang
di belakang harimau hitam. Moyang Labuh
akan membisikkan apa sahaja bagi mengubati pesakit,. Belum pernah Moyang Labuh berbohong setiap
kali menjelma membantunya.
Ali Bagong
bertahun-tahun mengidap bisul sebesar tempurung kelapa di bahu pun boleh
sembuh, setelah Moyang Labuh menjelma.
Moyang Labuh bisikkan ke telinganya supaya carikan akar pokok beringin
terjuntai tidak cecah ke tanah. Getah
akar beringin itulah disapukan sampai punat bisul meletus.
Tidak bertangguh Ali
Bagong mandi berlangir di masjid lama sebaik sahaja penyakitnya sembuh. Memang menjadi syarat berubat dengan Tok
Kimar mesti mandi berlangir di masjid lama itu, sekiranya penyakit sembuh
seperti sediakala. Moyang Labuh yang
tetapkan syarat demikian apakala menjelma setelah diseru namanya oleh Tok
Kimar.
Tetapi mengubati
Tiamit tidak sama dengan mengubati Ali Bagong.
Serba salah juga Tok Kimar mahu berubat besar kalau Moyang Labuh
menjelma dengan muka hodoh mencebik bibir.
Tentu ada pentang larang yang tidak dipatuhi menyebabkan mudah sahaja
Moyang Labuh menengking.
“Kalau tak tahu
penyakit, macam mana nak ubatkan?” Tok
Kimar tetap tenang menghadapi dugaan demikian.
“Carikan sahaja air
tujuh kuala,” perintah Moyang Labuh
tidak pedulikan pertanyaan Tok Kimar.
“Boleh, memang boleh
kawan carikan air tujuh kuala,” lantas
Tok Kimar memberi pengakuan untuk memenuhi apa sahaja perintah Moyang Labuh.
“Langirkan dia di
masjid lama,” ujar Moyang Labuh
selanjutnya, kemudian hilang dalam kesamaran sebelum sempat Tok Kimar
bertanyakan arahan seterusnya.
Siapa pun tidak
melihat Moyang Labuh bertunggang di belakang harimau. Dia memakai jubah putih dengan memegang
tongkat semambu beruas sonsang.
Janggutnya putih bagaikan kapas terurai sampai ke pusat. Bulu keningnya lebat juga memutih dengan mata
jauh ke dalam.
Hanya Tok Kimar
sahaja melihatnya tercegat setiap kali kemenyan dibakar. Ketika ini Tok Kimar sahaja bercakap
dengannya kalau fasal mahu mengubati penyakit.
Semenjak Tok Kimar dikenali menjadi dukun di kampung itu, memang Moyang
Labuh yang mendampingi dia.
Seminggu Tok Kimar
bersembahyang tahajud di masjid lama menunggu hingga tengah malam, seminggu
pula berpuasa dari Jumaat hingga santak ke malam Jumaat. Tetapi Tok Kimar tidak pernah mengalah. Dia tetap tabah menyempurnakan amalan yang di
suruh gurunya Tok Pekak, asal sahaja dia dapat mencapai cita-citanya.
Tidak tertahan Tok
Kimar mengidap penyakit sejak berbulan-bulan lenguh lutut dan sakit dada. Apabila tengah malam menjelang batuknya akan
menjadi-jadi sampai terasa pedih tekak.
Akibat batuk yang bertalu-talu itu sendi-sendinya mejadi lenguh hingga
tulang juga terasa ngilu.
“Tak dapat aku nak
ubatkan penyakit ni,” keluh Tok Pekak
setelah melihat telur yang di pecahkan ke piring itu berbuih-buih dengan kesan
berlubang seperti di tusuk.
“Apa penyakitnya tu,
Tok?” hairan juga Tok Kimar setelah
melihat sendiri keadaan telur yang sudah dialin ke tubuhnya itu.
“Aku pun tak tahu,
tapi agaknya bencana,” beritahu Tok
Pekak menggeleng-geleng lemah.
“Habis tu, macam mana
nak ubat?” gelisah juga Tok Kimar
disebabkan Tok Pekak sudah mengaku tidak mampu untuk mengubati dia.
Lama Tok Pekak
terdiam sambil menghela nafas panjang.
Sewaktu malam pertama dia mengubati Tok Kimar, memang terkejut Tok Pekak
apabila satu lembaga besar dalam gumpalan asap hitam menghadang dia di
perjalanan.
Tantulah mustahil
mahu menentang lembaga yang kelihatan seperti gumpalan asap itu. Lainlah kalau menusia biasa yang boleh
ditentang dengan tenaga. Bila-bila Tok
Pekak sanggup menghambur dari atas basikal lantas menbuka langkah pencak,
sekiranya musuh di hadapan berniat salah itu menusia biasa.
Tetapi lembaga besar
di hadapannya bukan manusia. Hanya
gumpalan asap hitam yang kepalanya cecah keawan. Kalau dia berkeras melawan memang geruhnya
sudah tidak dapat dielakkan. Sebab itu
Tok Pekak mesti mencari helah supaya dia tidak diancam lembaga berkenaan.
“Apa nak tunjuk
pandai ke?” sayup suara lembaga itu
kedengaran bagaikan dari awan yang tinggi.
“Tunjuk pandai macam
mana?” bimbang juga Tok Pekak kalau lembaga berkenaan sengaja mahu mencari
geruh.
“Kenapa awak nak
ubatkan Kimar?” semakin marah suara
lembaga itu membentak.
“Ah, dia panggil
minta ubatkan, terpaksalah kawan ubatkan,”
Tok Pekak memberi penjelasan dengan tersenyum hambar di dalam kesamaran
malam itu.
“Kawan datang dari
seberang, umur kawan dah beribu tahun, janganlah awak nak tunjuk pandai,” lembaga itu seolah-olah memberi amaran supaya
Tok Pekak jangan cuba nak mengubati penyakit Tok Kimar.
Sebab itulah apabila
kenangkan pertemuan dengan lembaga besar sepeti gumpalan asap hitam, bulu roma
Tok Pekak meremang. Dia percaya lembaga
tersebut bukan lawannya. Kalau tidak
masakan lembaga berkenaan berani menghadangnya sambil memberi amaran.
Tok Pekak tahu sangat
fasal makhluk halus yang cuba berhadapan dengannya. Kalau calang-calang makhluk halus memang
tidak berani menjelma di hadapannya, selagi dia dilindungi oleh akuannya. Bila-bila akuannya akan menjelma menentang
apa sahaja lembaga yang cuba mengganggu dia.
Tetapi akuannya tidak
menjelma tatkala lembaga besar itu menghadang perjalanannya. Sudah tentu akuannya juga tidak mampu mahu
melawan makhluk halus demikian.
Apabila kenangkan
pertemuan itu Tok Pekak serba salah mahu meneruskan mengubati Tok Kimar. Bagaimana kalau jelmaan lembaga besar seperti
gumpalan asap hitam itu mengancam keluarganya?
Bila-bila dia boleh bertahan sekiranya lembaga berkenaan mahu mencari geruhnya. Tetapi Tok Pekak tidak dapat membantu kalau
anak isterinya yang menjadi sasaran.
Biarlah dia mengalah.
Tok Kimar boleh diajar amalkan pengubatan sendiri kalau dia bersetuju. Memang Tok Pekak tidak keberatan mengajarkan
amalannya kepada Tok Kimar.
Disebabkan sudah
bebulan-bulan Tok Kimar mengidap penyakit ganjilnya, dia tidak peduli apa.
Jangan katakan bertapa di masjid lama dengan bangun di tengah malam
bersembahyang tahajud kalau di suruh mencari gua di tengah hutan pun, Tok Kimar
sanggup lakukan.
Apa sangatlah dengan
masjid lama yang terpencil di hujung kampung, kalau bandingkan dengan penyakit
yang dihidapnya. Setiap tengah malam dia
akan di ganggu demam kesejukan hingga seluruh sendi-sendi merasa lenguh. Dia akan terbatuk-batuk berulang kali
bagaikan terasa rangka dadanya pecah.
Biarlah dia turutkan
amalan yang di berikan oleh Tok Pekak.
Berpuasa seminggu bukanlah membawa aral apa-apa. Dalam masa berpuasa dia dikehendakki tidak
lepas daripada wuduk sepanjang masa. Tok
Pekak mahu dia habiskan membaca Ayatul Kursi sebanyak 313 kali dari satu waktu
solat ke pada waktu seterusnya.
Malam ketujuh dia
bersembahyang tahajud seorang diri di tengah kesepian itulah Moyang Labuh
menjelma di tengah masjid. Tok Kimar
tercium bau wangi semerbak sewaktu Moyang Labuh berdiri solat dua rakaat. Selepas selesai solat, Moyang Labuh menggamitnya
dekat.
Tok Kimar di suruh
mandi di perigi dan mengambil pucuk pisang kelat yang masih bulat di penjuru
pagar masjid. Terketar-ketar Tok Kimar
kesejukan disuruh mandi di tengah malam demikian. Dengan tidak berbaju Tok Kimar di suruh oleh Moyang Labuh meniarap di atas
pucuk pisang tersebut sambil meletakkan dadanya ke situ.
Moyang Labuh
menepuk-nepuk belakang Tok Kimar dengan membacakan Fatihah berulang kali. Hampir lima belas minit Moyang Labuh menepuk
belakang Tok Kimar barulah di suruhnya duduk.
Kemudian Moyang Labuh menyuruh Tok Kimar menyuluhkan pelita ke atas
pucuk pisang berkenaan.
Terkejut Tok Kimar
apabila dilihatnya di atas pucuk pisang kelat itu bermanik-manik serbuk kaca
halus bertaburan akibat disuluh cahaya api pelita. Bercampur aduk dengan kaca halus bertaburan
itu ialah miang rebung dan bulu halus yang lerai daripada ulat bulu.
“Apa bendanya tu,
Moyang?” soalk To Kimar memerhati Moyang
Labuh yang duduk menunduk.
Tersenyum Moyang
Labuh sambil membelek-belek ke atas pucuk daun pisang berkenaan. Kemudian dia menghela nafas lantas
menepuk-nepuk bahu Tok Kimar. “Kau
bernasib baik,” keluhnya perlahan terus
melipat pucuk pisang itu.
“Apakah penyakit
saya, Moyang?” tidak sabar lagi Tok
Kimar mahu mengetahi penyakit sebenar yang dihidapinya.
“Bencana yang nak
membunuh kau,” ujarnya mencebik
bibir. “Mujurlah pertahanan kau kuat,
Kimar,” terus Moyang Labuh lantas
memperkenalkan dirinya sebgai penjaga masjid lama itu turun temurun.
Moyang Labuh memberitahu
mengenai santau yang dikirimkan untuk membalas dendam terhadap Tok Kimar. Bukan santau angin atau santau air yang
dikirimkan, tetapi santau permainan syaitan.
Kalau sekadar santau angin atau santau air memang Tok Kimar tidak mudah
di tewaskan.
Sudah lama dia
berguru dengan Tok Pekak kalau fasal jampi serapah. Memang Tok Kimar tidak pernah bimbang dengan
santau angin atau santau air yang dikirim melalui makanan. Bubuk santau akan terbang membawakan kiriman
melalui angin lantas menjatuhkan serbuk ke dalam makanan mangsa. Apabila Tok Kimar membacakan:
Hai garak garik,
kalau ada yang menganiaya, nak membinasakan aku, letakkan di hampa tapak
tanganku hu-Allah…nescaya tapak tangannya akan bergerak-gerak.
Sekiranya tapak tangannya
bergerak, Tok Kimar tidak akan menyentuh makanan atau minuman berkenaan. Dia sudah dapat mengagak memang geruh
menunggu kalau digagahi juga menjamahnya.
Masakan Tok Kimar boleh diperangkap oleh santau yang di kirim melalui
bubuk seperti lipas terbang mencari sasaran.
Tetapi Moyang Labuh
memberitahu fasal santau yang di kirim melalui syaitan. Bukan mudah mahu menghadapinya kerana masuk
melalui pernafasan. Siapa pun sukar mahu
mengelak kalau santau dikirim melalui syaitan meresap sewaktu tengah lena
tidur.
“Syaitan akan masuk
melalui ibu jari kaki,” jelas Moyang
Labuh mengingatkan supaya tidur tidak dedahkan ibu jari kaki. Tentu Tok Kimar tidak pernah berselimut kalau
tidur di tengah rumah sampai ibu jari kaki terdedah tidak ditutup.
Masakan dia mahu
berselimut tidur kalau tengah malam pun panas membahang. Kadangkala berpeluh di tengah malam sekalipun
badan terdedah hanya sekadar memakai kain sarung sahaja. Tentulah ibu jari kakinya sentiasa terdedah
tidak ditutupi selimut.
Sepanjang malam itu
berbelas-belas kali Moyang Labuh menyuruh Tok Kimar meniarap di atas pucuk
pisang kelat. Kemudian dia akan
menepuk-nepuk belakang Tok Kimar hingga ramuan santau luruh ke situ mengikut
lubang rongganya. Hampir subuh barulah
daun pisang kelat yang sudah beberapa kalik ditukar setiap kali Moyang Labuh
menepuk semula tidak lagi kelihatan ramuan santau luruh di situ.
“Syukurlah, semuanya
selamat,” ujar Moyang labuh berpuas
hati.
Sebelum meninggalkan
masjid lama Moyang Labuh memberikan ibu kemenyan kepada Tok Kimar supaya
menyeru namanya apabila menghadapi kesulitan.
Selepas solat subuh terlelap juga Tok Kimar menunggu hari siang. Hingga matahari tegak segalah barulah dia terbangun
setelah terdengar orang menorah getah bersiul-siul di sempadan tanah.
Setelah bertapa di
masjid lama itu memang terasa pada Tok Kimar dadanya semakin lega. Tidak lagi terasa bahang hingga perit ke
kerengkung apabila terbatuk-batuk di tengah malam. Lututnya juga tidak lagi diganggu
lenguh-lenguh seperti mendaki bukit yang tinggi.
Sebaik sahaja kenang
dia berpuasa seminggu dan mengasingkan diri di masjid lama ketika sakitnya
tidak boleh di ubati, Tok Kimar percaya Tiamit juga boleh lakukan
demikian. Tentu Tiamit sanggup berpuasa
seminggu dengan mengasingkan diri di masjid lama itu sepanjang malam.
“Kalau tak ada cara
lain nak ubat Tiamit, kenalah dia ubat sendiri,” kata Tok Kimar jujur.
“Nak ubat macam
mana?” hairan juga Semiah apabila
emaknya disuruh berubat sendiri.
“Macam saya sakit
dulu,” beritahu Tok Kimar fasal dia
menanggung kegelisahan akibat penyakit ganjil yang disangkanya. Kalau tidak jelmaan Moyang Labuh datang
memberitahu, tentulah dia tidak tahu mengenai santau yang dikirim melalui
syaitan itu.
Manalah dia tahu
fasal santau yang boleh menyusup melalui
jari kaki. Tok Kimar sekadar tahu
santau hanya masuk melalui makanan hingga mangsanya terbatuk-batuk muntahkan
darah. Santau yang menyusup melalui ibu
jari kaki hanya terasa apabila dia semakin lemah.
“Macam mana pun saya
sanggup buat,” sahut Tiamit cekal mahu
melakukan seperti yang pernah dialami oleh Tok Kimar.
Apalah salahnya dia berpuasa
seminggu semata-mata mahu memohon pertolongan Allah supaya disembuhkan
penyakitnya. Kalau jelmaan Moyang Labuh
tercegat di hadapannya pun Tiamit tidak bimbang apa-apa. Biarlah dia tempuhi juga dugaan semikian
tatkala penyakitnya sudah tidak dapat lagi diubati.
Disebabkan Tiamit
sudah membuat keputusan nekad, siapapun tidak mahu membantah, Jaamat sanggup
menghantarnya berbasikal ke masjid lama itu sebaik sahaja selepas maghrib dan
berbuka puasa. Pagi-pagi Jaamat akan
datang menjemputnya.
Terasa juga gementar
Tiamit tatkala bangun tengah malam turun ke perigi mengambil wuduk. Tetapi dia cekalkan hati menempuh apa sahaja
dugaan disebabkan penyakitnya sudah lama dideritai. Apalah gunanya membiarkan penyakit tersebut
mengganggu, kalau tidak berani berseorangan di tengah malam mendirikan solat di
masjid terpencil itu.
Biarlah dia mati
terkejang di situ sekiranya penyakit itu terus juga megganggu. Tiamit rela mati kalau tidak dapat mengubati
penyakit yang dideritanya sampai perut memboyot bagaikan diganggu busung.
Selesai sahaja solat
tahajud, Tiamit duduk membacakan Ayatul Kursi hingga 313 kali. Dia cekal duduk hingga dua jam menghabiskan
313 kali membaca Ayatul Kursi itu.
Setelah tidur semula, Tiamit bangun tidak lama selepas itu untuk
menunaikan solat subuh.
Apabila Jaamat
menjemputnya pagi-pagi, Tiamit sudah siap berkemas-kemas untuk balik. Tubuhnya
kelihatah letih disebabkan berjaga sepanjang malam. Apa lagi terpaksa menjamah makanan sedikit
untuk menghadapi puasa di siang hari.
Bertambahlah tidak cukup tidur dia.
Memang tidur dalam
keadaan demikian tidak nyenyak. Beberapa
kali Tiamit tergamang apakala terdengar
suara sayup-sayup di udara memanggil namanya.
Sebaik sahaja dia membuka mata
hanya elusan angin malam sahaja bertiup kuat.
Sekali sekala dahan pokok getah
di sempadan tanah memukul cucur atap masjid berkenaan disebabkan angin
menggoncang.
Malam ketiga Tiamit
tidur di masjid lama itu, berdebar-debar hatinya sewaktu terjaga tengah malam
untuk turun mengambil wuduk di perigi.
Dia melihat seorang lelaki tua berjubah putih mendirikan solat di tengah
masjid. Kalau tidak kenangkan perutnya
yang memboyot besar, memang Tiamit akan lari meninggalkan kawasan masjid.
Setelah beristighfar
beberapa kali, Tiamit turun juga ke perigi.
Setelah mengambil wuduk dia tunaikan juga solat tahajud. Tidak ada sebab dia mesti mengalah setelah
tiga malam berturut-turut mengamalkan.
Dia mesti habiskan juga sampai tujuh malam seperti di amanahkan oleh Tok
Kimar.
Tiamit gagahi juga
untuk bersolat sunat tahajud jauh di belakang lelaki berjubah putih itu. Selesai sahaja solat Tiamit hampir terjerit
apabila lelaki di hadapannya menjelma menjadi harimau hitam. Berligar-ligar harimau hitam itu di tengah
masjid dengan ekornya bergoyang-goyang.
Tetapi Tok Kimar
sudah ingatkan dia supaya jangan gentar melihat apa sahaja yang menjelma. Kalau
dia tidak mahu menganggapnya sebagai dugaan.
Tiamit boleh anggap hanya mimpi sahaja.
Apalah yang ditakutkan lagi kalau semuanya berlaku di dalam mimpi.
Harimau hitam yang
berligar-ligar di tengah masjid bukanlah mimpi Tiamit. Dia melihat sendiri harimau itu merenung
tajam kearahnya. Kemudian harimau hitam
itu melintas di belakangnya sambil menjilat-jilat pinggang sampi ke
tengkuk. Memang Tiamit kecut perut
sampai merenik-renik peluh di dahi menahan ketakutan yang menusuk-nusuk.
Tiamit terus
membacakan Ayatul Kursi tidak berhenti-henti untuk mencukupkan 313 kali setiap
malam. Sekalipun terasa seram sejuk
setiap kali harimau hitam itu menjilat pinggang hingga santak ke tengkuk,
tetapi Tiamit sekadar menggigit bibir untuk melawan ketakutan itu.
Belum sampai 150 kali
dia membacakan Ayatul Kursi belakangnya tidak lagi dijilat oleh harimau
berkenaan. Tetapi Tiamit tidak berani
berpaling ke belakang selagi tidak selesai amalannya. Sehingga habis dia membacakan Ayatul Kursi
313 kali, kawasan tengah masjid lengang tidak ada sesiapa pun di situ.
Ketika suaminya
Jaamat datang menjemput di sebelah pagi, Tiamit ceritakan juga pengalamanya
beramal di tengah masjid. Apabila
diberitahu pada Tok Kimar, marah juga orang tua itu disebabkan Tiamit tidak
sabar. Sepatutnya dalam masa beramal
tidak boleh diberitahu kepada sesiapa apa pun yang ditemui. Birlah semuanya berlalu begitu sahaja.
“Awak tak sabar
Tiamit,” gerutu Tok Kimar duduk
berjuntai kaki di tangga rumah Jaamat.
“Itu pemberian, sepatutnya awak bersyukur,” dia menambah sambil menunduk menahan rasa
kesal.
“Saya tak tahu pula
tak boleh cerita pada orang,” sahut
Tiamit memegang perutnya yang memboyot bagaikan tengah sarat hamil.
“Dia hanya cerita
pada saya aje,’ Jaamat cuba
mempertahankan isterinya. Apalah
salahnya Tiamit ceritakan padanya fasal pengalaman beramal di masjid lama
itu. Dia pun patut tahu mengenai
sebarang perkara yang menimpa isterinya.
“Eloklah tu,” cepat sahaja Tok Kimar memintas. “Jangan cerita dengan orang lain lagi,” katanya semacam memberi amaran.
Tiamit
mengangguk. Memang dia tidak akan memberi
tahu sesiapa pun selain daripada suaminya.
Apalah gunanya memberitahu orang lain perkara yang berlaku ke atas
dirinya. Seisi kampung tidak akan tahu
pengalaman pahit yang ditanggungnya selama ini sejak menderita sakit ganjil
demikian.
Kalau tidak kenangkan
imannya kuat, memang Tiamit radak perutnya dengan pisau tajam. Biarlah perut itu terburai sampai terkeluar
usus. Tentu penyakit yang bersembunyi di
dalam perut itu akan menyembur sama tidak bertampan. Marah benar Tiamit dengan penyakit yang sukar
dapat diubati lagi.
Dia teruskan juga
beramal hingga malam ketujuh. Sebaik
sahaja habis solat sunat tahajud, Tiamit mendengar orang memberi salam dari
hadapan masjid. Terpaksa dia menyahut
juga sekalipun hatinya berdebar-debar ketakutan. Ketika dia berpaling ke pintu, lelaki tua
berjubah putih itu naik ketengah masjid.
Mukanya bercahaya seperti lingkaran api lampu hingga wajahnya
tersembunyi di sebalik silauan cahaya itu.
“Awak seorang aje
ke?” tegur lelaki tua itu lembut.
Tiamiot mengangguk dengan
tidak menuturkan sepatah kata pun.
Apabila dia meneruskan membaca Ayatul Kursi, lelaki tua berjubah putih
itu terus solat di anjung masjid.
Sewaktu Tiamit
mengerling kearahnya, seekor harimau hitam tercangkung disisi orang tua
berkenaan. Ketika ini Tiamit tidak
merasa takut apa-apa, kerana lelaki tua berjubah putih itu ada di tengah
masjid. Lagi pun dia sudah memahami
bahawa harimau hitam berkenaan tidak berbahaya.
Habis sahaja Tiamit
membacakan Ayatul Kursi 313 kali, lelaki tua itu terus mendekati Tiamit. Dia seolah-olah tahu Tiamit sudah selesai
beramal. Tercium bau ambar sebaik sahaja
lelaki tua itu mendekati Tiamit.
“Jangan takut dengan
Moyang,” ujar lelaki itu perlahan sekalipun
wajahnya tidak jelas pada penglihatan Tiamit.
“Moyang ni ialah Moyang Labuh penjaga masjid ni,” jelasnya terangguk-angguk lantas menyuruh
harimau hitam itu menjilat belakang Tiamit.
“Lama sangat penyakit
saya ni, Moyang,” bergetar suara Tiamit
menahan perasaan gugupnya.
“Ah, penyakit ni
ujian daripada Allah,” beritahu Moyang
Labuh mengisar tapak tangannya hingga terasa pada Tiamit perutnya seolah-olah
dipulas. “Allah menguji kesabaran kita
dengan penyakit yang diturunkanNya,”
kata Moyang Labuh dengan mukanya tersembunyi di sebalik lingkaran
cahaya.
“Bolehkah Moyang
tolong ubatkan?” Tiamit memberanikan
hati untuk menyoal.
“Penyakit datang dari
Allah, mohonlah pertolongan Allah untuk menyembuhkan,” tegas Moyang Labuh sambil memberi isyarat
kepada harimau hitam itu menjilat perut Tiamit yang memboyot besar.
Setiap kali harimau
itu menjilat perutnya terasa pada Tiamit sejuk menusuk-nusuk. Selesai sahaja harimau hitam itu
menjilat-jilat, Moyang Labuh bangun lantas menghembus ke ubun-ubun Tiamit.
“Insya Allah, dengan
izin Allah awak akan sembuh,” ujar Moyang
Labuh menghulurkan bungkusan kain kuning kepada Tiamit. “Itu kemenyan, bolehlah digunakan
bila-bila awak perlu,” jelasnya terus bertunggang di belakang
harimau hitam itu.
Sekali lompatan
sahaja kearah pintu, harimau hitam bersama Moyang Labuh hilang dalam kesamaran
subuh. Ketika ini kokok ayam sudah
berbalas-balas di tengah kampung. Tetapi
Tiamit tidak mahu melelapkan mata lagi.
Lebih baik dia menunggu sehingga masuk waktu subuh.
Setelah masuk subuh
pun Tiamit tidak dapat mahu melelapkan mata.
Terkebil-kebil mata dia sementara menunggu suaminya Jaamat datang
menjemput. Sebaik terang-terang tanah
Jaamat sudah sampai di halaman masjid.
Dia dapat mengagak tentulah malam ketujuh itu Tiamit tidak perlu
menunggu lama.
Ketika balik
membonceng basikal suaminya, Tiamit tidak bercakap apa-apa. Perasaan gementar mula menyusup dalam
perasaannya apabila kenangkan harimau hitam menjilat-jilat tubuhnya. Bagaikan terasa kesat lidah harimau itu
menyinggahi kulit pinggangnya.
Sampai sahaja di
rumah Tiamit merasa perutnya memual-mual bagaikan mahu muntah. Belum sempat naik ke rumah dia sudah
termuntah di kaki tangga. Kebetulan pula
Tok Kimar datang untuk mengetahui keadaan Tiamit setelah cukup tujuh hari
beramal.
Sebaik melihat Tiamit
termuntah-muntah. Tok Kimar lantas meminta kalau ada apa-apa barang yang
diperolehinya. Tamit tidak dapat berckap
apa-apa kecuali menunjukkan bungkusan kain kuning berisi kemenyan. Tok Kimar sendiri membakarkan kemenyan
tersebut dan mengasapkan ke kepala Tiamit.
Tidak sempat Tiamit
mahu berbaring lagi di tengah rumah selepas diasap kepalanya dengan kemenyan,
dia termuntah di lantai hingga melambak ketul-ketul daging busuk yang sudah
berulat. Bau busuk meloyakan di sebabkan
daging busuk itu seperti bangkai dihurungi ulat.
Mengeluh panjang Tok
Kimar apakala melihat ketul-ketul daging busuk berulat dimuntahkan oleh
Tiamit. Hairan juga dia dengan kejadian
yang tidak pernah dialaminya itu.
Kesihan juga dia melihat Tiamit terkial-kial menahan senak perut setiap
kali muntah yang mendasyatkan.
Setelah reda dari
pada muntah, sakit di perutnya semakin menjadi-jadi. Tok Kimar membakar pula kemenyan yang
dibekalkan oleh Moyang Labuh kepadanya.
Semakin dia tenggelam bersama asap kemenyan tersebut Tok Kimar melihat
Moyang Labuh tercegat di tengah masjid betunggang di belakang harimau.
“Kau yang tak sabar,
Kimar,” ejek Moyang Labuh mencebik
bibir. “Kau seru Moyang, tapi syaitan
yang menyerupai Moyang,” katanya
menjelaskan bagaimana beberapa kali Tok Kimar terpedaya.
“Tapi, saya melihat
Moyang yang menjelma,” ujar Tok Kimar
tersengih-sengih malu kerana diperdayakan oleh syaitan.
“Memang syaitan boleh
menyerupai siapa sahaja, kecuali Rasullullah…”
beritahu Moyang Labuh supaya Tok Kimar berhati-hati apakala berhadapan
dengan jelmaan demikian.
Moyang Labuh juga
tidak berupaya menghalang gangguan syaitan, kalau Tok Kimar sendiri tidak
berhati-hati. Mudah sahaja syaitan
memperdayakan apabila menjelma seperti Moyang Labuh untuk menimbulkan keraguan
sesama manusia. Kemudian masing-masing
saling tuduh menuduh dengan menganggap panyakit yang dideritai disebabkan ilmu
hitam.
Hanya syaitan sahaja
mahukan manusia itu tuduh menuduh hingga masing-masing bermusuhan.
“Jangan terperdaya
oleh syaitan,” bisik Moyang Labuh masih
bertunggang di belakang harimau hitam berkenaan. “Tiamit akan sembuh dengan izin Allah, tak
perlu bimbang.” Katanya menambah terus
hilang bersama kilauan putih cahaya matahari yang memancar kearahnya.
Tahulah Tok Kimar
memang Moyang Labuh tidak benarkan menyeru namanya kalau tidak menghadapi
kesukaran sangat. Tok Kimar perlu
bersabar sehingga dia terdesak untuk menyeru Moyang Labuh. Bukan ikut kemahuan bila-bila masa sahaja
membakar kemenyan lantas menyeru supaya Moyang Labuh menjelma.
Sehingga petang
Tiamit tidak lagi muntah hingga tersembur ketul-ketul daging busuk
berulat. Tetapi dia merasa seperti turun
kotor hingga kain berlenjap dengan darah beku kehitam-hitaman. Seminggu dia mengalami turun kotor demikian,
barulah perut Tiamit yang memboyot itu seruh.
Memang dia sendiri
tidak tahu apakah penyakit yang dihidapinya selama berbulan-bulan
menderita. Lemah juga badannya akibat
turun kotor dan muntah yang ganjil itu.
Sehinggakan Kak Injun meninggal dunia pun, dia tidak sempat menziarah.
Terkilan juga Tiamit
tidak dapat menziarahi Kak Injun yang terkejang di tempat tidur. Tubuhnya calar balar bagaikan dicakar
binatang buas, sekalipun tidak ada kesan pintu atau tingkap rumahnya terkopak
diserbu binatang buas berkenaan.
“Selepas kejadian itu
jugalah emak jadi bidan, ustaz…”
beritahu Badun sewaktu mengajak saya ke kampungnya.
Teringin juga saya
mahu berjumpa Bidan Tiamit, kerana arwah nenek Bidan Ibah sudah beberapa kali
menemuinya.
“Kalau ustaz tu cucu
Kak Ibah, ajak lah dia ke kampung ni,”
beberapa kali Bidan Tiamit berpesan kepada anaknya Cikgu Badun.
SELESAI
No comments:
Post a Comment