Terlalu tinggi harapan mereka terhadap saya sebaik sahaja
saya sampai bersanma Kadir .Misai. Percaya sangat mereka cuma saya satu-satunya
yang mampu puIihkan keadaan Usup yang
terkejang tidak sedar diri sejak seminggu. Tidak tahu pula saya dari mana
mereka mendapat tahu tentang diri saya
hinggakan menaruh harapan terlalu tinggi demikian.
Kalau mahu dikatakan Kadir Misai. yang beritahu, saya
tahu dia tidak pernah bersikap demikian. Perkara penyakit tidak ada siapa yang boleh
sembuhkan kecuali Allah Subhanahu Wata'ala. Makhluk hanya mampu berikhtiar sama
ada dirawat di hospital atau pun didoakan sahaja. Ikhtiar yang mampu saya
lakukan memang dengan doa, kerana selebihnya diserahkan kepada ketentuan Allah.
"Tolonglah,
ustaz, buatlah macam mana pun," desak Bedah mengharapkan saya. Tidak tahan
lagi dia membiarkan keadaan suaminya terkejang sejak seminggu.
"Ustaz ni
bukannya bomoh, Bedah," lantas sahaja Kadir Misai ingatkan sepupunya itu.
"Tak payah desak, tahulah dia apa yang nak dibuat," dia marahi Bedah
kerana tidak sabar sangat ketika itu.
"Kita tunggu sampai Udin Junuh datang," ujar
saya mententeramkan perasaan Bedah yang sebak tidak menentu.
Jiran-jiran yang
sama terconggok silih berganti juga bersetuju supaya menunggu Udin Junuh datang
dari Sungai Kelamah. Memang Udin Junuh sudah beritahu dia tidak mampu pulihkan
semula Usup Bincut, tetapi dia berjanji akan datang juga menjengah.
Apabila dia tidak sanggup pulihkan. Usup Bincut, bukanlah
bermakna Udin Junuh akan berlepas tangan begitu sahaja. Dia tetap mencuba
selagi Bedah mengharapkan pertolongannya. Setidak-tidaknya dia yang tahu punca
menyebabkan Usup Bincut terkejang tidak sedarkan diri.
Terpaksa pula
dipapah balik dari Sungai Kelamah setelah Usup Bincut tidak dapat dipulihkan
semasa di rumpun buluh lagi. Puas juga Udin Junuh gunakan segala pengalamannya,
tetapi tidak memberi kesan apa-apa.
Sebab itu dia suruh Saleh Gonjeng atau Jali Gendut
carikan bomoh lain sahaja asalkan Usup Bincut dapat dipulihkan. Tetapi ke mana
lagi mahu mereka cari kalau Udin Junuh sendiri sudah tidak tahu apa perlu
dibuat? Kalau ada pun, mereka terpaksa balik ke kampung asal masing-masing.
Bukan mudah mahu dapatkan bomoh di kampung mereka diajak datang ke kawasan
Felda itu.
Dalam keadaan
terdesak Bedah teringatkan sepupunya Kadir Misai. Memang dia tahu Kadir Misai
seringkali dijemput orang sekiranya terkejang sakit. . Tersengguk-sengguk dia
menangis menelefon Kadir Misai memberitahu kejadian yang menimpa suamiya Usup
Bincut.
Marah juga Kadir Misai dengan sikap Usup Bincut yang
tidak mahu berubah sejak hertahun-tahun gilakan judi nombor ekor. Bukan takat
sanggup bersengkang mata ikut orang
menurun seru puaka di batu-batu hesar tepi jeram, malah tergamak bakar colok
dan menyernbah topekong di kuil Cina.
Belum pernah pun Usup Bincut dapat duit rnelambak, sekalipun
berpenat lelah sengkang mata sepanjang malam menurun seru puaka. Biarlah Bedah berleter sehari suntuk, dia tetap
berdegil gilakan judi nombor ekor. Apalagi kalau ditegur saudara mara dia akan
bermasam muka sampai tidak mahu jejak kaki ke rumah.
Kalau tidak kenangkan Bedah tersengguk-sengguk menelefon
memang Kadir Misai tidak mahu datang menjengah muka. Biarlah Usup Bincut serik
dengan kejadian yang menimpanya. Tetapi perkara Usup Bincut terkejang memang
menyusahkan Bedah juga. Tentu seisi keluarga juga ikut sama susah apabila Usup
Bincut terkejang tidak sedarkan diri sejak seminggu.
Jiran-jiran sudah desak juga Bedah supaya bawa Usup
Bincut ke hospital. Tetapi Bedah berkeras tidak mahu dibawa ke hospital, kerana
dia tahu sebab musabab penyakit yang menimpa Usup Bincut. Mereka semua tahu
Usup Bincut pengsan setelah ikut Udin Junuh menurun seru puaka di rumpun buluh
di kaki bukit.
Lainlah kalau suaminya dihinggapi wabak penyakit taun
sampai muntah cirit-birit, memang boleh dibawa ke hospital. Tetapi Usup Bincut
di-rasuk puaka tatkala ikut Udin Junuh menurun di rumpun buluh. Sia-sia sahaja
kalau tergopoh-gopoh bawa suaminya ke hospital.
"Betulkah, Udin Junuh janji nak datang?" tutur
saya me-mandang Saleh Gonjeng, kerana dia yang beritahu mengenai Udin Junuh
akan datang juga menjengah.
"Memang dia kata nak datang, ustaz," beritahu
Saleh Gonjeng mengangguk perlahan.
"Kita tunggulah sampai dia datang," ujar saya
lantas berundur sedikit menyandarkan belakang ke dinding.
"Kalau dia tak datang?" cepat sahaja Bedah
mencelah disebabkan semakin bimbang. "Dia dah cakap tak sanggup nak
ubatkan," jelasnya tidak sabar lagi biarkan suaminya terkejang.
"Saya pun tak
boleh nak ubatkan," sahut saya mengingatkan dia supaya sentiasa,
bertenang.
"Gila sangat dengan judi, inilah padahnya!"
rungut Bedah melepaskan geram. Setidak-tidaknya bimbang yang semaki menyebak
dapat juga dikendur-kan.
"Perkara yang
dah lepas, jangan ungkit lagi," Kadir Misai ingatkan Bedah.
"Usup ni
sakit, ikhtiar kita, ubatkan..." katanya mendengus pendek, kemudian
merapati Usup Bincut sambil letakkan tapak tangan pada dahi lelaki itu. Sebaik
sahaja tapak tangannya mencecah dahi Usup Bincut, serta merta sahaja Kadir
Misai menyentak tangan. Dia menggertap bibir akibat terkejut, lantas berpaling
memandang saya.
"Kenapa Kadir?" soal saya perlahan. Kadir Misai
menggeleng-gelengkan kepala. Dia beristighfar beberapa kali lantas mengusap
mukanya. Wajahnya cemas dengan bulu roma juga kelihatan menegak seolah-olah
kesejukan.
"Kenapa Abang Kadir?" Bedah tidak sabar mahu
mengetahui sebab musabab sepupunya tiba tiba sahaja tersentak laksana tersentuh
besi panas.
" Entahlah," keluh Kadir Misai tergamam benar.
"Aku rasa kulit muka Usup macam menggerutu," beritahunya sambil
menggeleng-geleng lemah.
Perlahan-perlahan Kadir Misai mengusap dadanya sambil
beristighfar. Kemudian berpaIing kepada saya lantas menuturkan, "Mukanya
macam kulit biawak, ustaz."
Macam tidak percaya mereka yang terconggok di situ, kerana
mereka tidak melihat apa-apa perubahan pada Usin Bincut. Lelaki itu sekadar
terkejang tidak sedarkan diri sejak seminggu, dengan nafasnya sahaja
mengombak-ombak di dada.
"Tangan saya pula terasa macam masuk ke dalam lubang
bawah rumpun buluh," ujar Kadir Misai selanjutnya masih tertegun
mengusap-usap dada dengan beristighfar.
Siapa pun tidak tahu apabila tangannya menyeluk ke bawah
lubang hingga terasa wap sejuk. Jiran-jiran yang terconggok di tengah rumah
sekadar melihat Kadir Misai meletakkan tapak tangan di dahi Usup Bincut sahaja.
Tetapi Kadir Misai sudah dapat mengagak memang Usup Bincut diganggu syaitan.
"Agaknya, Udin tak datang ni!" Bedah semakin
gelisah apabila diberitahu muka suaminya menggerutu. Sebab itulah dia berkeras
tidak mahu membawa Usup Bincut ke hospital, sekalipun terpaksa menanggung
bimbang.
Lainlah kalau Usup Bincut jatuh tergelincir di rumpun
buluh sampai patah kaki, memang tidak bertangguh dia akan bawa ke hospital.
Tetapi suaminya gementar ketakutan tatkala melihat jelmaan lembaga botak
tercancang tanduk di kepala terpantul di rumpun buluh.
"Jangan cepat sangat kelam kabut," ujar Kadir
Misai mengerling Bedah. "Cuba bawa bertenang dulu," dia ingatkan
sepupunya supaya tidak gelabah menghadapi musibah demikian.
Bedah tidak menyahut. Tahu sangat dia perangai Kadir
Misai mudah sahaja panas baran sekiranya membantah. Manalah tahu Kadir Misai
tersinggung lantas sahaja balik meninggalkan Usup Bincut terus terkejang. Bedah
tidak mahu menyinggung perasaan Kadir Misai dalam saat dia memerlukan sangat
pertolongan.
Hampir pukul 9 malam barulah Udin Junuh sampai dengan
menunggang motosikal bersama Mat Kodek. Terkejut juga Mat Kodek sebaik sahaja
terserempak saya di situ.
"Hah, ustaz pun ada," ujar Mat Kodek segera
datang memeluk leher saya. "Udin, inilah ustaz yang aku cakapkan tu,"
lantas dia berpaling memberitahu Udin Junuh. Gembira sangat dia apabila bertemu
saya di rumah Usup Bincut itu.
"Dah banyak Abang Mat beritahu saya fasal
ustaz," Udin Junuh merapati saya terus, menghulurkan tangan bersalaman.
"Alhamdulillah, malam ni kita jumpa juga," katanya tersenyum riang
dalam nada suara yang terharu.
"Elok sangatlah ustaz dah datang ni," ujar Mat
Kodek selanjutnya tersenyum mengerling Bedah yang masih tidak berganjak duduk
di hulu kepala suaminya.
"Saya tersilap, ustaz," tiba-tiba sahaja Udin
Junuh mengakui punca geruh yang menimpa Usup Bincut. "Tidak baik saya
bersubahat dengan kerja-kerja khurafat," keluhnya lantas memandang Saleh
Gonjeng dan Jali Gendut yang tertunduk di penjuru rumah. Lama dia terdiam dalam
keluhan kesal. Terasa sebak di dadanya apabila kenangkan kejadian yang menimpa
mereka malam menyeru puaka di rumpun buluh seminggu dulu.
Kemudian Udin Junuh menggeleng-geleng lemah lantas
menuturkan perlahan, "Saya sekadar nak menakut-nakutkan, biar mereka insaf
jangan mabuk nombor ekor lagi."
Saya tidak menyahut apa-apa. Manalah saya tahu perkara
yang berlaku tatkala mereka membakar kemenyan di bawah rumpun buluh. Urusan mereka
tidak penting sangat kepada saya, kerana
saat ini keadaan Usup Bincut itu sahaja perlu dpulihkan .
" Abang Usup
dirasuk, boleh jadi dia lemah semangat!" tegas Udin Junuh selanjutnya lantas mengerling Saleh Gonjeng
dan Jali Gendut.
Tersipu-sipu Saleh Gonjeng dan Jali Gendut apabila rahsia
mereka memuja nombor ekor di rumpun buluh di Sungai Kalamah diketahui oleh
jiran-jiran. Memang malu juga mereka perbuatan sanggup ikut orang menurun itu
akan diejek oleh orang-orang kampung.
"Saya juga bukannya bomoh, ustaz," beritahu Udin
Junuh tersengih-sengih berpaling kepada Mat Kodek. "Orang-orang kampung
aje kata saya ni bomoh," sambungnya ketawa pendek.
"Macam mana pula awak jadi bomoh?" hairan juga
saya apabila Udin Junuh mengaku dia bukannya bomoh.
"Saya cuma ubati isteri Abang Saleh, bengkak pangkal
bahu," jelas Udin Junuh merendah.
Perkara dia ubati bengkak di pangkal bahu Midah isteri
Saleh Gonjeng bukanlah disebabkan dia bomoh sangat. Kalau tidak disebabkan Mat
Kodek yang beritahu dia baru balik dari Sumatera, memang siapa pun tidak
harapkan apa-apa daripadanya. Tahu sangat Mat Kodek fasal anak saudaranya yang
bertahun-tahun habiskan masa di Sumatera belajar di madrasah di Maninjau.
Kasihan juga Mat Kodek apabila diberitahu oleh Saleh
Gonjeng mengenai penyakit yang dihidapi oleh isterinya. Memang mereka berkawan
rapat disebabkan Saleh Gonjeng kerapkali datang ke Sungai Kelamah memikat
tekukur. Asal sahaja dia ke Sungai Kelamah memang bertumpu di rumah Mat Kodek
sebelum meranduk belukar membawa sangkar denak.
Sudah berkali-kali pula Saleh Gonjeng bawa Midah ke
hospital merawat bengkak di pangkal bahu itu. Tetapi dia sekadar diberitahu
bengkak tersebut hanya bisul yang masih belum meletus. Bimbang juga Saleh
Gonjeng sekiranya bisul tidak meletus itu akan merebak sampai menjadi pekung
kedal tidak boleh diubati lagi.
Sebab itu dia tanyakan pada Mat Kodek sekiranya kawannya
itu tahu mengenai bomoh yang sanggup mencuba ubati isterinya. Lantas sahaja Mat
Kodek beritahu mengenai anak saudaranya Udin Junuh yang lama menetap di
Sumatera. Tentu Udin Junuh menuntut ilmu kebatinan juga semasa di Maninjau,
sekalipun anak saudaranya itu beritahu dia belajar di Madrasah.
Lagipun Mat Kodek tahu, tentu Udin Junuh mewarisi cara
pengubatan daripada bapa saudaranya di Maninjau dan di Batu Sangkar. Masakan
Udin Junuh tidak tahu menahu mengenai pengubatan demikian.
Tidak bertangguh Saleh Gonjeng bawakan isterinya menemui
Udin Junuh di Sungai Kelamah. Apabila ditunjukkan bengkak sebesar telur ayam di
pangkal bahu Midah, lantas sahaja Udin Junuh mengagak tentu barah kulit. Sebab
itu dia minta Saleh Gonjeng carikan akar beringin muda yan terjuntai dengan
tidak cecah ke tanah.
Getah akar beringin disapukan pada bahu Midah yang
membengkak sampai mengecut. Tiga hari berturut turut akar beringin muda itu
disapukan, tiba tiba sahaja bengkak di pangkal bahu Midah meletus hingga nampak
tiga punat.
Selepas bengkak di pangkal bahu Midah sembuh, mereka
seisi kampung mula menerima Udin Junuh menjadi bomoh. Mereka akan bertumpu ke
rumah Udin Junuh sekiranya keluarga masing-masing mengerang sakit. Kadangkala
serba salah juga Udin Junuh mahu mengelak akibat didesak oleh Orang-orang
kampung. Mereka tidak percaya sekiranya Udin Junuh mengaku tidak mampu menjadi
bomoh.
"Tak apalah, Udin," usik saya setelah Udin
Junuh berterus terang memberitahu mengenai kejadian yang menimpa Usup Bincut.
"Selepas di Maninjau memang saya ke Batu Sangkar,
tapi tak pernah belajar jadi bomoh, ustaz," ujar Udin Junuh tersengih-sengih
mengerling Mat Kdek. "Memang saya ada belajar sikit-sikit dengan mamak
Batu Sangkar," barulah dia mengakui juga pernah mempelajari cara
pengubatan semasa Sumatera.
"Isteri saya dulu dialah yang ubatkan," lantas
sahaja Saleh Gonjeng mencelah disebabkan Udin Junuh terus menyem-bunyikan
rahsia dirinya.
"Dia sengaja nak jadi harimau sembunyi kuku,"
segera Jali Gendut mengusik dalam ketawa memanjang.
"Harimau yang ada ni, memang tak ada kuku,"
sahut Udin Junuh hingga ketawa besar, menyebabkan semua jiran-jiran yang sama
terconggok ikut ketawa geli hati dengan keletahnya.
Saya sekadar tersengih-sengih sahaja, lantas memandang
Usup Bincut yang masih terkejang tidak sedarkan diri. Memang Udin Junuh sudah
mengakui Usup Bincut terkejut sebaik terserempak jelmaan lembaga botak di
tengah rumpun buluh. Udin Junuh sendiri tidak tahu jenis makhluk yang menjelma
tatkala dia menyeru makhluk ghaib setelah membakar kemenyan dengan jampi
serapah.
Tidak sama macam Mamak Capik menyeru siluman sewaktu ke Palembang,
hingga menjelma lelaki berkepala babi di tepi jeram. Gementar juga Udin Junuh
sebaik sahaja jelmaan siluman itu melompat-lompat di atas batu jeram dengan
menyondol-nyondol kepala. Tetapi siluman yang menjelma semuanya mematuhi
perintah Mamak Capik.
Memang amalan Mamak Capik itu yang dicuba oleh Udin Junuh
tatkala dia membakar kemenyan di bawah rumpun buluh. Tetapi siluman yang diseru
tidak menjelma melompat-lompat di depannya. Dia sendiri tidak tahu makhluk
berkepala botak dengan tanduk tercancang itu, kerana bukan makhluk itu yang
diserunya supaya menjelma.
"Sekarang ustazlah cuba," ujar Udin Junuh
lantas berundur ke belakang.
"Mari kita sama-sama berdoa," segera saya
menggamit Udin Junuh supaya mara semula ke sisi Usup Bincut. Kemudian saya
menyuruh Kadir .Misai duduk di lunjur kaki bacakan Ayatul Kursi.
Mereka berdua tidak membantah apa-apa. Kadir Misai tidak
bertangguh mengisar tapak tangannya dengan beristighfar, kemudian membacakan
tiga kali `Auzubillahhi minasy syaitannir rajim, Bismillahhir Rahmannir Rahim,
dua kalimah syahadat, selawat dan tasbih.
Selepas itu Kadir Misai bacakan Fatihah pula dengan
berdoa meminta pertolongan Allah bagi mengubati Usup Bincut:
Iyya kana'budu wa-iyya kanasta'in
Hanya kepada Allah memohon pertolongan dan perlindungan.
Saat ini saya melihat Kadir Misai sudah tertunduk di
hujung lunjur kaki Usup Bincut. Matanya terpejam dengan bibirnya terkatup
menggertap rapat. Dadanya semakin mantap. mengukuhkan zikir yang bergema jauh
ke dalam sanubari. Tidak bertangguh pula Udin Junuh menggunakan amalan jurus,
dengan tapak tangannya dihalakan ke dada Usup Bincut. Sekali-sekala Udin Junuh
tersentak-sentak bagaikan dadanya ditolak kuat.
Setelah mereka berdua mulakan doa masing-masing, Saya
segera bacakan:
Waman 'arfa nafsihi faqad `arfa
rabbun fasadal jasad
dengan memahami bahawa Bismi itu nama-Nya, Allah itu
zat-Nya, ar-Rahman itu kelakuan-Nya dan ar-Rahim itu perbuatan-Nya.
Diri saya semakin gementar apabila menyedari terlalu
kerdil kita di sisi Allah Yang Maha Perkasa. Tidak ada apa yang upaya kita
lakukan selain daripada harapkan pertolongan dan perlindungan Allah
semata-mata.
Apabila saya bacakan:
Huwa auwalu,wal akhiru, wal zahiru
wal batinu, wahuwal azizul hakim,
semakin kerdil kita di bawah kuasa Allah yang wujud dan
maujud. Hanya doa sahaja dipohon daripada Allah agar sakit Usup Bincut
disembuhkan.
Saya sekadar berdoa. Demikian juga Udin Junuh dan Kadir
Misai yang terconggok duduk di lunjur kaki Usup Bincut. Kami tidak mempunyai
apa-apa kekuatan atau keistimewaan langsung untuk sembuhkan Usup Bincut yang
terkejang sejak seminggu.
Ketika ini Kadir Misai sudah semakin jauh melepaskan diri
daripada jiran-jiran yang terconggok cemas dengan keadaan Usup Bincut. Dia
seolah-seolah terhumban jauh di pinggir hutan yang dipenuhi rumpun buluh di
kaki bukit. Cepat-cepat Kadir Misai mendongak apabila angin bertiup kencang memukul
daun-daun buluh hingga bersanggit ranting.
Setiap kali angin
bertiup kencang hingga rumpun buluh meliuk-liuk, Kadir Misai nampak sebuah
pintu gerbang tersergam di celah-celah rumpun buluh yang merimbun. Tetapi Kadir
Misai tidak bimbang apa-apa setelah tercegat di depan pintu gerbang yang
tersergam daripada pintalan pucuk-pucuk rumpun buluh itu.
Memang Kadir Misai tidak bimbang apa-apa sejak bertahun-tahun
mengalami kejadian demikian. Apa sangat yang dia bimbangkan kerana setiap kali
menuturkan kalimat-kalimat Allah, dia merasakan
dirinya sentiasa dilindungi.
Walau-anna quran-na suiyirat bihil
jibalu auqutti'at bihil ardh aukullima bihil mau-ti ballillahil `amru jami'an:
Kalau dengan
ayat-ayat Quran gunung-ganang boleh dihancur leburkan, apatah lagi
makhluk-makhluk yang kerdil sama ada memiliki jasad ataupun yang tidak
berjasad. Tentu Kadir Misai juga memahami setelah lama belajar dengan Pak
Maulana semasa di Tanah Datar di Sumatera dulu.
Di depan pintu gerbang itu Kadir Misai berdiri, dan melihat
seolah-olah ada lorong jauh ke kawasan lapang terbuka. Terus sahaja Kadir Misai
melangkah berani dengan tidak pedulikan bunyi unggas-unggas yang terlalu banyak
berterbangan hingga membingitkan telinga.
Sebaik sahaja dia memasuki lorong berkenaan Kadir Misai
melihat Udin Junuh berlegar dengan menunggang di belakang harimau. Terlalu
besar harimau berkenaan hampir sebesar kerbau jantan dengan gelambir di bawah
lehernya sampai cecah ke bumi.
Tatkala melihat Kadir Misai tercegat, tidak bertangguh
harimau tersebut menerkam mahu mengerkah. Tetapi segera dipukul oleh Udin Junuh
tengkuknya dengan cemati.
"Tak kenal kawan dengan lawan!" jerit Udin
Junuh memarahi harimau tunggangannya yang berang sebaik sahaja ternampak Kadir
Misai.
Tidak berani harimau itu mengangkat kepala setelah
dipukul tengkuknya oleh Udin Junuh. Dia hanya terkinja-kinja mahu mengelak
daripada didekati oleh Kadir Misai.
Apabila Kadir Misai hentakkan tumitnya ke tanah lantas
membacakan:
Kaf ha ya a'in sad, ha a'in sim
kaf, uskun aiyuhal waji' billazi, in-yasya yuski-nirriha fayazialna rawa kida
‘ala zohrihi, in-nafizalika Ia-ayatin likulli sabbarin syakur —
sekaligus harimau
tunggangan itu menghambur tinggi menyebabkan Udin Junuh terhumban ke tanah. Cepat-cepat
harimau tunggangan itu lari susup sasap di ceIah rumpun buluh yang menebal.
Menggeleng-geleng kepala Udin Junuh sambil mengusap-usap
siku dan belakangnya yang dipenuhi pasir dan sampah sarap. Kemudian dia
berbisik perlahan kepada Kadir Misai:
"Memang benar Abang Kadir, jika Dia menghendaki, Dia
akan rnenenangkan angin, maka terhentilah kapal-kapai yang belayar di permukaan
laut. Sesungguhnya pada kejadian yang seumpama itu terdapat tanda-tanda
(kekuasaan) bagi setiap orang yang banyak bersyukur."
"Kenapa kau bersahabat dengan syaitan?" jerkah
Kadir Misai bercekak pinggang merenung tajam ke arah Udin Junuh terkial-kial
berdiri mengibas punggung seluar dilekati pasir.
"Saya nak gunakan dia untuk lawan syaitan yang
lain," beritahu Udin Junuh mententeramkan kemarahan Kadir Misai.
Saat ini mereka berdua mendongak ke udara apabila
ternampak saya terapung dengan dikelilingi cahaya putih bersinar seperti kaca
disilau matahari.
"Alhamdulillah, ustaz dah sampai," Kadir Misai
tersenyum memerhati saya dengan terkebil-kebil mata.
Tiba-tiba sahaja belukar yang dipenuhi rumpun buluh
merimbun itu bergegar kuat seperti dirempuh sekawan gajah liar sebaik sahaja
saya terapung di situ. Disebabkan gegaran rumpun buluh itu terlalu kuat
terpaksa juga Kadir Misai dan Udin Junuh berundur ke belakang.
Tatkala saya bacakan:
Innahu min Sulaiman wa innahu
Bismillahhir Rah-mannir Rahim,
sekaligus harimau tunggangan Udin Junuh menghambur ke
kawasan lapang itu lantas menggelupur tidak menentu. Seluruh tubuhnya melecur
bagaikan disimbah dengan cuka getah. Terkial-kial harimau itu mahu berdiri
dengan mengaum lemah seperti suara orang tua merungut-rungut.
Segera dia berpusing-pusing punggung mahu mencari tempat
berlindung di sebalik rumpun buluh yang menebal, tetapi dia terketar-ketar
tidak berdaya mengheret kakinya yang semakin goyah.
"Kau ni,
siapa?" bentak Kadir Misai kuat lantas mendekati harimau yang
terketar-ketar itu.
Perlahan-lahan harimau berkenaan mendongak Kadir Misai
macam melangut minta belas kasihan. Ketika menyeringai nampak taringnya
ber-lendir dengan air liur melejeh keluar. Matanya tidak berkedip merenung
tajam Kadir Misai seolah-olah menyimpan dendam.
"Cakap, siapa kau?" ulangi Kadir Misai dengan
mengisar tapak tangannya hingga mengeluarkan asap nipis.
Tidak bertangguh Udin Junuh melompat memijak kepala
harimau berkenaan sampai tertumus ke bumi. "Kau nak lawan aku ye?"
jerkahnya lantas mengisar tumit ke tengkuk harimau berkenaan hingga mulutnya
berpasir akibat tertumus kuat.
Sewaktu harimau itu menggelupur termengah-mengah,
tiba-tiba sahaja tubuhnya menjelma menjadi lembaga besar berkepala botak dengan
tanduk tercancang satu.
Kulit mukanya menggerutu berbonggol-bonggol laksana
tunggul buluh di tengah rumpun.
"Kenapa buat aku macam ni?" lembaga berkepala
botak itu terkial-kial tertiarap di bumi akibat tengkuknya dipijak Udin Junuh.
"Kau yang panggil aku, kenapa kau seksa aku?" gerutunya melepaskan
geram disebabkan tidak dapat bergerak kuat.
"Kerana kau cuba nak tipu aku!" sahut Udin
Junuh membentak marah. "Kenapa kau ganggu Abang Usup?" lantas dia
mengisar tumit kakinya lebih keras ke tenguk lembaga botak bertanduk itu.
Dalam keadaan lembaga botak itu terkial-kial, tiba-tiba
sahaja angin kencang bertiup menyebabkan rumpun buluh di keliling mereka
bergegar kuat. Terpaksa Udin Junuh melompat ke sebelah Kadir Misai.
"Nampaknya puaka ni berdegil, Abang Kadir,"
bisik Udin Junuh terhuyung-hayang bertahan daripada terjahan tiupan angin
kencang.
"Biarkan
mereka cuba, insya Allah," beritahu Kadir Misai menampankan dadanya daripada
terjahan angin kencang itu dengan mengukuhkan zikirnya seolah-olah lebur seluruh
tubuhnya di dalam zikir berkenaan.
Serentak dengan angin kencang itu di tengah-tengah rumpun
buluh berpusar tiupan angin hingga menjulang ke udara. Tetapi pusaran angin
yung memukul rumpun-rumpun buluh itu tidak dapat menembusi sinaran cahaya putih
yang menyelubungi saya.
"Kau lawanlah ustaz tu!" pekik Udin Junuh
mengejek lembaga botak bertanduk satu yang masih tertiarap.
Cepat-cepat lembaga itu bingkas bangun sebaik sahaja
dicabar. Tubuhnya membesar serta merta hingga melepasi pucuk-pucuk rumpun buluh
berkenaan. Apabila dia dapat berdiri gagah tidak bertangguh tangannya memegang
gada berduri dengan rantai besi sebesar lengan.
Tidak bertangguh dia menghayun gada berduri mahu memukul
ke arah saya, tetapi tertampan pada cahaya putih yang melengkungi saya bagaikan
benteng keras tidak terjejas. Semakin marah lembaga botak itu apabila gada
berdurinya tidak dapat menembusi cahaya putih yang berlingkar di sekeliling
saya.
Hampir pula dia terpelanting apabila gadanya memancar api
tatkala tersentuh lingkaran cahaya putih itu, bagaikan disambar api elektrik.
Tersentak-sentak dia setiap kali gadanya disambar api apabila dipukulkan kepada
lingkaran cahaya putih itu.
"Oh, ustaz ni lindungkan awak berdua," lembaga
botak bertanduk satu itu membentak lantang lantas berpaling menghadap Kadir
Misai darl Udin Junuh.
"Bukan ustaz, tapi aku berlindung pada Allah!"
sahut Kadir Misai terus membacakan surah al-Ikhlas sebelas kali. Apakala
dihembuskan ke arah lembaga itu menyebabkan ianya terpelanting macam buah
kelapa gugur bergolek. Marah benar lembaga itu seolah-olah dia dipermainkan
oleh Kadir Misai.
Cepat-cepat dia bingkas bangun semula mahu menerkam Kadir
Misai hingga belukar buluh habis rebah dirempuhnya. Belum pun sempat dia
menerkam, tiba-tiba gumpalan awan putih seperti kaca berkilau melayang menimpa
kepalanya dari arah saya berdiri.
Gumpalan putih itu terhentak kuat di kepala lembaga
berkenaan menyebabkan sebahagian kepalanya berkecai seperti anak tikus ditimpa
batu sebesar penumbuk. Lembaga itu jatuh tersembam dengan darah membuak di
kepalanya. Hanya kakinya sahaja yang terkutik-kutik mahu bangkit melawan
sedangkan kepalanya sudah tidak boleh digerakkan lagi.
Pohon-pohon buluh di sekeliling Udin Junuh dan Kadir
Misai menjadi layu tiba-tiba seolah-olah diracun perdu. Cepat-cepat Kadir Misai
mengajak Udin Junuh merempuh melalui lorong yang memanjang seperti terowong di
celah rumpun itu sebelum buluh-buluh yang tegak merimbun habis layu.
Ketika Kadir Misai dan Udin Junuh sampai di satu tebing
berteluk seperti gua, mereka ditahan oleh dua orang lelaki muda yang berpakaian
comot dengan seluruh badan-nya dipaliti lumpur. Tetapi Udin Junuh terus
merempuh masuk dengan tidak pedulikan dua pemuda yang bertahan dipintu.
Sebaik sahaja Udin Junuh merempuh masuk, dua pemuda
menerkam tidak bertangguh. Apabila dielakkan oleh Udin Junuh mereka berdua
tercampak ke tebing hingga muka tertumus. Sewaktu mereka berpaling mahu
menerkam lagi, Udin Junuh melihat muka pemuda itu bertukar menjadi seperti akar
rumpun buluh. Terhuyung hayang kedua-dua pemuda itu mahu menerkam, tetapi
segera Udin Junuh bacakan al-Fatihah tiga kali dengan menghentakkan tumit ke
tanah. Sekaligus dua pernuda itu tercampak hingga berguling ke tanah dengan seluruh
tubuhnya melecur seperti dibakar api.
"Kenapa buat kami macam ni?" gerutu salah
seorang pemuda itu termengah-mengah menahan kesakitan.
"Kerana kau syaitan yang dilaknat!" jerkah Udin
Junuh menjuruskan tangannya hingga kelihatan api memancar dari tapak tangannya.
"Sekarang kau buat apa dengan Usup?" Kadir
Misai pula mencelah lantas membacakan Ayatul Kursi, kemudian dihembuskan ke
arah kedua pemuda yang semakin parah tercedera. Api semakin marak menyala
seolah-olah hembusan itu mengandungi minyak yang membakar.
Belum pun sempat dua pemuda itu menyahut, serentak dengan
itu tebing-tebing gua runtuh tiba-tiba hingga menimpa pemuda berkenaan. Mereka
tertimbus macam batu dicampakkan ke tengah lubuk.
Tidak lama selepas itu mereka nampak Usup Bincut
tersandar pada busut jantan dengan badannya dipenuhi beribu-ribu ekor katak
yang berlompatan ke sana sini. Busut tersebut dikelilingi selut menyebabkan
Kadir Misai dan Udin Junuh tidak dapat menyeberang untuk selamatkan Usup
Bincut.
Saat ini Kadir Misai nampak saya berdiri terapung di
udara dalam gumpalan cahaya putih bersinar sambil mengheret lembaga berkepala
botak bertanduk satu yang hancur lumat kepalanya. Lembaga itu terkutik-kutik
menggerakkan badannya yang semakin lemah tidak bertenaga.
Kemudian lembaga itu dicampakkan ke dalam selut biar
meranduk ke seberang. Terkial-kial lembaga itu meranduk mahu sampai ke busut
jantan tempat Usup Bincut tersandar.
Bau hanyir kepalanya yang hancur berkecai meloyakan Kadir
Misai sampai dia termuntah tidak bertahan. Segera Udin Junuh menepuk-nepuk
belakangnya dengan membacakan surah al-Falaq dan surah an-Nas, 41 kali.
Terkejut mereka berdua apakala melihat lembaga berkenaan
hampir tenggelam ditelan selut, tetapi digagahinya juga meranduk biar sampai ke
busut jantan. Semakin dicubanya melepaskan diri daripada jerlus tanah selut
itu, semakin kuat angin bertiup kencang menampannya.
"Teruskan!" perintah saya dengan gema suara
yang bertala di udara.
Lembaga itu terus mencuba, tetapi tanah selut mula
mendidih bagaikan karbaid dimasuki air. Sekaligus lembaga itu menjerit langsing
memecah ruang angkasa. Tanah selut yang mendidih itu sekali-sekala mengeluarkan
api seperti lahar menyebabkan seluruh kulit lembaga itu melecur hingga
dagingnya mengelupas ditimbuni bara lumpur berkenaan.
Tiba-tiba dari dalam selut yang mendidih itu terjongol
lembaga lelaki tua bongkok bertubuh besar sambil kepalanya mendongak ke udara.
"Hah, sekarang baru kau keluar ye?" jerkah Udin
Junuh mengejek, kerana lembaga botak kepala bertanduk satu itu hanya umpan
sahaja. Dia tahu puaka sebenarnya memang lembaga lelaki tua bongkok dengan
tubuhnya disaluti lumpur itu.
Tidak bertangguh Udin Junuh menggenggam, tangan-nya
lantas membacakan:
Huwallahul lazi la-ilaha illa-huwa 'alimul
ghaibi wasy-hadati huwar Rahmannir Rahim, Huwallahul lazi la-ilaha illa huwal
malikul quddusus salamul mukminul muhaiminul `azizul jabbarul mutakabbiru
subhanallahi `amma yusyrikun, Huwallahul kholiqul bari-ul musauwiru lahu
asma-ulhusna yusabbihu lahu mafis samawati wal-ardhi wahuwal 'azizul hakim.
Setelah dibacakan doa itu dengan dijuruskan tangannya,
tersentak lelaki bongkok di dalam selut apabila berpuluh-puluh batu sebesar
periuk menerjah ke dadanya. Setiap kali batu-batu itu menerjah ke dada, lelaki
tua bongkok terbatuk-batuk sampai bersemburan darah di mulutnya.
"Kau berani kerana ada ustaz ni, Udin," ejek
lelaki bongkok itu merenung tajam ke arah Udin Junuh. "Bukankah kau yang
panggil aku, kenapa tak suka pula?" gerutunya mencemik muka sambil menyeringai
hingga nampak giginya jarang sebesar mata kapak.
"Syaitan memang tak pernah pegang janji!" sahut
Udin Junuh menggertap bibir.
"Kenapa kau ganggu Abang Usup?" jerkahnya
mencebek bibir.
"His, jangan dilayan sangat," cepat-cepat Kadir
Misai menepuk bahu Udin Junuh.
Ketika mendongak ke arah saya mereka nampak kaki saya
berpijak di kepala lelaki tua bongkok itu. Apabila saya memanggil Usup Bincut
yang tersandar di busut jantan, perlahan-lahan dia membuka mata. Kemudian saya
segera menggamit supaya dia bangun berdiri kuatkan tenaga untuk melangkah.
Usup Bincut terhuyung hayang berpaut pada busut setelah
saya menyuruhnya kuatkan semangat. Perlahan-lahan dia mara mendapatkan saya
hingga masuk ke dalam lingkaran cahaya memutih. Semasa Usup Bincut membuka mata
apabila mendengar saya memanggil namanya, Kadir Misai juga terkejut kerana
bahunya disinggung oleh Udin Junuh. Sebaik sahaja Kadir Misai mendongak,
tersengih-sengih dia kerana saya sebenar-nya yang menampar bahunya.
"Baca istigflar,
Kadir dan buka mata," tutur saya menepuk ubun-ubunnya tiga kali dengan
dibacakan al-Fatihah. Memang jiran-jiran yang terconggok di situ sekadar
melihat Kadir Misai tertegak duduk di lunjur kaki Usup Bincut dengan tidak
bergerak-gerak.
"Handal juga Abang Kadir ni," Udin Junuh
menepuk-nepuk bahu Kadir Misai tersenyum, setelah Kadir Misai terpisat-pisat
bagaikan terkejut daripada tidur.
Kadir Misai tidak menyahut. Dia berulang kali beristighfar
sambil mengerling Udin Junuh. Siapa pun tidak tahu mengenai rahsia mereka
berdua hingga menyusup jauh sampai ke rumpun buluh di kaki bukit.
Saat ini Usup Bincut sudah pun membuka mata, tetapi
tubuhnya masih lemah. Perlahan-lahan dia meminta air minuman daripada
isterinya. Cepat-cepat Bedah bangun terus ke dapur ambilkan air minuman.
Tiga bulan selepas itu ketika ,Usup Bincut dan Bedah
datang ke rumah bersama Kadir Misai, berlinang air matanya memberitahu dia
tidak lagi main judi nombor ekor. Memang serik dia setelah terlantar seminggu
akibat terserempak lembaga besar di rumpun buluh itu.
"Saya dah taubat, ustaz," keluh Usup Bincut
terlalu kesal hingga malu mahu mengangkat kepala menatap muka saya.
Berkali-kali dia
ulangi kesalnya disebabkan terlalu gila dengan judi nombor ekor hingga sanggup
gadaikan barang kemas Bedah. Bila-bila dia sanggup menunggang motosikal kalau
diajak ikut orang menurun di mana-mana pun sekalipun jauh berkilo-kilometer.
Saat ini barulah Usup Bincut menyedari hampir dia terpesong aqidah akibat
membakar colok menyembah topekong di kuil semata-mata rnahu dapatkan nombor
ekor.
"Baru sekarang nak insaf!" segera Bedah
mencelah melepaskan geram yang kian lama mendongkol.
"Masih belum
terlambat lagi," ujar Kadir Misai perlahan.
Usup Bincut mengangguk. Apabila kenangkan kejadian di
rumpun buluh itu memang dia rasa amat bersalah. Kalaulah tidak ikutkan nafsu
mahu menikam judi ekor tentu dia tidak terserempak lembaga besar di rumpun
buluh itu. Jelmaan lembaga berkepala botak tertanduk satu itu tidak sama dengan
Lebai Suhud yang terserempak di surau buruk.
Belum sempat dia berundur tiba-tiba sahaja tengkuknya
dicengkam dari belakang. Dia diheret terlalu laju melalui lorong seperti
terowong di kelilingi rumpun buluh yang merimbun. Tidak sempat Usup Bincut
menjerit mahu meminta tolong dari rakan-rakannya, disebabkan dia diheret macam
ikan disentap terkena pancing.
Ketika dia dicampakkan ke busut jantan oleh lembaga botak
itu, Usup Bincut merasa perutnya senak tidak dapat bernafas. Tubuhnya menjadi
lemah menyebabkan tidak dapat bergerak langsung. Busut di kelilingi lumpur
selut itu menjadikan dia terkurung tidak dapat lepas lari ke mana.
Setiap kali matanya terbuka, Usup Bincut melihat lelaki
tua bongkok mengawalnya. Ketawa lelaki tua bongkok itu bergema mengejeknya
kalau dia gagahi juga mahu bergerak. Hinggalah dia mendengar pusaran angin kuat
yang menakutkan menerjah rumpun buluh yang merimbun.
Dalam angin kencang itu Usup Bincut nampak Kadir Misai
bersama Udin Junuh terhuyung hayang mara mendapatkannya. Tetapi mereka berdua
tersekat di tebing selut lumpur menyebabkan tidak dapat membantunya. Usup
Bincut sekadar terkebil-kebil mata sahaja memerhati Kadir Misai dan Usin Junuh
berusaha untuk meranduk.
Ketika dia mendongak ke udara melihat lingkaran cahaya
putih bersama saya, terasa juga bimbang Usup Bincut. Hinggalah dia terasa
tubuhnya melayang jatuh ke dalam lingkaran putih, barulah Usup Bincut dapat
bertenaga semula.
"Saya dah taubat, tak akan main judi lagi,
ustaz," keluh Usup Bincut berulang kali. Memang dia yang mendesak Kadir
Misai mengajak menemui saya, setelah merasa dirinya sudah pulih semula.
No comments:
Post a Comment