Semasa hujan turun mencurah-curah petang waktu Asar, Tok Aji baru sahaja selesai tunaikan solat. Saya ikut sama berjemaah dengan tiga orang lagi kawan kerana Tok Aji solat di madr'asah. Disebabkan hujan masih turun mencurah-curah, Tok Aji tidaklah terus balik ke rumah, sekalipun rumah Tok Aji dengan madrasah hanya dipisahkan oleh halaman. Tok Aji hanya baring sahaja di tengah madrasah dengan melanggung tangan ke kepalanya.
Ketika ini saya sudah berusia tiga belas tahun, memang
tengah lasak berkawan-kawan. Tetapi dia tidak galakkan sangat saya bermain ikut
kawan menjerat burung atau menimba ikan di lubuk. Apabila habis mengajar di
madrasah sengaja Tok Aji memanggil saya duduk di sisinya sambil dia berbaring
di tengah madrasah.
Tok Aji akan bercerita mengenai pengalamannya semasa di
kampung halaman di Sumatera. Bagaimanapun sehingga akhir hayatnya Tok Aji tidak
pernah jejak kaki balik ke kampung halamannya. Entah kenapa terlalu sayu sangat
hatinya kalau kenangkan mahu balik ke kampung halaman, setelah lama
meninggalkan kaum keluarga di sana.
Sengaja Tok Aji memberitahu saya mengenai gurunya dari
Jawa yang mengajar agama di kampungnya. Kiyai Wuruk memang seringkali
memberikan ceramah agama di kampung Tok Aji. Tetapi sewaktu Kiyai Wuruk
memberikan khutbah Jumaat di kampung Tok Aji, orang-orang dari kampung lain
juga mengaku Kiyai Wuruk berkhutbah di kampung mereka.
Beberapa orang muridnya mengaku Kiyai Wuruk juga
memberikan khutbah Jumaat dalam, masa yang sama di Semarang, Jawa. Tetapi Tok
Aji tidak peduli sangat orang-orang kampungnya heboh bercerita mengenai
keistimewaan Kiyai Wuruk itu. Marah benar ayahnya Haji Mualim kalau Tok Aji
ikut sama hebohkan perkara-perkara demikian.
Ketika Kiyai Wuruk dijemput oleh ayahnya Haji Mualim
berceramah dimadrasahnya di Batu Sangkar, sempat juga Tok Aji belajar sama
kuliah yang diberikan oleh Kiyai Wuruk itu. Sebaik sahaja selesai mengajar nahu
Arab suatu hari, Kiyai Wuruk meminta izin daripada ayah Tok Aji untuk berehat
sebentar di bilik yang sengaja disediakan bagi kemudahan Kiyai Wuruk setiap
kali berkunjung ke Batu Sangkar.
Tidak lama selepas Kiyai Wuruk masuk berehat ke biliknya,
tiba-tiba sahaja beberapa orang murid Haji Mualim datang memanggil guru agama
itu. Mereka cemas dengan keadaan keluarga yang terlantar sakit. Cepat-cepat
Kiyai Wuruk keluar dari biliknya untuk ke rumah orang yang menjemputnya, dengan
melintas betul-betul di depan Tok Aji.
Setelah Kiyai Wuruk turun meninggalkan madrasah, terus
Tok Aji masuk ke bilik guru agama itu sampai tidak sempat meminta izin daripada
ayahnya. Alangkah terkejutnya dia apa-bila melihat Kiyai Wuruk tertidur nyenyak
kerana keletihan.
Disebabkan terperanjat melihat Kiyai Wuruk masih tertidur
di bilik, segera Tok Aji keluar memberitahu ayahnya. Belum pun sempat Haji
Mualim menjengah ke dalam bilik, Kiyai Wuruk keluar dari biliknya menyambung
semula pelajaran nahu Arab yang diajarkan kepada murid-murid di tengah
madrasah.
Hairan juga Tok Aji, siapa pula yang menyerupai Kiyai Wuruk
turun mengikut orang-orang yang menjemputnya? Disebabkan nakalnya tidak
bertangguh Tok Aji bertanya sebaik sahaja Kiyai Wuruk habis mengajar, "Bukankah
Pak Kiyai pergi mengubati orang?"-
Tersenyum sahaja. Kiyai Wuruk menjelaskan, "Ya, Pak
Kiyai baru saja balik dari sana."
Tetapi Tok Aji tahu Kiyai. Wuruk yang turun meninggalkan
madrasah bersama orang-orang yang menjemputnya masih belum balik, sekalipun
yang dilihatnya tidur di bilik sudah bangun mengajar semula. Bagaimanapun beberapa
orang pelajar madrasah yang ikut sama Kiyai Wuruk ke rumah orang yang menjemputnya,
memang melihat sendiri guru agama berkenaan doakan orang yang sakit sampai
sembuh.
Mereka juga melihat Kiyai Wuruk tergesa-gesa balik sebaik
sahaja orang yang sakit dapat dipulihkan. Takkala mereka mengekori Kiyai Wuruk
dari belakang, guru agama itu terlalu pantas berjalan hingga hilang sebelum
sempat mata berkedip.
Lama Tok Aji mahu memahami kejadian yang terasa aneh itu,
barulah dia memperolehi rahsia di sebalik keistimewaan Kiyai Wuruk itu. Dia
sendiri mengalaminya tatkala merajuk meninggalkan rumah setelah bertengkar
kecil dengan nenek saya.
Memang Tok Aji mudah tersinggung kalau isterinya berleter
panjang. Semenjak dia sakit hingga lumpuh sebelah kakinya, Tok Aji cepat sangat
merajuk apabila tidak kena pada hatinya. Terpaksa dia turun meninggalkan rumah
dengan langkahnya yang goyah, setelah bertengkar dengan nenek saya itu.
Tidak lama selepas dia turun meninggalkan rumah, ayah
saya yang masih berumur tujuh belas tahun baru sahaja balik. Tidak bertangguh
dia mengejar Tok Aji sebaik sahaja menyedari ayahnya merajuk meninggalkan
rumah. Cepat-cepat ayah saya mengayuh basikal mengekorinya dari belakang supaya
Tok Aji tidak terlepas ke jalan besar untuk menunggu bas.
Memang nenek tahu selepas asar Tok Aji turun dari rumah.
Tentu dia tidak lepas ke mana dalam tempoh lima minit sahaja ayah saya
mengejarnya dengan basikal. Tetapi sehingga sampai ke simpang jalan besar dalam
jarak tiga batu dari rumahnya, ayah saya tidak menemui langsung Tok Aji
dimana-mana.
Seminggu selepas itu ayah saya menerima surat dari kakaknya
di Semenyih, bahawa Tok Aji sampai di sana sebaik sahaja bang asar di masjid.
Hanya dalam beberapa minit sahaja Tok Aji sudah sampai di Semenyih yang
jaraknya berpuluh batu dari kampungnya.
Memang Tok Aji
ramai anak-anak dengan beberapa orang isterinya, hingga ayah saya sendiri tidak
berapa cam sangat adik beradiknya satu ayah. Apa lagi mereka yang tinggal jauh
seperti di Semenyih, di Kota Tinggi, di Singapura dan Chemor.
Peristiwa Tok Aji merajuk meninggalkan rumah memang
menjadi ingatan ayah saya sampai bila-bila pun. Hairan juga dia mengenai Tok
Aji yang lumpuh sebelah kakinya boleh berjalan pantas hingga tidak dapat
dikejar dengan basikal sekalipun. Tetapi apabila ayah saya sendiri memujuknya,
Tok Aji balik juga mengajar di madrasahnya.
Malah ketika kawan ayah saya, Haji Usuh menunaikan fardu
haji, dia juga terserempak Tok Aji solat jumaat di Masjidil Haram. Tok Aji
sama-sama berjemaah bersama makmum yang ramai berasak-asak. Tetapi Haji Usuh,
memang tahu Tok Aji tidak ikut sama menaiki kapal menunaikan haji tahun
tersebut. Apalagi dia memang sering sakit akibat lelah hingga terlantar
beberapa minggu di kampung.
Sebab itulah Tok Aji tidak merasa hairan apa-apa dengan
peristiwa yang dialami oleh Kiyai Wuruk. Puas juga saya bertanya kepada Tok Aji
rahsia sebenarnya Kiyai Wuruk boleh dilihat di beberpa tempat dalam satu k.etika,
tetapi Tok Aji tidak mahu memberitahu apa-apa. Dia sekadar menyuruh saya
mencari sendiri rahsia tersebut.
Tatkala Tok Aji berbaring tidur di tengah madrasah ketika
hujan turun mencurah ini sengaja saya mengusiknya supaya dia tidak terlelap.
Saya tahu dia tidak akan memarahi apa-apa kalau saya yang mengganggu. Memang
saya satu-satunya cucu yang menjadi kesayangan dia, hingga nenek saya pun akan
dimarahi kalau cuba meleteri saya.
Kadangkala apabila saya balik ke rumah ayah saya, dia
akan menyuruh Lasah anak Mak Long saya menjemput sekiranya larnbat balik semula
ke madrasah. Ayah dan emak pun tidak boleh rnelarang kalau Tok Aji tidak
benarkan saya lama balik ke rumah.
"Tok, tidurkah"? sengaja saya menepuk-nepuk
kepala lututnya disebabkan matanya tertutup rapat.
"Tidak, atuk baring-baring aje," sahutnya
perlahan tetapi tidak membuka matanya yang terpejam.
“His bohong, atuk tidur bersenar,” saya terus mengusiknya.
Dia tersengih-sengih dengan usikan saya itu, tetapi tetap
tidak mengangkat tangannya yang terlanggung ke kepala. Dia juga tidak bangun
membuka mata. Memang Tok Aji kelihatan seperti orang nyenyak tidur, kerana
bagaikan lena hingga berdengkur. Bagaimanapun dia masih boleh berbual-bual
dengan saya dalam suaranya di antara kedengaran dengan tidak sahaja.
Saya dapat menduga Pak Tua Mahat, abang emak saya yang
tua juga mempunyai amalan demikian. Dia boleh tidur sampai berdengkur sewaktu
berjalan di tengah hutan berburu. Memang Pak Tua Mahat pernah juga berguru
dengan Tok Aji, selepas emak saya berkahwin dengan ayah saya.
Sebelum itu memang Pak Tua Mahat tidaklah rapat dengan
Tok Aji, apalagi jarak kampung mereka juga jauh hingga lima batu. Setelah saya
dewasa pernah juga saya mengikut Pak Tua Mahat berburu di hutan. Memang saya
tahu dia boleh tidur sewaktu berjalan. Tidak pernah pula dia tersesat, kecuali
kalau kakinya tersepak akar cepat-cepat dia akan tersedar. Selepas itu dia akan
tidur semula sambil kaki terus melangkah mara.
Tetapi tahu sangat Pak Tua Mahat, asal sahaja ke hutan
bersama saya tidak pernah seekor pun binatang melintas. Mengeluh panjang Pak
Tua Mahat disebabkan balik dengan tangan kosong. Ditepuk daun palas ke busut
pun, pelanduk tidak mahu datang bertandak,
Sebab itu apabila mahu berburu ke hutan, Pak Tua Mahat
tidak akan memberitahu saya. Dia akan mengajak kawan-kawannya sahaja menggalas
senapang. Asal sahaja saya tidak ikut sama, tentu dia akan balik dengan tangan
tidak pernah kosong. Bukan takat ayam denak atau pelanduk sahaja tertonggeng
disinggahi peluru senapang, malah kijang atau rusa juga tidak terlepas kalau
melintas di depannya.
Bagaimanapun dia akan kirimkan kepada saya daging
binatang buruan itu, disebabkan tidak ikut sama ke hutan bersamanya. Sekiranya
saya mendesak mahu ikut sama, sengaja Pak Tua Mahat mengelak.
"Aku tahu kau pakai pelengang," ujarnya apabila
saya terus memujuknya mahu ikut sama berburu ke hutan. "Sebab itu aku tak
mahu bawa kau sama ke hutan," jelasnya berterus terang.
Tetapi saya sendiri tidak tahu mengenai amalan ilmu
pelengang yang dikatakan oleh. Pak Tua Mahat itu. Manalah saya tahu siapa yang
amalkan hingga binatang buas tidak keluar menjengah tatkala masuk ke hutan.
Kalau saya tahu sesiapa yang amalkan tentulah boleh dituduh saya belajar
daripadanya.
"Kalau saya ikut, kenapa pula"? hairan juga
saya kenapa Pak Tua Mahat berkeras tidak benarkan saya mengikutnya berburu ke
hutan.
"Kalau Angah ikut, jangankan pelanduk, katak puru
pun tak akan jumpa," tuturnya menjuihkan bibir.
"Saya tak amalkan apa-apa, Pak Tua," ujar saya
ikhlas.
"Boleh jadi, Tok Aji turunkan, tapi Angah tak
tahu," Pak Tua Mahat tersengih-sengih menepuk bahu saya.
Memang saya tidak pernah tahu mengenai amalan ilmu
pelengang itu. Kalau tidak diberitahu oleh Pak Tua Mahat, saya sendiri tidak
tahu kenapa apabila ikut sama ke hutan tidak seekor pun binatang melintas.
Saya sekadar disuruh oleh Tok Aji amalkan membaca doa
daripada surah al-Buruj ayat 20, 21 dan 22, kemudian disambung dengan:
Summum bukmum ummum fahum layar ji'un, summum bukmum ummum
fahum laya'qilun, summum bukmum ummum fahum laya taqqalamun, summum bukmum
ummum fahum layub sirun.
Tok Aji tidak pula menyuruh saya bacakan ayat itu apabila
masuk ke hutan sahaja. Tatkala ikut Pak Tua Mahat mahu berburu ke hutan tidak
pernah saya bacakan doa berkenaan. Cuma nasib saya sahaja yang malang, kerana
tidak seekor pun binatang yang melintas di depan mata.
Dalam masa saya rnengusik Tok Aji tengah nyenyak tidur,
sekalipun boleh berbual dengan saya inilah Mail Lembam datang berpayungkan daun
pisang. Gelabah sangat dia memanggil Tok Aji dari tengah halaman madrasah.
Cepat-cepat pula saya menerpa ke pintu madrasah
bertanyakan kepada Mail Lembam. Terketar-ketar dia kesejukan akibat basah disimbahi
hujan mencurah-curah walaupun berpayung dengan daun pisang.
"Ada apa Pak Mail?" segera saya menegur sebaik
sahaja melihat dia tercegat di tengah halaman terketar-ketar kesejukan.
"Mana atuk kau?" dia pula bertanya kepada saya.
"Atuk, .tidur di dalam," beritahu saya
memuncungkan bibir ke arah Tok Aji terbaring di tengah madrasah.
"Tolong panggilkan atuk kau, katakan Mak Endut
tengah nazak." desaknya tidak berganjak dari tengah halaman.
Sebaik sahaja saya mahu berpusing, tiba-tiba Tok Aji
sudah berdiri dibelakang saya. Terkuap-kuap Tok Aji mendepa tangan di pintu
madrasah setelah diberitahu oleh Mail Lembam mengenai keadaan kakaknya yang
terlantar sakit.
Memang saya juga tahu Mak Endut sudah lama terkejang
sakit sejak beberapa bulan. Sudah beberpa kali juga saya datang menjengah
bersama Tok Aji, kerana Mak Endut itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan
nenek saya.
"Hah, apa halnya Mail?" lantas Tok Aji
menggamitnya supaya rapat ke tangga madrasah.
"Kak Endut sakit kuat, Bang Aji," beritahunya
terketar-ketar menahan sejuk akibat basah lukus disimbahi hujan.
"Tak apa, mari pergi sekarang ni," sahut Tok
Aji tidak mahu mendengar apa-apa penjelasan daripada Mail Lembam lagi.
Mail Lembam berundur ke belakang sedikit sambil menghulurkan
daun pisang di tangannya kepada Tok Aji untuk dijadikan payung. Sengaja Tok Aji
tidak mahu mencapainya, kerana sukar mahu memegang daun pisang berkenaan. Terus
sahaja Tok Aji meranduk hujan tengah turun mencurah-curah dengan tidak
berpayung apa-apa.
Hingga sampai ke rumah Mak Endut pun pakaian Tok Aji
tidak setitik langsung ditimpa hujan. Hanya dalam keadaan terdesak demikian
sahaja Tok Aji tidak disimbahi hujan sekiranya dia terus meranduk. Kalau di
hari yang lain yang tidak ada hal mustahak, saya lihat sendiri pakaian Tok Aji
akan basah kuyup tidak bertampan.
Setelah Tok Aji turun dari madrasah meranduk hujan
bersama Mail Lembam, segera saya balik ke tengah madrasah. Terkejut benar saya
apakala melihat Tok Aji masih nyenyak tidur dengan tangannya terlang-gung di
kepala seperti tatkala saya tinggalkan.
"Atuk, mengapa tidur?" tidak bertangguh saya
menepuk kepala lututnya sekalipun terasa bimbang siapa pula yang turun meranduk
hujan bersama Mail Lembam.
"Ah, dia minta atuk bacakan Yassin aje."
sahutya tersenyum dengan tidak bergerak langsung. "Angah tak payah
tanyalah. Jangan ganggu atuk." rungutnya perlahan lantas mencuit bahu saya
menyuruh jauh daripada situ.
Setengah jam kemudian apabila hujan mulai reda, nenek
saya naik ke madrasah. Segera dia menyuruh saya mandi, sebaik sahaja melihat
Tok Aji masih terbaring tidur. Tetapi nenek sengaja tidak mahu mengganggu Tok
Aji ketika itu.
"Angah pergi siap-siap, Mak Endut dah tak ada,"
ujar nenek perlahan dalam keharuan yang menusuk.
Apabila saya ke
bilik air untuk mandi, nenek terus balik ke rumah dengan tidak mengejutkan Tok
Aji supaya bangun. Selesai sahaja mandi, segera saya melintas di tengah
madrasah. Ketika ini Tok Aji baru sahaja bangun dengan terkuap-kuap menutup
mulut-nya.
"Mak Endut dah tak ada, tok." beritahu saya
menyampaikan pesan nenek. Tok Aji sekadar mengangguk sahaja. Dengan tidak
berkata sepatah pun, dia terus ke bilik air untuk mandi. Selepas solat maghrib
barulah Tok Aji mengajak nenek dan saya menziarah. Beberapa orang kawan saya
yang sama-sama berjemaah di madrasah, berjanji akan ikut sama menziarah selepas
isya.
Sebaik sampai sahaja di rumah Mak Enduk sudah ramai
jiran-jiran datang menziarah. Anak-anak Mak Endut semuanya duduk mengadap
jenazah. Jidah, Suhur dan Indun bergilir-gilir membaca al-Quran di sisi
emaknya. Ayah saya juga sudah sampai lebih awal setelah diberitahu mengenai
kematian Mak Endut itu.
Memang ayah saya yang menyuruh pasangkan langit-langit
dengan merentang kain batik lepas setentang dengan jenazah. Dia satu-satunya
yang mengatur urusan, kerana sanak saudara sudah menyerahkan kepada dia untuk
uruskan hal keluarga.
Tatkala kaum keluarga sibuk di tengah rumah uruskan
jenazah untuk berjaga-jaga sepanjang malam, jiran-jiran yang datang menziarah
berkumpul pula di serambi. Manakala orang-orang perempuan sibuk di dapur
memasak air untuk membancuh kopi. Tidak seorang pun yang dapat lelapkan mata
kalau sudah berkumpul menunggu jenazah.
Anak-anak kecil juga disuruh sama-sama membaca al-Quran
di sisi jenazah. Saya juga disuruh oleh Tok Aji bacakan Yassin di sisi jenazah
Mak Endut itu.
Selepas habis isya semua kawan-kawan saya yang sama-sama
tidur di madrasah berkunjung menziarahi jenazah. Mereka terus sahaja membaca
al-Quran sebaik naik ke rumah. Bergilir-gilir kami membacanya sampai santak
subuh. Apabila saya merasa penat akibat duduk bersila terlalu lama, segera saya
akan menyuruh kawan yang lain pula mengambil tempat saya.
Memang menjadi kebiasaan di kampung ketika itu, kanak-kanak
tidak dibenarkan mencampuri orang-orang tua sedang berbual. Oleh itu saya
bersama kawan-kawan tidaklah ke serambi, sekalipun Tok Aji duduk terconggok
berbual dengan jiran-jiran. Kanan-kanak terpaksa menunggu di sisi jenazah
membaca al-Quran bergilir-gilir.
Bau asap kelapa kukur dibakar memenuhi ruang tengah
rumah. Kak Jidah masih duduk di hujung kaki jenazah emaknya, bertimpuh membaca
al-Quran. Saya melihat dia tidak berhenti-henti meneruskan membaca al-Quran
semenjak senja lagi. Abangnya Suhur berhenti juga melepaskan lelah, sementara
kakaknya Indun ke dapur membantu saudara mara yang lain membancuh kopi. Mereka
berdua tidak sama dengan Kak Jidah yang duduk sahaja menghadap jenazah emaknya.
Sekali-sekala saya mengerling juga ke serambi sambil
memasang telinga. Ketika menjaga jenazah masing-masing berbual tidak mengira
apa pun. Kadangkala cerita melucukan juga dibualkan, hingga mereka
terbahak-bahak ketawa di serambi. Apalagi Mail Lembam memang sering menjadi
sasaran kawan-kawan kalau berkumpul di mana-mana.
Terkekeh-kekeh mereka ketawakan Mail Lembam disebabkan
basah kuyup ketika menjempui Tok Aji sekalipun berpayung daun pisang. Sedangkan
Tok Aji yang tidak berpayung apa-apa tidak basah setitikpun ditimpa hujan.
Memang mereka yang sania-sama menghadap Mak Endut melihat
Tok Aji ikut sama membacakan Yassin. Tidak siapa pun menyedari Tok Aji masih
terbaring tidur di madrasah ketika itu. Tentu mereka semua tidak percaya mengenai
Tok Aji yang tidak berganjak pun dari tempat berbaringnya.
Tetapi nenek sudah memahami kalau Tok Aji mendiamkan diri
sahaja demikian. Sebab itu sengaja dia menyuruh saya mandi dengan tidak
mengganggu Tok Aji di situ. Dia tidak mahu saya melihat Tok Aji bangun daripada
tidur dalam saat dia berada di tempat lain serentak dalam satu masa.
Dalam masa mereka di serambi becok berbual inilah
tiba-tiba beberapa orang kawan saya yang sama membaca al-Quran terhenti
membacakan. Mereka yang sibuk di dapur menyediakan minuman pun tidak perasan
sangat kami tidak meneruskan membaca al-Quran. Kami lantas melompat lari ke
tengah serambi.
Kak Jidah yang tekun duduk membaca al-Quran di hujung
kaki jenazah emaknya sebelum itu juga, ikut sama melompat lari ke dapur. Memang
saya juga terpaksa lari disebabkan terkejut apabila semua kawan-kawan meyerbu
ke tengah serambi.
"Mengapa kamu semua ni?" lantas Tok Aji berdiri
bercekak pinggang kehairanan. Semua orang di tengah serambi juga bingkas bangun
disebabkan terkejut apabila kami menyerbu ke situ. Masing-masing segera menerpa
ke pintu, menjengah ke tengah rumah tempat jenazah terbujur.
Berkali-kali Tok Aji beristighfar apabila melihat jenazah
Mak Endut bergerak-gerak. Kemudian
perlahan-lahan kepalanya terangkat sedikit, langsung duduk hingga kain
selubungnya melorot ke pinggang. Hanya kain selendang yang diikat ke dagunya
sahaja tidak terurai. Sebaik sahaja mayat Mak Endut duduk, semua orang di
tengah serambi pun terjun ke tanah. Orang-orang perempuan di dapur juga tergesa-gesa
rnelompat ke tanah disebabkan ketakutan tidak menentu.
Disebabkan semua orang terjun ke tanah, saya bersama
kawan-kawan juga segera ikut mereka larikan diri. Masakan tidak takut apabila
melihat mayat bingkas duduk.
Masing-masing lari mengikut siapa sahaja di hadapan mereka,
kerana bimbang mahu berpecah simpang-perinang. Setelah jauh bertahan di rumah
jiran yang terdekat, masing-masing tercengang disebabkan takut tidak menentu.
Ketika ini saya lihat ayah saya bersama Mail Lembam
berpatah balik ke rumah Mak Endut. Dia menyedari Tok Aji yang lumpuh tepok
sebelah kakinya tidak terjun sama. Tok Aji masih bertahan di atas rumah seorang
diri sahaja.
Melihatkan ayah saya dan Mail Lembam naik semula ke atas
rumah, mereka yang bertempiaran lari terpaksa kuatkan semangat semula.
Masing-masing berpatah balik setelah Tok Aji masih bertahan rnenjaga jenazah.
Tidak patut mereka selamatkan diri masing-masing, sedangkan Tok Aji tidak
berganjak pun dari atas rumah tersebut.
Rupa-rupanya sewaktu semua orang berterjunan ke tengah
halaman mahu selamatkan diri, Tok Aji terus rnendekati jenazah Mak Endut.
Lantas dijurus mayat tersebut dengan dua tapak tangannya dihalakan ke muka
jenazah yang pucat kaku.
Sewaktu kami semua naik ke rumah, jenazah Mak Endut masih
duduk berlunjur. Segera ayah saya menyuruh jiran-jiran yang lelaki duduk
berkeliling dengan berzikir di sisi jenazah itu. Dalam masa orang ramai terus
berzikir, Tok Aji tidak lepas menjuruskan dua tapak tangannya ke muka jenazah.
"Sekarang kau baring semula, pergi kau menghadap
Allah yang menjadikan kau dan semua makhluk," ujar Tok Aji bagaikan
memberi perintah.
Perlahan-lahan mayat Mak Endut rebah ke bantal
seolah-olah dibantu orang berbaring semula. Saya sendiri melihat rnayat
tersebut tidak jatuh terhempas. Memang mereka yang sama-sama menyaksikan
kejadian itu mengurut-urut dada sambil beristighfar berulang kali.
"Endut jangan kau bangun lagi, kau kepunyaan Allah
bukan kepunyaan kami," Tok Aji menampar tapak tangannya ke dahi jenazah
tiga kali sebaik sahaja ianya rebah ke bantal. Kemudian, Tok Aji selubungkan
semula mayat Mak Endut.
Setelah mayat Mak Endut dibujurkan semula barulah ayah
saya bersama jiran-jiran yang lain berhenti berzikir. Bagaimanapun selepas itu
ayah saya sendiri membaca Yassin di sisi jenazah. Kak Jidah yang tercungap-cungap
ketakutan duduk semula di kaki jenazah membacakan al-Quran.
Tok Aji ,juga menyuruh anak-anak muridnya yang belajar di
madrasah meneruskan baca al-Quran. Dalam ketakutan kami semua membacanya disebabkan
takut kepada Tok Aji. Tetapi sekali sekala kami tetap mengerling juga ke arah
mayat yang terbujur. Manalah tahu kalau-kalau mayat itu bingkas bangun lagi.
Sehingga pagi tidak ada lagi gangguan menimpa mayat Mak
Endut. Terasa lega hati kami kerana tidak ada kejadian buruk berlaku sepanjang
malam selepas mayat tersebut bingkas duduk berlunjur.
Sebaik sahaja pagi menjelang, ayah saya menyuruh Mail
Lembam mengepalai menggali kubur. Masing-masing mempunyai tugas mengikut arahan
ayah saya disebabkan Mak Endut memang sepupunya. Malah Mail Lembam sendiri
menyerahkan urusan pengkebumian itu kepada ayah saya.
Sebenarnya Mak Endut meninggal dunia setelah beberapa
hari sahaja menghidap sakit dalam perut. Semenjak suaminya meninggal dunia
lebih enam belas tahun, Mak Endut tidak berkahwin lain. Dia yang terpaksa membesarkan
anak-anaknya dengan menganyam tikar dan menjadi bidan kampung ketika itu.
Sebab itulah jiran-jiran percaya Mak Endut tidak pernah
amalkan amalan yang salah, sehingga mayatnya bingkas bangun setelah dibujurkan.
"Serahkan urusan Allah kepada Allah, jangan kita
ambil tahu sangat," Tok Aji ingatkan orang-orang kampung supaya tidak
ungkit sangat mengenai kejadian mayat Mak Endut bangun duduk berlunjur.
Tahu sangat orang-orang kampung memang Mak Endut tidak amalkan
ilmu salah. Dia taat mendirikan solat, berbudi bahasa dan tidak pernah menyakiti
hati sesiapa. Kalau ada kenduri kendara di dalam kampung, tidak pernah dia
uzurkan diri.
Jiran-jiran pun mengakui memang Mak Endut ramah mesra
semasa hayatnya. Sebab itu mereka tidak percaya kalau dituduh Mak Endut
berdamping dengan syaitan sama ada polong, pelesit ataupun hantu penanggal.
Tetapi mereka merasa hairan kenapa mayat Mak Endut boleh bingkas duduk? Lainlah
kalau dia amalkan ilmu-ilmu yang berdamping dengan syaitan.
"Kita tak akan tahu rahsia Allah, hanya Allah sahaja
mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," jelas Tok Aji apabila
jiran-jiran mendesaknya memberitahu mengenai rahsia di sebalik kejadian itu.
Kira-kira pukul dua belas tangah hari mereka yang menggali
kubur memberitahu kubur sudah siap digali. Lantas ayah saya menyuruh mandikan
jenazah supaya boleh dikebumikan selepas zohor. Terpaksalah kami yang belajar
di madrasah Tok. Aji bergotong royong mengangkut air dari telaga untuk
ditampung dalam pasu dan besen besar.
Disebabkan kerja dibuat secara bergotong royong, dapatlah
cepat semua bekas tampungan air diisi penuh hingga mencukupi untuk mandikan
jenazah. Nenek saya ditugaskan untuk mandikan mayat, kerana dia sahaja
diharapkan di kampung kami untuk mandikan jenazah sekiranya perempuan.
Sebaik sahaja jenazah hendak diusung ke tempat mandi di
pelantar, sekali lagi orang yang mengusung memekik disebabkan terkejut benar
apabila melihat di bawah jenazah merayap beratus-ratus ekor lipan bara
seolah-olah menjadi tilam kepada jenazah . Mereka jadi gementar mahu menguis
lipan-lipan bara itu disebabkan berpusu-pusu menyusup ke bawah jenazah.
"Ya, Allah, lindungilah hambaMu ini," keluh Tok
Aji sambil menampung dua tangannya memohon doa.
Terharu benar mereka semua melihat keadaan mayat Mak
Endut yang terus diganggu apabila mahu dimandikan. Apalah dosa Mak Endut sampaikan
mayatnya terseksa demikian. Kalau malamnya mayat itu bingkas bangun duduk berlunjur,
setelah tiba waktu untuk dimandikan lipan bara pula menghurung di keliling
mayat. Lipan-lipan itu pula terlalu degil hingga tidak seekor pun berundur,
setelah semua kain selubung dilingkupkan habis. Terlalu banyak merayap di
sekeliling tubuh, dan ada yang bergelung menggigit tubuh mayat.
Marah benar ayah saya dengan kejadian itu. Tetapi mayat
Mak Endut tidak dapat diusung ke tempat mandi selagi lipan-lipan bara itu
merayap. Ketika ini Tok Aji tetap tenang menghadapi musibah, dengan air mukanya
jernih sambil. menyebut-nyebut Allah dalanm keluhan yang mendalam.
"Ya Allah, sekiranya hamba-Mu ini bersalah, ampunkan
dia. Sekiranya hambaMu ini dianiaya lepaskan dia daripada aniaya itu. Kepada
Engkau kami mohon perlindungan, dan kepada Engkau kami mohon pertolongan,"
ujar Tok Aji perlahan dalam doa yang menusuk hati hingga tergenang air di
pelupuk matanya.
Selepas Tok Aji berdoa dia menyuruh ayah saya bawakan
sahaja tampungan air ke situ.
"Kita mandikan jenazah di sini." Tok Aji
memberi isyarat supaya mandi dialaskan dengan batang pisang sahaja di situ.
Mereka semua tidak membantah. Perlahan-lahan dan
berhati-hati mereka sorongkan batang pisang ke bawah mayat. Air yang ditampung
juga semuanya diangkut ke sisi mayat. Tok Aji sendiri mandikan mayat membantu
nenek.
Sebaik sahaja Tok Aji jiruskan air ke tubuh mayat di
bawah kain selubung itu tujuh kali, tiba-tiba mereka melihat asap berkepul naik
seperti bara api disiram air. Apabila dibuka kain selubungnya, kami dapati di
bawah mayat Mak Endut memang bara merah yang padam disiram dengan air.
Lipan-lipan yang merayap berkeliaran hitam menjadi arang.
Tidak siapa pun berani bertanya kepada Tok Aji, kerana
dia sudah ingatkan jangan diungkit-ungkit lagi kejadian yang menimpa Mak Endut.
Marah benar Tok Aji sekiranya masing-masing terlalu memikirkan perkara yang
sudah ditentukan oleh Allah demikian.
Di atas tilam tempat dibaringkan itulah mayat Mak Endut
dimandikan dengan dialas batang pisang, kerana masing-masing bimbang mahu
mengusung ke pelantaran akibat lipan-lipan bara merayap berkeliaran. Kawasan
tengah rumah menjadi lecah akibat air tidak telus ke celah lantai.
"Nampaknya, kau nak mandi di atas tilam Endut, sebab
itu aku mandikan kau di atas tilam," kata Tok Aji menampar-nampar pipi
mayat sewaktu nenek mencucikan. Muka Mak Endut tidak berubah apa-apa setelah dimandikan.
Wajahnya kelihatan seperti tengah tidur nyenyak. Kulit belakangnya yang digigit
lipan-lipan bara berkeliaran juga tidak berbekas apa-apa.
"Apa agaknya masalah mayat ni, ayah?" sengaja
ayah saya mendesak, kerana dia sahaja yang bertanyakan demikian.
"Kau jaga urusan kau sendiri, jangan jaga urusan
Allah!" ujar Tok Aji memarahi ayah saya. Terdiam ayah saya apabila
diingatkan oleh Tok Aji demikian. Kalau ayah saya sendiri sudah ditegur begitu,
tentu orang lain tidak lagi berani bertanya apa-apa.
Setelah dimandikan sampai selamat dikafan, tidak ada lagi
gangguan ke atas mayat Mak Endut. Hinggalah mayat diusung ke kubur semuanya
berjalan dengan selamat.
Selepas kematian Mak Endut, Kak Jidah tidak tinggal
bersama abangnya Suhur atau kakaknya Indun. Dia lebih senang tinggal bersama
nenek saya. Disebabkan dia masih anak dara belasan tahun, saudara maranya
merasakan lebih baik sahaja dia tinggal bersama nenek saya. Lagipun memang dia
sama-sama belajar di madrasah Tok Aji.
Kadangkala Kak Jidah menangis apabila diusik oleh Katib
mengenai hantu tinggi yang menganggu mayat. Hantu itulah menyebabkan mayat
bingkas bangun, duduk dan kemudiannya dipenuhi oleh lipan-lipan bara di bawah
tubuh.
"Kita mesti tanam lengkuas di depan pintu madrasah
ni, Kak Jidah," beritahu Katib yang sebaya dengan saya. Tetapi Kak Jidah
tidak mahu mempercayai penjelasan Katib. Bagaimanapun Katib sendiri tanamkan rumpun
lengkuas yang diambil dari rumahnya di depan madrasah, biar hantu tinggi tidak
berani mengganggu.
Tok Aji tidak marah pun dengan perbuatan Katib menanam
rumpun lengkuas di hadapan madrasah. Tetapi sengaja dia ingatkan Katib,
"Lengkuas tu tak boleh menolong kau Katib, yang memberi pertolongan hanya
Allah!" Sekalipun rumpun lengkuas itu mula tumbuh segar di hadapan halaman
madrasah, tetapi setiap malam ada juga gangguan bunyi burung birik-birik yang
ditakuti Katib. Terpaksa dia tidur mengereng kerana takutkan gangguan hantu
tinggi yang dipercayainya melintas bersama burung birik-birik.
"Selepas sembahyang, banyakkan doa," pesan Tok
Aji setiap kali melihat Kak Jidah murung tidak menentu.
Kak Jidah sentiasa mematuhi nasihat Tok Aji. Setiap
tengah malam dia akan bangun lakukan solat sunat tahajud. Sampai
tersengguk-sengguk Kak Jidah menangis tatkala berdoa memohon Allah cucuri
rahmat ke atas roh emaknya.
Kadangkala saya juga terikut-ikut hingga terpaksa bangun
tengah malam bersamanya dirikan solat sunat tahajud. Memang Tok Aji tidak menyuruh
saya bangun tengah malam, tetapi apabila tidak bersekolah hujung minggu, tidak
keberatan pula saya bangun tengah malam menemani Kak Jidah.
Setiap malam Kak Jidah bangun solat tahajud sejak
kematian emaknya. Hampir dua bulan dia lakukan solat tahajud tidak pernah berhenti
satu malam pun. Hairan juga saya dengan kesungguhan Kak Jidah menyempurnakan
solat berkenaan seperti yang dinasihatkan oleh Tok Aji.
Kemudian pagi-pagi lagi dia sudah bangun untuk tunaikan
solat subuh. Selepas itu membantu nenek saya ke sawah. Dia tidak kelihatan
letih ke sawah walaupun tengah malam bangun menunaikan solat sunat tahajud itu.
Tetapi dalam masa inilah Abang Mat Nitar yang tinggal
berhampiran rumah arwah Mak Endut jatuh sakit. Terpaksa emaknya Mak Relah
menjemput Tok Aji minta doakan biar penyakit Abang Mat Nitar segera sembuh.
Keadaan abang Mat Nitar tiba-tiba berubah menjadi tidak
siuman hingga meracau-racau tidak menentu. Dalam usianya dua puluh enam tahun,
Abang Mat Nitar masih lagi belum berkahwin. Kalaulah tidak disebabkan
pinangannya ditolak oleh Mak Endut sudah tentu dia akan berkahwin dengan Kak
Jidah.
Semasa Tok Aji menjengah datang melihat keadaan Abang Mat
Nitar, keadaan penyakitnya sudah bertambah teruk. Dia bertelanjang bulat dengan
tidak memakai sebarang pakaian pun. Terjelepok Abang Mat Nitar di hujung
serambil sambil memain-mainkan kemaluannya. Sekali-sekala dia tersengih-sengih
sambil mengangakan mulutnya seolah-olah mahu bersuara.
"Apa sakitnya ni, Abang Aji?" tanya Mak Relah
kebingungan dengan penyakit yang dideritai oleh anaknya.
"Entahlah, tak pernah aku tengok penyakit macam
ni," jelas Tok Aji ikut sama berasa hairan.
"Dah sebulan dia macam ni, tak dapat bercakap, cuma
air liurnya saja meleleh," beritahu Mak Relah kesedihan. "Nak kata
sakit, dia tak sakit. Nak kata tak sakit, itulah rupanya," keluhnya
memerhatikan Abang Mat Nitar tersengih-sengih memain-main kemaluan.
Selepas tiga hari Tok Aji mendoakan, terjongol sahaja
Kapai adik Batin Jeli mencari Mak Relah. Terkejut juga Mak Relah disebabkan
Kapai tergesa-gesa mahu menemui Abang Mat Nitar. Ketakutan sahaja dia sewaktu
melihat orang ramai berkumpul menziarahi Abang Mat Nitar.
"Dah lama ke, Mat Nitar ni sakit, Mak Relah?"
tanya Kapai bercampur bimbang.
"Dah lebih sebulan," jelas Mak Relah sayu.
"Tak tahu pula aku, dia sakit," keluh Kapai
semakin serba salah. "Siapa ubatkan dia?" soalnya mengerling Abang
Mat Nitar tersengih-sengih di hujung serambi memain-main kemaluannya sendiri.
"Abang Aji ni," beritahu Mak Relah memuncungkan
bibir ke arah Tok Aji. Tiba-tiba sahaja Kapai memeluk lutut Tok Aji. Dia menangis
sambil merayu pada Tok Aji supaya tidak membalas dendam kepada abangnya Batin
Jeli.
"Abang Aji tolonglah, minta maaf aku pada Abang
Aji," dia merintih mengharapkan belas kasihan. "Abang Jeli dah gila
sekarang, dia bukan nak susahkan Mak Endut dulu, dia hanya nak tolong Mat
Nitar," sambungnya menjelaskan kejadian yang menyelubungi di kampung itu
sebelumnya.
"Percayalah Kapai, aku tak buat apa-apa pada
Jeli," Tok Aji memujuknya supaya bertenang.
"Kalau Mat Nitar tak datang minta tolong, mampus
Abang Jeli tak buat," Kapai tersedu-sedu menangis tetapi masih memegang
kepala lutut Tok Aji.
Kapai sendiri mengaku memang abangnya Batin Jeli berikan
minyak cenuai setelah pinangan Abang Nitar ditolak oleh Mak Endut. Tetapi Abang
Mat Nitar berkeras tidak mahu menerima minyak cenuai semata-mata mahu memikat
Kak Jidah.
Setelah didesak oleh Abang Mat Nitar, bersetuju juga
Batin Jeli mengurung katak dengan diikat perutnya sampai terasa Mak Endut senak
perut. Tujuh malam Batin Jeli bertapa di atas busut jantan, menunggu katak yang
dikurung di bawah lesung mati akibat tercerut perut. Sebaik sahaja katak itu
mati sampai reput di bawah lesung, Mak Endut juga menemui ajalnya dengan
kehendak Allah Subhanahu Wataala.
Sebaik sahaja Abang Mat Nitar memberitahu mengenai Mat
Endut meninggal dunia, sengaja Batin Jeli memotong upih pinang kering sama macam
bentuk lipan bara. Dia menjampi serapah upih pinang hingga bergerak macam lipan
bara yang merayap berkeliaran.
Kalaulah Kapai tidak terjongoi memberitahu mengenai
kejadian yang berlaku, memang orang-orang kampung tidak tahu malang yang
menimpa Mak Endut.
"Hanya Allah yang mengetahui segala yang tersembunyi
dan yang nyata," Tok Aji memujuk Kapai kerana tidak dapat membantu
apa-apa. Manalah Tok Aji tahu bagaimana mahu membantu, kerana dia sendiri tidak
tahu amalan yang diamalkan hingga arwah Mak Endut menerima nasib demikian
malang akibat dendam yang bersarang di hati sesama makhluk itu.
SELESAI
No comments:
Post a Comment