Surat
daripada Mamak Bandaro sudah dibaca oleh isteri saya apabila saya unjukkan
kepadanya. Baru sahaja seminggu saya balik dia sudah mengirim surat. Sepatutnya
saya yang menulis surat terlebih dahulu kepadanya memberitahu fasal sudah
selamat sampai di rumah.
Di
dalam suratnya Mamak Bandaro menjelaskan ketika balik daripada menghantar saya
ke Medan di sebelah paginya, tiba-tiba sahaja Mak Tua Sarinah menerpa datang.
Belum sempat pun Mamak Bandaro keluar dari kereta Mak Tua Sarinah terus sahaja
memberitahu adik sepupunya Pak Ahdar terkejang sakit.
Isteri
Pak Ahdar, Hamsiah pun sama menunggu Mamak Bandaro balik dari Medan. Cuma dia
satu-satunya yang diharapkan oleh Hamsiah memulihkan penyakit Pak Ahdar yang
datang secara mendadak.
"Ahdar tu kan banyak ilmu
kebatinan?" gerutu Mamak Bandaro sebaik sahaja didesak isterinya supaya
segera menjengah Pak Ahdar. "Macam mana dia boleh tewas?" keluhnya
mengerling Agoes yang baru sahaja keluar dari kereta.
"Entahlah,"
beritahu Hamsiah cemas semakin tidak keruan. "Tiba-tiba saja rumah kami
bergoyang lantas runtuh menimpa Ahdar," ujarnya macam tidak percaya dengan
kejadian yang menimpanya.
Memang
Hamsiah hairan benar apabila rumahnya tiba-tiba sahaja bergoyang kuat malam
tatkala saya berkemas-kemas mahu balik ke Semenanjung. Kalaulah dia dan
anak-anaknya tidak sempat larikan diri ke luar, tentu mereka semua ditimpa
runtuhan rumah.
Sewaktu
jiran-jiran memapah Pak Ahclar keluar dari bawah runtuhan rumahnya dia hanya
tersengih-sengih sahaja. Tetapi air liur meleleh keluar dari mulutnya
berlendir-lendir. Suaranya tidak keluar kecuali merungut-rungut tidak menentu.
Apabila jiran-jiran mahu membawanya terus ke hospital, Pak Ahdar
menggeleng-geleng berkeras tidak mahu dibawa.
Lantas
sahaja Mamak Bandaro mengajak Agoes menjengah Pak Ahdar sebelum sernpat masuk
ke rumah. Mak Tua Sarinah juga bergegas ikut sama setelah didesak Hamsiah.
Sebaik sahaja sampai memang semua anak-anak Pak Ahdar sudah duduk berkeliling.
Pak Ahdar terkejang sahaja tidak bergerak disebabkan seluruh badannya keras
kaku tetapi peluh memercik hingga basah lukus pakaiannya.
"Kenapa
kau Ahdar?" segera Mamak Bandaro mengusap kepalanya sebaik sahaja duduk di
sisi Pak Ahdar, tetapi lelaki itu tidak menyahut apa-apa. Dia memalingkan muka
tidak mahu menatap wajah Mamak Bandaro.
Tempat
Pak Ahdar dibaringkan terkejang itu hanya bahagian dapur rumah yang masih
kukuh. Hairan juga mereka disebabkan bahagian rumah yang runtuh itu hanya di
bahagian bilik tempat Pak Ahdar tidur. Segala kayu palang dan kasau rumah
semuanya jatuh menimpa Pak Ahdar. Tetapi
Pak Ahdar tidaklah cedera sangat sekalipun runtuhan rumah menimpanya hingga
tersepit tidak dapat memboloskan diri.
"Mujur
ayah tak cedera, Pak Tua," Kusma anak gadis Pak Ahdar memberitahu dalam
suara yang bergetar menahan keharuan.
"Ayah
kamu banyak ilmu kebatinan," jelas Mamak Ban-daro perlahan. "Tapi aku
hairan bagaimana dia boleh tewas?" bisiknya apabila kenangkan nasib yang
menimpa sepupu isterinya itu.
Apabila
Mamak Bandaro letakkan tapak tangan di kepala Pak Ahdar, terasa kepala itu
sejuk bagaikan ketul air batu. Tetapi Mamak Bandaro sengaja rahsiakan daripada
Hamsiah. Biarlah mereka semua sekadar melihat Pak Ahdar terkejang, sekalipun
kepalanya sahaja bergerak-gerak lemah. Manalah tahu Hamsiah akan bertambah
cemas kerana bimbang akan keselamatan suaminya.
Perlahan--lahan
Mamak Bandaro bacakan surah al-Fatihah 17 kali diikuti dengan surah al-Ikhlas
17 juga dan Ayatul Kursi sebanyak 17 kali. Selesai sahaja dia bacakan tiba-tiba
Pak Ahdar terbersin kuat. Selepas itu bersemburan air keluar dari mulutnya
hingga penuh ditadah sebesen.
"Di
mana kau sembunyikan, Ahdar?" jerkah Mamak Bandaro keras lantas mengisar
tapak tangannya. Semakin kuat dia mengisar tapak tangan, jiran-jiran melihat
asap keluar dari kepala Pak Ahdar.
"Mana keponakan kau?" tiba-tiba
sahaja Pak Ahdar membentak dengan mengangkat kepala sekalipun tubuhnya masih
tidak bergerak seolah-olah terhimpit di bawah timbunan beban yang terlalu
berat. "Dia tu orang jahat, mesti dimusnahkan!" ujarnya dalam suara
garau yang menggerunkan.
"Yang
jahat pastinya kau," sahut Mamak Bandaro ter-sengih-sengih mengejek.
"Kau cuba peralatkan Ahdar, betul atau tidak?" bentaknya lantas
menampar kuat ke kepala lutut tiga kali.
Terjeluih
Pak Ahdar bagaikan mahu muntah apabila Mamak Bandaro memukul kepala lutut itu.
Air masih tersembur-sembur daripada mulut Pak Ahdar bagaikan membuak tumpah.
"Kau
pun sama dengan keponakan kau," ujar Pak Ahdar cuba menggerakkan badannya
tetapi masih keras kaku macam batang pisang tumbang tepi belukar.
Mamak
Bandaro mencebek bibir mengejeknya. Dia terus bacakan ayat 22, 23 dan 24
daripada surah al-Hasyr dengan diulangi 10 kali menyebabkan Pak Ahdar tiba-tiba
meronta mahu melompat bangun. Tetapi tubuhnya tetap tidak dapat digerakkan
laksana terhimpit di celah timbunan beban yang amat berat.
"Keponakan kau yang sebabkan aku jadi
begini!" terlalu marah Pak Ahdar lantas menjerit kuat.
"Aku
tahu, kau bukan Ahdar," sahut Mamak Bandaro keras mengejeknya berterusan.
"Memang wajar keponakanku lakukan begitu," sengaja dia mahu menyakiti
hati lawannya.
"Memang jahat keponakan kau tu,"
semakin berang Pak Ahdar mencemik muka. Kalau tubuhnya boleh digerakkan sudah
tentu dia akan menghambur tangkas menerkam Mamak Bandaro.
Sampai
santak malam pun Mamak Bandaro masih tidak dapat memulihkan Pak Ahdar.
Sekalipun Pak Ahdar sudah boleh merungut-rungut marah, tetapi tubuhnya masih
terkejang kaku tidak boleh digerakkan langsung. jiran-jiran yang datang
menziarah lantas sahaja menuduh Pak Ahdar memang diganggu siluman.
Tetapi
mereka tidak bimbang apa-apa sekiranya gangguan siluman selagi Mamak Bandaro
tercegat di situ. Masakan siluman boleh dapat melepaskan diri ke mana-mana
kalau sudah dijebak oleh Mamak Bandaro. Sekiranya tidak boleh dalam sehari dua,
nescaya dalam seminggu atau dua minggu selepasnya siluman itu akan menyerah
kalah juga.
Siapa
lagi diharap di kampungnya kalau bukan Mamak Bandaro sekiranya keluarga mereka
diganggu siluman. Di mana pun siluman tidak akan dapat bersembunyi apabila
Mamak Bandaro sudah mengisar tapak tangan dengan tumit dipasak kuat ke bumi.
Sekaligus siluman itu akan jelmakan dirinya tidak dapat bertahan dengan ilmu
kebatinan Mamak Bandaro.
Masakan
siluman mampu menentang Mamak Bandaro tatkala dia bacakan ayat-ayat Quran.
Kilat akan memancar lantas menyambar siluman sampai terbakar hangus. Kalau
siluman terus juga bertahan nescaya guntur akan berdentam kuat bersama panahan
api yang akan menjunam menerjah siluman. Masakan siluman yang ganggu Pak Ahdar
berani berdepan dengan Mamak Bandaro.
"Keponakan
kau yang buat aku jadi begini!" ulangi Pak Ahdar merintih-rintih sambil
mengerling Mamak Bandaro. Tetapi Mamak Bandaro tidak pedulikan apa-apa pun yang
dituturkan oleh lelaki berkenaan. Memang bukan siluman yang ganggu Pak Ahdar
sekira-nya tidak menjelma ketika itu.
Tentu
jiran-jiran yang duduk berkeliling akan terkejut sekiranya siluman itu menjelma
sampai tersergam haiwan atau pun manusia di tengah rumah. Bila-bila Mamak
Bandaro akan menjebak sekiranya siluman itu menjelma disebabkan tidak dapat
bersembunyi di mana-mana.
Hingga
masuk hari ketiga keadaan Pak Ahdar masih tidak berubah. Mamak Bandaro tidak
dapat menlebak siluman yang pintar bermain dengan helah. Puas Mamak Bandaro
berikhtiar, tetapi tidak memberi kesan langsung. Tentu siluman yang mengganggu
Pak Ahdar tidak sama dengan siluman yang menjelma tatkala dia mengalami
peristiwa bas rosak di tengah perjalanan.
"Apa ilmu yang keponakan kau
amalkan?" geram benar Pak Ahdar hingga terbatuk-batuk rmenahan rasa marah.
"Mana
aku tahu!" sahut Mamak Bandaro tersenyum mengejek. "Dia hanya baca
ayat-ayat Quran, kau tak dengar ?" bentaknya semacam mahu menguji
kedegilan makhluk yang merasuk tubuh Pak Ahdar.
"Dia
bukan orang sini," ujar Pak Ahdar mencebek bibir. "Ilmu kau pun tak
tinggi macam dia!" tersengih-sengih dia sengaja mahu menyakiti hati Mamak
Bandaro.
"Alhamdulillah, biarlah ilmunya lebih
tinggi daripada aku," jelas Mamak Bandaro terus mengejeknya. "Setidak-tidaknya
kau tidak boleh lawan dia," tuturnya untuk menyinggung perasaan makhluk
yang merasuk Pak Ahdar.
Disebabkan
Mamak Bandaro tidak berupaya memulihkan keadaan Pak .Ahdar, lantas sahaja Agoes
mendesak supaya dijemput Haji Salim di Tanah Datar. Dia sendiri sanggup
menjemput Haji Salim sekalipun terpaksa rnelalui jalan beratus kilometer.
Tatkala
Agoes menelefon adiknya Sarifudin minta uruskan kedatangan Haji Salim ke
Bukittinggi, tetapi Sarifudin tidak dapat mencari di mana orang tua itu sejak
satu minggu tidak mengajar di madrasah.
"Ke
mana pula Pak Maulana?" soal Agoes macam tidak percaya dengan penjelasan
adiknya.
"Hajah
Patornah juga tidak tahu," beritahu Sarifudin yang membantu Haji Salim
mengendalikan pembelajaran di madrasah berkenaan. "Seminggu ni aku yang
uruskan madrasah," ujarnya dalam keluhan pendek melalui telefon.
"Ah,
bagaimana mahu hubungi Pak Maulana," gerutu Agoes memandang Mamak Bandaro
sebaik sahaja meletakkan telefon.
Kalaulah
dia terus sahaja ke Tanah Datar tentulah sia-sia sahaja disebabkan Haji Salim
tidak ada. Memang Haji Salim tidak ke Pariaman atau ke Maninjau. Dia akan
memberitahu Hajah Patomah sekiranya mengajar di mana-mana.
Hanya
selepas makan malam baru Sarifudin menelefon memberitahu Haji Salim sudah balik
ke rumah. Masakan dia mesti tergopoh-gopoh ke Tanah Datar meranduk kegelapan
malam mahu menjemput Haji Salim.
"Aku pergi ke Pariaman," jelas Haji
Salim sebaik sahaja bercakap di telefon dengan Mamak Bandaro. "Ada apa-apa
saja Bandaro di Bukittinggi tu?" sengaja dia mengusik sepupunya.
"Ahdar
diganggu siluman," lantas sahaja Mamak Bandaro menjelaskan.
"Ah,
bukankah kamu juga hebat," ujar Haji Salim ketawa memanjang apabila Mamak
Bandaro berharap sangat ke-padanya.
"Saya
sudah tak berupaya, bang aji," beritahu Mamak Bandaro perlahan.
"Tengoklah
besok, kalau sihat aku datang, insya Allah," Haji Salim memberi pengakuan.
Terpaksalah
mereka tunggu sehingga besoknya juga kalau mahu harapkan Haji Salim. Sekiranya
dijemput juga malam berkenaan tentulah sia-sia kerana perjalanan memakan masa
lebih tiga jam. Hamsiah perlu bersabar menghadapi gangguan tersebut.
Manalah
tahu Haji Salim mampu memberikan bantuan bagi meredakan penyakit yang diderita
oleh Pak Ahdar. Apabila Haji Salim sudah memberi pengakuan, memang dia akan datang
juga jejakkan kaki ke Bukittinggi. Kalau lewat petang pun dia sampai keesokan
harinya apalah salahnya Hamsiah menunggu clengan sabar.
Selepas
menerima telefon Haji Salim itulah, Mamak Bandaro mengajak Agoes menjengah Pak
Ahdar semula. Setidak-tidaknya mereka dapat tenangkan hati Hamsiah yang
bergantung harapan pada jiran-jiran sahaja untuk membantu pulihkan suaminya.
Tatkala
mereka naik ke rumah Hamsiah, dia diberitahu oleh perempuan itu, Haji Salim
baru sahaja sampai. Gembira benar Hamsiah membukakan pintu sebaik sahaja Mamak
Bandaro memberi salam.
"Kata
Abang Maulana, Abang Bandaro yang beritahu," ujar Hamsiah terus mengajak
Mamak Bandaro duduk di sisi Haji Salim.
"Bagaimana
abang Aji datang?" segera Mamak Bandaro memeluk leher Haji Salim. Haji Salim
tidak menyahut. Dia hanya tersenyum sambil mengisar duduknya.
Tercengang-cengang Agoes disebabkan baru beberapa minit sahaja bercakap dengan
Haji Salim di telefon, tiba-tiba .sahaja orang tua itu menjengah muka.
Tetapi apabila kenangkan kejadian masa lalu
bersama Haji Salim, dia sekadar beristighfar beberapa kali. Kemudian membongkok
mengucup tangan Haji Salim.
"Saya
baru saja menelefon Sarifudin," beritahu Agoes perlahan menatap muka Haji
Salim.
"Aku tahu," sahut Haji Salim
mengangguk. "Sarifudin sudah beritahu segalanya," jelasnya lantas
mengajak Mamak Bandaro mendekati Pak Ahdar, seolah-olah tidak mahu siapa pun
bertanya lagi.
Mamak Bandaro tidak membantah. Memang dia
harapkan Haji Salim dalam saat terdesak demikian. Sebab itu dia tidak perlu
bertanya apa-apa kepada sepupunya setelah Haji Salim terconggok di situ.
Perkara Haji Salim boleh jejak kaki di rumah Pak Ahdar dalam masa beberapa
minit sahaja sekalipun jaraknya beratus-ratus kilometer, tidak penting pada
Mamak Bandaro.
Kalau semua sudah diizinkan Allah Subhanahu
wata'ala tidak ada lagi yang menghairankan dia. Apa sangat dengan Haji Salim
boleh datang dalam beberapa minit sahaja sekalipun jaraknya hampir 300
kilometer, kalau bandingkan dengan pertukaran malam dan siang yang tetap
mengikut waktunya.
"Aku
tak fikir Ahdar ni diganggu siluman, Bandaro," ujar Haji Salim meletakkan
tapak tangan pada dahi Pak Ahdar. Kemudian dia terus sahaja bacakan surah
al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas.
Setelah
itu dia menggamit Mamak Bandaro supaya mulakan mengubati Pak Ahdar yang
terkejang terkebil-kebil mata. Selepas sahaja sama-sama berdoa, terus sahaja
Haji Salim bacakan:
Allahumma in-na naj-'aluka fi nuhurihim, wa n.a'uzubika min
syururihim,
dengan
diulangi tiga kali.
Apabila
dihembuskan ke ubun-ubun Pak Ahdar terbatuk-batuk dia hingga memercik darah.
Tetapi tubuh Pak Ahdar masih juga kaku tidak dapat bergerak. Dengan
mengisar-ngisar tapak tangannya, Haji Salim hembuskan tapak tangan tiga kali
serta diusapkan ke seluruh badan Pak Ahdar.
Sewaktu
Haji Salim cuba memulihkan tubuh Pak Ahdar, tidak bertangguh Mamak Bandaro
bacakan tujuh ayat terakhir daripada surah Yassin dengan diikuti Ayatul Kursi.
Ketika
ini Pak Ahdar terbatuk-batuk hingga memercik darah di mulut. Tubuhnya tetap
kaku dengan kaki dan tangan-nya sejuk bagaikan ketul ais. Tetapi Mamak Bandaro
tidak peduli apa-apa disebabkan Haji Salim terconggok di sisinya. Dia terus
membacakan:
Walahu masakana fil-lalili wannahari wahuwas sami'ul 'alim, summa
sauwa hu wanofakho fihi min-rohihi._ waja'ala lakumus sam-'a wal absaro wal
af-idata qolilan m,a-tasykurun, wa-nunazzilu minal-Qurani mahuwa syifa-un
warahmatun lil-mukminin.
Terketar-ketar
bibir Pak Ahdar merenung tajam ke muka Mamak Bandaro bagaikan menyimpan dendam.
Hanya kepala sahaja digerakkan untuk meluahkan rasa marah yang mendongkol di
hati.
"Ambilkan
air, Hamsiah," Haji Salim semacam memberi perintah.
"Mahu
minum, abang Aji?" Hamsiah mahu memastikan.
"Tidak," Haji Salim menggeleng
perlahan. "Bawakan aku air dalam besen," ujarnya lantas mengusap-usap
tapak tangan ke muka.
Segera
Hamsiah bangun ambilkan air ditadah dengan besen. Tidak bertangguh dia hulurkan
besen berisi air itu ke hadapan Haji Salim. Sebaik sahaja merenung air di dalam
besen, Haji Salim mengocak-ngocak jari telunjuk ke dalam air.
Apabila
dia mengetuk-ngetuk jari telunjuknya ke bibir besen, Haji Salim tersenyum
mencebek bibir. Matanya tidak berkedip merenung ke dasar besen dengan
membacakan Fatihah 7 kali.
"Kenapa
Pak Maulana?" cemas juga Agoes apabila Haji Salim rnerenung ke dasar besen
dengan tidak berkedip mata.
Tetapi
Haji Salim tidak menyahut apa-apa. Dia hanya beristighfar beberapa kali sebelum
renjiskan air dari dalam besen itu ke seluruh tubuh Pak Ahdar.
"Bagaimana,
bang Aji?" Hamsiah pula bertanya dalam keadaan masih lagi diselubungi
bimbang.
"Kita tengok dulu sepuluh minit,"
sahut Haji Salim lantas berundur sedikit mahu menyandarkan belakang ke dinding.
Setelah
dapat bersandar pada dinding, Haji Salim. lelapkan mata seolah-olah mahu tidur
akibat keletihan. Mereka semua sudah mengagak tentu Haji. Salim letih sangat
tidak sempat berehat sebaik sahaja balik dari Pariaman. Ketika datang ke rumah
Hamsiah pun belum sempat berehat, Mamak Bandaro sudah terjongol.
Disebabkan
Haji Salim sudah lelapkan mata dengan duduk bersandar ke dinding, Mamak Bandaro
terpaksa juga teruskan. Selepas mengisar tapak tangan dengan merenung tepat ke
muka Pak Ahdar, dia bacakan pula:
Allahhu yatawaffal anfusa-hina mau-tiha wallati lam-tamut
fi-manamiha fayum sakullati qoda 'alaihal mauta wayur-silul ukhra musamman
in-nafi zalika la-ayatin liqaurnim yatafakkarun.
Saat
ini Mamak Bandaro rnerasakan tubuhnya lenyap dalam pusaran angin lembut hingga
tercampak ke batu jeram di tengah hutan rimba yang penuh dengan pokok-pokok
besar menjulang. Memang terkejut dia apabila melihat Pak Ahdar terhimpit di
celah batu-batu jeram hingga seluruh tubuhnya terendam ke bawah air. Cuma
kepalanya sahaja terkutik-kutik terlangut di atas batu.
Mamak
Bandaro nampak beberapa makhluk siluman cuba lepaskan Pak Ahdar tetapi mereka
sendiri ikut terhimpit akibat batu-batu jeram yang besar runtuh menimpa.
Terkial-kial pula mereka meminta bantuan Pak Ahdar mahu melepaskan diri
daripada runtuhan batu-batu jeram itu.
Setiap
kali Mamak Bandaro cuba mendekati Pak Ahdar untuk bebaskan dia, sekaligus Mamak
Bandaro terhumban ke belakang seolah-olah ditolak angin kencang. Beberapa kali
dicubanya gagahi juga mahu selamatkan Pak Ahdar, dia tidak berupaya menentang
hembusan angin kencang yang berpusar itu.
"Ahdar,
kenapa tak cuba lepas diri kamu?" laung Mamak Bandaro di seberang jeram
kerana hairan kenapa dia tidak dapat mara mendekati lelaki itu.
Pak
Ahdar menggeleng lemah setelah mendengar suara laungan Mamak Bandaro. Matanya
sahaja terkebil-kebil dengan kepala terlangut di batu jeram.
"Gunakan
ilmu kebatinan kau!" seru Mamak Bandaro semakin hairan kerana tidak dapat
mendekati Pak Ahdar.
"Siluman
ni tak dapat membantu aku," beritahu Pak Ahdar terketar-ketar kesejukan
akibat lama terendam di dalam air jeram.
"Kenapa
kau minta bantuan siluman?" soal Mamak Bandaro mengejeknya. "Bukankah
minta pertolongan daripada Allah lebih baik?" ujarnya macam kesal dengan
perbuatan sepupu isterinya yang masih gunakan siluman.
"Aku
nak menguji keponakan kau, bukan sungguh-sungguh," lantas sahaja dia
mengakui perbuatannya.
"Jadi,
bagaimana harus aku lakukan sekarang?" Mamak Bandaro terus berusaha mahu
melepaskan Pak Ahdar dari timbunan batu-batu jeram tersebut.
Terkebil-kebil
mata Pak Ahdar menahan kesejukan akibat lama terendam di bawah jeram. Kepalanya
sahaja bergerak seolah-olah mahu melepaskan diri dari timbunan batu-batu
bertupang tindih.
Memang
dia mengaku di depan Mamak Bandaro mahu menguji saya semasa menjengah sanak
saudara di Bukittinggi. Tiga hari berturut-turut dia mencuba dengan tuju angin
hingga terpaksa beramal sepanjang malam sampai santak pagi.
Mahu
dicuba gunakan siluman, bimbang juga mahu berdepan dengan Mamak Bandaro. Tentu
Mamak Bandaro akan menjadi penghalang besar sekiranya dikirimkan siluman
menjelma di tengah rumah. Apatah lagi Mamak Bandaro memang sudah terbilang
kalau berdepan dengan siluman di mana-mana, tentu akan tunduk melutut di
depannya. Mamak Bandaro sendiri boleh gunakan siluman untuk menyerang siluman
yang lain. Cubalah!
Malam
ketiga dia menguji saya, tiba-tiba sahaja tubuhnya diheret lembaga hitam
berbulu ke rumah Mamak Bandaro. Puas dia bertahan, tetapi lembaga itu terus
juga meletakkan Pak Ahdar ke atas tengkuknya. Hinggalah mereka sama-sama
tercegat di tingkap dapur rumah Mamak Bandaro menyebabkan Fitriati terkejut
tidak menentu.
Sebaik
sahaja Fitriati terserempak lembaga hitam berbulu tercegat di tingkap lantas
dia menjerit ketakutan. Saat ini Pak Ahdar yang duduk di tengkuk lembaga hitam
berbulu itu nampak cahaya memancar dari arah saya berdiri. Semakin lama dia
memerhati ke arah saya seluruh tubuhnya menjadi semakin panas.
Lembaga
hitam berbulu itu cepat-cepat melarikan diri meninggalkan Pak Ahdar apabila
diburu cahaya yang memancar dari tubuh saya. Semasa lembaga itu melarikan diri
memang Pak Ahdar nampak Fitriati diheret jauh.
Dia
tidak berupaya mahu menyelamatkan Fitriati setelah ditinggalkan oleh lembaga
berkenaan. Tidak bertangguh Mamak Bandaro perintahkan makhluk siluman memburu
lembaga hitam berbulu itu supaya merampas Fitriati daripada cengkamannya.
Tetapi
setiap kali siluman-siluman itu cuba menghampiri mereka semua habis dipijak
oleh lembaga tersebut. Kepala siluman yang dipijak hancur remuk bertindih di
bawah kaki.
Apabila
siluman-siluman yang mematuhi perintah Mamak Bandaro tidak mampu merampas
Fitriati, semakin ramai lagi siluman dikerah memburu lembaga hitam berbulu yang
bertubuh besar. Hinggalah Pak Ahdar melihat saya berdiri di tengah lingkaran
cahaya putih yang memancar panas. Terjerit-jerit lembaga hitam berbulu itu
kesakitan apabila mengelak terjahan cahaya putih yang memijar panas. Setiap
kali saya menghembus kelilingnya bergema dengan zikirullah hingga menggegar di
mana sahaja bumi tempat kakinya berpijak. Tatkala lembaga hitam itu bersembunyi
di sebalik batu jeram tiba-tiba seluruh batu di situ luruh menimpanya hingga
tertimbun habis.
Cepat-cepat
lembaga hitam berbulu itu melepaskan Fitriati daripada cengkamannya. Kemudian
tidak bertangguh dia berpaut kuat pada kaki Pak Ahdar. Disebabkan batu-batu
jeram itu menimpanya, Pak Ahdar juga terperangkap sama. Mereka tertimbus di bawah
runtuhan batu-batu yang menerjah macam guni beras tumpah. Hanya kepala Pak
Ahdar sahaja tersangkut di atas batu tupang tindih.
"Lepaskan
aku!" bentak Pak Ahdar tidak dapat menggerakkan badannya yang terhimpit di
celah runtuhan batu jeram.
"Bukankah
kau yang panggil aku, Ahdar?" ujar lembaga di bawah himpitan batu terketar-ketar
memaut kaki Pak Ahdar.
"Aku
tak pernah panggil kau!" sahut Pak Ahdar marah dengan muslihat lembaga
hitam berbulu itu.
"Bukankah
kau sudah menyeru tujuh petala langit?" beritahu lembaga itu ingatkan Pak
Ahdar mengenai amalan menteranya. "Tapi aku tak boleh lawan ustaz tu, tak
tahu aku apa ilmunya!" gerutunya tetap tidak mahu melepaskan kaki Pak
Ahdar sekalipun sama-sama tertimbus di bawah timbunan batu jeram yang runtuh.
Siluman
yang diperintah Mamak Bandaro menarik Pak Ahdar keluar dari runtuhan batu itu
puas terkial-kial hingga tergelincir kaki tatkala memijak batu-batu berkenaan.
Kalau mereka berkeras mahu menarik tangan Pak Ahdar semakin bertambah banyak
batu-batu jeram runtuh dari puncak bukit.
Siapa
pun tidak boleh bergerak lagi di kawasan jeram. Asal sahaja cuba gerakkan badan
nescaya semakin banyak batu di puncak bukit runtuh menimpa mereka. Di mana-mana
sahaja gema zikir terus menggoncang sehingga mereka semua tidak dapat lagi
bertahan.
"Suruh
keponakan kau hentikan zikir!" jerit lembaga hitam berbulu yang tertimbus
itu dari bawah timbunan batu dengan merentap-rentap kaki Pak Ahdar.
"Keponakan
ku sudah balik ke Semenanjung," beritahu Mamak Bandaro yang tercegat di
seberang jeram.
"Tapi,
kenapa suaranya masih lagi berzikir di sini," rungut Pak Ahdar mengeluh.
Dia tidak berani lagi meronta. Bimbang juga kalau batu- batu di puncak bukit
akan runtuh sekiranya terus meronta kuat.
"Aku
tak dengar pun," sahut Mamak Bandaro memerhatikan siluman yang diperintahnya
terkial-kial di bawah timbunan batu. Mereka juga tidak dapat lepaskan diri daripada
bahana asal sahaja bergerak mahu bebaskan Pak Ahdar.
Dalam
masa mereka ketakutan mendengar gema zikir yang terus mengancam kawasan jerarn,
tiba-tiba kelihatan Haji Salim berjalan di udara laksana meniti jambatan
sahaja. Dia menghulurkan tangan lantas menarik Pak Ahdar di atas.
Sekaligus
pula lembaga hitam berbulu itu menghulurkan tangan dari bawah timbunan
batu-batu. Dia cuba menyambar kaki Pak Ahdar yang terlepas daripada pautannya.
Belum sempat tangannya menghulur habis, batu-batu di puncak bukit luruh
menimpanya sampai dia tertimbus di situ.
Gema
zikir itu terlalu bingit menyebabkan mereka terpaksa memekap telinga. Siluman-siluman
yang terperangkap juga ketakutan dengan gema zikir yang menggegar. Mereka tergapai-gapal
tangan meminta Mamak Bandaro selamatkan, tetapi Mamak Bandaro juga tidak dapat
mahu mendekati. Kalau cuba digagahi juga nescaya dia akan terpelanting tidak
bertampan akibat disambar kilauan kilat yang memancar.
Tersengih-sengih
Haji Salim mengejek mereka yang terjerit-jerit ketakutan dengan gema zikir.
Mereka mendengar seolah-olah suara zikir saya berterusan tidak henti-henti di
kawasan jeram berkenaan.
"Salah
kau juga, Ahdar!" lembut sahaja suara Haji Salim memarahi Pak Ahdar.
"Kenapa dengan ilmu syaitan, kau mahu menguji ustaz?" tuturnya
mencemik muka disebabkan terlalu kesal dengan sikap Pak Ahdar.
Tertunduk
Pak Ahdar tidak berani menyahut apa-apa. Malu benar dia diejek guru agama yang
telah menyelamatkan dia daripada terperangkap di bawah timbunan batu-batu
jeram.
Sewaktu
Haji Salim berjalan di udara memimpin Pak Ahdar, segera Mamak Bandaro mengekorinya.
Apabila sampai di kawasan lapang yang berkabus, Haji Salim hilang bersama Pak
Ahdar. Tidak bertangguh pula Mamak Bandaro beranikan hati merempuh kabus putih
yang tergendeng laksana dinding itu.
Tersentak
Mamak Bandaro apabila merasakan dia terhumban jatuh ke bawah sebaik sahaja
menembusi kabus putih itu seolah-olah terjun ke tengah jurang. Sebaik sahaja
membuka mata terpisat-pisat Mamak Bandaro apabila dia sebenarnya sedang
terconggok menghadap Pak Ahdar yang sudah pun duduk dalam keadaan masih letih.
Tubuhnya
juga sudah boleh digerakkan sekalipun tenaganya lemah tidak bermaya. Lantas
Haji Salim meminta Hamsiah sediakan minuman biar tenaga Pak Ahdar pulih semula.
"Bagaimana,
Pak Maulana?" Agoes bertanya selepas keadaan Pak Ahdar pulih sedikit.
"Insya
Allah, dia akan sembuh," beritahu Haji Salim tidak mahu menerangkan
apa-apa lagi. Sekalipun didesak dia sekadar menggeleng kepala sahaja sambil
beristighfar berulang kali.
"Mari
ke rumah dulu, abang Aji," Mamak Bandaro bersungguh-sungguh mengajak Haji
Salim semasa dia mahu balik.
"Ah,
malam ni biar aku di rumah Ahdar saja," sahut Haji Salim perlahan dengan
tidak mengangkat mukanya. "Kalau ada masa lapang, aku akan ke rumah kau
pula," dia menambah sambil mengusap-usap tangan ke muka.
Mamak
Bandaro tidak mendesak sangat. Kalau Haji Salim sudi tidur di rumahnya memang
dia menerima dengan hati terbuka. Perkara Haji Salim mengambil keputusan mahu
tidur di rumah Pak Ahdar dia tidak boleh mendesak kerana orang tua itu
berkunjung ke Bukittinggi semata-mata mahu ziarahi Pak Ahdar.
Sebaik
sahaja sampai di rumah Agoes terus menelefon adiknya Sarifudin memberitahu Pak
Ahdar sudah mulai sembuh. Dia juga beritahu fasal Haji Salim yang datang
berkunjung membantu doakan sampai Pak Ahdar dapat dipulihkan.
"Apa,
kata kau, bang?" terkejut juga Sarifudin apabila diberitahu mengenai guru
agama itu ke Bukittinggi. Siapa pula yang hantarkan Haji Salim kerana waktu itu
kenderaan awam sudah tidak ada? Bukannya dekat Tanah Datar mahu ke Bukittinggi
hingga beratus-ratus kilometer itu.
"Pak
Maulana sekarang ada di rumah Pak Andar," jelas Agoes.
"His,
tak mungkin, Haji Salim baru selesai solat di madrasahnya sebentar tadi,"
ujar Sarifudin ketawa perlahan. "Kami sama-sama berjemaah di madrasah, dia
yang jadi imam," katanya tidak percaya dengan penjelasan abangnya kalau
Haji Salim ke Bukittinggi.
Sebaik
sahaja letakkan gagang telefon segera Agoes ke rumah Pak Ahdar semula. Hairan
juga dia dengan penjelasan Sarifudin sekiranya Haji Salim solat berjemaah di
madrasahnya di Tanah Datar, tatkala dia melihat guru agama itu duduk bersila
rapat di hadapan Pak Ahdar.
Ketika
Agoes bersama Mamak Bandaro sampai di rumah Pak Ahdar, Hamsiah beritahu
mengenai Haji Salim sudah ke Masjid Agung untuk solat. Dia mahu balik awal pagi
ke Tanah Datar.
"Tak
payah kita cari ke Masjid Agung," bisik Mamak Bandaro setelah dapat
mengagak hanya sia-sia sahaja mahu jejaki Haji Salim. Kita tak dapat ikut
perjalanan dia, yang pentingnya Ahdar sudah sembuh, cukup..." tuturnya
dalam keluhan pendek.
Semua
yang dialaminya itu dituliskan di dalam surat yang dikirimkannya kepada saya
oleh Mamak Bandaro. Dia juga menyampaikan salam Pak Ahdar yang kesal dengan
kejadian yang menimpa diri saya semasa di rumah Mamak Bandaro. Memang saya
sendiri tidak tahu bagaimana yang berlaku selepas Fitriati dapat dipulihkan.
Perkara
Haji Salim datang ke Bukittinggi dalam masa Sarifudin melihatnya solat
berjemaah di Tanah Datar, bukanlah aneh sangat. Sebab itulah Mamak Bandaro tidak
peduli sangat mengenai kunjungan Haji Salim pada malam dia jejak kaki ke rumah
Pak Ahdar.
Tahu
sangat saya mengenai kejadian Haji Subid di Melaka yang mahu dibawa oleh Inggeris
ke Singapura, tiba-tiba sahaja kapal tidak boleh bergerak dari pelabuhan.
Kalaulah Haji Subid tidak meninggal dunia dalam usianya terlalu muda, tentu
ramai orang dapat menatap wajahnya selepas negeri merdeka pun.
Memang
anak-anak murid Haji Subid gelisah apabila guru agama itu diperintahkan ke
Singapura. Mereka sudah mengagak tentu guru agama mereka akan dihukum berat
oleh Inggeris apabila dilarikan dari bumi Melaka. Tetapi setelah naik ke kapal,
tiba-tiba sahaja kapal tidak boleh bergerak meninggalkan pelabuhan.
Hanya
selepas Haji Subid diturunkan dari kapal tersebut, barulah mereka dapat belayar
ke Singapura. Tetapi Haji Subid yang dituduh menghasut pelajar-pelajar
madrasahnya melawan pemerintah Inggeris itu telah menemui Allah lebih awal,
tidak sempatlah dia melihat negerinya merdeka.
"Haji
Subid meninggal ketika usianya terlalu muda," keluh Sarim Cabai apabila
kenangkan guru agama tersebut. Sekalipun dia tidak sempat belajar dengan Haji
Subid, tetapi Sarim Cabai banyak mengetahui kisah guru agama itu daripada
kawan-kawannya.
"Buat
apa ceritakan Haji Subid pada ustaz," segera Alang Bumin yang datang
berkunjung ke rumah saya bersama Sarim Cabai itu menegur kawannya. "Ustaz
tu lagi banyak pengalaman dia dari kita, tentu dia dah tahu fasal Haji Subid
tu," ujarnya ingatkan Sarim Cabai.
Tetapi
saya memang tidak tahu mengenai Haji Subid itu sekiranya tidak diberitahu oleh
Sarim Cabai. Dia lama belajar di Melaka tentulah banyak mengetahui mengenai
Haji Subid itu. Lainlah Alang Bumin banyak rnengenali ramai guru-guru agama
tetapi sengaja mahu rahsiakan pengalamannya.
"Bukan
semua perkara saya tahu," jelas saya tersenyum mengerling Sarim Cabai.
Memang
Sarim Cabai tidak akan memberitahu apa-apa lagi sekiranya Alang Bumin sudah
menegah. Perkara Haji Subid di Melaka itu hanya berlaku beberapa tahun sahaja
sebelum merdeka. Tidak tahu sebabnya kenapa pemerintah Inggeris marah sangat
terhadapnya hingga memaksa sahaja ditutup madrasah kepunyaannya.
Tetapi
bukan Haji Subid di Melaka sahaja yang dipaksa menutup madrasah. Banyak lagi
guru agama dipaksa demikian, sekalipun tidaklah berterus terang.
Sebab
itu Sarim Cabai tidak bimbang apa-apa sekiranya dia terdesak menghadapi
kejadian-kejadian yang tidak diduganya. Sudah berkali-kali dia terserempak
dengan kejadian demikian, tetapi hatinya masih belum puas seolah-olah tidak
dapat menyelami peristiwa di sebaliknya.
Tatkala
dia berbual dengan Pak Hassan sambil minum di warung teh simpang jalan sedih
juga dengan keadaan kawannya itu yang tinggal bersendirian selepas kematian
isteri. Terpaksa Pak Hassan habiskan masa menjadi pengawal keselamatan di
kilang sepanjang malam kerana tidak mahu balik ke rumah.
Anak-anak
Pak Hasan juga tidak ambil peduli sangat dengan ayah mereka selepas kematian
Mak Bisah. Kesal juga Sarim Cabai tidak dapat ziarah semasa kematian isteri Pak
Hasan disebabkan dia ke Johor Bharu. Tetapi isterinya Rasiah memang ziarah juga
kerana sebelum berpindah ke Kuang mereka berjiran rapat.
Hanya ketika balik ke rumah Rasiah memberitahu
Sarim Cabai mengenai Pak Hasan yang meninggal dunia semasa dia menziarah ke
Kuang. Tetapi Sarim Cabai tersengih-sengih sahaja mengejek isterinya. Tentu
Rasiah mahu bergurau untuk memeranjatkan dia.
Semasa
minum di warung simpang jalan memang Pak Hasan yang duduk di sisinya. Tersenyum
sahaja Pak Hasan mencapai rokok yang dihulurkan dengan Sarim Cabai sendiri
pasangkan api. Bagaimana Rasiah boleh berbohong memberitahu mengenai Pak Hasan
yang meninggal dunia sejak tiga minggu dulu.
Sebelum
ke Johor Bharu memang Sarim Cabai sudah menziarah Mak Bisah yang terlantar
sakit. Puas juga Sarim Cabai memujuk supaya berubat ke hospital tetapi dia
berkeras tidak mahu ke mana-mana lagi. Biarlah rumahnya sahaja menentukan sama
ada penyakitnya sembuh atau pun tidak. Lagipun sakit lelah yang telah lama
dihidapinya itu tidak diharap langsung boleh sembuh lagi.
Memang
Pak Hasan mengadu tidak sampai hati mahu tinggalkan Mak Bisah terlantar di
rumah tatkala dia bekerja malam menjadi pengawal keselamatan kilang. Harapkan
anak-anak mereka semua jarang balik menjengah. Pak Hasan juga tidak peduli
sangat sama ada anak-anak mahu menjengah atau pun tidak. Biarlah dia berulang
sejam sekali dari tempat kerja untuk melihat keadaan isterinya yang sakit.
Tatkala
duduk berbual di warung berkenaan, memang Pak Hasan masih sedih ditinggalkan
oleh isterinya. Dia terlalu sepi hingga tidak tergamak mahu balik ke rumah.
Biarlah tidur sahaja di tempat kerja sepanjang malam.
"Selepas
seminggu Pak Hasan meninggal, baru isterinya meninggal," ujar Sarim Cabai
apabila kenangkan kejadian tersebut di depan saya.
Kalau
Sarim Cabai boleh terserempak Pak Hasan yang sudah meninggal dunia lantas minum
di warung sambil menghisap rokok, apa sangat dengan kejadian Haji Salim datang
menjengah Pak Ahdar sakit.
Saya
sendiri mengalami kejadian di Masjid Agung apabila pemuda yang berkudis seluruh
badan itu hilang dari pandangan, tiba-tiba menjelma Haji Salim di sisi saya.
Hanya selepas Haji Salim keluar rneninggalkan masjid, baru terasa sayu di hati
saya. Kenapa saya bersusah payah mencari sanak saudara yang jauh, sedangkan
sanak saudara di sini pun masih ramai lagi yang belum dapat ditemui.
Memang
apa sahaja ujian Allah Subhanahu wata'ala itu membawa rahmat yang tidak
terhingga besarnya. Terlalu sayu hati saya apabila kenangkan kejadian di Masjid
Agung tatkala ditinggalkan oleh bayangan Haji Salim.
No comments:
Post a Comment