KEBIMBANGAN terbayang di wajah Mat Pian sebaik sahaja doktor memberi keputusan positif mengenai isterinya mengidap ketumbuhan di pangkal rahim dalam masa Mediah sarat mengandung. Kalau ketumbuhan itu tidak dibedah menjadi masalah pula kepada anak di dalam kandungan. Apatah lagi kalau dibedah sudah tentu kandungan Mediah dalam keadaan bahaya.
Gelisah
benar Mat Pian dengan malang yang menimpa isterinya dalam saat dia seharusnya
gembira akan menimang anak sulung. Bagaimanapun doktor memberi tempoh kepadanya
dalam masa dua atau tiga minggu untuk berfikir sama ada setuju menjalani
pembedahan ataupun tidak.
Perkara
ketumbuhan itu sama bahaya dengan pembedahan disebabkan Mediah tengah mengandung.
Lainlah kalau ketumbuhan itu mengganggu ketika isterinya sihat bugar. Bila-bila
Mat Pian benarkan isterinya dibedah asal sahaja Mediah selamat.
Tetapi
Haji Basar ingatkan dia supaya tidak serahkan nasib isterinya pada pisau dan
gunting, sebelum mencari ikhtiar lain.
"Kalau
dah tak ada ikhtiar, baru serahkan nasib pada pisau dan gunting," ujar
Haji Basar bapa saudaranya seolah-olah tidak bersetuju Mediah dibedah dalam
saat sedang mengandung itu.
"Saya
dah tak tahu nak buat apa, pak lang," keluh Mat Pian semacam putus asa
dengan keadaan yang menimpa keluarganya.
Memang
Mediah tidak terlantar sakit. Dia tetap bertenaga seperti biasa sekalipun
terasa perutnya menyenak sekali sekala. Sebab itulah Mat Pian meminta bantuan
doktor pakar untuk melakukan x-ray biar jelas punca yang menyebabkan Mediah sentiasa
sakit menyenak perut sewaktu mengandung.
Setelah
dilakukan x-ray itulah mereka ketahui ada ketumbuhan di pangkal rahim Mediah.
Kalau dibiarkan juga bukan sahaja kandungannya dalam bahaya malah Mediah juga
terpaksa menanggung sama bahayanya itu.
"Kenapa
kau putus asa" Haji Basar mencemik muka dengan sikap Mat Pian mudah sangat
mati punca. "Ikhtiar cara lain dulu, lepas tu baru jumpa doktor
semula," dia ingatkan anak saudaranya.
Dia
tidak membantah sekiranya Mat Pian sudah mengambil keputusan untuk membedah isterinya
yang mengidap ketumbuhan. Tidak ada apa yang dibimbangkan sekiranya dibawa ke
hospital, asal sahaja Mediah boleh sembuh. Tetapi apabila doktor memberi masa
untuk berfikir sebelum membuat keputusan, apalah salahnya Mat Pian berikhtiar
lagi.
Macam-macam
ikhtiar boleh dibuat untuk mengurangkan sakit Mediah. Kalau tidak boleh berdoa
memohon kepada Allah, apa salahnya Mediah amalkan sendiri doa-doa mustajab sementara
balik semula ke hospital dapatkan rawatan.
Memang
Haji Basar juga tidak bersetuju kalau Mediah diberikan ubat tradisional yang tidak
tahu khasiat atau mudaratnya. Perkara ubat-ubat,yang tidak tahu buruk baiknya
tidak patut diberikan kepada Mediah dalam saat dia tengah mengandung.
Ketika
Haji Basar membawa anak saudaranya menemui saya, serba salah juga saya mahu
mengelak. Haji Basar sudah berharap sangat disebabkan Mediah terpaksa di x-ray
sekali lagi dalam tempoh dua minggu untuk menentukan sama ada boleh di lakukan
pembedahan atau pun tidak.
"Ini
anak buah saya, ustaz," ujar Haji Basar memperkenalkan Mat Pian bersama
isterinya Mediah, "Saya minta benarlah ustaz doakan sikit," katanya
tersenyum dalam penuh harapan membumbung.
Saya
mengangguk perlahan. Perkara mendoakan memang sesiapa sahaja boleh diharapkan.
Allah Subhanahu Taala lagi Maha Mendengar dan Maha Melihat akan hambaNya yang
terlalu mengharapkan pertolongan dan perlindungan Dia.
Apalagi
berhadapan dengan perempuan mengandung seperti Mediah tentulah saya tidak
berupaya mahu membantu. Lainlah arwah nenek saya Bidan Ibah yang memang
berpengalaman mengenai perempuan tengah mengandung. Tetapi nenek pun sekadar
sanggup menyambut bayi sahaja, kerana dia tidak akan memotong pusat atau pun
memandikan. Tahu sangat orang-orang kampung mengenai pantang larang nenek tidak
akan memotong pusat bayi itu.
Satu-satunya
bidan yang diharapkan memotong pusat bayi cuma Bidan Nah sahaja. Tetapi Bidan
Nah tidak akan menyambut bayi sekiranya kedudukan songsang dalam kandungan.
Sebab itu orang-orang kampung terpaksa juga meminta bantuan nenek sekiranya
isteri masing-masing tengah sakit mahu bersalin.
Malah
Bidan Nah sendiri akan mendesak supaya dijemput sama nenek saya untuk membantu
sekalipun dia diharapkan membidankan perempuan sarat mengandung. Memang nenek
tidak menolak asal sahaja dia tidak memotong pusat dan memandikan bayi.
Kalau
ditanyakan sebabnya nenek tidak akan memberitahu apa-apa. Dia tetap rahsiakan
segala pantang larangnya tidak mahu memotong pusat bayi itu. Saleh Janggut percaya
nenek saya tidak mahu lagi memotong pusat bayi disebabkan kejadian membasuh uri
tembuni di sungai bersama emaknya Mak Nget.
Tahu
benar Saleh Janggut kejadian yang mendebarkan itu sebaik sahaja isterinya
selamat bersalin selepas subuh. Emaknya cepat-cepat balik ke rumah di seberang
halaman untuk melepaskan ayam itik di reban, setelah berjanji mahu membantu
nenek saya membasuh uri tembuni di sungai.
Selesai
sahaja berkemas-kemas, nenek terus turun ke halaman mahu membawa uri tembuni ke
sungai. Sampai sahaja di kaki tangga dia melihat Mak Nget sudah menunggu di
tengah halaman. Tidak bertangguh dia mengajak perempuan itu ke sungai melalui
lorong melintasi permatang sawah.
Sepanjang
berjalan ke sungai Mak Nget tidak bercakap apa-apa bagaikan keletihan berjaga sepanjang
malam menunggu menantunya Jeliyah bersalin. Nenek sendiri terasa letih dan
mengantuk kerana Jeliyah hanya merengek-rengek sakit tetapi masih juga tidak
bersalin hingga santak subuh.
Tiba
sahaja di sungai, nenek terus membasuh tikar dan kain-kain yang dibasahi darah
ke tengah air. Mak Nget sendiri mahu membasuh uri tembuni cucunya di hilir
sungai. Disebabkan perempuan itu tidak juga bercakap apa-apa lantas nenek
berpaling ke belakang memanggilnya.
Terkejut
sangat nenek apabila melihat Mak Nget membasuh uri tembuni itu sambil memakannya
sedikit demi sedikit. Mulutnya ada kesan darah disebabkan dia mengunyah tembuni
uri yang disiatkan sedikit demi sedikit. Setelah menyedari perempuan itu
bukannya Mak Nget, tidak bertangguh nenek menerkam merampas tembuni uri di
tangan sambil menolak kuat perempuan itu hingga terlentang jatuh ke air.
"Kenapa
Kak Ibah buat saya macam ni?" Mak Nget mengerutkan dahi disebabkan,
terperanjat dengan tindakan nenek.
"Kau
bukannya Nget, kau polong!" bentak nenek menggenggam erat tembuni uri di
tangannya.
Tersengih-sengih
perempuan itu apabila dituduh polong hingga tergamak memakan uri tembuni.
Masakan Mak Nget mahu memamah uri tembuni yang hanyir lagi kotor itu, kecuali
syaitan sahaja yang memakan benda yang kotor.
Apabila
perempuan yang menyerupai Mak Nget itu menukar dirinya menjadi hodoh, nenek
sudah bersedia untuk menghadapinya. Sebaik sahaja nenek menyeru Tok Syeikh,
sekaligus angin bertiup kencang hingga ternampak kelibat kuning melayang dari
udara. Tatkala angin berhenti bertiup nenek nampak Tok Syeikh berdiri di tebing
sungai.
Lantas
sahaja Tok Syeikh menuding perempuan hodoh itu dengan tongkat buluh tumpatnya
sampai menggelepar di air laksana dadanya ditusuk dengan sembilu tajam. Cubalah
siapa sahaja menentangnya apakala dia sudah menyeru Tok Syeikh mendampinginya.
Disebabkan
nenek sudah turun ke sungai, Mak Nget yang berjanji mahu membantu uri tembuni
tidaklah ke sungai sebaik sahaja selesai uruskan ayam itiknya. Dia terus memasak
air di dapur untuk siapkan sarapan pagi. Tatkala nenek balik dari sungai pun
dia masih tidak percaya Mak Nget yang duduk bertimpuh di sisi Jeliyah.
Hairan
juga Mak Nget apabila nenek hulurkan ke hadapannya bujam sirih diisikan pisau
terhunus dicacakkan ibu kunyit di hujungnya. Kemudian nenek menyuruh perempuan
itu cabutkan kunyit tercacak di hujung pisau dan mengigitnya sedikit. Setelah
Mak Nget lakukan apa sahaja yang disuruh nenek perlahan sahaja dia menuturkan:
"Memang
kau Nget sebenarnya!"
"Eh,
ada pulakah Nget yang tak benar, Kak Ibah?" tersengih-sengih Mak Nget kerana
tidak tahu kejadian yang menimpa nenek.
Meremang
juga bulu roma Mak Nget apakala diberitahu oleh nenek kejadian dia diperdaya
syaitan sewaktu turun ke sungai. Sebab itu dia ingatkan jangan berjanji mahu
bersihkan uri tembuni, tetapi tinggalkan rumah ibu yang bersalin.
"Masa
itulah polong mencuri masuk," tegas nenek apabila kenangkan perempuan
hodoh yang menjelma macam Mak Nget mengekorinya dari belakang sebaik sahaja
turun tangga ke tengah halaman.
Banyak
benar pantang larang yang mesti dipatuhi kalau sudah menjadi bidan
berpengalaman. Dia terpaksa menempuh dugaan demikian bila-bila masa sahaja
asalkan terus membidankan ibu bersalin.
Memang
Saleh Janggut percaya nenek saya tidak mahu lagi berbidan berpunca daripada
kejadian membidankan isterinya Jeliyah. Siapa sahaja akan diuji kalau ingin
sangat diturunkan petua-petua yang diamalkan. Kalau tidak menempuh ujian tentulah
seseorang itu tidak tahu sejauh mana amalannya sudah bersatu dengan dirinya.
Nenek sekadar tidak membidankan ibu bersalin sahaja, tetapi amalannya mendampingi
Tok Syeikh itu masih diteruskan juga. Kadangkala Dukun Samid juga akan meminta
bantuan dia sekiranya terdesak tatkala mengubati orang yang terlantar sakit.
"Mediah
ni bukannya nak bersalin, tapi sakit ketumbuhan," Haji Basar mengusik
apabila diberitahu mengenai nenek saya yang membidankan menantu Mak Nget itu.
"Saya minta sangat ustaz doakan dia,": katanya tersengih-sengih
mengerling saya.
Tetapi
saya bimbang kalaulah doa saya tidak boleh membantu Mediah, tentulah mereka
akan menganggap membuat kerja yang tidak berfaedah. Manalah boleh harapkan doa
sebagai ikhtiar, sekira-nya tidak memberi apa-apa manfaat.
"Dulu
ustaz juga cakap, jangan serahkan pada gunting dan pisau sebelum
berikhtiar," lantas sahaja Haji Basar meneruskan setelah melihat saya
masih juga tunduk membisu.
Saya
mengangguk lemah. Memang saya pernah memberitahu Haji Basar tatkala anak gadis
bersama isterinya mengidap sakit busung hingga perut memboyot besar bagaikan
buntil tepung berisi penuh.
Sudah
nekad Haji Basar mahukan anak gadis dan isterinya dibedah sahaja, biar busung
yang memboyot besar seruh semula. Dia sudah dibawa sampai ke Endau menemui
Batin Serai kerana bimbang terlangkah kubur tok batin Orang Asli. Habis tiga
ratus ringgit meminta Batin Serai menurun, tetapi busung yang memboyot tidak
juga seruh.
Dia
diberitahu fasal isterinya terlangkah kubur tok batin Orang Asli di tepi jeram.
Batin Serai sendiri dapat melihat hama di atas kubur itu hinggap ke kaki isteri
Haji Basar sampai berjangkit kepada anak gadisnya. Hama di atas kubur tok batin
itulah bertumpu di perut isteri dan anak gadisnya sampai membengkak menjadi
busung.
Disebabkan
tidak ada ikhtiar lain, Haji Basar rela Hajah Miyah dibedah perut. Biarlah anak
gadisnya Jisah juga dibedah supaya perut yang membusung itu kempis semula. Dia
mahu melihat sendiri hama dari atas kubur tok batin Orang Asli itu diluruhkan
keluar ke dalam takungan.
Ketika
saya ke Pelangai mengunjungi rumah Lebai Sawar kebetulan Haji Basar ke sana.
Dia menemui Lebai Sawar dengan harapan kalau tidak juga boleh diubati, memang
tidak ada pilihan lagi melainkan Hajah Miyah dan Jisah mesti dibedah juga.
Terpaksa
pula Haji Basar menunggu giliran sampai jam 12 tengah malam mengharapkan Lebai
Sawar mengubati. Sebaik sahaja Lebai Sawar menyuruh Hajah Miyah berlunjur di
depannya, tiba-tiba sahaja Jisah terjerit ketakutan. Tubuhnya mengerekot
laksana orang kesejukan diganggu demam kura.
"Hai,
ini bukannya busung," gerutu Lebai Sawar setelah melihat keadaan Jisah.
Apabila
dia memegang ibu jari kaki Jisah, sekaligus pula Hajah Miyah menggelepar hingga
mulutnya berbuih. Seolah-olah mereka berdua saling bertukar-tukar ganti' menanggung
derita kesakitan yang tidak diketahui puncanya.
"Kuman
penyakit juga jenis syaitan," ujar Lebai Sawar bersila rapat memegang buah
tasbih menatap muka Hajah Miyah dengan tidak berkedip mata. "Syaitan yang
menaburkan kuman penyakit, biar manusia kelam kabut," tersengih-sengih
Lebai Sawar memberitahu.
Masakan
terkena busung akibat terlangkah kubur tok batin Hajah Miyah menggelepar sebaik
sahaja Lebai Sawar memegang ibu jari kaki Jisah dengan membacakan Ayatul Kursi
17 kali. Selepas itu Lebai Sawar meletakkan tapak tangannya ke perut Hajah
Miyah lantas membacakan:
"Huwallahhullazila-ilaha-illa
huwa-'alimulghaibi wasyha-dati huwar Rahmanur Rahim, huwallah-hullazi la-ilaha
illa-huwal maliku-lquddusus salamul mukminul muhaimi-nbui 'azizul jabbarul
mutakabbiru subhanal-lahhi 'amma yusyri-kun."
Apabila
dia mendoakan Hajah Miyah, terjerit-jerit pula anak gadisnya Jisah seperti
tersentak disinggah besi panas. Memang gelabah Haji Basar dengan keadaan
tersebut seolah-olah permainan silap mata untuk menghiburkan. Tetapi dia sedar
malang yang menimpa keluarganya bukan silap mata untuk mengelirukan sahaja.
"Takkan
macam ni nak dibedah," Lebai Sawar berpaling menatap muka Haji Basar yang
terkebil-kebil mata.
"Penyakit
ni dibuat orang ke, tuan?" mengirap juga hati Haji Basar apabila kenangkan
penyakit isteri dan anak gadis-nya itu. Kalaulah disebabkan orang menganiaya,
memang dia sanggup lakukan apa sahaja biar orang yang gunakan ilmu hitam itu
menerima pembalasan juga.
"Manalah
saya tahu, tapi isteri awak ni sakit, oleh itu ikhtiar ubatkan," ujar
Lebai Sawar mencebek bibir mengingatkan Haji Basar supaya tidak menuduh
sesiapa.
"Memang
sekarang ni saya ikhtiarkan, sebab itu saya bawa jumpa tuan," jelas Haji
Basar bagaikan tersinggung dengan penjelasan Lebai Sawar seolah-olah dia tidak
berikhtiar langsung.
Tetapi
Lebai Sawar tidak menuduh dia biarkan isterinya dengan tidak berikhtiar
langsung. Lebai Sawar sekadar ingatkan kalau berikhtiar mengubati Hajah Miyah
kenapa pula menuduh orang lain gunakan ilmu hitam? Perkara orang lain gunakan
ilmu hitam manalah Lebai Sawar ambil pusing sangat.
Sebab
itulah kadangkala dia mengelak tidak mahu doakan, kerana bimbang menimbulkan
fitnah sampai menuduh orang lain gunakan ilmu hitam. Dia sekadar mencuba
sahaja, sekiranya keadaan Hajah Miyah menggelepar apabila didoakan tentulah
bukan disebabkan busung.
"Kalau
boleh janganlah serahkan pada pisau dan guntung dulu," saya mencelah
disebabkan Haji Basar beberapa kali mengeluh apabila kenangkan isterinya perlu
dibedah. Memang dia sedia menanggung apa sahaja akan terjadi sekiranya Hajah
Miyah terpaksa juga dibedah kerana keadaan perutnya yang memboyot pasang.
Hampir
tiga bulan Haji Basar berulang setiap minggu di rumah Lebai Sawar setelah
mengambil keputusan tidak mahu Hajah Miyah dibedah, keadaan busung di perut
isterinya seruh semula. Terpaksa pula saya datang ke rumah Lebai Sawar disebabkan
dia mendesak saya membantunya.
Memang
dia sanggup bersabar apabila mengambil keputusan tidak mahu dibedah. Terpaksa
pula mencari daun jarak elang setiap kali datang menemui Lebai Sawar. Daun
jarak elang itu dilayur ke api dan disapukan dengan minyak kelapa, kemudian
dibarutkan ke perut Hajah Miyah.
"Saya
dah jumpa Lebai Sawar, tapi dia yang suruh jumpa ustaz," jelas Haji Basar
terus mendesak. Dengan tidak bercakap apa-apa saya memberi isyarat kepada
isteri saya supaya ambilkan air sejuk satu jag. Air itu saya doakan dengan membaca
Fatihah 41 kali, setelah itu saya bacakan pula:
"Ha
mim, tanzilum minar-Rahmanir Ra-him, kitabun fuss ilat ayatuhu Quranan
'ara-biyal liqaumi ya'la-mun, basyirau wanaz-iranfa-'akrada aksa-ruhum fahum
layas-ma'un.
Air
yang didoakan itu saya suruh mereka bawa balik supaya Mediah minum selama tiga
hari. Selepas itu saya menyuruhnya berlunjur kaki dan meletakkan tapak tangannya
sendiri ke perut. Apabila saya mengisar tangan memang Mediah menggeliat kesakitan.
Sewaktu
saya mengisar tapak tangan, saya membiarkan diri seolah-olah terapung bagaikan
titik huruf ba hingga terasa tenggelam dalam gelungan air yang berbuih. Saat
ini terasa dada semakin sebak apabila ternampak bayang janin di dalam rahim
berhadapan dengan ketul merah sebesar jari kelengkeng.
Ketul
merah itu berpunat bagaikan bisul hampir meletus. Perlahan-lahan saya hembus
ketul daging merah itu dengan membacakan tiga kali Fatihah, diikuti dengan
surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Ketika ini ketul merah itu seakan-akan
cair menyebabkan saya dapat mengenal jenis janin di dalam kandungan itu.
Setelah
beberapa minit saya tenggelam hingga terapung bagaikan titik huruf ba, saya
tersentak bagaikan terkejut daripada tidur yang nyenyak. Cepat-cepat saya ke
bilik air disebabkan terasa loya tekak seolah-olah mahu termuntah disebabkan
terbau hanyir seperti uri tembuni.
Apabila
saya balik semula di ruang tamu, tidak bertangguh Haji Basar bertanyakan sama
ada bayi dalam kandungan itu lelaki ataupun perempuan. Saya menggeleng-geleng
kerana pertanyaan itu amat menghiriskan perasaan. Manalah saya boleh mendahului
ketentuan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berilmu.
Kalaulah
saya memberitahu lelaki, bagaimana pula sekiranya bayi akan dilahirkan kelak
perempuan? Perkara yang di luar pengetahuan makhluk tentulah sukar mahu
diterangkan, sekalipun Haji Basar menuduh saya memang tahu bayi yang dikandung
oleh Mediah.
Sepuluh
hari selepas Mat Pian menemui saya, dia sendiri menelefon memberitahu isterinya
tidak perlu dibedah. Selepas di x-ray kali kedua doktor sendiri sahkan ketumbuhan
dalam rahim Mediah tidak kelihatan lagi. Kebetulan pula saya tidak ada di rumah
sewaktu Mat Pian menelefon, tetapi dia terlalu gembira menyampaikan berita itu
kepada isteri saya. Berkali-kali dia meminta sampaikan salam kepada saya. Dia
sendiri macam tidak percaya apabila doktor yang memujuknya mahu lakukan pembedahan,
tiba-tiba sahaja menggeleng kepala. Memang doktor itu benar-benar merasa hairan
kerana ketumbuhan yang dilihatnya pada kali pertama di x-ray hilang entah ke
mana.
Tetapi
apa sangat mahu dihairankan kalau doa-doa demikian boleh menyembuhkan penyakit
dengan seizin Allah Subhanahu Wata'ala. Kalau kenangkan kejadian yang menimpa
Andak Tumin, terasa pula perkara yang menjadi kehairanan orang itu kadangkala
boleh memudaratkan diri.
Tahu
sangat Pak Tua Mahat mengenai sepupunya Andak Tumin kalau dicari orang tiba-tiba
sahaja dia menghilang. Puas dicari merata tempat tidak seorang pun menemui.
Seisi
kampung tahu sangat perangai Andak Tumin memang malas membantu isterinya Utih
Sara di sawah. Asal sahaja musim turun ke sawah Andak Tumin akan terbaring di
hujung serambi demam terkokol-kokol. Dia akan bingkas bangun ke kedai kopi
sebaik sahaja Utih Sara menggalas tajak turun ke sawah.
Apabila
matahari tegak di kepala, Andak Tumin akan segera balik ke rumah mencapai
selimut. Dia akan terbaring di hujung serambi terkokol-kokol sejuk sampai Utih
Sara balik. Sejak bertahun-tahun Andak Tumin berpura-pura demam, terserempak
juga oleh Utih Sara dia minum di kedai sewaktu Utih Sara turun ke sawah.
Marah
benar Utih Sara dengan perangai suaminya yang berbohong semata-mata mengelak
tidak mahu turun ke sawah. Memang dia dapat mengagak Andak Tumin berbohong,
tetapi hatinya tidak tergamak mahu menuduh. Asal sahaja musim menuai tiba, Andak
Tumin akan segar bugar semula.
Utih
Sara juga sudah berkali-kali mendengar jiran-jiran mernberitahu mengenai Andak
Tumin bukanlah demam. Dia sekadar mahu berbohong semata-mata mahu mengelak
tidak akan turun ke sawah. Hinggalah Utih Sara terserempak dia balik dari minum
kedai sewaktu Utih Sara balik dari sawah.
"Awak
ni eloknya ditelan ular sawa aje, senang saya..." gerutu Utih Sara
melepaskan geram.
Andak
Tumin tersengih-sengih sahaja sekalipun isterinya benar-benar marah. Dia terus
naik ke rumah merebahkan badan di hujung serambi. Biarlah isterinya membebel
sepanjang hari, dia tidak peduli apa-apa.
Tetapi
Utih Sara tidaklah rnarahkan suaminya sampai membiarkan Andak Tumin Kebulur
tidak menjamah nasi. Dalam keadaan letih selepas balik sawah, dia tanakkan juga
nasi. Lagipun anak-anaknya juga perlu disediakan juga makan, setelah mereka
sama-sama membantu kerja di sawah.
"Panggilah
ayah kamu makan, Bulin," perintah Utih Sara selepas nasi siap dimasak.
Anak gadis suntinya Lela membantu dia hidangkan makanan dengan pindang ikan
sepat. Memang dia anak beranak menimba ikan di lubuk dalam sawah sampai dapat
penuh satu baldi. Kalau harapkan Andak Tumin sampai bilapun dia tidak akan
turun ke sawah jejak kaki ke lumpur selut.
Dalam
masa Utih Sara bersama Lela bersiap-siap hidangkan nasi, tiba-tiba Bulin
terjerit ketakutan di serambi. Cepat-cepat Utih Sara menerpa ke pintu bersama
Lela sampaikan nasi yang sudah terhidang ditinggalkan begitu sahaja.
Berdebar
hati Utih Sara apakala melihat di hujung serambi ular sawa berlingkar dengan
selimut Andak Tumin sudah tercampak ke tepi dinding. Terpinga-pinga dia
di-sebabkan sudah sah suaminya Andak Tumin ditelan ular sawa.
"Mana
ayah, mak?" Lela memaut bahu emaknya sebaik sahaja melihat ular sawa di
hujung serambi berlingkar tidak bergerak. Dia tersengguk-sengguk menangis
kerana bimbangkan nasib ayahnya setelah melihat selimut yang tercampak ke
dinding.
Dia
dapat mengagak tentu ular berkenaan berlingkar di alang kepala tiang semasa
ayahnya merebahkan diri di hujung serambi. Siapapun tidak menyedari ular
berkenaan menunggu mangsa di situ. Sebaik sahaja ayahnya rebahkan badan,tidak
bertangguh ular berkenaan menerkam tidak bersisa.
Tentu
ayahnya tidak sempat meronta tatkala ular sawa sebesar batang pinang
membelitnya sampai remuk tulang. Mereka di dapur membantu emaknya memasak juga
tidak mendengar ayahnya meminta pertolongan kalaupun tidak dapat meronta kuat.
"Jangan
tunggu lagi, panggilkan Pak Tua Mahat," lantas Utih Sara menyuruh Bulin.
Biarlah anak mudanya itu tidak sempat lagi menjamah nasi, asal sahaja ular sawa
di hujung serambi tidak dapat melarikan diri sementara Pak Tua Mahat tiba di
situ.
Memang
Utih Sara tahu ular sawa tengah kenyang tidak akan dapat melarikan diri ke
mana. Kalau dijerut leherpun dia tidak akan melawan apa-apa. Dia percaya
tentulah Pak Tua Mahat tidak memerlukan senapang sekiranya berdepan dengan ular
sawa tengah kenyang. Cuma dia berharap biarlah Pak Tua Mahat ada di rumah
sewaktu Bulin datang menjemputnya.
Pak
Tua Mahat baru sahaja selesai menunaikan solat zohor tatkala Bulin datang
termengah-mengah memberitahu ayahnya ditelan ular sawa. Terkejut benar dia
apa-bila diberitahu oleh Bulin mengenai kejadian yang memilukan hati. Mak Tua
Tiamah juga tidak sempat membasuh pinggan selepas makan tengah hari, terus
sahaja mengekori Pak Tua Mahat.
Beberapa
orang jiran yang mendengar kejadian Andak Tumin ditelan ular sawa itu segera ke
rumahnya. Tatkala Pak Tua Mahat datang memang sempat dia mencapai senapang yang
tersandar di penjuru bilik. Terus sahaja dia naik ke serambi rumah Andak Tumin
membedekkan senapang ke arah ular sawa berlingkar.
Belum
sempat Pak Tua Mahat melepaskan tembakan hatinya berdetak apakala melihat mata
ular berkenaan berair. Tidak jadi dia menembak disebabkan ular sawa berkenaan
tidak berganjak sedikitpun setelah riuh rendah jiran-jiran datang berkumpul.
"Turun
semua ke tanah," perintah Pak Tua Mahat menyuruh siapa sahaja berdiri di
atas rumah turun ke tanah. "Kalau ular biar dia pergi kalau syaitan dia tunggu!"
katanya menggertap bibir. Senapang yang sudah dibedek ke arah ular berkenaan
dikepit semula di bawah ketiak.
Setelah
semuanya turun dari rumah, segera Pak Tua Mahat mendekati ular sawa berlingkar
itu. Dia menunjal kepala ular itu dengan kakinya lantas menuturkan,
"Bangun kau, jangan nak bergurau cara ni!"
Sekonyong-konyong
ular itu melenggok-lenggokkan kepala berubah sedikit demi sedikit menjadi Andak
Tumin semula. Tersengih-sengih Andak Tumin duduk terconggok mendongak Pak Tua
Mahat yang mencemik muka.
"Memang
kau ni menyusahkan orang," gerutu Pak Tua Mahat lantas duduk bersandar ke
dinding memeluk senapangnya. Memang dia tahu Andak Tumin sekadar mahu bergurau
dengan isterinya Utih Sara menukar dirinya menjelma menjadi ular sawa. Disebabkan
Utih Sara mahukan dia ditelan ular sawa sengaja dia lakukan demikian, biar
isterinya menyangka dia benar-benar sudah ditelan ular sawa.
Tahu
sangat Pak Tua Mahat kebolehan sepupunya itu akan menjelma apa sahaja mengikut
kemahuannya. Dia sendiri tidak tahu apakah amalan yang dituntut oleh Andak
Tumin setelah lama merantau meninggalkan kampung halaman mengikut kapal dagang
di Singapura.
Setelah
jiran-jiran mengetahui Andak Tumin yang menjelma menjadi ular sawa mereka
sernua tidak peduli apa-apa lagi. Masing-rnasing balik ke rumah sekalipun kagum
dengan kepandaian Andak Tumin demikian. Semenjak itu mereka tahu sangat dengan
rahsia diri Andak Tumin sekiranya menghilang diri.
Tetapi
Utih Sara pula sentiasa ketakutan hingga melatah-latah tidak menentu. Kadangkala
terlangkah tali di mana-manapun dia akan terlompat-lompat melatah, "Laki
aku ular, laki aku ular!"
Terpaksa
pula Lela memujuknya supaya bertenang. Lama lamaan Utih Sara bukan lagi melatah
tidak menentu, malah menjadi tidak siuman hingga termenung panjang apakala
meracau-racau fasal ular sawa.
Puas
berubat dengan Dukun Samid hingga tiga kali berair tawar bernasi besar, tetapi
keadaan Utih Sara bertambah teruk. Kadangkala dia menjadi takut menatap muka
Andak Tumin kerana disangkanya ular sawa berlingkar.
Kesal
macam mana pun tidak berguna lagi pada Andak Tumin. Kalau tidak disebabkan dia
mahu bergurau dengan isterinya apakala menjelma diri nya menjadi ular sawa,
tentu Utih Sara tidak menderita sampai hilang akal. Disebab-kan Utih Sara
sakit, terpaksalah Lela menjaga emaknya sepanjang hari.
Mahu
tidak mahu Andak Tumin sendiri turun ke sawah apabila musim orang-orang kampung
bersawah. Dia terpaksa jejak kaki ke selut lumpur macam pernah dilakukan oleh
Utih Sara.
"Apa
yang kau amalkan ni, Tumin?" Tok Aji mencebek bibir apabila Andak Tumin
meminta dia doakan Utih Sara.
Serba
salah juga Andak Tumin memberitahu mengenai pengalamannya lama di tanah Jawa
semata-mata mencari guru bertapa di tengah hutan. Dia terpaksa meranduk paya
dan hutan tebal hingga sampai ke gua batu terpencil tidak ditempuhi manusia.
Di
situ Andak Tumin amalkan bertapa hingga cukup 99 hari, biar menjelma kakek tua
berekor panjang dengan satu tanduk di kepala. Andak Tumin sanggup lakukan apa
sahaja semata-mata menunggu kakek tua itu menjelma menurun kan apa sahaja
amalan yang dituntutnya.
"Kau
mesti ingat pantang larangnya," tutur kakek tua yang menjelma di hadapan
Andak Tumin. "Kalau diketahui orang kau yang tanggung susahnya,"
kakek tua perintahkan dia merahsia dirinya boleh menjelma menjadi apa sahaja.
Pantang
larang itu sentiasa dipegang oleh Andak Tumin. Sewaktu berkahwin di tanah Jawa
beberapa kali juga Andak Tumin diganggu orang jahat yang diupah Belanda. Setiap
kali mereka menyerbu rumah Andak Tumin tidak ditemui pun dia di situ. Mereka
hanya nampak kucing kurap yang menjijikkan di tengah rumah.
Setelah
isterinya dilarikan oleh orang jahat itulah Andak Tumin balik ke kampung
halaman. Dia terus meninggalkan kerja dengan kapal dagang itu. Biarlah dia balik
ke kampung halaman menggalas tajak turun ke sawah.
Semasa
di kampung pun Andak Tumin menjelmakan dirinya menjadi seekor harimau di tengah
kedai disebabkan Cina taukeh kedai tidak benarkan dia berhutang. Marah benar
Andak Tumin dengan sikap Cina taukeh kedai itu yang mahu berkira sangat.
"Nanti
gua hantar harimau masuk lu punya kedai," ujar Andak Tumin melepaskan
marahnya.
"Apa
gua takut, nanti itu halimau hantam sama lu," Cina taukeh kedai itu menyangka
tentu Andak Tumin sekadar mahu menakut-nakutkan dia sahaja.
Beberapa
minit selepas Andak Tumin keluar meninggalkan kedai, tiba-tiba sahaja Cina
taukeh kedai itu terserempak harimau tercangkung di tengah kedai. Terlentang
Cina taukeh kedai itu jatuh hingga tidak sedarkan diri disebabkan terlalu
takut.
Semenjak
itu Cina taukeh kedai berkenaan tidak berani lagi berkeras dengan Andak Tumin.
Bila-bila dia benarkan Andak Tumin berhutang barang. Memang siapapun tidak tahu
mengenai rahsia Andak Tumin itu, hinggalah Pak Tua Mahat terserempak ular sawa
berlingkar di hujung serambi rumah.
"Kau
takkan dapat pegang pantang larang-nya lama-lama," tegas Tok Aji
menggeleng lemah. Tahu sangat dia bencana yang menimpa diri Utih Sara itu
disebabkan Andak Tumin tidak dapat menyembunyikan lagi rahsianya boleh
menjelmakan dirinya menjadi apa sahaja itu.
No comments:
Post a Comment