KEMERIAHAN majlis perkahwinan yang berlangsung di
rumah Mat Sunud bertukar menjadi muram. Sebelum berlangsung majlis berinai pada
sebelah malamnya, telah berlaku kekecohan di sebelah petangnya ketika rombongan
pengantin lelaki datang dari Tangkak di Johor.
Keputusan kedua pihak keluarga pada peringkat
awalnya sudah dimungkiri. Semasa perundingan awal diadakan bagi melangsungkan
perkahwinan Masimah anak gadis Mat Sunud di Tanjung Karang, memang sudah
dipersetujui majlis persandingan hanya diadakan di sebelah pihak perempuan
saja.
Persetujuan ini dicapai memandangkan kampung mereka
berjauhan. Kalau mahu diadakan juga terpaksalah diadakan selang seminggu pula.
Ketika ini sanak saudara juga ramai yang membuat kenduri nikah kahwin. Pihak
keluarga lelaki memanglah bersetuju majlis persandingan dilangsungkan di
sebelah pihak perempuan saja. Entah macam mana kekecohan mula berlaku sebaik
saja pengantin lelakinya Jabal ditempatkan di rumah jiran pengantin perempuan
sebagai tempat persinggahan, tiba-tiba saja pihak perempuan mahu juga diadakan
majlis bertandang di rumah keluarga pengantin lelaki di Tangkak.
Pada mulanya pihak keluarga pengantin lelaki
berkeras juga, kerana tidak sanggup mengadakan dua kali kenduri. Semasa mereka
menghantar pengantin lelaki memang sudah diadakan kenduri membaca doa selamat.
Tentulah menjadi serba salah untuk memanggil jiran-jiran semula sekiranya mahu diadakan juga majlis
bertandang itu.
"Minta maaflah bisan..." Mak Icum memeluk
leher Hajah Semiah ketika menyampaikan keputusan sanak saudaranya.
"Dah kemudian pula timbulnya desakan dari
bapa-bapa saudara Masimah" katanya menangis teresak-esak menahan malu
apabila pihak sanak saudaranya bersikap demikian.
Sekiranya dia enggan menyampaikan keputusan
tersebut, mereka semua akan memulaukan majlis persandingan berkenaan. Alasan
yang mereka berikan ialah Masimah bukan janda. Sebab itulah mereka memaksa
mesti diadakan juga majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki. Lagi pun
semasa rundingan awal dibuat, hanya Mat Sunud saja yang memutuskan dengan tidak
memanggil sanak saudara yang lain.
Walaupun pada mulanya Hajah Semiah emak Jabal yang
ikut sama dalam rombongan menghantar anaknya enggan menurut kemahuan pihak
perempuan disebabkan mungkir janji, tetapi dia kasihan juga melihat keadaan Mak
Icum yang sudah merayu-rayu mengakui akan kesilapan pihaknya itu. Terpaksalah
Hajah Semiah menerima dengan tabah hati keputusan yang tidak diduganya. Semasa
rombongan pengantin lelaki balik semula ke Tangkak petang itu juga, Jabal
ditinggalkan bersama emak saudaranya Ngah Rupai, dan sepupunya Berahim yang
menjadi pengapit pengantin.
Semasa majlis berinai hendak diadakan, Masimah yang
sudah duduk di pelamin tiba-tiba tergolek ke bawah. Dia menggelupur bagaikan
ikan tidak mendapat air di atas riba Mak Andam. Mereka yang berkerumun di atas
rumah mahu melihat pengantin perempuan di atas pelamin menjadi gempar dengan
kejadian tersebut. Cepat-cepat pula Mat Sunud berkejar ke rumah jirannya Bahar
tempat persinggahan pengantin lelaki, memberitahu supaya ditangguhkan dulu
kedatangan pengantin lelaki.
Sebaliknya apabila Mat Sunud sampai di rumah Bahar,
beberapa orang yang menemani pengantin lelaki juga menjadi cemas kerana Jabal
terlentang di hujung serambi mengerang-ngerang sakit kepala. Dia juga masih
belum lagi memakai pakaian pengantin untuk majlis berinai. Sementara di khemah
di hujung halaman, masing-masing belum mengetahui peristiwa yang menimpa
kedua-dua pengantin. Mereka asyik mendengar permainan pancaragam yang
mendendangkan lagu-lagu merdu.
"Macam mana kita nak buat ni?" tanya Ngah
Rupai berpaling pada Mat Sunud.
Dia memicit-micit kepala Jabal bagi mententeramkan
anak muda berkenaan. "Nantilah, saya suruh budak-budak panggilkan
dukun" sahut Mat Sunud lantas menghilangkan diri di celah-celah orang ramai
yang berkerumun di serambi rumah Bahar.
Tidak lama kemudian dia muncul semula dengan
termengah-mengah mengesat peluh pada lehernya.
"Tengoklah kejap lagi, saya dah suruh budak
panggilkan dukun" ujarnya mengeluh lemah.
"Masimah, apa khabarnya?" soal Bahar pula
setelah diberitahu mengenai Masimah juga tidak sedarkan diri.
"Entahlah..., macam tu juga nampaknya" Mat
Sunud menggeleng-geleng kepala tidak keruan.
"Adakah Pak Nud syak sesiapa yang
buat...?" Bahar merasakan bertanggungjawab penuh ke atas pengantin lelaki,
disebabkan rumahnya dijadikan tempat persinggahan.
Apa yang berlaku ke atas Jabal dia tidak boleh lepas
tangan begitu saja. Mat Sunud menggeleng kepala. Sukar juga dia mahu menuduh
sekiranya tidak ada bukti yang sahih. Lagi pun menuduh dengan tidak ada bukti
mungkin menyebabkan orang marah, sehingga menambahkan lawan di dalam kampung
sendiri. Perkahwinan anaknya Masimah dengan Jabal pun bukanlah atas pilihannya,
tetapi mereka berdua berjanji setelah bertemu di Kuala Lumpur.
Mereka sama-sama bekerja di Kuala Lumpur. Di mana
mereka mula bertemu, kemudiannya memadu janji hingga memutuskan untuk ke
jinjang pelamin, Mat Sunud sendiri tidak tahu. Setelah anaknya Masimah
memberitahu Jabal akan masuk meminang, dia hanya menerima dengan dada yang
tebuka.
Dalam rundingan dengan keluarga Jabal, memang Mat
Sunud sendiri bersetuju majlis bersanding dibuat di Tanjung Karang saja kerana
kalau mahu bertandang pula ke Tangkak banyak masalahnya. Setelah diputuskan
perundingan, tiba-tiba saja abang isterinya yang tinggal di Felda Jengka tidak
bersetuju majlis bersanding itu habis di Tanjung Karang saja. Semua sanak
saudara Mak Icum menyalahkan Mat Sunud kerana membuat keputusan sendiri,
apabila menetapkan hari perkahwinan Masimah dan Jabal.
"Ini kerja orang dengki ni, dia sengaja nak
beri malu Pak Nud agaknya" gerutu Bahar menggertap bibir. Geram benar dia
dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab semasa pengantin hendak naik ke
pelamin untuk upacara berinai.
"Entahlah, Bahar...mati akal aku!" keluh
Mat Sunud mengesat pelupuk matanya.
Jabal mengerang-ngerang menahan kesakitan yang
menyucuk-nyucuk tengkorak kepalanya. Dukun yang dipanggil tidak juga datang
lagi setelah setengah jam mereka menunggu. Ketika ini orang memanggil Mat
Sunud dari rumahnya kerana keadaan
Masimah masih membimbangkan. Bergegas-gegas pula Mat Sunud balik ke rumah dalam
keadaan cemas mencengkam hatinya.
"Apa ikhtiar kita makcik?" tanya Bahar
berpaling pada Ngah Rupai.
"Tak tau laa makcik, terpulanglah pada orang
sini" sahut Ngah Rupai sambil jarinya memicit-micit kepala Jabal.
Peluh membasahi belakang Jabal hingga bajunya
lembab. Terpaksalah pula Ngah Rupai membukakan baju tersebut supaya suhu panas badan Jabal dapat
dikurangkan. Dalam masa yang sama Masimah juga tidak beransur sembuh. Dia
menggelepar dengan nafasnya sesak tercungap-cungap sama seperti ikan terdampar
di pasir.
Sehingga jam 11.00 malam barulah Mat Sunud
memberitahu orang pancaragam supaya menghentikan permainannya, lantas memberitahu
mengenai kejadian yang menimpa kedua mempelai. Bertambah lagi murungnya suasana
setelah pancaragam memberhentikan permainannya. Hanya tinggal keluh kesah sanak
saudara Mak Icum dan Mat Sunud melihatkan dua mempelai terlantar menahan
kesakitan masing-masing.
"Wak Golan dah ke Ulu Selangor, Pak
Nud..." beritahu Jali Tenjot yang disuruh memanggil dukun.
Sebaik saja disuruh memanggil dukun, Jali Tenjot
terus menunggang motorsikal Hondanya ke rumah Wak Golan. Tetapi dia diberitahu
Wak Golan sudah ke rumah anaknya di Gedangsa, Hulu Selangor. Bertambah hampa
Mat Sunud setelah mendengar Wak Golan yang diharapkannya boleh memulihkan kedua
mempelai tidak ditemui. Dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan. Sepanjang
ingatannya hanyalah Wak Golan yang menjadi dukun di sekitar kampungnya. Kepada
orang tua itulah mereka menggantung harapan sekiranya diancam gangguan
demikian. Tetapi bila Wak Golan tidak ada mereka seolah-olah putus asa mencari
ikhtiar yang lain.
"Kalau sakit macam ni, carilah tok imam-tok
imam ke, minta doakan...." ujar Ngah Rupai apabila diberitahu oleh Mat
Sunud mengenai Wak Golan yang sudah pergi ke rumah anaknya di Gedangsa.
"Hah, elok juga tu" sahut Bahar menyetujui
cadangan Ngah Rupai.
"Elok kita panggilkan Haji Madan, minta doa-doakan"
katanya menggesa supaya segera diberitahu kepada Haji Madan.
Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya
dengan tidak mendapatkan persetujuan dari Mat Sunud untuk memanggil Haji Madan
di seberang jalan. Dia juga tahu Haji Madan guru agama di situ yang selalu
ditemui oleh orang-orang kampung meminta jasa baiknya mendoakan anak-anak
mereka supaya lulus dalam peperiksaan. Semasa Jali tenjot sampai di halaman
rumah Haji Madan, isteri Haji Madan baru saja menghidangkan kopi kepada kami di
serambi.
Kebetulan saya singgah di rumah Haji Madan bersama
seorang kawan lagi dalam perjalanan dari Teluk Intan. Setelah Jali Tenjot naik
ke rumah, dia diperkenalkan oleh Haji Madan kepada saya dan Bumin, sambil
mengajaknya minum kopi terlebih dulu.
"Apa halnya
ni?" tanya Haji Madan lantas menghulurkan cawan kopi o ke hadapan Jali
Tenjot.
Tergagap-gagap Jali Tenjot menceritakan kejadian
yang menimpa di majlis berinai anak Mat Sunud.Terbayang kegelisahan di
wajahnya, disebabkan dia adalah anak saudara Mak Icum. Kejadian tersebut bukan
saja memalukan keluarga dia, malah sebuah kampung menanggung malu kepada
keluarga pengantin lelaki. Tentulah cerita mengenai kejadian tersebut tidak
akan lenyap dalam masa sehari dua, kemungkinan akan menjadi buah mulut kepada
seisi kampung.
Majlis perkahwinan adalah bertujuan untuk sama-sama
memeriahkan kedua mempelai, serta menemukan mereka dengan sanak saudara. Tetapi
dengan kejadian yang tiba-tiba saja diserang sakit, bukanlah merupakan penyakit
turun-temurun yang datang menyerang. Sudah tentulah ada orang yang iri hati
melakukan kerja-kerja sihir bagi merosakkan nama baik keluarga Mat Sunud.
"Emm, kita minum kopi dulu" ujar Haji
Madan tersengih-sengih.
"Kopi ni, Mak Aji kau sendiri yang tumbuk"
katanya sambil mengerling isterinya yang tersenyum tersipu-sipu.
Disebabkan Haji Madan sudah dijemput orang lantas
saya mengajak Bumin balik, kerana saya menumpang keretanya. Tetapi kalau saya
melalui jalan tersebut ke Teluk Intan, memang saya singgah di rumahnya.
Kadangkala kalau melebihi jam 11.00 malam pun saya tetap singgah, kerana dia
masih belum tidur lagi. Malah dia akan memarahi saya kalau tidak singgah
sekiranya dia tahu saya ke Teluk Intan atau ke Kampung Gajah melalui jalan
tersebut.
"Biarlah saya minta diri dulu, tuan..."
saya menghulur tangan untuk berjabat salam.
"Hiss, nanti dulu Ustaz" katanya menepis
tangan saya.
"Ini Fardhu Kifayah, Jali ni datang betul-betul
berharap, marilah sama" Haji Madan tidak membenarkan saya balik.
"Tak apalah tuan, Bumin ni ada hal besok"
saya cuba mengelak.
"Halnya besok, bukan malam ni!" Haji Madan
berkeras tidak mahu melepaskan saya pergi.
"Macam mana Bumin?" sengaja saya mencuit
Bumin. Belum pun sempat Bumin menyahut cepat-cepat Haji Madan memotong,
"Bumin belum nak balik lagi tu, Ustaz ni aje
yang pandai-pandai" dia bangun berdiri sambil meminta isterinya
mengambilkan lampu picit.
Dia menarik tangan saya mengikutinya ke rumah
pengantin. Bumin hanya tersengih-sengih melihat telatah Haji Madan yang
langsung tidak memberi peluang kami mengelakkan diri mengikutinya. Malam sudah
mulai sepi, tetapi kawasan sawah luas terbentang itu nampak berbalam-balam
cahaya api dari setiap rumah. Di jalan besar melintasi sawah itu juga
sekali-sekala ada juga kereta meluncur.
Semasa kami sampai di rumah Mat Sunud pengantin
perempuan masih berpakaian pengantin lagi, tetapi sanggulnya sudah terurai. Dia
menggelepar-gelepar juga tercungap-cungap sukar bernafas seperti ikan terdampar
di pasir.
"Yang lelakinya di mana?" soal Haji Madan
sebaik saja duduk menyandarkan belakang ke dinding.
"Di rumah Bahar" beritahu Mat Sunud.
Kemudian barulah Haji Madan memperkenalkan saya dan Bumin kepada Mat
Sunud dan keluarganya.
"Macam mana Ustaz?" Haji Madan menepuk bahu
saya.
"Terpulanglah pada tuan..." ujar saya
menghela nafas.
"Kalau macam tu, bawa pengantin lelaki tu ke
mari" Haji Madan mencadangkan.
"Di sini, boleh kita sama-sama ikhtiarkan"
katanya semacam memberi arahan kepada Mat Sunud.
Dengan tidak membantah Mat Sunud mengajak Jali
Tenjot membawa pengantin lelaki ke rumahnya. Suasana muram di rumah pengantin
itu jelas terbayang di setiap wajah yang lesu berceratuk memenuhi ruang rumah.
Mereka masih kebingungan dengan peristiwa tersebut, walaupun sudah diusahakan
dengan berbagai jampi serapah oleh beberapa orang yang berpengalaman juga
mengubati penyakit seperti itu.
Disebabkan Wak Golan tidak ada, dua tiga orang yang
pernah berguru dengan Wak Golan telah mencuba kemampuan masing-masing. Namun
Masimah dan Jabal tidak juga dapat dipulihkan. Ketika Jabal dipapah datang ke
rumah Mat Sunud, mukanya pucat. Kuku jari-jarinya lebam. Dia mengerang-ngerang
juga menahan sakit kepala. Haji Madan menyuruh dibaringkan Jabal berhampiran dengan Masimah.
Kemudian dia duduk di tengah-tengah pada bahagian
hulu kepala. Dia menyuruh saya duduk di bahagian lunjur kaki kedua pengantin
itu. Sebaik saja saya duduk tiba-tiba Masimah bingkas bangun lantas meludah
saya berulang kali, menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut. Mat Sunud dan Jali
Tenjot segera menerpa memegangkan Masimah yang tiba-tiba saja menjadi berang
melihat saya duduk di lunjur kakinya. Sekali-sekala dia mengerling ke arah
Jabal yang terbaring mengerang-ngerang menahan sakit kepalanya yang mendenyut-denyut.
"Kenapa kau marahkan dia....!" jerkah haji
Madan menepuk dua tangannya ke paha.
"Orang ni jahat" sahut Masimah ketawa
terkekeh-kekeh, menudingkan jarinya ke arah saya.
"Ha, ha...sekarang kau dah tunjukkan diri
kau..." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya ke kepala Masimah.
Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik kesakitan.
"His, belum apa-apa dah memekik, tadi kau
tunjukkan kuat sangat...!" ujar Haji Madan tersenyum sinis.
Masimah meronta-ronta tetapi tidak dapat melepaskan
diri dari pegangan Jali Tenjot dan Mat Sunud. Ketika ini terdengar bunyi
dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak ada apa-apa yang kelihatan
merempuh dinding.
"Halau
dia tu, halau dia...!" pekik Masimah menuding-nuding ke arah saya.
"Dia tu orang jahat, dialah yang suruh aku ke
mari" katanya ketawa mengejek.
"Setan memang nak laga-lagakan orang"
sahut Haji Madan tidak melepaskan
tangannya di kepala Masimah.
"Kau fikir kami percaya dengan tipu muslihat
kau? Ustaz tu baru tak sampai sejam datang" ujarnya merentap tangannya
dari kepala Masimah.
Mat Sunud menyangka saya tersinggung apabila diludah
oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia berkali-kali meminta maaf. Tetapi
saya tidak hiraukan sangat kekeliruan Mat Sunud itu, kerana saya menyedari
sewaktu sampai ke halaman rumah saya melihat seolah-olah terbayang satu cahaya
seperti benang putih di bumbung rumah sampai mencecah ke awan.
Oleh itu sebelum naik ke rumah saya sudah membacakan
Ayat Kursi 33 kali sehingga saya duduk berhampiran dengan Masimah. Kemudian
saya berzikir halus di dalam hati, menyebabkan benang putih itu terputus hingga
kedengaran oleh orang ramai bunyi berdegam memukul ke dinding.
"Ustaz ni orang jahat...!" Masimah
tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa.
"Engkau yang jahat, menyusahkan orang!"
suara Mat Sunud keras mengherdik.
"Kami bukan kacau kau, kenapa kau kacau
kami?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya sedang mengganggu anaknya
ketika itu.
Memandangkan keadaan Masimah bertambah garang,
sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan kesakitan, saya pun meminta izin
untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi saya sebaik saja tangan saya
menyentuh kepalanya, tetapi saya membongkok merapatkan mulut saya ke telinga
kanannya. Saya melaungkan azan perlahan 5 kali di telinga kanan, dan 5 kali di
telinga kiri. Semasa saya melaungkan azan ini Masimah menjerit-jerit mengatakan
petir dan kilat memusnahkan rumahnya.
"Ah, rumah ni elok, tak roboh pun. Tak ada pun
kilat, tak ada petir..." Mak Icum yang mendiamkan diri sejak tadi
tiba-tiba saja bersuara lesu.
"Cukup dulu..." kata saya kembali duduk di
lunjur kaki Masimah.
"Kalau kau berdegil, aku akan timpakan kau
dengan gunung" ujar saya memberi amaran.
Masimah mulai ketakutan merenung muka saya. Tubuhnya
menjadi longlai tidak bermaya.
"Nah, lawanlah sangat" sergah Haji Madan
mengejek.
Ketika ini saya melihat Jabal tidak
mengerang-ngerang lagi. Dia hanya keletihan terlentang melepaskan lelah. Saya
bangun mengangkat kepala Jabal menghembuskan perlahan dengan membaca Surah
Al-Ikhlas 11 kali diikuti dengan Surah Al-Falak dan Surah An-Nas sekali.
Selepas itu barulah Jabal menggosok-gosok matanya lantas meminta air untuk
diminum. Dia sendiri seperti orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang telah
berlaku kepada dirinya dan isterinya yang akan menjalani upacara berinai dan
seterusnya bersanding.
Mujurlah mereka berdua sempat diakad-nikahkan
sebelum majlis berinai itu. Setelah diterangkan kepadanya bahawa Masimah masih
tidak sedarkan diri, Jabal mengangguk lemah. Dia sendiri mengadu masih terasa
sengal-sengal di kepalanya walaupun tidaklah sakit berdenyut-denyut lagi.
"Haji Madan, buat apa kau bawa Ustaz ni?"
Masimah menggertap bibir tetapi tidak berani merenung muka saya.
"Ah, aku tak mau layan kau. Aku beri tempoh
lima minit. kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah, Ustaz ni akan timpakan
gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu!" tegas Haji Madan memberi
amaran.
"Buatlah, apa kau nak buat" sahutnya
tersengih-sengih memaling mukanya merenung ke bumbung atap. Saya ikut merenung
ke atas memerhatikan bumbung yang direnung Masimah. Lantas saya membacakan
innahu minal-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannir Rahim 10 kali, kemudian
saya seolah-olah terlihat seorang perempuan tua berambut penuh uban
termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai menggelepar tidak
mendapat air. Duri sembilang itu tertusuk kepada buah limau yang berbungkus
kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari tusukannya.
"Ustaz, kita mulakan...." kata Haji Madan
bangun sambil meminta air sejuk segelas. Setelah diberikan air tersebut,
Haji Madan menjulang gelas berisi air itu tinggi
melampaui kepalanya, dan saya mendengar dia membacakan Ayat dari Surah Al-Jin
Quluhiyya innahus tamaa nafarun minal-jinni...hingga beberapa ayat lagi.
Kemudian saya menudingkan jari ke muka Masimah seolah-olah saya menuding ke
muka perempuan tua yang mengadap ikan sembilang di lantai itu sambil
membisikkan
"Sejuk kau, sejuk kau...aku kirimkan air batu...",
sekaligus pula saya melupakan Masimah terbaring di hadapan saya. Ketika ini
semua orang melihat Masimah terketar-ketar menahan kesejukan, hingga bibir dan
jari kecut seperti terkurung di dalam air batu. Dalam masa inilah orang ramai
mendengar satu letupan kecil di gelas yang dipegang olah Haji Madan.
Bila dia duduk semula sambil meletakkan gelas berisi
air itu di hadapannya, semua orang melihat seekor anak sembilang sebesar ibu
jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya terikat dengan benang yang bersambung
pada sebiji limau berbungkus dengan kain putih. Kira-kira 15 minit kemudiannya
barulah Masimah sedarkan diri semula. Hanya 5 bulan lepas kejadian itu, semasa
saya dan Bumin singgah di rumah Haji Madan beliau menceritakan Jabal dan
Masimah selamat disandingkan dengan tidak ada gangguan apa-apa. Tetapi Haji
Madan sendiri terkejut bila diberitahu seorang dukun perempuan jauh dari situ,
mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh tubuhnya kecut seperti terkurung di
dalam air batu.
TAMAT
No comments:
Post a Comment