KEMISKINAN yang membelenggu hidup keluarganya menyebabkan
Pak Usih terpaksa membuat kerja-kerja hingga jauh malam bagi mendapatkan
sedikit upah. Dia dan isterinya Mak
Imbun mengambil upah menumbuk padi di rumah seorang kaya bernama Mat
Labut. Bekerjalah Pak Usih dan isterinya
menumbuk padi, kadangkala sampai jauh malam.
Setelah habis menumbuk padi mereka berdua akan diberi
upah secupak beras oleh Mat Labut. Nasib
mereka suami isteri juga memanglah malang kerana terpaksa menumpang mendirikan
pondok di atas tanah kepunyaan Mat Labut.
Pada suatu malam yang sepi disebabkan terlalu letih maka
tertidurlah Pak Usih di bawah pokok yang berhampiran dengan lesung penumbuk
padi. Tinggallah Mak Imbun berseorangan
mengindik lesung untuk menyiapkan kerjanya.
Ketika ini menjengahlah Selinah isteri Mat Labut dari tingkap rumahnya
memerhatikan api pelita masih terpasang di pondok lesung pengindik. Tahulah dia bahawa Mak Imbun suami isteri
masih meneruskan kerjanya menumbuk padi.
Tiap-tiap malam memang itulah kerja Mak Imbun dan Pak
Usih bagi mendapatkan secupak beras, kerana pada waktu siang mereka terpaksa
pula mengambil upah menajak di sawah.
Bila musim menuai maka Mak Imbun pula mengambil upah menuai. Dia akan mendapat segemal padi pada setiap
sepuluh gemal.
Walaupun demikian mereka suami isteri bekerja keras,
namun Pak Usih tidak pernah menyesali dirinya.
Dia tetap menerima takdir yang telah menentukan hidup mereka suami
isteri hanya bergantung kepada upah yang diberi oleh mereka yang menggaji
mereka. Mujurlah Mat Labut itu pula
seorang orang kaya yang bertimbang rasa, dan membenarkan mereka suami isteri
menumpang mendirikan pondok di atas tanah berhampiran dengan rumahnya.
Semasa menjengah di tingkap itu Selinah tidak ternampak
Pak Usih yang tertidur di dalam gelap terlindung di sebalik pondok lesung indik itu. Puas dia memerhatikannya, hanya dilihatnya
Mak Imbun saja yang menumbuk padi.
“Hai, ke mana pula Pak Usih, tak nampak pun…?” kata Selinah berpaling pada suaminya.
“Agaknya dia ke jamban,”
sahut Mat Labut tidak hiraukan sangat ke mana Pak Usih mahu
menghilang. Kalau Pak Usih tidak
menumbuk padi pun dia sanggup memberikan secupak beras untuk dua orang suami
isteri berkenaan yang sekian lama menumpang di tanahnya. Apa sangatlah padanya
secupak beras, kalau pun Pak Usih dan Mak Imbun tidak mahu menumbuk padi.
“Sejak tadi nampaknya Mak Imbun seorang saja
menumbuk,” ujar Selinah lagi
kehairanan. Masakan Imbun seorang diri
berani berseorangan di situ pada waktu malam demikian.
“Kalau Mak Imbun ada menumbuk, tentulah Pak Usih ada di
situ,” Mat Labut terus berbaring mahu
melelapkan matanya. Dia tidak peduli
sama ada Mak Imbun atau Pak Usih mahu terus bekerja hingga sampai
dinihari. Malah dia sendiri tidak pernah
memaksa mereka suami isteri supaya bekerja dengannya hingga jauh malam.
Tetapi Pak Usih sendiri yang mahu membuat kerja-kerja
itu. Kalau di tegah pun dia akan tetap
menjalankan kerja-kerjanya menumbuk padi pada waktu malam selepas saja selesai
makan malamnya. Disebabkan Pak Usih
suami isteri sememangnya rajin, maka tidak upayalah Mat Labut melarangnya.
Kebetulan pada malam itu Selinah menjengah dari
tingkapnya ternampak hanya Mak Imbun saja yang menumbuk padi, dengan tidak
semena-mena berlakulah petaka yang tidak diingini. Keesokan paginya Selinah mendapati gelang
tangannya hilang. Maka berdetaklah
hatinya lantas menuduh kehilangan gelangnya itu adalah perbuatan Pak Usih.
“Kau tak boleh menuduh begitu…” Mat Labut cuba memujuk isterinya supaya tidak
berterusan berleter.
“Tentu dia yang buat,’
sahut Salinah melepaskan rasa geramnya.
“Sebab itu malam tadi dia tak kelihatan menumbuk padi, tentu dia
mengintai di mana kita simpan barang-barang kemas kita!” Selinah terlalu kesal dengan kehilangan
gelang kesayangannya itu.
“Nanti, aku selidik dulu,” beritahu Mat Labut untuk menenangkan perasaan
isterinya.
Atas desakan isterinya, Mat Labut pun meminta Pak Usih
dan Mak Imbun datang ke rumah. Mereka
suami isteri pun datanglah dengan tidak menaruh rasa curiga sedikit pun. Sebaik saja sampai di rumah Mat Labut
dilihatnya Selinah tidak keluar seperti kelazimannya apabila mereka berkunjung
ke rumah tersebut.
“Pak Usih ke mana malam tadi?” tanya Mat Labut memulakan percakapan.
“Saya menumbuk padi laaa…” beritahu Pak Usih dengan tidak mengesyakki
apa-apa.
“Bukankah saya dah katakan…” tiba-tiba saja Selinah
meluru dari dalam. “Tentu dia mengaku,
dia menumbuk padi!” suaranya keras
menyimpan dendam yang mendongkol di dada.
Terkejut juga Pak Usih suami isteri melihat perubahan
sikap Selinah terhadap diri mereka.
Perempuan itu seolah-olah tidak lagi menghormati diri mereka. Mentang-mentanglah hidupnya menumpang di atas
tanah peninggalan keluarga Mat Labut, tidaklah wajar Selinah bersikap demikian
terhadap mereka.
“Awak diam dulu!”
Mat Labut memarahi isterinya.
“Apa puncanya ni, cakaplah berterus terang…” Pak Usih tidak sedap hati dengan kejadian
tersebut. Tersinggung benar dia dengan
sikap Selinah yang tidak pernah berkasar selama ini terhadapnya.
“Semalam Selinah menjengah di tingkap, dia nampak Mak
Imbun seorang saja mengindik lesung…”
Mat Labut cuba menenangkan keadaan.
“Pagi ni, gelang tangannya hilang.
Itulah yang membuat dia mengesyaki Pak Usih mengambilnya,” kata Mat Labut bercampur kesal.
“Saya tak kemana-mana,”
jelas Pak Usih ikhlas. “Saya
tertidur sekejap di bawah pokok rambai kerana terlalu letih. Selepas tu, saya menumbuk padi semula,” dia menerangkan apa yang berlaku sebenarnya.
Walau apa pun penjelasan yang diberikan oleh Pak Usih
suami isteri, namun Selinah tetap tidak mempercayai. Disebabkan malu dengan tuduhan Selinah ke
atasnya, maka berkatalah Mak Imbun,
“Kalau Selinah menuduh suami saya yang mengambilnya, saya berjanji akan
memulangkan semula sekiranya gelang itu saya perolehi,”
Janji Mak Imbun itu tidak meredakan langsung kemarahan
Selinah. Puas suaminya Mat Labut memujuk
supaya dia tidak membuat tuduhan melulu, namun dia tetap berdegil dengan
pendiriannya. Dia percaya memang Pak
Usih yang melakukannya. Sebab itulah
semasa dia menjengah di tingkap Pak Usih tidak kelihatan bersama-sama isterinya
menumbuk padi di lesung.
Disebabkan malu dengan tuduhan Selinah itu, Mak Imbun pun
mengajak suaminya meninggalkan pondok mereka di tanah Mat Labut.
“Jangan ambil hati sangat,” pujuk Pak Usih meminta isterinya bersabar
dengan kejadian yang menimpa mereka.
“Mat Labut itu baik orangnya.
Yang menuduh kita bukannya dia, tetapi Selinah,” ujarnya dengan harapan dapat memujuk hati Mak
Imbun.
Tetapi perempuan itu terlalu kecewa. Selama ini mereka sanggup bekerja hingga jauh
malam untuk mencari rezeki dengan titik peluh sendiri. Tidak terniat dihatinya untuk mencuri harta
benda orang, apatah lagi orang yang menjadi dahan tempat mereka bergantung harapan
selama ini.
Hatinya tidak mahu dipujuk lagi. Dia tetap berkeras mengajak suaminya
berpindah mencari pekerjaan di kampung lain.
“Kita kumpulkan duit untuk membeli gelang baru. Kita mesti ganti gelang yang hilang tu…”
nekad Mak Imbun semasa melangkah turun dari pondoknya pada suatu petang yang
amat memilukan. Pak Usih tidak berupaya
untuk menghalang kemahuan isterinya.
Mahu tidak mahu dia terpaksa juga meninggalkan pondok buruknya setelah
memberitahu Mat Labut.
Terkejut juga Mat Labut dengan keputusan Pak Usih suami
isteri untuk meninggalkan pondoknya yang didirikan di atas tanahnya itu.
“Janganlah Pak Usih pindah dulu,” ujar Mat Labut memujuk Pak Usih,
“Mak Imbun yang berkeras nak pindah, dia tak tahan dengan
tuduhan Selinah,” beritahu Pak Usih
berterus terang.
“Ah. Pedulikanlah Selinah. Dia isteri saya, tahulah saya mengajar
dia,” Mat Labut memberi jaminan bahawa
isterinya tidak boleh bertindak apa-apa selagi mereka suami isteri
dilindunginya.
Tetapi Mak Imbun tidak menghiraukan apa-apa jaminan Mat
Labut. Dia bertekad untuk berpindah ke
kampung lain untuk memngumpul duit bagi membeli gelang Selinah yang
hilang. Dia akan menunjukkan kepada
Selinah bahawa dia sanggup mengganti gelang yang hilang itu, sekiranya Selinah
terus menuduh suaminya yang mengambil gelang tersebut.
Disebabkan Mak Imbun suami isteri tidak dapat dipujuk
lagi, terpaksalah Mat Labut melepaskan mereka pargi dengan dibekalkan dua cupak
beras. Perjalanan yang tidak mempunyai
haluan itu membawa Mak Imbun dan suaminya melalui hutan dan denai mencari
kampung lain yang boleh mententeramkan fikirannya. Semasa merentasi satu hutan untuk ke kampung
lain mereka terpaksa berhenti rihat disebabkan hari mulai malam.
Tidurlah mereka suami isteri di tengah hutan itu di bawah
sebatang pokok besar. Saat ini mereka
tidak takutkan binatang buas yang berkeliaran di hutan, tetapi lebih tersentuh
oleh perasaan malu akibat dituduh mencuri gelang kesayangan Selinah.
Setelah malam semakin jauh, kegelapan menyelubungi
sekitar hutan itu, Pak Usih yang keletihan terus terlina. Hanya Mak Imbun saja yang terkebil-kebil mata
sambil terkuap-kuap, tetapi masih belum dapat menidurkan matanya. Di dalam fikirannya tetap berkecamuk dengan
kekecewaan di sebabkan tuduhan Selinah yang benar-benar melukakan perasaannya.
Dalam hatinya terus berdoa agar rezekinya terbuka luas,
bagi membolehkan dia menggantikan sendiri gelang tersebut, walaupun dia tahu
bukan suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu. Mak Imbun hanya mahu membuktikan kepada
Selinah bahawa kemiskinan hidupnya tidaklah bermakna dia mesti menjadi pencuri.
Bukan saja kekecewaan melingkari perasaan Mak Imbun,
malah kesedihan yang tidak terhingga.
Dia tidak menyangka Selinah tergamak membuat tuduhan demikian menghiris
perasaan dia suami isteri, sedangkan selama ini mereka sanggup membuat apa saja
kerja sekalipun mendapat upahan yang tidak setimpal dengan kerja-kerjanya.
Malam semakin jauh.
Bunyi cengkerik dan unggas-unggas kecil menjadi irama merdu menguliti
Pak Usih yang terlena, sedangkan Mak Imbun belum juga dapat melelapkan
mata. Ketika inilah tiba-tiba Mak Imbun
terdengar bunyi tangisan anak kecil tidak jauh dari tempat mereka berbaring
tidur.
“Anak siapa pula malam-malam ni berada di tengah
hutan?” bisik hati kecilnya.
Disebabkan ketakutan sudah tidak ada lagi mempengaruhi
jiwanya akibat dari marah yang meluap-luap terhadap tuduhan Selinah, Mak Imbun
terus bangun mengendap dari dalam gelap itu mencari punca suara tangisan anak
kecil itu. Dia berjalan perlahan-lahan
menghampiri bunyi suara tangisan anak kecil pada suatu batu berhampiran anak
air.
Setelah mendekati batu berkenaan dia ternampak satu
cahaya putih di atas batu. Mak Imbun
memberanikan hatinya untuk mendekati cahaya putih di atas batu itu. Alangkah terkejutnya dia kerana dilihat
seutas gelang emas berlingar di situ,
“Ah, kau bukan kepunyaan aku,” ujar Mak Imbun sebaik saja terpandang gelang
tangan yang berkilauan di atas batu tersebut.
Di dalam hatinya tidak terniat langsung untuk mengambilnya, kerana dia
tidak akan mengambil barang yang di jumpai di mana-mana.
Tetapi apabila dia mahu melangkah pergi, tangisan itu
bertambah kuat bagaikan anak kecil kelaparan susu. Tangisan itu tiba-tiba berhenti kalau Mak
Imbun berpaling ke belakang tidak meninggalkan batu berkenaan.
“Gelang inikah yang menangis macam anak kecil ni?” gerutu Mak Imbun serba salah. Saat ini dia mula merasa seram
ketakutan. Terbayanglah padanya bahawa
suara tangisan kanak-kanak itu datangnya dari gelang di atas batu
tersebut. Tetapi jauh di lipatan hatinya
dia tidak akan mengambil gelang tersebut yang bukan miliknya.
Setelah menetapkan hatinya, Mak Imbun pun melangkah mahu
meninggalkan gelang di atas batu tiu.
Belum sempat dia bergerak, tiba-tiba kakinya tersangkut pada akar
menyebabkan dia terguling ke tanah.
“Ambillah aku mak…”
dia terdengar suara halus dari arah batu berkenaan.
“Siapa kau?” soal
Mak Imbun memberanikan hatinya lantas bangun semula.
“Aku ni puteri emas,”
ujar suara itu kerana Mak Imbun tidak dapat melihat sesiapa pun di situ,
kecuali kilauan emas gelang yang bercahaya memutih di atas batu. “Ambillah aku mak, aku tahu mak dalam
kesusahan. Aku berjanji akan menolong
emak,” katanya lagi.
“Nanti orang tuduh aku mencuri gelang lagi…” beritahu Mak Imbun masih enggan mengambilnya.
“Emak jangan takut.
Tak ada siapa pun berani menuduh emak lagi,” ujar suara itu menawarkan diri.
Setelah berfikir beberapa ketika, maka Mak Imbun pun bersetuju
mengambil gelang emas yang ditemuinya di atas batu itu. Keesokannya apabila Pak Usih terbangun dari
tidur didapatinya Mak Imbun masih terlena.
Terkejut dia melihat isterinya memakai gelang di tangan.
Di dalam hati Pak Usih berdetak juga menuduh isterinya
yang telah mencuri gelang tangan Selinah, sebab itulah isterinya berkeras
sangat mengajaknya meninggakan kampung tempat mereka menumpang.
“Tetapi kenapa dia tak memakainya selama ini?” rungut Pak Usih kesal.
“Bapak jangan khuatir, aku bukannya dicuri oleh mak, tapi
aku ini anak emak dan bapak…” Pak Usih
jelas dapat mendengar suara itu datangnya dari gelang tangan yang dipakai oleh
Mak Imbun.
Dalam masa Pak Usih kebingungan ini, Mak Imbun pun
terjaga dari tidur. Dia menceritakan
semua yang berlaku pada sebelah malamnya,
terlalu gembira Pak Usih kerana mendapat barang yang berharga itu. Dia percaya itulah berkat kesabaran serta
kejujuran mereka suami isteri selama ini.
“Baliklah emak dan bapak ke kampung, bayarkan hutang
bapak pada Selinah…” ujar suara yang
datangnya dari gelang tersebut.
Tiba-tiba gelang itu kelihatan seperti retak hingga pecah
menjadikanianya dua utas gelang di tangan Mak Imbun.
“Ambillah yang kecil ini, gantikan semula pada
Selinah,” kata suara dari gelang itu
selanjutnya.
Ternyatalah gelang emas yang asal itu semacam beranak
mengeluarkan gelang emas yang lain.
Gelang yang mengakui dirinya puteri emas itu di dapati boleh pula
mengeluarkan seutas gelang yang lain.
Setelah melihat keajaipan gelang emas itu, baliklah mereka suami isteri
untuk memulangkan semula gelang emas Selinah yang dituduhnya Pak Usih sebagai
orang yang bertanggungjawab mencurinya.
Apabila mereka sampai ke kampung, alangkah terkejutnya
mereka suami isteri kerana Selinah meninggal dunia mengejut setelah mengidap
sakit perut. Kulit perut Selinah keras
seperti papan dinding sebalum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Terbayang lagi kesedihan di wajah Mat Labut dengan
kematian isterinya yang dikasihi.
Beberapa orang dukun telah dipanggil untuk mengubati Selianah, tetapi
mereka tidak berupaya mengubatinya.
Perut Selinah menjadi keras seperti papan, menyebabkan dia terjerit-jerit
kesakitan.
“Ini gelang emas Selinah, kami gantikan…” Ujar Mak Imbun menghulurkan gelang emas itu
kepada Mat Labut.
“Buat apa nak di ganti Mak Imbun,” sahut Mat Labut kesedihan. “Gelang tu sebenarnya tak hilang, cuma
tersalah simpan. Ada terselit celah
papan gobok,” dia memberitahu mengenai
gelang emas yang dikatakan hilang itu.
Setelah Pak Usih suami isteri berlepas pergi, Mat Labut
tidak puas hati dengan tuduhan yang dilimparkan keatas dua orang suami isteri
malang itu. Dia pun menggesa isterinya
mencari semula ditempat menyimpan barang-barang kemas. Bagi memenuhi kehendak suaminya Selinah pun
membuka gobok menyimpan barang-barang kemas, lalu mengeluarkan bakul mengisi
barang-barang kemasnya.
Dia mengeluarkan satu persatu barang-barang kemasnya,
ternyata tidak di temui gelang berkenaan.
Kemudian dia suami isteri mengeluarkan semua barang-barang yang ada di
dalam gobok. Setelah semuanya
barang-barang dikeluarkan terjumpalah oleh Selinah gelang emasnya itu terselit
dicelah dinding gobok.
Terlalu menyesal dia melimparkan tuduhan demikian berat
terhadap Pak Usih suami isteri.
Cepat-cepat dia meminta suaminya menuruti pak Usih setelah menyedari
berlakunya silap faham. Tetapi Pak Usih
suami isteri sudah jauh meninggalkan kampung berkenaan menuju ke kampung lain.
Pada sebelah malamnya itulah Selinah mengadu sakit perut
pada suaminya. Mat Labut menyangka
isterinya hanya tersalah makan, tetapi bila dirasanya perut Selinah mengeras,
barulah dia cemas. Malam itu juga dia
menjemput beberapa orang dukun ke rumahnya.
Namun tidak seorang pun yang mampu menyembuhkan penyakit Selinah
hinggalah perempuan itu meninggal dunia.
Setelah Selinah menutup mata, perutnya yang keras itu
kembali pulih seperti sediakala.
Terkilan juga di hati Mak Imbun kerana tidak dapat
menemui Selinah, manakala Mat Labut pula enggan menerima gelang emas yang
hendak digantikan oleh Mak Imbun itu.
Sementara itu Mak Imbun suami isteri tidaklah mahu lagi tinggal di
kampung itu. Dia mengambil keputusan
berpindah sekali pun Mat Labut memujuknya supaya tinggal bersamanya.
Apabila berpindah ke kampung lain, mereka suami isteri
menikmati hidup yang berbeza dari sebelumnya.
Pak Usih hidup mewah menjadi orang kaya dalam kampung tersebut. Mereka dapat membeli tanah sawah dan huma
yang luas, serta memilikki ternakan yang beratus-ratus ekor.
Mereka tidak akan kesempitan duit, kerana gelang emas
yang dipakai oleh Mak Imbun sentiasa beranak mengeluarkan gelang emas yang
lain. Apabila dijual ke pekan, didapati
emas gelang tersebut bukanlah sebarang emas.
Ianya adalah emas sepuluh dari emas tulin yang padu.
Kahidupan mereka suami isteri sentiasa dikelilingi oleh
kemewahan. Mak Imbun pula tetap
mengingati segala kesengsaraan sewaktu dirinya di dalam kemiskinan, sementara
Pak Usih tidak mahu mengingati segala peristiwa masa lalunya.
Pak Usih berubah peranginya menjadi seorang yang suka
berjudi, hingga tidak mempedulikan rumahtangganya. Apabila dia kekurangan duit maka dimintanya
pada Mak Imbun. Kalau Mak Imbun enggan
memberi duit, dia tidak teragak-agak memukul isterinya.
“Kau kaya bukan kerana hasil titik peluh kau, tetapi
kerana kau berdamping dengan setan!”
gerutu Pak Usih sekiranya Mak Imbun enggan memberi dia duit.
“Tapi aku tak mencuri harta orang,” sahut Mak Imbun mempertahankan diri.
“Kalau duit syaitan, pulangkan balik pada syaitan. Judi ni memang permainan syaitan,” ujar Pak Usih semacam menghina gelang emas
yang dimiliki oleh isterinya itu.
“Awak jangan lupa Pak Usih,” kata Mak Imbun terharu dengan sikap
suaminya. “Kekayaan yang kita milikki
sekarang ni bukannya hasil titik peluh kita, sebab itu sedarkanlah diri awak
tu…” ejeknya.
Perbuatan Pak Usih itu berlanjutan hingga pada suatu
petang, apabila Pak Usih mahu menyabung ayam sebagai satu judi yang menjadi
kegemarannya. Kebetulan pada petang itu
dia kehabisan duit. Tidak bertangguh
lagi dia terus meminta pada isterinya.
Memang ketika itu Mak Imbun juga tidak ada menyimpan duit
seperti yang diperlukan oleh suaminya.
Kepalang marahnya Pak Usih disebabkan tidak ada duit itu, lantas dia
menuduh isterinya sengaja mementingkan syaitan lebih dari dirinya sendiri.
“Kau sudah di pengaruhi oleh syaitan!” bentak Pak Usih meminta supaya puteri emas
mengeluarkan gelang emas yang boleh menampung perbelanjaannya berjudi.
“Awak sebenarnya dipengaruhi syaitan,” sahut Mak Imbun marah dengan sikap suaminya
selama ini. “Awak lupa daratan setelah
menjadi kaya, tidakkah perbuatan awak ini sebnarnya di rasuk oleh syaitan,” tersengguk-sengguk
Mak Imbun menahan rasa terharunya.
“Aku tak dipengaruhi syaitan, aku mahu menghabiskan harta
hasil pemberian syaitan ni…” Pak Usih
membentak.
Pergaduhan suami isteri ini hingga saling tuduh menuduh
menyebabkan puteri emas itu tersingung.
Lalu menjelmalah dia di depan suami isteri itu dengan wajah hodoh serta
kulit muka menggerutu seperi katak puru.
“Manusia memang tak pernah mengenang budi,” kata wanita hodoh itu mencebik bibir. “Kau berkelakuan jabat, mengapa letakkan
beban kesalahan kau kepada orang lain!”
katanya bergetar.
Pak Usih bukannya gementar dengan kemunculan perempuan
hodoh itu, sebaliknya menjadi lebih garang.
Secepat kilat dia menerkam mencekik perempuna hodoh itu. “Kau yang membawa petaka dalam rumahtangga
aku. Kau yang mengasut isteri aku,
supaya enggan memberikan duit kepada aku!”
jerit Pak Usih terlalu marah.
Sekaligus dia menolak kuat perempuan hodoh itu ke dinding, menyebabkan
Mak Imbun tidak sabar dengan tindakan suaminya itu.
Cepat-cepat pula Mak
Imbun menerkam kearah suaminya untuk membantu perempuan hodoh yang
dikatakan puteri emas itu. Tetapi,
tenaga Pak Usih yang kuat menendangnya di bahagian perut menyebabkan Mak Imbun
tersandar ke dinding.
Setelah Mak Imbun berguling-guling menahan kesakitan
diterajang oleh Pak Usih perutnya, suaminya terus meninggalkan rumah dengan
perasaan marah yang mendongkol.
Tendangan yang kuat itu menyenakkan perut Mak Imbun, tetapi segera
dibantu oleh perempuan hodoh tersebut.
“Tak apalah mak, biarlah saya pergi…” pujuk perempuan hodoh dengan kesedihan. “Nampaknya bapak sudah tak sukakan saya, kita
tak boleh lagi tinggal bersama,” katanya
sayu menatap wajah Mak Imbun yang semakin lemah.
“Aku tak halau kau puteri emas…” ujar Mak Imbun terketar-ketar.
“Saya tahu mak,”
sahut perempuan hodoh itu selanjutnya.
“Tapi saya bersumpah, kalau gelang yang saya tinggalkan ini dipakai oleh
orang yang bukan keturunan emak, mereka akan tanggung kesakitan yang emak
hadapi sekarang ni,” katanya terus
menghilangkan diri.
Sementara Mak Imbun yang terketar-ketar menahan kesakitan
perut yang menyenak akibat diterajang oleh suaminya tidak dapat lagi
bernafas. Dia terus meninggal dunia di
situ, kerana tidak ada usaha membantunya.
Apabila balik dari berjudi keesokan harinya, Pak Usih
mendapati isterinya sudah meninggal dunia.
Disebabkan terlalu marah kerana kalah berjudi di samping Mak Imbun yang
enggan menberinya duit, Pak Usih telah mencampakkan mayat isterinya ke dalam
lubuk.
Selepas kematian isterinya itu, hidup Pak Usih menjadi
melarat. Tidak ada lagi harta yang
tinggal padanya akibat dari perbuatannya yang suka berjudi. Semua hartanya tergadai setelah kalah
berjudi. Kembalilah hidupnya menjadi
papa kedana hingga mengambil upah menumbuk padi, kepada sesiapa yang sudi
mengupahnya.
“Itulah yang Pak Hid dapatkan rahsia mengenai gelang
pesaka tu,” beritahu Pak Hid kepada saya
selepas beberapa bulan dia mengubati Mak Senit.
Ini di sebabkan saya sendiri tidak tahu apakah yang dimaksudkannya,
sedangkan Pak Boyot pula tidak mengetahui langsung mengenai isterinya ada
memilikki gelang pesaka.
Selepas sembuh dari sakit perutnya yang ganjil itu, Mak
Senit terus menunjukkan gelang pesaka yang diturunkan oleh arwah emaknya kepada
Pak Boyot. Bukanlah pula menjadi impian
Mak Senit untuk menyimpan gelang pesaka, tetapi tidak ada siapa pun mahu menerima
pemberiannya setelah mereka mengetahui bahawa Mak Senit bertujuan untuk
menbuangnya saja.
Seingat-ingat Mak Senit, gelang berkenaan bukanlah pesaka
ibunya turun temurun. Ianya di beli oleh
arwah ibunya dari seorang kawannya yang kesempitan wang. Itu pun bukanlah dibeli dengan harga yang
mahal, walaupun gelang tersebut memang diperbuat dari emas paun yang padu.
Setelah memikirkan tidak perlunya di menyimpan gelang
tersebut, Pak Boyot telah menghanyutkannya ke sungai. Dia tidak terkilan membuang gelang tersebut
setelah memikirkan penyakit yang menimpa Mak Senit.
Kemungkinan kawan yang menjualkan gelang itu kepada arwah
ibu Mak Senit pun, memang bertujuan untuk menghindarkan mala petaka itu.
“Tetapi semua penyakit itu datangnya dari Allah bukan
gelang pesaka. Allah berkuasa untuk
menyembuhkan penyakit…” kata saya pada
Pak Boyot. Dia hanya tersengih-sengih
saja merenung muka saya.
SELESAI
No comments:
Post a Comment