SELAMA tiga hari tiga malam Tok Sagak terkejang di tengah rumah dihadap oleh anak-anak dan cucu-cucunya. Nafasnya kencang turun naik dengan mata terpejam. Badannya sudah tidak bergerak selama tiga hari tiga malam itu juga. Orang-orang kampung sudah tiga malam juga berturut-turut berhimpun sampai empat puluh orang membacakan Yassin. Tetapi Tok Sagak tercungap-cungap juga terkejang di tempat tidurnya.
Anak-anak dan
cucu-cucunya memang rela dia menghembuskan nafasnya lebih cepat dari terkejang
saja tidak bergerak-gerak. Masing-masing berdoa biarlah Tok Sagak menghembuskan
nafas dengan aman tenteram, asalkan tidak menanggung kepayahan seperti yang
dideritainya ketika itu.
Mat Joi menantunya yang
tua duduk di hulu kepalanya mencecahkan air yang sudah dibacakan Yassin ke
mulutnya. Tetapi mulutnya tidak bergerak-gerak lagi sekalipun Mat Joi
menggunakan hujung daun sirih untuk menyudukan air ke mulut orang tua
berkenaan. Lambat air yang tergenang di bibirnya itu masuk ke dalam mulut
melalui rekahan bibirnya yang terbuka sedikit.
"Emmm, susahnya dia nak pergi" keluh
Mat Joi sambil menyudukan air yang didoakan dengan bacaan Yassin itu ke
mulutnya menggunakan hujung daun sirih.
"Mengucap Tok"
cucunya Tahrim membongkok membisikkan ke telinganya.
"Ingatkan Allah,
Allah... Allah, ingatkan Allah Tok" Tahrim membisikkan kuat sedikit.
Tetapi Tok Sagak tetap
terpejam tidak bergerak apa-apa. Nafasnya kencang turun naik tercungap-cungap.
Dia tidak lagi mengerang-ngerang sakit seperti tiga hari sebelumnya. Tidak lagi
menggeliat-geliat meminta picitkan betis, paha, lengan, kepala dan dada. Dia
sudah nazak menunggu panggilan Ilahi pada saat yang ditetapkan. Memang siapa
pun tidak mengetahui masa yang tidak diundurkan dan tidak didahulukan walau
sesaat pun itu.
"Ingatkan Allah,
Tok. Allah, Allah, Allah..." Tahrim tidak lekang bibir dari telinga
datuknya.
Dia berdoa biarlah
datuknya sentiasa mengingati Allah dalam perjalanannya yang demikian. Tiga hari
sebelumnya Tok Sagak mengerang-ngerang sakit di seluruh badannya. Kaki, betis,
paha, lengan dan kepala semuanya berdenyut-denyut. Merintih-rintih dia minta
dipicitkan. Anak-anak dan cucu-cucunya tidak lekang duduk menjaga disisinya
bertukar ganti. Tahrim yang bertugas dengan askar pun diberitahu mengenai
datuknya yang sakit, terpaksa balik tergesa-gesa.
Tetapi Tahrim tidak
dapat lagi bercakap-cakap dengan datuknya. Dia sampai di kampung Tok Sagak
sudah sehari semalam tidak dapat bercakap lagi. Tubuhnya terkejang saja tidak
bergerak-gerak. Hanya nafasnya saja kencang turun naik tercungap-cungap. Semua
sanak saudaranya tahu Tahrim memang cucu kesayangan Tok Sagak. Sepanjang masa
dia mengerang-ngerang tiga hari sebelumnya sempat juga dia menyebut nama Tahrim
berulang kali.
"Cubalah panggilkan
sesiapa yang tau" tiba-tiba saja Pak Sidi adik Tok Sagak bangun dari
hujung serambi. Gelisah juga dia melihat keadaan abangnya yang tercungap-cungap
nazak sejak tiga hari tiga malam.
"Cuba-cuba
bolehlah..." sahut Mat Joi mendongak ke pintu tengah memerhatikan Pak Sidi
berjalan ke tengah rumah.
"Di Kampung Hilir
tu, Bilal tu...cuba-cubalah tanyakan..." ujarnya memberitahu mengenai ayah
saya.
"Haa, dia tu...anak Tok Aji" Pak
Sidi lantas terangguk-angguk bersetuju dengan cadangan Mat Joi.
Tidak bertangguh lagi
dia menyuruh Tahrim ke Kampung Hilir menjemput ayah saya. Malam itu juga ayah
saya ke rumah Tok Sagak. Ketika ayah saya sampai keadaan Tok Sagak masih tidak
berubah, tetapi mulutnya sudah berbuih putih. Mungkin juga buih itu berpunca
dari Surah Yassin yang tidak turun ke kerongkongnya.
"Dah baca Yassin?"
soal ayah saya sebaik saja dia melepaskan lelah.
"Sudah tiga malam
berturut-turut, Bilal...." sahut Pak Sidi menghela nafas.
"Cubalah Bilal
tengok-tengokkan, di mana lagi silapnya" ujarnya tidak sabar lagi melihat keadaan abangnya
yang tercungap-cungap.
"Takat
tengok-tengokkan, awak pun boleh tengokkan!" ujar ayah saya berjenaka.
Memang sikap ayah saya
suka berjenaka sekalipun dalam keadaan orang-orang disitu semuanya resah
gelisah.
"Ustaz, tak ada
balik Tok Bilal?" tanya Mat Joi pula, kerana dia tahu anaknya Tahrim
memang berkawan baik dengan saya.
"Minggu ni tak
balik pula..." beritahu ayah saya tersengih-sengih.
Setelah duduk beberapa
minit, barulah ayah saya merapati Tok Sagak yang sudah nazak itu. Dia
membongkok melekapkan telinganya ke dada orang tua berkenaan sambil mulutnya
terkumat-kamit membacakan: Allahhu
yaptafilan-fusihina mautiha-wallati lamtamut-fimanamiha fayum-saqullati
qadaalihalmaut, wayarsilauhra illa-ajalun masammim inna-fizalikaliayatun
likulli-yatafaqarun...
Nafas Tok Sagak yang
kencang mula beransur kendur, tetapi dia menghelanya panjang sambil
menghembuskan pula satu-satu.
"Siapa anak atau
cucunya yang paling dia sayang?" soal ayah saya memerhati Pak Sidi.
Menggeleng-geleng kepala Pak Sidi, kerana dia
tidak dapat mempastikan siapakah di antara anak-anak atau cucu-cucunya yang
menjadi kesayangan Tok Sagak. Sepanjang ingatan Pak Sidi semua cucu-cucu dan
anak-anaknya mendapat kasih sayang yang sama dari Tok Sagak.
"Selalunya kalau
ada apa-apa hal hendak dicakapkannya..." kata anak perempuannya yang tua
Ulung Mahawa, "Dia cakap pada Tahrim saja. Memang Tahrim pun yang rapat
sangat dengan dia...!" ujarnya memuncungkan bibir pada anaknya Tahrim.
"Kalau macam tu,
Tahrim ke mari" ayah saya menggamitnya. Tahrim mendekati ayah saya dengan
menginsut punggung.
"Duduk disitu, dan letakkan mulut kau ke
telinganya" ayah saya macam memberi perintah.
Tahrim mengikut saja
perintah ayah saya lantas duduk di sisi kepala datuknya membongkok meletakkan
mulutnya ke telinga orang tua itu.
"Ikut apa yang aku cakap" ayah saya
menepuk bahunya. Tahrim mengangguk memberi isyarat sudah bersedia melakukan apa
saja yang dikehendaki oleh ayah saya.
"Atuk, pulanglah
dulu. Segala yang tinggal ini terletak atas bahu aku..." kata ayah saya
menyuruh Tahrim membisikkan ke telinga
Tok Sagak. Tahrim membisikkan seperti yang diajarkan oleh ayah saya itu.
Beberapa saat Tok Sagak
membuka matanya, tetapi kemudian dipejamkan semula. Nafasnya satu-satu
memanjang membayangkan betapa payahnya dia mahu bernafas dalam keadaan
demikian. Kepayahan inilah yang menyebabkan sanak-saudaranya tidak sanggup lagi
membiarkan dia lebih lama menanggung penderitaan tersebut.
"Sekarang, kau cium pusatnya"
perintah ayah saya selanjutnya. Tahrim beredar dari sisi kepala datuknya
menginsut punggung ke sebelah rusuk datuknya pula. Dia membongkok mengucup
pusat datuknya sambil menunggu arahan ayah saya seterusnya. Tetapi ayah saya
tidak menyuruh apa-apa lagi. Dia membiarkan Tahrim membongkok mencium pusat
datuknya. Kemudian dia mengisar-ngisar tangannya membaca doa lantas dihembuskannya perlahan-lahan ke kepala
Tahrim. Selepas itu dia bangun membuka ikat tali pinggangnya. Dengan tidak
diduga oleh sesiapa pun ayah saya memukulkan tali pinggang itu ke belakang
Tahrim. Dua kali ayah saya memukulnya sebagai isyarat saja, tiba-tiba saja Tok
Sagak menghembuskan nafasnya yang terakhir.
"Alhamdulillah"
ayah saya tersenyum setelah diberitahu mengenai Tok Sagak sudah pun menghembuskan
nafasnya.
"Kalau tidak sampai
beratus kali pun kau kena tahanlah kena pukul Tahrim" katanya mengusik
anak muda itu.
Tahrim tersengih-sengih.
Dia tahu ayah saya memang suka berjenaka. Dia tidak peduli sama ada suasana
gembira atau suasana muram dia tetap suka berjenaka.
"Kalau sampai pengsan kena pukul pun,
atuk punya fasal tak apa Tok Bilal...." ujar Tahrim terharu.
Dia tidak sedih lagi
dengan kehilangan datuknya, tetapi terharu dengan kejadian yang dialami oleh
datuknya itu. Sejak balik ke kampung setelah diberitahu mengenai datuknya sakit
tenat, Tahrim sentiasa gelisah dengan keadaan orang tua itu. Dia sudah
melakukan segala nasihat datuk saudaranya Pak Sidi, membukakan sekeping atap,
sekeping lantai dan membuangkan anak tangga bongsu.
Masing-masing mengagak
tentulah Tok Sagak mengamalkan ilmu 'sangka bunuh' menyebabkan terlalu sukar
baginya mahu menghembuskan nafas. Tetapi setelah dilakukan petua-petua
menghapuskan ilmu 'sangka bunuh' dengan membukakan atap sekeping, lantai
sekeping dan membuang anak tangga bongsu, ternyata Tok Sagak tidak mengamalkan
ilmu tersebut. Dia terus nazak dengan mengharapkan pertolongan bagi melepaskan
dirinya dari kepayahan tersebut.
Setelah Tok Sagak
meninggal dunia jenazahnya dibujurkan sementara menunggu hari siang. Ayah saya
pun balik ke rumah selepas tugasnya disitu selesai. Semasa ayah saya sampai di
rumah, saya sudah pun balik ke kampung. Dia terus memberitahu saya mengenai
kematian Tok Sagak. Disebabkan sudah pukul 1.30 pagi ayah saya balik ke rumah
menyampaikan khabar kematian Tok Sagak tidak dapatlah saya menziarahinya pada
malam itu.
Esoknya barulah saya
menziarahi jenazah Tok Sagak bersama ayah saya. Ketika kami sampai pukul 10.00
pagi, sanak saudaranya sedang memandikan jenazah kerana mahu segera dikebumikan.
Tahrim memberitahu saya bau jenazah itu sudah mula mengganggu, walaupun
kebiasaannya jenazah tidak akan berbau kalau satu malam saja ditangguhkan pengkebumiannya. Keadaan di
atas rumah juga menjadi gempar kerana sewaktu dimandikan daging jenazah pula menjadi
reput bila digosok hingga terlekat pada sabun.
"Macam mana
ni...?" Ulung Mahawa mula tersengguk-sengguk melihat daging jenazah mudah
saja terlekang bila digosok kuat sedikit.
Melihat keadaan tersebut
ayah saya menasihatkan supaya jenazah dimandikan dengan tidak payah digosok.
Hanya disiramkan saja air mengikut ala kadar saja bagi mengelakkan daging
jenazah habis luruh. Bau busuk juga meruap-ruap sekali sekala bila angin
bertiup, seolah-olah jenazah itu sudah tiga hari meninggal dunia.
Atas sebab-sebab
demikianlah pengurusan mengkebumikan jenazah dilakukan dengan segera.
Memandikan jenazah pun tidak memakan masa yang lama, hanya cukup sekadar dapat
dibersihkan saja. Selepas itu dikapan dengan dibubuh banyak sedikit kapur
barus. Setelah selesai disembahyangkan, kami sama-sama menghantarkannya ke
kubur.
Tahrim disuruh oleh ayah
saya memikul usungan dengan tidak digilir-gilir hingga sampai ke kubur. Dia
juga menyambut jenazah dari lubang kubur untuk dimasukkan ke liang lahad. Semua
yang disuruh oleh ayah saya dipatuhi oleh Tahrim. Saya juga ikut sama memikul
usungan Tok Sagak, tetapi kami memikulnya secara bergilir-gilir.
Pada malam selepas Tok
Sagak dikebumikan, Mat Joi datang ke rumah ayah saya kira-kira jam 12.30 malam
memberitahu Tahrim tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Tubuhnya menggeletar
seperti orang dalam ketakutan, matanya meliar memerhati sekeliling kasau atap,
sambil bibirnya kumat-kamit merungut tidak tentu biji butir.
Disebabkan saya masih
berada di kampung, saya pun ikut menemankan ayah saya ke rumah Mat Joi setelah
diberitahu mengenai kejadian yang menimpa diri Tahrim. Kebimbangan yang
bersarang di hati Mat Joi selepas kematian mertuanya, bertambah lagi dengan
keadaan Tahrim. Apa lagi cuti Tahrim juga sudah tamat tempohnya. Ketika saya bersama
ayah saya sampai, saya dapati Tahrim menyorokkan mukanya di bawah bantal. Dia
terketar-ketar bagaikan menghadapi ancaman yang amat mengerikan. Tidak ada
sepatah kata pun terluah dari mulutnya kecuali rungutan yang tidak difahami
biji butirnya.
"Tok Bilal
tengokkan laa Tahrim ni...." ujar Ulung Mahawa terharu setelah
mempersilakan kami duduk.
"Tolong
laa....tengokkan Ustaz, apa kenanya Tahrim ni...besok nak balik kerja dia
tu" jelasnya bercampur bimbang sekiranya Tahrim tidak dapat balik bertugas
semula setelah cutinya berakhir.
"Hah, tengokkanlah
Angah" ayah saya menepuk paha saya.
Serba salah juga saya
apabila ayah saya sudah melepaskan tanggungjawab yang diharapkan oleh Mat Joi
darinya itu, kepada saya pula. Kadangkala berdetak juga hati saya tidak mahu
menziarahi teman-teman yang menghadapi gangguan seperti dialami oleh Tahrim.
Tetapi sekali sekala saya balik ke kampung hati saya merasa macam bersalah
kalau tidak menziarahi jiran-jiran atau kawan-kawan yang sakit demikian.
Tujuan saya untuk menziarahi
sudah bertukar pula dengan harapan keluarga berkenaan meminta diubati si sakit.
Sewaktu Mat Joi datang menjemput ayah saya, tujuan saya mengikutnya semata-mata
untuk menziarahi Tahrim yang dikatakan sakit. Tetapi ayah saya sendiri yang
menyuruh saya mengubati Tahrim.
"Tengokkanlah
Ustaz, Tahrim ni.." desak Ulung Mahawa lagi. Saya tidak menyahut.
Saya mendekati Tahrim
yang menyembunyikan mukanya di bawah bantal.
"Apa kena kau
Tahrim?" soal saya menepuk-nepuk bahunya.
Dia menggeleng-gelengkan kepala sambil
mulutnya merungut-rungut. Tidak dapat saya fahami langsung biji butirnya.
"Apa yang kau nampak?" soal saya
lagi. Tahrim merungut-rungut juga, sambil jari telunjuknya menuding ke ceruk
pintu.
"Tak ada apa pun di
situ..." beritahu saya tersengih-sengih.
"Bukalah muka kau, tak ada siapa pun di
situ" kata saya merenung ke ceruk pintu yang ditudingnya.
Lama saya merenung ke
situ barulah saya nampak berbayang-bayang Tok Sagak berdiri melambai-lambai.
Saya terus bangun mendapatkan Tok Sagak lantas berjabat tangan. Kemudian saya
mengajak ke serambi duduk disitu, sambil saya memarahi dia kerana datang
mengganggu Tahrim.
"Tok, bukan nak
ganggu dia...tok nak jaga dia.." ujar Tok Sagak perlahan.
"Tak perlu tok jaga
dia" jelas saya memujuknya.
"Allah lebih baik
melindungi dia dari tok sendiri" kata saya mengingatkan dia.
"Tok sayangkan
dia..." balasnya menunduk.
"Allah lebih
sayangkan dia dari tok" saya masih berkeras tidak membenarkan dia
mengganggu Tahrim.
Dia terdiam bila saya
bacakan Surah Al-Ikhlas di depannya 11 kali, menyebabkan dia menangis
tersedu-sedu.
"Tok jangan
menangis, janganlah tok bimbangkan dia. Allah lebih sempurna pemeliharaanNya
dari tok" ujar saya tegas.
"Sedangkan tok
sendiri pun mengharapkan perlindungan Allah, macam mana tok nak melindungkan
orang lain. Tok pun makhluk yang lemah..." kata saya menepuk-nepuk bahunya
berulang kali.
Dia mengangguk-angguk
mempersetujui nasihat saya.
"Baliklah tok
dulu..Tahrim pun nak balik bekerja besok. Nanti kalau Tahrim dibuang kerja,
tentu tok juga tak sukakan?" ujar saya memujuknya.
Bayangan Tok Sagak
mengangguk. Dia bangun lemah dari tempat duduknya meminta diri untuk
meninggalkan rumah tersebut. Sebelum dia menuruni tangga sempat dia masuk ke
dalam mengucup dahi Tamrin. Kemudian dia berjabat salam dengan saya sebelum
meninggalkan rumah tersebut dengan linangan air matanya.
Kira-kira setengah jam
selepas itu saya merasa bahu saya ditepuk. Apabila saya berpaling saya dapati
ayah saya tersenyum gembira.
"Alhamdulillah.."
kata saya memberi isyarat dengan ekor matanya menunjukkan Tahrim sudah mula
sedarkan diri sekalipun tubuhnya masih lemah lagi.
"Apa kena kau Tahrim?" tanya ayah
saya tersengih-sengih mengusiknya.
"Entahlah, Tok
Bilal" sahutnya menggeleng-geleng lemah.
"Apa kenanya
Ustaz?" Ulung Mahawa pula mendesak saya.
"Entahlah
Ulung" beritahu saya serba salah mahu menerangkan sesuatu yang tidak dapat
hendak digambarkan kepadanya.
"Tahrim dah sembuh,
syukurlah" ujar saya supaya tidak didesak lagi oleh Ulung Mahawa.
Bagaimanapun Ulung Mahawa tidak puas hati
dengan jawapan saya itu, tetapi dia tidaklah berani mendesak sangat. Jauh di
sudut hati Ulung Mahawa dia menuduh ada di antara saudara-maranya yang irihati
kepada anaknya Tahrim, disebabkan dia merupakan
cucu kesayangan aruah Tok Sagak. Sebab itulah mereka melakukan apa saja
untuk memusnahkan Tahrim. Namun saya tetap menafikan anggapan Ulung Mahawa itu.
Inilah menyebabkan dia tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.
Hanya beberapa bulan
selepas itulah baru Tahrim menceritakan kepada emaknya, dia ketakutan sewaktu
dikatakan tidak sedarkan diri itu, kerana aruah datuknya Tok Sagak datang
mengajaknya pergi. Puas Tok Sagak menghulur tangan meminta Tahrim memautnya,
tetapi Tahrim ketakutan untuk menyambut tangan aruah datuknya. Entah mengapa
Tahrim dapat berfikir bahawa datuknya baru saja meninggal dunia sebelah
siangnya.
Sebab itulah dia tidak
mahu menyambut tangan yang dihulurkan oleh Tok Sagak mengajaknya pergi dari situ.
Dia seolah-olah nampak datuknya berbual-bual dengan saya di serambi. Pada
mulanya dia nampak datuknya bercakap dengan suara lantang tidak puas hati
kerana saya menghalang dia dari membawa
cucunya. Tetapi suaranya lama kelamaan merendah hingga menangis teresak-esak.
Tahrim pula tidak tahu apa yang saya cakapkan bersama datuknya. Tidak lama
setelah datuknya bercakap-cakap dengan saya, Tahrim dapat melihat dengan jelas
datuknya mencium dahinya sebelum pergi menuruni tangga.
Selepas itu tiba-tiba
saja sekitar rumah menjadi gelap gelita beberapa minit, hingga dia terkejut
bangun dari tidurnya. Hairan juga dia bila didapatinya saya dan ayah saya
beserta beberapa orang jiran lain ada di sisinya.
Tetapi cerita Tahrim
tidak habis disitu saja. Sehingga dia berhenti askar pun saya mendengar cerita
mengenai keistimewaan dirinya, sedangkan dia sendiri tidak mengetahui dari mana
datangnya keistimewaan tersebut. Saya mendengar cerita Tahrim menolong
sepupunya menebang pokok rambai berhampiran dengan rumahnya. Semasa pokok
rambai tumbang, Tahrim tidak dapat mengelakkan diri lantas dihempapnya.
Sepupunya Mat Derih
menjadi panik, lantas melaung memanggil jiran-jiran datang membantu. Sewaktu
jiran-jiran sampai, Tahrim merangkak-rangkak keluar dari bawah dahan dan
ranting-ranting rambai yang menimpanya. Hanya bahu dan belakangnya saja
calar-calar ringan, sedangkan seluruh anggota badannya tidak terjejas langsung.
Bila ditanyakan oleh Mat Derih mengenai peristiwa tersebut, Tahrim hanya
menggeleng-geleng kepala saja, kerana dia sendiri pun tidak tahu apa yang telah
terjadi.
Semasa masih berkhidmat
dalam askar pun, Tahrim pernah mengalami kejadian yang tidak
disangka-sangkanya. Pasukannya telah membuat operasi jauh ke hutan. Apabila
berkhemah di satu kawasan Tahrim ditugaskan berkawal hingga tengah malamnya.
Dengan tidak disedarinya Tahrim merasai tersangat mengantuk lantas tertidur
waktu berkawal ini. Kira-kira jam 2.00 pagi seorang anggota lain yang
ditugaskan menggantikan tempat Tahrim berkawal datang ke tempat dia berkawal. Alangkah
terkejutnya kawan itu apabila dilihatnya Tahrim tidur nyenyak di atas perut
seekor harimau yang berbaring di sisinya.
Keesokan harinya Tahrim
disoal oleh ketuanya mengapa tidak mahu digantikan berkawal oleh rakannya, dia
sendiri terpinga-pinga tidak tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya.
Apabila diberitahu oleh kawannya dia tertidur di atas perut harimau yang
mengambil alih tugasnya berkawal, Tahrim hanya menerangkan semuanya itu cerita
karut.
Setelah bersara dari
askar Tahrim menetap semula di kampung. Setiap kali saya balik ke kampung, saya
akan singgah minum kopi di warung kecil yang dibukanya.
"Beginilah
Ustaz" kata Tahrim tersengih-sengih bila saya singgah minum kopi di
warungnya.
"Masa muda jadi
askar, dah tua jadi jaga" ujarnya berjenaka.
"Tapi jadi jaga di
warung ni bagus, Rim" sahut saya tersenyum.
"Bukannya jadi jaga berdiri depan bank
perhatikan orang keluar masuk bawa duit. Tapi jadi jaga di warung ni, sendiri
memerhatikan duit keluar masuk" saya sengaja mengusiknya. Bagaimanapun
setiap kali saya mahu membayar duit kopinya, Tahrim tetap menolak. "Bukan
selalu Ustaz minum di warung ni, sekali-sekala aje" katanya memasukkan
semula wang yang saya berikan ke poket saya.
TAMAT
No comments:
Post a Comment