Tergelak besar Wak Samin bila saya tanyakan kepadanya
mengenai harimau cinaku atau harimau jadian. Bagi mereka di Sumatera terutama
di daerah Jambi kisah harimau cinaku ini perkara biasa saja kepada mereka,
tetapi bagi orang-orang di Semenanjung mendengarnya sebagai cerita tahyol saja.
Sebab itu Wak Samin tergelak besar, kerana pada
sangkaannya saya hanya mahu bertanya disebabkan merasakan cerita tersebut
sebagai tahyol saja. Kebanyakan harimau cinaku ini boleh mencuri kerbau dan
lembu orang-orang kampong.
Mereka boleh
menghilangkan diri dalam sekelip mata. Ada juga orang mengatakan bahawa harimau
cinaku ini hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau, sementara batang
tubuhnya kekal sebagai manusia.
“Wak tak dengar cerita
macam tu” beritahu Wak Samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau
cinaku yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih
kekal seperti manusia biasa.“Setahu Wak, harimau cinaku ini berubah menjadi
harimau seluruh batang tubuhnya” jelasnya lagi.
“Harimau cinaku ni
banyak di Jambi ye Wak?” saya cuba menduga.
“Kebetulan saja” ujarnya
perlahan.
“Dulu, orang kata
orang-orang Jambi yang jadi harimau cinaku” katanya tersengih-sengih macam
gelihati dengan tuduhan tersebut.
“Adakah Tok Malim Udoh
tu menuntut ilmu harimau cinaku?” tanya saya selanjutnya.
Dia menggelengkan
kepala. Malah Wak Samin tidak mahu langsung menyebut kisah Tok Malim Udoh,
sekadar dia memberitahu mengapa dia datang ke Tanah Melayu ini. Kalaulah tidak
berlaku peristiwa yang menimpa gurunya, memang dia tidak akan meninggalkan
kampung halamannya merantau sedemikian jauh.
Sebelum datang ke Endau,
Wak Samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda di Kota Tinggi.
Perkahwinan itu tidak lama kerana isterinya lari meninggalkan dia. Disebabkan
malu dengan peristiwa isterinya meninggalkannya itu Wak Samin lari membawa diri
ke Endau.
Demikian Tok Aji
memberitahu saya mengenai kawannya Wak Samin yang sama-sama menumpang kapal
barang dari Dumai menyeberang ke Tanah Melayu dan naik di Johor. Sewaktu
berkahwin dengan janda di Kota Tinggi itu, Tok Aji ikut sama jadi pengapit Wak
Samin.
Ketika ini Tok Aji juga
berkahwin di Kota Tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.
Pada malam pertama hari
perkahwinannya itu, janda tersebut Lisun terkejut kerana Wak Samin tidur
bersener kuat. Bunyi senarnya seolah-olah seperti harimau mendengkur. Kerana
was-was dengan suaminya yang datang berdagang ke situ, Lisun lantas bertanya
dari mana kampung halaman Wak Samin.
“Abang dari Palembang,
tetapi menetap di Bukit Tinggi” dia menjelaskan kepada isterinya.
“Bukan dari Jambi?”
tanya Lisun lagi.
“Tidak…” beritahu Wak
Samin sudah dapat mengagak apa yang tersirat dihati. “Lisun, syak yang tak baik
terhadap diri abang?” soalnya macam rasa tersinggung dengan usikan isterinya.
“Saya hanya nak tau,
kerana orang kata orang Jambi suka jadi harimau” jelas Lisun secara jujur.
Memang dia pernah mendengar dari orang tua-tua mengenai
kesukaan orang-orang Jambi mempelajari ilmu kebatinan menjelma menjadi harimau.
Tahu sangat Lisun kebanyakan mereka salah gunakan
kepandaian tersebut. Seringkali mereka merompak dan mencuri harta benda orang
kampung setelah menukar diri menjadi menjelma jadi harimau.
“Bukan semua orang Jambi
begitu” Wak Samin ingatkan isterinya supaya tidak terpengaruh dengan tuduhan
demikian.
Segala kebimbangan
isterinya itu diceritakan oleh Wak Samin kepada Tok Aji. Bagaimanapun Tok Aji
menasihatkan dia supaya bersabar saja, kerana niat baik tentu dibalas dengan
baik juga. Lainlah kalau Wak Samin sengaja mahu menimbulkan keresahan orang
lain.
Memang Wak Samin sudah
melupakan ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di Sumatera dulu. Sebab
itu dia lebih suka orang memanggilnya Wak Samin saja kerana panggilan Wak itu
biasanya digunakan kepada orang-orang dari Tanah Jawa saja. Kalau orang-orang
dari Sumatera biasanya dipanggil ‘Pak Tua’ sebagai menghormati orang yang lebih
tua.
Kerana mahu melupakan
kisah-kisah di Sumatera inilah dia sanggup mengembara jauh. Dia hanya mahu
menyerahkan diri semata-mata kepada Allah. Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan
dengan ajaran Islam, mahu dibuang jauh-jauh dari lubuk hatinya.
Rupa-rupanya orang-orang
di Semenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari Sumatera,
bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari Jambi. Cerita ini merebak dari
satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi. Cerita
ini merebak dari satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada
orang-orang Jambi masuk meminang.
“Mereka takut harimau
kerinci…” ujar Tok Aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya Wak
Samin.
Bagaimanapun Tok Aji
dapat meyakinkan Lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci, harimau
cinaku atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan sahaja. Hanya sekadar mahu
menakutkan orang-orang Semenanjung supaya tidak mudah menerima pinangan orang
orang yang datang berdagang dari Sumatra.
Ketika ini ramai
orang-orang Semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari Sumatera
kerana dipercayai mempunyai ilmu agama yang tinggi. Bagi menakut-nakutkan ibu
bapa supaya tidak mudah menerima menantu
orang Sumatera inilah mereka sengaja ada-adakan cerita mengenai harimau jadian itu.
Lisun pula tidaklah
mengesyaki apa-apa lagi terhadap suaminya, malah dia semakin kasih akan Wak
Samin. Dia sama-sama membantu Wak Samin pergi menoreh getah atau mengait
kelapa.
Dalam masa inilah
tiba-tiba sahaja kampung mereka diganggu dengan kejadian harimau menyerbu masuk
ke kandang kambing. Habis ternakan orang kampung diheret harimau. Seisi kampung
menjadi gempar, kerana setiap malam ada sahaja ternakan menjadi mangsa. Beberapa
kali dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau tersebut.
Akhirnya lembu ketua
kampung sendiri dikerkah oleh harimau ganas. Terkilan benar Pak Kidam apabila lembu
jantan itu kesayangannya diheret harimau tersebut . Lantas sahaja Pak Kidam
sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada sesiapa sahaja asalkan sahaja
harimau berkenaan dapat dibunuh.
Pak Kidam sendiri
mengajak beberapa orang kampung mengikut jejak harimau itu masuh ke hutan
dengan mengesan titisan darah lembu yang diheretnya. Tok Aji dan Wak Samin juga
ikut sama masuk ke hutan menjejak harimau yang sekian lama mengganas.
Memang mereka terpaksa membantu orang-orang
kampung disebabkan datang berdagang ke situ.
Mereka perlu menjaga hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong. Apalah
salahnya mereka berdua sama masuk kehutan
mengesan jejak harimau berkenaan.
Apabila mereka sampai kepada
bangkai lembu yang ditinggalkan sebelah pehanya sudah habis dikerkah. Bangkai
lembu itu dibiarkan teroleh dibawah leban. Tidak tertangguh Pak Kidam menyuruh buatkan
pondok diatas pokok biar mudah menunggu harimau itu mengulangi bangkai berkenaan.
Pak Kidam sengaja menunggu
pada sasaran yang mudah dia membedil dengan senapangnya. Tekadnya seolah-olah berdendam sanngat dengan binatang tersebut
hingga mahu membunuh dengan tangannya sendiri.
Sengaja Tok Aji memilih
pondok tempat Pak Kidam menunggu dengan senapangnya. Sementara Wak Samin
menunggu pada pokok yang satu lagi bersetentang dengan pondok Pak Kidam.
Lama juga mereka
menunggu sehingga malam diserkapi kegelapan, tetapi harimau itu tidak juga
datang mengulangi bangkai lembu yang tergolek. Memang mereka tahu lambat laun
harimau itu akan datang apabila perutnya terasa lapar.
Disebabkan terlalu lama
menunggu, salah seorang yang bertahan di pondok Wak Samin iaitu Jalit abang
iparnya sendiri, terasa mahu buang air kecil. Puas juga Jalit menahan rasa mahu
buang air kecil, tetapi dia malu mahu buang air dari atas pokok itu sahaja.
Tentulah tidak manis pada pandangan kawan-kawan sekiranya dia memancut dari
atas pokok tempat menunggu itu.
Terpaksa juga Jalit
turun juga ke tanah untuk buang air kecil, sekalipun Wak Samin menyuruh abang
iparnya kencing sahaja dari atas pokok. Tatkala Jalit turun ke perdu pokok inilah,
Pak Kidam nampak dua biji mata mara ke situ.
Cepat-cepat Pak Kidam
menyuruh Jalit naik segera ke atas pondok. Belum sempat Jalit naik semula,
harimau berkenaan sudah hampir benar mendekati bangkai lembu tergolek. Serba
salah juga Pak Kidam mahu menembak sekiranya Jalit masih lagi tidak naik ke
atas pondok.
Kalau tembakannya tidak
tepat sasaran, tentu bila-bila sahaja harimau terluka itu akan menerkam Jalit.
Memang harimau terluka lebih ganas sekiranya terserempak mangsa. Nescaya Jalit
dalam bahaya kalau Pak Kidam mengambil keputusan menembak tergesa-gesa.
Disebabkan harimau berkenaan
sudah terlalu dekat, sedangkan Jalit masih tidak sempat naik semula ke atas
pondok tempat bertahan., terpaksalah Wak Samin terjun juga ke tanah. Dia mesti
selamatkan abang iparnya yang terperangkap ketika itu.
Apa pula kata Lisun
isterinya kalau dia sekadar berdiam diri tatkala abangnya di ambang bahaya?
Tentu Lisun akan berkecil hati sekiranya tahu dia tidak berbuat apa-apa semasa
Jalit terperangkap di perdu pokok.
Sebaik sahaja harimau
itu berdepan dengan Jalit, tidak bertangguh Wak Samin menekan ibu jari kakinya
ke bumi. Jalit nampak harimau itu terkaku tidak dapat bergerak apabila Wak
Samin tercegat melindungkan dia.
"Kau nak tunjuk
kuat ye!" herdik Wak Samin tidak lepas merenung muka harimau yang
tergeleng-geleng kepala.
Harimau itu seolah-olah
meronta, tetapi badannya tidak dapat bergerak langsung. Dia bagaikan terlekat
pada tanah hingga tidak boleh menghambur tinggi. Ngaumannya juga tidak keluar
daripada rrahang, cuma rungutan kecil sahaja merengek-rengek. Jalit nampak air liur harimau itu meleleh keluar
laksana kucing termakan cili padi.
"Dengan orang
kampung ni kau boleh tunjuk keras kepala, tapi dengan Samin kau jangan
main-main!" Wak Samin menggertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan
harimau yang terpaku di depannya.
Pak Kidam yang memegang senapang tidak dapat
melepaskan tembakan. Jarinya seolah-olah tidak dapat memetik triger. Dia
terpegun melihat Wak Samin yang tiba-tiba sahaja melompat ke tengah belukar
sebaik sahaja abang iparnya Jalit tidak sempat naik ke atas pondok.
'Biadap kau!"
tempik Wak Samin garang lantas menampar muka harirriau itu tiga kali.
Harimau itu tidak
menjerit apa-apa tatkala ditampar Wak Samin, sekalipun kakinya masih terlekat
di bumi. Kaki harimau itu bagaikan diikat kuat dengan simen ke tanah hingga
tidak boleh diangkat langsung.
"Depan Samin, kau
jangan nak tunjuk keras kepala!" beberapa kali Wak Samin menunjal muka
harimau itu dengan jari telunjuknya. Memang Tok Aji nampak apa yang dilakukan
oleh Wak Samin terhadap harimau berkenaan, kerana kedudukan pondok itu tidaklah
jauh sangat. Cahaya samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak
dari jarak yang tidak berapa jauh.
Tersenyum Tok Aji
melihat kehebatan kawannya itu. Dia tidaklah terperanjat seperti Pak Kidam apabila
melihat Wak Samin berhadapan dengan harimau. Memang Tok Aji tahu ketika itu Pak
Kidam benar-benar gementar, apalagi tatkala melihat Wak Samin menampar muka
harimau. Harimau itu hanya merungut-rungut sahaja, disebab kan ngaumannya tidak
keluar dari rahang. Air liurnya banyak meleleh keluar. Jalit yang bertahan di
balik perdu pokok tempat mereka membuat pondok, terkencing di dalam seluar
akibat terlalu takut.
Dia melihat sendiri
harimau sebesar lembu itu tercegat di depan adik iparnya. Kemudian Wak Samin
pula menampar muka harimau berkenaan beberapa kali sampai binatang ganas itu
tidak berani angkat muka.
Tidak lama selepas itu
rungutan harimau berkenaan tidak lagi kedengaran. Segera Wak Samin berpaling ke
belakang lantas berjalan mendapatkan abang iparnya Jalit yang terketar-ketar
tidak menentu. Sebaik sahaja dia meninggalkan harimau itu tiba-tiba sahaja
tubuh binatang berkenaan jatuh tersembam ke tanah.
Barulah semua orang yang
bertahan di atas pondok turun ke tanah. Mereka memeriksa tubuh harimau yang
jatuh tergolek itu sama ada sudah mati atau pun sekadar lemah tidak bermaya.
Teragak-agak mereka semua mahu mendekatinya. Manalah tahu kalau harimau itu
bingkas bangun terus menghambur menerkam mangsa.
Tetapi setelah Tok Aji
mendekati harimau itu sambil menendang-nendang punggung, barulah mereka berasa
lega. Apabila diperiksa mukanya mereka dapati kesan lekuk akibat remuk bagaikan
disinggahi pukulan yang terlalu kuat. Harimau itu sudah mati terbujur dengan
tulang mukanya hancur tidak bersisa.
Sewaktu disuluh oleh Pak
Kidam dia melihat bekas tamparan Wak Samin itu seolah-olah terjahan kayu balak
enam pemeluk. Masakan harimau itu boleh bertahan kalau mukanya diterjah kayu
balak enam pemeluk sampai tidak sempat dielakkan.
"Tak sangka awak
boleh menentang harimau, Wak Samin," keluh Pak Kidam masih terasa
gementar.
Wak Samin tidak
menyahut. Dia sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan belang diri
sendiri. Kalau tidak disebabkan abang iparnya Jalit terperangkap, memang Wak
Samin tidak akan tergopoh-gopoh terjun ke tanah. Malu juga dia sekiranya
diketahui oleh orang kampung mengenai kemampuannya berdepan dengan harimau itu.
Tetapi dia tidak boleh
biarkan abang iparnya terancam, sekiranya lambat bertindak. Ketika itu harimau
berkenaan sudah hampir benar mahu menerkam. Kalaulah harimau itu sempat
menerkam sudah tentu Jalit cedera parah menjadi rnangsa. Sebab itulah Wak Samin
tidak bertangguh terjun ke tanah untuk selamatkan abang iparnya.
Ketika ini dia tidak
memikirkan apa-apa pun orang kampung akan menuduhnya. Biarlah orang-orang
kampung mengejek disebabkan dia hanya tunjuk berani di depan abang ipar sahaja,
Wak Samin tidak peduli. Dia ikhlas mahu selamatkan abang iparnya dalam saat
terdesak.
Itulah pertama kali Wak
Samin tunjukkan belangnya. Semenjak datang ke Kota Tinggi tidak pernah dia
menunjuk-nunjuk apa pun kelebihan dirinya kepada masyarakat. Malah Tok Aji
sendiri tidak tahu mengenai kebolehan Wak Samin boleh jinakkan harimau garang
di tengah hutan.
"Terima kasihlah
Samin kerana menolong orang-orang kampung," lantas Pak Kidam mengajak
semua anak-anak buah balik semula ke kampung.
Cerita Wak Samin menampar
muka harimau dengan tidak bersenjata satu apa pun itu, cepat sahaja merebak ke
seluruh kampung. Jalit juga memuji-muji adik iparnya. Kalau tidak keberanian
Wak Samin sudah tentu nyawanya sendiri terancam. Memang dia merasa benar-benar
terhutang nyawa pada adik iparnya itu.
Seisi kampung macam
tidak percaya apabila diberitahu kegagahan Wak Samin berdepan dengan harimau
ganas di tengah hutan. Tetapi siapa pula mahu menguji Wak Samin, kalau harimau
garang pun boleh dijinakkan macam kucing disebat dengan lidi?
Tidak lama kemudian Tok
Aji berpindah ke Singapura membawa anak isterinya. Semenjak itu pula dia tidak
lagi berhubungan dengan Wak Sarnin di Kota Tinggi. Sewaktu Tok Aji berpisah
dengan kawannya itu, Lisun isteri Wak Samin sedang mengandung tiga bulan. Entah
mengapa dalam masa mengandung ini Lisun kuat mendesak Wak Samin mengajaknya ke
hutan mahu melihat harimau hidup yang merayau-rayau di tengah belukar.
Wak Samin tahu desakan
isterinya itu bukan disebabkan Lisun mahu melihat dia berdepan dengan harimau
di tengah hutan, tetapi pembawaan orang mengandung. Masakan Lisun sengaja mahu
menguji dirinya setelah mendengar dia selamatkan Jalit sewaktu terperangkap di
perdu pokok.
Kalau disebabkan perkara
lain memang Wak Samin tidak akan ikutkan kemahuan isterinya. Tetapi pembawaan
orang mengandung mesti dipenuhi juga. Hairan benar dia kenapa Lisun mahu melihat
harimau hidup merayau-rayau tengah belukar?
Tidak sama dengan pembawaan
perempuan lain yang mengandung. Kalaulah mengidam mahu makan benda yang ganjil,
memang perkara biasa apabila perempuan mengandung. Kadangkala puntung rokok
juga gemar dikunyah sekiranya pembawaan perempuan mengandung demikian. Tidak
pernah pula didengar oleh Wak Samin sampai mahu melihat harimau hidup
mera-yau-rayau tengah belukar.
"Saya nak tengok
harimau hidup-hidup, bang," desak Lisun selepas makan tengah hari.
"His, merepek saja
kau ni, Lisun," rungut Wak Samin dalam keadaan serba salah.
"Betul-betul ni
bang, saya nak tengok sangat," ujar Lisun lagi tidak berganjak dengan
kemahuannya.
"Harimau di tengah
hutan, macam mana nak bawa kau ke sana?" Wak Samin memujuk isterinya supaya
tidak ikutkan sangat desakan hati.
"Bawalah saya ke
hutan, saya nak jumpa harimau," rintih Lisun bagaikan merayu-rayu
sangat.
Memang Wak Samin
menyedari permintaan Lisun bukanlah gurauan biasa. Pembawaan orang mengandung
tidak menentu seolah-olah mahu mencari kemarahan suaminya sahaja. Tetapi, belum
pernah dia mendengar pembawaan perempuan mengandung mahu melihat harimau
merayau-rayau, melompat dan menggolek-golek badan di tengah belukar.
Tentu Lisun tahu harimau
bukannya jinak macam kucing boleh bermain di atas pangkuan.
Puas memujuk Lisun tidak
juga mahu mengalah terpaksa-Iah Wak Samin beritahu kepada Jalit. Terkejut juga
Jalit dengan permintaan adiknya mendesak Wak Samin mahu melihat harimau hidup
bermain-main.
Kalau Tok Aji masih
menetap di Kota Tinggi, dia juga akan nasihatkan Lisun supaya tidak biarkan
diri dikuasai oleh perasaan demikian.
"Kau dah gila,
Lisun!" gerutu Jalit memarahi adiknya kerana membuat permintaan yang
bukan-bukan. "Apa yang kau minta Samin lakukan ni, kau nak cari nahas?"
ujarnya keras.
"Saya tahu abang
Samin boleh jinakkan harimau," ter-singgung juga Lisun apabila dimarahi
oleh abangnya. "Nyawa abang pun dia yang selamatkan," katanya sengaja
menyindir Jalit.
"Perkara sia-sia
yang kau suruh Samin buat," Jalit tidak peduli sama ada Lisun tersinggung
atau pun tidak apabila dimarahi demikian.
"Takkan dia tak
boleh jinakkan harimau, kalau saya sendiri yang nak tengok," sahut Lisun
tetap berkeras dengan kemahuannya.
Mengeluh pendek Jalit
dengan desakan adiknya. Dia tahu Lisun sudah mendengar cerita Wak Samin menerpa
ke tanah tatkala harimau garang mahu menerkam ke arahnya. Tidak patut
disebabkan keberanian Wak Samin itu, Lisun mendesak mahu mengajak lelaki itu ke
hutan.
Lainlah kalau Lisun mahu ikut berburu mencari pelanduk,
kijang, rusa atau napuh. Bila-bila pun Jalit sanggup temankan Wak Samin berburu
ke hutan.
Tetapi perkara Lisun
mahu melihat harimau merayau-rayau, bukan boleh dibiarkan. Tidak pernah pun
perempuan mengandung sampai mengidam mahu melihat binatang buas menjelma di
depan mata. Apa lagi mahu bermain dengan harimau tengah liar memburu mangsa.
"Janganlah kau
minta yang bukan-bukan, Lisun," Jalit berlembut memujuk adiknya.
"Saya ingin sangat
nak tengok," Lisun terus juga merayu dengan penuh harapan.
"Tak bolehkah kau
minta yang lain?" soal Jalit bertambah hairan.
"Entahlah bang,
saya tak dapat nak minta yang lain," tegas Lisun menunduk seolah-olah
meminta belas kasihan.
Terdiam Wak Samin dengan
desakan isterinya yang luar biasa itu. Dia serba salah kenangkan permintaan
Lisun. Bagaimana seorang perempuan mengandung tiba-tiba sahaja mengidam mahu
melihat harimau hidup-hidup merayau dan melompat tangkas?
Lainlah kalau perempuan
mengandung mahu menghisap puntung rokok, mahu makan sepah sirih, mahu makan
asam atau mahu mandi air telaga, memang perkara biasa sahaja menjadi pembawaan
mereka. Saat ini Wak Samin menyedari bahawa dia perlu menerima hakikat, memang
amalan yang dipelajari daripada Tok Malim Uduh inilah yang sedang menguji
kesabarannya.
Sedangkan Jalit sendiri
sudah tidak berupaya melarang kemahuan Lisun. Apalagi permintaan itu sudah
men-jadi pembawaan perempuan mengandung. Tentulah banyak bencana sekiranya
pembawaan perempuan mengandung tidak dipenuhi.
"Aku tak dapat nak
cakaplah, Samin," keluh Jalit mengalah lantas memberi keputusan tidak
sanggup lagi mahu menasihatkan Lisun.
"Tak apalah abang
Jalit, muga-muga dia boleh lupakan juga," sahut Wak Samin dengan satu harapan
tergaris di hatinya.
Setelah Jalit turun
meninggalkan mereka, Wak Samin tidak bercakap sepatah pun dengan isterinya.
Puas juga Lisun mendesaknya masuk ke hutan untuk mencari harimau, tetapi Wak
Samin tetap mendiamkan diri. Apalah gunanya dla memujuk kalau Lisun masih juga
berkeras tidak mahu mengalah.
Lama dia terdiam dengan
tldak bercakap apa-apa, barulah Wak Samin merenung muka Lisun lantas
menuturkan, "Nanti kau terkejut kerana ketakutan, Lisun."
"Ah, itu dalih
abang saja, kerana tak mahu bawa saya ke hutan," gerutu Lisun mencemik
muka.
"Kalau Lisun nak
tengok harimau, tak payah ke hutan," tegas Wak Samin sudah tidak dapat
lagi menahan sabar. "Aku boleh panggilkan harimau datang ke sini,"
jelasnya tersengih-sengih macam menyindir Lisun.
"Abang nak
takut-takutkan saya?" Lisun menjuihkan bibir kerana menuduh suaminya
sengaja berbohong. "Kalau betul abang boleh panggil, panggillah!"
lantas sahaja dia mencabar Wak Samin.
"Nanti, awak
takut," tutur Wak Samin mengusap-usap dadanya yang berombak kencang.
"Saya teringin nak
tengok, takkan saya takut!" suara Lisun keras menyesali suaminya.
Terpaksa juga Wak Samin
mengalah. Dia tidak mahu melukakan hati isterinya tatkala perempuan itu tengah
mengandung. Biarlah dia terpaksa merendah diri apabila dirantau orang sekalipun
di depan isterinya sendiri. Manalah tahu desakan isterinya itu mempunyai rahmat
di sebalik apa yang akan berlaku.
Kemudian segera dia
menyuruh Lisun naik ke atas para rumah bersembunyi. Para rumah itu samalah
seperti loteng, tempat mereka letakkan barang-barang di situ.
"Awak tunggu di
sini, jangan ke mana-mana," Wak Samin ingatkan isterinya setelah Lisun
naik ke atas para.
Dari atas para itu Lisun
boleh melihat ke tengah rumah. Dia melihat suaminya membakar kemenyan di tengah
rumah sebaik sahaja dia naik bersembunyi di atas para.
Asap kemenyan melabun
naik, setelah Wak Samin mula membacakan jampi serapahnya. Berdebar juga hati
Lisun setiap kali melihat Wak Samin melenggok-lenggok badan di hadapan bekas
pembakar kemenyan. Matanya melingas-lingas juga kerana bimbang harimau itu akan
menjelma di hadapan suaminya tengah membaca jampi serapah.
Tetapi hatinya
tertanya-tanya juga dari mana pula harimau itu akan melompat masuk, disebabkan
semua pintu dan tingkap terkunci rapat. Memang Lisun tidak bimbang apa-apa,
semenjak dia mengetahui Wak Samin boleh jinakkan harimau garang di tengah
hutan. Apa sangatlah kalau harimau yang diserunya menjelma di tengah rumah,
tentu mudah sahaja dijinakkan oleh suaminya.
Lama Lisun memerhatikan
suaminya terlenggok-lenggok di tengah rumah, tiba-tiba dia terkejut apabila Wak
Samin membongkok sambil meneran laksana mahu membuang air besar di tandas.
Sekaligus ekor panjang menjulur keluar di punggungnya. Sebaik sahaja ekornya
menjulur keluar, terus Wak Samin meniarap seperti kucing bangun daripada tidur.
Selepas itu dia
mengguling-guling badannya ke lantai sambil menggeliat. Dari sinilah tubuhnya
berubah sedikit demi sedikit menjadi harimau sepenuhnya. Apabila menjadi
harimau sepenuhnya terus sahaja Wak Samin melompat dan berjalan keliling tengah
rumah dari serambi masuk ke induk rumah.
Dia mengangakan mulut
seperti terkuap-kuap kelaparan. Sekali-sekala dia mengerling juga ke arah atas
para tempat isterinya bersembunyi. Biarlah Lisun puas hati dapat melihat harimau
hidup-hidup melompat di tengah rumah macam kucing yang dipelihara.
Kira-kira setengah jam
dia menjelmakan dirinya menjadi harimau, Wak Samin segera memulihkan semula.
Setelah dia kembali menukar dirinya daripada jelmaan harimau, cepat-cepat Wak
Samin naik ke para mendapatkan isterinya. Alangkah terkejutnya dia kerana Lisun
pengsan tidak sedarkan diri lagi!
Memang dia sudah
mengagak tentu Lisun ketakutan sekiranya melihat harimau hidup-hidup melompat.
Tetapi Lisun tidak terkejut terserempak harimau garang, dia hanya ketakutan
apakala melihat suaminya berubah menjelma menjadi harimau.
Setelah dipulihkan oleh
Wak Samin daripada pengsan, lantas sahaja Lisun meluru ke pintu. Dia terus
berlari balik ke rurnah emaknya. Berkeras Lisun tidak mahu jejak kaki balik menemui
suaminya. Puas dipujuk oleh Jalit supaya Lisun jangan ikutkan sangat perasaan,
namun dia tetap berdegil tidak mahu balik lagi menemui Wak Samin.
"Selama ini saya
nikah dengan harimau," dia merintilt-rintih memberitahu keluarganya.
"Saya lihat sendiri Samin bertukar menjadi harimau, saya tak mahu
bersuamikan harimau!" gerutunya tersengguk-sengguk menangis menahan rasa
terharu.
"Perasaan kau
sahaja macam tu," Jalit memujuknya dengan tidak mernpercayai langsung apa
yang diterangkan oleh adiknya. "Pasal kau berkeras nak tengok harimau,
sebab itu Samin pun kau kata harimau," tersengih-sengih Jalit mengejek
dia.
"Saya tak mahu
bersuamikan harimau," tegas Lisun membuat keputusan nekad.
"Jangan ikutkan
perasaan, Lisun," emaknya juga cuba memujuk untuk mententeramkan hati
Lisun. Perkara Wak Samin bertukar menjadi harimau tidak patut dijadikan alasan
untuk meruntuhkan rumah tangga. Kalau Lisun sendiri tidak berkeras mahu melihat
harimau hidup-hidup, tentu Wak Samin tidak lakukan semua itu.
Tahu benar dia
menantunya itu tidak pernah menganggu
sesiap. Biarlah Wak Samin mempunyai kebolehan menukarkan dirinya dirinya menjelma menjadi
harimau. Sebab itulah dia tidak hairan kenapa Wak Samin boleh tundukkan binatang
ganas itu sewaktu lembu Pak Kidam diheret ke tengah hutan.
Siapa yang selamatkan
Jalit, kalau tidak Wak Samin sendiri terjun ke tanah ketika itu? Tentu berguna
juga amalan Wak Samin dalam saat mereka semua terdesak. Tidak patut Lisun
sengaja mencari alasan Wak Samin menjelma jadi harimau sekiranya dia sudah
membenci lelaki berkenaan!
Setelah mendapat tahu
Lisun tidak mahu lagi balik ke rumah disebabkan dia menjelma menjadi harimau,
tersinggung juga hati Wak Samin. Apalah maknanya dia bertahan di kampung itu
kalau Lisun sendiri mengejek dirinya. Sebab itulah dalam diam-diam Wak Samin
melarikan diri dari kampung tersebut.
Malu benar dia mahu bertentang
muka dengan emak mertuanya dan sanak saudara Lisun setelah rahsianya diketahui
orang. Tidak pula diduganya Lisun tergamak membuka rahsia tersebut, sekalipun
hati sudah tidak lagi berkenan.
Tidak siapa pun
mengetahui ke mana Wak Samin membawa diri. Semenjak dia meninggalkan kampung
berkenaan, Lisun pula meracau-racau kerana takut bersuamikan harimau. Dia memekik
menuduh Wak Samin memperdayakan dirinya hingga berkahwin dengan harimau.
Penyakit yang dideritai
Lisun bertambah pasang, tetapi siapa pun tidak dapat menghubungi Wak Samin.
Hinggalah Lisun meninggal dunia akibat terkejut melihat suaminya bertukar
menjadi harimau, tidak siapa pun dapat menyampaikan berita itu kepada Wak
Samin.
"Saya rasa amalan
menjadi harimau ihi bertentangan dengan ajaran agama," ujar saya menatap
muka Wak Samin tatkala berkunjung ke rumahnya di Endau. Dia mengangguk lemah.
Kemudian menunduk macam memikirkan sesuatu yang menusuk ke hatinya.
"Iya, macam
menyamakan diri kita dengan binatang," keluh Wak Samin perlahan.
Saya tahu Wak Samin juga
bukan calang-calang kalau fasal ilmu agama. Sebab itu saya tidak ungkit sangat
perkara lain, tetapi sekadar bertanya mengenai amalan dirinya yang boleh
menukarkan sifat tubuhnya menjelma menjadi harimau.
"Ustaz, tak takut
pada wak?" sengaja dia mengusik saya. "Tidak," sahut saya menggelengkan
kepala.
"Saya hanya takut
pada Allah," ujar saya tersengih-sengih mengerling Wak Samin.
"Alhamdulillah,"
tersenyum dia menatap muka saya. Ketika ini saya bacakan Ayatul Kursi di dalam
hati hingga 313 kali, tetapi saya lihat Wak Samin tetap bersila kukuh. Kemudian
dia tersengih-sengih lantas menepuk paha saya dan menuturkan perlahan,
"Wak tak ada
apa-apa, ustaz."
Terasa juga diri saya disindir.
Memang Wak Samin dapat merasakan dirinya sedang diuji ketika itu.
"Wak tak amalkan
ajaran yang berlawanan dengan aqidah, hanya kepada Allah Wak mohon pertolongan
dan perlindungan," jelasnya terangguk-angguk.
Saya percaya dengan
kata-kata Wak Samin. Memang Tok Aji sudah pesankan kepada saya mengenai diri
Wak Samin tidak lagi amalkan pertapaan yang membolehkan dirinya menjelma
menjadi haiwan. Sudah tentulah menjadikan diri haiwan itu tidak dikehendaki
oleh Islam.
Tetapi Wak Samin
bukanlah berbangga dengan amalannya itu. Disebabkan malu kepada keluarga Lisun
itulah menyebabkan dia lari meninggalkan kampung isterinya. Sebelum datang ke
Semenanjung pun, memang dia malu kepada keluarga gurunya Tok Malim Uduh, hingga
terpaksa meninggalkan kampung halaman. Dia merasa bersalah sangat kepada
gurunya setelah tidak memenuhi pesanan Tok Malim Uduh sewaktu orang tua itu
terlantar sakit. Berkali-kali Tok Malim Uduh ingatkan dia supaya menunggu di
atas kubur hingga tujuh malam selepas kematiannya dengan membacakan surah
Yassin.
Hanya tiga malam sahaja
Wak Samin menunaikan amanah gurunya. Terasa sangat dia dipermainkan kerana terconggok
seorang diri sahaja di atas kubur hingga berturut-turut tujuh malam. Tetapi
siapa lagi boleh diharapkan oleh arwah gurunya kalau bukan dia?
Memang Wak Samin
satu-satunya murid yang dipercayai oleh Tok Malim Uduh. Sebab itulah dia
amanahkan kepada Wak Samin supaya menunggu kuburnya hingga tujuh malam.
Disebabkan hatinya mengesyaki sesuatu, sengaja Wak Samin memanjat pokok
tempunik memerhatikan daripada jauh sahaja kubur gurunya itu.
Malam yang keempat
hingga malam ketujuh, Wak Samin sanggup mengintai dari atas pokok tempunik
semata-mata mahu menguji pesanan gurunya jika tidak ditunaikan. Sebaik sahaja
tengah malam setelah tujuh malam dia mengintai, hampir juga Wak Samin tergamam
apabila angin kencang bertiup serentak.
Sebaik sahaja angin
kencang berhenti, dia melihat bayang seekor harimau besar melompat ke atas
kubur. Sambil melingas-lingas memandang keliling harimau itu menggali kubur
dengan kukunya. Lama dia menggali bagaikan tikus membuat lubang, harimau
berkenaan menyusupkan kepalanya ke dalam lubang itu.
Tidak lama kemudian dia
mengheret kain kafan dengan mulutnya naik ke atas laksana kucing menggonggong
anak. Wak Samin melihat sendiri bagaimana harimau itu melangkah mayat di dalam
kain kafan tujuh kali dari hujung kaki ke kepala. Selepas itu dia menepuk-nepuk
kepala mayat sambil berbongkok bagaikan berbisik ke telinga.
Dalam masa beberapa saat
sahaja kain kafan itu mula be rgerak-gerak. Bagaikan tidak percaya Wak Samin
tatkala melihat kain kafan bergerak-gcrak itu terbuka, lantas keluar sekor anak
harimau melentik-lentikkan badan. Tidak bertangguh harimau besar itu
menjilat-jilat tubuh anak harimau itu seperti mandikan anak sendiri.
Setelah menolak semula
kain kafan ke dalam lubang yang digali, harimau besar itu meninggalkan kawasan
kubur. Anak harimau itu bergerak perlahan mengikut harimau besar itu hilang di
tengah belukar.
Memang menitik air mata
Wak Samin apabila tiga bulan selepas itu orang-orang kampung gempar melihat
seekor harimau beratib di atas madrasah Tok Malim Uduh, betul-betul di tempat
duduk tuan guru itu sering menunaikan solat sunat.
Apabila diberitahu
kepada anak Tok Malim Uduh yang mengambil alih madrasah ayahnya itu, Haji Mat
Tahir tidak merasa hairan apa-apa. Dia terus tercegat di sisi harirnau itu
lantas menepuk-nepuk bahunya.
"Ayah, janganlah
takutkan penduduk kampung, dunia kita dah berlainan," ujar Haji Mat Tahir
lantas mengajak harimau itu meninggalkan madrasah. Sampai ke pinggir hutan Haji
Mat Tahir memimpin harimau berkenaan memintanya supaya tidak jejak kaki lagi di
tengah madrasah.
Semenjak itu pula
orang-orang kampung tidak lagi melihat harimau beratib di tengah madrasah. Di
depan Haji Mat Tahir sendiri Wak Samin mengaku kesalahannya tidak memenuhi
amanah gurunya. Kalau dia teruskan membaca surah Yassin tujuh malam
berturut-turut di atas kubur Tok Malim dia percaya gurunya tidak akan menerima
nasib demikian.
Tahu benar Wak Samin,
memang gurunya tidak berniat mahu amalkan amalan demikian. Tatkala kampung
mereka diganggu harimau jadian yang menjelma mencuri ternakan, masing-masing
diselubungi ketakutan. Siapa pun tidak berani turun ke tanah di tengah malam
sekiranya ternakan dicuri harimau jadian.
Menentang harimau jadian
tidak sama dengan harimau ganas menyerbu dari tengah hutan. Bila-bila mereka
boleh perangkap sekiranya harimau ganas dari hutan menyerbu masuk ke kampung.
Tetapi harimau jadian tidak akan masuk perangkap. Kalau dikurung pun dia boleh
lepaskan diri macam belut tidak boleh digenggam.
Saat inilah Tok Malim
Uduh menjelmakan dirinya menjadi harimau yang mengawal kampung. Asal sahaja
harimau jadian menerpa ke kandang ternakan, Tok Malim Uduh akan menghambat.
Sekiranya dia menghambur tinggi ke udara, dengan pantas pula Tok Malik Uduh
menghambur sama.
Cubalah harimau jadian
itu menghilangkan diri, nescaya dapat dikesan oleh Tok Malim Uduh. Ke mana pun
harimau jadian yang mengganggu cuba bersembunyi, memang tidak dapat melepaskan
diri daripada buruan Tok Malim Uduh. Tahu sangat Wak Samin gurunya tidak
gunakan amalan itu untuk keburukan, tetapi semata-mata membantu penduduk kampung.
"Wak, memang
bersalah pada Tok Malim Uduh," keluh Wak Samin apabila kenangkan kejadian
yang menyayat hati itu. "Dia orang baik, tapi amalannya menyebabkan dia
jadi begitu," tergenang air di pelupuk mata-nya asal sahaja menyebut nama
gurunya itu.
Saya juga tertunduk menahan
rasa keharuan yang menusuk. Terasa juga sebak di dada apabila Wak Samin
ceritakan semula kejadian yang menimpa gurunya Tok Malim Uduh itu.
No comments:
Post a Comment