Mungkin kerana leka menonton TV, anak saya tiba-tiba
sahaja tergeliat kaki apabila bangun daripada duduk. Terjengket-jengket dia
kerana tidak boleh jejakkan kaki ke lantai. Apalagi budak baru berumur sepuluh
tahun sepertinya, tentu sahaja merengek-rengek sepanjang malam tidak dapat
lelapkan mata.
Memang saya bercadang mahu hantarkan sahaja ke hospital
pada mulanya untuk dapatkan rawatan. Manalah tahu sendi buku lalinya terkehel
pula. Kalau di hospital, mungkin kakinya boleh disimen biar tumit dapat
jejakkan tatkala berjalan.
Rawatan di hospital tentu disimen sahaja untuk betulkan
semula kedudukan sendi buku lali yang
terkehel. Tetapi isteri saya berkeras tidak mahu terburu-buru dibawa ke hospital.
Biarlah diurut terlebih dahulu ikut cara tradisional bagi mengelakkan urat kaki
yang terkehel itu dimasuki angin.
Jiran di sebelah rumah yang beritahu isteri saya mengenai
tukang urut yang pernah pulihkan tangannya yang terkehel. Disebabkan isteri
saya mendesak, terpaksalah saya menuruti kemahuannya. Lantas kami membawa anak
kecil itu menemui Bilal Lah yang diberitahu oleh jiran berkenaan.
"Kenapa pula kaki ni?" soal Bilal Lah bergurau
apabila melihat anak saya dipapah naik ke rumahnya.
"Kakinya tergeliat," beritahu jiran saya yang
membawa kami menemui Bilal Lah itu.
"Memang terkehel sendi buku lali budak ni,"
jelas Bilal Lah sebaik sahaja memegang kaki anak saya dengan tidak perlu
mengurutnya terlebih dahulu.
Selepas menepuk-nepuk bahagian buku lali anak saya, Bilal
Lah mengetuk-ngetuk telunjuk ke kepala lututnya.
"Cuba, bangun berjalan," ujarnya semacam mendesak
anak saya supaya bangun melangkah.
Tetapi anak saya enggan menuruti kemahuannya. Kakinya
masih sakit berdenyut hingga tidak boleh dijejakkan. Takut benar dia mahu gagahi
bangun kerana bimbang akan tergeliat lebih teruk lagi.
"Tak apa, cuba bangun!" desak Bilal Lah
bagaikan memberi perintah.
Terpaksa juga anak saya bangun dengan dibantu oleh isteri
saya. Sebaik sahaja dia jejakkan kaki ke lantai, anak saya lantas beranikan
hatinya melangkah. Memang dia boleh berjalan sekalipun terdengkot-dengkot.
"His, jangan takut, jalan aje!" sengaja Bilal
Lah kuatkan suara macam menyergah keras.
"Sakit..." beritahu anak saya masih
tidak berani berkuat untuk jejakkan tumitnya.
"Cuba langkah
perlahan-lahan," segera saya mencelah supaya dia tidak patah semangat.
Beberapa tapak anak saya melangkah, tiba-tiba dia boleh
jejakkan kakinya yang tergeliat itu. Selepas boleh jejakkan kakinya, sengaja
Bilal Lah menyuruh anak saya melangkah keliling dia terconggok di tengah rumah.
Tidak sampai sepuluh minit anak saya sudah boleh jejakkan tumit, dan dalam masa
setengah jam sahaja langkahnya semakin kukuh.
Memang mahir Bilal Lah sembuhkan buku lali anak saya yang
tergeliat. Semalaman dia merengek kesakitan hingga kaki itu tidak boleh
dijejakkan langsung, tiba-tiba sahaja boleh melangkah tidak sampai setengah jam
disentuh jari Bilal Lah.
Tahu sangat saya Bilal Lah tidak sekadar menyentuhkan
jarinya ke kaki anak saya. Dia hanya menepuk-nepuk ke buku lali, tetapi
makrifatnya mengurut hingga sampai ke sendi tulang.
Bukanlah perkara
luar biasa sangat apa yang dilakukan oleh Bilal Lah, kerana Tok Alang saya
sendiri pernah lakukan demikian. Kalau orang kampung terkehel sampai patah
tulang datang menemui dia meminta pertolongan, Tok Alang lantas menyuruhnya
bawakan ayam selasih hitam.
Dia akan patahkan kaki ayam selasih hitam hingga
tersembul keluar tulang pahanya. Kemudian Tok Alang akan betulkan semula tulang
kaki ayam yang patah paha itu. Ketika ini orang yang terkehel patah akan
terjerit-jerit kesakitan, seolah-olah kakinya yang diurut oleh Tok Alang. Dalam
tempoh dua tiga hari sahaja selepas itu, orang yang terkehel patah akan sembuh
semula.
Tetapi saya tidak sempat bertanya apa-apa pada arwah Tok
Alang mengenai cara dia mengubati orang terkehel patah. Kalau ditanyakan pun
sudah tentu dia akan merahsiakan sahaja. Memang sudah menjadi tabiatnya terlalu
kuat menyimpan rahsia dirinya.
Pernah dia
dilanggar lori hingga tercampak ke seberang jalan hingga sanak saudara menjadi
cemas. Remuk basikalnya disondol lori sampai terperosok ke dalam longkang di
tepi jalan. Lori yang penuh sarat membawa pisang itu pula terasak ke tebing.
Orang ramai yang melihat kejadian itu tidak bertangguh mahu membelasah pemandu
lori yang tergamam tidak ketahuan.
Cepat-cepat. Tok
Alang bingkas bangun dari dalam longkang menegah mereka supaya tidak terburu-buru
bertindak. Dia sekadar menyapu-nyapu sikunya yang dipenuhi sampah dan pasir.
Tubuhnya tidak luka apa-apa sekalipun lutut
seluarnya habis koyak berkecai. Terpaksalah pemandu lori itu berjanji untuk
gantikan basikalnya yang tidak berguna.
"Entah apa-apa ilmu yang Pak Alang amalkan,"
pernah ayah saya menegur arwah Tok Alang.
"Mana aku ada
ilmu?" beritahu Tok Alang tersengih-sengih apabila didesak oleh ayah saya.
"Ilmu dunia buat apa?" sengaja ayah saya
mengusiknya. "Kita perlu amalkan ilmu yang berguna di dunia dan di
akhirat," ujarnya macam menasihati Tok Alang.
Tetapi Tok Alang tidak peduli sangat usikan ayah saya.
Memang dia tidak akan tersinggung apa-apa sekiranya ditegur oleh ayah saya,
sekalipun ayah saya pangkat anak saudara kepadanya. Segan juga dia dengan ayah
saya kalau berkeras mahu membantah, apalagi mengingatkan dia fasal ilmu
kebatinan yang tidak membawa apa-apa manfaat.
Tahu benar ayah saya mengenai amalan Tok Alang semenjak
usianya masih muda lagi. Masakan Tok Alang boleh menyembunyikan rahsia itu
daripada dia.
"Dah tua-tua ni, eloklah kuatkan ke masjid,"
desak ayah saya setiap kali bertemu Tok Alang di mana-mana.
Tok Alang sekadar tersengih-sengih sahaja. Perkara ke
masjid bukan boleh dipaksa-paksa, kalau hati sendiri tidak ikhlas. Biarlah anak-anaknya
sahaja yang jejak kaki ke masjid. Dia akan dirikan solat di rumah sahaja sama
ada siang mahupun malam.
Sejak usia muda lagi rnemang Tok Alang dikenali mampu
tundukkan perempuan sehingga mengikut sahaja kemahuannya. Dia boleh memukau
janda muda yang menghinanya datang ke rumahnya tatkala tengah malam diselubungi
kesepian.
Marah. benar dia pada janda muda yang tinggal jauh di
kampung lain, disebabkan menjeling dia sewaktu berselisih di jalan. Kalau janda
itu tidak menjeling apabila ditegur ramah, memang Tok Alang tidak pengapakan
janda berkenaan.
Disebabkan marah benar dia, tengah malamnya Tok Alang ambilkan
sebiji limau dibungkus dengan kain putih dan diikat benang tujuh warna. Dia
hayunkan limau itu di tengah asap kemenyan sambil menyanyi perlahan, hingga
janda muda tidak dapat lelapkan mata sampai ke pagi.
Sebaik sahaja pagi terang-terang tanah, tidak bertangguh
janda muda itu terus menemui Tok Alang. Lama dia duduk di tangga rumah sebelum
Tok Alang membuka pintu. Sengaja Tok Alang berpura-pura terkejut apabila
melihat janda berkenaan duduk berjuntai kaki di tangga rumah.
Tetapi saya tidak arnbil tahu sangat mengenai kebolehan.
Tok Alang memuja semangat perempuan sehingga datang mencari dia. Apa sangat
mahu dibanggakan perempuan datang menyerah diri kalau semata-mata mahu
menunjukkan kemegahan hawa nafsu?
Malah Tok Aji sendiri sering memarahi saya kalau sengaja
berbaik-baik dengan Tok Alang untuk bertanyakan amalan demikian. Lebih baik
duduk sahaja di madrasah habiskan belajar, daripada menemui Tok Alang. Memang
Tok Aji tidak senang dengan sikap Tok Alang, sekalipun adik iparnya sendiri.
"Sakit lagi
tak.?" Bilal Lah mendongak mernerhati anak saya terdengkot-dengkot sedikit.
Setelah tiga empat kali berkeliling di
tengah rumah, anak saya mula cepatkan langkahnya.
"Sakit sikit-sikit," beritahu anak saya mula
tersenyum, seolah-olah merasa pergelangan kakinya semakin lega.
Ketika saya bersiap-siap untuk balik, Abang Jibut
terjongol muka. Hairan juga saya apabila terserempak dia di situ. Memang saya
menyangka Abang Jibut ke situ mahu mencari saya, tetapi rupa-rupanya dia sudah
kenal lama dengan Bilal Lah. Sudah kerapkali Abang Jibut datang ke situ menemui
Bilal Lah.
"Ustaz buat apa di sini?" soal Abang Jibut
tercegat di pintu. _
"Anak saya, kakinya tergeliat," beritahu saya
perlahan menghulur tangan bersalaman dengan Abang Jibut.
"Inilah ustaz
yang saya cakapkan pada Pak Bilal dulu," lantas sahaja Abang Jibut
menggamit Bilal Lah. Rupa-rupanya Abang Jibut sudah memberitahu Bilal Lah
disebabkan saya ikut dia ke Kemaman menemui Ngah Gadek.
"Saya dah agak, tapi tak berani nak tanya,"
ujar Bilal Lah mengerling saya. "Manalah tahu, nanti tersalah orang
pula," katanya masih tidak berganjak daripada tempat duduknya.
"Abang Jibut nak berurut juga ke?" sengaja saya
mengusiknya.
"Ada hal sikit," jawabnya tersengih-sengih
mengerling Bilal Lah.
Memang dia sudah memberitahu Bilal Lah fasal menemui saya
tatkala isterinya Sutinah menderita sakit ganjil. Hampir dia berputus asa
dengan keadaan isterinya sekalipun berulang kali berubat dengan Bilal Lah.
Setelah puas mencuba, Bilal Lah sendiri kehilangan punca mahu meneruskan
mengubat Sutinah.
Asal sahaja masuk senja Sutinah mula merasa perutnya sebu
hingga tidak berselera mahu menjamah makanan. Bukan takat tidak berselera
makan, malah kalau didekati oleh Abang Jibut pun dia marah tidak menentu.
Terlalu benci dia menatap muka suaminya ketika perutnya sebu seolah-olah
kembung dimasuki angin.
Hampir tujuh tahun Abang Jibut menanggung gelisah dengan
masalah yang dihadapinya itu. Setelah puas berubat di beberapa tempat sebelum
diubati oleh Bilal Lah itulah, dia datang menemui saya. Kalau tidak Sarim Cabai
yang bawakan dia menemui saya, memang saya tidak pernah mengenali Abang Jibut.
Ketika dia datang bersama Sarim Cabai menemui saya, Abang
Jibut sudah tidak dapat lagi menahan sabar. Sudah nekad dia mahu menceraikan
Sutinah kalau keadaannya tidak dapat diselamatkan lagi. Terpulanglah kepada
keluarga Sutinah untuk mengubati penyakit yang dideritainya itu.
"Dah puas berubat, ustaz," keluhnya macam
kecewa mengerling Sutinah yang ikut sama. Sutinah mengangguk lemah. Dia sendiri
tidak tahu kenapa terlalu benci menatap muka Abang Jibut apabila malam
menjelang? Kalau boleh mahu sahaja dia lari meninggalkan rumah membawa diri ke
mana sahaja. Tetapi dia cuba tabahkan hati tidak mahu mengikut perasaan yang
melonjak-lonjak.
"Kak Sutinah
sebenarnya sakit apa?" lantas saya berpaling pada Sarim Cabai.
"Cakaplah, Abang Jibut," desak Sarim Cabai
disebabkan Abang Jibut masih teragak-agak mahu menjelaskan.
"Sebenarnya dah lama kena penyakit ni, ustaz,"
serba salah Abang Jibut mahu rnenerangkan keadaan penyakit yang diderita oleh
isterinya. "Sejak baru kahwin dengan saya lagi, tapi baru sekarang ni
makin teruk," katanya sayu apabila kenangkan kejadian yang menimpanya
sejak berkahwin dengan Sutinah.
Mula-mula memang tersinggung juga dia dengan perubahan
Sutinah tiba-tiba sahaja marah tidak menentu. Tetapi setelah menyedari
isterinya menderita sakit, terpaksalah dia berusaha mengubati. Puas juga Abang
Jibut berubat hingga menemui bomoh sampai ke Kelantan, tetapi penyakit ganjil yang
dialami oleh Sutinah itu semakin pasang.
Kalaulah tidak berternu Kadir Misai tentu Abang Jibut
sudah berputus asa disebabkan Sutinah masih juga tidak dapat dipulihkan. Kadir
Misai yang menyuruh dia menemui Sarim Cabai untuk tunjukkan rumah saya,
Kebetulan pula memang Abang Jibut sama berniaga dengan Sarim Cabai hingga
kadangkala sering bertemu di Johor Bharu, di Kluang atau di Kuala Lipis.
Cuma Sarim Cabai satu-satunya yang berani bawakan orang
menemui saya kalau diganggu penyakit. Sebab itu Kadir Misai sengaja menyuruh
Abang Jibut menemui Sarim Cabai terlebih dahulu.
Kalaulah Kadir Misai sendiri datang bawakan Abang Jibut,
saya pun tidak akan marah apa-apa. Mereka mahu mencuba apa salahnya? Manalah
tahu penyakitnya serasi pula apabila saya doakan hingga boleh sembuh. Perkara
penyakit boleh sembuh bukan terletak pada kemampuan dukun besar atau pun tidak,
tetapi dengan izin Allah Subhanahu Wataala.
Sudah berkali-kali juga Abang Jibut membawa Sutinah
menemui Bilal Lah, menyebabkan orang tua itu sendiri tidak tahu lagi bagaimana
mahu lakukan. Sebab itu Bilal Lah menyuruh dia carikan orang lain sahaja
mengubati Sutinah.
Kalaulah penyakit Sutinah tidak sembuh setelah berubat di
mana-mana, memang Bilal Lah bersedia lakukan cara lain. Tahu sangat Abang Jibut
tentu Bilal Lah akan bertapa jauh di hutan, sekiranya terpaksa setelah usaha
lain tidak dapat memulihkan penyakit Sutinah.
"Habis, saya nak buat macam mana?" soal saya
apabila Sarim Cabai membawa Abang Jibut dan Sutinah menemui saya.
"Terpulanglah
pada ustaz," sahut Abang Jibut sudah tidak mahu memikirkan apa-apa lagi.
Biarlah semuanya diserahkan kepada keputusan saya. Dia sudah nekad mahu menghantar
Sutinah balik ke Kemaman sekiranya penyakit Sutinah masih tidak boleh
disembuhkan.
Hatinya mula menuduh tentu ada lelaki yang lain yang mahu
mengambil Sutinah menjadi isteri hingga tergamak menganiaya mereka. Memang niat
lelaki itu mahu runtuhkan kerukunan rumah tangganya. Kalau benar lelaki itu
mahu sangat mengambil Sutinah, bila-bila sahaja Abang Jibut sedia serahkan.
Tidak perlu gunakan iimu hitam hingga menyusahkan dia bersama Sutinah.
Saya tidak salahkan Abang Jibut kalau dia menuduh demikian.
Masakan dia boleh bersabar setelah tujuh tahun memendam perasaan. Bukan mudah
mahu rnenghadapi masalah yang rumit demikian, apalagi sudah beberapa orang
bomoh yang ditemui menuduh Sutinah diganggu ilmu hitam.
Kalau tidak kenapa pula asal masuk sahaja maghrib Sutinah
mula berubah? Dia akan gelisah menahan rasa perut sebu hingga tidak berselera
mahu menjamah makanan. Saat ini kebenciannya terhadap Abang Jibut kian
memuncak, tetapi dia cuba gagahi melawan tekanan perasaan itu.
"Tak apalah Abang Jibut, cubalah bersabar
dulu," saya mengingatkan dia lantas meletakkan tapak tangan pada ubun-ubunnya yang mengombak kuat
dengan wap panas meluap.
Kemudian saya letakkan pula hujung jari telunjuk pada ibu
jari tangan Sutinah dengan membacakan:
innahu min Sulaiman wa innahla' Rahmannir
Rahim,
dan diulangi tujuh kali. Tiba-tiba sahaja Sutinah
menggeletar hingga seluruh. tubuhnya memercik peluh sejuk.
"His, apa halnya
ni, ustaz?" terkejut Abang Jibut melihat keadaan isterinya yang
terketar-ketar tidak menentu.
Sengaja saya tidak menyahut apa apa, sebaliknya terus
berdiri dengan meletakkan semula tapak tangan pada ubun-ubun Sutinah. Wap panas
di kepala itu bertukar menjadi memijar seperti dilumur dengan cili.
Bagaimanapun saya biarkan sahaja bahang yang memijar itu naik hingga ke paras
siku saya.
Ketika ini lantas saya bacakan:
Huwa
auwalu, wal akhiru, wal zahiru, wal batinu, wahuwal rabbil arsyil azzim.
Serentak dengan itu tiba-tiba sahaja Sutinah menangis
mendayu-dayu bagaikan terlalu hiba sangat.
"Siapa yang
suruh kamu ganggu Sutinah?" bentak Abang Jibut tidak bertangguh melepaskan
rasa geram yang sekian lama mendongkol. Belum pernah Sutinah mengalami kejadian
seperti itu setelah beberapa kali dia menemui bomoh. Memang Abang Jibut yakin
dengan tuduhannya selama ini, tentu isterinya telah diganggu ilmu hitam.
Sutinah menggeleng-geleng kepala. Tangisnya semakin sayu
seolah-olah dada terlalu sebak menyayat perasaan. Terlalu sukar dia mahu
menerangkan perasaannya ketika itu kepada Abang Jibut.
"Cakap, siapa suruh kau ganggu Sutinah?" jerkah
Abang Jibut keras seolah-olah mahu mencabar. Tetapi Sutinah sekadar
menggeleng-geleng kepala sahaja dengan tangisnya mendayu-dayu merintih hiba.
Segera saya menyuruh Abang Jibut azan tujuh kali di
telinga kanan Sutinah supaya dia tidak lagi membentak tidak menentu. Semasa
Abang Jibut azan, saya tidak lepaskan tapak tangan daripada ubun-ubun Sutinah.
Sebaik sahaja Abang Jibut azan semakin kuat Sutinah menangis mendayu-dayu
hingga bahu terhenjut-henjut.
Ketika ini saya
rasakan tidak lagi memegang kepala Sutinah, tetapi kepala perempuan tua yang
berkudis seluruh tubuhnya. Mukanya hodoh dengan rambut mengerbang tidak
terurus.
"Tolonglah ustaz," rayunya terketar-ketar
ketakutan. "Kenapa ustaz seksa saya macam ni?" dia merintih hiba
dengan harapan supaya dikasihani ketika itu. Saya tidak hiraukan apa-apa pun.
rintihan perempuan tua berkudis seluruh tubuh itu. Tetapi saya terus bacakan
al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah
an-Nas. Kemudian saya membaca pula:
Alif
lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, uskun aiyuhal waji’
billazi inyasya yuskinirriha fayazlalna rawa kida `ala zohrihi, innafi zalika
la ayatin likulli sabbarin syaku r .
Perempuan tua itu terus menggaru-garu kudisnya hingga
darah memercik keluar. Terketar-ketar dia akibat ketakutan menyebabkan tubuhnya
semakin lemah. Azan yang bergema itu telah menyebabkan sebahagian kepalanya
merekah ,seperti tanah kering pada musim kemarau.
"Aku bukan nak lawan kau ustaz," ujar perempuan
tua hodoh itu mencebek bibir. Air liurnya meleleh keluar dari celah bibir
laksana kambing terkunyah buah bacang busuk.
Tidak perlu saya melayani perempuan tua hodoh itu. Biarlah
dia merintih-rintih sepanjang masa pun, memang tidak akan saya layani. Tugas
saya sekadar bacakan doa-doa sahaja sehingga dia sendiri berundur jauh.
"Siapa suruh kau ke sini?" Abang
Jibut terus mendesak marah.
"Buat apa
tanya macam tu?" perempuan tua itu mencemik muka menampakkan bencinya pada
Abang Jibut. Matanya melingas-lingas memerhati keliling seolah-olah mencari
lorong untuk memboloskan diri.
"Kamu ni siapa?" tengking Abang Jibut masih
tidak puas hati.
Tentulah sia-sia Abang Jibut mendesak kerana dia tidak,
melihat dengan siapa dia berhadapan. Abang Jibut sekadar melihat isterinya
sahaja yang tersengguk sengguk merintih. Tentu dia tidak menyedari tapak tangan saya
terletak di atas kepala perempuan tua hodoh dengan kulitnya dipenuhi kudis
seluruh badan.
Sebab itulah saya tidak mahu bercakap apa-apa. Tidak ada
gunanya melayani perempuan tua hodoh itu kalau dia tidak mahu berundur jauh.
Sekiranya dia terus bertahan, saya juga terus memantapkan zikir hingga bergaung
jauh di dalam hati. Biarlah perempuan tua hodoh itu mengakui sendiri asal
usulnya.
Hairan juga Abang
Jibut kerana isterinya tidak meracau-racau memberitahu siapa yang amalkan ilmu
hitam. Sutinah sekadar menangis sahaja mendayu-dayu. Setelah beberapa kali dia
datang menemui saya, keadaan Sutinah mula berubah.
Dia tidak lagi diganggu sebu perut apabila masuk waktu
maghrib. Penyakitnya pulih sekalipun sejak hampir tujuh tahun menanggung
derita.
Selepas. Sutinah sembuh daripada penyakitnya, memang
emaknya Uteh Merisah mengaku mengenai nenek moyangnya daripada Nenek Bimah
pernah dikenali menjadi bidan dan bomoh di kampungnya.
Tahu sangat Uteh Merisah mengenai kisah Nenek Bimah yang
tidak pernah kekal bersuami. Selepas beberapa bulan sahaja berkahwin dia akan
bercerai lantas mencari anak teruna menjadi suami barunya. Sebab itulah dia
sentiasa kelihatan muda walaupun usianya sudah lebih lima puluh tahun.
Setelah beberapa kali berkahwin dan bercerai, akhirnya
dia berkahwin pula dengan Maaseh. Entah kenapa Maaseh guru agama yang datang
berdagang ke kampung itu tertarik hati sahaja mahu berkahwin dengan Nenek
Bimah?
Puas juga orang-orang kampung nasihatkan Maaseh supaya
tidak cemarkan namanya dengan mengahwini perempuan itu. Tetapi Maaseh tetap
dengan keputusan memilih Nenek Bimah.
"Semoga dia akan beriman kepada Allah," Maaseh
memberi penjelasan mengapa dia tetap dengan keputusannya mahu berkahwin dengan
Nenek Bimah.
"Bimah tu bukannya calang-calang orang,
Maaseh," kata Pak Surip bapa angkatnya kerana bimbang guru agama itu akan terperangkap.
Memang Pak Surip tahu benar latar belakang Nenek Bimah yang sudah berkali-kali
berkahwin dan bercerai itu.
"Dia perlu dididik dengan agama, ayah," ujar
Maaseh menaruh keyakinan yang tinggi untuk membimbing Nenek Bimah yang jauh
lebih tua usia daripadanya.
"Nanti kau terperangkap," bimbang benar Pak
Surip dengan nasib yang akan menimpa Maaseh sekiranya dia terus dengan
keputusannya. "Sudah ramai suaminya menjadi korban dia!" beritahu Pak
Surip cuba menghalang niat Maaseh untuk mengahwini Nenek Bimah. Tetapi Maaseh
terus berkeras seolah-olah sudah dipukau oleh perempuan berkenaan.
Orang-orang kampung juga tahu siapa sahaja lelaki yang
sanggup mengahwini Nenek Bimah, memang mereka sudah dipukau terlebih dahulu.
Lelaki itu akan menurut apa sahaja kemahuan dan perintah Nenek Bimah. Malah
kalau dia mencari lelaki lain pun, suaminya tidak akan berani membantah.
Kadangkala dia sengaja menyuruh suaminya tidur di
serambi, apabila dia membawa lelaki lain tidur di biliknya. Kalau suaminya
membantah, nescaya akan dihalaunya tidak bertangguh. Sepanjang malam suaminya
akan duduk di tangga tidak tergamak meninggalkan Nenek Bimah, sekalipun sudah
dihalau macam kucing kurap.
"Ilmu Bimah
tu kuat, Maaseh," ujar Pak Surip masih terkilan dengan keputusan anak
angkatnya itu. Kesihan benar dia dengan nasib Maaseh kerana sudah dikenakan
ubat guna-guna oleh Nenek Bimah.
"Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang beriman,
ayah," Maaseh tetap juga dengan keputusannya yang sudah tidak boleh diubah
lagi.
Selepas berkahwin dengan Nenek Bimah, memang Pak Surip
sudah dapat menduga mengenai sikap Maaseh. Perempuan itu tidak dapat ditundukkan
oleh guru agama muda itu. Sebaliknya Maaseh yang mematuhi apa sahaja kemahuan
Nenek Bimah, hinggakan dia membuat hubungan dengan beberapa orang pemuda
selepas itu, Maaseh tetap mendiamkan
diri.
Apalagi Maaseh memang jarang balik ke rumah. Dia habiskan
masanya di surau sahaja saban malam. Hanya pada malam-malam tertentu sahaja dia
akan balik ke rumah. Pada mulanya, Nenek Bimah hanya sekadar
bersembunyi-sembunyi membuat hubungan liar itu. Dia akan membawa pemuda itu
bermalam di rumahnya sewaktu Maaseh tidur di surau.
Apabila suaminya balik ke rumah, dia tidak benarkan
pemuda berkenaan jejakkan kaki lagi.
Tetapi lama kelamaan dia tidak dapat membendung perbuatan
buruknya. Pemuda yang membuat hubungan liar dengannya datang juga semasa Maaseh
ada di rumah. Tidak segan-segan Nenek Bimah menyuruh Maaseh tidur di serambi
disebabkan dia mahu tidur di bilik bersama pemuda berkenaan.
"Bukankah aku ni suami kamu?" Maaseh berlembut
mengingatkan isteri yang sudah dipengaruhi ilmu syaitan itu. "Malam ni,
aku tak mahu tidur dengan kau!" lantas sahaja Nenek Bimah mencemuh dengan
tidak berselindung lagi.
"Perbuatan kamu ni dikutuk Allah," ujar Maaseh
cuba memujuk isterinya.
"Nak cakap
fasal agama, pergi ke surau!" bentak Nenek Bimah terus menutup pintu
bilik.
"Kalau mahu ingkar, aku terpaksa ceraikan
kamu," jelas Maaseh dengan tenang, tetapi masih tercegat di depan pintu
bilik.
Terkejut Nenek Bimah dengan keputusan Maaseh. Tidak
pernah didengarnya sebelum itu suaminya sanggup melafazkan cerai di depannya.
Mereka yang merayu-rayu hingga terpaksa melutut di depannya tidak mahu
menceraikan dia. Hairan juga Nenek Bimah apabila ilmu guna-gunanya tidak
memberi kesan untuk menundukkan Maaseh.
"Kau boleh berambus!" jerit Nenek Bimah dari
dalam bilik melepaskan geram. Perlahan-lahan Maaseh berundur setelah isterinya
tidak dapat dipujuk. Dia terus melangkah turun menuju ke rumah Pak Surip.
Kecewa benar dia kerana tidak dapat membawa Nenek Bimah balik ke jalan yang
diredhai Allah.
"Alhamdulillah, setidak-tldaknya kau tak jadi dayus
macam suami-suami Bimah dulu," tutur Pak Surip bangga sekalipun masih
terguris rasa terkilan di hati. "Kau masih mampu melafazkan cerai di
depannya," dia menambah dengan rasa terharu yang memuncak.
Tidak lama selepas itu, tiba-tiba sahaja Liham adik Nenek
Bimah tercungap-cungap datang mendapatkan Maaseh.
"Kenapa ni, Liham?" soal Pak Surip terkejut
dengan kedatangan Liham ke situ.
"Tolonglah Kak Bimah tu, Pak Surip," terlalu
cemas Liham hingga terputus-putus suara menuturkan.
"Apa halnya
ni?" terpaksa Pak Surip memujuknya supaya bertenang.
"Tak tahulah
saya, tapi saya dengar Kak Bimah terjerit-jerit minta tolong," beritahu
Limah masih lagi cemas tidak menentu. "Saya tak berani nak naik ke
biliknya," katanya dengan penuh harapan.
Disebabkan kasihan dengan permintaan Liham yang mendesak,
terpaksa juga Maaseh bersama Pak Surip ke rumah Nenek Bimah. Tidak tergamak
pula mereka membiarkan perempuan itu diganggu musuh. Manalah tahu nyawa Nenek
Bimah terancam hingga terjerit-jerit meminta pertolongan.
Sewaktu mereka sampai di situ, jerit pekik Nenek Bimah
masih melangsing, bercampur baur dengan suara pemuda yang bersama dengannya.
Jiran-jiran yang tidak sampai hati mendengar jeritan yang merintih itu cuba
juga menolong, tetapi mereka semua tidak dapat membolos masuk disebabkan bilik
berkenaan berkunci rapat.
Mahu tidak mahu terpaksalah Liham pecahkan pintu dengan
kapak. Sebaik sahaja pintu terpokah, mereka semua terkejut melihat keadaan
Nenek Bimah berbogel dengan pemuda berkenaan. Tubuh mereka bercantum
seolah-olah daging melekat. Tergapai-gapai tangan Nenek Bimnah meminta pertolongan,
hinggakan amalannya selama ini tidak berguna apa-apa pun untuk membantu dalam
keadaan demikian,
"Kau buat apa pada aku ni, Maaseh?" gerutu
Nenek Bimah tiba-tiba memandang Maaseh yang tercegat di pintu bilik.
"Aku tak buat apa-apa," tegas Maaseh
beristighfar beberapa kali. "Sebenarnya Allah mau menunjukkan kepada hambaNya
bahawa ilmu syaitan itu amat terbatas," ujar Maaseh menahan rasa terharu
dengan perbuatan perempuan itu.
Terdiam Nenek Bimah sekalipun hatinya mendongkol marah.
Dia merasa dirinya dianiaya oleh Maaseh hinggakan seisi kampung melihat keadaan
dia berbogel dengan pemuda berkenaan. Tubuh mereka berdua bercantum tidak boleh
dilekangkan lagi.
"Habis, nak
buat macam mana ni, bang?" Liham menepuk bahu Maaseh dalam keadaan serba
salah.
Tahu sangat Liham memang kakaknya derhaka kepada suami.
Tetapi dalam keadaan demikian kakaknya mesti diselamatkan. Kejadian yang memalukan
semua kaum keluarganya itu tidak boleh dijadikan tontonan ramai.
"Kalau boleh
tolong, kita tolonglah dia, Maaseh," bisik Pak Surip kebingungan kerana
tidak pernah melihat kejadian yang menakutkan itu.
"Cubalah buat macam mana pun, bang," rayu Liham
selanjutnya semakin tidak ketahuan.
"Kejadian ini terjadi dengan kehendak Allah, maka kepada
Allah kita mohonkan pertolongan dan perlindungan," ujar Maaseh perlahan
lantas ke hujung serambi untuk tunaikan solat sunat dua rakaat.
Selepas selesai solat, dia meminta sediakan air sejuk
satu jag daripada Liham. Dia bacakan Yassin, kemudian siramkan air di dalam jag
itu ke tubuh Nenek Bimah yang bercantum dengan tubuh pemuda berkenaan. Selepas
itu dilangkahnya tiga kali tubuh mereka, lantas ditamparnya kepala Nenek Bimah
dan pemuda itu tiga kali.
Tiba-tiba sahaja kedua-dua tubuh itu renggang sebaik
sahaja kepalanya ditampar. Barulah terbit rasa malu di dalam hati Nenek Bimah
apabila berdepan dengan jiran-jiran. Manalah dia mahu letakkan muka kerana
semua jiran-jiran melihat dia dalam keadaan memalukan? Disebabkan terlalu malu
itulah Nenek Bimah terlalu berdendam terhadap Maaseh. Dia percaya Maaseh
sengaja gunakan ilmu kebatinan biar dia menanggung malu berdepan dengan
orang-orang kampung. Kalau Maaseh mahu tunjukkan kehebatan menguji dia dengan
ilmu kebatinan, Nenek Bimah juga boleh lakukan.
Tidak lama selepas kejadian itu tiba-tiba sahaja orang
kampung diberitahu mengenai kematian Maaseh di rumah Pak Surip. Mereka tahu
Maaseh meninggal dunia disebabkan terminum racun, tetapi tidak berani menuduh
siapa pun melakukan perbuatan itu.
Liham syak juga kakaknya yang meracun Maaseh. Marah juga
dia dengan perbuatan kakaknya, tetapi Pak Surip ingatkan Liham jangan menuduh
sesiapa pun. Manalah mereka dapat buktikan kalau berkeras menuduh Nenek Bimah
laku-kan?
"Biarlah
Allah tentukan segalanya," bisik Pak Surip mententeramkan Liham.
Disebabkan malu
dengan perbuatan kakaknya itu, Liham meninggalkan kampung halaman berpindah ke
tempat lain. Siapa pun tidak tahu ke mana Liham membawa hatinya yang kecewa.
Dia tidak menghubungi sesiapa pun di kampung itu, selepas jauh membawa diri.
Hanya dalam tempoh
sebulan sahaja selepas Maaseh dikebumikan, tiba-tiba seluruh tubuh Nenek Bimah
dihinggapi kudis. Kulitnya merekah-rekah seperti tanah sawah yang kering
tatkala musim kemarau. Siapa pun tidak pedulikan Nenek Bimah lagi selepas
tubuhnya dihinggapi kudis hingga daging membusuk.
Jangan katakan anak-anak muda mahu terpikat, malah anak-anaknya
tidak pernah menjengah. Memang Nenek Birnah mempunyai anak dengan suaminya yang
terdahulu, tetapi masing-masing tidak pernah rapat dengan Nenek Bimah. Kalau
mereka datang menjengah pun, Nenek Bimah akan menghalaunya.
"Sampai mati pun, penyakit tu tak sembuh-sembuh,
ustaz," beritahu Uteh Marisah mengenai kejadian yang menimpa nenek moyangnya
sejak beberapa keturunan dahulu. Memang saya ingin juga tahu, bagi mencari
punca sebenar siapakah jelmaan perempuan tua hodoh berkudis seluruh badan yang
saya lihat itu.
Tentulah perempuan tua yang menjelma itu mempunyai
hubungan kekeluargaan dengan Sutinah. Kalau tidak masakan bayangannya menjelma
apabila Sutinah diganggu penyakit ganjil itu. Masakan Sutinah diganggu ilmu
hitam sekiranya dia sekadar menangis sayu. Sutinah akan melompat bengis kalau
diganggu ilmu hitam apabila didoakan demikian. Sebab itu saya dapat mengagak
Sutinah sekadar diganggu saka keturunan yang diamalkan oleh nenek moyangnya
dahulu.
"Boleh jadi Nenek Bimah tu yang merasuk
Sutinah," tuduh Abang Jibut tersenyum disebabkan isterinya sembuh semula.
Tetapi saya tidak dapat menerangkan apa-apa selanjutnya.
Asalkan Sutinah sembuh sudah memadai. Selepas itu, Alhamdulillah, Sutinah tidak
diganggu sebu perut setiap senja menjelang. Dia boleh melayani Abang Jibut
sebagai suami yang perlu dimesrai sepanjang masa.
Segala yang menimpa isterinya itu habis diceritakan oleh
Abang Jibut kepada Bilal Lah yang menjadi bapa angkat-nya. Sebab itulah ketika
terserempak Abang Jibut selepas mengurut kaki anak saya di rumahnya, Bilal Lah
menjadi rapat dengan saya.
"Masa muda-muda dulu, saya pun jahat, ustaz,"
ujar Bilal Lah apabila saya berkunjung ke rumahnya selepas itu. "Tapi,
selepas kahwin dengan mak cik ini, saya ubah perangai," dia ketawa
terkekeh-kekeh apabila kenangkan peristiwa masa lampaunya.
"Pak Bilal ni suka berlawak, ustaz," Abang
Jibut mencelah sambil mengerling orang tua itu.
Sekalipun Abang Jibut tidak menerangkan kenapa dia sering
menemui Bilal Lah, tetapi saya tahu memang dia mempelajari beberapa amalan
daripada orang tua berkenaan. Tentulah dia tertarik hati mahu mempelajarinya
setelah mengalami kejadian yang menimpa Sutinah sejak bertahun-tahun.
"Abang Jibut nak belajar apa daripada Pak
Bilal?" sengaja saya mengusiknya kerana dia memegang buku catatan di
tangan.
Tersengih-sengih
Abang Jibut dengan usikan saya. Dia tidak perlu berahsia lagi di hadapan saya,
kerana sudah beberapa kali dia memberitahu tujuan kedatangannya ke situ.
"Zaman sekarang buat apa nak bertapa-tapa
lagi?" ujar saya bergurau tetapi memang mengingatkan dia supaya tidak
terpengaruh sangat mahu mempelajari amalan demikian.
Tetapi Abang Jibut tidak menyahut. Malu juga dia mahu
menerangkan keinginannya tiba-tiba sahaja mahu belajar amalan tersebut.
Tentulah memakan masa dia mahu mencapai tahap yang dilalui oleh Bilal Lah yang
sudah amalkan sejak usianya masih muda lagi.
"Bukan senang nak bertapa ni," jelas Bilal Lah
seolah-olah tidak menggalakkan Abang Jibut terpengaruh sangat dengan amalan
bertapa itu. Lainlah di masa lalu peluang mahu belajar memang terbatas, hingga
mereka terpaksa bertapa jauh di tengah hutan.
Ketika mula
bertapa dulu, memang Bilal Lah masuk ke gua-gua jauh di tengah hutan. Saat ini
hutan rimba masih belum diteroka sesiapa. Tentulah tidak ada siapa pun akan
mengganggu apabila dia mengasingkan diri jauh ke tengah hutan.
Tentulah masa sekarang amalan bertapa itu sudah tidak
sesuai lagi. Kadangkala tengah hutan pun sudah menjadi tempat laluan orang
berburu di tengah malam. Sudah tentu pertapaan mereka terganggu sekiranya
terserempak orang melintas.
Masakan Abang
Jibut sanggup menempuh dugaan sepertinya tatkala membawa diri ke tengah hutan
dengan hanya berbekalkan tujuh butir bertih setiap hari. Tetapi di masa lalu,
memang Bilal Lah boleh lalui. Dia tidak pernah memikirkan perkara dunia,
tatkala memencilkan diri di tengah gua dalam hutan rimba.
Sebab itu Bilal Lah tidak goyang hatinya tatkala tubuhnya
dikelilingi beribu-ribu ekor ular bisa. Malah dia sengaja biarkan dirinya
ditelan ular sawa besar hingga terasa sejuk tatkala melalui kerengkungnya. Ketabahan
hatinya menyebabkan ular sawa tersebut luahkan dia dengan meninggalkan buntat
hitam berkilat di atas ribanya.
Masakan Abang Jibut boleh bersabar sekiranya ditelan ular
hingga sampai ke kerengkung. Tentu Abang Jibut akan menghambur lari sebaik
sahaja tubuhnya dilulur ular besar mengangakan mulut.
Bukan takat dilulur ular besar sahaja yang dilalui Bilal
Lah sewaktu bertapa di tengah gua, malah dia dicampakkan oleh lembaga besar ke
dalam gaung berjurang. Sewaktu tubuhnya terhumban ke bawah gaung, dirinya
tidaklah terhempas ke batu jeram. Bilal Lah hanya jatuh ke atas rimbunan rumpun
buluh seolah-olah tilam empuk yang tidak mencederakan diri.
Di situ dia dilayani oleh dayang-dayang cantik. Tetapi
Bilal Lah tetap tidak melayani dayang-dayang cantik itu hingga dia didatangi
lelaki berjubah putih. Sebaik sahaja diberikan oleh lelaki itu keris berbungkus
kain kuning, Bilal Lah merasa dirinya diterbangkan angin balik semula ke tempat
dia bertapa.
"Hah, banyak rintangan perlu ditempuh kalau mahu
bertapa," tutur Bilal Lah selanjutnya. Bagaimanapun, memang banyak
pengalaman Bilal Lah yang berguna kepada saya untuk dijadikan panduan.
No comments:
Post a Comment