Saturday, December 10, 2016

206. KISAH TOYOL DI DALAM BOTOL


    Disebabkan telah beberapa kali terjadi, tidaklah saya terkilan sangat apabila wang didalam dompet hilang. Lagipn apa sangat wang lima puluh ringgit hilang kalau bandingkan dengan sifat amarah yang tidak dapat dikawal. Sifat amarah tentulah tidak sama dengan marah yang diluahkan mengikut perasaan, tetapi amarah adalah sifat buruk di dalam sanubari sebagai nafsu yang terendah sekali kepada insan
Wang lima puluh ringgit itu sekadar harta dunia. Apa sangat mahu dirusuhkan dengan kehilangan harta dunia, sedangkan harta akhirat belum tentu lagi tidak terlepas daripada genggaman.
Tergelak besar Haji Maasar apabila saya beritahu mengenai wang yang hilang di dalam dompet itu. Tetapi Haji Maasar bukannya bergurau kerana tidak mempercayainya. Dia hairan kenapa kejadian demikian juga berlaku kepada diri saya.
“Macam mana ustaz boleh kena?” tutur Haji Maasar dalam ketawa memanjang, sebaik sahaja duduk setelah saya naik ke rumah.
“Saya pun manusia biasa sahaja,” jelas saya perlahan.
Memang lama juga saya tidak ke Segamat menemui Haji Maasar, sekali pun telah beberapa kali dia pesankan kepada anaknya Badrul. Setelah dua kali saya ke Bukittinggi di Sumatera, tidak sempat saya mahu ke rumahnya. Lagi pun sepanjang musim cuti sekolah ramai juga sanak saudara yang mengadakan kenduri kawin dan berkhatan anak-anak. Kalau tidak menjengah muka terasa pula tidak kena, disebabkan mereka telah memberitahu mengenai kenduri berkenaan.
Disebabkan tidak ada perkara yang mustahak mahu menemui Haji Maasar, sengajalah saya tangguhkan ke Segamat. Hampir juga saya tersesat hingga ke Gemerih Empat, disebabkan simpangnya sudah berubah setelah jalan dibesarkan. Memang Segamat tidak sama dengan sepuluh tahun dulu.
“Tentulah perbuatan syaitan mencuri duit ustaz?” lantas sahaja Haji Maasar tersengih-sengih mengerling saya.
Saya mengangguk. Apa yang boleh saya lakukan kalau perbuatan syaitan untuk menganiayai diri saya dapat juga diteruskan dengan izin Allah?
Memang saya tidak bimbang apa-apa dengan gangguan demikian, kerana Tok Aji sendiri ingatkan hanya kesabaran sahaja yang boleh mengatasi gangguan syaitan itu. Tidak ada upaya syaitan untuk menentang kesabaran sesaorang insan
Kesabaran ini jugalah yang boleh menghapus sifat amarah di dalam sanubari seorang insan itu . Tetapi saya tidaklah berupaya mencapai tingkat kesabaran seperti sepupu saya arwah Mat Deh. Tahu sangat Haji Maasar mengenai Mat Deh kerana mereka sama sama mengaji pondok di Kedah, sebelum Mat Deh meneruskan pengajian di Mekah Mukarramah .
Lama Mat Deh mengidap kudis di buku lali kakinya hingga berjalan terdengkot-dengkot, tetapii tidak pernah merungut. Hingga terasa geli geleman Haji Maasar disebabkan kudis tersebut sudah dihurung ulat berenge meremut, namun Mat Deh seolah-olah tidak merasakan kesakitan.
Dia akan membersihkan kudis tersebut tatkala berwuduk, dan tetap akan tunaikan solat. Setelah balik ke tanah air baru Tok Aji doakan dengan membaca surah al-Qalam dan titikan getah akar pohon beringin yang terjuntai.
Lebih sebulan Tok Aji ubatkan barulah kudis kering dan mulai berparut. Mat Deh tidak percaya mahu berubat ke hospital, setalah beberpa kali dirawat masih juga tidak sembuh. Apa lagi pihak hospital mahu memotong kakinya kiranya kudis berkenaan tidak juga sembuh. Memang pihak hospital mengesyaki dia menghidap kencing manis disebabkan kudis berkenaan membengkak sampai mengangkat ulat berenge.
Bukan takat sabar dengan  musibah penyakit sahaja, malah beberapa kali ditipu wang Mat Deh tidak pernah merungut. Tatkala wangnya meminjam wang seribu ringgit, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanannya. Ketika itu nilai wang seribu ringgit memang besar kalau dibandingkan dengan nilai wang sekarang. Setelah lebih setahun kawannya itu tidak juga membayar wangnya, emak Mat Deh mula mendesaknya.
“Macam mana orang pinjam duit kau tu, Mat?” soal emaknya Ngah Sabiyah kesal dengan sikap anaknya itu.
“Dia belum ada duuit, kalau ada duitnya nanti tentu dia akan bayar,” jelas Mat Deh kecewa kerana perkara orang meminjam wang itu sampai juga kepada pengetahuan emaknya. Sedapat-dapatnya dia mahu merahsiakan apa saja yang berlaku ke atas dirinya.
Tetapi isterinya Seminah tidak mahu bersabar setelah orang yang meminjam wang Mat Deh tidak juga membayarnya semula. Kalau harapkan Mat Deh sampai bila pun dia tidak akan bertanya apa-apa selagi orang itu sendiri tidak membayarnya. Sebab itulah Seminah beritahu juga kepada emak mentuanya Ngah Sabiyah.
“Kalau kau tak minta, memang dia tidak akan bayar,” desak emaknya mendengus kesal dengan sijap Mat Deh.
Mat Deh hanya tersengih-sengih sahaja apabila didesak oleh emaknya. Apa sangat harta dunia bernilai seribu ringgit itu kepadanya, kalau dia boleh mendapatkan harta akhirat yang berlipat kali ganda. Dia tidak perlu mendesak kawannya itu membayar balik wang tersebut sekiranya orang itu tidak mampu.
“Dah yahu dia tidak boleh bayar, kenapa kau beri dia pinjam?’ Ngah Sabiyah juga terkilan apabila anaknya mudah sangat memberi orang pinjam wang sampai seribu ringgit . Kalau wang sebanyak itu digunakan untuk keluarga tentu lebih bermanfaat kepada mereka semua.
“Kerana dia susahlah dia pinjam,” ujar Mat Deh perlahan menahan keluhan yang menyebak di dada. “Kalau dia tak susah takkan dia nak pinjam pada saya,” jelasnya meningkah emaknya supaya tidak terburu-buru menyimpan syak wasangka.
‘Dia aje susah, kamu tak susah?” suara Ngah Sabiyah keras menyindirnya.
  "Saya tak susah apa-apa, cuma Seminah mungkin merasa rugi," tegas Mat Deh mengerling isterinya yang tergamak memberitahu hal keluarga kepada emaknya.
"Seribu ringgit tak rasa rugi?" cepat sahaja Seminah mencelah dengan mencemik muka.
"Kalau awak nak wang seribu ringgit saya boleh carikan," lantas Mat Deh menuturkan perlahan.
"Tak perlulah awak desak orang tu bayar balik," katanya lernbut tetapi mengandungi amaran pahit kepada Seminah. Terdiam Seminah dengan penjelasan suaminya itu. Dia tahu Mat Deh tidak akan bersuara keras sekalipun tatkala kemarahannya memuncak. Tetapi memang Seminah memahami sikap suaminya tidak mahu mendesak perkara yang tidak disenanginya, apalagi kalau tamakkan harta dunia berlebihan.
Sewaktu Mat Deh mengidap sesak nafas, memang dia pesan meminta saya datang menjengahnya. Dia hanya tersenyum sahaja apabila saya duduk di sisinya dengan tidak menampakkan kesakitan yang ditanggungnya.
"Awak sakit apa?" sengaja saya bertanya sambil memicit-micit betisnya.
"Badan sakit sikit-sikit," Mat Deh menjelaskan, sekalipun saya melihat ombak dadanya begitu payah. "Tapi hati aku rasa aman, tak terasa sakit apa-apa," katanya tenang menatap muka saya.
Tetapi saya dapat merasakan keadaan penyakitnya yang bertambah teruk di sebalik senyuman yang terukir di bibirnya. Dalam masa empat hari dia bergelut dengan keadaan keadaan penyakitnya, Mat Deh tidak pernah mengerang kesakitan. Dia hanya menyebut nama Allah sekalipun saya dapat melihat dahinya berkerut menahan kesakitan.
"Awak sakit ke?" ujar saya berbisik.
"Angah doakan cukuplah," Mat Deh tetap tersenyum menatap muka saya sambil menarik tangan saya supaya diletakkan ke dahi nya.
Setelah saya baca-kan doa:
La-ilahailla-llahhu wallahhu-akbar saddaqahu rabbahu fa-qala la-ilaha-illa ana-wa-ana akbar, wa-iza-wala la-ilaha-illallahhu wandahu la-syarikala-hu qala yaqulu la-ilaha-illa-ana wandi la-syari-ka-li
dia hanya meng angguk-angguk perlahan.
Lama nafasnya berombak-ombak barulah dia terdiam tidak bergerak. Cepat-cepat saya menggamit Seminah menyuruhnya bertenang menghadapi keadaan tersebut. Memang saya tahu benar mengenai kesabaran arwah Mat Deh ini dalam menghadapi apa jua musibah.
Kalau bandingkan dengan Mat Deh seribu ringgit wangnya tidak dibayar setelah dipinjam kawan, apa sangat dengan kehilangan wang saya lima puluh ringgit itu? Tetapi isteri saya tetap terkilan disebabkan wang berkenaan hilang di dalam dompet.
Hampir juga dia hilang sabar ketika wang di dalam beg tangannya hilang sampai tujuh puluh ringgit, hingga dia mengesyaki saya mengambilnya. Mahu dituduh anak-anak masakan mereka berani membuka beg tangan emaknya yang tersimpan baik di dalam almari.
Tetapi setelah beberapa kali saya mengalami kejadian itu, saya dan isteri saya semakin insaf bahawa kekuasaan Allah boleh melakukan apa sahaja. Mereka yang menggunakan ilmu syaitan juga akan dimakbulkan permohonannya, sekalipun disediakan seksaan yang pedih di akhirat nanti.
Apabila diberitahu pada Seminah, memang dia sendiri mengalaminya beberapa tahun lalu bersama suaminya arwah Mat Deh. Tetapi Mat Deh tidak peduli sangat kalau sekadar wang di dalam dompetnya hilang. Cepat sahaja Seminah menuduh toyol yang menyelinap masuk mencuri wang di dalam beg tangannya. Masakan Mat Deh tidak boleh menghalang gangguan toyol, sekira nya dia mampu mengatasi gangguan syaitan.
"Kalau toyol takkan diambilnya sehelai aje wang kertas," ujar Haji Maasar hairan juga dengan penjelasan Mat Deh.
Memang ketika itu heboh benar mengenai toyol tatkala negeri baru sahaja merdeka. Orang-orang kampung masih percaya dengan perbuatan toyol mencuri wang di dalam simpanan.
"Toyol tu macam mana, Haji Maasar?" Sem inah tidak sabar lagi menahan rasa marahnya dengan perbuatan orang yang memelihara toyol semata-mata mahu mencari kesenangan mudah.
"Tentu dia akan ambil sebahagian," jelas Haji Maasar mencebek bibir kerana dia memang berpengalaman dengan masalah gangguan toyol ini. Sudah beberapa kali dia ke Pontian dan Kukup dijemput orang, disebabkan orang-orang kampung di situ seringkali diganggu toyol.
Toyol tidak akan mengambil sehelai sahaja wang kertas, tetapi akan mencuri sebahagian yang ada di dalam simpanan untuk mencukupkan wang di dalam peti simpanan tuannya. Kalau tuannya membeli peti toyol itu lima ratus ringgit, dia akan mencuri lima ratus ringgit diletakkan didalam peti berkenaan. Apabila tuannya menggunakan wang berkenaan seratus ringgit, malamnya toyol akan mencuri seratus ringgit juga untuk mengisi semula wang yang telah dipakai di dalam peti berkenaan.
Biarlah orang menuduhnya percayakan perkara tahyol, tetapi Haji Maasar yakin apa sahaja yang dikehendaki Allah tidak ada siapapun yang dapat menahannya. Apa sangatlah kalau orang mahu mengamalkan ilmu syaitan seperti memelihara toyol itu, kalau bandingkan dengan isi alam yang dicipta Allah. Permohonan hambaNya mahu amalkan syirik tetap dimakbulkan, kerana balasan terhadap syirik sudah disediakan di akhirat.
Tetapi wang di dalam dompet Mat Deh bukan hilang hanya sekeping sahaja. Sekiranya ada wang kertas sepuluh ringgit lima helai, dan wang lima puluh ringgit tiga helai nescaya sehelai sahaja wang kertas sepuluh ringgit itu akan dicurinya.
"Toyol juga jenis syaitan, dia tak akan dapat mengatasi ilmu Allah," tegas Mat Deh tidak bimbang apa-apa dengan gangguan yang dialaminya.
Beberapa kali dia memberitahu saya mengenai gangguan syaitan seringkali mengganggunya. Tahu sangat Mat Deh fasal orang yang cuba menganiayanya dengan sihir ilmu hitam, disebabkan iri hati terhadap dirinya. Mat Deh tidak akan menolak sekiranya dijemput untuk mengubati sesiapa sahaja yang diganggu syaitan.
Doa-doa yang dibacakannya memang menyebabkan gangguan syaitan itu tidak dapat bertahan. Sebab itulah mereka tetap berusaha mahu menganiaya Mat Deh dengan apa cara sekalipun.
Memang Tok Aji tahu kudis yang dihidapi oleh Mat Deh di buku lalinya berbulan-bulan itu angkara gangguan syaitan. Tok Aji dapat melihat bagai-mana kaki ayam selaseh ditusuk dengan duri bulang sebelum ditanam bangkainya di bawah pasu bunga. Selagi bangkai ayam selaseh yang dipuja dengan sihir ilmu hitam itu tidak dialihkan, selama itulah Mat Deh akan menderita menanggung kesakitan mengidap kudis di buku lalinya.
Tetapi Mat Deh tidak pernah merungut dengan ketentuan Allah, apabila gangguan syaitan itu menembusi juga dirinya. Kalau kudisnya menanah-nanah dia akan cuci bersih-bersih tatkala mengambil wuduk. Sekiranya kaki itu tidak boleh dilipat sewaktu duduk bertimpuh, dia akan luruskan sahaja.
Apa sangat dengan duitnya hilang di dalam dompet kalau bandingkan dengan penderitaan sakit di buku lali kaki akibat kudis ditimpa musibah.
Kalau toyol bila-bila Haji Maasar boleh hindarkan dengan memerangkap tuannya sendiri. Macam-macam cara amalan toyol dilakukan, hingga Haji Maasar tahu sangat jenisnya apabila mengganggu orang kampung. Toyol akan menjelma di hadapannya hingga Haji Maasar boleh menangkapnya macam mencekak leher tuannya juga.
Terkekeh-kekeh juga Mat Deh ketawa apabila Haji Maasar memberitahu pernah menangkap toyol yang sudah tua hingga berjalan pun bongkok sampai dagu bertemu kepala lutut Tulang pipi toyol itu juga menungkal rnacam banir pokok ditubir bukit. Hairan juga Mat Deh kerana orang-orang kampung memberitahu toyol itu sama seperti budak kecil berbogel menghisap ibu jari tangannya laksana menyonyot puting susu botol.
Memang sudah kerapkali Mat Deh diberitahu fasal toyol yang dibeli tuannya semasa ke Mekah, tetapi sejak beberapa tahun menetap di Mekah, Mat Deh sendiri tidak tahu di mana tempat orang menjual toyol. Siapa pula yang menjual toyol di Mekah, kalau orang Arab sendiri tidak pernah pun tahu mengenai toyol.
Tetapi Haji Maasar tidak percaya fasal toyol dibeli di Mekah, kerana sudah beberapa kali dia menangkap jenis syaitan demikian, tidak satu pun yang tahu berbahasa Arab. Dia tahu sangat fasal toyol yang sudah tua hingga berjalan pun bertemu dagu ke kepala lutut.
Setelah dia doakan air di dalam geluk bercampur bunga raya tujuh kuntum dengan jantung pisang dibelah empat, Haji Maasar akan letakkan di penjuru rumah mangsa. Sebaik sahaja toyol menyerbu masuk nescaya dia akan meneguk air yang sudah didoakan oleh Haji Maasar itu. Sekaligus pula toyol itu akan jatuh tergolek di lantai berguling macam orang tengah mabuk.
Saat ini Haji Maasar akan menangkapnya dimasukkan ke dalam botol yang disediakan. Terketar-ketar toyol yang sudah ditangkap itu meminta dilepaskan dengan merayu berhiba hati mendongak muka Haji Maasar. Tetapi siapapun tidak melihat toyol yang terkurung di dalam botol itu, kecuali mereka akan saksikan botol tersebut bergoyang-goyang bagaikan bertandak sendiri.
"Tapi, Ustaz Mat Deh tidak diganggu toyol," jelas Haji Maasar mengerutkan dahi lantas berpaling memerhati Seminah. "Orang iri hati dengan kebolehan dia," tuturnya perlahan sambil mencebek bibir.
"Apa sangat kebolehan saya ni," sahut Mat Deh semacam tersinggung apabila diberitahu demikian oleh Haji Maasar.
Haji Maasar tersengih-sengih. Memang dia tahu Mat Deh tidak akan mengakui apa sahaja kebolehan dirinya, sekalipun orang lain yakin dia memang berkebolehan. Saya sendiri melihat dia membantu orang-orang kampung tatkala Abang Amud rusuh anaknya hilang di dalam lombong tinggal.
Siapapun tidak boleh membantu, sekalipun kawan-kawan anak Abang Amud nampak dia tenggelam timbul di tengah lombong. Puas diselam oleh penyelam-penyelam yang sudah terlatih pun, mereka tidak menemui mayat anak Abang Amud disebabkan air lombong keruh berkeladak.
Kalaulah orang-orang kampung tidak meminta Aki Sahak membantu memang siapapun tidak tahu akan kebolehan Mat Deh. Tatkala orang berkumpul di tepi lombong, mereka sekadar melihat Mat Deh tidur di bawah pokok medang dengan Aki Sahak duduk di sisi-nya. Mereka melihat Aki Sahak bercakap-ealcap dengan Mat Deh yang terlentang tidur dengan mata terpejam.
Sebaik sahaja Mat Deh memberitahu Aki Sahak dia sudah menemui mayat anak Abang Amud, mereka nampak Mat Deh menudingkan jari dengan membentak memanggil lembaga botak. Dia ingatkan lembaga botak itu supaya lepaskan mayat anak Abang Amud tidak bertangguh.
Hanya dalam beberapa minit sahaja mereka yang berdiri di tepi lombong gempar apabila mayat anak Abang Amud timbul di permukaan air. Ketika saya sampai bersama Ulung Sali ke situ, beberapa orang penyelam sudah mendayung sampan mahu membawa mayat tersebut ke tebing.
"Agaknya orang ni nak menguji ilmu Ustaz Mat Deh," ujar Haji Maasar mengeluh pendek, kerana Seminah merungut sangat fasal wang Mat Deh di saku sudah beberapa kali hilang.
"Saya tak diuji oleh sesiapa, saya hanya diuji oleh Allah,"jelas Mat Deh tidak terkilan pun fasal wangnya sudah beberapa kali hilang di dalam saku. Dia tidak perlu berdoa apa-apa, kalau memang sudah ujian itu datangnya daripada Allah yang Maha Menge-tahui segala yang tersembunyi dan yang nyata. "Benarlah, hanya dengan izin Allah sahaja ilmu mereka dapat menguji Ustaz Mat Deh," tegas Haji Maasar kecewa juga dengan sikap Mat Deh, sekalipun isterinya Seminah sudah tidak tertahan dengan gangguan tersebut.
Apalagi memang Seminah mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Haji Maasar. Tentulah dia tidak dapat membiarkan kejadian buruk berlaku kepada keluarga Seminah, semata-mata mahu menganiaya Mat Deh. Apa sangat salah Mat Deh kalau dia hanya berdiri teguh melawan gangguan syaitan dan menyerahkan diri semata-mata kepada pertolongan Allah?
Tetapi mungkin juga orang yang iri hati itu menyangka Mat Deh mahu membandingkan ilmu sehingga mencabar kemampuan mereka. Tentu mereka berbangga kerana Mat Deh teraniaya untuk membuktikan kebolehan mereka melebihi kemampuan Mat Deh. Perkara siapa berilmu tinggi tidak penting pada Mat Deh, kerana dia tahu yang Maha Berilmu hanya kepunyaan Allah sahaja.
Dia tidak perlu berdoa biar Allah melaknati orang yang menganiaya dirinya dengan gangguan syaitan, kerana Allah lebih mengetahui menentukan kudrat dan iradatNya. Mat Deh tetap bersyukur kerana Allah tidak membiarkan nafsu amarah menguasai dirinya tatkala ganggu-an syaitan menganiaya dia.
Disebabkan Mat Deh sendiri lebih redza dengan kejadian yang berlaku ke atas dirinya, Haji Maasar tidaklah mendesak apa-apa. Memang Haji Maasar dapat mengagak gangguan dalam kehidupan Mat Deh disebabkan perempuan yang kecewa. Sejak beberapa tahun perempuan itu menyimpan rasa kecewa disebabkan Mat Deh tidak pernah membuka mulut untuk melamarnya.
Tetapi dia sekadar memendam perasaan sahaja disebabkan malu mahu meluahkan rasa hati di hadapan Mat Deh. Sebaik sahaja Mat Deh berkahwin dengan Seminah, dia merasakan kekecewaan itu tidak dapat dibendung lagi. Sebab itulah dia menemui Wak Tatang dengan harapan orang tua itu sanggup memenuhi keinginan yang sekian lama mendongkol di hati.
Sudah berkali-kali dicuba oleh Wak Tatang, memang tidak satupun jampi serapah-nya dapat melembutkan hati Mat Deh supaya teringatkan perempuan berkenaan.
"Dia tak akan jatuh hati dengan kau, kalau kau sendiri tak menemui dia," tutur Wak Tatang memujuk supaya perempuan itu melupakan sahaja hasrat yang terpendam.
Setelah perempuan itu berkahwin pun, perasaan dendamnya tidak pernah luput. Beberapa kali dia mendesak supaya Wak Tatang membantunya sampai rumah tangga Mat Deh hancur berkecai. Berapa pun upah yang dipinta oleh Wak Tatang, bila-bila dia sanggup sediakan asal sahaja dendamnya berbalas.
Mahu sahaja suami perempuan itu membantunya, setelah isteri nya mendesak supaya Wak Tatang tidak berputus asa. Sebab itulah Wak Tatang sengaja memuja kain hitam sepanjang sehasta, dikibas-kibas ke udara. Memang Haji Maasar dapat melihat sendiri bagaimana Wak Tatang mengibas kain hitam itu ke udara sehingga nampak bayang seekor kucing hitam melompat ke jendela rumahnya.
Bagaikan kilat yang pantas bayangan kucing hitam itu melompat masuk ke bilik Mat Deh. Sekaligus dia menyambar sehelai sahaja wang kertas di dalam dompet Mat Deh dibawa ke hadapan Wak Tatang.
"Kau aniaya Mat Deh nampaknya!" Haji Maasar menggertap bibir merenung bayangan kucing hitam itu menyatukan diri dengan kain hitam yang dikibas-kibas oleh Wak Tatang.
"Awak nak mencabar ke?" soal Wak Tatang berbangga dengan kemampuannya dapat melarikan wang di dalam dompet Mat Deh.
"Aku tak mencabar, tapi kerja kau ni salah!" geram sangat Haji Maasar disebabkan Wak Tatang terlalu angkuh dengan ilmu yang dipinjamkan oleh Allah itu.
 "Aku dengar Mat Deh ni hebat sangat, tapi kenapa tak dapat bertahan?" Wak Tatang terus mengejek-nya.
"Mat Deh tak pernah mengaku dia hebat," sahut Haji Maasar mencebek bibir, "Lagipun dia dapat bertahan ataupun tidak, itu hanya urusan Allah," jelasnya mengingatkan Wak Tatang.
Dia tahu Wak Tatang tidaklah menggunakan gangguan syaitan yang dikirim sama ada toyol ataupun bajang, tetapi amalan yang menggunakan doa dan jampi. Lainlah kalau Wak Tatang kirimkan toyol atau bajang yang disuruh mencuri wang, bila-bila Haji Maasar akan perangkap dia.
Tetapi amalan demikian memang sukar mahu diatasi. Sekira-nya gangguan syaitan, bila-bila ianya akan berundur setelah merasakan dirinya tidak dapat membolosi benteng mangsanya.
"Aku memang nak uji dia!" tegas Wak Tatang seolah-olah dirinya pula yang menyimpan dendam terhadap Mat Deh.
"Sayang ilmu awak tinggi, tapi gunakan di tempat yang salah," Haji Maasar mengejek nya.
Terbahak-bahak Wak Tatang ketawa dengan ejekan Haji Maasar itu. Dia mahu buktikan ilmunya mampu mengatasi kemampuan Mat Deh, dengan tidak memikirkan Mat Deh tidak pernah mahu membandingkan kelebihan sesiapapun. Setiap makhluk sama sahaja kelebihan dan kelemahan masing-masing, kecuali iman dan taqwa sahaja yang membezakan manusia di sisi Allah.
Tahu sangat Haji Maasar sebab Wak Tatang mahu mengganggu Mat Deh, setelah dia berasa malu usaha membantu perempuan itu tidak berhasil. Alang kepalang dia diberi malu, biarlah diuji amalan Mat Deh. Tetapi Mat Deh tidak mempunyai apa-apa ilmu kebatinan, selain daripada berserah kepada Allah semata-mata.
Wak Tatang menguji dengan mengirimkan bayangan kucing hitam itu mencuri wang di dompet Mat Deh. Biarlah Mat Deh menuduh Seminah mengambilnya hingga perempuan itu naik berang dengan tuduhan yang tidak usul periksa. Tentulah mereka suami isteri akan berkelahi melepaskan marah yang terpendam di kalbu.
Tetapi Mat Deh tidak menuduh apa-apa. Dia sekadar memberitahu isterinya kejadian yang tidak diduganya boleh berlaku itu. Disebabkan kerusuhan itulah Seminah memberitahu Haji Maasar. Manalah tahu bapa saudaranya itu boleh membantu, sekalipun Mat Deh tidak mengharapkan apa-apa bantuan daripada se-sama makhluk.
Memang Haji Maasar tidak tergamak membiarkan Seminah menanggung rusuh ke-rana Mat Deh sentiasa bersabar menempuh apa sahaja ujian. Dia tahu sangat gangguan ilmu yang diamalkan oleh Wak Tatang supaya keadaan rumah tangga Mat Deh tidak tenteram.
Beberapa kali wang nya hilang di dompet, Mat Deh tidak pernah merungut. Kereta buruk yang dipakainya juga kerapkali mengalami kerosakan, tetapi dia menerimanya dengan tenang. Kadang-kala hairan juga fomen, kerana kereta tersebut tidak rosak apa-apa. Apabila keretanya dipenuhi air hingga berlubuk tatkala hujan turun, Mat Deh hanya menyangka kereta tersebut bocor. Puas tuanpunya bengkel kereta mencari puncanya tidak adapun bocor di mana-mana.
"Memang ada gangguan, Ustaz Mat Deh," jelas Haji Maasar mengingatkan suarni anak saudaranya yang terlalu sabar menghadapi kejadian yang menimpa dirinya. Mat Deh tidak akan melakukan solat tahajud di tengah malam untuk menghindarkan gangguan tersebut.
"Biarlah kita serahkan urusan Allah kepadaNya," sahut Mat Deh menyebabkan isterinya Seminah kian kecewa.
Haji Maasar tidak boleh campur tangan sangat, selagi Seminah sendiri tidak mendesak. Tetapi dia memang tidak tergamak membiarkan anak saudaranya diganggu bayangan kucing hitam itu, hingga rezekinya disekat tidak bersisa. Memang itu sahaja cara Wak Tatang tujukan sasarannya, biar rumah tangga Mat Deh tidak tenteram.
Setiap kali dia mengibaskan kain hitam yang didoa jampikan, nescaya bayangan itu menuju ke tempat yang dijadikan sasaran. Apabila bayangan kucing hitam itu ditujukan ke kereta Mat Deh, serta merta sahaja keretanya rosak. Terpaksalah Mat Deh habiskan wang kerana membaiki keretanya yang tidak sepatutnya rosak. Beberapa kali tayar kereta Mat Deh bocor, tetapi apabila dibaiki tidak apapun tanda-tanda ditusuk paku. Hanya tiup sebelah dalam sahaja diguris macam dicakar kuku kucing. Sebab itulah Haji Maasar terpaksa juga membantu, supaya Wak Tatang insaf bahawa yang berilmu hanya Allah yang menjadikan tujuh petala bumi tujuh petala langit.
"Mat Deh, memang tak akan bertindak apa-apa! " jerkah Haji Maasar sebaik sahaja berhadapan dengan bayangan Wak Tatang mengibas-ngibas kain hitam di tangan.
"Jadi, awakkah yang akan bertindak?" Wak Tatang mengejek nya bagaikan mencabar.
"Kalau awak takbur, memang aku bertindak," sahut Haji Maasar memberi amaran lantas membacakan Fatihah tiga kali. Tersenyum Wak Tatang kerana dia menyedari amalan Haji Maasar sama seperti yang diamalkannya. Masakan Haji Maasar boleh memperdayakan dirinya kerana dia tidak menggunakan ilmu syaitan yang dijampi serapah. Wak Tatang hanya mengamalkan zikir dengan ilmu jurus yang ditujukan melalui angin
Lainlah kalau dia gunakan toyol seperti amalan syaitan yang boleh ditangkap hingga diperosokkan ke dalam botol. Terjerit-jerit toyol itu terkurung menyebabkan sepanjang waktu tuannya akan demam dengan seluruh sendi sengal-sengal. Tentu tuannya sendiri akan menemui Haji Maasar meminta maaf sambil meminta dilepaskan toyol yang terkurung di dalam botol.
Cubalah mereka amalkan toyol untuk menimbulkan keresahan orang-orang kampung! Bila-bila Haji Maasar akan perangkap toyol berkenaan. Sebaik sahaja toyol dikurung di dalam botol, memang terasa pada tuan toyol dadanya bagaikan dihentak kayu balak. Selagi toyol tersebut tidak dilepaskan, selama itulah seluruh sendi anggotanya sengal-sengal kesakitan.
Tetapi Wak Tatang tidak amalkan ilmu syaitan. Dia membacakan ayat-ayat Quran, bertujuan untuk menguji Mat Deh. Dengan jurus dari jauh sasaran nya untuk menghalang rezeki Mat Deh, sehingga Seminah terasa resah. Tentulah Seminah akan mendesak biar rumah tangganya porak peranda.
Sejak bertahun-tahun diuji, Mat Deh tidak pernah tersinggung sekalipun Seminah mendesak. Tatkala Seminah. menjemput Haji Maasar, dia tidak tersinggung apa-apa. Mat Deh percaya Haji Maasar juga tidak berupaya melawan gangguan syaitan, sekiranya tidak dengan izin Allah. Biarlah Haji Maasar mencuba!
"Awak buat kerja sia-sia," Wak Tatang terus mengejek seolah-olah mereka bertemu di alam nyata.
"Belum tahu lagi siapa yang buat kerja sia-sia!" tegas Haji Maasar mencebek bibir kerana kebencian nya yang meluap-luap. Kalaulah dia boleh bertentang mata dengan Wak Tatang di alam nyata, memang sanggup dia menampar muka orang tua itu.
Tatkala Wak Tatang mengibaskan kain hitam di tangan, memang Haji Maasar melihat bayangan seekor kucing hitam melompat sebesar arnab. Tidak bertangguh Haji Maasar membacakan:
Qola 'ifritum minal-jinni ana-ataika bihi qabla an-taquma mim-maqamika wa-inni 'alaihi laqawiyun-amin.
Tujuh kali diulangnya lalu dihembuskan ke muka Wak Tatang.
Serentak dengan itu bayangan kucing hitam itu tergolek di hadapan Haji Maasar. Sebaik sahaja bayangan kucing hitam bingkas bangun, tiba-tiba sahaja bayangan lelaki pendek bertubuh hitam menjelma di situ. Bayangan lelaki pendek tubuh berbulu itu, dengan pantas mencekak tengkuk kucing hitam berkenaan.
"Wah awak main jin Islam nampaknya?" Wak Tatang mengejek setelah melihat bayangan kucing hitam yang menjelma daripada kibasan kainnya diramas-ramas hancur oleh lelaki pendek tubuh hitam berbulu itu.
Haji Maasar tidak menyahut. Dia sendiri terkejut tatkala melihat lelaki pendek hitam tubuh berbulu itu tercegat di situ. Bulu keningnya bertaup lebat macam bauk tebal meliar. Selepas bayangan kucing itu dikeronyok, lelaki pendek itu berpaling memandang Haji Maasar sambil membongkok hormat.
Setelah melihat bayangan kucing hitam itu menjadi mangsa, Wak Tatang mula bertukar menjadi marah. Dia-cuba melontarkan kain hitam itu ke arah Haji Maasar, tetapi kain hitam itu terbakar disambar api secara tiba-tiba.
"Awak ni bersungguh-sungguh nampaknya!" bentak Wak Tatang lantas mengambil duri ikan pari ditusukkan ke buah limau di hadapannya.
"Amalan yang baik, jangan dibiarkan dikuasai oleh syaitan," tutur Haji Maasar mengingatkan Wak Tatang.
Sebaik sahaja duri ikan pari ditusukkan ke limau, tiba-tiba airnya memercik menyinggahi mata Wak Tatang. Terkial-kial Wak Tatang menahan rasa pedih akibat mata diperciki air limau berkenaan,
Terlalu marah dia disebabkan matanya diperciki air limau. Tidak bertangguh dia membukakan tutup geluk air di hadapannya. Sekaligus Haji Maasar nampak seekor ular hitam mencodakkan kepala dari mulut geluk berkenaan bagaikan mahu menyambar Haji Maasar. Perlahan-lahan Haji Maasar berundur sedikit ke belakang, kemudian membacakan doa:
Laqadja-akum rasulun min-anfusikum 'azizun talaihi ma-'anittumha-risun 'alaikum bil-mukminlna ra-upurrur-rahim, fa-in tawallau faqul hasbi-yallahhu la-ilaha-illahuwa 'alaihi tawakkaltu wa-huwa rabbul 'arsyil azzim.
Ular hitam yang mahu menerkam Haji Maasar itu menjadi lemah tidak bermaya, sekalipun puas dijurus oleh Wak Tatang. Setetah kecewa berhadapan dengan Haji Maasar, perlahan-lahan bayangan Wak Tatang menghilang daripada sisi Haji Maasar.
"Memang saya dengar fasal tuan haji dari Kak Seminah,” ujar saya setelah lama berbuaI di serambi rumahnya.
Tertunduk Haji Maasar apabila kenangkan peristiwa Mat Deh diganggu itu. Dia sendiri tidak pernah bersua muka dengan Wak Tatang yang ditemui tatkala membiarkan dirinya tenggelam di dalam zikir yang mendalam di sanubari.
Tetapi Mat Deh tidak bimbang apa-apa. Dia redza menerima apa sahaja musibah yang ditimpakan ke atasnya, dengan tidak menyimpan rasa dendam yang bergejolak terhadap sesiapapun.

No comments:

Post a Comment