Disebabkan hujan turun dengan lebat mencurah -
curah, Pak Tua Mahat pun berhenti berteduh dahulu di bawah sebuah
pokok besar. Ulung Sali yang mengekor di
belakangnya bersama Saban Keme segera melencong ke bawah bukit untuk mencari
daun pisang karuk. Kemudian mereka berdua datang semula mendapatkan Pak Tua
Mahat lalu menyelitkan daun - daun pisang karuk itu
pada anak - anak kayu supaya dapat berlindung dari simbahan hujan yang lebat
itu.
" Hah! Dah habis basah....buat apa daun pisang
karuk ni lagi??? " kata Pak Tua Mahat sambil
membukakan bajunya yang basah itu. Dia pun memulaskan bajunya supaya kering.
Ulung Sali hanya tersengih - sengih sahaja. Dia tahu
memang mereka semua sudah dibasahi hujan, tetapi pabila daun pisang karuk itu
disisip dijadikan atap berlindung dari simbahan hujan, tidaklah mereka
berterusan basah. Setidak - tidaknya mereka sudah boleh memerah baju yang basah
supaya airnya kering. Tidaklah sejuk sangat menjelang tengah malam.
" Kau sejuk ke, saban? " kata Ulung Sali sambil mengerling kepada Saban Keme yang
sedang berpeluk tubuh menahan sejuk itu.
" His, adakan tak sejuk....." ujar Saban
Keme sambil terketar - ketar.
Mereka bertiga berteduh di bawah pokok besar itu
sambil menunggu hujan teduh. Tetapi hujan di dalam hutan itu tidaklah sama
dengan hujan di tengah kampung kerana hujan tidak terus menyimbah ke tubuh
mereka. Daun - daun pokok yang tinggi menjulang itu telah menampan hujan,
menyebabkan mereka tidaklah kuyup sangat disimbahi hujan. Bagaimana pun memang
terasa sejuk jugalah sementara menanti hujan reda.
Pak Tua Mahat menyarung semula baju basahnya yang sudah
diperah air itu. Dia sudah biasa mengalami ditimpa hujan sewaktu berburu ke
hutan. Kadangkala sehingga semalaman hujan turun tidak berhenti, dia tidak
ambil peduli pun. Apabila hujan reda, dia akan terus juga menyuluh mencari
binatang buruannya. Menjadi pantangan dia kalau masuk berburu ke hutan, apabila
balik hanya dengan tangan kosong.
Sudah lama pula dia tidak pergi ke hutan bersama Ulung
Sali . Memang Pak Tua Mahat serasi benar ke hutan bersama dengan Ulung
Sali , kerana mereka berdua saling bantu membantu jikalau menghadapi apa - apa
masalah. Lagi pun memang Ulung Sali tahu
benar akan selok belok jalan di dalam hutan pelangai itu.
" Dah teduh hujan ni, bang mahat..... "
ujar Ulung Sali sambil mendongak
memerhatikan titis hujan yang jatuh satu - satu menimpa kepala.
Pak Tua Mahat tidak
menyahut. Dia pun keluar dari bawah tempat berteduh lalu meranduk belukar yang
masih lembab akibat dibasahi hujan tadi. Ulung Sali dan Saban Keme pun
mengikut langkahnya dari belakang.
" Lepas hujan macam ni elok la " kata Pak
Tua Mahat .
Ulung Sali
hanya mengangguk. " senang la kita nampak jejak " sahutnya
sambil menahan kesejukan akibat ditimpa hujan tadi.
Malam bertambah gelap disebabkan awan kelam tidak
disinari cahaya bulan. Selepas hujan lebat turun mencurah - curah, kegelapan
mula menyerkup kawasan hutan tersebut. Hanya silauan lampu picit di tangan
sahaja menjadi pedoman mereka mencari lorong ditengah belukar di hutan
berkenaan.
Baik Ulung Sali mahu pun Pak Tua Mahat memang
gemar berburu kalau ditimpa hujan. Binatang hutan juga akan keluar selepas
berlindung dari hujan lebat yang turun mencurah - curah itu. Ia akan melalui
denai - denai yang selalu ditempuhinya lalu akan meninggalkan jejak berlubuk
akibat tanah lembut selepas ditimpa hujan itu. Mudahlah mereka mengekori denai
tersebut lalu mengendap arah yang dituju oleh binatang berkenaan.
" Kawasan hutan ini banyak kijang "
beritahu Ulung Sali sambil mencecap -
cecap bibirnya.
Memang dia selalu masuk ke situ untuk mengendap kijang.
Ulung Sali tahu sangat di kawasan mana
mahu menghambat rusa, kijang atau pun memipih pelanduk. Dia tahu sangat kawasan
mana yang sesuai untuk mengendap ayam denak atau pun mahu menjerat napuh. Sejak
berpindah ke pelangai, dia tahu sangat akan hutan di situ. Sama juga macam Pak
Tua Mahat yang amat mengetahui sangat akan ceruk solok
hutan di mentaus. Sejak mereka di kampung lagi memang berburu ke hutan sama -
sama menjadi kegemarannya.
" Banyak kijang pun, bukannya dia nak menyerah
diri kepada kita... " ujar Pak Tua Mahat seakan
mengejek.
" Memanglah!!! " ujar Ulung Sali sambil tersengih - sengih mendengar ejekan Pak
Tua Mahat itu.
"Rezeki yang datang bergolek pun bukannya
nampak bergolek - golek macam bola, kenalah digerakkan ketiak. Kalau tangan
bersimpai, nasi di tangan pun tak dapat nak disuapkan ke mulut!!! "
katanya pula menyindir.
Pak Tua Mahat tersenyum sahaja. Tetapi dia percaya memang
kawasan hutan itu mempunyai bilangan kijang yang banyak. Hentak kaki ke tanah
pun Pak Tua Mahat sudah dapat mengagak sama ada terdapat kijang,
rusa atau napuh yang selalu bermain di situ.
Bagaimana pun berburu bukanlah semudah mengendap
ayam denak di pinggir kampung. Sekiranya terdengar bunyi kokokan ayam
memanjang, sudah pasti ada ayam denak yang mengekas. Bila - bila masa sahaja
menggalas senapang ke situ, pasti tidak akan balik dengan tangan kosong. Tetapi
berburu ke hutan terpaksa meranduk paya dan belukar untuk mencari denai
binatang. Setelah bertemu denai pun, belum tentu lagi akan ditempuhi oleh
binatang tersebut atau pun tidak. Kadangkala denainya ada berbekas jejak,
diikuti sampai habis jejak pun tidak seekor binatang pun yang kelihatan.
Mereka terpaksa mencari denai yang lain pula
sehingga terpaksa meranduk belukar tebal sekali pun. Setelah puas menyusur
denai, mengendap dibalik belukar, menunggu dibalik tabir tetap kadangkala tiada
juga seekor pun binatang yang terjongol muncul.
"Banyak manau di hutan ni, Sali?? " soal Pak
Tua Mahat sambil kepalanya terhangak - hangak
memanjangkan leher.
" Ada juga agaknya... " sahut Ulung
Sali perlahan. "aku tak pernah cari
manau. Kalau petai tu, tak berapa pokok sangat " katanya sambil terangguk
- angguk kepala.
Orang yang biasa ke hutan tidak sekadar mengetahui
mengenai binatang buruan sahaja, tetapi juga tahu berapa batang pokok petai
yang tumbuh di setiap bukit, berapa banyak rumpun manau yang merimbun, berapa
anak - anak bukit di tengah lurah bukit besar. Kalau tidak hafal semuanya,
tidak berertilah menjadi pemburu yang mengetahui setiap ceruk dan solok di
hutan berkenaan.
"Selalu kau cari petai? " tanya Pak Tua
Mahat lalu berhenti menyandarkan badannya pada
sepohon pokok di tubir lorong.
" Ah! Untuk makan sendiri tu adalah juga
" beritahu Ulung Sali lantas
berhenti juga di depan Pak Tua Mahat . Dia
kemudian menghenyakkan punggungnya ke atas banir pokok yang menungkal tinggi
itu.
Saban Keme juga turut berhenti melepaskan lelah. Dia hanya
mendengarkan sahaja bapa mertuanya dan Ulung Sali berbual - bual mengenai hutan di situ. Lagi pun
memang tabiat dia tidak suka mencampuri bila orang lain bercakap. Bagaimana pun
memang Pak Tua Mahat suka mengajak
menantunya itu berburu ke hutan.
" Macam mana saban, penat tak ? " tanya Ulung
Sali sambil mencebikkan bibir kepadanya.
"Emmm, dah biasa berjalan di dalam hutan macam
ni " beritahu Saban Keme sambil tersengih - sengih.
Saban Keme tahu, letih macam mana pun tidak akan berasa
apabila binatang buruan sudah tergolek di depan mata. Lainlah kalau tiada
seekor pun binatang buruan yang melintas, bukan sekadar keletihan sahaja yang
menghantui perasaan malah kehampaan juga tidak dapat digambarkan yang mengguris
hati.
Selepas berehat beberapa minit, mereka bertiga pun
meneruskan perjalanan meranduk belukar lembab di tengah kegelapan malam. Ulung
Sali berjalan di depan sekali dengan
memegang lampu picit bersambung ubat 6. Dibelakangnya Saban Keme yang
memegang lampu picit kecil sementara Pak Tua Mahat yang
dibelakang sekali hanya menggalas senapang patah laras duanya sahaja.
Sekali sekala Saban Keme akan
tergelincir apabila kakinya terserandung akar - akar yang merintangi jalan,
tetapi cepat - cepat pula dia berpaut pada anak - anak kayu. Lorong di tubir
bukit juga menjadi licin akibat ditimpa hujan yang turun mencurah - curah
sebelumnya tadi. Namun Ulung Sali masih
juga tidak menemui denai kijang yang dicari. Kalau tidak menemui denai kijang
pun, manalah tahu mereka akan menemui denai rusa pula.
Mereka tidak akan kehilangan jejak sekiranya sudah
bertemu dengan denai binatang buruan. Melihatkan bekas jejaknya sahaja, Ulung
Sali sudah tahu berapa lama denai itu
telah ditempuhi. Dia akan dapat mengagak sejauh mana binatang buruan itu telah
meninggalkan denainya. Ke mana arah yang ditujuinya? Semuanya sudah dihafali di
dalam kepala Ulung Sali .
Apalagi Pak Tua Mahat yang
sama masuk ke hutan dengannya. Dia tahu benar akan kebolehan Pak Tua Mahat kalau
sudah menjejakkan kakinya ke tengah hutan. Binatang buruan tidak akan dapat
lari ke mana apabila denainya sudah ditemui oleh Pak Tua Mahat . Bekas jejak binatang tersebut akan
dipasaknya ke tanah hingga binatang berkenaan tidak dapat bergerak jauh.
Tatkala Pak Tua Mahat sampai menggalas senapang, bintang tersebut
hanya akan tercegat sahaja menunggu bidikan senapang patah berlaras dua Pak Tua
Mahat berdentum meletup. Sekali gus pula pelurunya
akan melayang hinggap mencari sasaran di kepala. Binatang buruan itu akan
tergolek menggelupur dengan darah membuak - buak di kepala. Serentak dengan
itu, Ulung Sali akan menerkam sambil
menghunuskan parangnya lalu menyembelih ke batang leher. Mereka berdua sudah
cukup mahir kalau berburu binatang di dalam hutan.
" Tak jumpa denainya lagi, sali? ' Tanya Pak
Tua Mahat sambil menghelakan nafas.
"Belum, bang.... " sahut Ulung Sali sambil menggelengkan kepalanya.
" Agaknya fasal hujan tadi ni... " Saban
Keme pula mencelah. " dia pun tak mahu keluar
" kata Saban Keme lagi sambil tersengih - sengih semacam
gelihati sangat apabila kenangkan rusa, kijang dan napuh pun kesejukkan ditimpa
hujan sampai tidak mahu keluar dari tempat persembunyiannya.
"Ah! Kalau ada rezeki tak akan ke mana "
ujar Ulung Sali memberikan keyakinan.
Hujan tidak ada lagi menitik tatkala malam makin
menjadi sepi. Sekali sekala burung kuang berbunyi juga memecahkan kesepian yang
mencengkam perasaan itu. Pak Tua Mahat mula
terkuap - kuap sambil menggalas senapang patah berlaras dua nya dibelakang
sekali mengekori Ulung Sali dan Saban Keme . Apabila matanya sudah mengantuk, Pak Tua Mahat tidak
peduli di mana sahaja dia tetap akan melelapkan matanya. Sambil berjalan pun
dia boleh melelapkan mata hingga sampai bersenar kuat.
Ulung Sali dan Saban Keme memang tahu mengenai perangai Pak Tua Mahat yang
boleh melelapkan mata tatkala berjalan di dalam hutan. Sebab itulah mereka
tidak hiraukan sangat apabila menyedari Pak Tua Mahat sudah tersengguk - sengguk di belakang mahu
melelapkan matanya. Kalau tidak diganggu, sampai ke pagi pun Pak Tua Mahat akan terus terlena.
" Ayah kau dah berdengkur, saban " ujar Ulung
Sali sambil menjuihkan bibirnya.
" Dah jadi kebiasaan dia " sahut Saban
Keme sambil mengerlingkan matanya ke belakang. Dia nampak
bapa mertuanya tersengguk - sengguk berjalan, tetapi bunyi dengkurnya memang
kedengaran memecah keheningan tengah malam yang diselubungi kesepian malam itu.
Kadangkala ia menghairankan Saban Keme juga,
bagaima bapa mertuanya boleh tidur dengan nyenyak tatkala berjalan merentas
belukar di hutan. Kakinya tidak akan tersepak tunggul atau terjelantus pada
akar - akar pokok yang merentangi jalan mereka. Saban Keme juga
nampak bapa mertuanya tidak perlu menyusup tunduk bawah akar merentang itu,
tapi beliau tetap dapat melepasinya.
Apabila mereka berhenti melepaskan lelah, Pak Tua
Mahat juga ikut sama berhenti. Tetapi dia tidak akan
duduk menghenyakkan punggungnya. Sebaliknya dia akan berdiri dengan sebelah
kaki sahaja, dengan sebelah lagi kakinya akan dibengkokkan hingga tapak kakinya
akan tertampan pada paha. Selagi dia tidur nyenyak, Pak Tua Mahat akan
berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Saban Keme dan Ulung
Sali memang tahu sangat mengenai
kebolehan diri Pak Tua Mahat jikalau dia terlalu mengantuk semasa berburu
di dalam hutan itu.
"Kalau tak jumpa denai, sampai ke pagilah
nampaknya ayah kau nyenyak " kata Ulung Sali sambil tersengih - sengih menyuluh lorong di
hadapan.
" Eeh! Kalau ayah dah lelap, kejap lagi
jumpalah denai tu " beritahu Saban Keme dengan perlahan. Dia sudah memahami sangat
jikalau mengikut bapa mertuanya berburu.
Bapa mertuanya memang mudah mengantuk apabila tidak
terserempak dengan binatang buruan. Ketika inilah dia akan terlena dengan tidak
mempedulikan lagi apa pun yang terjadi di sekelilingnya. Pak Tua Mahat memang
tidak akan melawan rasa mengantuknya apabila jam sudah melewati pukul 12 tengah
malam, sekiranya binatang buruan tidak juga terjongol muncul.
"Tak faham aku dengan ayah kau ni....."
rungut Ulung Sali yang keletihan
meranduk belukar lembab yang dibasahi hujan. " Cepat sangat rasa
mengantuknya, tak menyempat - nyempat...
"katanya sambil tersengih - sengih seolah - olah menyindir sikap sepupunya
itu.
Saban Keme hanya tersengih - sengih sama. Dia tidak
peduli pun sama ada Ulung Sali merungut
fasal bapa mertuanya nyenyak tidur atau pun tidak. Tetapi dia memang tahu akan
kebolehan bapa mertuanya jika berburu ke hutan. Tidak pernah bapa mertuanya
balik dengan tangan kosong sama ada dia terlelap atau pun tidak semasa berburu.
Memang dia tahu sangat akan sikap bapa mertuanya. Sejak
sebelum menikah dengan Bibah iaitu sebelum Pak Tua Mahat menjadi
bapa mertuanya, dia sering mengikut orang tua itu berburu ke hutan. Dia tahu
sangat pantang larang Pak Tua Mahat ,
tahu apa yang perlu dibuat bila orang tua itu membuka kain hitam ikat kepalanya
dan juga tahu bila mahu menerpa menindih kepala rusa dengan lutut sebaik sahaja
Pak Tua Mahat sudah menghunuskan mata parangnya. Sebab itulah
Pak Tua Mahat suka membawa dia ke hutan, sekali pun setelah
menjadi menantunya.
"Hhhiss...ini dia!! " Ulung Sali pun mendepakan tangannya seolah - olah
menghalang Saban Keme daripada meneruskan perjalanan ke hadapan. Dia
pun menyuluh denai yang berbecak itu masih terdapat kesan tapak kaki kijang
yang berbekas di situ.
"Ini bekas tapak kakinya.... " kata Ulung
Sali dengan perlahan sambil menyuluh
lagi dengan berhati - hati bagi memastikan yang dia sudah terjumpa akan denai
yang dicari - carinya.
Saban Keme juga membongkok bagi mengamati akan jejak
kijang yang berbekas pada lumpur berbecak di denai tersebut. Dia pun mengangguk
- anggukkan kepalanya tanda berpuas hati setelah menemui jejak berkenaan. Setidak
- tidaknya dia sudah boleh menyimpan harapan bahawa kijang tersebut tidak akan
dapat lari kemana lagi.
"Kejutkan ayah kau!! " bisik Ulung Sali sambil tersenyum lebar. Tangannya tidak lepas
menyuluh denai berbecak yang keruh bukat bekas ditempuhi kijang itu.
Cepat - cepat pula Saban Keme memegang bahu bapa mertuanya sambil
menggoncang - goncang kuat. Pak Tua Mahat pun terkuap - kuap lantas menggengam
penumbuknya lalu terus disumbatkan ke dalam mulutnya.
" Dah ada denainya " bisik Saban Keme .
"Emmm...aku tahu " beritahu Pak Tua Mahat
sambil terkuap - kuap lagi.
"Kita ikut denai ini? " soal Ulung Sali yang masih membongkok - bongkok menyuluh akan
kesan jejak kijang yang berbekas di dalam becak berlumpur itu.
"Tak payah... " sahut Pak Tua Mahat . " Kita tunggu di situ " dia
menuding pula ke arah kawasan lapang di bawah pokok besar yang berbanir itu.
Ulung Sali dan Saban Keme pun tidak membantah apa. Mereka
menurut sahaja apa yang disuruh oleh Pak Tua Mahat . Mereka tahu orang tua itu
lebih mahir kalau melihat jejak berbekas di denai. Sama ada mahu mengikut jejak
tersebut atau tidak hanya terpulang kepada keputusan Pak Tua Mahat sendiri.
Memang Ulung Sali sendiri mengakui akan kemahiran Pak Tua Mahat apabila
berburu di hutan. Kalau menepuk daun palas, Pak Tua Mahat tahu bila pelanduk akan datang bertandak. Beberapa
ekor pelanduk akan datang menyerbu sebaik sahaja mendengar daun palas ditepuk
pada busut. Semua pedoman Pak Tua Mahat memang tidak pernah mengecewakan mereka.
Sudah beberapa kali Ulung Sali camkan pedoman yang diberi oleh Pak Tua Mahat semuanya tidak pernah meleset. Kalau dia kata
mesti diikut jejak pada denai, tentulah rusa atau kijang itu sudah tidak jauh
dari situ. Pak Tua Mahat akan mengendap seorang diri ke hadapan. Tapak kakinya
yang terpijak ranting kering pun tidak akan mengeluarkan bunyi berderap. Binatang
buruannya tidak akan dapat menyangka yang Pak Tua Mahat sedang
mengendapnya dengan senapang berlaras dua tergengam di tangan.
Bila Pak Tua Mahat
sudah memberitahu tidak perlu dijejak, cukuplah sahaja menunggu di
tempat denai yang ditemui itu. Selalunya tidak lama selepas mereka menunggu,
sudah tentu binatang buruan itu akan terjongol terlangah - langah. Pak Tua
Mahat juga sudah dapat mengagak sama ada
binatang buruan itu sudah semakin hampir menjengah atau pun masih jauh lagi
dari kedudukan mereka. Kemahiran Pak Tua Mahat
ini memang benar - benar mengagumkan Ulung Sali . Tetapi dia juga tahu
Pak Tua Mahat memang pantang sangat
kalau saya ikut turut sama mengikutnya berburu ke hutan.
"Dah sampai dia, abang mahat? " tanya
Ulung Sali yang tidak sabar lagi itu.
"Kejap lagi agaknya " sahut Pak Tua
Mahat sambil mendehem dehem.
"Selalunya tak lama kalau ditunggu .....
" keluh Saban Keme yang berdebar -
debar menanti dengan penuh harapan itu. Jauh di lipatan hatinya dia sudah
berdoa agar kijang tersebut datang menjengah juga. Sudah lama juga dia tidak
menikmati daging kijang hasil buruan bersama bapa mertuanya.
"Emmm...tak sabar - sabar kau ni " kata
Pak Tua Mahat sambil tersengih - sengih
seakan menyindir menantunya. " Orang punya, kenalah tunggu sampai tuannya
lepaskan dari gembala.... " jelasnya mengingatkan Saban Keme .
Saban Keme terdiam. Memang dia tidak bermaksud terlalu
gelojoh mahu melihat kijang buruan itu tersungkur ditembak. Dia hanya sekadar
mengingatkan kebiasaannya bila mengikut bapa mertuanya berburu, memang tidak
perlu menunggu lama setelah tersua denai yang dilalui binatang buruan
berkenaan. Binatang berkenaan akan berpatah balik semula ke belakang sebaik
sahaja telah tercium bau Pak Tua Mahat . Ia seolah - olah menyerahkan dirinya
sahaja kepada orang tua itu.
Sudah lebih setengah jam mereka bertiga menunggu di
dalam gelap malam itu, tetapi tidak ada tanda - tanda kijang yang diharapkan
itu akan menjengah di denai. Pak Tua Mahat
mengeluh perlahan setelah melekapkan telinganya ke tanah beberapa kali.
Kemudian dia pun bangun lalu memangkas beberapa anak - anak kayu sebesar ibu
jari dan dikerat - keratnya panjang sejengkal sebanyak 7 batang.
Anak kayu tersebut kemudian dibelahnya
had 3 suku sahaja lantas dicancangnya ke tanah dengan keadaan terkangkang. Dia
pun mengatur anak kayu tercancang itu berbaris lurus dengan jarak satu hasta
antara satu cancang dengan cancang yang lain. Saban Keme dan Ulung Sali hanya memerhatikan sahaja Pak
Tua Mahat menjentik - jentik ketujuh -
tujuh cancang kayu tersebut.
"Hah! Bersiap sekarang!!! "
kata Pak Tua Mahat perlahan tapi terus
juga menjentik jentik. Dia kelihatan tersenyum puas sambil menghela nafas panjang.
Di dalam kegelapan malam di tengah
hutan itu hanya bunyi ngiang - ngiang saja yang melangsing, disamping hembusan
angin sepoi - sepoi yang menderu memukul pucuk - pucuk kayu yang tinggi. Sekali
sekala dengkung katak juga bersahut - sahutan di bawah gaung selepas hujan
berhenti reda. Tetapi dengkung katak yang sayup - sayup di bawah gaung itu
tenggelam juga oleh kelangsingan bunyi ngiang - ngiang yang berbunyi di segenap
penjuru hutan itu.
" Siap Sali, Saban.... "
dalam kelangsingan ngiang - ngiang itulah Pak Tua Mahat berhenti menjentik kayu yang tercancang di
tanah. Dia mula meraba - raba senapangnya. Kemudian menghalakan muncung
senapang ke arah denai yang mereka temui tadi.
Hanya dalam beberapa minit sahaja,
mereka terdengar bunyi becak di denai bercepau - cepau di lalui binatang.
Mereka dapat mengagak tentu kijang yang ditunggu sudah terlangah - langah
datang setelah diseru oleh Pak Tua Mahat
melalui kayu tercancang yang dijentik - jentiknya itu. Kalau kijang
berkenaan bersembunyi di sebalik 7 bukit pun, pasti ia akan datang juga bila
sudah diseru oleh Pak Tua Mahat . Tidak ada seekor kijang pun yang akan dapat
bertahan kalau baunya sudah dapat dicium oleh orang tua itu.
Mereka bertiga nampak 2 biji mata
kehijau - hijauan mara dicelah - celah semak berdenai. Memang itulah mata
kijang yang mereka nanti - nantikan sejak lebih setengah jam tadi. Ketika Ulung
Sali dan Saban Keme masih lagi berdebar - debar dengan kemunculan
2 mata kehijau - hijauan itu, dentuman senapang Pak Tua Mahat pun menggegarkan kegelapan malam yang hanya
disulami bunyi ngiang - ngiang melangsing itu. Rengekan memanjang pun
kedengaran dicelah - celah semak sambil 2 biji mata kehijau - hijauan
terpelanting ke situ.
" Cepat tengok!!! " perintah
Pak Tua Mahat sambil berdiri tegak. Dia
merasa bangga kerana dapat melepaskan tembakan tepat mengenai sasarannya.
" Cepat..... " katanya lagi bagaikan mendesak.
Ulung Sali dan Saban Keme pun serentak melompat sambil memasang lampu
picit lalu menyuluh ke arah semak - semak yang terdengar bunyi rengekan
memanjang itu. Lampu suluh yang bersambung ubat 6 di tangan ulung sal iitu pun
terang benderang menyilau sebentuk punggung hitam yang tertongggeng di balik
semak itu.
" Bukan lar!!! " laung Ulung
Sali seakan - akan kecewa.
" Apa dia?? " laung Pak Tua
Mahat lalu cepat - cepat menerpa
mendapatkan Ulung Sali dan Saban Keme .
" Bukannya kijang tapi babi hutan
" keluh Ulung Sali yang masih
menyuluh ke arah tubuh ba.\bi hutan yang terkinjal - kinjal kaki di sebalik
semak itu.
Terdiam Pak Tua Mahat sebaik sahaja melihat tubuh babi hutan yang
tertonggeng di celah semak itu. Kaki babi hutan itu masih terkinjal - kinjal
lemah. Dia masih tidak mati sekali pun peluru senapang patah telah menyinggahi
tepat di sasarannya. Rengekannya yang terputus - putus itu menandakan nyawanya
masih bercerai dengan badannya.
Kemudian Pak Tua Mahat tersenyum sambil mengerling ke arah tubuh
babi hutan yang masih tergolek itu. " Emmm....kita kena perdaya lar, Sali
" ujarnya seolah - olah menyindir.
" Hah!! Kalau dia nak tunjuk
jantan, kita pun boleh tunjuk jantan juga " gerutu Ulung Sali pula sambil
menggertapkan bibir bagaikan bersedia menyambut cabaran dari sesiapa pun jua.
" Tak apa, kau tengokkan Saban
" beritahu Pak Tua Mahat yang
meminta Ulung Sali melindungkan menantunya dari gangguan yang sedang mengancam
mereka itu. Dia memang tahu Ulung Sali juga mampu bertindak. Tetapi biarlah
kebolehan Ulung Sali itu digunakan untuk melindungi Saban Keme yang tidak tahu apa - apa mengenai permainan
puaka hutan itu. Manalah tahu Saban Keme
pula yang akan menjadi sasaran sekiranya Ulung Sali tidak melindunginya.
" Kau tengokkan Saban.... "
ulang Pak Tua Mahat sambil membuka
ikatan kain hitam yang terikat di kepalanya. " biar aku tengok
permainannya " katanya sambil memegang kain hitam yang sepanjang 2 hasta
itu di tangan kirinya.
Ulung Sali mengangguk.
" Duduk di bawah kangkang aku, Saban
" kata Ulung Sali sambil menggamit Saban Keme .
Saban Keme tidak membantah. Dia terus duduk di bawah
kangkang Ulung Sali dengan tidak bercakap sepatah pun. Memang dia sudah menduga
ancaman tersebut, sebab itulah dia mematuhi apa sahaja yang disuruh oleh bapa
mertuanya atau pun Ulung Sali .
Saban Keme kemudiannya melihat bapa mertuanya berjalan
berhampiran semak di tempat tubuh babi hutan itu tergolek selepas ditembak.
Babi hutan yang ditembaknya itu masih belum mati kerana kakinya masih terkinjal
- kinjal menendang angin. Rengekannya juga masih kedengaran merintih - rintih
di dalam kelangsingan bunyi ngiang - ngiang dari segenap penjuru itu.
" Bangun kau!!! " bentak Pak
Tua Mahat sambil memukul punggung babi
hutan itu dengan kain hitam di tangan kirinya itu.
Tiba - tiba sahaja babi hutan itu
bergerak bangun daripada celah - celah semak itu. Tetapi sebaik sahaja
mengangkatkan kepala sambil memusingkan badan, kelihatan bukan tubuh babi hutan
yang tergolek tadi yang berdiri tegak. Sebaliknya Saban Keme nampak tubuh seorang lelaki tua yang bongkok
berlipat yang kelihatan tersengih - sengih sambil berpaut pada anak - anak
kayu. Dia menepis - nepis sampah sarap yang terlekat pada seluar dan bajunya
yang sepasang hitam itu.
" Hah!!! Tau pun kau nak
tunjukkan diri kau yang sebenarnya " ejek Pak Tua Mahat .
" Dah orang tak beri, kenapa tok pawang
degil juga hendak??? " sahut lelaki tua bongkok itu bersuara keras.
" Kenapa nak memandai - mandai
dengan aku!!! " jerkah Pak Tua Mahat lantas melompat tinggi menyepak dagu lelaki
tua itu. Sekali gus pula lelaki tua itu terpelanting jatuh ke atas tanah.
" Hak kita, kita punya suka
laa... " orang tua itu membentak marah sambil menyapu - nyapu dagunya
bekas disinggahi tapak kaki Pak Tua Mahat itu.
" Awak jangan berdalih!!!! "
tiba - tiba Ulung Sali pula mencelah. " tak ada siapa pun yang berhak di
hutan ini. Semuanya kepunyaan allah " katanya lagi lantas membacakan ayat
surah al ikhlas sebanyak 7 kali.
Tersengih - sengih sahaja lelaki tua
tubuh berlipat itu. " tak ada budi bahasa langsung kawan awak tu, tok
pawang ".
" Dengan setan apa gunanya budi
bahasa!!! " jerkah Ulung Sali keras. Dia terus membacakan ayatul kursi
sebanyak 33 kali sambil tidak bergerak dari tempatnya berdiri tegak.
Ketika ini lelaki tua itu menggigil
seperti pohon aur yang sedang ditiup angin kencang. Selepas itu dia bertempik
kuat lantas mahu menerkam ke arah Ulung Sali , tetapi cepat - cepat disiku
rusuknya oleh Pak Tua Mahat . Lelaki tua itu melayang ke udara dan berlegar -
legar mahu mengancam Pak Tua Mahat . Bagaimana pun dia tidak berani mahu
mendekati Pak Tua Mahat .
" Pencuri awak semua ni!! "
jerkah lelaki tua itu marah.
" Kau jembalang yang menjadi
pencuri " sahut Pak Tua Mahat lantas menghentakkan tapak kakinya ke tanah.
Sewaktu lelaki tua itu berlegar -
legar di udara, angin pun mula bertiup kencang. Hutan yang lengang di dalam
kegelapan malam itu bagaikan dilanda ribut dari segenap penjuru. Pokok - pokok
kayu pun meliuk - liuk menampan terjahan angin. Deru kencang angin tersebut
menenggelamkan bunyi ngiang - ngiang yang melangsing memanjang di bawah gaung
itu.
Hanya deru ribut kencang sahaja yang
kedengaran memukul pokok - pokok kayu di situ, Saban Keme gementar juga sekiranya pokok - pokok besar
itu tumbang jongkang kalang menimpa mereka. Dia tahu angin ribut yang muncul
secara mendadak itu memang berpunca dari puaka hutan yang sedang mengganggu
mereka itu. Apa lagi kemarahannya semakin memuncak apabila Ulung Sali pula
mencabarnya dengan membacakan ayat - ayat al quran.
Di dalam ribut kencang itu, Ulung Sali
berdiri dengan tidak bergerak - gerak. Matanya terpejam tapi hanya mulutnya
sahaja yang terkumat - kamit. Tetapi ribut itu tidak juga reda dengan memukul
pokok - pokok kayu besar hingga meliuk - liuk.
Melihatkan
ribut itu tidak juga berhenti, lantas Ulung Sali pun melaungkan azan beralun -
alun di dalam tengah kegelapan malam itu. Gema suaranya yang lantang itu
menyebabkan ribut itu mulai reda secara perlahan - lahan. Melihatkan ribut
mulai berhenti, Pak Tua Mahat pun
membongkok lalu menggengam sekepal tanah. Diramas - ramasnya tanah tersebut,
kemudian ditiupkan ke arah lelaki tua yang berlegar - legar di awangan itu.
Sekaligus
pula lelaki tua itu jatuh berdebap ke tanah. Punggungnya terhenyak menyebabkan
dia menggeliat - geliat kesakitan.
"
Balikkan semula kijang aku!!! " bentak Pak Tua Mahat .
"
Mana ada kijang " sahut lelaki tua itu sambil tersengih - sengih. "
Yang kau tembak tadi babi hutan " katanya semacam mengejek Pak Tua Mahat .
"
Kau takkan menang! " kata Pak Tua Mahat seakan memberi amaran. " Kalau kau nak
tunjuk keras kepala, cepatlah!!!! " bentak Pak Tua Mahat lagi keras mencabar lelaki tua bongkok
berlipat itu.
Dengan
tidak disangka - sangka, lelaki tua itu menerkam ke arah Pak Tua Mahat .
Secepat kilat pula Pak Tua Mahat
mengelak hingga lelaki tua itu terbabas.
"
Jaga Saban tu, Sali....dia niat salah nampaknya ni. Jaga jangan geruhnya
berpindah pada Saban... " Pak Tua Mahat mengingatkan Ulung Sali supaya bertahan sahaja
di situ.
Kemudian
Pak Tua Mahat membawa lelaki tua itu ke
bawah pokok tempat mereka menunggu denai sebelumnya tadi. Beberapa kali lelaki
tua itu cuba menerkam ke arah Pak Tua Mahat tetapi dengan mudah sahaja Pak Tua Mahat mengelaknya.
Hinggalah
suatu ketika lelaki tua itu menerkam dari arah atas lalu tersembam pada pokok
kayu tersebut. Saban Keme nampak tangan
lelaki tua itu terlekat pada pokok berkenaan dan tidak dapat melepaskan
cengkamannya yang tertusuk pada pokok tersebut. Sekaligus pula Pak Tua
Mahat mencabutkan semula anak kayu yang
dicancangnya ke tanah tadi, lalu ditaupkan semula kangkangnya.
"
Aku dah cakap, kau takkan menang! " ujar Pak Tua Mahat seakan menyindir sambil memerhatikan sahaja
lelaki tua itu terkial - kial akibat cengkamannya melekat pada pokok kayu besar
itu.
Selepas
itu dia memancangkan semula anak - anak kayu tersebut disekeliling semak tempat
babi hutan yang terbaring selepas ditembak tadi. Kesan - kesan darah masih
berbekas pada daun - daun kayu di sekitar semak.
Pak
Tua Mahat lalu mengambil kain hitam
lilit kepalanya dan dikibaskan sampai 7 kali di kawasan yang dipancangnya anak
kayu itu. Barulah nampak pada Saban Keme
di sebalik semak itu berubah sedikit demi sedikit punggung binatang yang
tertonggeng itu dari hitam kepada perang kemerahan.
"
Cukuplah tu, Sali " Pak Tua Mahat berpaling lalu menggamit Ulung Sali . " Sembelihlah
binatang ni " katanya sambil menghunus parang lalu dihulurkan kepada Ulung
Sali .
Cepat
- cepat Ulung Sali menerpa bersama Saban Keme . Ternyatalah kijang yang
terbaring disebalik semak, masih menggeletek - geletek menahan kesakitan.
Setelah siap disembelih, Pak Tua Mahat
terus mengajak Ulung Sali dan Saban Keme balik.
Teringin
juga Saban Keme mahu menyuluh ke arah
pokok kayu tempat lelaki tua tadi terlekat, tetapi dia merasa takut pula.
Tetapi dari dalam kegelapan itu dia tidak nampak apa - apa pun pada pokok
tersebut, selain daripada kehitaman yang menyeramkan pandangannya. Pak Tua
Mahat pula tidak berkata apa - apa
selepas peristiwa itu sampailah balik ke rumah Ulung Sali .
Selesai.
No comments:
Post a Comment