Monday, September 7, 2015

140. LELAKI TIDAK BERKEPALA MENJELMA


LAMA tidak mengunjungi Mamak Bandaro hampir lima tahun semenjak saya kerapkali ke pantai timur. Kalau tidak bertemu Mamak Bandaro pun dia akan menelefon saya juga. Kadangkala saya juga akan menelefonnya, sekalipun dia berulang-alik meninggalkan Bukittinggi.
Ketika saya jejak kaki ke Bukittinggi memang Mamak Bandaro menunggu di Tabing Padang. Sengaja dia mengajak bermalam terlebih dahulu di Hotel Pangeran sebelum bertolak ke Bukittinggi. Mamak Bandaro memang ada urusan perniagaannya di Padang, sebab itulah dia mengajak bermalam sekalipun saya sampai di Tabing belum pun pukul 12.00 tengah hari.
Kebetulan pula dia sudah berjanji dengan kawannya mahu menunggu rakan kongsi kawannya itu dari Medan. Tidak tahu saya apa pun mengenai temu janji mereka di Padang. Sewaktu saya memberitahu akan datang ke Sumatera, memang Mamak Bandaro sendiri memberikan tarikhnya supaya mudah dia menunggu di Tabing Padang.
Tidak perlu lagi turun di Medan, kemudian baru meneruskan perjalanan ke Padang. Ketika bertolak dari Kuala Lumpur, saya hanya singgah di Pekan Baru hampir setengah jam. Kemudian terus sahaja menuju ke Padang.
Dalam perjalanan ke Pekan Baru itulah kebetulan saya berkenalan dengan Haji Mazis yang ramah berbual. Lama dia menetap di Kedah sejak negeri perintah orang putih lagi. Kemesraan dalam perjalanan inilah Haji Mazis mengakui dia berasal dari Bangkinang sebelum mene-tap di Kedah.
Ketika datang ke Tanah Melayu terpaksa dia menumpang kapal barang meranduk ombak laut yang menggulung. Setiap kali Haji Mazis menuturkan peristiwa masa silamnya menyeberangi laut ini, terasa pula sebak di hati saya apabila kenangkan Tok Aji melalui perjalanan yang sama seperti Haji Mazis.
Lama juga Tok Aji di Pekan Baru sebelum dia menyeberang ke Tanah Melayu. Memang dia mengakui ramai kenalan di Bangkinang ketika menetap di Pekan Baru itu. Tentulah Haji Mazis belum lahir pun sewaktu Tok Aji berulang alik dari Pekan Baru ke Bangkinang.
"Abang nak ke mana?" Haji Mazis yang duduk di sebelah menegur saya sebaik sahaja menghulurkan makanan.
"Ke Padang," ujar saya per-lahan melirik senyum dengan kemarahan Haji Mazis.
"Tentu abang ni orang Minang," lantas sahaja dia membuat andaian.
Saya tidak menyahut. Perkara dari mana asal usul itu tidak penting sangat, kerana semua umat Islam itu bersaudara. Tetapi saya tidak salahkan Haji Mazis yang berbangga dengan asal usulnya dari Bangkinang itu. Sebab itu dia balik juga jejak kaki ke kampung halaman setelah Iama menjadi peniaga di Kedah.
Tiap-tiap tahun Haji Mazis balik menemui kaum kerabatnya di Bangkinang. Biarlah anak-anaknya tidak mahu jejak kaki ke Bangkinang, dia tetap balik juga. Dia tidak mahu tali persaudaraan terputus akibat dipisahkan laut yang terbentang.
"Selalu abang balik ke Padang?" semakin ramah Haji Mazis lantas membantu saya membukakan kotak makanan yang dihulurkan oleh pekerja pesawat.
"Sekali sekala aje,": jelas saya memerhati kotak makanan.
"Kalau ke Kedah, abang datanglah ke kedai saya," Haji Mazis mempelawa makan, kemudian terhangak-hangak memerhati ke hadapan apabila isterinya melambai.
Cepat-cepat dia mara ke hadapan sebaik sahaja isterinya menggamit. Lama juga dia meninggalkan tempat duduknya. Tetapi saya tidak pedulikan sangat Haji Mazis apabila mendapatkan isterinya yang duduk di bangku hadapan bersama anak perempuannya.
Sampai habis saya makan buah yang diberikan oleh pekerja pesawat, barulah Haji Mazis datang semula. Dia mengeluh pendek kerana anak perempuannya pitam menahan sakit kepala berdenyut-denyut.
"Nak kata tak pernah naik kapalterbang, belajar dah sampai ke Amerika," gerutu Haji Mazis semacam kesal apabila anak perempuannya merasa pening kepala sebaik sahaja naik pesawat. Puas digosok minyak oleh isterinya pun, pening kepala itu tidak juga beransur hilang.
"Siapa nama anak awak tu?" sengaja saya tanyakan dalam keadaan Haji Mazis semakin gelabah.
"Zamiah," beritahu Haji Mazis memanjangkan leher ke hadapan mahu memastikan ke-adaan anak _nya itu.
"Tak apalah aji," saya cuba tenteramkan hatinya yang rusuh ketika ini. "Awak letakkan tapak tangan ke dahinya," ujar saya menyuruhnya ke hadapan semula. Ketika ini pekerja pesawat juga sudah mendekati Zamiah untuk membantu.
Sebaik sahaja Haji Mazis meletakkan tapak tangan ke dahi anaknya, segera saya doakan dengan membaca:
Bismillahhir Rahmannir Rahim, tiga kali dan diikuti dengan doa: A'uzubi 'izzatillahhu wa qudratihi min sarrima tajidu watuhaziru,
sebanyak tujuh kali. Saya mengulangi sampai tiga kali lantas perlahan-lahan dihembuskan ke arah Zamiah.
Dalam beberapa minit sahaja Zamiah mulai reda hingga terus terlelap di situ. Apabila Haji Mazis datang semula ke sisi saya memberitahu mengenai anaknya sembuh tiba-tiba, saya sekadar bersyukur ke hadrat Illahi sahaja kerana Dia yang menyembuhkan segala penyakit.
Hingga pesawat mendarat di Pekan Baru pun Zamiah masih terlelap akibat keletihan menahan kesakitan kepala berdenyut-denyut. Terpaksa pula Hajah Pipah isteri Haji Mazis kejutkan sampai berulang kali.
"Sakit kepala macam mana?" tegur saya ketika sama-sama menuruni tangga pesawat untuk berhenti di bilik menunggu di lapanganterbang Pekan Baru itu.
"Entahlah pakcik, macam ditusuk jarum," jelas Zamiah masih lemah dan berpaut pada lengan emaknya.
"Kalau boleh, abang bekalkan ubatnya," lantas Haji Mazis mendesak supaya saya doakan air sejuk membolehkan mereka buat bekal sebagai penawar.
"Tak payahlah aji," bisik saya memberi jaminan penyakit Zamiah tidak akan berulang. "Cubalah bawa jumpa doktor, boleh jadi magerin," ujar saya supaya dia tidak cemas sangat dengan gangguan sakit kepala anaknya.
Zamiah sendiri mengaku dia pernah diganggu magerin semasa menuntut di Amerika. Memang doktor juga sahkan memang dia mengidap penyakit itu. Tentulah Haji Mazis tidak perlu bimbang sekiranya sudah diketahui punca penyakit. Kalau berdoa pun sekadar memohon pertolongan Allah supaya jauhkan dan hilangkan rasa kesakitan sahaja, kerana perkara menyembuhkan itu memang hak Allah Azza Wajjalla.
Disebabkan Haji Mazis bersama keluarganya mahu ke Bangkinang memasuki Pekan Baru, kami menuju ke lorong yang berlainan. Saya menyimpang ke bilik menanti penerbangan akan berlepas, sementara Haji Mazis masuk ke pintu pemeriksaan. Tetapi sempat juga dia memberitahu saya kunjungannya ke Bangkinang sampai sebulan. Sesekali balik ke kampung halaman dia mahu bertemu dengan semua sanak saudara.
Sudah beberapa kali juga saya ke Pekan Baru, tetapi tidak pernah pula ke Bangkinang. Ketika ke Siak bersama dengan Mamak Bandaro, kami hanya bermalam di Hotel Mutiara sahaja. Kemudian pagi-pagi lagi sudah ke Siak menemui kawannya di situ, petang baru balik ke Pekan Baru. Selepas itu pagi juga bertolak ke Bukittinggi, hingga tidak ada masa mahu ke mana-mana.
"Masih ada saudara mara kita di Bangkinang," beritahu Mamak Bandaro apabila saya ceritakan pertemuan dengan Haji Mazis di dalam pesawat penerbangan. "Nantilah, kalau ada masa lain kali kita ke Bangkinang;" tutur Mamak Bandaro memberi jaminan.
Tetapi siapalah yang saya kenali sama ada di Bukittinggi atau di Pekan Baru, selain daripada Mamak Bandaro. Kalau dia tidak perkenalkan saya dengan Haji Salim di Batusangkar pun, saya tidak mengenali sepupu arwah Tok Aji itu.
Lainlah orang berniaga seperti Mamak Bandaro memang ramai kenalan. Sebab itu dia berusaha mencari keturunan Tok Aji untuk hubungkan semula tali kekeluargaan yang sekian lama terpisah. Lama juga dia menjejaki keluarga di Tanah Melayu hinggalah bertemu dengan saya melalui kenalan rapatnya di Taiping.
Cuma Tok Aji satu-satunya saudara lelaki arwah emak Mamak Bandaro. Sebab itulah dia berpegang kepada nasab keturun-annya iaitu dari mamak kekamanakan itu.
Saya sendiri memang harap-kan Mamak Bandaro menemu-kan dengan sanak saudara di Sumatera. Kalau harapkan saya sendiri mencari sampai bila pun tidak akan bertemu. Lagipun bukan selalu saya jejakkan kaki ke Sumatera untuk mengunjungi sanak saudara di sana.
"Memang ada keluarga di sana," ulangi Mamak Bandaro apabila kenangkan kaum kera-bat di Bangkinang. "Arwah mamak dulu berkahwin di Kapur Sembilan dekat Bangkinang," jelasnya memberitahu mengenai Tok Aji pernah berkahwin di Bangkinang sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.
Tahu sangat Mamak Bandaro mengenai keluarga Tok Aji di Bangkinang, kerana sudah bebe-rapa kali bertemu. Sebab itulah Tok Aji sendiri dikenali Aji Kampar semasa dia menetap di kampung nenek hingga mem-buka madrasah di situ.
Disebabkan lama di Bangkinang itulah Tok Aji bertemu dengan Wak Samin sebelum menyeberangi Selat Melaka. Kalau tidak ada kawan yang sehaluan, mungkin Tok Aji juga akan meninggalkan Sumatera. Apalagi isterinya orang Kapur Sembilan itu meninggal dunia selepas mendapat dua orang anak.
Sebab itulah Mamak Bandaro jejak kaki juga ke Bangkinang mencari sepupunya di sana. Lama juga dia berusaha baru dapat menemui Mamak Melano dan Mak Tua Siamah iaitu anak-anak Tok Aji di Bangkinang. Mamak Bandaro juga yang berikan alamat ayah saya kepada dua orang saudaranya di Kapur Sembilan itu, menyebabkan mereka seringkali berhubungan surat menyurat.
Kalaulah tidak disebabkan Mamak Bandaro banyak urusan lain di Bukittinggi memang dia teringin juga mahu singgah di Kapur Sembilan sewaktu meng-ajak saya ke Siak. Lagipun kami sudah bermalam di Hotel Mutiara, hanya tidak sampai setengah jam perjalanan sekiranya mahu singgah menjengah sanak saudara.
Tetapi apalah gunanya men
jengah kalau sekadar beberapa minit sahaja. Sebab itulah Mamak Bandaro mahu menunggu masa terluang. Boleh juga bermalam dengan mereka. Mamak Melano sendiri harapkan saya akan dapat bermalam di rumahnya kalau singgah di Kapur Sembilan.
"Abang dengar dari Bandaro, angah tu ada iras-iras ayah kita," Mamak Melano menulis surat kepada ayah saya. "Kalau dia ke Bukittinggi, suruhlah dia temui abang," dia berpesan setiap kali menulis surat kepada ayah saya.
Memang dia tahu saya sudah beberapa kali jejak kaki ke Bukittinggi menemui Mamak Bandaro. Terkilan juga dia disebabkan saya tidak datang ke Kapur Sembilan. Tetapi saya tidak dapat ke sana bukanlah disebabkan perbezaan hidup di antaranya dengan Mamak Bandaro yang menjadi penghalang, sebaliknya ruang masa masih belum mengizinkan.
Apabila bertemu Haji Mazis dalam pesawat penerbangan lantas saya teringatkan Mamak Melano sebaik sahaja dia menyebut mahu ke Bangkinang itu. Tetapi sengaja saya tidak memberitahu Haji Mazis mengenai bapa saudara saya di Kapur Sembilan. Manalah tahu saya tidak berkesempatan mahu ke sana.
Tetapi saya tidaklah berharap sangat Mamak Bandaro mahu segera ke Pekan Baru, disebab-kan sudah membuat temu janji dengan rakan kongsi kawannya dari Medan. Sebab itulah saya lebih senang tinggal sahaja di bilik hotel, sementara dia keluar semula ke Tabing untuk menunggu rakan kongsi kawannya itu. Saya sendiri belum lagi bertemu dengan kawan Mamak Bandaro yang sama-sama menunggu rakan kongsinya dari Medan.
Sewaktu tinggal di bilik hotel itu saya melihat dari anjung ombak Lautan Hindi yang menggulung besar. Di bawah ramai orang mandi di kolam renang di dalam kawasan hotel berkenaan. Disebabkan saya tidak mahu turun ke mana-mana, sengaja saya berbaring sahaja melepas-kan penat.
Setelah selesai urusan per-niagaan tentu Mamak Bandaro akan balik ke Bukittinggi. Sekiranya dia sibuk anaknya Fitriati atau menantunya Agoes tidak keberatan mengajak saya ke mana sahaja kalau mahu ziarah sanak saudara. Memang saya akan kunjungi juga Haji Salim di Batusangkar setelah beberapa tahun tidak bertemu.
Ketika balik dari Batusangkar melalui jalan ke Baso untuk ke Paya Kumboh, pernah juga Agoes mengajak berhenti makan di restoran tengah sawah. Memang berselera saya makan masakan Minang. Singgah pula dia madrasah di Paya Kumboh menemui sepupu Agoes yang mengajar di situ.
Apabila dikenang perjalanan yan jauh tatkala jejak kaki ke Sumatera beberapa tahun dahulu, terasa seolah-olah menempuh perjalanan hidup yang terlalu banyak yang dilihat. Tetapi saya tidak merasa asing sangat setiap kali jejak kaki di ranah Minang, disebabkan sanak saudara menyambut bagaikan tidak mahu dilepaskan pergi.
Alangkah megahnya Tok Aji sekiranya dia masih hidup kalau melihat sanak saudara menyambut demikian mesra!
Tetapi Tok Aji meninggalkan kampung halaman bukan disebabkan tidak disenangi sanak saudara. Dia lebih suka mengajar agama ke mana sahaja merantau. Sebab itulah di Bangkinang juga dia dirikan madrasah sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.
"Jangan lupa Kapur Sembilan juga, itu pun kampung halaman aku," pernah arwah Tok Aji ingatkan, ayah saya mengenai kampung halamannya di Sumatera. Dia tetap mengakui Kapur Sembilan dan Kampar kampung halamannya disebabkan lama dia di sana.
Hinggalah ayah saya menerima surat dari Mamak Melano barulah dia menyedari mengenai sanak saudaranya di Kapur Sembilan itu. Memang dia juga saya ke Bangkinang untuk bersua muka dengan Mamak Melano yang seringkali berutus surat sahaja.
Tatkala di Kapur Sembilan inilah Tok Aji beberapa kali diuji orang sebaik sahaja dia membuka madrasah di Bangkinang. Sewaktu dijemput kenduri di rumah bapa saudara isterinya, tiba-tiba sahaja jag air yang dihulur kepadanya untuk minuman melompat katak. Terkejut juga mereka yang datang ke situ apa-bila katak melompat dari jag air kemudian jatuh menggelupur di lantai .
Menggeleng kepala bapa saudara isterinya Bagindo Labeh kerana tidak diduganya kejadian itu berlaku. Bangkai katak yang jatuh menggelupur di lantai itu pula berbuih mulut macam lumut hijau. Masakan sengaja dimasukkan katak ke dalam jag berkenaan itu kerana mereka yang menyambut dari dalam tidak melihat pun katak mengapung di dalam air.
Tetapi Tok Aji tidak bimbang apa-apa dengan ujian demikian. Ketika mahu nienyuap nasi pula tiba-tiba sahaja pinggannya pecah berderai hingga nasi bertaburan di lantai.
"Nampaknya ada orang nak rosakkan kenduri kita ni, aji!" marah benar Bagindo Labeh dengan kejadian itu kerana bimbang mereka yang datang ke majlisnya akan menuduh dirinya.
"Sabarlah, bang," sahut Tok Aji terus mengaut nasi yang bertaburan itu sambiI meramas-ramas kaca pinggan bercampur nasi.
Kemudian dia meminta tetamu yang lain juga bersabar dengan kejadian tersebut. Disebabkan kenduri dibuat sebelum masuk waktu zohor, memang matahari tengah tegak di kepala. Segera Tok Aji campakkan nasi yang dikaut di lantai itu ke tengah halaman,
Sebelum bayang nasi itu jatuh ke tengah halaman mereka melihat di tempat yang ditaburkan oleh Tok Aji tumbuh padi tengah berbuah muda. Dalam sekelip mata sahaja mereka dikejutkan oleh seekor bapak lembu meranduk padi tumbuh di tengah halaman.
Apabila mahu dihalau oleh Bagindo Labeh cepat-cepat Tok Aji menegahnya. Tidak bersisa bapak lembu itu meragut padi tengah berbuah muda sampai habis ke perdu rumpun. Habis sahaja bapak lembu itu meragut rumpun padi, tiba-tiba sahaja dia terhuyung-hayang. Mulutnya bersemburan darah menyebabkan dia jatuh tersungkur sebelum sempat meninggalkan halaman.
"Lembu siapa agaknya tu?" gerutu tetamu yang datang bertambah hairan kerana kesan rumpun padi tumbuh tidak ada lagi di tengah halaman sebaik sahaja bapak lembu tergolek di penjuru pagar.
"Tak apalah, marilah kita semua makan angko-angko dan mamak semua," lantas Tok Aji mengajak tetamu semuanya menjamah hidangan setelah bapak lembu berkenaan ter-sungkur.
"Nanti kita beritahu tuan-nya," ujar Bagindo Labeh memujuk tetamu supaya bertenang semula.
Sudah tentulah menjadi tanggungjawab dia untuk memberitahu tuan bapak lembu itu mengenai kejadian tersebut. Dia sendiri tidak nampak dari arah mana bapak lembu itu datang meranduk sebaik sahaja rumpun padi tumbuh subur di tengah halamannya.
Kalau datang dari arah baruh tentu dapat diagak lembu peliharaan Malim Bawar, kerana dia yang banyak lembu peliharaan. Bagaimana pula lembu peliharaan Malim Bawar boleh terlepas hingga menyerbu ke tengah halaman rumahnya tatkala rumpun padi tumbuh subur sebaik sahaja ditaburkan nasi oleh Tok Aji.
Sampai selesai majlis kenduri rumah Bagindo Labeh, bangkai lembu itu masih juga terbung-kang di penjuru pagar. Selepas itu segera Bagindo Labeh mem-beritahu Malim Bawar mengenai bapak lembunya yang mati selepas meragut padi tumbuh di tengah halaman, kerana lelaki itu tidak dapat datang ke majlis kenduri berkenaan.
Sudah beberapa hari Malim Bawar uzur hingga tidak larat mahu berjalan turun. ke tengah halaman rumah pun. Sebelum diberitahu kepada Malim Bawar, memang isterinya yang sama hadir di majils kenduri itu mengaku bapak lembu itu bukan kepunyaannya.
Setelah diberitahu kepada Malim Bawar pun, dia percaya tidak ada lembunya yang terlepas dari kandang. Memang di dalam kandang sahaja lembu-lembu ternakan Malim Bawar meragut rumput yang dikepungnya dengan pagar hampir satu ekar.
Disebabkan mahu memasti-kan sama ada lembunya terlepas atau tidak daripada kandang, sengaja Malim Bawar menjengah juga ke rumah Bagindo Labeh. Sekalipun melangkah lemah dia gagahi juga ke rumah jirannya itu untuk memastikan lembu ternaknya terbungkang mati.
Bukan lembu ternaknya yang terbungkang mati itu menyebab-kan dia terkilan, tetapi bagaimana rumpun padi boleh tumbuh di tengah halaman macam bendang di baruh kampung? Macam tidak percaya Malim Bawar apabila diberitahu kejadian yang berlaku di rumah Bagindo Labeh itu.
Sewaktu menjengah ke penjuru pagar Bagindo Labeh, mereka tidak melihat lagi bangkai lembu terbungkang. Sebab itulah Malim Bawar tertawakan Bagindo Labeh, sekali-pun beberapa orang yang masih berbual di tangga rumah mengakui berlakunya kejadian itu.
Ketika inilah adik ipar Malim Bawar termengah-mengah datang memberitahu mengenai suaminya Tukon tiba-tiba sahaja sesak nafas hingga muntah darah. Kakinya menendang-nendang angin laksana lembu disembelih.
Berdebar juga hati Malim Bawar kerana adiknya Tukon baru sahaja menjengah dia setelah diberitahu uzur sejak beberapa hari. Disebabkan Malim Bawar sudah beransur sembuh, cepat sahaja Tukon balik ke rumah. Memang dia juga tidak jejak kaki ke rumah Bagindo Labeh sekalipun dijemput ke majlis kenduri itu.
"Dia baru saja balik dari rumah aku," ujar Malim Bawar bagaikan tidak percaya dengan khabar yang disampaikan oleh adik iparnya Bainah.
Tetapi Bainah sendiri tidak dapat mahu menerangkan apa-apa lagi. Ketika Tukon balik dari rumah abangnya Malim Bawar, terus sahaja masuk ke bilik tidur. Bainah masih sibuk memasak di dapur, tiba-tiba sahaja mendengar Tukon menjerit laksana lembu melenguh kuat.
Apabila dia menyerbu ke bilik tidur semakin terkejut Bainah dengan kelakuan suami-nya menonyoh muka ke lantai bagaikan lembu meragut rumput. Puas dipujuk pun Tukon tetap menonyoh-nonyoh muka seperti tidak sedar apa-apa berlaku. Tidak lama selepas itu Tukon tergolek di penjuru bilik dengan mulutnya bersemburan darah.
Setelah memanggil anak-anaknya Bainah baringkan suaminya di tempat tidur dalam keadaan termengah-mengah sesak nafas. Dia terus berkejar ke rumah Malim Bawar untuk memberitahu keadaan suaminya, tetapi abang iparnya sudah ke rumah Bagindo Labeh.
"Hai, apa pula musibahnya ni?" segera Bagindo Labeh mendesak Malim Bawar ke rumah Tukon. Tetapi Malim Bawar juga masih uzur akibat terkejang sakit sejak beberapa hari. Dia tidak boleh terburu-buru mengikut perasaan cemas.
Biarlah Tukon termengah-mengah sesak nafas dengan darah bersemburan di mulutnya. Kalau dia terconggok di sisi adiknya pun, Malim Bawar tidak mampu buat apa-apa pun. Sebab itu dia tidak perlu tergesa-gesa sangat. Langkahnya masih lemah dengan terketar-ketar berpaut pada tongkat tatkala berjalan ke rumah Bagindo Labeh.
Kalau tidak disebabkan semangatnya kuat, memang Malim Bawar juga tidak larat mahu menjengah ke rumah Bagindo Labeh. Tetapi hatinya serba salah juga apakala dikatakan lembu ternaknya yang terbungkang di tepi pagar rumah Bagindo Labeh. Biarlah rebah di mana-mana, dia tetap gagahi juga mahu memastikan lembu ternaknya tidak terlepas daripada kandang.
Bagindo Labeh sendiri ceritakan kejadian tersebut pada Mamak Melano mengenai nasib malang Tok Aji semasa di Kapur Sembilan. Bukan takat diuji demikian sahaja, malah emak Mamak Melano sendiri mengalami kejadian yang menyayat perasaan Tok Aji.
Beberapa minggu Tok Aji ke Jambi, apabila balik ke Bangkinang dia diberitahu mengenai isterinya sudah meninggal dunia. Tidak sempat dia menatap muka isterinya, disebabkan emak Mamak Melano tiba-tiba sahaja terkancing gigi. Serentak dengan itu darah bersemburan dari mulutnya macam luka ditusuk.
Mahu sampaikan berita kepada Tok Aji, tentulah sukar perhubungan ketika itu. Lagi pun di Jambi bukan mudah mahu mencarinya kalau tidak tahu hala yang dituju. Mamak Melano yang sudah berumur lapan tahun masih dapat mengingat keadaan emaknya menggelepar sambil menyebut-nyebut Tok Aji.
Kecewa benar Tok Aji dengan kejadian menimpa isterinya itu. Sebab itulah dia bersetuju ke Tanah Melayu apabila bertemu dengan Wak Samin. Kalau tidak disebabkan dihalang oleh Bagindo Labeh, memang dia sanggup membawa Mamak Melano bersama Mak Tua Siamah ke Tanah Melayu.
Tetapi Bagindo Labeh berkeras menghalang kerana bimbang Tok Aji belum ada tempat menumpu. Tentulah anak-anaknya tidak ada siapa yang akan mengasuh. Lainlah kalau Tok Aji sudah ada tempat menetap tentulah dia boleh membawa anak-anaknya menyeberangi Selat Melaka.
Selepas asar, saya berbaring semula kerana malas mahu turun ke bawah. Memang kalau menginap di hotel saya menjadi orang bodoh sampai tidak tahu apa perlu dibuat. Saya lebih senang duduk sahaja di bilik sementara menunggu Mamak Bandaro datang.
Hanya baru mahu terlelap, tiba-tiba pintu diketuk. Memang Mamak Bandaro yang naik. Cepat-cepat dia mengajak keluar kerana rakannya sudah menunggu di bawah. Setelah masuk ke kereta baru Mamak Bandaro perkenalkan dengan kawannya yang datang dari Jakarta, yang membuat temu janji dengan rakan kongsinya dari Medan itu.
Memang saya tidak tahu apa-apa pun urusan mereka orang berniaga apabila bertemu di Padang. Ketika makan di sebelah malamnya, Mamak Bandaro membisikkan kepada saya mengenai kawan dari Medan itu sudah beberapa kali bertanyakan saya.
"Sudah lama tahu mengenai ustaz," jelas Darwis rakan kongsi kawan Mamak Bandaro itu.
"Mengenai apa pula?" terkejut juga saya sekiranya Darwis mengadu mengidap sakit pula. Tentulah tidak baik saya datang ke Sumatera seolah-olah mahu menunjukkan kebolehan.
"Darwis ni cucu Mamak Melano dari Bangkinang," lantas sahaja Mamak Bandaro menerangkan. "Tapi dia sudah lama menetap di Medan, sudah jadi orang Medan," ketawa memanjang Mamak Bandaro mencuit bahu Darwis.
Tidak sedar saya air mata menitis apabila menatap wajah Darwis ketika itu. Sekaligus pula Darwis terus memeluk leher saya, kerana sudah kerapkali dia mendengar Mamak Bandaro memberitahu mengenai diri saya. "Bila nak ke Semenanjung?" tutur saya sebaik sahaja dia melepaskan pelukan.
"Memang akan diuruskan, angko juga mahu ke sana," Darwis tersenyum sambil mengusap-usap muka.
Tetapi Darwis ke Padang bukanlah disebabkan saya datang jejak kaki ke Sumatera. Dia sudah berjanji dengan rakannya Pak Subarta bertemu di Padang sebelum ke Solok kerana urusan perniagaan. Mamak Bandaro yang diberitahu oleh Pak Subarta mengenai temu janji di Padang itu dengan Darwis sengaja mengajak saya sama menunggu.
Mamak Bandaro bukanlah kenal rapat sangat dengan Darwis, kecuali bertemu beberapa kali sahaja di Medan. Lainlah dengan Pak Subarta dari Jakarta itu memang ada pejabat-nya di Bukittinggi. Asal sahaja ke Bukittinggi memang dia akan jengah juga Mamak Bandaro.
"Kalau Mamak Bandaro beritahu ustaz ke sini, memang saya akan bawa isteri ikut sama," kesal juga Darwis kerana Mamak Bandaro tidak memberitahu mengenai kedatangan saya ke Padang. Tentu isterinya juga mahu berkenalan dengan saya bapa saudara sendiri yang datang dari Semenanjung.
Malamnya kami semua menginap di Hotel Pangeran sahaja, kerana jam 7.00 pagi Darwis bersama Pak Subarta sudah mahu ke Solok. Disebabkan Mamak Bandaro akan balik ke Bukittinggi bersama saya, sepanjang malam itu Darwis berbual di bilik saya.
"Nanti ustaz beritahu bila mahu ke Medan, saya akan tunggu di airport," ujar Darwis mengingatkan saya supaya kerapkali menghubungi dia.
"Isterinya doktor, berasal dari Solok, tapi lama menetap di Medan," tersengih-sengih Pak Subarta membukakan rahsia Darwis yang masih tidak mahu memberitahu mengenai isteri-nya itu.
"Isteri saya memang doktor, namanya Nini," beritahu Darwis perlahan. "Saya sendiri sudah beritahu pada Nini mengenai ustaz," katanya seolah-olah merasa puas bertemu dalam keadaan tergesa-gesa demikian.
"Apa sangat yang nak diberitahu ni?" serba salah juga saya apabila diberitahu demikian.
"Ah, mengenai ustaz dan hubungan kita sebagai sepupu," jelas Darwis ketawa memanjang.
Kemudian Darwis memberitahu mengenai datuk saudaranya Bagindo Labeh yang memelihara ayahnya Mamak Melano selepas Tok Aji meninggalkan Kapur Sembilan. Banyak yang diberitahu oleh Bagindo Labeh mengenai Tok Aji selama dia menetap di Kapur Sembilan dekat Bangkinang itu.
Kalau tidak disebabkan Tok Aji memang Bagindo Labeh tidak dapat selamatkan diri apabila dihambat Acak tengah gila. Siapa pun tidak berani bertahan apabila Acak membawa parang panjang mengamuk di dalam kampung akibat gilanya tengah pasang.
Sudah dua orang luka parah ditetaknya tatkala terserempak di jalan. Kebetulan pula Bagindo Labeh tercegat di depan madrasah semasa. Acak menyerbu ke situ. Memang dia ke situ meminta pelajar-pelajar bersembunyi sebelum Acak muncul menghayunkan mata parang.
Belum sempat dia menyuruh pelajar-pelajar di situ bersembunyi, Acak sudah terjerit-jerit riang mahu menyerbu. Tidak ada pilihan lain terpaksalah Bagindo Labeh menunggu di tengah halaman surau supaya Acak tidak mengganggu pelajar-pelajar.
Tidak bertangguh Acak meluru datang mahu memangkas Bagindo Labeh. Disebabkan Tok Aji sudah nampak Acak menghampiri abang iparnya Bagindo Labeh segera dia menyergah. Tergamam Acak sebaik sahaja nampak Tok Aji berdiri tidak jauh darinya.
Segera Acak berpaling ke arah Tok Aji dengan meninggalkan Bagindo Labeh. Apabila pemuda itu mara mendapatkannya lantas Tok Aji menekan ibu jarinya ke tanah dan memusing-kan membuat garis bulatan dengan membacakan sembilan kali:
Waja'alna min baini aidihim saddan wamin kholfihim saddan fa aghsyainahum fahom layubsi-run.
Sembilan kali pula Acak berligar mengikut garis bulatan yang dibuat oleh Tok Aji dengan hujung ibu jari kakinya. Habis sahaja sembilan kali dia berkeliling, sekaligus Acak terguling ke tanah dengan mencampakkan parang di tangan.
Bukan takat selamatkan Bagindo Labeh dari amukan Acak sahaja keluarga di Kapur Sembilan kenang Tok Aji, malah madrasah yang ditinggalkan juga mengingatkan mereka kepada sumbangannya. Lama dia di Kapur Sembilan, ramai juga murid-muridnya yang mampu meneruskan pengajian di madrasah.
Tetapi Darwis tidaklah belajar di madrasah peninggalan Tok Aji itu. Semenjak emaknya anak Mamak Melano berkahwin dengan orang Medan, mereka terus menetap di Medan. Sebab itu Darwis juga dibesar di Medan disebabkan ayahnya memang orang Medan.
Bagaimanapun Darwis banyak mengetahui mengenai Tok Aji daripada datuknya Mamak Melano. Tahu sangat Mamak Melano mengenai ayahnya sekalipun dia ditinggalkan bersama Bagindo Labeh setelah Tok Aji berhijrah ke Semenanjung. Kalau tidak diselvbkan perhubungan sukar ketika itu memang Tok Aji bercadang juga mahu membawa anak-anaknya.
Tetapi Bagindo Labeh juga tidak mahu berpisah lagi dengan Mamak Melano. Sekiranya Tok Aji tidak dapat balik jejak kaki ke Kapur Sembilan, biarlah Mamak Melano bersamanya. Dia tetap kenang jasa Tok Aji selamatkan dirinya dari amukan Acak.
Bukan Acak sahaja yang dikenang oleh Bagindo Labeh, malah ketika terserempak harimau belang di hutan mencari akar kayu, dia sudah tergamam tidak tahu apa perlu dilakukan. Tok Aji yang berjalan di belakangnya segera menarik dia ke belakang.
Memang malang benar nasibnya apabila mencari akar kayu pagi berkenaan. Belum pun jauh masuk ke hutan tiba-tiba sahaja ditunggu harimau belang tengah lapar. Tetapi Tok Aji tahu benar pelangkah harimau sekiranya menyerbu dari arah hadapan, memang dia tidak bimbang apa. Lainlah kalau menerkam dari belakang, masakah dia boleh sempat mengelak.
Ketika harimau itu mahu menghambur, Bagindo Labeh nampak Tok Aji merebahkan badan sehingga dihimpit oleh binatang berkenaan. Dia nampak Tok Aji seolah-olah jatuh terlentang di bawah perut hari-mau dengan tapak tangannya tidak lepas memegang ke baha-gian dada binatang berkenaan. Cemas benar Bagindo Labeh kerana disangkanya adik iparnya menjadi mangsa harimau ganas.
Tetapi dia melihat harimau itu terkaku sahaja sebaik sahaja Tok Aji terlentang di bawah perutnya. Mulut harimau itu berbuih-buih dengan matanya terbeliak. Binatang itu merungut-rungut tidak dapat mengaum atau mengangakan mulut lagi. Tidak sampai sepuluh minit tubuh harimau itu tergolek ke tanah dengan darah pekat mengalir di mulutnya.
"Adik buat macam mana?" hairan juga Bagindo Labeh dengan keberanian Tok Aji, setelah harimau itu tergolek mati.
"Entahlah, agaknya harimau tu memang sakit nak mati," sengaja dia berdalih sambil menyapu-nyapu daun kering yang melekat pada pakaiannya.
"Kita balik ajelah, adik," lantas Bagindo Labeh mengajak berpatah balik kerana bimbang akan diganggu geruh yang lain pula.
"Tak apalah, kita bukan cari musuh," pujuk Tok Aji mengajak abang iparnya meneruskan usaha mencari akar kayu itu.
Sebab itulah Bagindo Labeh merasa terhutang budi benar pada Tok Aji. Kalau takat memelihara anak-anak Tok Aji dia rela selagi tenaganya masih gagah. Lagi pun anak-anak Tok Aji memang anak saudaranya yang menjadi tanggungjawab dia memelihara sampai dewasa.
Biarlah Tok Aji merantau ke tanah Semenanjung, dia tetap memelihara Mamak Melano dan Mak Tua Siamah sama macam anak-anaknya juga. Kalau tidak disebabkan Mamak Baiidaro sendiri datang mencari Mamak Melano, memang dia sendiri tidak ingat lagi mengenai Tok Aji.
Hanya dia mendengar dari Bagindo Labeh sahaja mengenai diri Tok Aji yang dikenangnya sampai bila-bila. Mamak Melano bukanlah tidak kenangkan ayahnya, tetapi semenjak putus hubungan dia sudah merasakan kehilangan Tok Aji ayahnya itu tidak dapat ditemui lagi!
Tetapi setelah diberitahu oleh Mamak Bandaro mengenai Tok Aji sudah meninggal dunia meninggalkan anak-anak di tanah Semenanjung, teringin juga Mamak Melano mahu merapatkan semula hubungan. Dia sendiri memang tidak berupaya mahu datang jejakkan kaki ke tanah Semenanjung, sama juga macam ayah saya tidak ada upaya mahu menjengah saudara mara di Kapur Sembilan.
Lainlah sekiranya Darwis mahu uruskan membawa datuknya menemui sanak saudara di tanah Semenanjung. Apalagi saya, memang tidak berupaya juga. Kalau tidak Mamak Bandaro yang uruskan, entah bila pula saya dapat jejakkan kaki ke Bukittinggi.
Hingga jam 11.00 malam masih berbual di bilik saya, tiba-tiba sahaja bising di bilik sebelah. Segera Mamak Bandaro menjengah disebabkan mengganggu penghuni bilik lain. Sewaktu beberapa orang penghuni bilik lain menjengah keluar, mereka melihat seorang wanita kulit putih berguling-guling di luar biliknya ketakutan. Suaminya cuba memujuk supaya bertenang.
Darwis segera mendapatkan suami wanita itu dan bercakap dalam bahasa Belanda. Suami wanita itu sendiri tidak tahu puncanya apabila tiba-tiba sahaja isterinya memekik ketakutan setelah melihat bayangan lelaki tidak berkepala di bilik mandi.
Wanita itu terus meluru keluar dengan menjerit-jerit ketakutan. Dia cuba memulihkan isterinya kerana diagakkan diganggu histeria hingga tidak keruan. Sudah puas dia mencuba pulihkan tetapi keadaan isterinya bertambah teruk.
Dia juga sudah meminta pihak hotel uruskan untuk menghantar isterinya ke hospital.
Apabila Mamak Bandaro memanggil saya ke situ, dia bisikkan kepada Darwis supaya memberitahu suami wanita itu benarkan saya melihat keadaan biliknya. Memang suami wanita itu tidak menghalang apa-apa, disebabkan dia memang sudah lama berulang-alik ke Jakarta. Dia juga tahu mengenai gangguan syaitan yang menjelma untuk merasuk mangsa.
Ketika saya berdiri di pintu biliknya, terasa tubuh saya bagaikan ditolak dari dalam hingga' seluruh badan saya terangkat ke udara. Tetapi segera saya berpaut kuat pada pintu lantas membacakan Ayatul Kursi dengan mengulangi:
Wala ya uduhu hifzuhuma wahuwal 'azim, hingga 311 kali.
Penghuni-penghuni bilik lain terpinga-pinga apabila di dalam bilik berkenaan bunyi kuat leguh-legah seperti orang berlari, sebaik sahaja saya berdiri semula tercegat di muka pintu. Memang saya dapat melihat bayangan lelaki tidak berkepala berlari di keliling bilik ketakutan sebaik sahaja yang merenung ke arahnya.
Apabila saya hentakkan tumit tiga kali lantas membacakan:
Izyuhi rabbuka ilal malaikati inni ma'akum fasabbitul lazina amanu, saulqi fi qulubil lazinakafaruru'bafadribufaugol a'aniqi wadribu minhum kulla bananin.
Lembaga tidak berkepala itu tersungkur lemah menjadi debu hitam. Ketika suami perempuan itu masuk ke bilik dia hairan melihat selonggok debu hitam di atas katilnya. Bagaimanapun, dia terpaksa juga menemani isterinya ke hospital setelah urusan dibuat oleh pihak hotel.
Sewaktu meninggalkan bilik hotel keesokan paginya, kami tidak sempat menemui lelaki kulit putih dan isterinya yang menginap di bilik sebelah.


No comments:

Post a Comment