Monday, November 13, 2017

253. MAYAT MENGAKU BELUM MATI


 LAMA tersengih sengih barulah mahu Pak Milan menceritakan pangalaman keluarganya diganggu semasa majlis kenduri kahwin anak perempuannya Marsunah. Perkara kejadian aneh ketika majlis kahwin itu sudah lama luput daripada ingatan Pak Mijan. Apa sangat mahu dikenang kejadian berkenaan, sedangkan Marsunah pun sudah mempunyai anak-anak yang dewasa. Bahari juga sudah memutih uban di kepala sewaktu saya kunjungi rumah Pak Mijan.

Dia masih tinggal serumah dengan Pak Mijan kerana orang tua itu mendesaknya disebabkan anak-anak yang lain tinggal berjauhan. Biarlah Marsunah anak beranak tinggal bersamanya dalam saat dia suami isteri semakin tua.

Tetapi Pak Mijan masih gagah sekalipun usianya melebihi 90 tahun. Dia masih mampu menolak rakit dengan galah menyeberang sungai kalau mahu ke dusunnya. Asal sahaja matahari naik segalah dia akan menyeberang sungai bersama Anjang Limah ke dusunnya menjaga enam ekor lembu ditambatkan di becah.

Hampir maghrib barulah dia suami isteri balik ke rumah. Di dusun dia membuat pondok bangsal tempat berihat. Di situlah dia solat, Anjang Limah akan masak memasak untuk makan tengah hari. Petang petang mereka akan tambatkan lembu lembu di kandang sebelum balik ke rumah.

“Dia tak tahu duduk diam," ujar Bahari apabila kenangkan sikap ayah mertuanya yang sudah berusia lebih 90 tahun, tetapi masih tidak mahu mengalah.

Kalau mahu dikatakan dia susah, kebun getahnya sahaja sudah memadai untuk menyara hidup. Bahari sendiri yang uruskan kebun getah tersebut. Di dusun itu pun Pak Mijan bukanlah buat kerja kuat sangat. Dia sekadar menjauhkan diri daripada suasana kampung yang hiruk pikuk dengan kebisingan budak- budak.

Di dusun yang jauh di pinggir hutan suasananya sunyi. Cuma dia suami isteri di pondok itu menghabiskan masa menunggu petang menjelang.

"Buah cempedak ni kalau tak dijaga, habis makan dek kera," ujar Pak Mijan perlahan apabila saya ikut sama ke dusunnya itu. Memang buah cempedaknya lebat hingga tiap-tiap pokok bergayutan.

"Di sini cempedak tak laku nak jual," beritahu Anjang Limah apabila anaknya Samah sebut fasal harga sekilo buah cempedak di Kuala Lumpur sampai RM 4.50.

Tetapi Pak Mijan tidak peduli kalau Samah mahu bawakan lori memunggah buah cempedak tersebut dijual ke Kuala Lumpur. Dibiarkan di pokok pun buah-buah itu akan Iuruh tidak berguna.

Bukan takat cempedak sahaja, musim rambutan atau durian pun buahnya lebat tidak habis dimakan. Terpaksa pula Marsunah sedekahkan kepada orang-orang kampung. Pak Mijan lebih suka kalau orang-orang kampung datang ke dusunnya memetik buah-buah yang melayut. Pokok petainya dua tiga batang itupun, Pak. Mijan biarkan sahaja orang-orang kampung meranggah asal sahaja tidak dijual ke pekan.

“Dia ni tak pernah sakit sejak muda lagi," jelas Anjang Limah memberitahu saya tatkala Pak Mijan menongkah galah rakit di tengah sungai. "Kalau adapun demam-demam selsema atau batuk aje," katanya mengerling suaminya menolak rakit menyongsong arus sungai

Samah mahu membantu pun dia tidak benarkan. Memang Pak Mijan tidak percaya anaknya yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu mampu bergalah rakit. Biarlah dia sendiri menolak gaIah rakit menyeberang ke tebing sungai. Dia masih mampu menggenggam buluh galah kalau takat menongkah arus sungai.

Apa sangat dengan menolak galah rakit kalau bandingkan dia menghadapi gangguan tatkala Marsunah nikah. Bukan takat Marsunah sahaja, malah Nyok Sidik hilang di hutan pun dialah satu-satunya yang diharapkan. Tersengguk-sengguk Uda Mahani menangis datang ke rumahnya memberitahu fasal Nyok Sidik tidak balik dari hutan - hingga santak maghrib.

Tidak pernah Nyok Sidik terkandas kalau masuk ke hutan menggalas senapang laras duanya. Sudah bertahun dia ke hutan tidak pernah membawa siapapun kawan. Kalau adapun sama Bidin Botak satu-satunya yang mahu temankan dia ke hutan. Siapa yang sanggup ikut Nyok Sidik memburu sampai lantas ke hutan besar Jeniang.

Sewaktu mengikut jejak Nyok Si-dik ke hutan, Pak Mijan hanya meng hela nafas sahaja. Kemudian dia melepaskan perlahan mencari gerak langkah yang perlu dituju. Bidin Botak bersama Samah yang mengikutnya juga tidak dapat mengagak hala yang dibawa oleh Pak Mijan. Memang jarang jalan tersebut dilalui oleh Nyok Sidik kalau dia berburu ke hutan.

Tidak jauh mereka masuk ke hutan, Bidin Botak nampak Nyok Sidik duduk bertupang kepala lutut di bawah rumpun buluh di tepi anak air. Senapang dipeluknya erat-erat tidak lepas sedikit pun. Mulutnya berbuih-buih dengan mata terpejam. Samah dengan Bidin Botak menandunya dibawa keluar sampai ke rumah, tetapi Nyok Sidik masih tidak sedar apa-apa.

"Nyok ni suka ke hutan seorang diri," keluh Samah terkilan dengan sikap bapa saudaranya. Kalau berburu ke hutan dia tidak bimbang pun berseorangan menggalas senapang. Tidak pernah dia pulang dengan tangan kosong sekiranya sudah masuk mengendap di tepi belukar.

Setidak-tidaknya ayam hutan siap disembelih akan dijinjing balik. Kadangkala pelanduk tengah galak bertandak akan menjadi sasaran peluru senapangnya. Memang Nyok Sidik mahir menggunakan senapang kalau berburu ke hutan. Sebab itulah dia tidak perlukan siapapun menemankan apabila masuk mengendap di tengah belukar.

Hingga dia ditemui duduk bertupang lutut di bawah rumpun buluh, memang tidak siapapun tahu puncanya. Apa bila Bahari mendesak dihantar ke hospital, Samah berkeras menghalangnya. Biarlah Nyok Sidik diubati cara kampung supaya dapat ditentukan sama ada gangguan puaka hutan atau pun tidak.

Masakan diganggu puaka hutan boleh diubati di hospital. Lainlah kalau Nyok Sidik ditemui tergelincir hingga patah kaki, atau dihempap pokok sampai tidak dapat bergerak. Memang kalau sakit jasad bila-bila Samah relakan bapa saudaranya diubati di hospital. Tetapi Nyok Sidik ditemui tidak sedar diri di bawah rumpun buluh.

"Kalau Nyok sakit jantung, elok dibawa ke hospital," cepat sahaja Bahari menuduh Nyok Sidik diserang sakit jantung tatkala berburu ke hutan. Disebabkan sesak nafas dia terpaksa duduk memaut kepala lutut untuk menahan kesakitan yang dideritai.

"Hah, ini bukannya sakit jantung," sahut Bidin Botak tidak percaya Nyok Sidik mengidap sakit jantung.

"Aku pun tak percaya Sidik sakit jantung," Ulung Simat bersetuju dengan Bidin Botak. Masakan Nyok Sidik boleh diserang sakit jantung, kerana tidak pernah dia mengadu sesak nafas.

Disebabkan Uda Mahani sendiri meminta supaya suami nya diubati  cara kampung, tidak ada siapa lagi berani mendesak untuk menghantar Nyok Idik ke hospital. Uda Mahani rela menerima apa sahaja takdir sekiranya Nyok Sidik tidak dapat diselamatkan. Biarlah semuanya ditentukan oleh Allah AzzawajaIla.

Setelah semua kaum keluarga bersetuju diubati cara kampung, Bidin Botak menjemput Lebai Sawar. Tetapi Lebai Sawar sudah ke Perlis berkunjung ke rumah anaknya.

Dalam keadaan terdesak itulah Pak Mijan terpaksa juga berdoa bagi menyelamatkan adik iparnya.

Selepas bersembahyang sunat dua rakaat, Pak Mijan mengusap muka Nyok Sidik dengan membacakan Fatihah tiga kali.

Memang Bidin Botak dan Samah tahu benar mengenai kejadian yang menimpa Nyok Sidik. Sebab ituiah mereka berdua berkeras tidak mahu dihantar ke hospital. Mereka sendiri melihat bagaimana Pak Mijan diserbu lelaki bertanduk yang keluar dari celah rumpun buluh.

Belum sempat lelaki bertanduk itu menerkam, Pak Mijan menghembusnya dengan membacakan Ayatul Kursi tujuh kali. Ter kial-kial lelaki bertanduk itu terselit di celah rumpun buluh akibat tercampak setelah dihembus oleh Pak Mijan.

Kemudian Pak Mijan menghentakkan tumitnya ke tanah lantas membaca kan :

Bismillahi ma-sya-Allah laya-suqul hairu Illallah, Bismil-lahhi masya-AIlah layas-riful su-i illallah, bismillahhi masya-Allah ma kana min-ni'matin faminallah, bismillahhi masya-Allah layati bil-hasnata illallah, bismillahhi masya-Allah la-haulawala qauwata illa-billah.

Habis sahaja dia membacakan doa, Pak Mijan mengisarkan tumitnya Iantas menyambar tangan lelaki bertanduk itu. Sepantas kilat pula dia memusingkan tubuh lelaki bertanduk itu Iaksana baling-baling berpusing tidak bertampan.

Terjerit-jerit lelaki bertanduk itu meminta dilepaskan dari genggaman tangan Pak Mijan. Tujuh kali dipusingkan nya, barulah lelaki bertanduk itu dilimparkan ke perdu rumpun buluh. Serentak dengan itu asap bukat memancar dari celah rum-pun buluh itu menyebabkan lelaki bertanduk itu hilang di sebalik gumpalan asap.

"Awak ambil pun Sidik, tak berguna lagi," mereka mendengar suara bergetar di tengah asap melanggang naik memenuhi sekeliling rumpun buluh.

Pak Mijan tidak menyahut. Dia mengisar tapak tangannya sahaja lantas ditepukkan tiga kali. Serentak dengan itu rumpun buluh bergegar kuat diikuti jeritan langsing memanjang.

"Sidik dah sanggup bertukar geruh, Pak Mijan," sayup-sayup suara geran di celah rumpun buluh hingga naik ke udara.

Gerun juga Samah dan Bidin Botak melihat rumpun buluh yang bergegar laksana dirempuh sekawan gajah. Tetapi Pak Mijan tidak berundur. Dia tetap berdiri di sisi Nyok Sidik terkaku duduk memeluk kepala lutut dengan laras senapang tidak lepas dipeluknya sama.

"Kenapa Pak Mijan buat aku macam ni?" getaran suara di celah rumpun buluh berbaur dengan asap pekat di celah rumpun berkenaan.

Tetapi Pak Mijan tidak menyahut. Dia terus membacakan doa sambil ibu jari kaki ditekan ke tanah. Apabila Pak Mijan membacakan lagi:

Walau-an-na qur-anan sui-yirat au-qut-ti'at bihil-ardh au-kullima hihil-mauta bal-lillahhil amru-jami'an ya syafi ya kafi ya mu'afi wabil haqqi anzalnahu wabil-haqqi nazala,

gegaran rumpun bu-luh semakin kuat.

Asap tebal juga bertukar menjadi hitam Iaksana getah terbakar, hingga sekelilingnya berbau hangit. Terkebi-kebil mata Samah dan Bidin Botak menyaksikan kejadian tersebut. Tentu siapapun tidak percaya sekiranya mereka beritahu mengenai pengalaman yang tidak pernah dilalui demikian.

"Kalau nak ambit juga Sidik, ambillah..." gerutu suara di tengah rumpun buluh semacam mengalah.

Apapun yang dituturkan oleh suara yang tidak dilihat jasadnya itu, Pak Mijan tetap tidak menyahut. Dia terus membacakan doa untuk membinasakan apa sahaja gangguan dengan kalimat-kalimat Allah. Jauh di sudut hati Pak Mijan segalanya terserah kepada Allah sama ada doanya akan dimakbulkan ataupun sebaliknya.

Selepas asap hitam di celah rumpun buluh semakin menipis, barulah Pak Mijan menyuruh anaknya Samah buatkan tandu. Nyok Sidik perlu ditandu untuk dibawa balik disebabkan tubuhnya keras tidak dapat digerakkan lagi. Setelah dibawa balik ke rumah, Pak Mijan basuhkan dengan air surat Yassin untuk melembutkan semula tubuh Nyok Sidik.

"Saya minta Abang Mijan ubatkan Sidik ni," Uda Mahani tersekat-sekat suara meminta Pak Mijan doakan suami nya.

Pak Mijan mengangguk. Dia tahu perkara mengubati Nyok Sidik bukan terletak pada doa yang dibacakannya. Kadangkala dia sendiri merasa bimbang sekiranya jiran-jiran tersalah tafsir, sekira nya keluarga mereka tidak sembuh dengan doa-doanya. Sebab itulah dia tidak menghalang sekiranya mereka yang sakit berubat sahaja di hospital.

Tetapi dia tidak tergamak menyinggung perasaan jiran-jiran. Manalah tahu mereka akan berkecil hati sekiranya dia enggan mendoa-kan. Apalah gangat dengan doa kalau Allah tidak makbulkan.

"Sama-samalah kita berdoa," tutur Pak Mijan perlahan apabila dia mula berzikir di dalam hati sebaik sahaja menghadap Nyok Sidik.

Setelah beristighfar 100 kali, Pak Mijan melenyapkan dirinya bersama zikir yang bergema jauh di sanubari. Dia membiarkan seluruh tubuhnya terasa seperti dirayapi kalimayar hingga bulu roma tegak mendebarkan.

Sedikit demi sedikit Pak Mijan membiarkan dirinya tenggelam dalam getaran dadanya yang berserah semata-mata kepada Allah. Sehingga dia merasa tubuhnya melayang ke perdu rumpun buluh di tengah hutan. Dia melihat Nyok Sidik terendap-endap di sebalik belukar mahu membedek rusa jantan tengah meragut pucuk ludai di tepi anak air.

Terlangah-langah rusa jantan tidak mahu lari setelah mendengar ranting kayu di pijak. Berbuih-buih mulut rusa jantan itu mengunyah pucuk ludai bertaruk muda. Tidak bertangguh Nyok Sidik melepaskan tembakan menyinggah bawah telinga rusa jantan menyebabkan is terpelanting ke rumpun buluh. Sewaktu Nyok Sidik menghunus golok mahu menyembelih seekor ular hitam melintas di hadapannya. Tergamam dia menyebabkan terpaksa berundur ke belakang membiarkan ular hitam tersebut menyusup ke dalam belukar. Setelah ular hitam yang mengganggu langkahnya menyusup habis ke dalam belukar, barulah dia menerpa ke perdu rumpun buluh.

Termangu dia tatkala melihat tempat tubuh rasa terpelanting di perdu rumpun buluh bertukar menjadi lelaki tua berpakaian serba hitam merengek-rengek kesakitan. Serba salah juga Nyok Sidik dengan kejadian menuntut geruh demikian, kerana dia sendiri tahu sangat padahnya kalau lelaki tua itu dibiarkan dengan tidak disembelih.

Kalau mahu disembelih juga, dia mesti memuIihkan semula sehingga rusa yang ditembak menjelma diperdu rumpun buluh. Dia tidak boleh membiarkan rusa tersebut tidak disembelih setelah ditembak sampal tersungkur ke tanah.

"Ah, aku bukannya mencari geruh kau!" gerutu Nyok Sidik mencebek bibir kerana diuji oleh jelmaan orang tua berpakaian serba hitam itu.

Tiba-tiba sahaja orang tua berpakaian serba hitam itu bingkas bangun dengan tanduk di kepaIa. Dia duduk di atas bangkai rusa yang bulunya meremang tegak memercik darah. Tersengih-sengih dia mengejek Nyok Sidik yang tercegat tidak berganjak.

"Macam mana Sidik?" soal lelaki tua itu terketar-ketar Iaksana orang tua gaik yang kedut kulitnya sampai me-lambir seperti guni tidak berisi.

"Aku sanggup tunggu di sini," sahut Nyok Sidik setelah menyedari dia terperangkap tidak dapat melepaskan diri. "Aku tak akan tukar geruh aku dengan keluargaku," jelasnya bertekad tidak mahu mengalah.

Ketawa memanjang lelaki tua itu mengerling Nyok Sidik. Saat ini dia menuntut janji Nyok Sidik kalau membunuh rusa permainannya. Nyok Sidik tidak dibenarkan balik menemui keluarga sekiranya tidak dapat memulihkan semula rusa yang telah ditembak mati.

Nyok Sidik tahu rusa yang ditembaknya hanya bayangan sahaja untuk memperdayakan dirinya. Dia tuba mengeluarkan diri daripada perangkap bayangan puaka berkenaan, tetapi sudah terlambat. Kalaulah tidak dihalang oleh ular hitam yang melintas, tentu dia cepat sampai menghunus golok. Sekiranya goloknya cepat menyembelih ke leher rusa berkenaan sebelum bertukar menjadi jelmaan lelaki tua, memang dia terlepas daripada perangkap tersebut.

Tatkala dia melihat Pak Mijan tercegat berdiri memukul orang tua bertanduk dengan gada besi, Nyok Sidik sudah tidak dapat melepaskan diri daripada sumpahan yang memakan diri nya sendiri.

Lama dia mempelajari ilmu berburu di hutan daripada Pak Senik di Perak. Sudah menjadi pantangnya tidak akan menembak rusa di bawah rumpun buluh. Tetapi sewaktu dia melepaskan ternbakan tidak pula disangkanya rumpun buluh di tepi anak air. Hanya setelah tembakan berdentam baru disedarinya rumpun buluh di sebalik belukar ludai yang tumbuh merimba.

Pak Senik sendiri ingatkan dia supaya tidak membedek ayam hutan bertenggek di akar kayu terjuntai atau di atas busut, tidak melepaskan tumbakan ke arah kijang yang menuruni bukit atau di balik banir, tidak menem-bak rusa melintas di bawah rumpun buluh. Nyok Sidik perlu memegang kukuh-kukuh amalan gurunya kalau mahu berburu seorang diri di tengah belukar hutan.

Bila-bila dia akan terserempak kijang di tengah padang Ialang, kalau biarkan kijang menuruni bukit berlalu tidak diganggu. Tidak seekor pun rusa terlepas daripada laras senapangnya, sekiranya dia tidak mengganggu binatang berkenaan meragut pucuk Iudai di bawah rumpun buluh.

Tetapi Nyok Sidik tersilap Iangkah. Geram benar hatinya melihat seekor rusa jantan terlangah-Iangah meragut pucuk Iudai. Tanduknya yang bercabang akan tersangkut di celah rumpun buluh kalau diasak ke situ. Tentu rusa berkenaan tidak dapat me-lepaskan diri sekiranya dia menghambat ke perdu rumpun buluh.

"Abang baliklah, biar aku selesaikan urusan ni," tutur Nyok Sidik menitiskan air mata sambil memberi isyarat dengan tangan menyuruh Pak Mijan berundur sahaja dari pada menyelamatkan dirinya.

"Aku kesihankan isteri kau, Mahani," bisik Pak Mijan tenang memerhatikan Nyok Sidik seolah, olah menjadi gembala rusa di kawasan di kelilingi rumpun buluh di tengah hutan.

"Tak apalah, bang," sayu sahaja suara Nyok Sidik menjelaskan. "Dah salah aku, apa nak buat," katanya menggeleng Iemah duduk di bawah rumpun buluh menjadi gembala rusa yang galak memakan pucuk Iudai.

Pak Mijan tersentak bagaikan orang terbangun dari tidur nyenyak. Setelah direnungnya mata Nyok Sidik terkejang di tengah rumah, dia menghela nafas. Kemudian menggamit semua sanak saudara duduk membacakan Yassin bersama.

"Bacakan Yassin, itu sahaja yang dapat kita bantu," ujar Pak Mijan perlahan menahan rasa terharu di hati.

Mereka semua tidak membantah. Masing-masing sudah tahu Nyok Sidik tidak dapat diselamatkan lagi dalam keadaan semakin nazak. Tentu Pak Mijan sudah mengetahui mengenai penyakit yang dihidapi oleh Nyok Sidik, tetapi sengaja merahsiakan kepada mereka.

Bagaimanapun Pak Mijan sekadar mendapat alamat sahaja, bukanlah bermakna apa yang dIllhatnya itu benar-benar berlaku ke atas diri Nyok Sidik. Alamat demikian itulah menjadi petunjuk kepadanya bahawa keadaan yang dideritai oleh adik iparnya tidak boleh diselamatkan Iagi. Sebab itulah dia menyuruh sanak saudara bacakan sahaja Yassin sebagai ikhtiar terakhir membantu Nyok Sidik.

Tidak lama selepas dibacakan Yassin, selepas waktu isya Nyok Sidik meninggal dunia. Bahari memberitahu Nyok Sidik diserang sesak nafas sahaja ketika melaporkan kematian Nyok Sidik ke balai. Memang tidak tahu apakah penyakit sebenarnya yang menyebabkan kematian Nyok Sidik itu, kecuali ketika ditemui di hutan dia dalam keadaan seperti sesak nafas.

Sewaktu Nyok Sidik diusung ke kubur, di kiri kanan lorong angin bertiup kencang seolah-olah mengiringinya sama ke kubur. Orang-orang kampung menjadi hairan kerana angin bertiup kencang itu berhenti setelah tempat yang diIalui ditinggalkan, dan bertiup lagi di kiri kanan usungan.

"Biarkan, jangan ambil peduli," perintah Pak Mijan mengingatkan mereka yang mengusung jenazah supaya tidak gelabah.

"Kalau tak ganggu kita, tak apa!" rungut Samah yang memikul usungan di hadapan. Bimbang juga dia sekiranya berlaku kejadian luar biasa, hingga menyebabkan orang ramai ketakutan.

"Tak apa, yang berkuasa hanya Allah," ujar Ulung Simat pula memberi semangat. Jauh di sudut hatinya Ulung Simat juga tidak keruan dengan keadaan angin bertiup hanya di keliling usungan sahaja.

Sehingga sampai ke kubur, angin tetap bertiup sekelompok sahaja di pucuk pokok kemboja berhampiran. Bergegar kuat dahan pokok kemboja akibat angin bertiup kencang sekelompok sahaja.

Sebelum jenazah diturunkan ke liang lahad, Pak Mijan terjun dahulu ke dalam kubur. Dia mengambil tanah di liang lahad dikepalnya tiga genggam. Kemudian dia melompat naik semula ke tebing. Setelah dibacakan Fatihah tiga kali, Pak Mijan melontarkan tanah tersebut ke arah angin bertiup sekelompok.

Sebaik sahaja menyinggahan kelompok angin bertiup di pucuk pokok kemboja, tanah yang dilontarkan berderai jatuh. Tiba-tiba sahaja angin bertiup itu berhenti. Gegaran dahan kemboja juga terhenti, sekalipun daun-daunnya gugur bertaburan ke bumi.

Setelah tidak ada gangguan lagi baruIah Pak Mijan membenarkan jenazah diturunkan ke liang lahad. Ketika Pak Mijan membacakan talkin di atas kubur, mereka yang sama sama berceratuk di situ kelam kabut apabila beribu-ribu rama-rama berterbangan di kepala mereka.

Puas ditepiskan rama-rama itu semakin banyak berterbangan dengan bermacam-macam warna. Tidak se-ekorpun cuba hinggap di mana-mana. Hanya berterbangan sahaja berkeliaran di atas kepala mereka. Tetapi Pak Mijan tidak terganggu pun dengan keadaan rama-rama banyak berterbangan. Dia terus membacakan talkin sampai habis membaca doa.

Tiba-tiba sahaja rama-rama yang banyak hilang, sebaik sahaja Pak Mijan selesai membaca talkin dan berdoa. Memang mereka tertanya-tanya juga apakah rama-rama yang banyak itu membawa alamat buruk ataupun balk? Pak Mijan hanya menggeleng kepala sahaja apabila ditanya oleh Uda Mahani.

Bimbang juga Uda Mahani sekiranya alamat buruk akan menimpa dirinya selepas kematian Nyok Sidik. Manalah tahu kalau-kalau rumahnya akan diganggu pula. Lainlah tatkala suaminya masih ada, tidak pernah dia takut apa-apa. Bila-bila sahaja Nyok Sldik akan turun ke tengah halaman apabila terdengar bunyi orang berlari keliling rumah.

Beberapa kali Uda Mahani terjaga bangun di tengah malam, dia melihat Nyok Sidik duduk membakar kemenyan di tengah rumah. Kalau ditegur Nyok Sidik akan tersengih-sengih sahaja. Selepas membakar kemenyan tengah malam, esoknya pagi-pagi lagi Nyok Sidik akan masuk ke hutan memanggul senapangnya.

Tidak sampai satu jam dia akan balik semula ke rumah membawa ayam hutan siap disembelih. Kadangkala Nyok Sidik akan membawa pelanduk hidup-hidup balik ke rumah.

Sebab itulah Uda Mahani tidak hairan lagi dengan sikap suaminya. Setiap kali dia masuk ke hutan Nyok Sidik memilih waktu pagi. Dia tidak akan ke hutan mengendap binatang liar di sebelah malam seperti jiran-jiran lain di kampung. Belum pernah pula dia balik dengan tangan kosong.

Kadangkala dia memberitahu Uda Mahani binatang yang ditanqkap hidup-hidup situ terkena jerat. Tetapi tidak pernah pula Nyok Sidik masuk ke hutan memasang jerat atau perangkap. Beberapa kali juga Bidin Botak menemani dia, memang lelaki itu mengakui Nyok Sidik tidak pernah menembak binatang buruannya.

Sebaik sahaja masuk ke hutan, Nyok Sidik akan duduk di banir pokok sambil bersiul nyaring. Dalam beberapa minit sahaja angin akan bertiup sekumpal hingga sampai ke pucuk pokok tempat Nyok Sidik bertenggong. Dari balik banir pokok itu Bidin Botak nampak seorang lelaki tua bertanduk terbongkok-bongkok mengheret dua tiga ekor pelanduk. Malah pernah juga membawa kijang.

Setelah disembelih, darahnya akan dihirup oleh orang tua bertanduk itu. Setelah binatang yang diburu itu mati orang tua bertanduk berkenaan akan hilang di sebalik banir pokok. Tetapi Bidin Botak tidak dapat melihat dengan jelas kerana dia disuruh menunggu jauh sedikit di lereng bukit.

Disebabkan Bidin Botak seringkali bertanya fasal lelaki tua bertanduk itulah, Nyok Sidik tidak benarkan lagi dia mengikut ke hutan. Nyok Sidik Iebih suka masuk ke hutan seorang diri sahaja. Dia tidak mahu siapapun bertanyakan kejadian yang berlaku di balik banir pokok itu.

Tetapi Uda Mahani bimbang disebabkan Nyok Sidik sudah meninggal dunia. Bagaimana kalau lelaki tua bertanduk yang di-katakan oleh Bidin Botak itu menjelma? Dia sendiri tidak tahu apa perlu dibuat sekiranya lelaki tua bertanduk itu tiba-tiba sahaja menjelma untuk menakut-nakutkan dia.

Terpaksa juga Uda Mahani mengadu pada Pak Mijan. Setidak-tidaknya biarlah Pak Mijan memagar keliling rumah supaya makhluk halus tidak boleh membolos masuk.

"Saya bimbang Anjang," ujar Uda Mahati terputus-putus suara memberitahu Anjang Limah hingga tidak berani jejak kaki batik ke rumah.

"Jemputlah anak-anak kamu tinggal sama," lantas sahaja Anjang Limah mencadangkan supaya anak-anak yang jauh diajak tinggal sama di rumah berkenaan.

"Takkan mereka mahu tinggal di kampung," jelas Uda Mahani tidak dapat meyembunyikan kebimbangan hatinya.

"Ah, pujuklah sesiapa, buat sementara;" tegas Anjang Limah mententeramkan hati adik iparnya.

Masakan anak-anak mereka tidak mahu temankan emak sendiri buat sementara waktu orang tua itu menanggung dukacita selepas kematian suami. Apalah salahnya Sarah atau Hanum balik ke kampung sebulan dua. Masakan suami mereka tidak benarkan semata-mata untuk temankan emak sendiri.

Memang Sarah sudah bersedia untuk tinggal di kampung sebulan dua. Adiknya Hanum juga tidak keberatan tinggal bersama. Anak-anak yang bersekolah tidak perlu dibimbangkan, kerana mereka sudah tahu menguruskan diri masing-masing. Lagi pun ayah mereka akan mengambil berat sepanjang hari semasa emak di kampung menemankan nenek.

 "Emak tu tak sabar," ujar Sarah apabila diberitahu oleh Anjang Limah mengenai kebimbangan yang ditanggungnya. "Sarah akan temankan dia, biarlah sampai dua tiga bulan." dia memberi pengakuan di hadapan emak saudaranya.

"Hanum, juqa akan temankan emak," jelas Hanum perlahan. Dia juga dapat merasakan kesedihan yang membelenggu perasaan emaknya selepas kematian ayahnya itu.

Tetapi selepas sahaja Nyok Sidik dikebumikan, malamnya sahaja Uda Mahani bersama anak-anaknya sudah diganggu bimbang. Pokok-pokok di keliling rumahnya ditiup angin berpuput perlahan dengan suara halus seolah-olah memanggiI Nyok Sidik. Bahar suami Sarah, dan Malik suami Hanum memberanikan hati membuka jendela. Mereka menyuluh ke arah pokok nangka di hujung halaman rumah. Hanya dahan pokok nangka itu sahaja bergegar ditiup angin, sedangkan pokok pisang yang berhampiran tidak pula disentuh langsung. Pokok bunga raya yang tersergam tidak jauh daripada pokok nangka itu juga tidak bergoyang apa-apa.

Tiga malam berturut-turut kejadian itu berulang. Kalau tidak disebabkan orang masih ramai di rumahnya, memang Uda Mahani kejang tidak dapat bercakap apa-apa. Takut benar dia dengan kejadian tersebut, hingga terasa mahu terbarai kencing tidak bertahan. Macam mana hatinya tidak dicengkam takut, apakala angin bertiup hanya sekelompok sahaja?

Malam pertama itu memang tengah orang ramai bertahlil di serambi. Angin bertiup sekelompok itu tidak lari daripada pokok nangka di hujung halaman. "Aku tak mati, kenapa kebumikan aku?" rintih suara halus di pucuk pokok nangka itu seakan-akan Nyok Sidik memanggil tetamu.

"Memang setan suka mengganggu manusia," rungut Samah menggertap bibir sambil mengerling ayahnya Pak Mijan.

Sehingga habis selesai orang bertahlil rintihan halus di pucuk pokok nangka itu berlanjutan hingga jam 10 malam. Pak Mijan sekadar menggeleng-geleng kepala sahaja tidak melakukan apa-apa.

Selepas semua orang balik, tidak ada pula gangguan itu berterusan. Hanya malamnya Uda Mahani bermimpi disuruh oleh Nyok Sidik galikan semula kuburnya. Dia mengaku masih hidup, dan meminta Uda Mahani penuh permintaannya supaya kuburnya digali. Serba salah Uda Mahani mahu mem beritahu anak-anak dan menantunya. Sarah dan Hanum sendiri tidak percaya dengan mimpi emaknya, kerana mereka melihat sendiri jenazah ayahnya dimandi dan dikapankan. Kalau ayah nya masih hidup tentulah akan terbersin sewaktu dimandikan tatkala air dijirus berulang kali.

Tiga malam berturut-turut angin bertiup sekumpul di pucuk pokok nangka, tiga malam juga Uda Mahani berrnimpi Nyok Sidik merayu supaya kuburnya digali. Dia masih belum mati semasa dikebumikan. Sebab itulah dia mendesak Uda Mahani menggali semula kuburnya supaya dia boleh hidup kembali.

"Kau dah mati, Abang Sidik," Uda Mahani tetap berkeras tidak mahu mematuhi desakan Nyok Sidik di dalam mimpinya.

"Siapa kata aku mati!" tersengih-sengih Nyok Sidik menatap muka isteri nya bagaikan anak muda segak berhadapan dengan gadis perawan.

"Aku tengok kau dimandi dan dikapan kan," jelas Uda Mahani mencebek bibir semacam serba salah untuk membuat keputusan.

"Aku tak mati, aku tengah berubat sendiri..." tegas Nyok Sidik meyakinkan isterinya supaya kuburnya digali juga.

Memang dia mengaku keadaan jasadnya seperti orang mati, disebabkan tengah terlantar jauh di tengah hutan belantara. Dia mati mematuhi syarat pantang larangnya apakala cabuh hingga terhutang tidak dapat dielak. Biarlah dia menjadi gembala rusa sementara dapat membayar semula hutang cabuh pantang kepada lelaki bertanduk yang menuntut janji.

Dia mesti memenuhi janji dengan menjadi gembala rusa, sehingga tempoh bulan mengambang penuh selesai. Kalaulah Pak Mijan tidak menemui dia tatkala duduk memeluk lutut di bawah rumpun buluh, memang dia akan balik semula selepas tempoh pantang larang nya selesai.

Tetapi Pak Mijan bawa juga tubuhnya balik dalam keadaan seperti mayat terbujur. Dia tidak dapat membantah kerana jasadnya sudah diserahkan kepada lelaki tua bertanduk itu sampai bulan mengambang penuh. Dia tetap berkeras memberitahu orang bertubuh kasar memang tersalah anggap melihat keadaan jasadnya seolah-olah seperti mayat terbujur itu.

"Hospital pun dah sahkan kau mati," Uda Mahani tetap berkeras.

"Terpulanglah pada kau Mahani," ujar Nyok Sidik sayu disebabkan Uda Mahani tetap membantah. "Kalau kau kesihankan aku, galilah kubur aku cepat," katanya meyakinkan isterinya yang bertambah bimbang.

"Aku tak percaya," tegas Uda Mahani tidak mahu terperangkap dalam pesona syaitan yang mahu merosakkan imannya.

"Percayalah Mahani, aku masih hidup..." berulang kali Nyok Sidik mengingatkan dia di dalam mimpi berturut-turut tiga malam.

Disebabkan Uda Mahani tidak mempercayai akan pujukannya, Nyok Sidik terpaksa menjauhkan diri. Air matanya mengalir ke pipi seolah-olah mengharapkan belas kesihan.

Memang Sarah dan Hanum tidak percaya dengan mimpi emaknya. Bahar dengan Malik juga bersetuju dengan isteri mereka, kerana mimpi hanya disebabkan emak mertuanya terlalu teringatkan arwah Nyok Sidik.

Seisi kampung melihat sendiri mayat Nyok Sidik terbujur. Doktor juga sudah sahkan Nyok Sidik meninggal dunia akibat sesak nafas. Masakan mereka boleh mempercayai mimpi yang segaja mahu merosakkan iman seseorang. Disebabkan anak-anak dan menantu berkeras tidak mempercayai mimpinya, Uda Mahani juga tidaklah mendesak sangat. Dalam mimpinya juga dia berkeras tidak mahu menggall semula kubur arwah suaminya.

Tetapi sehingga seminggu puputan angin di pucuk pokok nangka itu berulang juga. Di tengah kelembutan puputan angin sekumpul itu, mereka mendengar sekali sekala rintihan suara seolah-olah Nyok Sidik memanggil anak isterinya. Dia mengaku masih belum rnati sekalipun jasadnya sudah dikebumi kan.

 "Macam mana ikhtiar kita Anjang?" Sarah mendekati Pak Mijan setelah tujuh malam berturut-turut me reka berkumpul di rumah Uda Mahani. "Emak dah mati akal, mahu saja dia gall semula kubur arwah ayah," ujar Sarah bimbang kalau-kalau emak nya tidak dapat menahan sabar.

"Entahlah, apa pandangan lebai?" lantas sahaja Pak Mijan memandang Lebai Sawar yang dijemput datang sebaik sahaja balik dari Perlis

"Kalau boleh kita bacakan Yassin di kubur," Lebai Sawar mencadangkan sambiI mengerling Bahar yang tersandar di hujung serambi.

Bahar bersetuju ke kubur membacakan Yassin. Budin Botak dan Samah juga sanggup temankan sama ke kubur. Manap Sepet tidak mengelak untuk ikut sama bacakan Yassin di kubur Nyok Sidik. Biarlah Malik bersama Pak Mijan menunggu di serambi rumah sahaja.

Sewaktu mereka berempat turun ke halaman mahu ke kubur, Ulung Simat datang bersama Pak Senik dari Taiping. Memang Ulung Simat sendiri menjemput Pak Senik setelah berlaku kejadian tersebut. Satu satunya yang diharapkan tentulah guru Nyok Sidik sendiri. Sebab ituIah Ulung Simat sanggup bersusah payah ke Taiping mencari Pak Senik.

Semalaman Pak Senik menunggu di rumah Uda Mahani tidak pula berlaku kejadian angin memuput di pucuk pokok nangka itu. Bagaimanapun Bahar bersama kawan-kawannya terus juga membacakan Yassin di kubur Nyok Sidik. Kejadian rama-rama berterbangan berlaku juga semasa mereka membacakan Yassin itu.

Tetapi Bahar tabahkan hati memberi sernangat kepada kawan-kawan yang lain. Biarlah rama-rama itu berterbangan asal sahaja mereka tidak diganggu. Kalau rama-rama itu jelmaan syaitan sudah tentu semuanya hangus akibat dibakar kalimat-kalimat Allah daripada surah Yassin itu.

Lebih satu jam mereka duduk di situ, tidak ada apa-apapun kejadian ganjil berlaku. Hanya rama-rama Yang berterbangan itu sedikit demi sedikit hilang di tengah kegelapan malam dan samar-samar api pelita di atas kubur.

"Selepas itu tak ada lagi gangguan," ujar Pak Mijan menyorongkan buah cempedak kepada saya, apabila kenangkan kejadian yang menimpa arwah adik iparnya Nyok Sidik.

Jauh di sudut hati nya memang dia bimbangkan juga kalau-kalau keluarga Nyok Sidik menuduh dia sebagai punca menyebabkan arwah adik iparnya itu dikebumikan sekalipun belum meninggal dunia. Tetapi Bahar berkeras tidak percaya dengan mimpi emak mertuanya sekalipun berturut-turut tiga malam.

"Pak Mijan, tak letih ke bekerja di dusun ni?" sengaja saya mahu menguji hati orang tua itu.


"Masa hayat kita masih ada, ustaz, wajib bekerja menyara hidup," tersengih-sengih dia mengerling saya. Wajahnya yang tua bertubuh kecil itu masih kelihatan gagah bertenaga dalam usia Iebih 90 tahun. 

No comments:

Post a Comment