Sunday, October 22, 2017

250. ULAR BERTUKAR JADI BUSUT

 MEMANG sudah lama tidak ke Gunung Semanggol semenjak bertahun-tahun. Sengaja saya mengajak Kadir Misai ikut jalan Bukit Merah selepas menjengah Ustaz Jimid di Parit Buntar. Anaknya menelefon beritahu mengenai Ustaz Jimid diganggu angin ahmar hingga terkejang tidak boleh bergerak. Disebabkan saya ke Bukittinggi menemui Mamak Bandaro, tidak dapat saya menjengahnya selepas anaknya beritahu melalui telefon.
Kebetulan pula Kadir misai ke Perlis, lantas saya ikut dia ke sana. Semasa balik dari Perlis inilah sengaja saya mengajak singgah di Parit Buntar menjengah Ustaz Jimid. Ketika saya jejak kaki ke rumahnya Ustaz Jimid tengah menjolok buah rambutan di hujung halaman.
Terkejut dia apabila saya memberi salam sebaik sahaja keluar dari kereta Kadir Misai. Lama dia memeluk saya dengan mengesat pelupuk mata disebabkan lama sangat tidak bersua.
"Ana tahu,ustaz sibuk," tuturnya perlahan setelah mengajak saya masuk ke rumah.
"Bukanlah sibuk sangat, tapi nak ke sini to ente pun fahamlah," sahut saya kerana bimbang tersinggung pula dia disebabkan saya tidak datang menjengah.
"Memang Ana faham, kalau sengaja nak datang memang susah," ujar Ustaz Jimid menahan keharuan setelah sekian lama tidak bersua. "Tapi ana memang tak pernah lupa pada ente," dia tersenyum kerana menyedari jarak yang jauh di utara bukanlah macam menjengah kawan-kawan di sebelah rumah.
Dia mengakui memang berbulan-bulan juga terkejang lumpuh tidak boleh bergerak akibat angin ahmar. Tetapi keadaannya sudah pulih sewaktu saya jengah dia hingga boleh menjolok buah rambutan tengah masuk ranum. Lantas sahaja dia menyuruh isterinya hidangkan buah rambutan yang dijoloknya sendiri.
Tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana penyakitnya sembuh disebabkan telah banyak tempat berubat hingga sampai ke Patani. Macam tidak percaya dia apabila penyakit angin ahmar yang dihidapinya boleh sembuh semula, sekalipun berbulan-bulan lumpuh tidak boleh berjejak kaki.
Tatkala balik meninggalkan rumah Ustaz Jimid inilah kami melalui Gunung Semanggol. Hampir kereta Kadir Misai terbabas sewaktu melalui selekoh berhampiran jambatan disebabkan dia asyik memerhati bangunan di atas bukit. Memang banyak bangunan baru yang dibina, tetapi Gunung Semanggol tidak banyak berubah apa-apa. Lagi pun Kadir Misai tidak pernah melalui pekan kecil berkenaan, sebab itu dia asyik memerhatikan di kiri kanan jalan.
"Saya sekadar dengar nama Gunung Semanggol aje, ustaz," bisik Kadir Misai tersengih-sengih disebabkan keretanya hampir terbabas.
Kalau berjalan dengan Kadir Misai memang dia gemar ingatkan name tempat-tempat yang dilaluinya. Tetapi kami sekadar melalui pekan kecil Gunung Semanggol itu sahaja, tidak pula berhenti singgah di mana-mana. Lagi pun sudah jam 4.00 petang ketika melalui Gunung Semanggol, bimbang pula lambat sampai sekiranya singgah di mana-mana.
Terkekeh-kekeh juga Kadir Misai sewaktu sampai di Kuala Kangsar dia tidak cam jalan hingga membelok ke Bukit Candan. Terpaksa pula berpusing keliling istana macam tawaf apabila tersalah jalan mahu ke selatan. Kalau harapkan saya tunjukkan jalan, memang sukar mahu cam. Apa lagi bukan selalu sangat melalui jalan berkenaan sekiranya menuju ke utara.
Lainlah kalau naik bas macam bertahun-tahun dulu, tidak perlu cam jalan apabila mahu ke mana-mana. Asal sahaja menaiki bas menghala ke pekan yang dituju nescaya tidak akan tersesat jalan. Ketika ini tidak banyak kenderaan melintas, sudah tentu mudah cam jalan kalau mahu ke Gunung Semanggol pun.
"Ustaz tak teringatkan Gunung Semanggol ke?" tersenyum Kadir Misai mengerling saya sebaik sahaja mengajak berhenti pada sebuah masjid dalam perjalanan untuk solar asar.
Sengaja Kadir Misai mengusik disebabkan Ustaz Jimid berulang kali sebut mengenai Gunung Semanggol yang lama ditinggalkan sejak bertahun-tahun. Dia tetap kenang kawannya arwah Haji Yusak yang sama-sama belajar dengannya di situ. Memang tidak sama dia dengan kawannya dari Melaka itu, disebabkan Haji Yusak terus belajar sampai ke Mekah.
Setelah balik ke tanah air kerapkali juga Haji Yusak kunjungi dia di Parit Bunter, tetapi dia tidak dapat menatap muka kawannya itu apabila Haji Yusak meninggal dunia. Selepas tiga bulan Haji Yusak meninggal dunia baru Ustaz Jimid mendapat tahu. Sebab itu terkilan benar dia tidak sempat menjengah kawannya tatkala terkejang sakit.
Sampai bila pun dia tidak boleh lupakan mengenai Haji Yusak apabila kawannya ikut dia balik ke kampung sewaktu sama-sama belajar di Gunung Semanggol. Sengaja Haji Yusak ikut Ustaz Jimid baik ke kampung disebabkan malas mahu balik ke Melaka. Buat apalah buang masa melalui perjalanan yang jauh balik ke Melaka kalau takat beberapa hari sahaja bercuti.
Riang sangat Haji Yusak ikut dia meranduk bendang menangguk ikan sepat di tengah setut. Dalam masa mereka berkejar-kejar di atas permatang inilah Ustaz Jimid terserempak ular tedung senduk mencodak kepala. Tergamam dia apabila ular berkenaan mengembangkan leher hingga bayangnya meliuk-liuk singgah ke kaki Ustaz Jimid.
"Jangan bergerak Mid!" seru Haji Yusak cemas disebabkan kawannya terancam akibat ular tedung senduk mencodak kepala.
Memang Ustaz Jimid tidak boleh bergerak ke mana-mana. Kalau dia berundur nescaya ular berkenaan akan menerkam tidak bertangguh. Masakan dia boleh mengelak tatkala tercegat di atas permatang. Terpaksa dia berdiri tidak bergerak apa-apa laksana tunggul kayu tersergam.
Dalam keadaan serba salah Haji Yusak membuka baju terus membacakan surah al-Lahab tiga kali kemudian diikuti:
Waka-aiyin min-dabbatil la-tohmil rizqoha, Allahhu yarzu-qoha wa-iiyakum wahuwassami'ul 'alim.
Sebaik sahaja dihembuskan ke arah ular berkenaan cepat-cepat Haji Yusak campakkan bajunya menyerungkup kepala ular yang mencodak.
Lantas dia beranikan hati mencekak kepala ular yang sudah berpulun di dalam baju yang diserungkup. Tatkala ekor ular membelit lengah dia menyuruh Ustaz Jimid hentak kepala ular yang dicekaknya dengan kayu yang tercancang di tepi permatang. Setelah lumat kepala ular berkenaan dihentak lantas dicampakkan ke tepi parit.
Memang Ustaz Jimid kenang sampai bila-bila pun mengenai Haji Yusak selamatkan dia semasa terserempak ular di atas permatang. Tahu sangat dia fasal Haji Yusak pun sekadar beranikan hati sahaja cekak kepala ular mencodak di atas permatang, bukanlah disebabkan dia mahir sangat tundukkan ular tengah garang.
Kalau tidak disebabkan kawannya terancam, Haji Yusak sendiri geli-gelemam mahu cekak kepala ular sampai tubuhnya berbelit-belit ke lengan. Lainlah Ulung Seli di kampungnya mudah sahaja selukkan tangan ke dalam lubang heret ular yang bersembunyi di situ keluar dari sarang. Haji Yusak tahu kemahiran Ulung Seli cekak kepala ular tidak perlu campakkan kain menyerungkup biar menggelepar tidak dapat berkuat.
Asal sahaja ular melintas tengah belukar bila-bila Ulu Seli menyerbu. Tangannya akan mencengkam di mana sahaja sekalipun ular berkenaan akan melintuk kepala memagut lengannya. Sebaik sahaja darah menitik daripada bekas dipatuk ular, segera ditonyohkan mulut ular ke situ biar habis berlumur darah.
Selepas darah bekas dipatuk ular itu disapu ke kepala, nescaya ular berkenaan lemah tidak boleh mengangkat kepala. Dalam masa beberapa minit sahaja ular garang di tengah belukar akan tunduk tidak melawan apa-apa. Tetapi Haji Yusak tidak sama dengan Ulung Seli boleh tundukkan ular tengah garang, dia sekadar beranikan hati semata-mata mahu selamatkan Ustaz Jimid yang terancam.
"Sampai bila pun saya kenang jasa arwah Haji Yusak," tutur Ustaz Jimid perlahan menahan keharuan apabila kenang kawan lama-nya semasa di Gunung Semanggol.
Memang sepupu saya Mat Dah juga kenal baik dengan Haji Yusak sewaktu mereka sama-sama belajar. Kalau tidak disebabkan Mat Dah meninggal dalam usia masih muda, seringkali juga Haji Yusak menjengah datang ke kampung. Beberapa kali juga dia dijemput Tok Aji ke madrasah apabila ikut Mat Dah batik ke kampung halaman.
Semasa Tok Aji diberitahu mengenai Kak Jumi terlantar sejak berhari-hari, dia' mengajak Mat Dah bersama Haji Yusak ikut sama menjengah. Terkilan juga Tok Aji disebabkan Kak Jumi terlantar setelah dibelasah ayahnya Kasan Lapun tidak dihalang apa-apa. Siapa pun tidak berani menghalang apabila Kasan Lapun bagaikan hilang akal membelasah Kak Jumi setelah diberitahu anaknya tengah mengandung.
"Sia-sia aku hantar kamu mengaji di madrasah Tok Aji!" bentak Kasan Lapun tidak dapat menahan sabar. Puas dia mendesak siapa lelaki yang mengganggunya, Kak Jumi tetap mendiamkan diri.
Termengah-mengah Kasan Lapun menahan kemarahan selepas belasah anaknya dengan batang penyapu. Malu benar dia setelah diberitahu mengenai Kak Jumi mengandung tatkala berulang alik mengaji di madrasah Tok Aji. Mana dia mahu letakkan muka apabila anak gadis sendiri mengandung sebelum bersuami. Lain-lah katau Kak Jumi sudah bersuami siapa pun tidak akan peduli sekiranya mengandung!
"Kamu nak bunuh budak tu, Kasan!" lantas Tok Aji tercegat di muka pintu setelah diberitahu Ngah Insum mengenai suaminya Kasan Lapun tidak boleh ditegah lagi. "Jangan biarkan diri kamu dirasuk syaitan!" tegas Tok Aji merenung tajam ke muka lelaki itu.
"Dia conteng arang ke muka kami, Tok Aji," sahut Kasan Lapun masih tidak dapat menahan kesabaran.
"Mana kamu tahu dia conteng arang?" ujar Tok Aji ingatkan lelaki itu supaya tidak ikut sangat perasaan.
"Jumi ni dah tahu cari jantan!" tegas Kasan Lapun tersinggung apabila Tok Aji cuba perkecilkan dia menjaga anak. Tidak patut Tok Aji menghalang tatkala dia marahkan anak sendiri.
"Macam mana kalau dia kena aniaya?" Tok Aji tidak berganjak tercegat di muka pintu mengerling Kak Jumi tertiarap dengan tersengguk-sengguk menahan tangisan.
"Sebab itu saya nak tahu siapa jantannya!” lantas Kasan Lapun menggertap bibir akibat terlalu marah meluap-luap. "Kalau saya tahu jantannya, saya akan penggal lehernya!" dia mencemik muka disebabkan hatinya terlalu mendongkol.
"Allah Maha Mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi," beritahu Tok Aji memberi isyarat supaya Kasan Lapun buangkan penyapu di tangan.
Tatkala Kak Jumi dipapah ke tempat tidur, darah melambak di bawah perutnya. Selepas Kasan Lapun dapat tenteramkan perasaannya lantas sahaja dia memeluk Kak Jumi erat-erat sampai tersengguk-sengguk menahan sebak dada. Memang kesal sangat disebabkan tidak mengawal perasaan hingga Kak Jumi terlantar tidak bertenaga.
Akibat Kak Jumi mengalami turun darah terpaksa Tok Aji letakkan tapak tangan ke perut gadis berkenaan. Setelah dihembus tiga kali oleh Tok Aji keadaan Kak Jumi mula reda, tetapi mukanya pucat hingga bibirnya juga kecut. Terketar-ketar Kak Jumi menahan kesakitan yang masih menusuk.
Kemudian Tok Aji doakan air di dalam jag biar diteguk Kak Jumi dengan membaca-kan:
Walahu masakana fil-laili wannahari wahuwas sami'ul 'alim, thumma sauwahu wanafakho fihi min-rohihi waja'ala lakumus-sam-'a wal-absora wal-af-idata golilan ma-tasykurun, wanunazzilu minal-Qur-ana mahuwa syifa-un warahmatun lil-mukminin.
Tiga hari selepas kejadian itulah Tok Aji diberitahu oleh Ngah Insum mengenai keadaan Kak Jumi beberapa kali tidak sedarkan diri. Segera Tok Aji jengah Kak Jumi setelah mengajak Haji Yusak bersama Mat Dah ikut sama. Memang menitik air mata Haji Yusak apabila diberitahu kejadian yang menimpa Kak Jumi menyebabkan dia terkejang menahan kesakitan.
Tidak sepatutnya Kasan Lapun terburu-buru mengambil keputusan hingga tergamak membelasah Kak Jumi tengah mengandung. Perkara tengah mengandung tentu tidak sama dengan terserempak buat maksiat di tempat tersorok. Sekalipun Kasan Lapun kesal membelasah anaknya tatkala mengandung, tetapi keadaan Kak Jumi sudah semakin tenat.
"Sekarang Mat Dah, cubalah," ujar Tok Aji menepuk bahu Mat Dah sebaik sahaja duduk di sisi Kak Jumi.
"Biarlah angah yang mulakan," sahut Mat Dah mengerling ke arah saya yang tersandar tumpu belakang ke dinding.
Lantas Tok Aji mencuit saya mara ke hadapan. Serba salah juga saya mahu mulakan disebabkan Mat Dah lebih berpengalaman. Sudah beberapa kali Tok Aji harapkan dia sekiranya dijemput orang berdoa. Lagi pun dia sudah mengaji sampai ke Gunung Semanggol, tentu dia lebih memahami daripada saya tatkala menghadapi saat cemas demikian.
Tatkala saya berinsut punggung mendekati Kak Jumi terus sahaja Mat Dah bangun berdiri. Dihembusnya ubun-ubun saya tiga kali hingga terasa saya tercampak ke dalam terowong gelap. Tidak sempat saya berpaut di mana-mana disebabkan terasa ditolak angin kencang melalui terowong berkenaan hingga membolos sampai ke pintu kaca disilau cahaya memancar terang benderang.
Silaun cahaya itu menyebabkan kepala saya berputar ligat seolah-olah tercabut tengkok. Apabila saya terasa berjejak dihalaman rumah, beratapkan ijok enau, baru terdengar bisikan Mat Dah menyuruh saya bacakan Al-Fatihah tiga kali. Segera saya mematuhi apa yang dibisikan Mat Dah, disebabkan saya melihat Tok Aji bagaikan terapung di udara menemani saya ke situ.
Sebaik sahaja melihat Tok Aji terapung-apung di udara saya tidak bimbang apa-apa ketika tercegat dihalaman rumah beratapkan ijuk enau itu. Apabila saya mendengar Mat Dah azan tujuh kali, rumah berkenaan bergegar kuat hingga terburu-buru perempuan tua bongkok terjun ke tanah.
Tatkala kakinya cecah ke tanah sekali gus pula terbenam hingga paras lutut seolah-olah direntap dari bawah. Terjegil mata perempuan itu merenung saya dengan mencebek bibir terus melontarkan rantai besi ke arah saya. Belum pun rantai besi itu dapat dilontarkan tiba-tiba sahaja membelit tubuhnya laksana ular sawa mencerut kuat.
Cepat-cepat dia gerakkan badannya sampai rantai besi itu cair bagaikan lilin terbakar. Tersenyum dia mengejek saya disebabkan terlepas daripada belitan rantai besi berkenaan. Segera dia mengisar tapak tangan hingga memancar serpihan api menerjah ke dada saya seperti besi disepuh.
Terasa juga peritnya semasa serpihan api itu menerjah dada, tetapi saya berpura-pura tidak mengalami apa-apa. Terpaksa saya bertahan supaya perempuan bongkok itu tidak terus mengejek.
"Aku tahu kamu sakit, janganlah nak berpura-pura!" terkekeh-kekeh perempuan bongkok itu ketawa apabila saya berkerut dahi menahan kesakitan.
Dalam masa terkekeh-kekeh ketawa itu terus Tok Aji menghentak tumit ke atas ubun-ubun perempuan bongkok hingga terbenam aras pinggang. Tercengang dia menahan kesakitan dengan mendongak ke arah Tok Aji berligar-ligar di udara. Sebaik ternampak Tok Aji menggeletar tubuhnya hingga mulutnya berbuih-buih ketakutan.
"Ampun Tok Aji, bukan aku yang buat," dia merintih apabila Tok Aji mengisar tumit di atas ubun-ubunnya sampai memercik darah.
Ketika ini saya mendengar Mat Dah berbisik supaya saya bacakan:
Huwallahhul kho-qul bari-ul musauwiru lahul-asma ul-husna yusabbihu lahu mafis-samawati wal-ardhi wahuwal 'azizul-hakim.
Tatkala saya mengisar tapak tangan beratus-ratus batu sebesar penumbuk menerjah kepala perempuan bongkok itu berterusan.
"Kenapa nak lawan orang perempuan pun sampai bertiga?" gerutu perempuan bongkok itu terketar-ketar macam mengejek.
Setelah kepalanya bincut disinggah batu dengan darah meleleh di celab rambutnya yang mengerbang, merintih-rintih perempuan itu menuding jari ke arah lelaki kurus dengan mukanya dipenuhi jerawat menyeru perempuan bongkok itu menjelma. Terconggok lelaki itu di tepi busut dengan mencacakkan tujuh batang lidi di bawah bayang bulan tengah mengambang penuh.
Tahu sangat lelaki itu mengenai perempuan berlaki sembilan yang disumpah Pawang Tiga Beradik, hingga bertukar menjadi jembalang yang diperosok ke kaki busut. Memang lelaki kurus itu sudah cam perempuan bongkok tersebut diperosok pawang tiga beradik di kaki busut berkenaan. Disebabkan perempuan berkenaan amalkan pengasih sembilan suami, sengaja dia berkahwin sembilan orang lelaki biar siapa pun tidak melihat wajahnya dimamah usia.
Satu-satunya yang ditakuti wanita berkenaan memang pawang bertiga yang boleh lunturkan amalannya. Hinggalah pawang tiga beradik itu menjelma di tengah kampung. Tatkala pawang tiga beradik menyeru ular dari paya naik ke darat mengheret perempuan berkenaan, tubuhnya berubah menjadi bongkok laksana orang tua tidak bertenaga. Tetapi ular dari paya yang diseru pawang tiga beradik tidak bertangguh membelitnya terus ditelan tidak bersisa.
Sebaik sahaja menelan perempuan berkenaan ular sawa itu terus menyusup ke tengah belukar. Tidak lama selepas itu salah seorang suami wanita itu terserempak busut di belakang rumahnya macam ular berlingkar. Sebab itu lelaki kurus berkenaan sengaja menyeru busut tatkala bulan mengambang penuh biar jelmaan perempuan itu terconggok di depannya.
Asal sahaja jelmaan perempuan bongkok terconggok nescaya disuruh larikan Kak Jumi, hingga bangun berjalan sewaktu tengah nyenyak tidur. Terus sahaja Kak Jumi dipimpin perempuan bongkok itu dihantar ke bangsal menunggu durian di dusun. Gembira sangat lelaki kurus itu sebaik sahaja Kak Jumi dipimpin ke situ setelah, perempuan bongkok berkenaan mematuhi kemahuannya.
Tetapi Tok Aji tidak peduli mengenai lelaki kurus yang membawa Kak Jumi ke bangsal menunggu durian di tengah dusun. Tumitnya terus menghentak ubun-ubun perempuan bongkok itu dengan memberi isyarat supaya Mat Dah teruskan azan sampai tujuh kali. Setelah azan Mat Dah bacakan pula surah at-Tariq, hingga kawasan keliling perempuan bongkok itu bergoncang.
Sekali gus pun tanah yang menyedutnya hingga terbenam itu rnenjadi cair mendidih laksana dodo) terjerang di dalam kawah. Bertambah kuat jerit perempuan bongkok itu akibat badannya melecur akibat tanah cair mendidih rnembakar kulitnya. Tangannya terkapai-kapai meminta pertolongan, tetapi Tok Aji terus menghentak tumitnya pada ubun-ubun perempuan tersebut.
Setelah perempuan bongkok itu tenggelam habis ditelan tanah cair mendidih, Tok Aji bisikkan supaya saya membaca al-Fatihah tiga kali. Sebaik sahaja saya membaca al-Fatihah angin kencang menyedut terus mengheret saya masuk ke dalam terowong gelap. Lama saya terkial-kial di tengah terowong gelap itu, tiba-tiba terasa jatuh terhenyak punggung.
Termangu saya sebentar tatkala membuka mata apabila masih terconggok di sisi Kak Jumi. Tetapi keadaan Kak Jumi sudah semakin tenat akan menahan kesakitan dibelasah ayahnya. Dia mengalami turun darah disebabkan tengah mengandung dibelasah teruk sampaikan tubuhnya tidak mampu bertahan. Ketika ini Tok Aji juga sudah membawa Yasin disebabkan keadaan Kak Jumi terkejang sahaja dengan ombak dadanya kencang turun naik.
Tidak lama selepas dibacakan Yasin itulah Kak Jumi menghembuskan nafas. Tersengguk-sengguk Kasan Lapun menangis disebabkan kesal disebabkan ikutkan perasaan sangat membelasah Kak Jumi. Sewaktu mayat Kak Jumi dibujurkan tengah rumah, tiba-tiba sahaja Lajak Kubin meluru dari tengah halaman merneluk kaki Kasan Lapun. Tergagap-gagap Lajak Kubin bertubuh kurus cekeding itu mengakui dia yang menyebabkan Kak Jumi mengandung.
Tatkala saya mengerling Lajak Kubin seolah-olah saya bayangkan sama dengan imbasan yang lihat apabila terserempak perempuan bongkok yang dihentak tumit ke kepalanya oleh Tok Aji. Seisi kampung dengar sendiri pengakuan Lajak Kubin fasal memuja busut semasa bulan tengah mengambang penuh.
Sudah berulang kali Lajak Kubin cuba memikat Kak Jumi, tetapi gadis itu tidak mahu melayani apa-apa. Buat apalah dia melayani Lajak Kubin yang sudah beristeri dengan anaknya juga hampir sebaya dengan Kak Jumi. Tetapi Lajak Kubin tidak dapat mengawal perasaan awal sahaja melihat perempuan yang memikat hatinya.
Jangan cuba sesiapa menolak lamarannya nescaya akan menerima padah. Dia akan cacakkan lidi tujuh bilah di keliling busut menunggu bulan mengambang penuh tengah malam sepi. Sebaik sahaja lidi dicancangkan itu berbayang disilau cahaya bulan, Lajak Kubin akan jentik tiga kali busut di depannya.
Sekiranya bayang lidi tercancang bercantum tujuh, Lajak Kubin sudah dapat mengagak perempuan yang dipikatnya akan berjalan tatkala nyenyak tidur mendapatkannya. Memang Kak Jumi termasuk perangkapnya apabila setiap malam mara mendapatkan dia di bangsal menunggu durian tengah dusun dalam keadaan nyenyak tidur.
"Aku bunuh kamu!" bentak Kasan Lapun sebaik sahaja Lajak Kubin mengakui perbuatannya.
Tetapi segera dipujuk oleh Tok Aji supaya tidak ikutkan perasaan marah hingga menerima padah. Terpaksa Kasan Lapun menahan sabar apabila kenang Tok Aji meminta supaya sempurnakan pengkebumian mayat Kak Jumi. Semasa mayat mahu diusung ke kubur inilah tiba-tiba sahaja tidak siapa pun mampu memikul disebabkan tidak boleh diangkat langsung.
Setelah Tok Aji menyuruh Lajak Kubin memikul sama, mudah sahaja usungan itu ditandu mereka. Asal sahaja Lajak Kubin mahu bergilir memikul nescaya usungan tersebut tidak boleh ditandu langsung. Terpaksa Lajak Kubin sendiri memikul 'tidak digilirkan sesiapa supaya usungan boleh dibawa ke kubur.
"Sabarlah Lajak, dia nak minta kamu mengusungnya," bisik Tok Aji menepuk-nepuk bahu Lajak Kubin.
Perlahan Lajak Kubin mengangguk. Dia terpaksa memikul usungan sampai ke kubur kalau sesiapa pun tidak mampu mengangkat apabila dia tidak ikut serta. Memang Haji Yusak bersama Mat Dah juga cuba memikul usungan semata-mata mahu gilirkan Lajak Kubin yang sudah melecet bahu, tetapi usungan langsung tidak boleh bergerak.
"Tak apalah, Jangan gilirkan saya," ujar Lajak Ku bin setelah beberapa kali terhenti sebaik sahaja mahu gilirkan Lajak Kubin.
Memang termengah-mengah Lajak Kubin memikul usungan ke kubur melalui lorong kecil di keliling belukar. Hingga sampai ke kubur pun mayat tidak boleh diangkat sewaktu mahu diturunkan ke hang lahad. Mat Dah sendiri berdoa sebelum mengangkat mayat, tetapi seoiah-olah melekat pada papan usungan.
Beristighfar berulang kali Haji Yusak dengan kejadian yang dialaminya semasa ikut Mat Dah balik ke kampung. Apa lagi saya baru berumur belasan tahun ketika itu, memang tidak membuat apa-apa. Tok Aji juga tidaklah menyuruh saya ikut sama mengangkat mayat, sekalipun Kak Jumi yang tua beberapa bulan sahaja dari saya memang berkawan rapat semasa mengaji di madrasah.
Disebabkan bimbang diganggu Lajak Kubin, memang Kak Jumi meminta saya temankan dia balik setiap petang apabila balik ke rumah. Sayu juga hati saya dengan kejadian yang menimpa Kak Jumi, disebabkan ayahnya terburu-buru menghukum. Dia menanggung beban kesakitan akibat turun darah setelah dibelasah teruk oleh ayahnya.
"Biarlah saya turunkan mayat ke liang lahad," segera Lajak Kubin turun ke dalam lubang.
Setelah Lajak Kubin turun ke dalam liang lahad, barulah mayat mudah diangkat. Sebaik sahaja mayat disorong ke dalam liang lahad, Lajak Kubin juga tutup dengan papan. Belum pun papan disendal kuat, sekali gus Lajak Kubin terketar-ketar apabila kakinya terlekat seolah-olah dipasak ke tanah.
Beberapa orang cuba menarik tangan Lajak Kubin naik ke atas, tetapi dia terkebil-kebil mata tidak boleh bergerak. Segera Kasan Lapun melompat turun mahu membantu. Terkejut dia apabila merasa tubuh Lajak Kubin sejuk kaku sekalipun nafasnya sahaja mendengus-dengus tidak menentu.
"Aku maafkan kamu, Lajak," ujar Kasan Lapun ikhlas dengan perasaan sebak yang menusuk di dada.
Lajak Kubin tidak menyahut apa-apa, seolah-olah tidak hiraukan siapa pun melaung dia dari atas tebing. Disebabkan Lajak Kubin bagaikan terlekat kakinya di dalam lubang, segera Tok menyuruh Kasan Lapun rehat sahaja. Setelah Tok bacakan Yasin terus dijirus kepala Lajak Kubin, hingga kelihatan asap melabur bawah tapak kakinya laksana bara disimbah dengan air
Kemudian Tok menyuruh Mat Dah tarik tangan Lajak Kubin naik ke atas. Terpaksa pula saya bersama Haji Yusak membantu disebabkan Lajak Kubin tidak dapat berkuat. Dia hanya harapkan kami sahaja menarik tubuhnya ke tebing, supaya kubur dapat dikambus.
Berbulan-bulan juga Lajak Kubin terkejang tidak boleh bergerak, hanya mata sahaja terkebil-kebil. Memang keluarganya tuduh dia terkena badi semasa ikut serta kebumikan Kak Jumi. lama selepas itu Lajak Kubin juga menutup mata rapat rapat.
"Haji Yusak masih ingat kejadian di kampung dulu," beritahu Ustaz asal sahaja bersua saya mana-mana. Memang kenang sangat  kawan kawan disebabkan sama-sama mengaji di Gunung Semang-gol.
Tatkala saya kunjungi dia di Parit Buntar, memang dia sebut juga kejadian tersebut pada Kadir Misai. Asal sahaja kenang Haji Yusak memang dia tidak lupakan kejadian tersebut. Beberapa kali Haji Yusak beristighfar dengan mengesat pelupuk mata apabila hatinya terharu sekira-nya ungkit pengalaman ikut Mat Dah batik ke kampung.
Tetapi saya sekadar tunduk tidak menyahut apa-apa sekiranya Ustaz Jimid beritahu mengenai Haji Yusak tidak boleh melupakan peristiwa yang menusuk perasaannya itu. Bukan Haji Yusak sebak disebabkan peristiwa demikian, tetapi jauh ,di sudut hatinya betapa kebesaran Allah tidak dapat dicapai oleh pengetahuan manusia.
Disebabkan Kadir Misai asyik sangat ungkit mengenai kejadian yang diberitahu oleh Ustaz Jimid itulah sampai tersesat jalan di Kuala Kangsar. Terpaksa pula berpusing keliling bukit tempat istana tersergam setelah simpang ke selatan terlepas. Sepanjang jalan pula Kadir Misai terkekeh-kekeh ketawa disebabkan tersesat jalan semasa melintasi pekan Kuala Kangsar.


No comments:

Post a Comment