HEMBUSAN angin malam yang dingin menembusi dinding perlupuh rumah Jumin di darat kampung. Dia menarik selimut supaya menutupi seluruh tubuhnya yang terasa dingin di tengah malam sepi demikian. Daun-daun pokok berhampiran rumahnya juga terdengar berdesir-desir oleh hembusan angin tersebut.
Disebabkan hembusan angin yang dingin itulah Jumin
terjaga dari tidurnya. Walaupun selimut
yang dijahit dari kain buntil gandum bersambung itu terasa menghangatkan,
tetapi Jumin masih tidak dapat melelapkan mata akibat tidurnya terganggu di
tengah malam itu. Puas juga dia
memusing-musingkan badan mengereng ke kiri dan ke kanan, namun matanya tetap
tidak dapat dilelapkan.
Anak muda berumur lapan belas tahun seperti Jumin
tidaklah banyak memikirkan masalah keluarga, kerana dia masih mempunyai ibu dan
bapa tempat bergantung hidup. Masakan
dia mempunyai banyak masalah menyebabkan dia tidak boleh melelapkan mata di
tengah malam demikian.
Sedangkan ayahnya sendiri Pak Musid sudah berdengkur di
dalam menguliti mimpinya yang indah-indah.
Jumin yang tidur di serambi berseorangan, jarang pula tidak boleh tidur
sekalipun angin dingin bertiup di tengah malam.
Bagi mereka orang-orang kampung adalah perkara biasa saja kalau
kesejukan di malam hari apabila angin bertiup.
Rumah mereka hanya berdindingkan pelupuh dan berlantaikan
ruyung serta beratapkan rembia, yang mudah disusupi angin malam. Pokok-pokok kayu juga merimbun di sekeliling
rumah menjadikan udara di sekitarnya lembab dan nyaman. Sebab itu apabila siang hari di tengah panas
matahari bersinar pun mereka tidak akan merasa bahang kepanasan.
Dalam masa dia berpusing mengereng ke kiri dan kekanan
inilah Jumin mendengar tangisan halus wanita sayup-sayup di hujung kampung. Pada mulanya dia cuba tidak mempedulikan
tangisan halus itu, tetapi semakin lama dia mendengarnya dengan jelas. Bukan lagi khayal mimpi sewaktu tidur
nyenyak.
Jumin terus duduk sebaik dia mendengar tangisan halus
yang sayup-sayup itu terus juga bergetar di tengah malam. Berkali-kali dia mencubit pahanya untuk
mempastikan sama ada dia sedang bermimpi atau mendengar sesuatu yang ujud di
alam nyata.
Setelah yakin dia bukannya bermimpi Jumin pun segera
memanggil ayahnya. Terkejut juga Pak
Musid dan isterinya Utih Leha apabila dibangunkan oleh anaknya Jumin.
“Apa bendanya kau ni, Jumin,” rungut Pak Musid dari tengah rumah macam
memarahi anaknya.
“Kau mengigau ke…?”
Utih Leha juga keheranan kerana tidak pernah pula Jumin mengejutkan
mereka di tengah malam demikian. Bimbang
juga Utih Leha kalau anaknya mengigau atau diserang demam. Walaupun Jumin sudah muda remaja, tetapi
tanggungjawabnya ke atas anak muda itu masih belum berakhir.
“Cuba diam-diam dan dengar,” beritahu Jumin dari serambi.
Pak Musik dan Utih Leha terpaksa berhati-hati mendengar
getar hembusan angin yang memukul daun-daun pokok kayu di sekeliling
rumah. Apa sangatlah dihairankan kalau
sekadar bunyi hembusan angin itu sampaikan Jumin terpaksa mengejutkan mereka
berdua untuk mendengarnya.
“Nak dengar apa, bunyi angin memukul daun kayu!” gerutu pak Musid memarahi Jumin.
“Eh, awak dengarlah tu betul-betul,” Leha mencuit bahu suaminya apabila dia
sendiri mendengar tangisan memanjang yang sayup-sayup di hujung kampung.
Terdiam Pak Musid setelah diamat-amatinya bunyi suara
tangisan yang sayup-sayup itu. Terasa
juga seram hingga tegak bulu romanya.
Belum pernah pula seumur hidupnya dia mengalami suasana demikian. Suara tangisan perempuan itu bukan lagi getar
angin yang bertiup memukul daun-daun pokok kayu, tetapi jelas tangisan yang
memilukan.
Pak Musid bangun ke serambi lantas membuka pintu hadapan
untuk mempastikan arah datangnya suara tangisan mendayu-dayu itu. Tidak mungkin pula suara tangisan itu
datangnya dari rumah Siamid kerana dia baru seminggu kematian isterinya
Bainah. Kalau pun ada anaknya yang
menangis, semuanya masih kecil. Bukan
suara tangisan anak-anak kecil yang kedengaran pada malam yang sepi itu.
“Dari mana arahnya oiii…?” tanya Utih Leha bingkas bangun berdiri di
pintu tengah. Dia memanjangkan leher
memerhatikan kerumah Siamid yang berbalam-balam. Cuma mereka sajalah jiran Siamid yang paling
dekat. Semasa kematian Bainah akibat
mengidap batuk darah, mereka anak beranaklah bertungkus-lumus membantu keluarga
tersebut
“Dari rumah Siamid ke?”
ulangi Utih Leha terkuap-kuap lantas duduk di bendul pintu tengah.
“Entahlah…” sahut
Pak Musid masih memerhati kearah rumah Siamid.
Memang suara tangisan itu mendayu-dayu sayup dari arah rumah Siamid,
bagaimana pun tidak kelihatan pun cahaya pelita dari rumah tersebut.
“Siapa ada di rumah Abang Siamid tu,” beritahu Jumin duduk memeluk kepala lutut
sambil mengukuhkan selimutnya. “Abang
Siamid anak beranak ke rumah emaknya petang tadi. Katanya tidur di sana, aku yang tolong rebankan
ayamnya siang tadi…” ujarnya semacam tidak percaya mengenai suara tangisan
perempuan itu datangnya dari arah rumah Siamid.
Kepadanya Siamid berpesan meminta tolong tengok-tengokkan
rumahnya kerana Siamid membawa dua orang anaknya balik ke rumah emaknya
kira-kira jarak sebatu dari kampung tersebut.
Masakan Siamid balik juga pada sebelah malamnya. Semasa dia sendiri yang merebankan ayam
Siamid senjanya, duda baru kematian isterinya itu masih belum pulang.
“Habis, takkan Bainah balik ke rumah…!” gerutu Pak Musid mula merasa gementar. Terfikir juga padanya kemungkinan tangisan
itu datangnya dari Bainah yang balik semula ke rumah. Memang dia pernah mendengar mengenai
orang-orang yang sudah mati boleh balik semula ke rumah. Tetapi seumur hidupnya belum pula dia
mengalami kejadian demikian.
“Bainah balik ke rumah…?”
ulangi Utih Leha dalam debar memanjang.
Dia semacam tidak percaya dengan apa yang didengarnya dituturkan dari
mulut suaminya.
Tangisan itu mendayu-dayu bersama angin malam yang
berhembus perlahan. Malam yang sepi itu
menjadi pilu disulami oleh suara tangisan tersebut. Mereka bertiga beranak dapat mendengarnya
dengan jelas suara tangisan yang mendayu-dayu di tengah malam itu.
Sekejap suara itu meninggi, sekejap tenggelam
timbul. Cepat-cepat pula Pak Musid
menutup pintunya. Dia kembali duduk di
tempat tidur sambil melingkupkan selimut ke tubuh. Jumin yang tidur di serambi tidak berani lagi
tinggal di serambi. Dia segera menerpa
ke induk rumah membawa bantal dan selimutnya.
Geli juga hati Pak Musid melihat anak mudanya ketakutan
setelah mendengar Bainah balik semula ke rumah.
Sebaliknya dia juga memang dalam ketakutan tetapi sengaja disembunyikan
dari pengetahuan anak dan isterinya.
Ketika ini Pak Musid dapat membayangkan penderitaan
Bainah semasa mengidap penyakit batuk darah.
Rintihan Bainah sewaktu terbaring sakit itu sama seperti suara tangisan
yang mendayu-dayu pada malam tersebut.
Hanya batuknya saja tidak kedengaran disebabkan suara tangisan jauh-jauh
sayup-sayup entah di mana.
Hampir sebulan Bainah menanggung penderitaan sakitnya
sebelum dia menghembuskan nafasnya.
Apabila dia terbatuk akan memerciklah darah hidup keluar dari
kerengkungnya seperti darah yang mengalir dari luka di tangan. Kadangkala habis sehelai kain pengelap dibasahi
darah sebelum alirannya dapat diberhentikan.
Beberapa orang bomoh telah dipanggil oleh Siamid untuk
mengubati penyakit isterinya. Setelah
mengulangi tiga hari mengubati penyakit Bainah, bomoh-bomoh berkenaan tidak
berani lagi meneruskan. Mereka tidak
sanggup untuk mengubati penyakit tersebut, kerana selama mereka menjadi bomoh
belum pernah dihadapinya penyakit seperti demikian.
Apabila dibawa ke hospital, pihak berkenaan di hospital
sendiri tidak dapat mengesahkan penyakit sebenarnya. Disebabkan di hospital di daerah ketika itu
kekurangan alat-alat kelengkapan, Bainah telah juga di bawa ke hospital besar
di bandar, tetapi pihak berkuasa di hospital tidak mendapat apa-apa punca
penyakitnya sekalipun telah di x-ray.
Pada mulanya pihak berkuasa di hospital mengesyakki
Bainah termakan racun, bagaimanapun hasil penyelidikan mereka mendapati tidak
ada kesan racun dalam darah yang keluar dari kerengkung Bainah. Pihak berkuasa hospital juga megesahkan
bahawa Bainah tidak mengidap batuk kering.
Bainah dihantar semula ke hospital daerah bagi
mendapatkan rawatan selanjutnya, sementara pihak berkuasa di hospital besar
dapat menentukan penyakit Bainah hasil dari penyelidikkan keatas darahnya. Disebabkan keadaan Bainah semakin tenat,
akhirnya Siamid terus meminta supaya isterinya dibenarkan dibawa pulang ke
rumah.
Pak Musid juga menasihatkan Siamid supaya membawa Bainah
berubat di kampung saja. Di hospital pun
Bainah hanya diberi rawatan biasa seperti pesakit-pesakit lain, disebabkan
mereka tidak dapat menentukan apakah penyakit sebenarnya yang dihidapi oleh
Bainah.
Setelah Bainah di bawa balik ke rumah, Utih Leha segara
menyuruh Siamid memanggil ayah saya untuk melakukan ikhtiar bagi mengubati
Bainah.
“Cuba-cubalah dengan Bilal Hud pula…” ujar Utih Leha mengesyurkan. “Manalah tau kalau masin pula air liur guru
mengaji Quran tu,” katanya penuh yakin.
Memang di kampung itu ayah saya hanya dikenali oleh
mereka sebagai guru mengaji Quran saja, di samping menjadi bilal masjid. Tetapi Utih Leha mengikatkan Siamid mengenai
Tok Aji, walaupun seorang guru agama di madarasah tetapi boleh juga membacakan
doa untuk menyembuhkan penyakit.
“Bilal Hud tu anak Tok Aji, tak banyak sikit turun juga
ilmunya,” jelas Utih Leha mendesak
supaya di jemput ayah saya bagi mengubati Bainah.
Dalam keadaan terdesak itu Siamid tidak bertangguh terus
memanggil ayah saya. Terkejut juga ayah
saya bila diberitahu oleh Siamid mengenai isterinya yang sakit mengidap batuk
darah itu. Sekalipun kampung ayah saya
jarak sebatu juga dari kampung keluarga Bainah, tetapi mereka saling mengenali
juga antara satu sama lain walaupun jarang bertemu muka.
Ketika ayah saya sampai ke rumah Siamid, dia melihat
keluarga kedua belah pihak sudah memenuhi ruang rumah. Masing-masing cemas melihat keadaan Bainah
yang semakin kurus akibat darah yang banyak keluar setiap kali terbatuk. Seluruh badannya akan bergegar kuat apabila
dia terbatuk memanjang terkokol-kokol.
Dia merintih-rintih menahan kesakitan menekan dadanya meminta
pertolongan supaya batuknya reda.
Tetapi masing-masing tidak berupaya untuk menolong. Mereka hanya memerhatikan saja dengan
perasaan cemas dan bimbang. Tiada siapa
lagi boleh mereka menggantung harapan setelah tidak ada bomoh yang sanggup
mengubatinya. Malah setelah dibawa ke
hospital pun mendapatkan rawatan keadaan penyakit Bainah masih tidak
berkurangan.
“Bainah ni termakan bisa ke?” soal ayah saya setelah melihat keadaan
perempuan itu yang tersandar pada bantal berlapis. Nafas Bainah berombak-ombak turun naik
bagaikan meminta belas kesihan.
“Tak tau laaa, Bilal,”
sahut Utih Leha yang duduk di hulu kepala Bainah. “Nak dikatakan termakan bisa, sudah pun
dibawa ke hospital. Sudah pun di beri
tangkal upas oleh Dukun Lawi,” jelasnya
bagaikan kehilangan ikhtiar.
Lama ayah saya terdiam setelah mendengar penjelasan dari
Utih Leha. Kemudian dia menghela nafas
seolah-olah mencari ikhtiar. Memang dia
sendiri tidak tahu apa harus dilakukan.
Disebabkan Siamid mendesak juga meminta dia datang maka terpaksalah dia
memenuhi jemputan tersebut, sekalipun di hatinya serba salah untuk mengubati
penyakit Bainah.
Kalau ditolak jemputan Siamid bimbang pula dia akan
dituduh sengaja mahu mengelak. Dia
datang pun hanya disebabkan jemputan itulah.
Bainah sendiri sudah tidak tahu suasana kelilingnya. Dia tersandar saja merintih-rintah meminta
pertolongan agar penderitaannya berkurangan.
“Tolonglah aku ni…”
katanya terketar-ketar dengan mata terpejam rapat. “Hangatnya dada aku ni Abang Siamid. Ada apikah dalam dada aku ni,” suaranya bergetar memecah keheningan malam.
“Mengucaplah Bainah,”
bisik Siamid ke telinga isterinya.
Bainah mengangguk lemah.
Kemudian dia mengerang-ngerang semula sambil cuba mengangkat
tangannya. Darah yang keluar dari
kerengkungnya beberapa jam sebelum itu sudah pun berhenti mengalir. Emaknya dan emak mertuanya duduk di sisinya
merenung dengan penuh kasih sayang.
“Apalah seksanya penyakit kau ni, Bainah,” ujar emak mertuanya penuh rasa tertharu.
“Entahlah bisan, dah nasib dia…” sahut emaknya pula tersengguk-sengguk
mengesat pelupuk mata.
Bainah hanya merintih-rintih. Dadanya berombak-ombak dengan nafas
kencang. Bibirnya bergerak-gerak lemah
dan masih berbekas kesan darah yang mengalir dari mulutnya.
“Macam mana ikhtiar kita Bilal?” Pak Musid mencuit bahu ayah saya.
Ayah saya menggamit Siamid supaya hampir kepadanya. Dia berbisik sesuatu ke telinga Siamid.
“Satu aje yang ada Pak Bilal,” jelasnya semakin sebak di dada.
“Tak apalah, kalau ada Quran pun boleh juga,” kata ayah saya berpaling memandang Pak
Musid. “Begini, marilah kita baca Yassin
aje. Siapa yang tak hafal sama-samalah
ikut baca Surah Yassin dan Quran,”
ujarnya memberi isyarat supaya tidak bertangguh lagi.
Masing-masing memahami apa yang dimaksudkan oleh ayah
saya. Mereka sendiri melihat keadaan
Bainah yang amat payah untuk bernafas.
Dalam keadaan demikian hanya Surah Yassin sajalah yang wajar dibacakan
bagi mengiringi perjalanannya yang semakin hampir.
Ayah saya mengetuai mereka membacakan Surah Yassin
beramai-ramai. Bainah memang dalam
keadaan nazak ketika itu, sekalipun bibirnya masih boleh menuturkan rintihan
yang mendayu-dayu. Suara orang ramai
membaca Yassin bergema di ruang rumah itu, diselang-seli oleh isak tangis kaum
keluarga Bainah.
Mereka bukanlah bersedih kerana saat perpisahan sudah
hampir, tetapi merasa terhiris hati dengan keadaan yang menimpa Bainah. Dia terpaksa menderita penyakit yang tidak
diketahui puncanya.
“Abang Siamid, aku nampak kau jauh sangat…” suara Bainah terketar cuba mengangkat
tangannya, tetapi tidak berdaya. Siamid
tersengguk-sengguk menahan kesedihan yang menyelubungi jiwanya. Dia tahu bahawa saat perpisahan itu tidak
dapat di elakkan. Semuanya telah
ditentukan oleh Allah SWT, yang tidak ada siapa pun dapat menghalangnya. Siamid menyedari bahawa dia mesti rela
melepaskan pemergian isterinya, sekalipun kasih sayangnya tinggi menggunung.
“Abang Siamid peganglah tangan aku ni,” rintih Bainah selanjutnya.
Siamid menggenggam tangan isterinya erat-erat.
“Kenapa tak pegang tangan aku Abang Siamid,” Bainah bagaikan merayu-rayu.
“Aku peganglah ni…”
beritahu Siamid menaqhan keharuan yang menyebak di dada.
“Kau jauh sangat Abang Siamid,” suara Bainah terus menusuk perasaannya.
“Hiss, aku duduk dekat kau,” kata Siamid memujuk.
“Kau jauh Abang Siamid, emak jauh…kedua-dua emak pun jauh. Mengapa semua orang jauh dari aku,” ujar Bainah selanjutnya terputus-putus.
“Ingatkan Allah, Bainah.
Ingatkan Allah…” emak mertuanya
berbisik ke telinga.
Suara rintihan Bainah semakin halus di tengah gema bacaan
Surah Yassin beramai-ramai. Akhirnya
suara rintihan itu tenggelam tidak kedengaran lagi hinggalah bacaan Surah
Yassin itu selesai.
Perlahan-lahan ayah saya mengusap muka Bainah tiga kali.
Kemudian menyuruh jenazah itu dibujurkan baik-baik dengan kakinya mengarah ke
kiblat. Malam itulah Bainah
menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah menderita sakit batuk yang
mengeluarkan darah.
Kesedihan menyelubungi keluarga Siamid pada malam
tersebut dengan kematian, bagaimanapun mereka lebih rela menerima kematian
tersebut dari membiarkan Bainah lebih lama menderita. Mereka tidak sanggup lagi melihat Bainah
batuk terkokol-kokol bagaikan mahu keluar isi perut. Selepas itu darah akan mengalir dari mulutnya
tidak berhenti-henti. Kadangkala apabila
di lap dengan kain pelikat pun akan habis sehelai kain dibasahi darah.
Biarlah Bainah kembali menemui Maha Pencipta dalam tenang
tenteram dengan tidak diiringi esak tangis yang berpanjangan. Lagi pun mnereka sudah puas berikhtiar
mengubati penyakitnya, tetapi apakan daya takdir sudah menetukan demikian!
Ayah saya ikut sama mengiringi jenazah Bainah untuk
dikebumikan keesokan harinya. Semasa
jenazah Bainah dibawa turun dari rumah hujan panas merebas turun, tetapi Tok
Imam Lah menyuruh teruskan juga mengusung ke kubur selepas zohor.
Lagi pun hujan panas bukannya hujan lebat mencurah-curah
yang boleh mengganggu mereka mengusung jenazah.
Tidak baik jenazah lambat di kebumikan seperti yang dinasihatkan oleh
Tok Imam Lah. Ayah saya juga bersetuju
dengan nasihat Tok Imam berkenaan. Sebab
itulah jenazah Bainah diusung juga ke kubur dalam simbahan hujan panas yang
merebas itu.
Masuk saja ke kawasan tanah perkuburan, tidak semena-mena
sekumpulan kelulut berterbangan di atas usungan jenazah. Pada mulanya mereka yang mengusung itu
menyangkakan sekumpulan lebah menyebabkan mereka cemas. Tetapi ayah saya segera memberitahu serangga
yang berterbangan itu hanya kelulut yang tidak akan menyengat sesiapa.
Kelulut itu pula terus hinggap membuat sarang di atas
penutup usungan yang diperbuat dari pelepah rembia, walaupun sudah diselimutkan
dengan kain batik lepas.
“Agaknya bau pelepah rembia ni, kelulut tu
menghurung,” kata Tok Imam Lah
kehairanan.
Perkara membuat penutup usungan dari pelepah rembia
bukanlah baru kepada penduduk-penduduk di kampung itu. (Mereka tidak ada usungan yang khas
disediakan seperti sekarang ini di kebanyakan tanah perkuburan). Apabila ada kematian, maka mereka pun
menebang buluh untuk dibuat usungan.
Penutup usungan pula dibuat dari pelepah rembia, manakala kulit pelepah
rembia itu dianyam bagi mencantikkan lagi penutup usungan itu.
Selama ini tidak pernah pula kelulut menghurung pelepah
rembia tersebut, apatah lagi sewaktu jenazah sedang berada di atas usungan.
“Tak apalah, teruskan saja mengusung. Binatang ni tak menyengat,” ayah saya memberi semangat kepada mereka yang
mengusung usungan itu supaya mereka tidak terus diselubungi kecemasan.
Memang kelulut itu menyerupai lebah. Sekiranya orang tidak mengenali kelulut
mereka akan terkeliru dengan menyangka kelulut itu lebah. Sebab itulah ayah saya memberi keyakinan
kepada mereka bahawa yang sedang menghurung usungan jenazah itu bukanya lebah.
Kelulut berkenaan hanya menghurung dan hinggap di atas
penutup usungan. Serangga itu tidak
mengganggu sesiapa. Mereka bimbang juga
kalau-kalau kelulut berkenaan memasukki telinga semasa mereka mengusung jenazah
tersebut.
Mujurlah tidak ada apa-apa perkara yang tidak diingini
berlaku sewaktu usungan dibawa ke kubur.
Kelulut yang hinggap di atas penutup usungan seolah-olah mahu membuat
sarang di situ. Serangga itu tidak pula
lari walaupun usungan sudah diletakkan di tepi lubang kubur.
Sebelum penutup usungan dibuka. Pak Musid melingkupkan
kain batik lepas yang menyelubungi penutup usungan itu untuk memerangkap
serangga berkenaan supaya terkurung.
Kemudian kain yang mengurung serangga kelulut itu dicampakkan jauh dari
situ agar tidak mengganggu mereka semasa menurunkan jenazah ke dalam liang
lahad.
Apabila jenazah mula diturunkan dari usungan untuk
disorongkan ke dalam liang lahad, tiba-tiba Pak Berahim yang bertanggung jawab
menggali kubur meminta jenazah diangkat semula ke atas.
“Kenmapa pula Berahim?”
soal Pak Musid terkejut.
“Hulurkan aku pungkis dengan cangkul taran pendek,” ujar Pak Berahim dengan tidak menghiraukan
soalan Pak Musid.
Cepat-cepat pula Jumin yang sama-sama membantu menggali
kubur menghulurkan pungkis dan cangkul bertaran pendek. Pak Berahim menyuruh Siamid dan Jahid yang
berada di dalam lubang untuk menyambut jenazah naik semula ke atas. Mereka berdua pun melompat naik meninggalkan Pak Berahim berseorangan di
dalam lubang.
Pak Berahim membongkok sambil mengaut sesuatu dari liang
lahad dengan cangkul di masukkan ke dalam pungkis. Mereka yang berdiri di atas tebing lubang
terkejut melihat ulat gonggok penuh sepungkis dikaut oleh Pak Berahim.
“Mana pula datangnya ni, tadi tak ada…” rungut Pak Berahim melimparkan pungkis berisi
ulat gonggok itu ke atas.
Bertambah sayu wajah Siamid melihat keadaan yang menimpa
jenazah isterinya. Sudahlah sewaktu
usungan masuk ke kawasan tanah perkuburan di hinggapi oleh kelulut, hinggakan
sewaktu jenazah handak diturunkan keliang lahad pun masih ada yang
mengganggu. Masakan ulat gonggok
tersebut bersarang di situ, kerana sebelumnya memang sudah dibersihkan oleh Pak
Berahim.
“Sabarlah Siamid,”
ayah saya memujuknya setelah dilihatnya wajh muram Siamid.
Siamid mengangguk lemah.
Dia seolah-olah berjanji menguatkan semangatnya dalam menghadapi dugaan
demikian.
Setelah ulat gonggok sepungkis itu dibuang jauh-jauh oleh
Jumin, Pak Berahim membongkok memerhatikan lagi ke dalam liang lahad. Dia mengeluh berat apabila dilihatnya masih
banyak lagi ulat gonggok memenuhi ruang tersebut, walaupun sebentar tadi sudah
habis di kautnya masuk ke dalam pungkis.
Sekali lagi Pak Berahim mengaut ulat-ulat gonggok
tersebut ke dalam pungkis. Terpaksa pula
Jumin menimbunkan daun-daun kering ke tempat dia membuang ulat-ulat gonggok
tersebut, lantas dibakarnya. Dia melihat
ulat-ulat gonggok itu mengerekot terbakar dimakan api.
Semakin dikaut oleh Pak Berahim, bertambah banyak pula ulat
gonggok di dalam liang lahad.
Jumin juga termengah-mengah membuangkannya untuk
dibakar. Tetapi gangguan ulat gonggok
itu berterusan di tengah hujan panas merebas-rebas.
“Eh, ini tak boleh jadi dibiarkan saja Bilal…” Tok Imam Lah berpaling kepada ayah saya.
“Macam mana fikir Tok Imam?” ayah saya juga hairan dengan kejadian yang
berlaku di depan matanya itu.
“Saya serah pada Bilal lah nampaknya,” sahut Tok Imam Lah mengerling Pak Berahim
terbongkok-bongkok mengaut ulat-ulat gonggok di dalam liang lahad. Ulat-ulat gonggok yang sudah dikaut ke dalam
pungkis itu dihulurkan pada Jumin. Anak
muda itulah yang mengangkut dan membuangnya jauh dari lubang kubur.
Mereka yang sama-sama menghantar jenazah ke kubur tidak
tahu apa harus dilakukan, selain dari berdoa memohon Allah SWT menuyelamatkan
pengkebumian jemnazah itu dengan tenteram.
Bersama iringan doa orang-orang yang menghantar jenazah
Bainah ke kubur itu ayah saya membaca ‘astaghafarullahhul-azzim’ tiga kali,
‘Auzubillah himinas syaiton nirrajim, tiga kali, Bismillahhirrahman nirrahim
tiga kali, kalimat syahadat tiga kali, selawat tiga kali dan tasbih juga tiga
kali. Kemudian dia membacakan Surah
Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhas sebanyak banyaknya. Bacaannya itu dapat di dengar dengan jelas
oleh mereka yang ada bersama-sama menghantar jenazah berkenaan.
Tok Imam Lah juga ikut sama membacakan surah tersebut
bersama dengan ayah saya, menyebabkan mereka yang ada di situ juga ikut sama
membacakannya. Kawasan tanah perkuburan
itu seolah-olah bergema dengan suara mereka yang membacakan dua surah tersebut
berulang-ulang kali, hinggakan mereka yang mendengarkan gema bacaan itu
bergetar perasaan masing-masing.
Semasa bacaan tersebut berterusan hujan panas yang
merebas-rebas mula reda beransur-ansur.
Pak Berahim yang terbongkok mengaut ulat gonggok memenuhi
liang lahad terkial-kial mengesat peluhnya.
Setelah penuh sepungkis dia melimparkan ke atas. Jumin pula mencapainya untuk dibuang jauh
dari situ. Semasa Jumin mengangkat
pungkis dilihatnya tanah yang memenuhi pungkis, bukannya lagi ulat gonggok.
“Dah tak ada lagi ulat gonggok Pak Bilal,” beritahu Jumin melimparkan tanah di dalam
pungkis.
Cepas-cepat ayah saya menepuk tangan meminta orang ramai
berhenti dari meneruskan membaca surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas. Kemudian dia menyuruh supaya disegerakan
pengkebumian jenazah Bainah.
Mengingatkan peristiwa seminggu sebelum itu pada hari
pengkebumian jenazah Bainah, disusuli pula oleh suara tangisan perempuan
memanjang di malam sepi itu, menyebabkan Jumin terasa takut tidur berseorangan
di serambi. Sebab itulah dia segera
masuk ke dalam sebaik saja ayahnya menuduh Bainah balik semula ke rumah.
Malam yang sepi itu semakin kedengaran jelas suara
tangisan mendayu-dayu yang datangnya dari arah rumah Siamid. Semalaman itu pula keluarga Pak Musid
diselubungi ketakutan hingga sampai ke subuh.
Hanya setelah subuh menjelang barulah mereka dapat mempastikan suara
tangisan itu tiada lagi kedengaran.
SELESAI
No comments:
Post a Comment