Friday, December 2, 2016

205. LEMBAGA HITAM DILUBANG MATA




Macam sukar mahu dipercayai kejadian yang menimpa kakak saya, sehingga ayah sendiri menuduhnya tahyol. Apabila kakak balik ke kampung meminta dia doakan, ayah saya hanya tersengih-sengih sahaja. Manalah dia mahu mempercayai fasal kakak saya setiap malam terkencing di tempat tidur.

Selepas terkencing di tempat tidur, dia merasa perutnya senak hingga sampai ke pagi. Lebih sebulan dia mengidap kejadian demikian, di bawak ketikanya pula membengkak sebesar telur ayam. Risau juga suaminya Haji Mosli, disebabkan kejadian yang berlaku ke atas kakak saya itu berulang – ulang.

Kalau mahu dikatakan sakit, kakak saya tidak terlantar menanggung derita. Dia masih boleh ke pejabat bertugas sama seperti rakan-rakan yang lain. Disebabkan dia tidak dapat mengawal seringkali terkencing ditempat tidur, sengaja dia tidak tidur dikatl. Dia bentangkan tikar sahaja di lantai beralaskan getah macam bayi baru dilahirkan.

“Gangguan ni nak pisahkan kau dengan Mosli,” ayah mertuanya Haji Jilah mencebek bibir.

Sekiranya Haji Mosli tidak dapat menahan sabar tentulah dia mudah memberang tatkala tilam di katil habis dikencing kakak saya sewaktu tengah nyenyak tidur. Apabila kakak saya tidur di lantai sahaja, tentulah mereka tidur berasingan. Memang inilah yang diharapkan oleh sesiapa yang gunakan ilmu syaitan untuk mengganggu keluarga kakak saya.

Tetapi ayah saya tidak percaya sangat. Dia nasihatkan kakak saya supaya dapatkan rawatan doktor biar penyakit yang dialami tidak melarat. Merungut juga kakak saya dengan keputusan itu, seolah-olah ayah saya tidak ambil peduli sangat dengan masalah yang dihadapinya.

“Kalau nak jumpa doktor, tak payah beritahu ayah,” ujar kakak saya kecewa setelah ayah saya tidak mahu doakan. Tetapi ayah saya sudah memberitahunya, dia sudah pun lakukan solat hajat tiga malam berturut-turut biar gangguan yang dihadapi oleh kakak saya itu terhindar jauh.

“Cubalah Sheikh pula,” ayah saya meminta Haji Jilah pula doakan kakak saya.

“Hah, macam mana Bilal Hud, macam itulah juga saya,” sahut Haji Jilah merendah diri.

Memang Haji Jilah tidak pernah menemui mana-mana bomoh sekiranya menghadapi gangguan syaitan, kerana semenjak berhijrah dari tanah Arab dia banyak habiskan masanya berniaga. Hinggalah dia berkahwin semasa negeri masih belum merdeka lagi, Haji Jilah mengambil keputusan menetap sahaja di sini.

Beberapa kali juga saya menemui dia, Haji Jilah masih teringat lagi kampung halamannya di tanah Arab. Terbayang kegembiraan diwajahnya apakala saya menyebut mengenai tanah Arab yang lama ditinggalkannya. Apa lagi Mekah al Mukaramah yang tidak sama dengan Mekah yang ditinggalkannya dulu.

Lagi pun Haji Jilah hanya lama di Mekah Mukaramah sahaja, tetapi tanah air asalnya di Yaman. Ketika datang ke Singapura sebelum masuk ke Tanah Melayu lama dia berniaga, lantas mengambil keputusan menetap di pekan kecil itu

“Pak Sheikh tak ingin nak ziarah tanah Arab?” saya mengusiknya apabila mendapat tahu dia mulai uzur.

“Negeri AKU Sekarang di sini, mana mana pun tanah kepunyaan Allah,” dia tersenyum sambil mengeling gambar kaabah yang tergantung di dinding.

Ketika Haji Mosli mahu berkahwin dengan kakak saya lebih 20 tahun sebelum itu, memang Haji Jilah membawanya menziarahi kaum keluarga nya di tanah Arab. Tetapi selepas itu memang dia tidak pernah lagi jejak kakinya ke sana.

Apa lagi cucu cucunya yang ramai menyebabkan Haji Jilah tidak lagi ingatkan sangat tanah Arab, sekalipun sekali sekala dia termenung panjang setiap waktu tatkala musim haji menjelang.

Sebaik sahaja dia diberitahu mengenai gangguan yang menimpa kakak saya itu, Haji Jilah tidaklah gelabah. Dia tetap bertenang. Sewaktu kakak saya datang menemuinya bersama Haji Mosli, dia menyuruh amalkan membaca surah al-Ikhlas hingga 40,000 kali.

“Bila kamu balik, amalkan tiap tiap malam hingga cukup 40,000 kali,” Haji Jilah mengingatkan supaya amalan itu diteruskan.

Perkara berdoa tidak boleh diserahkan kepada orang semata-mata, tetapi mesti sama-sama bermohon pertolongan Allah. Sebab itu Haji Jilah mahukan Haji Mosli dan kakak saya sama-sama berdoa, dengan menunaikan solat sunat tahajud berterusan.

Setelah memberikan amalan demikian, Haji Jilah menyuruh kakak saya berlunjur kaki. Apabila dia menepuk-nepuk betis kakak saya, tiba-tiba sahaja kulitnya bertukar menjadi merah laksana bara di bawah buntut kuali. Saat ini memang kakak saya merasakan kakinya bahang seperti terganggang api.

Perlahan-lahan Haji Jilah membacakan surah al-Ikhlas tujuh kali, kemudian meneruskan dengan berdoa:

“Alahhumma rab-binnasi azhibalbasa isyfi antasy syafi la-syifa-ailla-syifa-uka syifa –an layuughadiru saqama.”

.Sedikit demi sedikit kulit kakak saya yang merah seperti bara itu beransur hilang, tetapi bertukar menjadi hitam berminyak-minyak. Menggeleng-geleng kepala Haji Jilah lantas mengangkat muka memandang anaknya Haji Mosli.

“Sabiah ni ada musuhkah, Mosli?” tutur Haji Jilah menjuihkan bibir sambil mengeluh pendek.

“Entahlah, manalah saya tahu,” sahut Haji Mosli perlahan. Manalah dia tahu samaada isterinya mempunyai musuh ataupun tidak. Kadangkala di pejabat memang pernah juga bertengkar  tatkala hati tengah meradang, tetapi tidak mungkin boleh bermusuh berpanjangan. Selepas terserempak di kantin, lantas sama-sama minum semeja, semua rasa tidak puas hati sudah dibuang habis.

“Salahnya sikit saje ni, tapi berdendam macam tak mahu berbaik lagi,” gerutu Haji Jilah tidak berkerdip mata merenung kaki kakak saya yang lebam kehitam-hitaman.

“Adakah awak bergaduh di pejabat dengan sesiapa, Sabiah?” Haji Mosli hairan juga kalaulah benar isterinya dianiayai orang.

“Rasanya tak ada,” ujar kakak saya berkerut dari menahan kesakitan. Memang sepanjang ingatannya dia tidak bertengkar sampai menyinggung perasaan kawan-kawan.

“Tak apalah, kamu amalkan surah al-Ikhlas tu,” tegas Haji Jilah tidak mahu perkara tersebut menjadi beban fikiran menantunya.

Segala pesanan ayah mertuanya dituruti oleh kakak saya. Setiap tengah malam dia bangun sebaik sahaja terkencing hingga habis basah selimut. Terus sahaja dia mandi untuk tunaikan solat sunat tahajud. Biarlah terkuap-kuap menahan mengantuk dia tetap gagahi juga, supaya boleh amalkan membaca surah al-Ikhlas itu seberapa banyaknya.

Kalau boleh dalam masa 2 minggu dia mahu habiskan sampai cukup 40,000 kali. Biarlah sampai 3,000 atau 4,000 satu malam diamalkan seperti yang disuruh oleh ayah mertuanya. Haji Mosli juga turut bangun tengah malam untuk sama-sama tunaikan sunat tahajud.

Satu minggu mereka amalkan seperti yang disuruh oleh Haji Jilah, mereka diberitahu orang tua tu terlantar sakit. Tiga hari Haji Jilah mengidap cirit birit hingga berulang kali ke tandas.

Tidak dapat orang tua itu membantu untuk bangun tengah malam solat sunat tahajud.

“Tak apa lah, teruskan aje kamu amalkan,” tegas Haji Jilah memberi semangat kepada kakak saya, setelah dia terlantar akibat 3 hari mengidap cirit birit.

Lebih dua minggu kakak saya amalkan solat tahajud dengan membacakan surah al-Ikhlas 3,000 kali setiap malam, kawanya di pejabat mengeluh  panjang memberitahu dia mengidap penyakit terkencing malam. Bertengkar dia dengan suaminya, kerana tilam di katl habis basah akibat kencing.

“Dah seminggu saya kena macam ni Hajah Sabiah ,” beritahu wanita India itu.

“Awak check doktor pakar laa,” sebut kakak saya nasihatkan dengan keramahan kepada kawannya itu, disebabkan selalunya mereka sering bertengkar sampai bermasam muka. Beberapa hari bermasam muka, mereka akan berbaik semula macam biasa, sekali pun tidaklah akrab sangat.

Dua tiga hari selepas itu wanita India berkenaan masuk pula ke wad hospital disebabkan kakinya lemah tidak boleh melangkah. Terpaksa pula gunakan kerusi roda menolaknya ke bilik air apabila perutnya senak mahu terkencing. Kadangkala belum sempat masuk ke bilik air dia sudah terkencing tidak dapat dikawal lagi.

Kawan-kawan di pejabat datang juga menjengah semenjak dia dimasukkan ke wad. Kakak saya juga ikut sama menjengah muka, sekalipun mereka berdua bukanlah akrab sangat

“Di pejabat kita selalu bertengkar, jadi saya harap Hajah Sabiah tak marahkan saya,” tutur wanita India itu semasa kakak saya datang menjengah dia terlantar sakit.

“Perkara di pejabat, tak masuk hati Mariamah,” beritahu kakak saya ikhlas. Kesihan juga dia dengan keadan Mariamah yang mengalami penyakit sama seperti yang dihidapinya.      

Kalau tidak sudah diingatkan oleh ayah mertuanya Haji Jilah supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai penyakit yang dihidapinya, memang kakak saya akan ceritakan pada Mariamah mengenai penyakitnya terkencing di tempat tidur itu. Tetapi dia pegang kukuh-kukuh pantang larang yang ditetapkan leh Haji Jilah.

Biarlah mereka sekeluarga sahaja menyimpan rahasia gangguan yang ditanggung oleh kakak saya itu, Setelah diamalkan surah al-Ikhlas itu, kakak saya tidaklah terkencing  lagi ditempat tidur sewaktu nyenyak dilamun mimpi. Dan hanya merasakan mencangkung di bilik air ketika itu, rupa-rupanya tengah nyenyak di atas katil.

 Memang demikian yang dialami oleh Mariamah. Dia sekadar bermimpi sahaja bercangkung dalam bilik air, rupa-rupanya terkencing di tempat tidur. Kemudian sampai ke pagi dia mengalami senak perut hingga tergigil-gigil menahan kesakitan.

“Awak tahu mana-mana bomoh ke, Hajah Sabiah?” Mariamah semacam merayu kepada kakak saya.

“Kenapa pula dengan bomoh?” terkejut juga kakak saya kerana kawannya itu mempercayai sangat bomoh. Tidak diduganya orang yang berpendidikan tinggi seperti kawannya itu masih lagi mengharap bomoh untuk mengubati penyakitnya.

“Tentu orang kasi bomoh sama saya, sebab doktor kata saya tak sakit,” tegasnya mencebek bibir seolah-olah menuduh seseorang.

“Saya mana tahu bomoh, saya tahu sembahyang saja,” beritahu kakak saya kesihan dengan keadaan kawannya itu.

Apabila diberitahu pada suaminya Haji Mosli keadaan Mariamah, lantas sahaja dia ingatkan kakak saya supaya tidak lagi menjengah kawannya itu. Ayah mertuanya Haji Jilah juga ingatkan dia supaya berhati-hati dengan Mariamah sekali pun perempuan itu terlalu baik terhadapnya.

Lebih seminggu Mariamah terlantar di hospital, dia balik semula bertugas di pejabat. Sengaja dia datang ke meja kakak saya berharap supaya diberitahu mengenai bomoh yang boleh membantunya. Bersungguh-sungguh sangat Mariamah merayu untuk menemui bomoh yang dikenali oleh kakak saya, kerana penyakitnya masih lagi berterusan.

“Hajah Sabiah tentu tahu ramai bomoh,” Mariamah sengaja menuduh.

“Saya tak pernah cari bomoh, mana saya tahu dia….” Hati kakak saya mula berdetak, seolah-olah Mariamah menuduhnya gunakan bomoh.

“Kalau awak tahu tolonglah bawa saya jumpa bomoh tu,” lantas Mariamah memujuk dengan lemah lembut.

“Belum pernah saya jumpa bomoh,” ujar kaka saya mulai malas mahu melayan perempuan itu. “Kalau saya sakit, saya buat appointment dengan doktor aje,” tegasnya semakin dapat mengagak tujuan yang tersirat di hati Mariamah.

Tentu Mariamah mahu pertolongan bomoh untuk membalas semula perbuatan orang yang menyebabkan dia digangu demikian, Mustahillah dia tidak berupaya mengawal diri sendiri sehingga terkencing tengah nyenyak tidur, dan perut senak sampai ke pagi. Lainlah kalau buang buang air kecil sepanjang malam, boleh juga doktor agakkan samaada mengidap buah pinggang atau pun tidak.

Tetapi Mariamah tetap juga mendesak supaya dia tunjukkan bomoh yang mampu membalas semula perbuatan orang yang mahu menganiaya. Disebabkan Mariamah mendesaknya, kakak saya sengaja menjauhkan diri dari perempuan itu. Biarlah Mariamah tersinggung, asalkan dia tidak mencampuri urusan orang lain.

Tiga minggu selepas Mariamah mendesak itu, kakak saya hampir juga megamuk dengan anak – anaknya, apakala wang di dalam dompetnya hilang. Semua empat orang anaknya hairan kerana mereka tidak pun masuk ke bilik emaknya. Tetapi Haji Mosli tidak percaya anak-anaknya tergamak mengambil wang di dalam dompet yang tersimpan dalam beg tangan isterinya.

Dalam satu minggu itu tiga kali wang kakak saya hilang di dalam dompet. Apabila diberitahu oleh Haji Mosli kepada ayahnya , orang tua itu menghela nafas panjang. Lama dia termenung, lantas dia bangun ke bilik air mengambil wudhuk.

Selepas bersembahyang sunat dua rekaat, Haji Jilah membacakan Yassin dan dihembuskan kedalam air satu jag. Kemudian dia menyuruh Haji Mosli meletakkan jag air itu dipenjuru bilik tidur. Tidak ada apa-apa pun yang diberitahu oleh Haji Jilah mengenai kejadian terbaru yang menimpa kakak saya itu.

Haji Mosli juga tidak bertanya apa-apa. Air dalam jag itu diletakkan sahaja di penjuru bilik tidur sebaik saja dia balik ke rumah. Disebabkan bimbang kejadian wang hilang itu berulang lagi sengaja kakak saya mengikat dompetnya di pinggang semasa tidur.

Kira-kira jam tiga pagi kakak saya terkejut apabila anak kecilnya berumur tiga tahun menangis ketakutan  di sisinya. Cepat cepat dia mengejutkan Haji Mosli. Sebaik sahaja Haji Mosli terbangun dia nampak bayangan hitam mahu meragut dompet di pinggang kakak saya.

Lantas Haji Mosli melompat dari katil mencapai jag berisi air di penjuru bilik. Air yang didoakan dengan bacaan Yassin itu direnjis oleh Haji Mosli ke arah bayangan hitam yang berebut-rebut dompet di pinggang kakak saya. Saat ini kakak saya tidak melihat apa-apa pun di sisinya, kecuali dia merasakan dompetnya sahaja direntap orang. Sebab itulah dia bertahan dengan memegang dompet berkenaan kuat-kuat supaya tidak terlucut dari pinggang.

Sebaik sahaja air Yassin itu direnjiskan sekali gus bayang hitam itu tergolek dilantai hingga terdengar bunyi berdebab. Bingkas sahaja kakak saya melompat dari katil setelah merasakan dompet di pinggangnya tidak diregut lagi.

“Apa yang terjatuh berdebab tadi tu?” soal kakak saya memerhati Haji Mosli merenjis-renjis air di dalam jag ke lantai. Anak kecilnya Syarifah Miza juga sudah nyenyak tidur semula setelah ayahnya Haji Mosli mencapai jag air di penjuru bilik.

Tetapi Haji Mosli mendiamkan diri, sahaja. Dia hanya memerhatikan bayang hitam yang tergolek di lantai menggelepar bagaikan ayam disembelih leher. Renjisan air itu menjadikan titik-titik merah di lantai akibat menyinggahi bayayang hitam yang tergolek di lantai.

Apabila kakak saya memasang lampu bilik tidur, dia melihat percikan darah di lantai sekalipun dia tidak tahu mengenai bayang hitam yang tergolek menggelepar. Haji Mosli tidak berkedip mata memandang bayang hitam itu semakin lemah, lantas membacakan doa:

Waja ‘alu-lillahhi syuraka-al jinni wak-halaqahum wakhara qaulahu banina wabanatin bighairi ‘ilmin subhanahu wata’ala ‘amma-yusifun

Tatkala Haji Mosli meniup ke arah bayang itu, kakak saya nampak jelaga hitam berterbang di atas titik-titik merah seperti darah itu laksana kertas baru dibakar hangus.

“Apa yang jadi, aji?” kakak saya kehairanan dengan kejadian yang tidak diduganya itu.

“Ah, sudahlah tu,” ujar Haji Mosli terus masuk ke bilik air dan membersihkan lantai dengan mop.

Esoknya sewaktu sarapan pagi barulah Haji Mosli memberitahu mengenai bayang hitam yang cuba meragut dompet di pinggangnya. Setelah direnjiskan dengan air Yassin yang dibekalkan oleh ayahnya Haji Jilah, bayang hitam itu tiba-tiba menggelepas laksana disimbah dengan asid yang melecurkan tubuh.

Selepas kejadian itu beberapa minggu kakak saya tidak lagi diganggu oleh wang hilang didompet. Tidurnya juga tidak lagi diganggu oleh kegelisahan yang tidak menentu. Memang dulunya setiap malam dia sentiasa gelisah tidak menentu hinga terasa detak jantung mengombak-ombak kuat.

Tidak lama kakak saya mengalami kejadian bayang hitam cuba meragut dompet di pinggang,  Mariamah  datang lagi ke meja di pejabatnya. Mariamah memberitahu dia sukar mahu melelapkan mata setiap malam disebabkan kegelisahan, manakala wang di dalam dompetnya seringkali hilang.

“Hajah Sabiah tolonglah carikan saya bomoh,” desak Mariamah dengan harapan yang memuncak.

“Mana saya nak cari, sebab saya tak pernah jumpa bonoh,” jelas kakak saya serba salah kerana tidak mahu melayani sangat perempuan itu.

“Saya tahu, Hajah Sabiah jumpa bomoh yang kuat,” Mariamah tetap menuduh.

“Apa awak cakap ni?” soal kakak saya keras tersinggung dengan anggapan Mariamah.

Tersintak Mariamah. Tersipu-sipu dia tiba-tiba sahaja menyebut pasal bomoh di depan kakak saya. Semenjak itu lama juga dia tidak datang ke meja kakak saya apabila masa terluang. Di kantin pun jarang mereka bertegur tatkala berselisih bahu, kecuali tersenyum sambil mengerling tajam.

Tetapi terkejut juga kakak saya apabila Mariamah mengirimkan dia kek sempena hari jadi. Tidak pernah pula dia mengirimkan kek demikian, disebabkan dia tidak peduli sangat mengenai hari jadi kakak saya. Lagipun kakak saya tidak pernah menyambut hari jadi macam jiran-jiran yang berulang kali buat jamuan asal sahaja menjelang hari jadi keluarga.

Memang Haji Jilah tidak mahu anak-anaknya buat sambutan hari jadi macam mahu bermegah-megah. Dia hanya menyuruh masing-masing lebihkan ibadat apabila tiba tarikh lahir.

Kek hari jadi yang dikirim oleh Mariamah memang tidak dijamah langsung oleh kakak saya. Haji Mosli juga tidak benarkan dia menjamah bersama keluarga. Kakak saya sudi menerimanya untuk dibawa balik ke rumah kerana tidak mahu Mariamah berkecil hati. Sebaik sahaja dibawa balik, Haji Mosli buangkan sahaja kek hari jadi itu ke sungai.

Biarlah di dituduh mempercayai tahyol kerana tidak menjamah kek hari jadi berkenaan. Haji Mosli sudah dapat mengagak apa yang tersirat di hati Mariamah, setelah melihat sendiri bayang hitam tatkala berebut-rebut dompet dibilik tidur.

KEtika ke pejabat esoknya, kakak saya diberitahu, Mariamah dimasukkan lagi ke wad kerana tiba-tiba sahaja tidak sedarkan diri sementara menunggu untuk makan malam. Dalam perjalanan ke hospital beberapa kali Mariamah termuntah, hanya air sahaja keluar dari mulut laksana orang kelemasan akibat tenggelam di dalam arus.

Sekali pun kawan-kawan pejabat menjengah Mariamah di wad hospital, tetapi kakak saya merasa malas ikut sama. Sudah beberpa kali dia bermimpi seolah-olah Mariamah yang datang mengancamnya. Tetapi dia tidak berani mahu menuduh kerana bimbang akan dimarahi oleh Haji Jilah. Memang marah benar Haji Jilah kalau menuduh demikian. Dia sekadar hanya menyuruh amalkan sahaja ibadat kepada Allah apabila diganggu musibah, bukannya menuduh orang lain menganiaya. Manalah sesama makhluk boleh mengetahui kejadian yang tersembunyi daripada pengetahuan yang nyata.

“Tak bergerak sesuatu, kalau tidak dengan izin Allah,” Haji Jilah mengingatkan supaya tidak mempercayai sesuatu musibah itu datangnya dari sesama makhluk.

Memang dijerkahnya kakak saya apabila diberitahu mengenai mimpi seringkali diancam oleh Mariamah itu. Dia hanya menyuruh kakak saya bangun sahaja di tengah malam untuk tunaikan solat sunat tahajud dan membacakan surah al-Ikhlas itu berulang kali.

“Kenapa Hajah Sabiah tak jengah Mariamah di hospital?” Siti yang rapat dengan Mariamah menegur kakak saya sewaktu terserempak di kantin

“Nantlah, bila ada masa saya nak jengah juga, “ beritahu kakak saya tersenyum ramah. Tidak pernah pula Siti bertanya demikian seolah-olah mendesak dia menjengah Mariamah.

“Hai, macam bermusuh aje Hajah Sabiah dengan dia,” tersengih-sengih Siti hingga terasa pada kakak saya seolah-olah perempuan itu mengejeknya.

Dia tahu memang Siti rapat dengan Mariamah,disebabkan dia berharap sangat mendapat sokongan ketua jabatan mengenai lapuran kerjanya. Satu-satunya yang boleh diharap memang Mariamah yang boleh memberi sokongan. Sebab itulah dia tetap jengah Mariamah asal sahaja ketua pejabatnya itu dimasukkan ke hospital.

Kakak saya tidak peduli sangat samaada lapuran kerjanya disokong atau tidak oleh Mariamah. Biarlah ketua jabatan menilai sendiri kerja-kerjanya di pejabat. Dia tidak akan terburu-buru menjengah Mariamah apabila dimasukkan ke hospital semata-mata mahu mendapatkan sokongannya.

Perkara lapuran kerjanya disokong atau tidak oleh ketua pejabat seperti Mariamah tidak penting, asal sahaja ketua jabatan tau apa yang dilakukannya di pejabat. Sebab itulah beberapa kali dia bertengkar dengan Mariamah disebabkan lapuran yang tidak tepat itu.

Semenjak beberapa tahun kakak saya menanggung gangguan yang berterusan itu, hanya sewaktu saya berkunjung menemui Haji Jilah beberapa hari selepas hari raya barulah orang tua itu memberitahu. Ketika balik ke kampung ayah saya tidak bercakap apa-pa pun mengenai gangguan yang dialami oleh kakak saya sehingga Haji Mosli juga sudah berputus asa.

“Saya sudah suruh Sabiah jangan tinggalkan solat sunat tahajud tu,” ujar Haji Jilah mengusap-ngusap janggutnya yang memutih. “Ustaz tentu ada ikhtiar lain untuk sama-sama doakan,” katanya lembut sambil   menghulurkan minuman ke hadapan saya.

Memang saya tidak terkejut apabila diberitahu oleh Haji Jilah mengenai kejadian yang menimpa kakak saya itu. Gangguan syaitan ini dilakukan oleh mereka yang tidak takut pada siksaan Allah Subhanahu Wata’ala, semata-mata mahu memuaskan perasaan dendam yang berpanjangan.

Perkara yang dialami oleh kakak saya tidaklah berat sangat kalau dibandingkan dengan Utih Deraman selepas bertengkar dengan mandor tempat bekerja. Mudah sahaja Utih Deraman mencekak leher mandor bekenaan apaila dijerkah tatkala peluh memercik di bawah cahaya matahari.

Terisak-isak isterinya Andak Lisah memberitahu saya mengenai penyakit yang dideritai oleh Utih Deraman sejak berbulan-bulan. Memang tidak disangkanya wang di dalam dompet hilang beberapa kali berpunca dari gangguan tersebut. Andak percaya wangnya dicuri toyol setelah beberapa kali dia menyedari wang hilang dalam simpanan.

Setelah dijemput Wak Bugis dari Pontian mahu menangkap toyol, orang tua itu juga gagal memerangkapnya. Selalunya kalau toyol bila-bila Wak Bugis dapat menangkapnya. Sudah beberapa kali Wak Bugis dijemput orang sekiranya diganggu toyol.

Kadangkala mereka dapat mendengar tapak kaki toyol berlari di keliling bilik apabila Wak Bugis sudah mula mencacak kerisnya tercancang di tengah rumah. Mereka boleh lihat keris yang tercancang itu bergegar-gegar bagaikan direntap dengan tali, tatkala bunyi tapak kaki berlari semakin galak.

“Hah, ini bukan kerja toyol,” beritahu Wak Bugis setelah berusaha sepanjang malam cuba memerangkap. Toyol yang diumpan dengan bertih yang diserakkan itu tidak dapat diperangkap oleh Wak Bugis. Dia tahu bukannya toyol yang menganggu wang dalam simpanan Andak Lisah.

“Kalau bukan toyol, kerja siapa plak Wak?” Ujar Andak Lisah dengan gangguan tersebut.

“Macam-macam ilmu syaitan ni,” sahut Wak Bugis tersengih-sengih. “Tapi tak ada ilmu syaitan yang melebehi ilmu Allah,” tegasnya mencebik bibir seolah-olah kesal dengan perbuatan orang yang menggunakan ilmu syaitan untuk membalas dendam.

“Macam mana pun Wak tolonglah kami,” Utih Deraman pula merayu setelah merasa dirinya demam sejuk apabila tengah malam menjelang. Sekali sekali dia akan terkencing di tempat tidur apabla bermimpi membuang air di merata belukar.

Tetapi dia malu mahu menceritakan di depan Wak Bugis fasal terkencing di tempat tidur. Biarlah kejadian demikian menjadi rahsianya sahaja. Memadailah dia beritahu mengenai wangnya yang hilang dalam simpanan sahaja sekiranya diganggu toyol.

“Wak tak mampu nak tolong kamu,” jelas Wak Bugis meramas-ramas hulu kerisnya yang tercancang di tengah rumah. “Hanya Allah yang boleh memberi pertolongan dan perlindungan,” dia mengingatkan setelah dapat mengagak gangguan yang dihadapi keluarga itu bukan sekadar wang dalam simpanan sahaja yang hilang.

Disebabkan Utih Deraman kecewa setelah Wak Bugis tidak mahu membantunya dia jadi geram hingga tidak mahu berubat lagi. Puas didesak oleh isterinya dia tetap tidak mahu menemui sesiapa pun. Memang  panas brannya itu tidak dapat dikawal, hingga mengidap bisul di atas maa pun Utih Deraman tidak peduli.

Ketika membawa ke klinik, doktor terpaksa membedah bisul yang semakin pasang itu. Setelah dibedah keadaan bisul Utih Deraman semakin merebak hingga matanya juga bengkak. Dia tetap berkeras tidak mahu berubat di mana-mana disebabkan tidak mempercayai lagi sesiapa pun setelah Wak Bugis enggan membantu.

Setelah mata Utih Deraman terjojol keluar akibat bisul bertambah pasang itulah, Haji Basar membawa emak saudaranya itu menemui saya. Terlalu sebak hati Andak Lisah memberitahu fasal kedegilan suaminya, hingga bergaduh dengan siapa sahaja di tempat kerja. Siapa yang berani mencekak leher baju mandor, kalau bukan Utih Deraman satu-satunya !.

“Betullah cakap Wak Bugis tu,” jelas saya memberitahu Andak Lisah setelah dikecewa dengan keputusan Wak Bugis. “Sepatutnya Andak Lisah bersabar semasa meminta Wak Bugis sama-sama berdoa,” tutur saya meningatkan dia.

Sekiranya Andak Lisah menemui saya juga, apalah yang boleh saya lakukan kecuali berdoa kepada Allah Subhanahu Wata ‘la yang kepadanya sahaja kita memohon pertolongan dan perlindungan. Tidak ada apa-apa pun yang salah dengan penjelasan Wak Bugis itu, kalau Utih Deraman memahami maksudnya.

Saya percaya Wak Bugis bukannya enggan mendoakan, tetapi Utih Deraman yang tidak mahu bersabar.  Dia hanya menurutkan rasa panas baran yang tidak dikawal. Sebab itulah setelah berbulan-bulan menanggung sakit bisul hingga sebelah matanya terjojol keluar dia tetap berkeras tidak mahu berubat.

Doktor pakar sudah pun menasihakan dia menjalani pembedahan disebabkan barah di mata itu sudah melarat. Tetapi Utih Deraman percaya matanya bukan mengidap barah. Dia menyalahkan Wak Bugis kerana enggan mengubatinya hinga dia tidak memepercayai sesiapa lagi.

“Habis, macam mana nak buat dengan Utih Deraman ni?” Andak Lisut tidak sabar lagi dengan keadaan penyakit suaminya itu.

“Andak kenalah bertenang, dengar dulu cakap ustaz ni,” Haji Basar mengingatkan dia supaya tidak terburu-buru.

Apabila saya dibawa oleh Haji Basar ke rumah Utih Deraman, memang tidak tergamak mahu melihat keadaan matanya yang terjojol. Ketika ni Utih Deraman tidak banyak cakap lagi. Tubuhnya semakin lemah hingga pandangannya juga sudah kabur.

Semenjak terlantar sakit, Utih Deraman juga sudah lama berhenti kerja. Dia sudah tidak mampu bergerak akibat sakit yang menusuk-nusuk. Ketika dipanggil namanya oleh Haji Basar, pendengarannya sudah tidak baik lagi.

Disebabkan saya sendiri tidak tahu mengenai penyakit yang dihidapi oleh Utih Deraman itu, lantas sahaja saya tudingkan jari telunjuk ke arah matanya yang terbonjol.membengkak sebesar tempurung kelapa dengan membaca 8 ayat terawal surah al-Qalam.

Apabila saya memusingkan jari telunjuk itu, tiba-tiba sahaja darah dan nanah menitik dari daging membengkak ari mata Utih Deraman. Terpaksalah pula Andak Lisah tadahkan dengan dulang hingga penuh menitik. Tetapi Utih Deraman hanya terkejang sahaja tidak bercakap apa-apa.

Terasa juga seram sejuk saya tatkala memerhatikan ke dalam mata Utih Deraman yang terjojol itu bayangan lembaga hitam duduk berpeluk tubuh. Sewaktu saya memusingkan jari telunjuk menujah angin, bayangan lembaga hitam itu ikut berputar sampai tertunggang terbalik. Terkejut dia disebabkan tidak dapat bertahan akibat berputar di dalam lubang mata Utih Deraman.

Sebaik sahaja ternampak bayangan lembaga hitam itu berputar, dak tertangguh saya tekankan ibu jari kanan ke tapak tangan kiri. Lantas saya kisar dan membecakan:
Ya syafi, ya kafi, ya muafi bismillahhil lazi layaduru ma’asmahi syaiin fil –ardha watafissama – i wahuwas-sami’ul’alim

Terlalu marah bayang lembaga hitam di dalam lubang mata Utih Deraman, tetapi dia terpaksa berlindung apabila terjahan api seolah-olah menyilau di sekelilingnya. TEtapi saat ini tenaga Utih Deraman semakin lemah. Dia sendiri tidak mampu bertahan, sekalipun saya dapat mengesan bayang lembaga hitam yang menganggunya.

Sewaktu balik malamnya saya berjanji akan datang lagi ke rumah Utih Deraman. Bagaimanapun pagi-pagi esoknya Haji Basar menelefon saya memberitahu Utih Deraman sudah meninggal dunia. SEbelum zohor sempat juga saya menziarahi jenazahnya.

Disebabkan saya ada hal, selepas sahaja ikut sama menyembahyang-kan jenazah, saya tidaklah menghantar jenazah ke tanah perkuburan. Tetapi sebulan selepas Utih Deraman dikebumikan, Haji Basar memberitahu saya bekas mandor tempat Utih Deraman bekerja, ikut sama menghantar jenazah ke kubur. Sewaktu membantu mengambuskan tanah, tiba-tiba dia tergelincir sehingga matanya tersembam ke tanah.

Balik saja dari kubur, mata mandor berkenaan membengkak akibat jatuh tersembam ke tanah. Lama kelamaan bengkak di mata mandor itu semakin membusuk menyebabkan dia terlantar di hospital.

“Habis macam mana Kak Sabiah tu, Pak Sheikh?” soal saya menatap muka Haji Jilah. Saya percaya kejadian yang menimpa kakak saya itu tidaklah sama berat dengan pengalaman Utih Deraman itu.

“Alahamdulillah, dia masih amalkan yang saya suruh tu,” beritahu Haji Jilah menahan rasa gementar kerana bimbang amalannya itu tidak dimakbulkan Allah Subhanahu Wata’ala. Tetapi dia tetap ingatkan kakak saya supaya tidak jemu-jemu berdoa memohon pertolongan Allah Yang Maha Mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi.





No comments:

Post a Comment