Saturday, January 21, 2017

212.JEMBALANG TANAH DI BUSUT HITAM


PANTANG larang turun temurun tetap dipegang oleh nenek kukuh-kukuh menjadi petua yang mesti dipatuhi. Dia tidak akan melanggar pantang larang dari yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kalaulah tidak disebabkan dia sudah bertekad tidak mahu lagi menjadi bidan selepas saya dilahirkan, memang neneklah satu-satunya bidan yang diharapkan oleh orang-orang di kampung.
Apalagi tatkala orang-orang kampung tidak lagi menumpu ke hospital seperti sekarang, memang bidan seperti nenek saya inilah tempat mereka menggantung harapan. Bukan nenek sahaja malah Dukun Samid dengan Mudim Encol juga menjadi tumpuan mereka.
Sewaktu Mudim Encol sunatkan Madun Celet tiba-tiba sahaja darah turun banyak tidak henti-henti, terpaksa juga dia menjemput Dukun Samid. Selepas Dukun Samid bubuhkan tasak yang diambil dari sawang di kasau atap, cepat sahaja darah Madun Celet berhenti macam air disekat empang.
Dukun Samid juga tergesa-gesa menyuruh dijemput nenek saya sewaktu dia mengubati Melah meracau-racau tidak menentu. Apabila nenek saya potongkan bawang merah ditenyeh ke dalam piring berisi minyak kelapa, lantas sahaja Melah bangun tercengang-cengang. Terpinga-pinga dia bertanyakan apa telah berlaku ke atas dirinya.
Memang mereka bertiga saling bekerjasama apabila menghadapi kesukaran sewaktu dijemput orang-orang kampung. Apalagi ketika ini jalan kampung hanyalah tanah merah memanjang, tidak ada kemudahan bagi mereka mahu ke pekan mendapatkan rawatan.
"Saya dah tak sanggup lagi berbidan," jelas nenek apabila dijemput orang setelah dia membuat keputusan tidak mahu lagi menjadi bidan. Dia tidak sanggup menempuh geruh jika digagahi juga membidankan ibu sarat mengandung.
Sudah menjadi pantang larang dia tidak boleh membidankan anak sendiri. Tetapi tatkala emak saya sarat mengandung, nenek sendiri tidak dapat mengagak sama ada emak saya sudah sampai resa ataupun belum. Tidak ada tanda-tanda emak saya akan bersalin sewaktu dia sarat mengandungkan saya.
Sebab itulah ayah saya ke rumah Tok Aji dan Nenek Aji kerana kenduri sambutan Mauludar Rasul. Menjadi kelaziman Tok Aji setiap tahun akan adakan kenduri menjelang Mauludar Rasul di madrasahnya untuk sama-sama bertahlil dan bersalawat.
Hanya sebelum maghrib tiba-tiba emak saya mula merasa perutnya sakit lantas melaung nenek dari tingkap disebabkan rumah kami berdekatan. Sewaktu nenek datang bersama bapa saudara saya Usu Jusuh, hujan sudah mula turun rintik-rintik.
Memang nenek sudah tahu emak saya tengah sakit mahu bersalin. Kalau mahu dipanggil bidan lain tidak sempat pula Usu Jusuh ke rumah Tok Aji memberitahu ayah saya. Dalam keadaan terdesak itu nenek, terpaksa menyuruh Usu Jusuh memberitahu ayah saya fasal keadaan emak saya.
Sebaik sahaja diberitahu mengenai emak saya hampir mahu bersalin ayah saya cepat-cepat balik ke rumah. Tok Aji dan Nenek Aji terpaksa juga teruskan kenduri disebabkan jiran-jiran sudah diberitahu. Hairan juga ayah saya dengan keadaan tersebut disebabkan emak saya tidak ada tanda-tanda akan bersalin, kecuali ikut ramalan bidan sekurang-kurang nya dalam tempoh seminggu lagi.
Tetapi nenek saya sudah meraba perut emak saya, memang jelas resa akan melahirkan itu sudah diketahuinya. Belum pernah lagi nenek tidak dapat mengesan fasal ibu sarat mengandung mahu melahirkan. Dia satu-satunya bidan yang berpengalaman di kampung itu. Bidan yang lainpun terpaksa meminta tunjuk ajarnya selepas dia bernekad tidak mahu lagi berbidan.
"Memang dah sampai resanya," beritahu nenek kepada ayah saya disebabkan emak saya semakin gelisah.
Ketika ini Abang Tapa yang diuruhnya menjemput Bidan Nah masih juga belum menjengah datang. Di luar, hujan mulai turun lebat menyebabkan ayah saya juga tidak senang duduk menunggu Abang Tapa balik. Tatkala Usu Jusuh disuruh menjemput ayah saya di Kampung Hilir, nenek menyuruh anak angkatnya Abang Tapa ke rumah Bidan Nah. Kalau menjemput Bidan Nah tentulah boleh singgah di rumah Pak Tua Mahat juga yang tinggal di Kampung Hulu.
Kalau Pak Tua Mahat datang sebelum emak melahirkan, tidaklah bimbang sangat nenek. Tetapi saat cemas ini tidak dapat dielakkan juga, apabila emak semakin sakit sebelum sempat Bidan Nah menjengah muka. Sebaik sahaja seruan azan bergema di surau masuk waktu isya tatkala hujan turun lebat, nenek terpaksa juga membidankan emak saya.
Belumpun habis seruan azan beralun-alun bersama deru hujan itulah saya dilahirkan dengan nenek terpaksa membidankan. Mahu tidak mahu dia terpaksa melanggar pantang larang apakala membidankan anak sendiri dalam saat cemas demikian.
Sebaik sahaja saya dilahirkan nenek menjadi serba salah kerana tidak menangis seperti bayi yang lain. Dua tangan saya melekap ke telinga seolah-olah bercantum melekat tidak boleh direnggangkan. Dalam keadaan tidak tahu apa mahu dilakukan inilah Tok Aji bersama Nenek Aji datang dengan berpayungkan daun pisang.
"Siapa yang bidankan budak ni?" lantas Nenek Aji bertanya sebaik sahaja naik ke rumah.
"Saya sendiri, bisan," sahut nenek lemah disebabkan terpaksa melanggar pantang larangnya sendiri. "Tapi, budak ni tak menangis nampaknya," ujar nenek kesal dengan kejadian yang menimpa saya. Dia percaya tentulah akibat melanggar pantang larang menyebabkan saya dilahirkan tidak menangis langsung seolah-olah bayi tidak bernyawa.
Cepat-cepat Tok Aji mengambil saya terus melekangkan tangan saya daripada melekap ke telinga dengan membacakan Fatihah tiga kali. Sebaik sahaja tangan saya lekang daripada telinga barulah saya menangis sama seperti bayi lain yang dilahirkan.
Saat inilah pula Abang Tapa balik bersama Bidan Nah dalam keadaan basah kuyup ditimpa hujan. Setelah Bidan Nah sampai, nenek serahkan semua urusan kepadanya untuk mengerat pusat dan memandikan bayi.
"Kawan serahkan pada awaklah Bidan Nah," ujar nenek terus sahaja mengelak.
"Tak usahlah risau, bisan," Tok Aji sengaja mengusik nenek yang resah dengan kejadian itu. "Agaknya budak ni lahir tengah menyeru azan, sebab tu dia tak menangis," jelasnya ketawa lembut disebabkan nenek saya kesal benar apabila melanggar pantang larang.
Sudah beberapa kali anak-anaknya melahirkan memang nenek tidak akan membidankan. Setelah menyedari anak-anaknya hampir bersalin nenek akan segera menyuruh dijemput Bidan Nah. Tahu sangat Bidan Nah pantang larang nenek tidak boleh membidankan anak sendiri.
Bukan takat membidankan sahaja nenek pegang pantang larang, bahkan mencabut akar kayu di tepi hutan juga dia tidak akan melanggar petua. Selepas bersalawat tiga kali, sekiranya anak kayu tidak boleh dicabut sekali rentap, nenek tidak akan mengulanginya. Dia akan mencari anak kayu yang lain pula untuk dicabut akar.
Sebab itulah apabila mencari limau berlangir, nenek mudah sahaja dapatkan limau tatkala pokok-pokok limau tidak berbuah. Setelah puas mencari limau di dalam kampung, sekiranya tidak juga ada pokok yang berbuah nescaya nenek duduk tercokok di perdunya. Setelah menepuk perdu pokok tiga kali nenek akan membacakan jampi serapahnya:
 "Assalamualaikum hai nenek kayu, nenek penunggu segala batu, aku nak minta sebiji limau, buat ubat si anu, aku tahu asal kau lima, limpa anu asal kau limau, berkat la-illahha illallah, hu....
Setelah dihembuskan ke perdu pokok tiga kali, nenek akan mencongkil di perdu pokok dengan hujung mata parangnya. Di situ nescaya tersembul sebiji buah limau, sekalipun pokoknya tidak berbuah langsung. Memang siapapun hairan bagaimana nenek boleh dapatkan buah limau, tatkala tidak sebatangpun pokok limau berbuah.
"Macam mana Kak Ibah dapat buah limau?" Bidan Nah sendiri hairan disebabkan dia puas mencari limau untuk melangir tembuni uri.
"Hah, ada di balik-balik daunnya, awak tak tengok betul-betul," sahut nenek sengaja berahsia. Tetapi mereka tahu selepas nenek mencongkil perdu pokok mendapatkan buah limau berkenaan, nescaya pokok berkenaan akan layu daun dalam tempoh tiga hari sahaja.
Hanya selepas dia membidankan emak itulah nenek mengidap tokak di buku lali kakinya. Terpaksa dia pupukkan dengan pucuk daun kenan sampai berkerak-kerak keras namun tokaknya tidak juga sembuh. Ketika ini pusat saya juga membengkak macam buah pinang tengah merah.
Apabila diberitahu kepada Tok Aji mengenai pusat saya membengkak hingga bernanah, dia pangkah sahaja dengan kapur sirih. Tok Aji bacakan Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali diikuti dengan doa yang khusyuk daripada jiwa sanubarinya:
"Allahhumma rab-binnasi azhibalbasa isyfi antasy-syafi....1a-syifa-a illa-syifa-uka syifa-an layu-ghadiru saqaman."
Dalam tempoh sehari semalam sahaja pusat saya yang membengkak surut tidak bertahan. Serentak dengan itu tokak di buku lali kaki nenek saya juga mengecut macam terung dicelur ke air panas. Memang nenek dapat mengagak segala bencana yang ditempuhinya itu disebabkan dia melanggar pantang larang berbidan.
Bukan sehari dua dia mengamalkan petua yang diturunkan oleh arwah emaknya sebelum mampu menjadi bidan yang berpengalaman. Dia terpaksa ikut sama mencabut akar kayu buat ramuan ibu-ibu bersalin sebelum diturunkan amalan berbidan.
Setiap akar kayu ditentukan khasiatnya biar hilangkan rengat gunakan akar pasak bumi, pecahkan angin diramu dengan akar tutup bumi, kalau sengugut carikan akar sangka buana. Nenek dilatih supaya mengenali setiap jenis akar sebelum diturunkan petua tidak boleh merentapnya diulang-ulang sekiranya tidak dapat dicabut sebaik sahaja digenjur sekali!
Selepas tahu ramuan akar kayu barulah dia diajar amalan meng-urut seluruh urat badan, kalau dimasuki angin diurut songsang, kalau sengugut diurut menurun, kalau terkena angin bisa perlu dijampi sambar urat. Semuanya amalan yang diturunkan oleh arwah emaknya me-mang mempunyai pan-tang larang yang mesti dipatuhi.
Setelah mahir fasal urut mengurut barulah dia dilatih dengan menyambut bayi. Kalau sampai resa beri minum air selusuh, kalau songsang jampikan uri, kalau disampuk gangguan syaitan nenek akan membakar kemenyan menyeru pendampingnya membantu. Disebabkan menyeru pendamping itulah dia mesti mematuhi pantang larangnya biar sempurna segala amalan yang diturunkan kepadanya.
"Kalau saya dah langgar pantang, cukup lah saya menjadi bidan ni," tutur nenek perlahan setelah dia tidak berdaya mahu mengubati tokak di buku lali kakinya. Ketika ini dia sudah membakar kemenyan menyeru pendampingnya bersemuka setelah dia menyedari melanggar pantang larang.
"Kenapa awak bidankan anak awak sendiri?" gerutu Tok Syeikh menjelma di depannya dengan berpakaian jubah serba kuning. "Habis, nak biarkan anak kawan beranak tak berbidan!" sahut nenek mencebek bibir meluahkan rasa mendongkol di hati.
"Tapi, awak tak kerat pusat, awak juga tak mandikan bayi tu," ujar Tok Syeikh perlahan memujuk nenek, kerana nenek tidak melanggar pantang larang yang ditetapkan.
"Memang kawan tak langgar pantang, tapi kenapa tokak di buku lali kaki kawan ni?" marah benar nenek disebabkan tokaknya masih juga tidak sembuh setelah berminggu-minggu.
"Hah, tokak awak tu bukannya fasal langgar pantang," beritahu Tok Syeikh memberi keyakinan kepada nenek.
"Jadi, apa salahnya?" soal nenek bertambah berang menatap muka Tok Syeikh yang tersengih-sengih merenungnya.
"Awak terpijakkan tempat jembalang tanah berumah," ujar Tok Syeikh menuding ke arah ular hitam yang garang mengangkat kepala di tepi belukar tempat nenek menebas tapak semaian padi.
"Kenapa Tok Syeikh tak lindungkan kawan?" lantas nenek menyindirnya kerana tidak dapat bertahan daripada gangguan syaitan yang menjelma menjadi ular hitam di tepi belukar.
"Macam mana nak lindungkan, sebab awak lalai sampai terpijak tempat dia," dalih Tok Syeikh terpaksa berundur apabila ular hitam itu cuba menerkam ke arahnya.
Sambil berligar-ligar Tok Syeikh memukul kepala ular itu dengan tongkatnya buluh tumpat berwarna kuning. Terpelanting ular itu akibat dipukul kepala hingga bergulung-gulung menggelepar.
Tetapi ular hitam tidak mengalah sekalipun mengkitai-kitai kepala selepas dipukul kuat. Tubuhnya beransur-ansur menjadi asap debu hingga bertukar menjadi perempuan tua dengan rambut beruban mengerbang serta muka berkedut hodoh.
Belum sempat Tok Syeikh mara ke hadapan memukulkan tongkat buluh tumpatnya, perempuan tua menghentakkan tongkatnya batang bemban hingga memancar api yang menyambar. Terpaksa Tok Syeikh undur ke belakang lantas membuka serbannya terus dikibaskan ke api yang menyala marak..
Api yang marak menyala itu bagaikan ditiup angin kencang meliuk ke arah perempuan tua hingga hampir menyambar rambutnya yang mengerbang putih. Tersengih-sengih perempuan tua itu mengelak daripada disambar api. Terketar-ketar dia melompat ke atas busut hitam dalam keadaan termengah-mengah.
"Nak berlawan sangat awak ni Tok Syeikh!" ejek perempuan tua itu melenggok lenggokkan kepalanya laksana ular diterpa musuh.
"Kalau awak nak cuba, apa salahnya?" sahut Tok Syeikh menghentak-hentak tongkat buluh tumpatnya.
"Awak penghulu bunian, kenapa nak tolong Bidan Ibah ni?" terketar-ketar suara perempuan tua itu mengerling nenek yang duduk bertimpuh membiarkan asap kemenyan berlabun naik di tengah rumahnya.
"Kenapa pula awak jembalang tanah nak ganggu dia!" jerkah Tok Syeikh mengeje-nya. "Selagi aku ada, jangan cuba nak ganggu sahabat aku ni," dia memberi amaran menudingkan tongkat buluh tumpatnya ke muka perempuan tua rambut putih mengerbang itu.
Tertunduk perempuan tua itu apabila Tok Syeikh menuduhnya jembalang tanah. Saat ini dia tidak dapat menyembunyikan dirinya setelah nenek dapat membaca rahsia perempuan tua berkenaan. Apabila perempuan tua itu cuba memusingkan badan Tok Syeikh menghembus ke arahnya, menyebabkan tiba-tiba sahaja jaring besi jatuh dari udara menyerkupnya.
Terlalu marah perempuan tua rambut mengerbang putih itu disebabkan terkurung di bawah serkup jaring besi. Puas diketuk-ketuknya dengan tongkat batang bemban jaring besi itu tetap tersergam kukuh. Kemudian dia membongkok menggenggam pasir lantas dilimparkan ke jaring besi hingga terpokah bagaikan cair dilebur ke api.
Terkekeh-kekeh dia ketawa mengejek sebaik sahaja dapat membolos keluar daripada jaring besi terserkup itu. Ketika ini Tok Syeikh membisikkan kepada nenek supaya membacakan:
"Unggun-unggun anggah-anggah datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu budang badang, siah kiri siah kanan siahkan kata aku, aku tahu asal kau jadi, darah ular sekati munur asal kau jadi, Yassin kata Allah, Yassin kata Muham-mad, Yasisn kata ba-ginda Rasullullah, ber-kat la-illahha illallah hu..."
Habis sahaja nenek membacakan jampi serapah yang diajarkan oleh Tok Syeikh, dia melihat Tok Syeikh juga berundur ke belakang. Perempuan tua rambut mengerbang putih itu terpinga-pinga apakala mendengar tanah bergegar bagaikan dipijak tapak kaki sebesar bukit,
Nenek terus memejamkan mata membiarkan asap kemenyan melabun hingga menyelubungi seluruh badannya. Di tengah-tengah gegaran tanah itu dia mendengar suara Tok Aji mendehem jauh di udara. Apakala nenek mendongak dia melihat Tok Aji berjalan di udara laksana berjejak di tengah halaman
"Saya tak sanggup lindungkan Bidan Ibah, aji," lemah sahaja suara Tok Syeikh menunduk sebaik sahaja Tok Aji tercegat di hadapannya. "Kamu juga makhluk, tak berhak lindung kan sesama makhluk," Tok Aji mengingatkan Tok Syeikh yang tersengih-sengih malu disindir.
Tok Aji memang tahu perempuan tua yang dipanggil jembalang tanah itu tidak akan mampu menewaskan Tok Syeikh, tetapi Tok Syeikh sendiri tidak berupaya lindungkan nenek sekiranya diganggu. Kalaulah tidak disebabkan hati nenek cekal melawan gangguan itu nescaya dia juga tewas tidak dapat bertahan.
Kemunculan Tok Aji secara tiba-tiba itu menyebabkan perempuan tua rambut mengerbang putih itu gelisah tidak menentu. Tatkala dia cuba menghampur dari busut hitam kakinya tiba-tiba menjadi lemah. Menyeringai dia menampakkan gusi yang bergigi jarang laksana anjing disorongkan belantan ke rahang.
"Aku bukan nak bermusuh dengan awak, aji," ujar perempuan tua itu ketakutan menjadikan kulit mukanya yang berkedut bertambah hodoh.
Tok Aji tidak peduli apapun dituturkan oleh perempuan tua berkenaan. Dia merenung tepat muka hodoh perempuan tua itu tergolek ke tepi busut hitam terkial-kial berpaut di situ. Belum sempat dia bangun berdiri tegak, Tok Aji mengisar tapak tangan nya membacakan surah al-Ikhlas tiga kali menyebabkan perempuan tua itu jatuh terhenyak. Terketar-ketar dia memegang pinggangnya bagaikan patah akibat terhentak kuat.
"Nak bunuh aku ke, aji?" rungut perempuan tua itu menyeka rambutnya yang beruban mengerbang hingga menutup muka.
Tetapi Tok Aji tidak hiraukan gerutu perempuan tua berkenaan. Dia bacakan Ayatul Kursi 17 kali dihembuskan sekaligus ke muka perempuan tua itu, hingga tiba-tiba sahaja kulit mukanya cair bagaikan lilin dicucuh ke api. Kulit mukanya juga luruh laksana kertas buruk terendam di air yang diramas-ramas kasar.
Apakala perempuan tua mahu meraba kulit mukanya biji matanya juga tersembul keluar, menyebabkan dia terjerit-jerit tidak ketahuan. Tok Syeikh yang melihat kejadian itu juga menjadi gementar hingga tidak berani bercakap sepatah apapun.
Sebaik sahaja tubuh perempuan lebur menjadi debu, nenek juga tersentak di tengah rumah. Bara tempat membakar kemenyan juga sudah padam menjadi arang. Terasa seluruh badannya berpeluh dengan ombak dada termengah-mengah. Usu Jusuh yang berbaring di serambi sekadar mendengar nenek merungut-rungut sahaja di tengah rumah.
Kalau nenek membakar kemenyan tengah malam, memang Usu Jusuh tidak ambil peduli sangat. Dia tahu nenek menyeru Tok Syeikh datang menjelma sekiranya dia terdesak. Lainlah kalau nenek memanggilnya ambilkan air atau perkakas ubat-ubatan yang diperlukan barulah Usu Jusuh membantu.
 Bangun esok paginya nenek merasakan tokak di buku lali kakinya tidak lagi berdenyut sakit. Bengkaknya juga sudah mula mengecut. Tatkala dia datang menjengah saya, memang nenek menghela nafas lega setelah melihat bengkak di pusat saya juga sudah seruh benar. Dia tahu memang Tok Aji yang doakan supaya bengkak di pusat saya cepat sembuh.
Tidak lama selepas kejadian itu, tiap-tiap malam pula saya kembung perut hingga menangis santak dinihari. Gelabah juga emak dan ayah saya disebabkan kembung perut itu sampai keras macam kulit tabuh di surau.. Puas ayah saya doakan, tetapi kembung perut itu reda buat sementara sahaja.
Tatkala saya tenar menangis, ayah saya bacakan sahaja surah al-Ikhlas sampai 100 kali. Habis sahaja ayah saya bacakan doa tersebut, lantas sahaja saya terberak tidak bertahan. Selepas terberak barulah saya tidur nyenyak sampai ke pagi.
Tetapi malam esok nya kembung perut itu berulang lagi. Kesal juga nenek kerana dia melanggar pantang larang berbidan, sekali pun Tok Syeikh memberitahu dia tidak melanggar apa-apa pantang larang yang ditetapkan kerana tidak memotong pusat dan tidak memandikan bayi. Macam manapun nenek tetap merasa dirinya bersalah menyebabkan saya sentiasa sakit sahaja semasa baru dilahirkan sampai enam bulan usia.
"Biarlah nenek tak berbidan lagi," beritahu nenek selepas bertahun-tahun dia mengambil keputusan nekad berhenti terus menjadi bidan. Puas dipujuk orang-orang kampungnya, nenek tetap dengan keputusannya. Dia tidak akan menjadi bidan lagi selepas sahaja saya dilahirkan.
"Kenapa nenek mesti terima pantang larang?" sengaja saya mengusik apabila sekali sekala berkunjung ke rumahnya.
"Hah, adat kita berbidan mestilah ikut pantang larang," jelas nenek perlahan. "Kalau di hospital nak jadi bidan kena pakaian serba putih, jadi pantang larang ini ialah pakaian bidan kampung," tersengih-sengih nenek macam menyindir saya.
Nenek percaya gangguan yang saya alami semasa kecil memang jelmaan jembalang tanah yang mengambil kesempatan apabila nenek melanggar pantang larang. Tetapi Tok Aji sekadar menjelaskan, "Apapun penyakit datangnya dari Allah Subhanahu Wata'ala untuk menguji kesa-baran hamba-Nya".
Kejadian yang saya alami itu memang tidak pernah saya tahu langsung. Kalaulah tidak diceritakan oleh nenek, manalah saya tahu kejadian pusat saya membengkak sebesar buah pinang masak menyebabkan pusat itu tersembul sebaik sahaja sembuh. Bimbang juga emak saya kalau-kalau bengkak berkenaan boleh menyebabkan perut berkulit lembut itu akan berlubang pesuk.
"Tapi Allah mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," tutur nenek apabila kenangkan kejadian yang menimpa saya semasa baru dilahirkan dulu.
Hinggalah nenek meninggal dunia memang dia tidak lagi mahu membidankan sesiapa sahaja, setelah dia nekad membuat keputusan. Tetapi ke manapun dia pergi orang-orang kampung tetap memanggilnya bidan juga.
Sebab itulah terkejut juga saya apabila Ngah Katib yang sudah lama berpindah ke Segamat memberitahu fasal nenek saya membidankan menantunya tengah mengerang-erang sakit sebelum bidan klinik dijemput datang. Memang menantunya Mejirah dibenarkan bersalin di rumah sahaja disebabkan bersalin kali ke-dua.
Sebaik sahaja anaknya Sidin menunggang motosikalnya ke klinik, bidan yang bertugas sudah ke kampung lain pula membidankan orang. Gelabah juga Sidin disebabkan cuma seorang sahaja bidan bertugas di kampung demikian dalam masa dua orang ibu sarat mengandung hampir melahirkan anak.
Terpaksalah Sidin berpatah balik. Setidak-tidaknya dia boleh meminta bantuan jiran-jiran supaya membawa isterinya ke hospital sahaja. Dalam keadaan senja semakin gelap, masih ada masa lagi kalau mahu membawa Mejirah ke hospital.
Tatkala membelok masuk ke simpang ke kampungnya dari jalan besar, Sidin ditahan oleh nenek saya. Tergamam juga Sidin disebabkan dia kenal sangat dengan ayahnya Ngah Katib. Memang dia tahu ayahnya datang dari daerah yang disebutkan oleh nenek saya, tetapi sudah lama dia tidak jejak kaki balik ke kampung.
Semenjak berpindah dari kampung halaman ke Segamat, Ngah Katib tidak pernah lagi jengah muka. Apa sangat mahu diharapkan di kampung disebabkan dia sendiri tidak ada saudara mara sangat setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia. Apalagi kedua ibu bapanya menumpang di tanah nenek tegak rumah semasa di kampung.
"Eh, Mak Ibah buat apa ke Segamat ni?" terkejut juga Ngah Katib apabila anaknya Sidin membawa nenek saya balik ke rumah bersamanya.
"Aku nak ke rumah angah, tak tahu di mana," keluhnya pendek sambil menunjukkan alamat saya sewaktu tinggal di Segamat beberapa tahun lampau.
"Dia tinggal di sini ke?" terkejut juga Ngah Katib apabila diberitahu saya ada di Segamat. Dia sendiri tidak cam saya kalau terserempak pun, kecuali tahu sangat saya cucu Bidan Ibah.
Alamat tempat tinggal saya yang ditunjukkan oleh nenek itu memang jauh dari kampung berkenaan. Masakan nenek boleh sampai tatkala malam sudah bertambah gelap. Lagipun tidak ada lagi bas melintas setleah lebih jam 5.00 petang ketika itu.
Disebabkan Merijah semakin berat mahu melahirkan anak, Sidin tidak peduli sangat kedatangan nenek yang menjadi tetamunya. Dia gelabah mahu membawa isterinya ke hospital sahaja setelah meminta pertolongan jiran-jiran. Mereka terpaksa pula mencari kereta sewa di pekan kecil yang berdekatan sedangkan keadaan Merijah sudah tidak boleh lagi ditunggu.
"Mak Ibah, tolonglah tengokkan menantu saya ni," desak Ngah Katib cemas dengan keadaan Merijah.
Nenek saya tidak menyahut. Dia mara ke hadapan meraba-raba perut Merijah. Kemudian dia menggeleng kepala sambil menutur kan perlahan, "His, songsang kedudukan budak ni."
Lantas nenek meminta air segelas. Setelah dihulurkan kepadanya dia menghirup sedikit bagaikan berkumur-kumur, kemudian disemburkan ke perut Merijah. Apabila tangannya membetulkan punggung bayi di dalam kandungan yang terdorong ke bawah, dengan menolak kepalanya ke bawah, tidak sampai beberapa minit Merijah selamat melahirkan bayinya.
Macam manapun nenek enggan mengerat pusat bayi. Terpaksa pula menunggu bidan klinik yang sudah dipesankan oleh Sidin. Dalam masa beberapa minit sahaja pula bidan berkenaan sampai termengah-mengah kerana tidak menduga Merijah bersalin pada hari berkenaan.
Tetapi dia tidaklah membantah setelah dibantu oleh nenek saya membidankan bayi berkenaan. Bidan berkenaan yang mengerat pusat dan memandikan bayi itu. Memang nenek bermalam juga di rumah Ngah Katib, sebelum pagi-pagi esoknya dia berkeras juga mahu mencari rumah tempat saya tinggal.
Tiga hari selepas Merijah selamat bersalin, Ngah Katib mengajak anaknya Sidin mencari rumah saya. Dia percaya tentu nenek masih belum balik ke kampung. Terhutang budi benar dia pada nenek setelah membantu membidankan Merijah.
Kalau nenek tidak datang dalam saat Merijah mengerang-erang kesakitan sebelum bidan klinik sampai, memang Ngah Katib mati akal langsung. Apalagi Kak Temah bidan di kampung itu tidak berani membantu setelah meraba bayi dalam kandungan kedudukannya songsang. Kak Temah sendiri mendesak supaya Merijah dibawa sahaja ke hospital sekiranya bidan klinik tidak sampai.
Dalam saat cemas inilah Ngah Katib berulang kali menyebut nama nenek fasal kemahirannya membidan kan sekalipun bayi berkedudukan songsang dalam kandungan. Tahu sangat Ngah Katib disebabkan dia lama duduk di tanah nenek sampai berkawan rapat dengan Abang Tapa anak angkat nenek.
Tetapi Ngah Katib tidak pula menyedari nenek tidak lagi berbidan selepas saya dilahirkan. Sehingga saya dewasa pun Ngah Katib tidaklah tahu sangat nenek tidak berbidan disebabkan dia bekerja di estet. Hanya sekali sekala menjengah emak dan ayahnya sahaja semasa mereka masih hidup lagi. Selepas kedua-duanya meninggal dunia memang Ngah Katib tidak pernah lagi balik ke kampung.
Hampir juga saya tidak cam dia sewaktu tercegat di tengah halaman memberi salam.
"Macam mana ngah tahu saya tinggal di sini?" hairan juga saya disebabkan dia tiba-tiba sahaja menjengah muka, lantas mempelawanya naik ke rumah.
Dia hanya tersengih-sengih sahaja tidak mahu memberitahu. Perkara di mana dia mendapat tahu alamat tempat tinggal saya tidak penting sangat setelah dapat bersua muka demikian. Lebih dua puluh tahun dia tidak bertemu tentulah masing-masing tidak cam lagi di antara satu sama lain.
Apalagi Ngah Katib sudah botak kepala dengan uban memutih di sekeliling kepala-nya. Tubuhnya juga sudah gemuk boyak tidak sama dengan sewaktu dia balik sekali sekala menjengah emak dan ayahnya.
Lama dia terhangak-hangak memandang ke dalam, barulah Ngah Katib memberitahu mengenai nenek membidankan menantunya Merijah. Kalau tidak disebabkan nenek memberikan alamat rumah saya tentulah dia tidak dapat jejakkan kaki ke situ.
"Ah, takkan nenek yang bidankan," ujar saya semacam tidak percaya sangat dengan penjelasannya. "Betul ustaz, saya bawa dia balik naik motor," sahut Sidin memberitahu fasal terserempak nenek saya di simpang ke jalan besar selepas turun dari bas.
"Lagipun nenek tak mahu bidankan orang lagi," jelas saya selanjutnya.
"Dia kata nak ke sini, tak ada dia datang?" lantas Ngah Katib bertanya setelah lama menunggu nenek tidak juga keluar.
Barulah saya menghela nafas sambil beristighfar panjang menginsafi akan kebesaran Allah Azzawaj-jala. Terasa diri terlalu kerdil di sisi Allah yang Khaliq. Tidak saya sedari saat ini tiba-tiba sahaja pelupuk mata digenangi air menahan rasa terharu yang amat menyebak di dada.
Apabila kenangkan nenek yang seumur hidupnya sudah tidak mahu lagi berbidan tiba-tiba sahaja membantu menantu Ngah Katib sewaktu lelaki itu berulang kali menyebut namanya.
"Kalaulah Mak Ibah ada, tentu tak susah Merijah ni nak bersalin," tidak putus-putus Ngah Katib menuturkan setiap kali melihat keadaan menantunya mengerang-erang kesakitan. Sebab itulah tidak bertangguh dia mencari tempat tinggal saya setelah nenek memberitahu akan ke rumah. Sekalipun Sidin mahu menghantarkan, tetapi dia sekadar menyuruh anak muda itu menjaga isterinya sahaja.
"Nenek sudah meninggal dunia lebih lima belas tahun dulu," bisik saya perlahan menyebabkan Ngah Katib tersentak bagaikan tidak percaya dengan penjelasan saya. Baru tiga hari sahaja dia melihat nenek membidankan Merijah, bagaimana pula saya memberitahu sudah lebih lima belas tahun nenek rneninggal dunia.
Malah nenek sendiri yang memberikan alamat tempat tinggal saya kepadanya mendesak supaya menemui saya. Ketika ini saya juga melihat pelupuk mata Ngah Katib digenangi air.


No comments:

Post a Comment