Hujan turun
renyai-renyai sejak senja lagi, tetapi bertambah lebat apabila masuk Isya.
Ketika ini Mirah semakin mengerang-ngerang sakit hampir melahirkan anak. Mak
Bidan Mun mula cemas kerana beberapa usaha telah dilakukan namun Mirah tetap
juga mengerang-ngerang. Bayi yang dikandungnya masih juga tidak dapat
dilahirkan.
Kalau mahu
dikira bayi berkenaan songsang sudah pun dibetulkan. Tidak ada lagi masaalah
songsang atau tidak songsang. Mak Bidan Mun bukanlah baru sehari dua menjadi
bidan di kampung tersebut. Sudah bertahun-tahun dia menjadi bidan. Sudah rata
segenap pelusuk kampung dipanggil untuk membidankan ibu sarat mengandung.
Kadangkala
sampai ke Temerloh, ke Chenor, ke Lancang dia dipanggil orang. Malah pernah
juga ke Karak, ke Manchis, ke Simpang Durian dijemput orang untuk mengurut.
Mustahil dia tidak dapat melepaskan Mirah kalau mengandung bayi songsang.
Dia terkumat
kamit mulut membakar kemenyan. Asap kemenyan berkepul-kepul naik sampai berbau
hingga keluar di serambi. Beberapa orang lelaki yang berceratuk di pangkal
serambi juga mulai resah. Latip Baran suami Mirah lah yang kelihatan bertambah
resah dengan keadaan isterinya.
Sejak petang
lepas Asar lagi Mirah sudah mula mengadu sakit perut merengat-rengat.
Cepat-cepat Latip Baran mengayuh basikal memanggil Mak Bidan Mun.
Termengah-mengah dia tidak keruan apabila sampai di tengah halaman rumah Mak
Bidan Mun memberitahu mak bidan itu mengenai keadaan Mirah.
Seperti biasa
Mak Bidan Mun tidak pernah menolak. Memang tanggong jawabnya membidankan siapa
saja . Bagi bidan itu tanggongjawab membidankan bayi itu sampai ke akhirat
kelak. Dia akan ditanya mengenai tanggongjawab tersebut. Inilah dipesankan
oleh aruah emaknya semasa menurunkan ilmu bidan kepadanya. Sebab itu Mak Bidan
Mun sentiasa mematuhi segala peraturan dan syarat-syarat menjadi seorang bidan.
“Eh, teruk
nampaknya budak ni.......” keluh Pak Itam Nong memerhati anaknya
mengerang-ngerang kesakitan. Sekali sekala dia mengerling menantunya Latip
Baran terkebil-kebil mata menanggung bimbang dengan keadaan Mirah
Hujan mula
turun mencurah-curah. Angin juga bertiup kencang sampai lampu pelita
terkedau-kedau.
“Macam mana
Mak Bidan?” Pak Itam Nong tidak sabar lagi.
Mak Bidan Mun
tidak menyahut. Dia terus terkumat kamit mulut dengan mata terpejam mengadap
dapur perasap tempat membakar kemenyan.
Mirah
mengerang-ngerang juga sambil tangannya berpaut pada paha emaknya, Mak Ibah
yang duduk di hulu kepala. Heran juga Mak Ibah melihat Mirah. Kalau anak sulung
boleh juga dikatakan susah. Memang siapa pun sukar kalau melahirkan anak
sulung. Tetapi Mirah sudah mempunyai tiga orang anak sebelum itu. Anak yang tua
sudah berumur enam tahun. Masakan susah sangat dia mahu melahirkan anaknya yang
keempat.
Lagipun Mirah
sudah berumur 28 tahun, bukannya anak dara baru menjadi emak. Mirah sudah tahu
bagaimana mahu meneran supaya bayinya mudah disambut bidan. Tidak ada yang
menyulitkan kalau tidak ada sesuatu yang menghalang.
“Macam mana
Mak Bidan?” ulangi Pak Itam Nong.
“His awak pun
tak sabar-sabar....” rungut Mak Ibah mengerling suaminya terlangut di muka
pintu induk rumah. “Biarlah Mak Bidan tu buat kerjanya dulu,” katanya macam
tidak senang sikap suaminya itu.
Mak Bidan Mun
terus terkumat kamit.
Hujan di luar
sekali sekala terasa
Bertempias
pada tabir layar rumah yang cuma diperbuat
dari atap rembia. Ketika itu kampung berkenaan masih belum terbuka dengan
pembangunan seperti sekarang ini. Rumah pun terpencil sebuah sebuah.
Keadaan Mirah
tetap tidak berubah. Dia merengek-rengek menahan kesakitan. Perutnya yang
memboyot seolah-olah keras akibat meronta-ronta meneran, namun bayi yang
dikandung tetap tidak lahir.
Setelah puas
Mak Bidan mencuba dengan kemahiran yang ada pada dirinya, dia mengeleng-ngeleng
kepala lemah. Belum pernah dia menghadapi keadaan seperti ini. Sepanjang
pengalamannya menjadi bidan dia dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Kalau
bayi songsang pun dia dapat membetulkan semula dengan mudah.
“Latip.......”
katanya perlahan. Peluh kelihatan merecik di dahinya. “Tolong panggil Tok Uda
Badin. Cepat !” dia berpaling pada Latip Baran.
Dengan tidak
bertangguh Latip Baran terus melompat ke tangga serambi. Dia tak perlu bertanya
apa-apa mengapa Mak Bidan Mun menyuruh panggil Tok Uda Badin. Dia hanya menurut
perintah saja. Dalam keadaan demikian Latip Baran tidak perlu memikirkan
apa-apa selain dari mahu menyelamatkan isterinya.
Dia tahu Mak
Bidan Mun sudah gelabah melihatkan keadaan Mirah. Sebab itu dia tidak
tergesa-gesa menyuruh memanggil Tok Uda Badin. Mungkin Tok Uda Badin dapat
membantunya.
Kalau mahu
dikira pawang besar memang Tok Uda Badin bukannya pawang. Tidak pernah
orang-orang kampung menjemputnya kalau ada sakit pening di kalangan keluarga
mereka. Cuma Dukun Amid satu-satunya pawang besar di dalam kampung tersebut.
Tetapi mengapa Nak Bidan Mun tidak menyuruh dia memanggil Dukun Amid saja kalau
Mirah tersampuk apa-apa?
Latip Baran
terus meredah hujan lebat menunggang basikal buruk tidak berlampu. Hanya lampu
picit malap saja menyuluh lorong kecil di tengah kampung. Sekali sekala basikal
Latip Baran terlambung-lambung bila terjelantus akar pokok menungkal. Namun dia
tetap tabahkan hati mahu segera mendapatkan Tok Uda Badin.
Sampai di
selekoh tubir tiba-tiba lampu picitnya padam. Puas dia menghentak-hentak buntut
lampu picit ke handle basikal, tetapi lampu picitnya tetap tidak bernyala.
Selalunya kalau tersilap dimana-mana hentakkan saja buntutnya tentu dia akan
menyala semula.
Kepalang
marahnya latip Baran. Mahu saja dilemparkan lampu picit itu kedalam gaung di
bawah tubir. Dalam keadaan demikian hatinya mudah saja panas baran. Dia tidak
sabar menghadapi suasana yang benar-benar mencabar. Mengapa malam isterinya
hampir akan melahirkan anak tiba-tiba hujan turun mencurah-curah ? Mengapa
Mirah tiba-tiba saja sukar bersalin ? Mengapa lampu picit padam sebelum sempat
sampai ke rumah Tok Uda Badin ?
Huh ! Latip
Baran mengertap bibir. Dia terus merempuh kegelapan malam tidak peduli apa
lagi. Jalan di hadapan tidak kelihatan apa-apa. Latip Baran cuma berpedomankan
kesamaran malam apabila sekali sekala kilat memancar. Dia berharap biarlah anak
isterinya dalamkeadaan selamat.
Ketika turun
dari rumah pun Mak Bidan Mun sudah berpesan supaya dia bersabar. Keselamatan
Mirah tidak perlu dibimbangkan selagu Mak Bidan Mun ada menunggu. Bila
kenangkan Mak Bidan Mun ada menyambut bayinya sekiranya Mirah bersalin ketika
dia menjemput Tok Uda Badin, perasaan Latip Baran tenang semula.
Hujan turun
mencurah-curah. Latip Baran mengayuh basikalnya merempuh kegelapan malam kerana
lampu picit masih tidak menyala. Puas dia menghentak-hentakan buntut lampu,
tetapi tetap tidak menyala juga.
“Hussss,
bangsat....” jerit Latip Baran bila basikalnya tiba-tiba meluru ke tebing. Dia
tidak dapat mengawal basikalnya ketika tayar depannya terlanggar akar besar
menungkal.
Terkial-kial
Latip Baran mencapai basikalnya semula. Ketika dia mahu melompat untuk
menunggang, di depannya tertegak satu lembaga hitam. Rupa-rupanya basikalnya
terlanggar kaki lembaga berkenaan. Dia mendongak ke atas memerhatikan lembaga
hitam berdiri tegak dengan kepala mencecah hingga ke awan.
Berdebar juga
Latip Baran bila berhadapan dengan lembaga berkenaan. Dia sudah menduga bahawa
lembaga tersebut sudah tentu hantu tinggi. Memang dia selalu mendengar dari
Dukun Amid mengenai hantu tinggi tetapi inilah pertama kali dia bertemu dengan
makhluk itu.
Teringat juga
dia dengan pesanan emaknya mengenai siapa yang gemar mengacah-acahkan antan
untuk memukul orang, satu waktu tentu akan ditunggu oleh hantu tinggi. Menjadi
kepantangan hantu tinggi kalau mempermain-mainkan antan. Tetapi sepanjang
ingatan Latip Baran belum pernah dia mengacah-acahkan antan untuk memukul
sesiapa pun. Pantang larang itu sudah diingatnya betul-betul sejak kecil-kecil
lagi.
Cuma dia
dipanggil Latip Baran fasal mudah sangat menyinsing lengan baju kalau dicabar.
Dia tidak peduli siapa, kalau mencabar dia tetap menyambut cabaran. Satu
kampung memang tahu perangai Latip Baran mudah menyerbu kalau hatinya disakiti
Lembaga hitam
itu masih tertegak di situ. Hujan turun juga mencurah-curah. Dia dapat melihat
dengan jelas lembaga itu setiap kali kilat memancar.
“Hui, aku
bukan nak cari kau....” laung Latip Baran memberanikan hatinya mendongak
lembaga berkenaan. “Beri aku jalan, aku nak cepat ke rumah Tok Uda Badin,”
jelasnya macam merayu.
Dia mendengar
bunyi orang berdehem batuk sayup-sayup di udara.
“Beri aku
jalan ......! ” laung Latip Baran lagi.
Tetapi hantu
tinggi di hadapannya tidak juga memberikan dia jalan. Latip Baran menjadi
serba salah. Kalau mahu ditempuh juga dia bimbang kalau dikepitnya sewaktu
melintasi di bawah kangkangnya. Kalau dibiarkan bagaimana pula dengan nasib
isterinya Mirah ?
“Hoi, beri aku
jalan...” dia mendongak lembaga itu. Hatinya mula meradang apabila menghadapi
keadaan demikian. Kalau tidak kenangkan yang di hadapannya itu hantu tinggi
mahu saja diserbunya macam dia menampar muka Dalip Gagap fasal robohkan
permatang sawahnya.
Terkebil-kebil
mata Dalip Gagap disinggahi penamparnya. Tidak berani Dalip Gagap menerpa dia
untuk bertindak balas. Kalau Dalip Gagap gagahi mahu menerpa, dia akan mencabut
parang di pinggang. Cubalah ! Dia akan kibaskan mata parang sampai
berdecap-decap ke dada.
Tetapi Dalip
Gagap tidak sama dengan hantu tinggi. Dia tidak boleh bertindak mengikut
perasaan. Hantu tinggi di depannya bukan manusia biasa seperti Dalip Gagap.
Kalau tidak ada ilmu di dada jangan cuba mahu tunjukkan berani berdepan dengan
hantu tinggi. Malah Dukun Amid sendiri pun cepat meremang bulu tengkok bila
disebut hantu tinggi di depannya.
“Hoi,
tok...... berilah cucu jalan ” pekik Latip Baran merayu. “Cucu nak cepat ni,
berilah cucu jalan” katanya dengan penuh harapan. Dia semakin serba salah bila
mengenangkan keadaan Mirah mengerang-ngerang kesakitan tidak dapat bersalin.
Kemudian dia
mendengar lagi dehem batuk sayup-sayup di udara. Lembaga hitam itu tidak juga
berundur memberi dia jalan. Keadaan ini menyebabkan Latip Baran tidak dapat
menahan sabar lagi. Dia mengertap bibir sambil mendongak ke udara.
“Hoi, bangsat
!” laungnya tidak peduli apa lagi. “Kau nak bagi aku jalan atau tidak?” dia
mula nekad untuk menyerbu. Panas barannya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.
Lembaga itu seolah-olah sengaja mencari geruh dia sejak lepas Asar lagi.
Dengan tidak
menghiraukan keselamatannya Latip Baran terus menerpa betis hantu tinggi itu.
Terasa padanya kaki itu terlalu keras bagaikan ruyung nibung. Sebaik saja dia
berpaut pada kaki lembaga itu. Latip Baran merasa dirinya melayang di udara.
Sayup dia memerhati ke bawah dengan pokok-pokok dan bukit bakau berbalam.
Tetapi dia tetap berpaut kuat-kuat.
Lembaga itu
seolah-olah menghayunkan kakinya untuk melibas Latip Baran yang berpaut di
situ, setiap kali dia menghayunnya. Latip Baran dapat melihat keadaan di
bawahnya hingga ternampak laut yang terbentang luas. Namun hantu tinggi itu
tidak dapat mengugurkaan Latip Baran yang berpaut kuat di kakinya.
Setelah
beberapa kali dihayun Latip Baran tidak juga jatuh, hantu tinggi meletakkan
semula kakinya di tempat basikal Latip Baran jatuh.
“Hoi, memang
awak berani Latip....” Latip Baran terdengar suara parau sayupp-syup di udara.
“Awak yang
tunjuk keras kepala dengan aku !” balas
Latip Baran mengertap bibir.
“Kawan memang
suka orang berani macam awak.......” sahut lembaga itu mendehem-mendehem.
“Awak nak beri
aku jalan ke tidak ?” soal Latip Baran keras.
“Memang kawan
nak beri.............”
“Habis, kenapa
awak hadang jalan aku?”
“Ah, kawan nak
tengok hati awak aje..............”
“Awak nak cari
geruh aku ? “
“Orang berani
macam awak, macam mana kawan nak cari geruh...” ujar lembaga itu. Suara itu
dapat didengar dengan jelas oleh Latip Baran walaupun sayup-sayup di udara.
“Habis awak
tunggu apa lagi ?” Latip Baran tidak dapat menahan sabar. “Tepilah, aku nak
lalu !” bentaknya semakin berani.
“Awak ambillah
dulu bulu betis kawan tu, tanda kita bersahabat’ kata lembaga berkenaan.
Tidak
bertangguh apa-apa lagi Latip Baran pun mencabut bulu betis lembaga itu. Bulu
betis lembaga itu keras dan panjang seperti ijuk enau. Sebaik saja dia mencabut
bulu betis hantu tinggi itu, dia pun melompat turun dari berpaut di kaki hantu
tinggi tersebut. Kemudian lembaga itu pun hilang dari pandangan.
Ketika itu
hujan juga sudah berhenti . Bagaimanapun cuaca masih gelap tidak kelihatan
apa-apa. Latip Baran menghentak-hentak buntut lampu picit kepada handle
basikal, barulah lampu itu bernyala. Dengan bersuluhkan lampu picitmalap itulah
Latip Baran terus menuju ke rumah Tok Uda Badin.
Sampai di
halaman rumah Tok Uda Badin suasana sudah sepi. Tidak ada tanda-tanda orang tua
itu masih belum tidur. Latip Baran pun tidak tahu pukul berapa dia sampai di
umah orang tua berkenaan. Dia percaya Tok Uda Badin belum tidur lagi, kerana
rumah orang tua itu tidaklah jauh sangat letaknya dari rumah dia.
Sekurang-kurangnya baru masuk Isyak ketika dia sampai di situ.
Latip Baran
merasa seram sejuk ketika sampai di tengah halaman rumah Tok Uda Badin. Dia
merasa seluruh badannya sakit-sakit tidak menentu. Macam mana pun dia mesti
memanggil orang tua itu fasal demikianlah pesan Mak Bidan Mun. Entah mengapa
Mak Bidan Mun menyuruh dia memanggil Tok Uda Badin. Pada hal orang tua itu cuma
guru membaca Quran saja, bukannya pawang di dalam kampung.
Lama juga dia
tercegat di situ. Serba salah sangat dia mahu memanggil orang tua berkenaan.
“Assalamualaikum.....”
dia melaung dari tengah halaman.
Tidak ada siapa
menyahut. Rumah itu sunyi saja. Kesan titis hujan masih ada dicucur atap. Malam
itu hujan benar-benar turun mencurah-curah. Latip Baran percaya dia tidak
bermimpi menemui lembaga hitam yang tinggi sampai kepalanya mencecah awan.
“Tok
Uda.........” Latip Baran memanggil kuat.
Tidak lama
kemudian pintu hadapan dibuka. Mak Wan Yut isteri Tok Uda Badin tercegat di situ memegang pelita ayam, Puas
dia terhangak-hangak ke tengah halaman tetapi tidak dpat dicamnya Latip Baran
yang tercegat di situ.
“Siapa.........................?”
tanya Mak Wan Yut.
“Aku..... aku
Latip..... lakinya si Mirah” beritahunya sambil rapat ke tangga.
“Apa halnya
lagi Tip ?” perempuan itu bagaikan terkejut melihat Latip Baran mendapatkannya.
“Mak Bidan Mun
suruh aku panggilkan Tok Uda,” dia menjelaskan perlahan.
“Eh, tadi
bukan ke kau yang datang...” kata Mak Wan Yut keheranan. “Tok Uda kau turun
dengan kau tadi. Lepas Isyak tadi kau datang jemput. Tak ada Tok Uda kau balik....”
ujarnya macam tidak percaya dengan keterangan Latip Baran.
Terdiam Latip
Baran mendengar penjelasan Mak Wan Yut. Siapa pula yang datang menjemput Tok
Uda Badin? Kalau dia mahu menceritakan kepada Mak Wan Yut mengenai kejadian
yang menimpanya tentu perempuan itu tidak akan percaya. Tetapi bulu betis yang
diberi oleh lembaga masih ada lagi digenggamnya.
Semakin lama
dia berdiri di kai tangga rumah dia merasa perutnya memulas-mulas. Sekali
sekala terasa mahu muntah pula. Latip Baran terpaksa menahan keadaan tersebut.
“Tok Uda dah
pergi ke rumah aku?” Latip Baran keheranan.
“Iya........”
jelas Mak Wan Yut. “Bukan ke kau yang jemput tadi!” kata perempuan itu lagi.
Serba salah
juga Latip Baran mahu memberitahu perkara sebenarnya. Dia belum sampai lagi ke
rumah tersebut, belum bertemu lagi dengan Tok Uda Badin. Kalaulah tidak dihalang
oleh hantu tinggi di tengah perjalanan tentu sudah lama dia sampai ke situ.
Hatinya mula gelisah bila mengenangkan keadaan isterinya Mirah.
“Tak
apalah.....” beritahu Latip Baran tergesa-gesa mencapai basikalnya yang di
sandarkan ke pintu pagar.
Cepat-cepat
dia mengayuh basikal balik ke rumah. Tentu ada sesuatu yang buruk menimpa
isterinya Mirah. Mustahil dia sudah memanggil Tok Uda Badin seperti diberitahu
oleh Mak Wan Yut, pada hal dia tidak dapat melepasi diri dari alangan hantu
tinggi.
Kalau benar
Tok Uda Badin sudah pergi ke rumahnya bagaimana tidak bertemu dengannya di
pertengahan jalan? Pada hal itu sajalah lorong ke rumah Tol Uda Badin.
Latip Baran
mula rasa gementar. Mungkinkah rumah yang di tujunya tadi benar-benar rumah Tok
Uda Badin? Bagaimana kalau rumah itu sebahagian dari muslihat hantu
tinggi juga untuk melambat-lambatkan dia? Sudah tentu isterinya sendiri akan
menghadapi bahaya!
Sejak itu Laip
Baran sudah mula memikirkan bahawa bulu betis hantu tinggi yang diperolehinya
itu akan membawa petaka. Kalau dia terus menyimpannya bererti dia akan terus
diganggu seperti sekarang. Masakan Mak Wan Yut mahu berbohong dengannya
mengenai Tok Uda Badin sudah pergi kerana dipanggil oleh dia sendiri. Sedangkan
dia belum lagi bertemu dengan orang tua berkenaan.
“Aku bunuh kau
!” Latip Baran mengertap bibir. Marah benar dia pada hantu tinggi yang
menganggu keluarganya. Sudah tentu perbuatan hantu tinggi itu mengelirukan Tok
Uda Badin, sehingga dia menyangka dijemput. Dia percaya Tok Uda Badin juga sudah
diperdayakan oleh hantu tinggi.
Dia terus
mengayuh basikal cepat-cepat. Sekali sekala kokok ayam memanjang memecahkan
keheningan malam. Kokok ayam itu menandakan dinihari sudah semakin larut. Subuh
sudah hampir akan menjelang. Ah, telalu lama dia diperdayakan oleh hantu
tinggi.
“Bangsat kau
orang tinggi......” dia tidak dapat menahan sabarnya. Kalau dia terserempak
lagi hantu tinggi itu dia akan hentakkan dengan lampu picit. Dia akan serbu
tidak peduli apa.
Latip Baran
sedar dia sudah terperdaya oleh hantu tinggi. Sudahlah perjalanannya dihadang,
Tok Uda Badin juga diperdaya. Dia tidak percaya Tok Uda Badin datang ke rumahnya,
melainkan sudah dipesongkan jauh oleh hantu tinggi supaya Mak Bidan Mun gagal
menyelamatkan Mirah.
Boleh jadi Tok
Uda Badin sudah dilarikan oleh hantu tinggi ke hutan. Mungkin yang datang
menjemput Tok Uda Badin itu ialah hantu tinggi yang menjelma menyerupai seperti
dia.
Bagaimana pula
nasib isterinya Mirah kalau Tok Uda Badin tidak sampai? Tentu Mak Bidan Mun
memerlukan sangat bantuan Tok Uda Badin, kalau tidak masakan dia menyuruh
panggilkan Tok Uda Badin segera.
Huh, kepalang
marahnya Latip Baran bila kenangkan hantu tinggi yang menganggu tiba-tiba.
Sepanjang ingatannya dia tidak pernah
mengacah-acahkan antan penumbuk lesung mahu memukul sesiapa pun. Tidak pernah
dia tidur di atas tanah dengan tidak beralas. Dia ingat betul-betul pantang
larang supaya tidak diganggu hantu tinggi.
Tetapi,
mengapa hantu tinggi datang juga menganggu dia?
“Aku tidak
peduli kau orang tinggi!” rungut Latip Baran sambil mengayuh basikal dengan
laju.
“Aku tak
peduli kau! Aku tau asal kau jadi, orang berburu sesat di hutan asal kau jadi!”
dia mula mengingatkan cerita yang diberitahu oleh Dukun Amid mengenai hantu
tinggi ini.
Semua dukun
mesti tahu asal usul hantu jembalang. Setiap hantu jembalang akan menjadi lemah
bila diketahui asal usulnya. Sebab mereka juga berasal dari manusia kata Dukun
Amid. Mereka menjadi jembalang kerana terlanggar sumpah. Sebab itu mereka
datang semula mahu menganggu manusia untuk memenuhi sumpahan tersebut
semata-mata untuk merosakkan manusia.
Tetapi Latip
Baran dengar sendiri dari mulut Tok Uda Badin lain pula. Orang tua itu
mengatakan semua jenis hantu jembalang adalah termasuk dalam golongan syaitan
dan iblis. Golongan syaitan dan iblis ini menjadi musuh manusia yang nyata
sejak nabi Adam lahir ke dunia lagi. Asal usul syaitan dan iblis adalah dari
api, demikian dijelaskan oleh Tok Uda Badin yang sudah lama menjadi guru Quran
di dalam kampung.
Latip Baran
tidak peduli cerita siapa yang benar. Apa yang dialaminya sekarang tentu akan
ditertawakan orang kalau dia menceritakan semula. Tentu siapa pun tidak akan
percaya kisah dia menemui hantu tinggi. Sekali pun ditunjukkan bulu betis
seperti ijuk enau itu pun mungkin orang tidak percaya juga. Satu-satunya yang
akan mempercayai cerita dia tentulah Dukun Amid.
“Aku bunuh
kau” gerutu Latip Baran tak habis-habis menyimpan dendam pada hantu tinggi yang
menghadangnya. Hampir sampai ke halaman rumahnya basikal terjelantus pada akar
pokok kelapa menyebabkan dia terguling ke tanah.
“Bangsat !”
dia mengertap bibir lalu cepat-cepat tanpa disedarinya dia bingkas bangun
menyepak perdu pokok kelapa itu melepaskan geram yang mendongkol. Tiba-tiba dia
menjadi terkejut apabila pokok kelapa yang disepaknya tadi terbongkar akar
hingga tersembam ke bumi. Dia juga tidak merasa sakit di kakinya semasa menyepak
pokok kelapa tadi. Hanya pokok kelapa itu saja tumbang melintang di tengah
halaman.
Heran juga
Latip Baran melihat kekuatannya yang luar biasa secara mendadak, apabila dalam
keadaan terlalu marah. Dia cuba mengangkat pokok kelapa melintang tengah
halaman itu. Dengan sebelah tangan saja pokok kelapa itu boleh diangkatnya
sampai ke paras bahu. Ketika ini Latip Baran faham bahawa dia sudah dilindungi
oleh hantu tinggi.
Hari sudah
mula masuk subuh, barulah Latip Baran naik ke rumah. Dalam hatinya tetap
merahsiakan perubahan yang dirasainya sekarang. Cepat-cepat dia menyimpan bulu
betis hantu tinggi itu di atas para dapur, sebelum menjengah isterinya di
tengah induk rumah.
“Kau ke mana?”
tanya ayah mertuanya Pak Itam Nong sebaik saja Latip Baran menjengah.
Dia tidak
menyahut. Dia memerhatikan isterinya sudah selamat melahirkan anak. Tok Uda
Badin juga ada terconggok menyandar belakang ke dinding. Semuanya sudah
selamat.
“Kemana kau?”
ulangi Pak Itam Nong.
“Macam mana
Tok Uda Badin datang?” Latip Baran tidak menjawab sebaliknya bertanya pula.
“Eh, bukankah
kau pergi jemput dia?” Pak Itam Nong keheranan.
“Tok Uda dah
kemari semasa aku sampai ke rumahnya....” beritahu Latip Baran perlahan.
“Bila kau ke
rumah Tok Uda?” Mak Bidan Mun mencelah.
“Kejap ni....”
“Kau tak
singgah mana-mana?”
“Tak........”
“Mengapa baru
balik?”
“Aku tak
kemana-mana pun............”
“Sah, dah sah
laa......” ujar Mak Bidan Mun tenang. “Nasib baik aku suruh kau panggil Tok Uda
“ dia menjelaskan mengapa dia menyuruh Latip Baran memanggil Tok Uda Badin.
“Mengapa pula
tu Bidan?” Pak Itam Nong yang masih tidak memahami keadaan sebenarnya.
“Kalau kita
panggil Dukun Amid tadi, bukan dianya yang datang. Orang lain yang datang.....”
katanya berpaling pada Tok Uda Badin.
Tok Uda Badin
hanya tersengih-sengih mendengar kata-kata Mak Bidan Mun. Dia pun tidak suka
Mak Bidan Mun memperkecilkan Dukun Amid. Masakan Dukun Amid tidak tahu
bagaimana menghadapi tipu muslihat syaitan dan iblis. Bagaimanapun dia percaya
Mak Bidan Mun tidak memperkecilkan Dukun Amid itu.
“Dah dua jam
anak kau lahir, baru sekarang kau balik......? Mak Ibah macam memarahi
menantunya.
”Eh, aku kayuh laju basikal tu, tapi ada orang yang menghadang,” rungut Latip Baran.
”Eh, aku kayuh laju basikal tu, tapi ada orang yang menghadang,” rungut Latip Baran.
“Orang
menghadang?” Pak Itam Nong bertambah heran.
Latip Baran mengangguk “Orang tinggi, orang
tinggi....”ujarnya mula merasa meremang bulu tengkuk. Perutnya mula mula
memulas-mulas setiap kali mengerling ke arah Tok Uda Badin.
“Itulah,
itulah....dah sah! Orang tinggi tu ganggu Mirah tadi.” Jelas Mak Bidan Mun
perlahan.
Dia sudah
nampak gangguan tersebut yang menyebabkan Mirah terlalu sukar melahirkan anak.
Sebab itulah Mak Bidan Mun segera menyuruh panggilkan Tok Uda Badin untuk
memperdayakan hantu tinggi tersebut. Apabila hantu tinggi memintas perjalanan
orang yang memanggil Tok Uda Badin, tentulah dia terlalai terhadap gangguannya
pada Mirah.
Tipu muslihat
Mak Bidan Mun berjaya. Hantu tinggi berkenaan terpaksa memintas Latip Baran.
Sementara Latip Baran pula mempunyai semangat yang kuat sehingga berani
menerkam ke arah hantu tinggi tersebut. Sebab itulah dia tidak dapat
memperdayakan Latip Baran.
Dalam masa
yang sama Tok Uda Badin seolah-olah teringatkan saja Mirah sedang mengandung
dan menghadapi kesulitan. Walaupun Mirah itu cuma pangkat cucu saudara saja
kepadanya, tetapi Tok Uda Badin merasakan sesuatu yang mendorongkan dia supaya
menjengah perempuan itu. Lantas dia memberitahu isterinya mahu ke rumah Latip
Baran, kerana dia dijemput oleh Latip Baran.
Bilakah Latip
Baran menjemput, Mak Wan Yut tidak tahu. Dia hanya diberitahu oleh suaminya
bahawa Latip Baran memintanya datang ke rumah. Mak Wan Yut pun tidak peduli
sangat kalau suaminya mahu menjengah Mirah. Kalau tidak disebabkan dia kurang
sihat, mahu juga dia sama menemankan suaminya ke rumah Latip Baran.
Tidak lama
selepas Tok Uda Badin sampai, Mirah pun selamat melahirkan anak. Tetapi bayi
itu lahir di dalam kelonsong nipis seperti belon. Terpaksa pula Mak Bidan Mun
mengoyakkan kelonsong nipis itu. Sebaik saja kelonsong nipis itu dikoyakkan
barulah bayi itu dapat dikeluarkan, dan barulah dia menangis seperti lazimnya
bayi dilahirkan. Mula-mula terkejut juga Mak Ibah dan Pak Itam Nong melihatkan
anaknya melahirkan bayi seperti belon getah.
Tetapi setelah
diberitahu oleh Mak Bidan Mun memang pernah berlaku ada bayi yang dilahirkan di
dalam kelonsong, barulah mereka berasa lega. Mak Bidan Mun juga memberitahu
bayi itu biasanya keras hati, dan kalau diberi makan kelonsongnya apabila dia
sudah dewasa nanti, nescaya akan menjadi kebat dan tidak lut oleh senjata besi.
Bagaimanapun
setelah dinasihatkan oleh Tok Uda Badin, mereka semua setuju supaya kelonsong
itu ditanamka bersama dengan uri tembuni.
Ketika bayi
ini lahirlah Latip Baran bergelut hebat dengan hantu tinggi itu. Setelah merasa
gagal menghalang usaha Mak Bidan Mun dan Tok Uda Badin barulah hantu tinggi itu
menyerah kalah dengan memberikan bulu betisnya kepada Latip Baran. Dengan cara
itulah saja dia dapat memperdayakan Latip Baran supaya mengikut kemahuannya.
Setelah
mendengar cerita Mak Bidan Mun barulah Pak Itam Nong menyedari bahawa keluarganya
sudah diperdayakan oleh hantu tinggi. Sekiranya Mak Bidan Mun menyuruh Latip
Baran memanggil Dukun Amid, sudah tentu perjalanan Latip Baran terbantut. Dukun
Amid juga tidak akan dapat ditemui oleh Latip Baran. Ketika ini sudah tentulah
hantu tinggi itu menjelma seperti Dukun Amid dan datang ke rumah mereka.
“Alhamdulillah,
kita sudah diselamatkan oleh Allah......” beritahu Tok Uda Badin ketika turun
ke bilik air untuk mengambil wuduk. “Eloklah aku bersubuh di rumah kau. Siang
sikit nanti baru lah oleh balik ke rumah” katanya mencapai lampu picit.
Cepat-cepat
pula Pak Itam Nong menunjukkan jalan ke perigi kepada Tok Uda Badin. Latip
Baran pula selepas melihat bayinya yang baru lahir, terus berbaring di sebelah
isterinya Terasa badannya terlalu letih setelah menghadapi suasana yang belum
pernah dialaminya selama ini.
Memang
terkejut juga Pak Itam Nong melihat tiba-tiba saja pokok kelapanya tumbang
melintang di tengah halaman. Dia terdengar juga bunyi kayu tumbang semasa Latip
Baran balik, tetapi tidak disangkanya pokok kelapa di hujung halaman tumbang.
Apa lagi bunyi kayu tumbang itu sayup kedengaran.
“Agaknya hujan
semalam pokok kelapa ni tumbang.....”kata Tok Uda Badin tenang.
“Hujan semalam
ributnya tak kuat Pak Uda” jelas Pak Itam Nong.
Pak Itam tidak
percaya pokok kelapa itu tumbang kalau sekadar hujan dan ribut kencang. Kalau
ribut mengapa pokok kelapa yang sebatang itu saja tumbang?
Tetapi dia
tidak mahu menyoal Tok Uda Badin lagi. Orang tua itu pun bukan suka sangat
membebel tidak tentu hujung pangkal. Sejak dia balik dari belajar pondok di
Sumatera memang Tok Uda Badin tidak suka bercakap banyak. Dia hanya dikenali
sebagai guru membaca Quran di kampung itu. Selain dari itu dia tidak akan mahu
berbuak-bual kosong di kedai-kedai kopi.
Masanya banyak
dihabiskan di suraunya. Pagi-pagi Tok Uda Badin akan ke sawah bersama Mak Wan
Yut. Itulah saja mata pencariannya. Dia tidak membeli barang-barang dari kedai
kecuali garam. Lainnya semua dibuat sendiri. Gula dibuatnya dari air tebu, kopi
ditumbuknya sendiri, ikan kering dibuat sendiri, sayur-sayuran ditanam di
kebunnya. Padi, sawahnya sendiri ada. Pendek kata kehidupan Tok Uda Badin
berlainan dari orang-orang kampung lain.
Setelah
selesai menunaikan fardu Subuh, Tok Uda Badin minta diri untuk balik ke rumah.
“Nantilah
minum dulu Pak Uda” Mak Ibah cuba menahan.
Sampai di muka
pintu serambi Tok Uda Badin berhenti sebentar. Kemudian katanya “ Kalau ada
apa-apa barang yang didapati oleh Latip malam tadi, suruh dia buang aje” Dia
tidak menjelaskan apa maksudnya, tetapi itu sajalah yang dipesankannya.
“Minumlah
dulu..” ulangi Mak Ibah.
“Tak apalah
Ibah, nanti gaduh* pula Mak Ibah kau” katanya (*gaduh bererti risau atau susah
hati)
Ketika dia
balik itu Latip Baran masih lagi tidur nyenyak.Oleh itu dia pun berpesan
kepada Pak Itam Nong.
Demikianlah
diceritakan oleh aruah nenek saya mengenai Mak Bidan Mun iaitu nenek kepada
emaknya. Aruah nenek saya berpindah dari kampung halamannya di Pahang mengikut
aruah aki saya, dan menetap di kampung kami sekarang. Walaupun masih ramai
saudara mara saya di Pahang, tetapi jarang saya kesana. Tetapi orang-orang di
kampung asal saya di Pahang memang tahu mengenai Mak Bidan Mun.
Bersambung KEPALA MELAYANG DIPOKOK ASAM
Terima kasih banyak-banyak kepada tuan-tuan yang telah menulis kembali cerita ini di dalam blog.
ReplyDeleteAssalamualaikum..cerita hantu tinggi halang jalan ni bukan rekaan..subuh khamis jam 3:25 saya kene sakat berhenti teman member tidur kat simpang chenor..memang depan mata berlaku..anjing salak keliing kenderaan kami berdua x berhenti
ReplyDelete