WALAUPUN pagi sudah pukul 9.15, tetapi saya baru saja
masuk ke bilik mandi kerana tertidur semula selepas solat subuh. Tidaklah selalu saya berbaring hingga
terlelap selepas solat subuh ini, tetapi boleh dikatakan sekali-sekala yang
tertidur juga.
Selepas bangun solat subuh, saya membaca beberapa buah
buku atau kitab-kitab agama. Kadangkala apabila terlelap saya tidak sedar
bilakah anak saya pergi ke sekolah. Pagi itu seperti kelazimannya saya
mengambil sebuah buku mengenai fiqah, sayangnya hanya beberapa lembaran saya
mnembaca terus terlelap.
Apabila bangun dikejutkan oleh isteri saya, cepat-cepat
pulalah saya minum sarapan pagi. Pagi itu isteri saya merebus ubi kayu yang
diberi oleh seorang kawan saya dari Paya Jaras. Ubinya memang sedap kerana
empuk dan lekit disebabkan ianya merupakan ubi sulung.
“Kalau ustaz nak ubi kayu, datang aje laaa ke sini…” pesan kawan itu semasa saya berkunjung ke
kebunnya seluas hampir seekar yang dipenuhi dengan tanaman ubi kayu.
“Ubi ni awak jual ke mana?” soal saya tertegun melihat
kebun ubinya yang luas, di samping bersih dijaga rapi. Kalau melihat kerja-kerjanya memang orang
akan menduga bahawa kebun tersebut diusahakan oleh orang Cina.
“Memang ada peraihnya ustaz,” beritahu kawan itu tersenyum melibatkan saya
tertegun melihat kebunnya. “Dekat-dekat nak hariraya, akan ramai orang datang
ke mari mengambilnya sampai penuh selori,”
jelasnya dengan bangga.
Kawan saya itu pun memberi saya ubi kayu terlalu banyak,
hingga tiga rumpun dicabutnya.Terpaksa pula saya memanjangkan pemberiannya
dengan memberikan kepada jiran-jiran pula.
Selepas makan sarapan pagi itulah saya terus masuk ke
bilik mandi. Baru saja mahu menggosok gigi, isteri saya memberitahu seorang
kawan dari Kelantan berkunjung bersama emaknya yang kami panggil ummi saja.
Terpaksalah saya tergesa-gesa mandi kerana sudah ada tetamu datang berkunjung.
Hingga jam 11.00 pagi kami berbual, kawan saya dan
emaknya itu pun meminta diri kerana ada urusan lain.
“Ummi saja nak tengok ustaz bukannya ada hal apa,” ujar
Ummi Zah ketika menuju ke keretanya.
“Saya ingatkan ada apa-apa pula hal Ummi…” kata saya menghantarnya ke kereta.
“Tak ada apa-apa.
Ummi teringat nak jumpa Ustaz, pagi-pagi tadi Ummi ajak Lah ke
mari…” dia mengerling kearah anaknya
yang menjadi kawan saya itu.
Setelah Ummi Zah dan anaknya Lah balik, isteri saya
menunjukkan satu beg plastik buah-buahan di dalam almari yang dibawa oleh Ummi
Zah.
“Susah-susah aja Ummi ni,” rungut saya mengerling buah-buahan yang
banyak dibawakannya itu.
“Dia kata untuk budak-budak,” ujar isteri saya perlahan.
“Betullah tu untuk budak-budak,” saya mengeluh
pendek. “Kalau Ummi tu bawa buah tangan,
takkan banyak macam ni,” kata saya
memasamkan muka.
“Habis tu, takkan kita nak katakan tak usah,” sahut isteri saya yang memahami sikap saya.
Saya tahu pemberian Ummi Zah itu ikhlas, tetapi saya
tidak mahu dia menganggap dirinya terhutang budi kepada saya. Semua manusia tidak seharusnya merasa
terhutang budi kepada seseorang, kerana Tok Aji sering mengingatkan saya setiap
pertolongan seseorang kepada seseorang yang lain itu adalah telah diatur oleh
Allah SWT.
Tok Aji sentiasa memarahi saya kalau bersikap merasakan
seseorang itu terhutang budi kepada sumbangan kita yang sedikit, kerana segala
puji itu hanya untuk Allah semata-mata.
Tidak saya ketahui mengapa Ummi Zah ingin sangat menemui
saya sewaktu dia datang berkunjung ke rumah anaknya Lah. Apabila Lah
memberitahu emaknya mahu berjumpa, saya terus datang ke rumahnya.
“Ummi nak cakap dengan ustaz aje…” ujarnya sebaik saja saya duduk. “Hal yang Ummi nak cakap ni, Lah pun tak tahu
selama ni,” katanya dalam suara yang
tertahan-tahan.
Saya hanya mengangguk kepala saja, kerana terkejut dengan
tiba-tiba saja Ummi Zah meluahkan perasaan yang menganggu hatinya selama ini.
“Tak tahu kenapa Ummi rasa hati Ummi selalu resah,
kadangkala terasa sakit dada hingga susah bernafas,” jelasnya sambil menepuk-nepuk dadanya
perlahan.
Ketika ini saya menekankan ibu jari kaki saya ke lantai
dengan menyebut 99 asma’-ul-husna. Saya melihat Ummi Zah gelisah tidak boleh
duduk dengan tenang seperti mula-mula saya tiba.
“Saya tak fikir Ummi menerima gangguan luar,” saya memberitahunya.
“Apa maksud ustaz?”soalnya macam terkejut.
“Macam inilah…, kalau Ummi mahu, mari saya bawakan jumpa
seorang kawan,” ujar saya memberi
isyarat kepada Lah menemui orang yang saya katakan itu di Cheras.
Malam itu juga kami menemui Pak Gumil di Cheras. Semasa
kami sampai memang ramai orang-orang menunggu giliran untuk menemui Pak Gumil. Sebaik
saja mendapat tahu saya sampai ke situ. Pak Gumil terus keluar dari biliknya
menjemput saya masuk. Saya melihat Pak Gumil bersama rakan-rakannya Jiman dan
beberapa orang lagi yang saya tidak tahu namanya sedang mengubati beberapa
orang pesakit.
“Apa hal ni, ustaz?”
soal Pak Gumil terkejut dengan kunjungan saya ke situ.
“Pak Gumil tolong tengokkan emak kawan saya ni…” bisik saya sambil memuncungkan bibir kearah
Ummi Zah.
“Tak patut ustaz buat saya macam ni…” ketawa Pak Gumil
memecah suasana di situ menyebabkan beberapa orang yang menunggu giliran
memerhati kearahnya. “Ustaz lebih tahu
dari saya, patutnya kami yang jumpa ustaz,”
katanya berjenaka.
Memang Pak Gumil ini suka berjenaka setiap kali bertemu
dengan saya, tidak heranlah pada malam itu dia terlalu gembira dengan kunjungan
saya ke situ.
“Nanti saya suruh Jiman buat, dia sekarang pun dah boleh
juga…” ujar Pak Gumil apabila Ummi Zah
dan Lah masuk ke bilik itu.
“Inilah guru saya, Ummi…”
saya menepuk bahu Pak Gumil sambil memandang Ummi Zah.
“Hiss, jangan cakap macam tu ustaz,,,” Pak Gumil ketawa kuat berpaling kearah
saya. “Ustaz ni yang jadi guru
saya!”katanya lagi menarik tangan saya mengajak duduk.
Tidak lama kemudian, Jiman masuk ke situ tersengih-sengih
lantas bersalaman dengan saya, Lah dan Ummi Zah. Saya menyedari memang ramai
orang-orang di luar menunggu giliran sebelum saya sampai, tetapi disebabkan
kedatangan saya itu Pak Gumil terus saja menyuruh kami masuk dengan tidak
menghiraukan orang ramai yang menunggu giliran itu.
Beberapa orang yang ada bersama Pak Gumil itu memang
tidak saya kenali, kerana mereka mungkin murid-murid Pak Gumil yang
baru.Sebelum mereka diajak oleh Pak Gumil ke situ, memang sayalah yang
bersamanya beberapa tahun sehinggalah Jiman datang.
Selepas itu saya tidak lagi ke situ sejak beberapa tahun,
hanya berhubungan telefon saja dengan Pak Gumil. Hubungan saya dengan Pak Gumil memang tidak
terputus, sekalipun kami sudah lama
tidak bersua muka.
“Silakan Ustaz Jiman…”
saya memperkenalkan Jiman dengan Ummi Zah dengan Lah.
“Eh, ustaz rupanya,”
Jiman semacam terkejut dengan kehadiran saya pada malam itu. “Ustaz ni ada, bukan ke lebih baik ustaz saja
yang buat,” kata Jiman memerhati Pak
Gumil.
Pak Gumil tersengih-sengih tetapi memberi isyarat
menyuruh Jiman memulakan doa bagi mengubati Ummi Zah.
Beberapa ketika Jiman mendiamkan diri sambil memejamkan
mata berhadapan dangan Ummi Zah yang duduk di bangku. Semasa mereka memulakan
doanya, Lah menghulurkan rokok kepada saya. Sekalipun saya bukanlah penghisap
rokok, tetapi saya ambil juga sebatang rokok Lah. Saya menghisapnya dengan
tidak menghiraukan Jiman membaca Surah Al-Fatihah diikuti dengan 5 ayat awal
Surah al-Baqarah.
Semasa Jiman membaca ayat 163 dan 164 Surah Al-Baqarah
sebelum menyambung ke Ayatul-Kursi, sekali gus Ummi Zah memekik kuat
menyebabkan semua orang yang ada di situ terkejut. Saya sendiri terkejut dengan jeritan yang
kuat itu, lantas meletakkan rokok ke tempat abuk rokok.
Ketika ini Pak Gumil memberi isyarat kepada dua orang
lagi pembantunya supaya berzikir dengan mengepung Ummi Zah, yang kembali tenang
apabila Jiman meneruskan bacaan Ayatul-Kursi dan ayat 284,285 dan 286 dari
Surah Al-Baqarah.
Saya juga beralih merenungi kearah Ummi Zah yang memegang
dadanya seperti orang yang terkurung dalam kurungan. Semakin tepat renungan ke matanya saya
melihat seolah-olah asap keluar dari celah-celah jarinya yang ditekup ke
dada. Perlahan saya mengisar hujung jari
kaki ke lantai, lantas ternampak seolah-olah api memancar dari tapak tangan Pak
Gumil menghala kearah Ummi Zah.
Lama saya merenungi ke dalam mata Ummi Zah semasa Jiman
terus membacakan ayat 18,19 dan 20 dari Surah Ali-Imran dan ayat 54,55 dan 56 dari
surah Ar-Raaf, sementara Pak Gumil menguatkan zikirnya mengepung Ummi Zah. Memang jelas bayangan jari-jari terhulur dari
dalam kegelapan bertangan panjang dan lembut mengelilingi di bahagian tengkuk
Ummi Zah, sekalipun tidak ada kelihatan tubuh berlembaga yang mempunyai tangan
berkenaan.
Kemudian saya berpaling pada Lah dan memberitahunya,
“Kalau awak takut, eloklah awak keluar dulu Lah…” bisik saya kerana saya bimbangkan Lah
terkejut melihat keadaan emaknya.
Tetapi dia menggelengkan kepala kerana mahu melihat
apakah berlaku seterusnya.
Jari-jari bertangan lembut itu menjadi semakin lemah
apabila terkena silauan cahaya api dari tapak tangan Pak Gumil, seolah-olah
daun pisang terkena layur pada api menyala.
Jari-jari yang cuba menyerkup dari kepala Ummi Zah itu juga semakin
tidak berdaya semasa Jiman terus membacakan ayat 117 dan 118 dari Surah
Al-Mukminum dan 11 ayat terawal dari Surah As-Saffa.
Ketika ini jugalah sekali lagi Ummi Zah terpekik, dan
sekilas pandangan saya nampak jari-jari lembut bertangan panjang itu gementar
hilang dalam kegelapan yang menyelubungi di keliling Ummi Zah, walaupun pada
penglihatan biasa di situ diterangi cahaya lampu yang memancar kuat.
Selepas itu tidak ada lagi jerit pekikan dari Ummi Zah,
hanya sekali-sekala dia menepis tangan Pak Gumil tetapi tidak bertindak
kasar.Dia hanya tersenyum walaupun suaranya keras.
Tidak ada tindakan yang lebih keras dari Ummi Zah semasa
Jiman membacakan ayat-ayat Quran di hadapannya.Dia juga mendengar dengan tenang
azan yang di laungkan oleh Jiman tiga kali ke telinga kanannya. Selepas
semuanya selesai, saya dapati Ummi Zah tersenyum gembira lantas menghulurkan wang
RM50.00 kepada Lah supaya dimasukkan ke dalam tabung derma ikhlas yang
disediakan di sudut bilik.
“Banyak sangat tu…”
bisik saya. “Pak Gumil ni nak
tolong orang, kalau dah beri duit macam ni bukan nak tolong lagi, ni dah nak
menyusahkan orang,” kata saya dalam nada
berjenaka.
“Tak apa, Ummi beri ni ikhlas,” katanya semasa masuk ke kereta.
Esoknya pagi-pagi lagi saya menerima panggilan telefon
dari Ummi Zah memberitahu dia dapat tidur nyenyak semalamannya. Tidak pernah
dia merasa tenteram beberapa tahun kebelakangan ini, seperti setelah saya
bawakan dia bertemu Pak Gumil.
Semenjak itulah Ummi Zah menjadi rapat dengan keluarga
saya, walaupun sebelumnya saya memang berkawan baik dengan anaknya Lah. Hinggalah
pagi itu dia datang berkunjung semata-mata mahu memberi buah-buahan yang banyak
itu kepada anak-anak saya.
Tetapi Pak Gumil yang saya ceritakan ini bukanlah seorang
bomoh, walaupun dia sering dikunjungi orang ramai yang menyangkanya seorang
bomoh. Kadangkala sukar juga mahu menerangkan kepada mereka mengenai dirinya
yang bukan seorang bomoh, tetapi bagaimana mahu menolak apabila orang-orang
demikian terus juga mencarinya.
Masalah ini memang sukar hendak diterangkan, kerana Pak
Gumil atau kawan-kawannya hanya membaca beberapa potongan doa saja dalam mengubati
seseorang. Mereka tidak menggunakan
apa-apa kelengkapan perubatan seperti digunakan oleh bomoh. Seorang kawan Pak
Gumil pernah di termui oleh seorang lelaki yang mengidap sakit pinggang. Kawan
Pak Gumil ini adalah kawan saya juga, tetapi dia lebih rapat dengan Pak Gumil. Lelaki
yang mengidap sakit buah pinggang itu merupakan pegawai tinggi dalam jabatan
kerajaan.
Pada mulanya dia dikehendakki mendapatkan rawatan dengan
melakukan pembedahan keatas buah pinggangnya. Bagaimanapun setelah menemui Pak
Gumil dia diperkenalkan dengan kawan ini yang kami panggil Habib saja. Habib
memintanya mencari seekor ayam jantan kampung. Ayam tersebut disembelih dan
diambil batu yang terdapat dalam hempedunya.
Setelah membacakan doanya, Habib menyuruh kawan itu merendamkan
batu tersebut ke air dan meminum airnya setiap pagi. Kawan itu melakukan
seperti yang di nasihatkan. Dia sendiri merasa heran apabila diperiksa oleh
pihak berkuasa perubatan sakit buah pinggangnya tidak lagi dapat di
kesan.Hingga sekarang dia tidak lagi menderita sakit buah pinggang sampailah
bersara sejak beberapa tahun lalu.
Tetapi apabila saya beritahu kepada seorang kawan yang
mengidap sakit batu karang mengenai kejayaan Habib itu, dia tidak berminat
untuk menemuinya. Dia terus juga mengidap sakitnya setelah beberapa kali
ditangguh untuk rawatan pembedahan yang hendak dilakukan.
Sebenarnya tiap-tiap usaha rawatan ini adalah sebagai
ikhtiar manusia. Doa juga adalah sebahagian dari usaha, dan bukannya bermakna
menyerahkan segalanya kepada takdir saja.
Demikianlah yang berlaku kepada Ummi Zah seperti yang telah saya
ceritakan.
Berkali-kali dia memberitahu saya, inilah pertama kali
dia mengalami cara rawatan perubatan yang berbeza dari pernah yang
dilihatnya. Sudah beberapa kali dia
menemui pakar-pakar perubatan tradisional, dan mereka juga sudah berikhtiar
mengubatinya.
Ummi Zah merasakan keadaan dirinya tidak juga
berubah.Tetapi setelah saya bawakan dia bertemu dengan Pak Gumil, dia mendapati
perbezaan yang nyata. Pak Gumil dan Jiman bukan saja tidak menggunakan
kelengkapan seperti kemenyan, limau dan sebagainya, tetapi hatinya menjadi sayu
dan hiba mendengar bacaan ayat-ayat Quran oleh Jiman. Dalam masa yang sama pula dia merasakan
dirinya terlalu panas apabila Pak Gumil menghalakan tapak tangan kearahnya.
Hal ini jugalah yang berlaku keatas Mahani yang mengalami
gangguan setelah mendiami rumah di satu kawasan perumahan itu.
Dua hari selepas saya dan Abang Karib mengubati Mahani
pada malam tersebut, Khamis datang semula ke rumah menjemput saya. Kira-kira jam 1.00 pagi dia datang sewaktu
saya baru saja terbangun untuk melakukan solat sunat.
Terpaksalah dia menunggu saya hampir 14 minit.Setelah
selesai solat sunat saya teruslah mengikut Khamis ke rumahnya.
“Maaflah, kerana mengganggu ustaz,” ujar Khamis dalam keadaan rusuh.
“Tak apalah…”
sahut saya terketar-ketar menahan
rasa sejuk di tengah malam demikian.
“Sebab itu saya tak mahu jadi bomoh, tengah malam macam ni kena pergi
juga kalau orang jemput. Tapi di
sebabkan awak macam ni, terpaksalah,” ujar
saya menjelaskan bahawa seorang bomoh itu tidak dapat mengelak kalau sudah
dijemput orang sewaktu sedang seronok diulit mimpi di tengah malam.
Bagaimanapun saya terpaksa memenuhi jemputan Khamis,
disebabkan dia dalam keadaan terdesak. Serba salah juga saya mahu menolak
jemputan setelah dia datang dalam keadaan cemas dan rusuh.
“Siapa menunggu Mahani?”soal saya setelah terdiambeberapa
ketika.
“Abang Karib…” jelasnya masih rusuh. “Dia yang suruh saya
panggil juga ustaz,” dia tersengih-sengih untuk menyembunyikan kecemasan yang
menyelubungi hatinya.
“Hai, susah juga setan nak pergi,” keluh saya perlahan.
“Entahlah ustaz, kalau macam ni mau aje saya
pindah,” katanya menggertap bibir
seolah-olah kecewa dengan kejadian yang menimpa isterinya itu. “Tapi, kalau pindah pun susah juga nak
memunggah barang-barang,” dia semakin serba salah menghadapi masalah tersebut.
“Sabar dulu…kita ikhtiar, jangan putus asa,” saya menghela nafas disebabkan terasa sejuk
menyusup ke tulang.
“Tangoklah dulu,”
katanya perlahan mengetuk-ngetuk jari ke stereng kereta. “Patutlah penyewa-penyewa dulu, tiga bulan
aje duduk di situ…pindah…” dia
mencepak-cepak bibir merenung ke hadapan melihat cermin kereta yang mula di
timpa embun.
Semasa saya sampai di rumah Khamis, memang Abang Karib dan
anak serta menantunya ada di situ. Mahani terbaring keletihan di atas
permaidani, tetapi masih belum sedarkan diri.
“Macam mana Abang Karib?” kata saya sebaik saja masuk.
“Hah, dia nak main-main,”
ujar Abang Karib muncungkan bibir kearah Mahani yang terbaring. “Diam tu, bukan boleh percaya. Dia nak
perdayakan kita…” dia juga kelihatan letih setelah bertungkus-lumus semasa
Mahani meronta-ronta.
Sebaik saja Mahani melompat dari katil kira-kira jam 11
malam, Khamis terus mengekorinya. Dia
tidak membiarkan Mahani terus keluar dari grill pintu, lantas memberitahu Abang
Karib yang masih belum balik ke Endau.
Mereka anak beranak segera membantu. Disebabkan Abang Karib juga
terdesaklah dia menggesa Khamis menjemput saya.
Saya tidak terus menghampiri Mahani, sebaliknya duduk
terlebih dulu di kusyin. Khamis yang mengekori di belakang saya terus saja
mendapatkan isterinya yang terbaring, dalam keadaan mengerang-ngerang seperti
keletihan.
“Mahani…” Khamis
menggoyang-goyangkan bahu isterinya.
Dia menyahut lemah, tetapi tetap juga mengerang-ngerang
dan termengah-mengah.
“Awak sedar tak ni?”
soal Khamis lembut.
“Sedar,” katanya
merintih perlahan.
“Kalau sedar duduklah,”
ujar Khamis menggoyang-goyangkan bahu Mahani.
“Mata sakit tengok lampu tu…” dia menuding kearah lampu yang terpasang.
“Sakit mata ke?”Abang Karib pula sengaja menguji.
“Sakit…” sahutnya tersipu-sipu.
“Kenapa?”soal Abang Karib lagi.
“Entahlah, macam kena bola api,” dia menjelaskan dalam suara merintih.
“Hah, mengaku lagikan…Kau tak pergi lagi!”Abang Karib
mengeraskan suara.“Kau ingat kau boleh tipu aku. Kau tak mau pergi lagi, tadi kau janji nak
pergi,” kata Abang Karib seterusnya.
Tiba-tiba saja Mahani bingkas menumbuk dada Khamis
menyebabkan suaminya jatuh terlentang.
Dia cuba menerpa ke pintu, tetapi langkahnya terhenti mengerling Abang
Karib yang menekan ibu jari tangan ke lantai.
“Nak buat apa ni?”
Mahani menekan dadanya tidak lepas memandang Abang Karib mengisar-ngisar
ibu jari tangannya ke lantai. Tetapi Abang Karib tidak menyahut hanya
renungannya saja tajam menyoroti segenap wajah Mahani.
Dia jatuh terduduk di lantai sambil menjerit halus
memegang kepala lututnya.
“Halau ustaz ni, dia nak mengacau kita…” dia menuding jarinya kearah saya tetapi
menunduk ke lantai.
Saya membacakan Surah Al-Quraisy tiga kali lantas
menghembuskan kearahnya. Kemudian saya bersuara perlahan dengan jelas dapat
didengarnya. “Jangan kau fikir ilmu kau
tinggi dari manusia, cuba kau ingatkan sewaktu Nabi Allah Sulaiman bertanya
kepada para jin siapa yang boleh membawakan istana Puteri Balqis ke hadapannya,
lantas Jin Afrit menyanggupi untuk membawanya sebelum sempat Nabi Allah
Sulaiman bangun dari kerusinya, tetapi seorang insan menyanggupi untuk membawa
istana Puteri Balqis sebelum sempat mata Nabi Allah Sulaiman berkedip. Kau tahu bahawa ilmu manusia lebih tinggi
dari syaitan..”
Selepas itu saya menggenggam tangan lalu membacakan: Innahu min-Sulaiman wainnahu-bismillahhirr Rah mannir-Rahim.
Semakin kuat saya menggenggam tangan, semakin kuat Mahani
menggeliat-geliat seperti mengelakkan diri dari cengkaman.Mereka yang ada di
suit melihat Mahani semakin lemah sewaktu menggeliat-geliat itu.
Saya sudah merasakan bahawa di dalam genggaman saya bukan
lagi Mahani, tetapi lembaga seorang perempuan yang lemah bermuka pucat lesi
bagaikan merayu-rayu menahan kesakitan. Saya melihat matanya bekas terbakar
dengan lututnya tersepit di celah himpitan cangap besi panas.
“Kau berjanji nak tinggalkan tempat ni, kenapa kau datang
lagi?” soal saya menghembus ke kepalanya.
“Ini tempat aku,”
rintihnya bagaikan meminta belas kesihan.
“Aku tau, tapi sekarang ini bukan lagi tempat kau!”ujar
saya mengingatkan.
“Di mana tempat aku?”getaran suaranya terasa menyayukan.
“Tempat kau telah ditetapkan oleh Allah SWT…” kata saya
tinggi sedikit. Kemudian saya
menyebutkan: hua-auwalu
wal-akhiru wal-zahirru wal-batinnu wahua-ala-qulli syai-in-alim.
Dia semakin lemah tidak berdaya. Ketika ini mereka
melihat Mahani semakin lemah merebahkan diri ke atas lantai. Dia terbaring lesu
tidak dapat bergerak lagi.
“Baliklah ke tempat kau telah di tetapkan,” bisik saya menghembuskan ke dalam genggaman
tangan. Saya dapat mengagak akan cerita
Abang Karib dua malam sebelum itu mengenai gangguan yang menimpa Mahani.
Abang Karib memberitahu dia seolah-olah melihat saya
duduk di atas tengkuk seorang perempuan muda berpakaian kain nipis warna putih.
Perempuan itu meminta dia melepaskan dirinya dari beban yang terpikul di
tengkuknya akibat saya duduk di situ.
Melihatkan keadaan perempuan itu terseksa, seorang lelaki
tua cuba membantunya, tetapi dia terpelanting sebelum sempat mendekati
saya. Abang Karib tidak melepaskan
peluang menyerang lelaki berkenaan, tetapi lelaki tua itu merayu sepaya
dikasihani.
Lelaki tua itu mengakui di depan Abang Karib perempuan
muda itu adalah dari keturunannya yang dikebumikan di tapak bangunan rumah itu
selepas kematiannya. Semasa kawasan
perumahan itu dibina, tidak siapa pun tahu bahawa di situ adalah bekas tanah
perkuburan lama disebabkan tidak mempunyai batu nisan.
Memang tidak ditemui kesan-kesan yang menunjukkan
terdapatnya kawasan perkuburan lama di situ seperti tengkorak manusia dan
sebagainya. Tetapi dakwaan lelaki tua yang ditemui oleh Abang Karib dapat
menceritakan bagaimana perempuan muda itu lari meninggalkan rumah ibu bapanya
setelah mengandung akibat diperkosa oleh lelaki yang di percayainya.
Disebabkan malu serta takut dia membawa diri hingga
sampai ke satu kawasan hutan yang terpencil. Dia sentiasa ditemani oleh lelaki
tua yang dikatakan keturunannya itu. Semasa melahirkan anak inilah perempuan
muda itu mati bersama bayinya sekali. Di tapak rumah yang didiami oleh Khamis
dan Mahani itulah Abang Karib diberitahu perempuan muda itu dikebumikan oleh
orang tua berkenaan.
“Sekarang, baliklah ke tempat kau,” kata saya masih tidak membuka genggaman
tangan, walaupun bayang perempuan itu saya lihat sudah lemah tidak berdaya
langsung. “Abang Karib sudah ceritakan
pada aku masalah kau baliklah kau!”saya mengingatkan bayang perempuan yang
semakin lemah di dalam genggaman saya itu.
“Kau jangan ganggu Mahani lagi, dia tak mengusik
kau,” terdengar kepada saya Abang Karib
bersuara keras.
Tetapi perempuan itu tidak menyahut. Dia hanya
mengerang-mngerang kesakitan.
Bayang perempuan muda itu semakin lama semakin hilang
dalam genggaman saya, dan kelihatan Abang Karib tersenyum berhadapan dengan
seorang lelaki tua. Dari gerak bibir mulutnya seolah-olah dia berkata.“Terima
kasihlah kerana menyelamatkan dia dari keturunan saya. Sebenarnya dia masih
merasakan tempat itu kepunyaannya dan saya sudah berusaha membawanya balik,
tetapi dia masih sayangkan tempat ini.”
Setelah orang tua itu hilang dalam silauan cahaya putih
yang jauh dari pandangan, barulah saya membuka mata sambil mengucapkan: Astaghafarullah-ul-azzim…berulang
tiga kali.
“Macam mana ustaz?”Tanya Abang Karib lantas duduk di
sebelah saya.
“Insya Allah, sama-samalah kita berdoa,” ujar saya keletihan.
Apabila saya berpaling sepada Mahani, saya melihat dia
sudah pun duduk tetapi masih lemah. Khamis membantu isterinya bangun dan
memimpin naik ke bilik tidur di atas. Tidak lama kemudian dia turun semula ke
tingkat bawah memberitahu isterinya tertanya-tanya mengapa saya dan
jiran-jirannya ada di situ.
Memanglah sukar hendak diterangkan kisah Khamis dan
Mahani ini, kerana ia tidak sama dengan masalah yang dihadapi oleh Ummi
Zah. Tetapi Ummi Zah menjelaskan dia
menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya, hanya dia tidak dapat hendak
bertindak mengatasinya.
Sewaktu dia terpekik mendengar bacaan ayat Quran oleh
Jiman memang dia sedar, tetapi dia tidak mengawal dirinya dari memekik
kuat. Begitu juga sewaktu dia
menepis-nepis tangan Pak Gumil, memang dia sedar apa yang di lakukannya. Hanya dia tidak dapat mengawal dirinya supaya
tidak melakukan demikian.
SELESAI
No comments:
Post a Comment