TERASA juga sedih
dengan berita kematian Bidan Enot, di
sebabkan saya tidak dapat menziarahinya.
Dua minggu selepas kematiannya saya balik juga ke kampung menziarahi
kuburnya. Memang ayah saya menelefon
juga memberi tahu kematian Bidan Enot, tetapi saya masih lagi di Bukit Tinggi
menemui Mamak Bandaro.
Balik sahaja dari
Bukit Tinggi isterinya saya terus memberitahu ayah menelefon fasal Bidan Enot
meninggal dunia. Hairan juga isteri saya
kerana bersusah payah sangat ayah memberitahu mengenai kematian Bidan Enot itu.
“Dia tu, macam emak
angkat saya,” ujar saya perlahan
terkilan kerana tidak dapat menziarahinya sewaktu dia meninggal dunia.
Tetapi saya tidaklah
terburu-buru balik ke kampong. Tidak
guna juga tergesa-gesa balik kerana semuanya sudah selamat. Dua minggu selepas kematian bidan Enot itu
barulah saya balik ke kampong.
“Memang dia
sebut-sebut nama Angah,” beritahu ayah
sebaik sahaja saya naik ke rumah.
“Ah, dia demam sikit
aje, bukannya sakit tenat,” emak pula
menjelaskan kerana Bidan Enot tidaklah terlantar sakit apabila membawa
maut. Dia sekadar demam biasa dua tiga
hari sahaja sebelum menghembuskan nafas.
Sewatu saya
berkunjung ke rumah Abang Rawi dia juga menyebut fasal emaknya berulang kali
bertanyakan saya. Tetapi Abang Rawi
ingatkan emaknya tidak perlu menyusahkan saya, kalau sekadar demam biasa.
“Nanti kelam kabut
pula ustaz tu,” ujar Abang Rawi
mengingatkan emaknya.
“Ah, kalau boleh
beritahu aje, bukannya nak suruh dia balik,”
Bidan Enot tetap mendesak supaya diberitahu kepada saya.
Abang Rawi sekadar
mengangguk. Tetapi dia berat hati juga
mahu memberitahu disebabkan emaknya tidaklah sakit sangat. Bimbang juga dia kalau saya akan
menyalahkannya. Kalau sekadar demam
biasa apalah perlunya mahu memberitahu ke sana ke mari. Malah anaknya yang tinggal di Felda pun tidak
diberitahu sewaktu Bidan Enot sakit.
Dia masih boleh turun
ke halaman menyapu sampah. Kemudian
menguak ke tepi pagar membakarnya di lubang sampah.
“Emak tu demam buat
apa kerja kuat-kuat,” Kak Awa isteri
Abang Rawi menegurnya.
“Ah, sakit orang tua,
Awa,” sahutnya berkeras mahu
membersihkan halaman rumah daripada sampah sarap daun-daun getah kering yang
bertaburan.
“Sakit orang tua pun,
lebih baik mak berihat,” ujar Kak Awa.
“Hai, senang orang
nak datang…” kata Bidan Enot selamba
seolah-olah tidak bercakap dengan Kak Awa.
Berdetak juga hati
Kak Awa kerana emak mertuanya menuturkan demikian. Tetapi serba salah juga dia mahu memberitahu
Abang Rawi. Manalah tahu Abang Rawi
tidak percaya pula emaknya merapik demikian.
“Kau dah beritahu
Angah aku nak jumpa dia?” soal Bidan
Enot sewaktu masuk tidur selepas makan malam.
Cepat benar dia masuk tidur sebaik sahaja selesai solat isya.
“Ustaz ke
Sumatera,” Abang Rawi cuba berdalih di
sebabkan dia tidak pun menelefon saya.
“Apa dibuatnya selalu
sangat ke sana,” semacam tidak percaya
dia dengan penjelasan Abang Rawi.
“Emmm, macam-macamlah
hal dia,” sengaja Abang Rawi berbohong.
Tidak lama selepas
dia berbaring, Bidan Enot memanggil Abang Rawi menyuruh bacakan Yassin. Abang Rawi tidak membantah apa-apa. Dia bacakan Yassin semata-mata mahu menjaga
hati emaknya supaya tidak tersinggung.
Sewaktu Abang Rawi membacakan Yassin itulah dia menghembuskan nafasnya.
“Mudah sangat dia
pergi,” ujar Kak Awa menatang air dari
dapur bersama isteri saya. “Memang dia
tak menyusahkan siapa pun,” keluh Kak
Awa perlahan semacam terkilan kerana suaminya tidak memenuhi hajat Bidan Enot
mahu bertemu saya.
Kalau Abang Rawi
menelefon memang saya ke Bukit Tinggi.
Tidak ada yang perlu dikesalkan kerana semuanya sudah diatur oleh Allah
Subhana hu Wataala.
Perlahan-lahan saya
menghela nafas lantas menunduk lemah.
Memanglah terasa terkilan tidak dapat memenuhi hajat Bidan Enot, tetapi
ketika ajalnya saya masih lagi di Bukit Tinggi.
Sudah ditakdirkan kami tidak dapat berjumpa dalam saat demikian.
“Kalau boleh Mak Enot
mahukan Angah bacakan Yassin apabila nazak,”
katanya bergurau sewaktu saya berbuka puasa di rumahnya tatkala balik ke
kampung. “Nampaknya Angah yang ingatkan
Mak Enot, selalu datang jengah,” gembira
sangat dia dengan kunjungan saya suami isteri.
Hubungan keluarga
kami tidaklah rapat sangat. Tetapi Bidan
Enot sering kali ke rumah emak kerana mengambil mengkuang di hujung sawah. Memang orang-orang kampung bertumpu ke rumah
emak setiap kali musim menuai.
Masing-masing menetak mengkuang untuk dianyam buat bakul padi.
Cuma di hujung sawah
emak sahaja mengkuang tumbuh merimba.
Sebab itulah mereka bertumpu ke situ mengambil mengkuang. Malah ada yang menetak untuk mengayam tikar
dijual sampai ke pekan. Emak pun tidak
peduli sangat mereka yang menetak mengkuang untuk tujuan berjual anyaman tikar.
Semakin ramai yang
menetaknya, bertambah merimba pula mengkuang tumbuh di hujung sawah. Tetapi setiap kali Bidan Enot datang menetak
mengkuang, tidak siapa pun mahu menetak sama.
Mereka akan berpatah balik
sekiranya diketahui Bidan Enot yang menetak.
Bidan Enot sendiri
tidak tahu kenapa orang-orang kampung menjauhkan diri setelah masing-masing
tidak mahu lagi berbidan kepadanya.
Tidak pernah pun dia tersinggung kalau orang-orang kampung tidak mahu
berbidan. Siapapun boleh dijemput membidankan ketika isteri
masing-masing sarat mengandung.
Tetapi emak tahu
sangat puncanya. Orang-orang kampung
menuduh Bidan Enot membela polong, setelah beberapa orang perempuan lepas
bersalin menggelepar akibat turun darah sekiranya tidak di jemput Bidan Enot
membidankan.
“Entah ia entah tidak
Bidan Enot tu simpan polong,: gerutu
emak memberi tahu ayah.
“Awak percaya cakap
orang, kenapa?” ayah mencebik bibir
apabila disebut fasal Bidan Enot memelihara polong.
Tetapi emak percaya
Bidan Enot memang tidak menyimpan apa-apa.
Kalau tidak disebabkan Kiah Juling turun darah sewaktu melahirkan anak dengan
memjemput Mak Tipah membidankan, tidak pernah pula orang-orang kampung syak
apa-apa terhadap Bidan Enot. Mereka
percaya Bidan Enot tersinggung disebabkan Kiah Juling bersalin tidak
menjemputnya. Sebab itulah dia kirimkan
polong mengganggu Kiah Juling.
Sewaktu orang-orang
kampung menuduh dia memelihara polong, Bidan Enot datang juga mengambil
mengkuang di rumah emak. Kalau benarlah
Mak Enot menyimpan polong tentulah dia tidak datang mengambil mengkuang. Sudah menjadi pantang larang polong akan menjauhkan
diri daripada duri mengkuang.
Emak juga sorongkan
bujam sirih ke hadapannya dengan kunyit terlekat di mata kacip. Memang Nenek Bidan Ibah sudah ingatkan emak
mengenai pantang larang bidan yang gunakan polong akan mengelak daripada
menggunakan kacip yang melekat kunyit.
Tetapi Bidan Enot
selamba sahaja mencapai kacip tersebut.
Sambil menyapu mata kacip itu ke pahanya, dia terus mengkacip
pinang. Tidak ada satu pun pantang
larang yang ditakuti olehnya. Semenjak
itu emak tidak bimbang apa-apa lagi terhadap Bidan Enot.
Kalau menetak
mengkuang pun Bidan Enot akan masuk ke dalam rumpun memangkas belukar. Tidak macam orang-orang lain yang memangkas
di bahagian tepi sahaja menyebabkan belukar padat di tengah rumpun. Memang emak sendiri senang hati kalau Bidan
Enot yang datang menetak mengkuang.
Sewaktu dia masuk ke
tengah rumpun menetak mengkuang inilah, Lajak Dibab datang menyerbu ke tengah
halaman rumah saya. Marah benar dia
dengan menghunus parang memanggil Bidan Enot supaya keluar dari rumpun mengkuang. Terkejut juga saya dengan sikap Lajak Dibab
tiba-tiba sahaja mengaruk tidak bersebab.
“Apa halnya ni Abang
Lajak?” saya menjengah dari tingkap
setelah dia becok melepaskan geram di tengah halaman.
Serba salah juga dia
sebaik melihat saya terjongol di tingkap.
Dia sendiri tidak menduga saya balik kampung hujung minggu
demikian. Tetapi disebabkan hatinya
menggelodak marah, Lajak Gempal tidak peduli apa lagi. Dia tetap berkeras menuduh Bidan Enot yang
sebabkan isterinya Kak Junah susah mahu bersalin.
“Orang tua tu ada
polong,” lantang suara Lajak Dibab
menuding kearah rumpun mengkuang di hujung sawah dengan mata parang.
Sebaik mendengar
Lajak Dibab memekik-mekik menuduhnya terus Bidan Enot keluar dari rumpun
mengkuang. Gementar juga dia dengan
ancaman Lajak Dibab, tetapi tetap mara ke tengah halaman untuk mententeramkan
lelaki berkenaan. Tidak ada sebab Lajak
Dibab ikutkan persaan sampai menuduh ikut sedap mulut sahaja.
“Polong apa yang aku
simpan ni, Lajak?” tersinggung juga
Bidan Enot di tuduh dia demikian.
“Fasal aku tak jemput
Mak Enot bidankan Junah, fasal itu gunakan polong?” semakin marah Lajak Dibab merenung tajam
kearah Bidan Enot.
Cepat-cepat pula saya
turun ke tengah halaman apakala Lajak Dibab menerkam kearah Bidan Enot. Segera emak menarik tangan Bidan Enot masuk ke
pintu dapur menyelamatkan dia daripada serbuan Lajak Dibab. Dalam saat demikian Lajak Dibab memang tidak
boleh dihalang melakukan apa sahaja,
Puas juga emak
menyabarkan dia, tetapi Lajak Dibab memboloskan diri masuk ke dapur. Kemarahannya tidak dapat disekat-sekat lagi
mahu melepaskan dendam yang bersarang di hati.
Dia percaya Kak Junah tidak lepas bersalin disebabkan polong Bidan Enot
mengganggu.
Disebabkan Lajak
Dibab tidak boleh disabarkan lagi, emak menyuruh Bidan Enot lari ke serambi
rumah. Terpaksa Bidan Enot ikuti nasihat
emak lari ke serambi terus terjun ke tengah halaman berlindung di belakang
saya. Lajak Dibab tetap mengejarnya
dengan jerit yang nyaring.
“Abang Lajak berhenti
di situ,: ujar saya sebaik sahaja dia
terjun dari pintu hadapan ke tengah halaman.
Dia tidak peduli
amaran saya. Sambil menghayun mata
parangnya Lajak Dibab mara mahu menerkam.
Saya berundur sedikit menolak Bidan Enot ke belakang lantas membacakan:
Kaf, ha ya a’in sad, Ha mim a’in sim kaf,
Yuhibbu nahum kahubbillahhi wal lazi na’amanu asyad-du hubban lillahhi,zuiyina
linnasi hub-busy syahawatiminan-nisa-i walbanina walqanathirilo muqan tharah,
di samping mengisar
tumit kaki ke tanah.
Sekaligus parang di
tangan Lajak Dibab terpelanting jatuh dengan lututnya tiba-tiba
terketar-ketar. Belum sempat saya
mendekati dia, Lajak Dibab jatuh terhumban dengan kakinya tergelincir. Kemudian dia terjerit-jerit kesakitan
memegang buku lalinya.
“Kenapa Abang
Lajak?” cemas juga saya disebabkan Lajak
Dibab menggelupur tidak menentu di tanah.
Cepat-cepat saya
bacakan Fatihah tiga kali dan menghembuskan ke ubun-ubunnya. Sebaik dihembuskan dengan bacaan Fatihah,
barulah Lajak Dibab terkebil-kebil mata mendongak kearah saya.
“Apa halnya ni?” Lajak Dibab terpinga-pinga bagaikan tidak
tahu apa yang telah berlaku. Tetapi dia
memegang buku lalinya yang tergeliat sewaktu badannya terhumban jatuh. “Macam mana dengan Junah? Rusuh juga hatinya apabila kenangkan
isterinya sarat mengandung mahu melahirkan.
Tetapi kakinya tidak
boleh melangkah. Apabila berdiri
tumitnya tidak boleh berjejak. Terpaksa
pula saya papah dia baik ke serambi.
Selepas itu Bidan Enot urutkan buku lalinya membetulkan urat yang terkehel.
“Junah tak lepas
bersalin,” gementar suara Lajak Dibab
apabila diberitahu fasal dia mahu menghayun parang menetak Bidan Enot. “Orang kata polong Mak Enot yang sebabkan
Junah susah nak bersalin,” beritahunya
perlahan bercampur kesal.
“Kenapa tak bawa ke
hospital aje?” lantas Bidan Enot
mengesyurkan.
“Kalau Abang Lajak
bawa Kak Junah ke hospital lebih bermanfaat, dari pada buat perkara macam
ni,” saya menyalahkan dia disebabkan
sikap liarnya yang hanya mengikut perasaan.
Tertunduk Lajak
Dibab. Buku lalinya yang membengkak mula
terasa lega setelah diurut oleh Bidan Enot.
“Aku tak ada simpan
polong, Lajak,” tegas Bidan Enot terharu
dengan tuduhan yang dilimparkan kepadanya.
“Itulah ikut cakap
enggang makan buah beluluk,” emak saya
memarahi Lajak Dibab yang terburu-buru bertindak. “Ikut cakap orang terjun masuk lubuk, kalau
jadi apa-apa pada Kak Enot, kau juga ke tali gantung,” terus emak saya meleteri lelaki yang
mempunyai hubungan keluarga bau-bau bacang dengannya itu.
Lajak Dibab
menggeleng-geleng kesal. Dia tidak dapat
menahan sabar melihat isterinya Kak Junah mengerang-ngerang sakit tidak lepas
bersalin. Di tengah keadaan demikian dia
mendengar beberapa orang perempuan di dapur menuduh isterinya diganggu polong
Bidan Enot.
Siapa sahaja tidak
menjemput Bidan Enot, tentu akan menerima padah. Kalau tidak sewaktu bersalin tersengkang
nescaya selepas bersalin akan turun darah sampai lembik tidak bermaya. Tentu Bidan Enot kecil hati disebabkan
membelakangkan dia setelah orang-orang kampung boleh dapatkan bidan hospital.
Setelah kaki Lajak
Dibab diurut, saya sendiri mengajak Bidan Enot ke rumah lelaki itu. Ketika saya sampai Kak Junah sudah selamat
melahirkan anak perempuan. Terkejut juga
mereka yang ada diatas rumah melihat saya bersama emak dan Bidan Enot
beriringan dengan Lajak Debab terdengkot-dengkot melangkah akibat buku lali
terkehel.
Semenjak peristiwa
yang menimpa Lajak Dibab, itulah hubungan saya dengan Bidan Enot menjadi
rapat. Kalau dia mendengar saya balik ke
kampung, nescaya dia datang jengahkan muka.
Terhinggut-hinggut dia mengayuh basikal semata-mata mahu bertemu dengan
saya.
“Tapi, Mak Enot tak
mahu lagi berbidan,” jelasnya dengan
senyum melebar. “Kalau orang jemput pun
Mak Enot tak mau,” katanya seolah-olah berikrar
tidak mahu lagi menjadi bidan selepas dituduh menyimpan polong.
Lajak Dibab sendiri
yakinkan orang-orang kampung Mak Enot tidak menyimpan polong. Di tengah masjid Bidan Enot memberitahu
orang-orang kampung dia tidak tahu apa-apa pun mengenai polong. Sama ada orang-orang kampung percaya atau
tidak dengan pengakuannya, Bidan Enot tidak peduli.
“Ustaz anak Bilal Hud
sendiri cakap tak ada polong,” Lajak
Dibab mengingatkan orang-orang kampung ketika bersemuka di tengah masjid. Sidang Katib yang aturkan bersemuka di masjid
supaya orang-orang kampung puas hati.
Sudah lama juga
Sidang Katib memendam perasaan sengan sikap penduduk-penduduk kampong menuduh
Bidan Enot. Ayah saya juga tidak berani
menentang arus tatkala semua orang menyalahkan bidan berkenaan.
Melah Tuban terpaksa
dibawa ke hospital setelah tumpah darah apabila melahirkan anak disebabkan dia
memanggil bidan klinik. Emaknya Esah
Sanggul percaya tentu Bidan Enot kirimkan polong untuk membalas dendam disebabkan
tidak menjemput dia. Kalaulah lambat
dibawa ke hospital mereka percaya Melah Tuban tidak dapat di selamatkan.
Sewaktu tumpah darah
Melah Tuban tidak tahu apa-apa pun berlaku terhadap dirinya. Dia sekadar melihat bayang-bayang Bidan Enot
menghirup darahnya yang tumpah laksana meneguk air di dalam piring. Terasa senak perut Melah Tuban setiap kali
bayang-bayang Bidan Enot menghirup darahnya.
Sebaik sahaja di
masukkan ke wad, pihak hospital memerlukan darah bagi membantu. Terpaksa pula Abang Rawi menawarkan diri
semata-mata mahu menebus kesalahan emaknya menyimpan polong. Memang marah juga Abang Rawi kepada emaknya
disebabkan gejala polong merasuk di dalam kampung.
“Masjid ni rumah
Allah, kalau Bidan Enot berbohong dia sendiri menanggung laknat Allah,” jelas Sidang Katib berpaling pada ayah saya
di sebelahnya.
“Kalau kita tuduh
menuduh maknanya kita dipengaruhi oleh syaitan,” ayah saya pula menambah sambil mengukuhkan
sandar ke tiang tengah. “Memang kerja
syaitan hasut menghasut biar kita bermusuhan,”
tegas ayah setelah penduduk-penduduk kampung bersedia bersemuka untuk
menyelesaikan kekeliruan.
“Dengan nama Allah,
saya tak ada menyimpan polong,” Bidan
Enot memandang sekeliling untuk menyakinkan mereka yang menuduhnya selama
ini. “Diatas masjid saya berikrar tidak
lagi mahu berbidan,” dia memberi keputusan setelah lama memikirkannya.
Bukannya mudah kalau
dia bersetuju menjadi bidan. Tengah
malam pun di jemput orang, terpaksa turun dengan mata terpisat-pisat. Dia mesti penuhi jemputan orang tatkala ibu
sarat mengandung mengerang-ngerang mahu melahirkan anak. Kalau dia terlambat bererti dua nyawa di dalam
bahaya.
Tidak ada upah
lumayan yang di harapkan kalau sekadar membidankan ibu bersalin. Setelah bidan-bidan hospital mampu memberikan
khidmat biarlah dia berundur daripada menjadi bidan. Lainlah kalau mereka sendiri meminta bantuan
dalam keadaan terdesak.
“Habis, kerja siapa
sampai Melah tumpah darah?” Mat Lasim
suami Melah Tuban masih tidak puas hati dengan pengakuan Bidan Enot.
“Itu urusan Allah
Abang Lasim,” lantas saya mencelah.
“Ustaz tak kena, bolehlah
cakap macam tu,” semakin berang Mat
Lasim apabila kata-katanya dibantah.
Saya tidak
menyahut. Kalau Mat Lasim berkeras tidak
mahu mempercayai pengakuan Bidan Enot, memang saya tidak boleh memaksa. Bagaimana saya mahu menuduh sesiapa menyimpan
polong, setelah Bidan Enot secara ikhlas mengaku tidak memeliharanya? Lagipun tidak berguna satu apa sekiranya mahu
bertengkar dengan Mat Lasim yang tidak mahu menerima kebenaran.
“Engkau nak berunding
ke, atau nak bertengkar datang ke sini, Lasim?”
cepat Lajak Dibab menuding jari telunjuk ke arah Mat Lasim apabila
melihat saya menunduk tidak mahu melayani adiknya itu.
“Abang lupa pada yang
jadi pada Kak Junah?” soal Mat lasim
keras.
“Aku tak lupa!” Lajak Dibab mengisar duduk dengan mengangkat
kepala lutut menungkat kebawah ketiak.
“Tapi Junah belum tiba resa nak beranak masa tu,” katanya tidak percaya lagi fasal polong yang
menyengkan isterinya mahu melahirkan anak.
Mendengus marah Mat
Lasim dengan jawapan abangnya.
Mentang-mentang Lajak Dibab terhutang budi setelah kakinya terkehel
diurut Bidan Enot, cepat sahaja dia berubah hati. Marah sangat Mat Lasim dengan perubahan
abangnya setelah menyimpan dendam semenjak Melah Tuban tumpah darah sampai
seminggu terlantar di hospital.
Kalau ikutkan terhutang
budi dia sendiri menerima bantuan darah dari pada Abang Rawi. Tetapi dia percaya Abang Rawi rela memberikan
darahnya disebabkan mahu menebus dosa emaknya.
Memang patut Abang Rawi menanggung hutang darah setelah emaknya
mengancam penduduk-penduduk kampung dengan polong.
“Melah sendiri nampak
bayang Mak Enot menghirup darahnya,” Mat
Lasim tetap yakin dengan igauan isterinya sewaktu terkeajang tidak sedarkan
diri semasa tumpah darah berlebihan.
“Tengah tak sedar
diri memang syaitan gemar merasuk!” Lajak
Dibab meninggikan suara memarahi adiknya yang masih berkeras.
Pertengkaran dua
beradik itu semakin panjang menyebabkan Sidang Katib mula menampar lantai
masjid. Dia juga tidak dapat menahan
sabar apabila masing-masing tidak mahu mengalah.
“Kita kemari nak
buang yang keruh,” suara Sidang Katib
tergagap-gagap menahan rasa geram yang meluap-luap di hati. “Kalau yang keruh tambah di keruhkan, bila
nak selesai?” dia mengepal tinju sambil
menumbuk-numbuk tapak tangan sendiri.
“Kalau dah tak mahu
hormatkan Tok Sidang, habis nak hormatkan siapa lagi?” Lajak Dibab menggertap bibir.
“Tak hormatkan saya
pun tak apa,” sahut Sidang Katib
menjuihkan bibir akibat terharu dengan sikap penduduk-penduduk kampung. “Hormat Bilal Hud dengan ustaz pun cukuplah,
lupakah pada tuan guru Tok Aji kita?”
hampir tenggelam suara Sidanbg katib hingga terasa bergetar di dadanya.
Masing-masing terdiam
menunduk. Cuma Mat Lasim duduk resah
bagaikan serba tidak kena. Sekalipun
Bidan Enot membuat pengakuan di atas masjid, tetapi Mat Lasim sukar mahu
menerimanya. Isterinya Melah Tuban
nampak betul bayang-bayang Bidan Enot tercegat di sisinya sewaktu dia
menghadapi tumpah darah.
Sewaktu dibawa ke
hospital pun bayang-bayang Bidan Enot terus melayang-layang mengikutnya. Kalau tidak disebabkan bau ubat-ubat yang
menyesak ke hidung ketika sampai di wad, tentu bayang-bayang tersebut mengekor
juga hingga ke wad. Tetapi bayang-bayang
Bidan Enot termuntah-muntah sebaik sahaja terhidu bau ubat-ubat di wat hospital
menyebabkan dia melayang jauh ke udara.
Berligar-ligar bayang
Bidan Enot tidak dapat menyusup masuk ke dalam wad. Bau ubat-ubat hospital itu tidak serasi
dengan seleranya. Puas juga dia mahu
mencari katil Melah Tuban, tetapi bau ubat-ubat hospital sudah cukup memabukkan
dia. Masakan Melah Tuban berbohong
apabila melihat bayang-bayang Bidan Enot melakukannya.
Sebab itu Mat Lasim
tidak percaya walaupun Bidan Enot membuat pengakuan di atas masjid. Orang yang menyimpan polong memang boleh
berpura-pura. Jangan kata membuat pengakuan
di atas masjid, disuruh minum air basuh kaki dalam tempayan di tangga masjid
pun dia sanggup lakukan.
“Habis, kau nak buat
apa dengan mak Enot sekarang ni?” Lajak
Dibab pula tidak puas hati dengan sikap adiknya yang berterusan mahu berdegil.
Tetapi Sidang Katib
tidak peduli sangat kalau Mat Lasim terus berdegil, asal sahaja seisi kampung
menerima keputusan ramai. Mereka semua
percaya dengan pengakuan Bidan Enot fasal tidak menyimpan polong. Masakan orang menyimpan polong berani masuk
ke rumpun mengkuang berduri.
Mereka tahu Bidan
Enot sering kali menetak mengkuang sampai masuk menyusup ke dalam rumpun. Dia sendiri menyisip membuang duri
sebelum dilayur keapi. Kemudian dijangka dan direndam ke sungai biar
lembut boleh di lurut. Semua dibuat sendiri
oleh Bidan Enot sampai boleh dianyam jadi tikar terhampar.
“Kalau tak Angah
selesaikan, sempai sekarang orang tuduh Mak Enot,” berulang kali Bidan Enot tegaskan setiap kali
bertemu saya.
Memang terharu benar
dia apakala dituduh menyimpan polong itu,
Setelah dia kerapkali uzur, saya pujuk dia supaya tinggal bersama Abang
Rawi. Tidak baik tinggal bersendirian
dengan tidak ditemani anak-anak.
Desebabkan saya sendiri memujuknya, Bidan Enot tidak membantah
sangat. Dia bersetuju tinggal bersama
Abang Rawi tidak jauh dari rumah ayah saya.
Sewaktu padi di sawah
tengah berbunga, kerapkali pula orang-orang kampung ternampak kilauan api
berwarna-warna melintas ditengah malam.
Mereka percaya kilauan api berwarna warni itu memang polong yang mencuri
semangat padi. Saat ini mereka yang
menyimpan polong melepaskan di tengah malam supaya semangat badi orang lain
dibawa masuk ke kepuknya.
Hanya bidan sahaja
yang seringkali mampu memelihara polong kerana mudah mencari makannya. Mereka tahu polong memerlukan darah perempuan
baru bersalin menjadi simahnya.
Tetapi mereka sekadar
syak sahaja Bidan Enot menyimpan polong.
Mahu berkeras mendesak bertanya mereka bimbang juga Sidang Katib akan
memarahi siapa sahaja yang membelakangkan keputusan di masjid. Apalagi ayah saya yang menjadi imam di surau
mereka sentiasa menyebelahi Bidan Enot.
“Kita cari aje Dukun
Natar,” Mat Lasim memujuk beberapa orang
kawannya supaya gunakan khidmat dukun berkenaan.
Mail Lagak bersetuju
dengan cadangan Mat Lasim. Usup Bauk
juga bersetuju. Tidak bertangguh mereka
menemui Dukun Natar setelah seisi kampung heboh melihat kilauan api polong
berkelemayar di tengah malam. Duku Natar
juga pernah terserempak kilauan api berkenaan yang hanya nampak sekali imbas.
“Kalau Enot ada
simpan polong, dia mesti ada tempayan cuka,”
jelas Dukun Natar terangguk-angguk.
Dia tahu benar fasal
orang yang menyimpan polong untuk mencuri semangat padi. Memadai dia kerjakan sawah tidak sampai
setengah ekar, tetapi padinya akan penuh di kepuk. Setiap kali musim padi mula berbunga,
kepalanya akan tanggal daripada badan mengangkut tali perut berjurai-jurai.
Kilauan api berwarna
warni itulah juraian tali perutnya yang melayang bersama kepala. Ketika balik daripada mencuri semangat padi
ini, dia perlu merendamkan tali perut berkenaan ke dalam tempayan cuka supaya
kecut sebelum masuk semula ke dalam tubuh.
Sesiapa berani
memusingkan tubuh yang kosong itu, nescaya tali perut berkenaan tidak dapat
masuk semula ke tubuh. Kalau dapat masuk
pun mukanya akan berpusing ke belakang.
Memang Dukun Natar tahu sangat fasal amalan mereka yang menyimpan
polong.
“Cuba perhatikan
leher Enot, kalau ada kesan dikelar memang sah dia menyimpan,” ujar Dukun Natar menyuruh mereka selidik
betul-betul terlebih dahulu.
Setelah mendengar
penjelasan Dukun Natar itu, Mail Lagak yang naik ke rumah Abang Rawi terus ke
dapur mencari tempayan. Kak Awa isteri
Abang Rawi tidak syak apa-apa fasal adiknya sendiri masuk ke dapur. Biarlah Mail Lagak mahu mencari apa pun di
merata dapur, kerana dia tidak pernah pun menyimpan tempayan berisi cuka.
Puas pula Usup Bauk
cam betul-betul leher Bidan Enot sama ada terdapat kesan seperti dikelar atau
tidak. Terkekeh-kekeh Bidan Enot ketawa
disebabkan Usup Bauk ingin sangat melihat lehernya. Tahu sangat dia tujuan Usup Bauk, kerana
masih ada juga orang mengesyaki dia menyimpan polong.
Di depan Dukun Natar
mereka berdua memberitahu tidak ada tanda-tanda yang disebut dukun berkenaan
fasal Bidan Enot menyimpan polong.
Jangan kata tempayan berisi cuka, botol kecil berisi cuka pun tidak
ada di dapur Kak Awa.
“Kalau begitu memang
betul Bidan Enot tak simpan polong,”
tegas Dukun Natgar menggeleng-geleng lemah.
Tertegun Mat Lasim
dengan penjelasan Dukun Natar. Kalau
sudah Dukun Natar tidak percaya Bidan Enot menyimpan poplong. Masakan Mat Lasim
boleh berdegil menuduhnya.
Ketika orang-orang
kampung beberapa kali terserempak kilauan api berwarna warni melintas kawasan
sawah, Abang Rawi menjadi rusuh apabila
Kak Awa tiba-tiba terkancing gigi. Mulut
Kak Awa berbuih-buih dengan bibirnya lebam biru.
Cepat-cepat Bidan
Enot menyuruh Abang Rawi jemputkan ayah saya.
Mail Lagak yang tergesa-gesa datang setelah diberitahu mengenai kakaknya
tidak sedarkan diri, memang menuduh kak Awa dirasuk polong. Tetapi dia tidak berani mahu memanggil Dukun
Natar setelah Abang Rawi menjemput ayah saya.
Disebabkan saya balik
ke kampung, lantas saya ikut ayah bersama ke rumah Abang Rawi. Berita Kak Awa tiba-tiba terkancing gigi
merebak ke rumah jiran-jiran. Mereka
tidak bertangguh datang menjengah setelah mendengar Kak Awa sakit. Masing-masing wajib menziarah jiran sedang
terlantar sakit supaya hidup tidak menjadi kera sumbang.
“Ustaz pun ada,” tegur Lajak Dibab sebaik sahaja ternampak
saya naik ke rumah bersama ayah.
“Angah tengoklah Kak
Awa ni sama,” lantas Bidan Enot menarik
bahu saya mara mendapatkan Kak Awa terkejang keras dengan gigi terkancing.
Saya duduk di hujung
kaki Kak Awa apabila ayah duduk di sisinya sambil menggamit Abang Rawi. Dia menyuruh Abang Rawi meletakkan tapak
tangan ke dada Kak Awa, kemudian terus membacakan Fatihah tiga kali, diikuti
dengan surah al-Ikhlas sebelas kali.
Setelah ayah mula
membacakan Ayatul Kursi, saya mengisar tapak tangan dengan membacakan: Huwallah-hul lazi-laillahha illa-huwa ‘alimulghai bi
wasy-syahadata huwar Rahmannur Rahim, di ulangi tujuh kali dan
dihembuskan ke ibu kakinya. Apabila
melihat ibu jari kaki Kak Awa bergerak-gerak lantas saya tenggelam di dalam
zikir.
Kemudian saya
membiarkan siri jauh terapung melayang ke dalam kegelapan malam. Sewaktu melintas angin kencang yang menyerbu,
saya melihat juraian usus membelit tubuh Kak Awa. Dari kerlapan lampu berwarni warni di celah
usus berjurai-jurai itu, terjongol muka hodoh berlumuran darah di kepala.
Jauh di bawah saya
melihat ayah menghembus keudara hingga berterjahan anak panah berapi menusuk
usus yng berjurai-jurai. Darah di kepala
yang mengangkut usus berjurai-jurai itu semakin banyak meleleh hingga menitik
ke tubuh Kak Awa.
Sayup-sayup di bawah
saya mendengar suara ayah azan hingga bergema menggegar di udara. Setiap kali azan itu bergema kepala yang
melayang membawa usus berjurai-jurai itu retak-retak hingga merekah memercik
darah. Tetapi ususnya tetap melilit
tubuh Kak Awa tidak mahu dilepaskan.
Terkemamar juga
kepala yang tertanggal daripada tubuh itu sebaik melihat saya di dalam
lingkaran cahaya putih mengepungnya hingga tidak dapat bergerak ke mana. Setiap kali dia cuba melepaskan diri angin
kencang menolaknya hingga berpusu-pusu seperti terasak di dalam balang kaca.
“Kalau kau nak pergi
tinggalkan Awa!” jerkah ayah memberi
amaran dari bawah.
“Macam mana aku nak
pergi, ustaz dah kurung aku,” gerutu
kepala yang tergantung bersama ususnya melilit tubuh Kak Awa.
“Kau nak bawa Awa ke
mana?” soal ayah dengan membacakan
Ayatul Kursi berterusan.
Kepala itu
meggeliat-geliat kerana ususnya melecur bagaikan disambar besi panas. Dia berligar-ligar bagaikan terkurung dalam
balang kaca mahu mencari jalan keluar.
Setiap kali dia merempuh dinding seperti balang kaca itu mukanya melecet
bagaikan tergesel minyak panas mendidih.
“Kenapa seksa aku macam
ni?” rayu kepala yang tidak bertubuh ini
dengan keadaan berlumuran darah.
“Sebab kau nak
menyusahkan orang,” bentak ayah
sayup-sayup dari bawah.
“Ustaz lepaskan aku,”
terletar-ketar suaranya meminta belas kesihan daripada saya.
Tetapi dia serba
salah kerana saya tidak pun mahu menjawab.
Setiap kali mengerling kearah saya kilat akan memancar dengan petir
memanah ke kepala. Ubun-ubunnya berkecai
disinggahi panah petir, kemudian bertaup semula sekalipun darah semakin banyak
berlumuran.
“Ustaz ni tak sama
dengan ayahnya Bilal Hud,” kepala
tertanggal daripada tubuh tergigil-gigil menahan kesakitan. “Ustaz ni langsung tak mahu berunding,” katanya membiarkan sahaja kepalanya terus
disinggahi panahan petir.
Perlahan-lahan
lilitan usus itu melepaskan Kak Awa.
Cepat-cepat saya menyambar tubuh Kak Awa terus mambawanya melintasi
desus angin yang bertiup kencang.
Sebaik sahaja saya
merasakan bersila duduk di hujung kaki Kak Awa, saya melihat dia menangis
teresak-esak dangan kepala di bahu Abang Rawi.
“Macam mana
Bilal?” soal Bidan Enot setelah yakin
Kak Awa pulih sekalipun masih ketakutan memeluk leher Abang Rawi.
“Entahlah, Tanyalah
pada Angah,” ayah sengaja bergurau.
Esoknya pagi-pagi
lagi mereka yang menghalau burung di tengah sawah terkemamar apabila melihat
kepala orang tersangkut di rumpun mengkuang dengan perutnya berjurai-jurai
tersangkut di duri. Matanya
terkebil-kebil memerhati orang yang mula berkumpul di rumpun mengkuang
berkenaan.
Sidang Katib juga
segera berkejar ke hujung sawah sebaik sahaja diberitahu mengenai kepala
tersangkut itu. Mereka di kampong itu
tidak kenal dengan kepala berkenaan, disebabkan tidak pernah melihatnya di
situ.
“Tak boleh di ambil
macam ni aje kepala tu,” Dukun Natar
mengingatkan sebaik sahaja Mat Lasim mahu menetak dengan mata parang untuk
melepaskan geram. “Kepala syaitan mesti
ditangkap ikut caranya,” katanya meminta
berhati-hati.
Sewaktu orang-orang
kampung gempar di ujung sawah fasal kepala tertanggal daripada tubuh tersangkut
di rumpun mengkuang dengan ususnya lekat di duri saya tidak sempat
menjengahnya. Pagi-pagi lagi saya turun
meninggalkan rumah balik ke tempat kerja.
Ayah juga tidak ikut
sama melihat Dukun Natar uruskan menangkap kepala yang tersangkut di rumpun
mengkuang itu. Pagi-pagi lagi ayah sudah
mengajar. Tidak sempat dia mahu
bersama-sama sekali pun Sidang Katib sendiri memberitahu dia mengenai kepala
tersebut.
Setelah matahari
memancar mereka melihat kepala berkenaan mengecut menjadi kain buruk segumpal
sahaja. Setelah bertukar menjadi kain
buruk itulah Dukun Natar membakarnya sampai hangus. Seminggu selepas itulah mereka mendengar di
kampung lain ada orang mati dengan tidak berkepala.
Sejak itu Mat Lasim
tidak berani lagi menuduh Bidan Enot fasal menyimpan polong. Ketika anak kecilnya mengidap burut sebesar
telur ayam, tidak bertangguh Mat Lasim menemui Bidan Enot. Terharu benar dia apabila Bidan Enot tidak
menolak buatkan minyak daripada kepala nyiur.
Minyak itu disapukan ke daun kecubung dan dibalutkan ke burut tersebut,
Tiga pagi
berturut-turut Bidan Enot urutkan burut anak Mat Lasim. Setelah diurut itulah anaknya tidak lagi
berjalan terkengkang-kengkang mengampu burut.
Dalam masa tiga pagi sahaja burut anak Mat Lasim seruh sampai sembuh
betul.
Menitis juga air mata
saya sewaktu membacakan Yassin di kubur Bidan Enot sewaktu menziarahi. Sekalipun saya tidak dapat memenuhi hajatnya
ketika mahu menghembuskan nafasnya, saya tetap tidak merasa terkilan. Siapapun boleh membacakan Yassin dengan tidak
payah mengharapkan orang-orang tertentu sahaja.
SELESAI
No comments:
Post a Comment