Jalan ke Kampung Hujung Rintis sudah diturap dengan minyak
tar. kereta sudah boleh masuk hingga ke halaman rumah Uda Jali. Tidak sama
dengan lima belas tahun dahulu, terpaksa melalui jalan tanah merah yang
berdebu. Kemudian terpaksa pula rnenunggu bot penambang di Bagan Datoh sebelum
dapat menyeberangi sungai ke Kota Setia.
Bot yang menyeberang dari Bagan Datoh pula hanya dua kali
sahaja dalam sehari mengangkut penumpang. Apabila tiba di Karnpung Hujung
Rintis atau Kampung Kota Setia, terpaksa pula berjalan kaki sejauh Iima batu
melalui jalan tanah merah yang berdebu. Lainlah kalau diberitahu terlebih
dahulu kepada Uda Jali, dia boleh menunggu dengan motosikal penambang di tebing
sungai. Tetapi bukan mudah mahu menghubungi Uda Jali sekalipun dikirim surat.
Belum tentu lagi surat yang dikirimkan kepadanya boleh sampai ke tangannya
dalam tempoh seminggu dua. Hanya seminggu sekali sahaja bot penambang membawa
surat-surat untuk penduduk-penduduk di situ."
Lima belas tahun dulu, kampung ni siapa pun tak mau
jengah, ustaz," ujar Uda Jali menyapu-nyapu mulut selepas makan malam.
"Ustaz pun bukannya ingatkan kami," sampuk Nyah
Binah isteri Uda Jali mengerling suaminya tengah mencapai rokok daun.
Selepas menggulung rokok daun itu sampai sebesar ibu jari
lantas dihulurkan kepada saya. Memang dia tahu saya akan minta dia gulungkan
rokok daun sebesar ibu jari kalau jejakkan kaki ke rumahnya.
Terasa seronok menghisap rokok daun yang digulung Uda
Jali kerana ternbakaunya digaul dengan cengkih dan kelembak. Tetapi saya
tidaklah ketagih sangat mahu menghisap rokok. Hanya sekali-sekala apabila
datang ke Kampung Kota Setia saya sengaja mengusik Uda Jali menyuruhnya gulungkan
rokok daun.
"Mintalah buat bekal," sengaja isteri saya menyindir
apabila melihat saya mula cucuhkan api ke hujung rokok.
"Hah, kalau
nak buat bekal, saya gulungkan, ustaz," ujar Uda Jali menolak celapah
rokok jauh daripada kakinya. "Daun nipah di sini senang dapat, bukannya
nak kena beli," tersengih-sengih dia menam-pakkan gigi depannya yang
rongak.
Saya tidak menyahut apa-apa. Perkara minta Uda Jali
gulungkan rokok tidak sama dengan ketagih sampai tidak dapat lelapkan mata.
Kalau saya hisap rokok daun itupun hanya untuk seronok-seronok sahaja bersama
Uda Jali.
"Sekarang kampung ni dah membangun," jelas saya
sengaja mengubah perbualan. "Tak macam dulu, kena naik bot kalau nak ke
sini," rokok daun sebesar ibu jari itu masih juga saya hisap.
"Itulah kemajuan namanya, ustaz," sahut Uda
Jali mengisar punggung lantas berundur menyandarkan belakang ke dinding.
"Dulu, di
sini tempat mendekut burung ruak-ruak," celah Nyah Binah apabila kenangkan
suaminya gemar mendekut burung ruak-ruak ketika kawasan itu masih lagi tanah
lapang ditumbuhi lalang.
Belum ada pokok-pokok kelapa ditanam hingga bercantum
daun. Hanya padang lalang sahaja dengan beberapa buah rumah tersergam. Tatkala
malam tidak ada lampu elektrik memancar kecuali api pelita meliuk-liuk ditiup
angin. Apalah yang dapat mereka buat selain daripada terbaring di tengah rumah
selepas makan malam.
Memang terasa juga bosan pada Uda Jali kalau saban malam
terbaring tengadah bumbung dengan kepala beralas lengan. Lebih baik dia turun
ke tengah padang lalang mengajak jiran mendekut burung ruak-ruak. Cuma Anjang
Seman satu-satunya jiran dia yang dekat kalau mahu diajak mendekut.
Anjang Seman akan
merentang jaring sebaik sahaja Uda Jali meniup buluh pendekut. Tidak sampai
sepuluh minit buluh pendekut ditiup, burung ruak-ruak tentu menyahut langsing
di udara. Sekaligus beberapa ekor burung ruak-ruak akan tersangkut pada jaring
menggelepar kepak. Cukup dua puluh ekor masuk ke jaring, Uda Jali akan berhenti
daripada meniup buluh pendekut.
Dia tidak akan mendekut lagi kalau sudah cukup untuk dimasak
gulai. Setiap malam mereka berdua akan keluar ke tengah padang lalang
semata-mata untuk mendekut burung cukup sekali masak gulai sahaja. Nyah Binah
sendiri terasa jelak pula makan burung ruak-ruak disebabkan setiap malam
suaminya membawa balik burung yang didekut. Andak Meliah, isteri Anjang Sernan
tercium bau hanyir burung itu pun terasa bagaikan loya tekak mahu muntah.
"Kita boleh buat duit, Jali," bisik Anjang
Seman duduk berjuntai kaki di pelantar rumah Uda Jali. "Ah Leong di Bagan
Datoh tu sanggup beli berapa banyak pun kita dapat," tegasnya memberi
harapan.
"Buat apa dia beli burung tu?" hairan juga Uda
Jali apabila Anjang Seman memujuknya supaya mendekut sampai santak tengah
malam.
"Mana aku tahu, boleh jadi dia nak berniagalah
tu," ujar Ajang Seman tidak peduli sangat tujuan Ah Leong mahu membeli
burung-burung yang didekut. Memang jauh di sudut hatinya dia sudah dapat bayangkan
betapa mudahnya dapat duit sekiranya Ah Leong mahu membeli burung-burung yang
didekut.
Bukan mudah mahu mencari sara hidup tatkala tanah di situ
baru diteroka. Ubi kayu dan pisang yang ditanam lambat mengeluarkan hasil.
Terpaksa pula mereka turun ke sungai menjaring udang atau terus menghilir ke
laut menangkap ikan.
Itupun belum tentu dapat banyak tangkapan. Mereka bukan
ada memiliki bot sendiri mahu meranduk ke tengah ombak laut. Anjang Seman pun
takat menumpang sampan kawan-kawan kalau mahu menjaring udang di tengah arus
sungai. Manalah mencukupi pendapatan mereka kalau sekadar bergantung kepada
kerja di laut.
"Ah Leong nak beli tu, kira macam mana?" Uda
Jali mula menunjukkan minat dengan cadangan Anjang Seman itu.
"Seekor, lima puluh sen," beritahu Anjang Seman
mengunyah pangkal rokok daun di celah bibirnya. Berkerut dahi Uda Jali apabila
diberitahu demikian. Alangkah beruntungnya dia kalau satu malam sampai dua
ratus ekor burung ruak-ruak terperangkap di jaring! Sudah tentu mereka dapat
seratus ringgit dengan mudah. Apabila dibahagi dua, sudah tentu masing-masing
dapat lima puluh ringgit.
Ah, satu malam lima puluh ringgit, tentu mereka tidak
perlu bersusah payah turun ke laut! Kalau ke laut pun mahu dapat-kan sepuluh
ringgit macam memercik keringat darah, belum tentu lagi dapat menggenggam duit.
Tersenyum Anjang Seman apabila Uda Jali bersetuju dengan
cadangannya. Dia tahu cuma Uda Jali satu-satunya yang berpengalaman mendekut
ruak-ruak. Kemahiran mendekut itu memang diwarisi oleh Uda Jali daripada ayahnya
sendiri. Tahu sangat Anjang Seman, asal sahaja Uda Jali sudah meniup buluh
pendekut, langit kelihatan hitam dengan burung ruak-ruak berterbangan di tengah
malam sepi itu.
"Macam mana Ah Leong tahu kita mendekut tiap-tiap
malam?" ragu-ragu juga Uda Jali kerana tidak mahu terburu-buru sangat
untuk mencari wang dengan mendekut burung ruak-ruak.
"Tentu ada orang yang beritahu," ujar Anjang
Seman mencebek bibir. Perkara siapa beritahu kepada taukeh Ah Leong tidak
penting kepadanya, asal sahaja taukeh Cina itu sanggup membeli. Tentu taukeh Ah
Leong juga kagum dengan kemampuannya boleh mendekut burung ruak-ruak sampai
penuh sendat satu raga.
Sebaik sahaja keputusan dibuat untuk mendekut burung ruak-ruak
itu, awal lagi Uda Jali sudah bersiap. Marah juga Nyah Binah apabila diberitahu
Uda Jali mahu jual burung ruak-ruak ke Bagan Datoh. Sudah berkali-kali ayah
mertuanya ingatkan Uda Jali, supaya kepandaian demikian jangan digunakan untuk
mencari wang.
Tetapi keputusan Uda Jali berkeras mahu turutkan kemahuan
Anjang Seman itu tidak dapat dihalang lagi. Dia tidak peduli apa pun rungutan
Nyah Binah di dapur. Biarlah isterinya membebel becok menuduh dia ikut telunjuk
Anjang Seman. Segala keputusan sudah tidak dapat berganjak lagi di hatinya.
Belum pun masuk jam 9.00 malam, Anjang Seman sudah jejak
kaki di tangga rumah Uda Jali. Dia membawa lampu picit ubat sambung enarn, biar
terang benderang di tengah kegelapan malam apabila disuluh. Tersengih-sengih juga
dia tatkala disindir Nyah Binah sebaik sahaja letak punggung di bendul serambi.
"Eloklah tu, boleh cepat kaya," sengaja Nyah
Binah mengejek untuk melepaskan geram yang mendongkol di hati.
"Kalau tak kaya, kayap..." sahut Anjang Seman
bergurau. Sengaja dia melayani perempuan itu bergurau, biar kemarahan Nyah
Binah tidak berpanjangan. Manalah tahu Nyah Binah akan menuduhnya sengaja
mempengaruhi Uda Jali mendekut burung ruak-ruak semata-mata untuk berjual.
Perkara memutuskan sama ada akan mendekut atau pun tidak hanya terletak pada
tangan Uda Jali.
Siapa pun tidak boleh menghalang sekiranya Uda Jali sudah
membuat keputusan. Dia satu-satunya yang mampu mendekut sampai burung ruak-ruak
menyerbu tidak bertangguh. Siapa dapat tandingi Uda Jali mendekut di kampung
itu, yang sudah diwarisi daripada ayahnya sejak turun temurun?
"Bolehlah jadi taukeh burung ruak-ruak," tutur
Nyah Binah masih mahu menyakiti hati suaminya dan Anjang Seman.
"Bukan taukeh, tapi saudagar burung," sampuk
Uda Jali lantas ketawa memanjang.
Marah juga Nyah Binah diejek demikian. Semakin diluahkan
perasaan geram, semakin galak pula Uda Jali dan Anjang Seman mengusik dia.
Kalau dilayan juga tentu Uda Jali terus menerus akan menyakiti hatinya. Biarlah
suaminya itu cepat turun ke tengah padang luas bersama Anjang Seman.
Manalah tahu rezeki mereka akan bergolek pula tiba.
Perkara pantang larang mendekut tentu sudah banyak diketahui dan dipelajari
oleh Uda Jali daripada ayahnya. Boleh jadi Uda Jali tahu bagaimana mahu
menghindarkan geruh sekiranya melanggar pantang larang tersebut.
Sebaik sahaja Uda Jali dan Anjang Seman meninggalkan
rumah terasa juga berdebar-debar hati Nyah Binah. Bimbang benar dia kalau-kalau
suaminya diganggu bencana geruh yang datang tidak diduga. Menjaring burung ruak-ruak
yang didekut tidak sama dengan menjerat burung itu di tepi sawah. Takat
memasang jerat di belukar rumput mensiang memang tidak akan diganggu apa-apa
pun.
Mendekut tengah malam diserkup kegelapan mesti memerlukan
petua yang cukup. Burung ruak-ruak yang didekut itu datang dari tengah hutan
rimba yang dijaga puaka penunggunya. Samalah macam memanggil ayam di tengah
reban orang. Kalau tuannya marah, mesti dipujuk supaya hatinya boleh dibawa
berlembut. Bukan boleh ikut kemahuan hati sendiri.
Sesiapa pun tidak, akan marah kalau memanggil ayam di
dalam reban kalau sekadar untuk disembelih buat lauk dihidangkan. Tetapi, kalau
diambil banyak sampai dijual dapatkan laba, tentu tuan punya reban marah juga.
Diajak berunding macam mana pun, hatinya tidak akan mudah lembut.
Hingga dinihari Nyah Binah menunggu, Uda Jali dan Anjang
Seman tidak juga balik menjengah muka. Semakin resah dia sampai tidak dapat
lelapkan mata. Ketika dia mula terkuap-kuap mahu rebahkan kepala ke bantal,
tiba-tiba Nyah Binah terkejut apabila pintunya diketuk kuat. Cepat-cepat dia
bingkas bangun menerpa ke serambi.
Bukan Uda Jali yang tercegat di tengah halaman mendongak
ke rumah, tetapi seorang lelaki kurus yang berjalan tempang dengan pakaian
lusuh. Dia memegang pelita ayan yang hampir padam apinya akibat ditiup angin
malam.
"Marilah cepat," lelaki itu menggamit sambil
mengesat matanya dengan pangkal bahu.
"Ke mana?" soal Nyah Binah teragak-agak
disebabkan anaknya sedang nyenyak tidur. Masakan dia boleh biarkan anaknya
tidur di tengah rumah, semata-mata dipanggil oleh lelaki kurus berkenaan.
"Marilah," desak lelaki bertubuh kurus itu
cemas, menyebabkan hati Nyah Binah mula mengesyaki kejadian buruk berlaku
terhadap diri Uda Jali.
Manalah tahu Uda Jali diganggu geruh bencana setelah melanggar
pantang larang mendekut di tengah malam. Memang dia tahu benar sekiranya
melanggar pantang larang mendekut burung ruak-ruak. Kasan Panau sepupunya pun
pernah terkejang tidak sedar diri sampai seminggu apabila diserbu lembaga botak
dari udara tatkala mendekut tengah malam. Jangan kata diserbu lembaga botak itu,
bahkan terkena kibasan anginnya pun sudah cukup menanggung derita geruh
bencananya.
"Kamu ni siapa?" Nyah Binah memberanikan hati
menyoalnya dalam keadaan serba salah.
"Jangan banyak soal, marilah cepat," gerutu
lelaki bertubuh kurus itu segera berpusing meninggalkan halaman rumah.
"Fasal Uda Jali ke?" Nyah Binah mendesak.
Lelaki bertubuh kurus itu tidak menyahut. Dia melangkah
perlahan meninggalkan halaman rumah. Dalam keadaan serba salah itu Nyah Binah
cepat-cepat merapatkan pintu dari luar. Biarlah anaknya tinggal sendirian. Dia
tidak perlu bimbang kerana anaknya tidak akan terjaga sewaktu ditinggalkan itu.
Dia mesti ikut lelaki kurus itu ke tempat Uda Jali mendekut. Manalah tahu bencana
menimpa suaminya bersama Anjang Seman setelah melanggar pantang.
Sebaik meninggalkan simpang rurnahnya menghala kekawasan
padang lalang, Nyah Binah terdengar bunyi tiupan buluh pendekut Uda Jali melangsing
di tengah kesepian malam. Dia terus mengikut lelaki bertubuh kurus berjalan
tempang itu meranduk padang lalang yang luas. Semakin lama semakin jauh hingga
dia tidak cam lagi di mana lorong yang ditempuhinya.
Bunyi tiupan buluh pendekut Uda Jali kian sayup di udara.
Nyah Binah bertambah keliru kerana bunyi tiupan buluh pendekut itu
berligar-ligar tidak menentu. Apabila sampai di satu kawasan tanah lapang
berpagar dengan buluh dianyam, Nyah Binah terus masuk ke dalam pagar. Sebaik
sahaja dia jejak kaki di situ tiba-tiba sahaja lelaki kurus tempang itu hilang
tidak kelihatan lagi. Segera Nyah Binah berlari mengejar api pelita ayan yang
berombak-ombak di tengah kegelapan malam itu, tetapi api pelita itu sekaligus
padam ditiup angin.
"Hoi, tunggu!" laung Nyah Binah mula
diselubungi rasa bimbang.
Tidak ada siapa pun yang menyahut. Lelaki bertubuh kurus
itu sudah menghilang entah ke mana. Ketika ini dia melihat beribu-ribu ekor burung
ruak-ruak berterbangan. Sebahagiannya mengekas di tanah laksana ayam peliharaan
bermain di keliling halaman.
Terlalu jinak burung ruak-ruak itu hingga tidak menyisih
pun tatkala Nyah Binah melintas. Tetapi Nyah Binah tidak berani menangkapnya,
sekalipun burung ruak-ruak itu makan di hujung kaki.
Sekali sekala terdengar juga bunyi tiupan buluh pendekut
sayup-sayup di udara. Burung-burung yang mengekas di tanah tiba-tiba sahaja
terlangah-langah apabila mendengar bunyi tiupan buluh pendekut itu. Kemudian
terbang berpapasan ke udara menyerbu ke arah bunyi tiupan buluh pendekut yang
sayup-sayup beralun.
"Hoi, tunggu, ke mana kamu bawa aku ni?"
semakin gementar Nyah Binah apabila merasakan dirinya sudah jauh terasing di
situ. Kawasan itu memang tidak pernah ditempuhnya. Tentu dia sudah tersesat
dibawa lelaki kurus berjalan tempang itu.
"Cucu cari siapa ni?" terkejut Nyah Binah apabila
tiba-tiba ditegur dari arah belakang. Sewaktu dia berpaling dilihatnya seorang
perempuan tua memegang tongkat kayu bengkang-bengkok berdiri tidak jauh
darinya.
"Ada orang jemput saya di rumah tadi," beritahu
Nyah Binah memberanikan hatinya. "Orang tu kurus, berjalan tempang, dia
nak beritahu fasal suami saya," jelasnya ikhlas.
Kemudian dia merenung tepat muka perempuan tua itu dalam
kesamaran malam. "Kenapa dengan suami cucu tu?" tersengih-sengih
perempuan itu membiarkan angin malam meniup rambutnya hingga mengerbang tidak
me-nentu. Jelas ubannya memutih jatuh terurai sampai ke lutut.
"Entahlah, saya pun tak tahu," sahut Nyah Binah
kesal kerana terburu-buru sangat
mempercayai lelaki kurus itu.
Perempuan tua itu menggeleng-geleng kepala. Setiap kali
dia bergerak, Nyah Binah nampak kepala perempuan itu bagaikan tertanggal daripada
tubuh. Tangannya yang memegang tongkat bengkang-bengkok itu seperti tertanggal
juga hingga paras siku.
"Ke mana perginya suami cucu malam-malam buta macam
ni?" terbatuk-batuk perempuan itu menahan kesejukan angin malam yang
berhembus dingin.
"Mendekut burung ruak-ruak," beritahu Nyah
Binah berterus terang. "Nenek ni siapa, apa nenek buat di sini?" Nyah
Binah cekalkan hati mahu menguji hati perempuan tua yang tercegat tidak jauh
dari sisinya itu.
"Nenek ni, Onyang Silum," beritahu perempuan
tua itu ramah. "Nenek yang jaga semua ternak di sini," jelasnya
menuding ke arah burung ruak-ruak yang banyak berkeliaran di kawasan berkenaan.
Mengeluh panjang Nyah Binah setelah diberitahu demikian.
Dia dapat mengagak dirinya sudah terpedaya hingga jejak kaki ke kawasan itu.
Tetapi dia tidak takut apa-apa lagi ketika itu. Biarlah Onyang Silum
memerangkapnya, dia tidak akan undur lagi. Nyah Binah tahu dia tidak bersalah
apa-apa!
"Nenek nak balas dendam ke?" sengaja Nyah Binah
menyindirnya dengan menggertap bibir kerana terlalu geram diperdaya demikian.
Memang hatinya tiba-tiba sahaja menjadi berani menentang perempuan tua tersebut.
Onyang Silum tidak menjawab sebaliknya ketawa terkekeh-kekeh hingga tunggul
giginya kelihatan berceranggah macam ranjau buluh di dalam lubang perangkap
binatang liar. Gerun juga hati Nyah Binah melihat wajah Onyang Silum yang
semakin hodoh di dalam kesamaran malam.
Kemudian perempuan tua itu menggamit Nyah Binah ikut
masuk ke satu kawasan kolam di hadapan sebuah pondok buruk. Terkejut Nyah Binah
apabila melihat atap pondok itu seolah-olah rambut yang berjurai dari bumbung
hingga ke cucur atap. Tiang dan gelegarnya seperti tulang manusia dengan
dindingnya diperbuat daripada tengkorak kepala disusun.
Di seberang kolam itu Nyah Binah nampak Uda Jali dan
Anjang Seman terikat pada rumpun buluh yang dihinggapi beribu-ribu ekor burung
ruak-ruak. Sebaik sampai ke tepi kolam Onyang Silum tiba-tiba terkejut tatkala
melihat ayah Uda Jali tercegat di situ melepaskan ikatan tersebut.
Marah benar Onyang
Silum disebabkan Lebai Usin berani jejak kaki ke situ. Tidak bertangguh lagi
dia menepuk tangan menyebabkan beribu-ribu ekor burung ruak-ruak menyerbu ke
arah Lebai Usin. Belum pun sempat burung ruak-ruak itu menerpa semuanya
terhumban menggelepar di tanah.
"Oh, kau nak tunjuk berani!" bentak Lebai Usin
menghentak tumitnya ke bumi lantas membacakan:
Hazihi jahanamullati kuntum
tu-'adun.
Tiba-tiba sahaja kepala Onyang Silum terpelanting ke
tanah. Hanya tubuhnya sahaja berjalan terhuyung-hayang mencapai kepalanya yang
jatuh. Cepat-cepat diletakkan semula kepalanya ke leher. Sebaik sahaja
bercantum dia ketawa berdekah-dekah mengejek Lebai Usin.
Apabila Lebai Usin membacakan surah al-Ikhlas sebelas
kali, sekaligus kilat memancar menyambar tubuh Onyang Silum. Dia jatuh
tersembam dengan sebahagian tubuhnya melecur bagaikan disambar api marak
menyala. Menggelepar-gelepar dia di situ laksana burung ruak-ruak disembelih
sampai merengek-rengek ke-sakitan.
"Kau kejam, Lebai Usin!" gerutu Onyang Silum
tertonggeng menahan kesakitan akibat disambar kilat. "Anak kau curi
ternakan aku tak minta izin," tuturnya terputus-putus suara,
"Buat apa minta izin dengan syaitan?" jerkah
Lebai Usin marah dengan tidak menyedari menantunya tercegat di sisi Onyang
Silum.
"Burung ini ternakan kami," sahut Onyang Silum
terkial-kial mahu bangun sekalipun sebahagian tubuhnya melecur hangus.
"Semuanya kepunyaan Allah!" belas Lebai Usin
lantas membacakan al-Fatihah tiga kali dan dihembuskan ke arah Onyang Silum.
Terhumban tubuh yang tidak berkepala itu seperti kapas
melayang ditiup angin. Hanya jeritan Onyang Silum yang halus dalam rintihan memanjang
sahaja sayup-sayup kedengaran. Apabila tubuh itu jatuh terhempas ke bumi,
semuanya terbakar hingga menjadi debu.
Ketika ini Nyah Binah melaung memanggil ayah mertuanya
tetapi Lebai Usin langsung tidak mendengarnya. Puas Nyah Binah melambai-lambai
tangan namun tidak siapa pun yang menghiraukan dia. Malah Uda Jali dan Anjng
Seman juga tidak berpaling ke arahnya, sekalipun dia tercegat di tepi kolam
tersebut setentang dengan mereka.
"Ayah tunggu, Nyah di sini!" laungnya berulang
kali, tetapi Lebai Usin memang tidak nampak Nyah Binah di situ. Dia terus
berjalan balik diikuti oleh Uda Jali dan Anjang Seman.
Sebaik sahaja mereka bertiga meninggalkan kawasan yang
berpagar dengan buluh dianyam itu, Nyah Binah mula merasa takut. Dia cuba
menerpa mahu menyeberangi kolam, tetapi serta merta langkahnya terkaku apabila
melihat terlalu banyak lintah berkeliaran di tengah air. Lintah-lintah itu
mampu menghisap darah seekor burung ruak-ruak hanya dalam masa beberapa saat
sahaja sampai mati terkejang.
Nyah Binah cuba pula mencari jalan keluar di lorong yang
lain, tetapi tidak kelihatan pun lorong yang boleh dilalui. Pagar buluh yang
dianyam kukuh memang tidak boleh dirempuh langsung kalau mahu membolos di situ.
Hairan juga Nyah Binah kenapa ayah mertuanya tidak
mendengar langsung jeritan dia. Jarak di antara mereka di seberang kolam itu
bukanlah jauh sangat. Dia sendiri boleh mendengar dengan jelas suara Lebai Usin
membentak memarahi Onyang Silum. Masakan suaranya yang lebih nyaring daripada
bentak ayah mertuanya tidak boleh didengar langsung dari seberang kolam itu.
"Orang dah
tak sukakan kau, buat apa dilaung lagi?" tiba-tiba lelaki bertubuh kurus
berjalan tempang yang hilang sebelum itu muncul semula menegur.
"Kamu ni sebenarnya, siapa?" marah benar Nyah
Binah dipermainkan oleh lelaki berkenaan.
"Ah, aku ni orang hina," beritahu lelaki
bertubuh kurus itu merendah diri. "Aku hanya jadi gembala ternakan ni
saja," katanya menunjukkan sikap ramah dan baik hati.
"Habis, kamu nak apa daripada aku?" bentak Nyah
Binah melepaskan geram.
"Masuklah ke pondok ni dulu," pelawa lelaki itu
perlahan bagaikan memujuk. "Apabila Jali datang nanti, kamu
baliklah," dia memberi jaminan.
"Tak payah!" ujar Nyah Binah berkeras.
"Kamu tunjukkan saja jalan balik pada aku," tegasnya sambil mendengus
marah.
"Aku sendiri pun tak tahu jalan balik,"
beritahu lelaki kurus itu lantas masuk ke pondok beratapkan rambut panjang
berjurai itu.
Terasa juga takut Nyah Binah ditinggalkan bersendirian
dalam gelap gelita demikian. Sayup-sayup dia mendengar bunyi kuang jauh di
rimba. Sekali sekala ngauman harimau juga bergaung di tengah malam itu. Memang
menggerunkan dia kalau terus juga berdiri di luar pondok tersebut.
Terpaksa juga Nyah Binah masuk ke dalam pondok berkenaan.
Sebaik sahaja dia jejakkan kaki ke dalam pondok, terasa lantai yang dipijaknya
lembik seperti daging hidup. Lelaki bertubuh kurus itu pula duduk bersila di
tengah-tengah pondok menghadap bekas pembakar kemenyan. Dia melenggok-lenggokkan
badan seperti beratib. Perlahan-lahan Nyah Binah duduk bertimpuh. Disebabkan
was-was dengan keadaan lantai itu, lantas Nyah Binah menggores lantai yang
lembik seperti daging hidup dengan hujung kukunya. Tiba-tiba lantai itu
berdarah hingga bergerak-gerak seperti kesakitan. Terkejut Nyah Binah
menyebabkan dia bingkas bangun mahu lari ke luar.
"Jangan sakiti lantai tu," gerutu lelaki
bertubuh kurus itu mengingatkan lantas menyuruh Nyah Binah duduk semula.
"Kenapa?" soal Nyah Binah keras masih tercegat
di muka pintu. Lelaki itu tidak menyahut, tetapi Nyah Binah melihat dada lelaki
itu berdarah seperti dicakar kuat dengan kuku. Perlahan-lahan lelaki berkenaan
mengesat darah yang mengalir di dadanya sambil mengeluh pendek.
"Kenapa kamu ni banyak soal jawab?" lelaki bertubuh
kurus itu mula bersuara keras. Dia tidak lagi lemah lembut memujuk, tetapi
berubah menjadi garang. Matanya juga berubah kehijau-hijauan dengan sinarnya
seperti kaca disilau cahaya matahari.
Kecut juga hati Nyah Binah dengan sikap lelaki berkenaan.
Bimbang juga dia kalau lelaki itu bertindak ganas melepaskan dendamnya yang
membara. Apalagi dalam saat hanya mereka berdua sahaja di tengah pondok
berkenaan. Siapa pun tidak akan datang membantu sekiranya dia berkeras sangat
dengan lelaki itu.
Tiba-tiba sahaja Nyah Binah teringat mahu membaca surah
al-Ikhlas sebanyak-banyaknya di dalam hati.
"Hah, jangan nak tunjuk pandai, Binah!" bentak
lelaki itu seolah-olah tahu apa yang dibaca oleh Nyah Binah.
Dia menampar kedua-dua tangannya, tiba-tiba sahaja terjelma
rantai daripada rekahan lantai terus membelit kaki dan tangan Nyah Binah.
Terkaku Nyah Binah tidak dapat mengelak apa-apa.
Setiap kali dia cuba meronta untuk melepaskan diri,
cerutan rantai itu terasa semakin kuat. Lelaki bertubuh kurus itu masih menghadap
bekas pembakar kemenyan, sambil melenggok-lenggokkan tubuhnya yang berpeluh ke
kiri dan ke kanan.
Asap berbau kemenyan memenuhi ruang pondok tersebut
menyebabkan Nyah Binah terbatuk-batuk. Kerengkungnya mula pedih akibat menahan
batuk yang semakin galak.
Dalam keadaan demikianlah Nyah Binah terdengar suara azan
sayup-sayup dari jauh. Sekaligus pondok tersebut bergoncang kuat bagaikan
dirempuh sekawan gajah. Lelaki bertubuh kurus itu memejamkan mata menghadap
bekas pembakar kemenyan. Lenggok tubuhnya semakin galak sekalipun goncangan
pondok itu mengancam dirinya.
Tiba-tiba kulit tubuh lelaki itu pecah menyebabkan
urat-uratnya putus hingga terjuntai-juntai ke luar. Setiap kali urat-uratnya
putus, dari celah-celah lantai itu tersembul tali temali seperti urat terputus
direntap kuat. Darah memancut daripada saluran tali temali itu hingga berbau
hanyir meloyakan.
Sekaligus pula Nyah Binah termuntah-muntah disebabkan
tidak dapat menahan rasa memual di dalam perut akibat bau hanyir darah
berkenaan. Memulas-mulas benar perut Nyah Binah bagaikan dipintal usus. Gegaran
pondok itu tidak juga berhenti, sekalipun azan tidak lagi kedengaran bergema.
Kemudian dia mendengar suara Lebai Usin sayup-sayup
membacakan:
Innahu
min Sulaiman wa innahu Bismil-lahhir Rahmannir Rahim.
Tiba-tiba tengkuk lelaki bertubuh kurus itu dicengkam
dengan jari sebesar batang kelapa. "Berani kau larikan Nyah Binah
ye?" memang dapat didengar oleh Nyah Binah suara saya bergema di udara,
sekali-pun dia tidak melihat saya di mana-mana.
"Ampun, ustaz..." rayu lelaki kurus itu
terkial-kial akibat tengkuknya dicengkam kuat. "Aku hanya ikut
perintah," beritahunya mengharapkan belas kasihan supaya dilepaskan
daripada ancaman itu.
"Perintah siapa?" suara Lebai Usin pula keras
membentak. "Ah, awak berani kerana ustaz ni ada, lebai!" sempat juga
lelaki bertubuh kurus itu mengejek, tetapi dia tiba-tiba muntah disebabkan
tengkuknya dijinjing hingga cecah ke atap.
"Kami berani kerana berlindung kepada Allah,"
suara saya bergema seperti guruh didengar oleh Nyah Binah.
Lelaki bertubuh kurus itu ketakutan tidak menyahut
apa-apa. Hanya matanya sahaja terkebil-kebil mengerling Nyah Binah.
"Lepaskan Nyah Binah!" ancaman suara saya terus menggegar di
sekeliling pondok berkenaan hingga tubuh lelaki itu bergoncang kuat sebaik
sahaja dilimparkan oleh jari sebesar batang kelapa.
"Macam mana aku nak lepaskan?" lelaki bertubuh
kurus itu berdalih.
"Kenapa?" bentak saya membingitkan telinganya.
"Tadi, ustaz cengkam tengkuk aku!" dia terus
berdalih sambil menggeliat-geliat menyembam muka ke lantai.
Nyah Binah nampak tubuh lelaki itu semakin lembik dengan
urat-urat habis terputus. Kemudian dia mendengar lelaki kurus itu
menjerit-jerit apabila saya membacakan:
Huwa
auwalu wal akhiru wal zahiru wal batinu wahuwa kulli syai-in qadir.
Sedikit demi sedikit tubuh lelaki kurus itu cair seperti
lilin terbakar ke api. Raungnya meminta tolong bergema kuat hingga seluruh
dagingnya gugur berlonggok di lantai. Tulang temulangnya jongkang kalang di
tengah longgokan daging yang reput cair.
"Tolonglah ustaz," bergerak-gerak longgokan
daging dan tulang temulang lelaki berkenaan. "Jangan seksa aku macam
ni," rintihnya bagaikan masih boleh bertahan sekalipun dagingnya cair.
Tetapi Nyah Binah tidak lagi mendengar suara saya,
sebaliknya dia mendengar gema zikir di setiap penjuru pondok. Semua bahagian
pondok usang itu menjadi reput apabila zikirullah terus menerus bergema
seolah-olah menusuk ke jantung lelaki kurus yang hanya tinggal longgokan daging
dan tulang temulang yang bergerak-gerak di lantai. Sebaik sahaja semua bahagian
pondok itu reput, Nyah Binah terasa dirinya terjerlus jatuh ke bawah melalui
lantai yang tidak dapat bertahan lagi. Ketika ini Nyah Binah merasa
melayang-layang tidak menentu hinggalah dia mendengar suara Uda Jali
memanggilnya supaya bangun.
Tatkala dia membuka mata Nyah Binah mendapati dirinya
sedang dikelilingi jiran-jiran. Saya dan Lebai Usin terconggok bersila rapat di
sisinya. Memang Nyah Binah kelihatan letih dan tidak bermaya.
"Kenapa ramai-ramai ni?" terketar-ketar dia
mahu bangun kerana hairan dikelilingi jiran-jiran.
"Alhamdulillah, dia dah sedar," cepat-cepat
Lebai Usin mengusap kepala menantunya setelah Nyah Binah mula menggerakkan
badan semenjak hampir sebulan terkejang tidak sedarkan diri.
Ketika Uda Jali bersama Anjang Seman dapat seguni burung
ruak-ruak yang didekut, memang dia sudah mengira-ngira untung sekiranya dijual
kepada taukeh Ah Leong.
Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, Uda Jali menjadi
hampa apabila melihat Nyah Binah merayau-rayau di kebun ubi di hadapan rumah
sambil melambai-lambai tangan. Dia merungut-rungut tidak tentu biji butir.
Cepat-cepat Uda Jali memapah Nyah Binah naik ke rumah
dengan tidak pedulikan lagi fasal burung ruak-ruak penuh seguni. Malam itu juga
Uda Jali menyuruh Anjang Seman jemputkan ayahnya Lebai Usin.
Puas Lebai Usin
cuba pulihkan menantunya, tetapi keadaan Nyah Binah terkejang juga. Sebab
itulah dia menyuruh Uda Jali dan Anjang Seman lepaskan sahaja burung ruak-ruak
yang sudah disumbat penuh ke dalam guni. Sekalipun terasa berat hati mahu melepaskan
burung yang sudah menjadi rezeki mereka, tetapi Uda Jali terpaksa juga
lepaskan. Biarlah dia tidak mendapat apa-apa, asalkan Nyah Binah dapat
diselamatkan.
Anjang Seman juga
bersetuju burung ruak-ruak tersebut dilepaskan sahaja. Apalah ertinya mereka
jualkan burung-burung berkenaan, tetapi keadaan Nyah Binah terkejang macam
burung ruak-ruak sesak nafas disumbat ke dalam guni.
Selepas sepuluh hari Nyah Binah terkejang di tengah
rumah, barulah Lebai Usin mendesak Uda Jali memberitahu saya. Disebabkan sukar
sangat mahu berhubung itulah, hampir dua minggu baru saya menerima surat
daripada Uda Jali.
Sewaktu saya jejak kaki ke Hujung Rintis pun, keadaan
Nyah Binah masih juga tidak sedarkan diri. Hanya air yang didoakan dengan surah
Yassin sahaja ditegukkan melalui daun sirih. Memang Lebai Usin tidak benarkan
dihantar ke hospital setelah menyedari punca Nyah Binah tidak sedarkan diri.
Tahu benar dia kalau dihantar ke hospital pun Nyah Binah
sekadar dimasukkan air bagi memulihkan tenaga. Mahu dimasukkan oksigen
pernafasan menantunya tidak terganggu apa-apa. Dia sekadar terkejang bagaikan
tidur nyenyak setelah dipapah naik oleh Uda Jali.
Sebab itulah Lebai Usin suruh sudukan air doa Yassin ke
mulut Nyah Binah biar tenaganya tidak lemah terus. Sekiranya tenaga Nyah Binah
lemah rnemang tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan untuk membantunya.
Tidak bertangguh lagi Lebai Usin menyuruh saya terus ke
sisi Nyah Binah sebaik sahaja saya sampai. Marah juga isterinya Long Timah
disebabkan terlalu sangat mendesak. Apalah salahnya menunggu sampai reda penat
berjalan jauh, sebelum menyuruh saya ke sisi Nyah Binah.
Tetapi Lebai Usin tidak peduli apa-apa pun rungut Long
Timah. Dia menjadi tidak keruan setelah diberitahu saya sampai di tengah
halaman. Gembira benar dia sebaik sahaja melihat saya terjongol di muka pintu
hingga tidak sempat menyambut salam.
Memang saya melihat pelupuk mata Nyah Binah masih segar,
dan hidungnya terasa panas. Tatkala saya memegang pergelangan tangannya
tiba-tiba terasa tapak tangan ditusuk kuat hingga ngilu sampai ke siku. Tetapi
sengaja saya tidak lepaskan tangannya lantas sahaja membacakan:
Laqad ja-akum rasulun min anfusikum 'azizun
`alaihi ma 'anit-tum harisun 'alaikum bilmukminina ra-upur rahim, fain tawallau
faqul hasbiyallahhu lailaha illa-huwa `alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul `arsyil
`azim.
Serentak dengan itu tiba-tiba tangan Nyah Binah mula
melibas-libas lemah. Dia cuba menggapai sesuatu, tetapi sekadar meramas-ramas
angin sahaja. Ketika saya bacakan al-Fatihah tiga kali, bibir Nyah Binah
bergerak-gerak bagaikan mahu bersuara.
Perubahan Nyah Binah ini melegakan perasaan Lebai Usin
yang sudah buntu setelah tidak dapat memulihkan keadaan menantunya. Selepas
membaca al-Fatihah, saya teruskan dengan tujuh ayat terakhir daripada surah
Yassin diikuti dengan tujuh kali Ayatul Kursi.
Ketika ini Nyah Binah semakin gelisah sekalipun gerak
tubuhnya tetap lemah disebabkan terlalu lama tidak menjamah makanan. Kalaulah
Lebai Usin tidak berusaha sudukan air doa Yassin itu ke mulutnya nescaya Nyah
Binah tidak boleh bertahan langsung.
Apabila saya terus membacakan:
Walahu masakana fil-laili wan-nahari wahuwas
sami'ul `alim, diulangi tiga kali dan diikuti dengan: Summa sauwahu wanafakho
fihi min rohihi waja'ala lakumus sam-'a wal-absaro wa-laf idato qolilan ma
tasykurun,
sebanyak tiga kali juga serta disambung pula membacakan
tiga kali:
Wa nunazzilu minal Quran-ni mahuwa syifa-un
wa-rahmatun, lil-mukminin,
sekaligus Nyah Binah terbersin kuat.
Ketika ini nafasnya mula berombak kencang dengan peluh
memercik di seluruh badan. Berdebar juga saya dengan peluh banyak memercik itu,
kerana kadangkala seseorang yang hampir menemui ajal setelah sekian lama nazak
juga mengalami keadaan demikian.
Tetapi ketika saya mengusapkan tapak tangan ke mukanya,
terasa hidung Nyah Binah tetap panas. Biasanya kalau hidung sejuk kejang, memang
harapan terlalu tipis. Saya juga melihat Lebai Usin tidak berhenti berzikir
dengan melenggok-lenggokkan badan ke kiri ke kanan. Disebabkan Nyah Binah sudah
terbersin segera saya azan di telinga kanannya tujuh kali, diikuti dengan
membacakan:
Alif lam
min sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf uskun aiyuhal waji' billazi,
in-yasya yuskinir riho fayazlalna rawakida `ala zohrihi, inna fi zalika
la-ayatin likulli sabbarin syakur.
Apabila saya mengisar tapak tangan terasa ketul seperti
guli tergenggam di tangan. Tatkala saya mencengkam ketul tersebut bagaikan jari
saya memegang tengkuk lembaga yang terlalu kecil, hingga dia terkial-kial mahu
melepaskan diri.
Tubuh lembaga itu terlalu lembik laksana tepung diuli
hingga saya merasa geli geleman untuk mencengkamnya. Tetapi jauh di kawasan
lapang terdengar sayup-sayup suara merintih meminta tolong. Ketika ini
jiran-jiran yang berkeliling hanya mendengar Nyah Binah merungut-rungut halus
meminta tolong.
Sekaligus saya ramas-ramas ketul sebesar guli hingga
lumat menjadi debu, dan mengisar semula tapak tangan tujuh kali. Sewaktu
dihembuskan al-Fatihah tiga kali, barulah Nyah Binah membuka matanya. Memang
terkebil-kebil mata Nyah Binah tatkala melihat saya terconggok duduk di sisinya
brsama Lebai Usin.
No comments:
Post a Comment