Sunday, July 29, 2018

288. TUBUH MAYAT BERLUBANG LUBANG


Sukar bagi orang lain mahu mempercayai cerita Pak Sulah, walaupun dia tidak pernah berbohong. Kadangkala seseorang itu memang tidak dipercayai kalau bercakap benar, disebabkan sesiapa pun tidak memikirkan sangat tentang kebenaran ceritanya. Sebab itulah Pak Sulah lebih suka menyimpan rahsia dirinya dari sesiapa pun.
Dia tidak mahu menceritakan kepada jiran-jirannya apabila pada satu pagi dia terjatuh dari basikalnya semasa hendak pergi menoreh getah. Sebaik dia mahu bangun sambil menggosok-gosok kepala lututnya yang terasa pedih, dia melihat sebutir batu hitam sebesar guli menggolek.
Marah juga Pak Sulah disebabkan kepala lututnya terasa sakit apabila tersendal pada batu berkenaan. Lantas dicapainya batu hitam tersebut mahu dilimparkannya. Tetapi sebaik saja dia cuba menghayun tangannya tiba iba seekor ular tedung selar menerkam tangannya hingga melekat taringnya di situ. Puas juga Pak Sulah melibas-libas tangannya mahu melepaskan gigitan ular berkenaan.
Dalam masa demikian batu hitam tersebut terus digenggamnya erat-erat. Apabila dia berjaya melepaskan ular tedung selar itu dari melekat di tangannya, dia melihat ular itu menggelupur di tanah. Beberapa saat saja ular itu terkejang tidak dapat bergerak.
"Inikah buntat ular?" fikir Pak Sulah memerhatikan batu hitam di dalam genggamannya.
Dengan tidak berfikir panjang dibungkusnya batu hitam itu baik-baik dengan kain pengikat kepalanya. Dia teruslah kekebunnya menoreh getah. Sehingga selesai dia menoreh tidak ada apa-apa pun dirasanya pada bekas gigitan ular tadi, sekalipun banyak juga darah keluar.
Semasa mengangkat susu getah pula, Pak Sulah terserempak dengan ular tedung senduk pula menyebabkan dia terkejut hingga hampir terhumban baldi di tangannya.
"Celaka kau!" rungut Pak Sulah sambil meludah ke arah ular tersebut yang mengembangkan kepalanya.
Tetapi tiba-tiba saja ular itu terhuyung-hayang lantas merebahkan kepalanya ke tanah. Ular itu menggelupur seperti menahan kesakitan, tetapi tidaklah kelihatan ianya sakit. Hairan juga Pak Sulah melihat kelakuan ular tedung senduk itu menggelepar-gelepar di atas daun getah kering yang berse!erak di dalam kebun berkenaan.
"Kenapa pula kau ni...?" tiba-tiba saja hatinya berani untuk menepuk-nepuk kepala ular itu. Sekonyong-konyong saja ular tedung senduk berwarna hitam itu kembali segar. Berkali-kali dia mengangguk-anggukkan kepala seolah olah mengucapkan terima kasih kepada Pak Sulah.
"Buat apa kau berterima kasih dengan aku!" rungut Pak Sulah tersengih-sengih dengan kelakuan ular berkenaan. Kemudian ular tedung senduk itu pun menyusup hilang di dalam belukar.
Apabila balik ke rumah Pak Sulah tidak menceritakan kepada sesiapa pun perihal dia menemui uar tersebut. Pada malamnya dia menjadi resah gelisah hingga keluar ke serambi tidur. Hairan juga isterinya Mak Demah melihat kelakuan suaminya yang resah tidak boleh melelapkan mata.
“Panas sangat..." rungutnya mengipas-mengipas tubuhnya yang tidak berbaju dengan kain selimut.
“Jadah ke apa awak tu ' sahut Mak Demah dari dalam.
“Tengah-tengah malam macam ni pun panas, orang di dalam ni sejuk tak terkira" katanya menyindir suaminya yang lari tidur keluar.
Tetapi dalam suasana demikianlah Mak Demah melelapkan matanya. Sementara Pak Sulah di serambi masih juga terkebil-kebil mata. Sekejap dia mengereng ke kiri sekejap mengereng ke kanan. Lama kelamaan dia membukakan terus tingkap di hujung serambi biar angin malam berhembus menerobos ke serambi rumah.
Terasa nyamannya angin malam apabila tingkap di hujung serambi sudah terbuka. Sewaktu matanya hampir terlelap, Pak Sulah ternampak bayang hitam terlingguk-lingguk pada tingkap di hujung serambi. Dia cuba bangun mahu melihat tetapi seluruh tubuhnya terasa kaku tidak boleh bergerak. Terpaksalah dia mendiamkan diri saja sebaik dia melihat kepala seekor ular besar terjongol di situ.
Ular besar yang naik melalui tingkap itu terus menjalar mendapatkan Pak Sulah yang terkaku tidak dapat bergerak. Perlahan-lahan ular berkenaan menjilat pada tapak kaki Pak Sulah lantas menyusup ke dalam kain sarungnya. Ular itu menjilat-jilat di seluruh bahagian kakinya menyebabkan Pak Sulah semakin gementar kerana ketakutan.
Kalaulah dia boleh melompat bangun, memang dia akan bingkas melarikan diri. Dia akan memekik me-minta pertolongan supaya ular besar itu dibunuh saja. Sebaliknya dia tidak berupaya melakukan apa-apa, hanya sekadar mendiamkan diri saja seperti mayat terbujur. Tidak ada apa-apa yang boleh dilakukannya selain dari mernbiarkan saja ular tersebut menjilat seluruh tubuh badannya.
Selepas ular itu habis menjilat seluruh badannya, Pak Sulah dapat merasakan seluruh tubuh-nya dibelit seperti bayi dibedung di dalam Iingkungan ular berkenaan. Ke-mudian tubuhnya dibawa bergolek tiga kali ke kanan dan tiga kali ke kiri. Setelah semuanya selesai ular besar itu turun melalui tingkap yang terbuka hilang bersama kegelapan malam.
Sebaik saja ular itu hilang dari pandangan barulah Pak Sulah bingkas bangun lantas lari masuk ke dalam mendapatkan isterinya. Dia terketar-ketar ketakutan sambil mulutnya tergagap-gagap tidak dapat mengeluarkan sepatah kata pun.
"Ada apa?" soal Mak Demah merungut disebabkan terkejut dari tidurnya yang nyenyak.
Pak Sulah tidak dapat berkata apa-apa. Seluruh tubuh-nya menggeletar ketakutan. Mak Demah dapat melihat peluh kasar merenik renik di dahi Pak Sulah. Lama juga Pak Sulah tercungap cungap bagaikan putus nafas barulah dia dapat mengawal perasaannya yang diselubungi ketakutan sejak peristiwa yang tidak diduganya itu.
"Ular sebesar tiang ..." ujarnya terputus-putus.
"Mana ada ular, awak ni bermimpi agaknya" sahut Mak Demah tersengih-sengih kerana mengagak suaminya mengigau.
Memang Mak Demah tidak percaya ular sebesar tiang naik ke rumahnya. Malah dia tidak mendengar apa-apa kelainan di serambi semasa Pak Sulah tidur di luar. Kalau benarlah ular sebesar tiang menjalar naik sudah tentulah bergegar tingkap di hujung serambi sebab geselan ular yang besar terlalu kuat semasa menjalar.
"Aku tak mimpi" beritahu Pak Sulah masih diselubungi ketakutan.
Semalaman itu dia tidak dapat tidur setelah mengalami peristiwa tersebut, sekalipun isterinya memperolok-olokkan dia.
Keesokan harinya Basar Badak anak mereka yang tua memekik-mekik memanggil emaknya memberitahu ada denai ular di sebelah hujung serambi rumah menuju ke belukar di belakang rumah. Denai itu hilang sebaik sampai saja di belukar senduduk, tetapi masih nampak kesannya di atas rumput yang lembab oleh embun.
Barulah Mak Demah percaya den-gan cerita suaminya, tetapi dia hairan mengapa ular berkenaan tidak mencederakan Pak Sulah. Bagaimanapun kisah Pak Sulah dibelit ular semalaman itu tidaklah menjadi heboh kerana orang-orang kampung tidak menghiraukan sangat cerita berkenaan.
Hinggalah berlaku peristiwa kambing Pak Sulah menyerbu masuk merosakkan anak benih padi Lajim Uban. Terlalu marah Lajim Uban sampai dia menghunus parang menghambat Pak Sulah yang sedang tekun di sawahnya. Jiran-jiran yang sedang bekerja di sawah ikut terkejut dengan tindakan Lajim Uban mengancam Pak Sulah. Puas juga jiran-jiran menyabar kan Lajim Uban su-paya tidak terburu-buru bertindak, tetapi dia tetap berkeras dengan mengibas-ngibas mata parangnya.
"Bukan sekali dua kambing kau musnahkan anak benih aku!" bentak Lajim Uban menggertap bibir. "Kau ingat boleh setakat ganti aje, nanti padi orang semua dah naik, aku baru nak mengubah benih..." dia tidak dapat me-nahan marahnya.
"Lajim, kalau benih kau habis dimakan kambing aku kau ambillah benih aku tu semua sekali" sahut Pak Sulah tersinggung dengan sikap Lajim Uban yang tidak mahu bertolak ansur
"Aku tak mau benih kau, aku nak ganti dengan duit!" Lajim Uban menggenggam parangnya erat-erat.
Berapa duit yang kau minta?" Pak Sulah cuba bersabar dengan sikap Lajim Uban itu. "Kau taksirlah sendiri!" suara Lajim. Uban keras lantang di tengah sawah. Jiran-jiran yang sama bekerja di sawah masih berharap Lajim Uban mengubah pendirian nya menerima tawaran Pak Sulah.
Tetapi Lajim Uban sudah seperti dirasuk syaitan. Dia tidak dapat mengawal perasaannya. Dia merempuh ke hadapan mengibas-ngibaskan mata parangnya ke dada Pak Sulah yang berdiri tidak berganjak sedikit pun menunggu serbuan dari Lajim Uban. Tiba-tiba saja orang ramai melihat Lajim Uban menjatuhkan parangnya sambil terlompat-lompat ketakutan. Dia terjerit-jerit meminta tolong memekik, "Ular! ulara ular!" berulang kali.
Jiran-jiran semuanya menjadi hairan kerana mereka tidak melihat seekor pun ular di situ. Setelah puas terlompat-lompat ketakutan akhirnya Lajim Uban jatuh pengsan. Terpaksalah jiran-jiran semuanya menandu dia balik ke rumah.
Apabila ditanyakan kepada Pak Sulah mengenai kata-kata yang direpek oleh Lajim Uban, dia sendiri tidak faham keadaan sebenarnya. Kerana dia juga melihat Lajim Uban terlompat-lompat memekik, walhal dia sendiri merasa cemas apabila diserbu dengan parang oleh Lajim Uban.
Seminggu lama nya Lajim Uban pengsan tidak sedarkan diri, datanglah isteri Lajim Uban rumah Pak Sulah meminta maaf.
"Saya datang ni, minta Abang Sulah cubalah ubatkan Lajim tu “ Pinta Mak Unah kerana bimbangkan penyakit Lajim Uban itu disebabkan ketulahan bertindak kasar terhadap Pak Sulah.
Dia juga tidaklah menolak permintaan Mak Unah itu. Bagaimana pun sepanjang perjalanan menuju rumah Lajim Uban hatinya sentiasa tertanya-tanya apakah ubat yang hendak diberikanya  kerana dia sendiri bukanlah bomoh yang pandai menyembuh penyakit.
Ketika Mak Unah sudah berjalah jauh kehadapan ist Unah jauh tiba-tiba saja Pak Sulah dihalang oleh lelaki tua berpakaian serba hitam. Lelaki tua itu menyeringai saja menampakkan giginya yang tinggal dua batang di hadapan.
"Kenapa halang aku?" soal Pak Sulah marah. "Aku bukan nak halang kau" beritahu lelaki tua itu tersengih-sengih. "Aku nak beritahu kau, gunakan buntat ular yang perolehi tu kalau nak mengubatkan orang. tu" katanya mene-puk-nepuk bahu Pak Sulah.
"Siapa awak ni?" Pak Sulah merasa gementar pula melihat orang tua yang bergigi dua di hadapannya bagaikan taring ular saja pada penglibatan matanya.
"Aku yang beri kau buntat tu.. jelas orang tua itu selanjutnya tersengih-sengih. "Memang kau ni tak tau, selama ini aku sentiasa menolong kau!" ujarnya lantas menghilang dari pandangan Pak Sulah.
Berdebar hati Pak Sulah selepas bertemu lelaki tua berkenaan. Dia semacam tidak percaya dengan apa yang di-jelaskan oleh lelaki tua tersebut. Tetapi setelah memikirkan kejadian dia dijilat ular pada malam yang menakutkan hatinya dulu, dia rnula merasakan keberanian yang kuat dalam dirinya.
Apabila sampai di rumah Lajim Uban tidak bertangguh lagi dia merendamkan buntat ular, dan airnya diberi minum serta direnjis kan ke tubuh Lajim Uban. Hanya beberapa minit saja Lajim Uban mula terpinga-pinga bangun.
Dia menceritakan pengalamannya semasa hendak menetak Pak Sulah, tetapi yang dilihatnya ular setinggi berdiri di depannya.
Apabila dia mahu berundur dilihatnya pula beratus-ratus ekor ular di merata tempat menuju kearahnya. Memang dia tidak menduga kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata saja.
"Aku lihat di depan aku bukan lagi Abang Sulah, tapi ular tedung selar setinggi berdiri" katanya geli gelemam menahan ngeri ketakutan.
Sejak itu seisi kampung menyedari bahawa Pak Sulah memang seorang bomoh ular yang handal. Pernah seorang perempuan dari kampung lain di patuk ular tedung senduk hingga dikatakan mati, tetapi suaminya enggan mengkebumikannya kerana tubuh wanita itu kelihatan berpeluh.
Dia telah memanggil Pak Sulah cuba mengubati isterinya yang dirasakannya hanya pengsan saja itu. Pak Sulah tidak lah menolak apabila dijemput. Dia datang dengan satu janji untuk memanggil ular yang bertanggungjawab mematuk isteri lelaki berkenaan. Setelah dia membakar kemenyan lalu diserunya semua ular datang membuat pengakuan siapakah yang bertanggung jawab.
Beratus-ratus ekor ular datang ke situ, tetapi semuanya melenggok-lenggokkan kepala seolah-olah menggeleng. Kemudian mereka pergi meninggalkan rumah tersebut. Hampir satu jam kemudian barulah muncul seekor ular tedung senduk berwarna hitam pekat meliuk liukkan kepalanya terhangguk-hangguk
"Ambil bisa kau semula!" perintah Pak Sulah menudingkan jarinya ke arah mayat wanita yang terbujur itu.
Ular berkenaan mengangkat kepala mahu menerkam ke arah Pak Sulah, tetapi segera diludah oleh Pak Sulah. Bergulung-gulung ular itu disinggahi oleh air ludah Pak Sulah bagaikan kesakitan. Memang jelas ular itu kesakitan kerana tubuhnya yang hitam bertukar menjadi kemerah-merahan.
"Kau jangan cuba melawan...!" jerkah Pak Sulah menghentakkan tumitnya ke lantai tiga kali.
Puas juga ular itu mahu mengelak, tetapi terpaksa juga menjalar mencari bekas patukannya di betis wanita berkena an. Kemudian dia mematuk semula pada bekas gigitannya hingga taringnya melekat. Berpintal-pintal dia mahu melepaskan taringnya yang melekat pada betis wanita berkenaan.
Ular itu seakan-akan menghisap sesuatu di betis itu hingga kelihatan kepalanya bertukar menjadi biru biji kundang. Warna ungu itu pula kelihatan bergerak perlahan-lahan dari kepalanya hingga sampai ke seluruh tubuhnya. Setelah seluruh tubuhnya menjadi biru ungu barulah gigitannya terlepas dari betis wanita itu. Sekaligus pula dia menggelepar dan mati di situ juga.
Selepas itu barulah wanita itu menggerakan tubuhnya, dan dia sedar semula. Kehebatan Pak Sulah sebagai bomoh ular memang dikenali sangat, tetapi tidak semena-mena pula salah seorang anaknya menjadi lumpuh dan menjalar seperti ular. Puas juga dia mengubati anaknya itu, tetapi penyakitnya tidak dapat dipulihkan hinggalah anaknya itu meninggal dunia.
Kematian anaknya itu menyebabkan Pak Sulah semacam kecewa untuk meneruskan kebolehannya menjadi bomoh ular. Terfikir juga di hati nya untuk membuangkan saja buntat ular yang diperolehinya itu. Tetapi dia didatangi oleh orang tua berpakaian serba hitam dengan dua batang gigi jongang di hadapan nya.
"Kau tak boleh buang-buang sesuka hati kau...!" orang tua itu mengingatkan dia.
"Aku tak mahu buntat ni bertukar nyawa dengan anak aku" sahut Pak Sulah marah dengan kehadiran orang tua tersebut.
"Kalau macam tu kau sendirilah jadi galang gantinya" kata orang tua itu lantas menjelma menjadi seekor ular tedung selar berdiri tegak di hadapan Pak Sulah. Ekornya mencecah ke tanah dengan berdiri tegak melepasi kepala Pak Sulah.
Melihatkan ular tedung selar berdiri tegak di hadapannya itu, serta merta Pak Sulah menjadi gementar. Seluruh tubuhnya terasa menjadi lemah tidak bermaya.
"Mengapa aku yang kau cari?" kata nya terketar-ketar semacam meminta belas kesihan.
"Sebab kau sudah menerimanya" suara garau orang tua itu keluar dari mulut ular tedung selar yang berdiri di hadapannya. "Dulu, kenapa kau mahu mengambilnya?" soalnya marah.
"Sekarang aku tak mau, kau ambil lah balik..." ujarnya menghulurkan buntat tersebut.
"Wah kau fikir mudah sangat" suara orang tua itu memarahinya. "Bila kau suka ambil kau ambil. Bila tak mau kau pulangkan, macam ni perangai kau ye!" katanya mengherdik.
Serba salah juga Pak Sulah dibuat-nya. Saat ini dia me-rasakan dirinya ditelan mati emak, diluah mati ayah. Dia tetap terikat dengan kemahuan orang tua yang menjelma menjadi ular tedung selar di hadapannya. Kebolehannya menjadi bomoh ular itu terpaksa ditukar ganti dengan kemahuan orang tua berkenaan mengikut kehendaknya.
Mahu tidak mahu terpaksalah Pak Sulah menerima kehendak orang tua itu yang telah memberikan kelebihan kepadanya sebagai bomoh ular. Dia terus dikenali di kampung itu sebagai bomoh ular. Pernah berlaku kegemparan apabita kerbau Lebai Budin tiba-tiba naik minyak. Kerbau itu mengamuk di dalam kampung hingga menyebabkan orang-orang kampung ketakutan.
Tidak ada siapa pun berani turun ke tanah disebabkan kerbau itu mengamuk hingga sampai ke malam. Kerbau itu menyondol gelegar rumah hingga bergoyang kuat dirempuhnya. Dia berlari sekeliling kampung seperti dirasuk puaka. Disebabkan tidak ada jalan lain, terpaksalah Pak Sulah cuba mententeramkan keadaan.
Dia turun ke halaman rumah menunggu kedatangan kerbau itu dengan memegang suluh di tangan. Lebai Budin bersama orang-orang kampung memerhatikan saja dari jendela rumah. Sementara beberapa orang pemuda yang tidak sempat naik ke rumah terpaksa memanjat pokok sejak petangnya lagi tidak dapat turun kerana takutkan kerbau tersebut.
"Jaga-jaga Sulah" laung Lebai Kudin sebaik saja mendengar kerbau berlari laju menuju ke arah Pak Sulah. Belum pun sempat Pak Sulah menyahut mereka semua melihat kerbau itu menyerbu ke arah suluh yang dipegang oleh Pak Sulah. Melambung tinggi suluh itu sebelum jatuh ke tanah.
Bagaimanapun di dalam gelap itu mereka tidak dapat melihat apa sebenarnya telah berlaku. Hanya yang kedengaran kerbau berkenaan berguling-guling di tepi pagar. Sekali imbas mereka melihat bayang seekor ular besar berbelit-belit di tubuh kerbau itu, tetapi mereka tidaklah berani menuduhnya kerana tidak berap jelas kelihatan.
Sekali-sekala mereka mendengar kerbau itu menguak-nguak. Dari dalam gelap itu Pak Sulah memanggii mereka semua segera' turun supaya kerbau berkenaan disembelih saja. Lebai Kudin juga bersetuju supaya kerbaunya itu disembelih saja kerana bimbang dia akan turun minyak semula di lain hari.
Memang di tempat kerbau gitu terguling, mereka melihat bekas pergelutan dengan kerbau itu oleh satu tenaga yang kuat serta luar biasa. Apabila ditanya pada Pak Sulah, dia hanya memberitahu kerbau itu .menjadi jinak apabila sampal ke hadapannya.
Tidak lama selepas lagi Pak Sulah dilanda kekecewaan apabila cucunya anak Bahar Badak yang baru berumur lima bulan menjadi lumpuh tidak semena-mena, Budak itu juga bertubuh lembik seperti tidak bertulang. Setiap kali dia menggerakkan tubuhnya seakan-akan seekor yang menjalar.
Melihatkan keadaan cucunya itu terasalah belas kesihan di hati Pak Sulah. Dia menangis teresak-esak melihat keadaan cucunya itu
"Kalau nak bertukar nyawa pun, biarlah dengan atuk,’ katanya menatap wajah cucunya yang masih kecil itu. Mak Demah dan Basar Badak tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Pak Sulah. Hanya mereka sedar buntat yang disimpannya elok-elok itu hilang entah ke mana.
Tidak lama selepas kehilangan buntat berkenaan, Pak Sulah jatuh sakit. Seluruh tubuhnya menjadi berlubang seperti dipatuk ular serta mengeluarkan darah Terpaksa Basar Badak mencari bomoh dari kampung-kampung lain untuk mengubati ayahnya, tetapi mereka semua tidak menyanggupi setelah mencubanya tiga hari berturut-turut.
Sakitnya itulah yang membawa maut dengah keadaan yang mengerikan. Tubuhnya biru lebam, dengan kesan patukan ular di seluruh tubuhnya. Darah mengalir pekat dari bekas yang dilihat seperti kesan patukan ular. Tidak lama selepas kematiannya, anak Basar Badak pun pulih dari sakit lumpuhnya.
"Macam itulah cerita aruah datuk saya dulu ustaz..." ujar Siti Maherah kepada saya, kerana dialah anak Basar Badak yang hampir diragut maut akibat penyakit lumpuh semasa berumur lirna bulan. Suaminya Sahidin mengangguk-ngangguk kepala sambil memerhati ke arah anaknya yang berumur tiga tahun tiba-tiba saja tidak boleh menggerakkan seluruh badannya selepas mengidap demam panas.



No comments:

Post a Comment