SAWAH kering terbentang selepas sahaja
penduduk-penduduk kampung habis menuai. Siang hari anak-anak muda berlari di
tengah sawah bermain layang-layang sambil mendongak ke awan memerhati layang-layang
terapung di udara. Hanya di tengah sawah itulah anak-anak muda kampung bermain
menghulurkan tali layang sambil mendengarkan dengungnya yang merdu
mengiang-ngiang di udara.
Tetapi malamnya tatkala kegelapan menyelubungi
kampung kecil di Pelangai itu, Pak Tua Mahat meranduk tunggul-tunggul padi
kering di tengah sawah bersama menantunya Saban Keme mencari kawasan lapang
tidak berlindung apa. Dia mengeluarkan buluh mendekut dari saku seluarnya
lantas berdiri mendongak ke awan menghadap matahari naik.
"Duduk, Saban" perintahnya menyuruh
menantunya mencangkung. Saban Keme tidak membantah.
Dia mencangkung sambil meletakkan tangguk ke tanah.
Bila burung wak-wak datang menyerbu berkelompok-kelompok dia akan menyerkup
dengan tangguk tersebut. Kemudian akan sumbatkan ke dalam buntil yang terikat
di pinggangnya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak akan mengajak sesiapa
kalau mahu mendekut burung wak-wak.
"Kau tunggu di sini" ujar Pak Tua Mahat
lantas mara ke hadapan meninggalkan menantunya kira-kira serantai jaraknya.
Saban Keme mengangguk. Dia memerhatikan mertuanya
berjalan di dalam gelap, kemudian hilang berbalam-balam di kejauhan. Dari jarak
serantai darinya itulah Saban Keme mendengar mertuanya meniup buluh
mendekut-dekut melangsing di tengah sawah yang lengang di gelap malam itu.
Dia tidak akan bangun menangguk burung wak-wak yang
menyerbu selagi tidak diberi perintah oleh mertuanya. Saban Keme hanya menunggu
sahaja burung wak-wak yang berterjunan dari awan menerpa ke tengah sawah,
kemudian berjalan terlangah-langah mengejar bunyi dekut buluh yang ditiup Pak
Tua Mahat. Kadangkala ada burung wak-wak yang hinggap di atas kepalanya, tetapi
Saban Keme tidak akan menghiraukannya selagi Pak Tua Mahat tidak memberi
perintah menangkapnya. Ketika Pak Tua Mahat mendekut-dekut jauh dari Saban Keme
inilah, dia ternampak satu lembaga berlari-lari dari arah tebing menyeberang ke
sawah dari arah kampung. Sekalipun malam gelap tetapi di kawasan sawah luas
terbentang itu, dia masih dapat melihat orang berlari-lari di dalam
samar-samar.
"Siapa tu, Saban?" laung Pak Tua Mahat
memberhentikan meniup buluh mendekut.
Dia nampak lembaga itu terlangah-langah kemudian
merendap mencangkung berhampiran dengan Saban Keme.
"Jonoh...!" beritahu Saban Keme sebaik
sahaja adik iparnya tercangkung di belakang dia.
"Apa halnya Jonoh?" soal Pak Tua Mahat.
"Tak ada..." sahut Jonoh tersengih-sengih
di dalam gelap itu.
Pak Tua Mahat menghela nafas. Memang anaknya Jonoh
itu nakal. Dia tidak peduli sama ada ditegah atau pun tidak. Kalau hatinya
berkeras mahu mengikut, tengah gelap pun Jonoh sanggup meranduk mendapatkan
ayahnya. Ketika Pak Tua Mahat mengajak Saban Keme mendekut sebelumnya memang
Jonoh tidak tahu. Tetapi setelah diberitahu oleh kakaknya Saban Keme pergi
mendekut bersama ayahnya ke tengah sawah, lantas Jonoh mengikutnya. Apa lagi
dia sendiri dapat mendengar bunyi buluh mendekut itu langsing sampai ke tengah
kampung.
"Emm, Jonoh..Jonoh..." keluh Pak Tua Mahat
meniup semula buluh mendekutnya.
Kira-kira 15 minit dia meniupnya, Pak Tua Mahat
terdengar bunyi ribut kencang di udara. Awan juga kelihatan bertompok-tompok
bersama deru ribut yang hitam di angkasa. Tersenyum Pak Tua Mahat kerana burung
wak-wak yang didekutnya sudah datang menyerbu ke situ. Dia segera mendapatkan
menantunya Saban Keme dan anaknya Jonoh menunggu.
"Buat apa kau ke mari...?" rungutnya
memarahi Jonoh. Kemudian dia cepat-cepat mencangkung supaya memudahkan Saban
Keme menangguk apabila burung wak-wak berkenaan menuju ke arahnya.
Jonoh tidak menyahut. Dia hanya tersengih-sengih
sahaja walaupun ayahnya melarang dia mengikuti berburu ke hutan atau mendekut
burung wak-wak, tetapi Jonoh tetap berdegil mahu mengikutnya. Sekali-sekala dia
dapat mengikut mendekut burung, hatinya terasa seronok melihat burung-burung berkenaan
terperangkap di dalam tangguk. Kadangkala dia sendiri merampas tangguk dari
tangan abang iparnya menangguk
burung-burung yang terlangah-langah datang mengikut bunyi buluh dekut-dekut
yang ditiup.
Tompok-tompok hitam di angkasa tiba-tiba sahaja hilang
bersama ribut kencang di udara. Pak Tua Mahat tahu burung wak-wak yang datang
bersama deru ribut kencang itu sudah melencong jauh hingga tidak turun di
kawasan tersebut. Dia kembali meniup buluh dekut-dekutnya bagi memerangkap
semula burung wak-wak berkenaan supaya turun di kawasan lapang di tengah sawah.
Kalau burung-burung berkenaan tersangkut di rumpun aur atau pohon rembia di
pinggir sawah, mereka tidak akan turun ke tanah.
"Kau tunggu di sini..." Pak Tua Mahat
mendongak ke langit memerhati tompok-tompok hitam yang sudah bertukar menjadi
awan lebam tidak mengandungi apa-apa.
"Jonoh pegang lampu picit, kalau benda tu
samapai kau tangguk dia Saban" katanya lantas berjalan naik ke atas busut
tidak jauh dari Saban Keme mencangkung.
Saban Keme menghulurkan lampu picit kepada adik
iparnya.
"Kau suluh kalau terdengar dia datang..."
pesannya menyerahkan lampu picit tersebut kepada Jonoh.
Jonoh mengangguk sambil mencapai lampu picit dari
tangan Saban Keme. Dia berhati-hati mendengar bunyi langkah burung-burung
tersebut datang terlangah-langah mendengar bunyi buluh dekut-dekut ditiup
ayahnya. Puas Pak Tua Mahat meniup dari atas busut tetapi tidak seekor pun
burung wak-wak terjongol di depannya. Dia merasa burung wak-wak yang datang
bersama tompok-tompok hitam di udara tadi sudah hilang ditiup ribut kencang.
Marah juga Pak Tua Mahat tiba-tiba sahaja dia gagal mendekut burung-burung
tersebut, padahal selama ini dia tidak pernah hampa kalau mendekut di tengah
sawah. Kawasan lapang terbuka itu masakan burung-burung berkenaan boleh
tersangkut di dahan pokok-pokok.
"Saban..." laungnya dari tengah gelap
samar-samar itu.
"Jonoh..kau berdua tunggu tunggu di
parit..." katanya menyuruh mereka berdua meninggalkan tempat awal menunggu
sebelumnya.
Cepat-cepat Saban Keme bersama adik iparnya berlari
ke parit tali air yang melintasi di tengah kawasan sawah.
"Mencangkung!" ujarnya keras sebaik
ternampak berbayang-bayang Saban Keme dan Jonoh tercegat di situ macam tunggul
tercancang. Cepat-cepat pula mereka berdua mencangkung.
Dari jauh mereka berdua melihat Pak Tua Mahat
berlari-lari anak mengelilingi kawasan mereka duduk tercangkung kira-kira jarak
dua rantai berkeliling. Tiga kali Pak Tua Mahat lari berkeliling sebelum naik
ke atas busut dia berdiri sebelumnya. Kemudian dia mendongak semula ke langit
lantas meniup buluh dekut-dekutnya, tetapi tidaklah melangsing seperti biasa.
Dia meniup pun hanya tiga kali sahaja. Kira-kira lima minit sahaja selepas itu
terdengarlah semula ribut kencang seperti tadi, dan awan juga bertompok-tompok
hitam. Jauh di udara terdengar bunyi orang batuk hingga bergaung kedengaran
sampai ke tengah sawah. Cepat-cepat pula Jonoh menyuluh ke udara ke arah awan
hitam bertompok-tompok.
"Jangan disuluh, jadah!" pekik Pak Tua
Mahat marah dari atas busut di tengah sawah.
Sekaligus Saban Keme merampas lampu picit dari
tangan adik iparnya.
"Kau gila..." gerutunya memarahi
Jonoh."Tak boleh disuluh ke atas!" katanya menggertap bibir setelah
memahami pekikan mertuanya tadi menandakan ada pantang larang yang sudah
dilanggar.
Jonoh tidak menyahut apa-apa. Dia menyedari akan
kesilapannya tidak bertanya terlebih dulu kepada abang iparnya apabila menyuluh
bunyi batuk bergaung di udara. Dia sendiri tidak pernah mengalami keadaan
demikian sebelumnya. Setahu Jonoh selepas sahaja ayahnya meniup dekut, burung
wak-wak akan berterjunan turun dari udara mengejar lampu yang disuluhkan.
Kemudian Saban Keme akan menangguknya denagn mudah.
"Siapa
menyuluh tadi tu...?" bentak Pak Tua Mahat menahan marah yang membakar
perasaannya.
"Jonoh" beritahu Saban Keme.
"Kenapa
kau biarkan?" soalnya keras. Saban Keme terdiam.
Dia sendiri serba salah bila disoal demikian.
Bagaimana dia mahu melarang sedangkan lampu picit berkenaan berada di tangan
Jonoh? Tetapi dia dapat mengagak tentulah bapa mertuanya dalam kesulitan
menyebabkan dia tidak dapat menahan marahnya. Kesal juga dia dengan kehadiran
Jonoh secara tiba-tiba di situ, walaupun dia sudah berpesan pada isterinya
jangan diberitahu sesiapapun fasal dia mendekut burung bersama mertuanya.
"Jangan
berdiri!" dia mendengar mertuanya
melaung memberi perintah.
Ketika ini deru angin seperti ribut kencang di udara
terasa turun ke tengah sawah. Saban Keme dapat merasakan angin kencang itu
bertiup paras kepalanya begitu deras. Kegelapan malam bertambah gelap
segelap-gelapnya semasa angin kencang itu bertiup rendah.
"Bang, aku rasa wak-wak dah turun" bisik
Jonoh lantas berdiri menepis burung wak-wak yang terasa hinggap di bahunya.
Serentak dengan itu Saban Keme mendengar jeritan
langsing Jonoh akibat kesakitan. Apabila dia menoleh ke belakang dilihatnya
Jonoh terbaring menggelupur di tanah.
"Ayah..Jonoh ni kenapa..?" laung Saban
Keme menggamit mertuanya di dalam gelap samar-samar itu. Hatinya cemas melihat
Jonoh menggelupur bagaikan ayam kena sembelih. Pak Tua Mahat berkejar
mendapatkan anaknya yang terbaring di tanah. Dia mencapai lampu di tangan Saban
Keme menyuluh ke muka Jonoh. Anaknya mengerang-ngerang dengan kaki
terkinjal-kinjal menendang angin. Tangannya mengerekot-ngerekot laksana mahu
mencakar ke udara.
"Huh, buat apa Jonoh ni ikut tadi" rungut
Pak Tua Mahat kesal memerhati Jonoh terkinjal-kinjal kaki menendang angin.
"Agaknya Bibah yang beritahu kita ke sini"
sahut Saban Keme menuduh isterinya yang memberitahu Jonoh fasal mereka ke
tengah sawah mendekut burung wak-wak.
Anak muda nakal seperti Jonoh memang tidak peduli
sama ada orang memarahi dia atau tidak. Jonoh tahu ayahnya melarang dia
mengikut berburu, tetapi tidak akan marah kalau sudah terjongol bersama-sama.
"Dah jadi macam ni, bukan ke susah"
katanya lantas memangku kepala Jonoh di atas paha.
Saban Keme tertunduk memerhati mertuanya
mengurut-ngurut kepala Jonoh dengan ibu jari. Kemudian dia menghembus ubun-ubun
anaknya tiga kali.
"Pangku kepala adik kau ni..." dia
menyuruh
Saban Keme menggantikan dia. Cepat-cepat Saban Keme
memangku kepala Jonoh. Dia sendiri tidak pernah mengalami lagi kejadian
demikian sebelumnya. Setiap kali dia megikut mertuanya mendekut wak-wak, tidak
pula diganggu puaka yang mengembala
burung-burung berkenaan. Tetapi memang mertuanya selalu mengingatkan dia supaya
berhati-hati semasa mengikutnya mendekut supaya tidak diganggu puaka tersebut.
Pak Tua Mahat berjalan undur ke belakang
mengelilingi Jonoh sambil meletakkan dua tangan ke dada.
"Wah..malam ni awak nak cari geruh kawan
ke..." ujar Pak Tua Mahat mengisar-ngisar tapak tangannya.
Bila melintas di hulu kepala Jonoh dia menghentakkan
tumitnya ke tanah tiga kali, kemudian terus berjalan lagi undur ke belakang.
Ketika melintas di lunjur kaki Jonoh dia menekankan ibu jari kaki kanannya pula
ke tanah. Dia berkeliling di sekitar Jonoh terbaring sambil mulutnya
kumat-kamit di dalam gelap samar-samar itu. Setelah tiga kali dia berkeliling
undur ke belakang, Pak Tua Mahat berpusing pula sambil berlari-lari anak
mengelilingi tubuh Jonoh yang terbaring dipangku oleh Saban Keme. Kemudian dia
melangkah di bahagian pusat Jonoh tiga kali berulang-alik. Ketika inilah Jonoh
terbersin kuat hingga kedengaran oleh Saban Keme bergema ke udara. Awan hitam
bertompok-tompok juga bergerak perlahan bagaikan daun pintu terkuak. Dari
rekahan awan hitam bertompok itu kabus putih memanjang turun mencecah hingga
tertampan pada busut tempat Pak Tua Mahat berdiri meniup buluh mendekut.
Dalam kepulan kabus putih itulah keluar lembaga
berkepala botak berbentuk seperti manusia bertubuh kurus tinggi berdiri
membongkok.
"Sekarang apa awak hendak?" jerkah Pak Tua
Mahat sebaik sahaja lembaga itu menjelma di tengah sawah.
"Awak nak menceroboh gembala kawan
nampaknya" sahut lembaga itu serak-serak parau.
"Kawan tak peduli, kalau awak niat baik kawan
terima baik!" ujar Pak Tua Mahat berdiri tegak menghentak-hentak tumitnya
ke tanah.
"Kalau awak sengaja nak cari geruh kawan, kita
berjenang dulu...!" katanya macam memberi amaran tidak akan mengalah
dengan kemahuan lembaga tersebut.
"Awak
yang salah tok pawang" lembaga itu terketar-ketar bagaikan kakinya goyah
berjejak di bumi.
"Kawan bukan nak dengar siapa salah!"
bentak Pak Tua Mahat merapatkan dua tangannya ke dada. "Kawan nak tau
awak, nak cari geruh kawan ke tidak?" soalnya menggertap bibir.
Lembaga berkepala botak itu terhuyung-hayang di atas
busut di dalam kepulan asap putih. Dia semakin membongkok seolah-olah memikul
beban berat di belakangnya. Pak Tua Mahat berdiri tegak tidak bergerak dengan
dua tangan rapat ke dada. Mulutnya kumat-kamit juga sambil matanya merenung
tepat ke arah lembaga berkepala botak yang semakin membongkok.
"Jawab!" pekik Pak Tua Mahat menghentak
tumitnya ke tanah menyebabkan lembaga itu jatuh bertelugu lutut.
"Awak nak cari geruh kawan ke, atau nak
menguji?" ujarnya membentak marah.
Termengah-mengah lembaga berkepala botak itu mahu menegakkan
kepalanya, tetapi beban di belakangnya seolah-olah menyeksa dia. Lututnya
bertumpu kuat di atas busut menanggung beban yang terlalu berat terpikul di
belakangnya itu. Sekali-sekala dia cuba melepaskan beban tersebut, tetapi tidak
berdaya melakukan apa-apa lagi.
Setelah puas lembaga berkepala botak itu mahu
melepaskan diri dari beban yang menimpa belakangnya, dia memusarkan dirinya
menjadi angin berputar kuat hingga elusannya terasa memukul anak-anak rambut
Saban Keme. Sekaligus pula dia naik semula ke udara masuk ke celah rekahan awan
bertompok yang berkuak seperti pintu terbuka. Kemudian dari arah hulu Saban
Keme nampak memutih dari jauh bagaikan sekawan lembu menyerbu ke arah mereka.
"Kau jangan bergerak di situ Saban, pangku adik
kau tu!" ujar Pak Tua Mahat mengingatkan menantunya.
Saban Keme mengangguk. Dia mematuhi apa sahaja
perintah mertuanya. Memang Saban Keme tahu mertuanya tidak semudah itu mengalah
kepada gangguan-gangguan dari puaka tatkala berburu. Sudah berkali-kali
mertuanya diganggu demikian, semuanya dilaluinya dengan tabah. Ketabahan inilah
yang berjaya melepaskan dirinya dari perangkap yang boleh mengancam. Bukan
sekadar mendekut wak-wak sahaja sudah dihadapi oleh mertuanya dengan tabah,
malah ketika berburu ke hutan memburu rusa pun Pak Tua Mahat diganggu. Sampai
rusa yang sudah terbungkang ditembak pun tiba-tiba bertukar menjadi cina tua
berpakaian serba hitam tergolek di tanah. Setelah dikebas dengan kain hitam
lilit kepalanya, cina tua itu bertukar perlahan-lahan menjadi rusa, tetapi
bulunya tegak seperti berus dawai dengan mengeluarkan darah.
Puas pula dia memulihkan semula gangguan puaka itu
sehingga rusa sebenarnya kembali menjelma. Barulah binatang tersebut dapat
disembelih. Pak Tua Mahat juga tidak mengalah bila rakannya pergi berburu
tertembak di tengah hutan. Dia terus melawan puaka hutan dengan tabah sehingga
rakannya dapat dipulihkan semula. Sebab itulah Saban Keme yakin mertuanya tidak
gentar menghadapi dugaan yang sedang mengancamnya sekarang.
Dia juga mesti tabah menghadapinya. Kalau dia
gementar mungkin puaka itu boleh mengalihkan gangguannya dari Jonoh kepada dia
pula. Tentulah mertuanya semakin terancam kalau puaka itu mengganggu dia pula.
Ketika ini Saban Keme teringatkan pesan saya agar membacakan Ayat Kursi bila-bila
sahaja diancam syaitan. Pesanan saya inilah digunakan oleh Saban Keme, lantas
dia membacakan Ayat Kursi itu dengan khusyuk berulang kali sampai 133 kali.
Ketika ini dia merasakan hujan turun menitik kasar, tetapi tidaklah lebat
mencurah-curah. Boleh dikatakan seperti hujan panas sahaja menyerak-nyerak.
Sekumpulan lembu putih yang menyerbu dari sebelah
hulu itu tidak dapat mendekati kawasan Saban Keme bertahan, tetapi
berlegar-legar seolah-olah terhalang oleh tembok besar. Debu dari kaki kumpulan
lembu yang banyak itu nampak naik meruap ke atas laksana kabus memutih.
Sekaligus pula Saban Keme nampak mertuanya sudah melompat ke atas salah seekor
dari kawanan lembu putih itu sambil bertunggang mengelilingi dia dan Jonoh.
Sekali-sekala terdengar suara mertuanya
bersorak-sorai bagaikan menghalau lembu. Kira-kira 15 minit dia menunggang
lembu putih itu, tiba-tiba dia terpelanting ke tanah. Masa inilah awan hitam
bertompok terkuak semula seperti daun pintu terbuka. Kabus memutih keluar dari
awan hitam terkuak itu terjun laju menuju ke arah mertuanya terpelanting. Belum
pun sempat kabus putih menjunam itu menimpa ke arahnya, Saban Keme nampak
mertuanya cepat-cepat bangun di tengah silauan putih memancar. Dia nampak
tangan Pak Tua Mahat terlalu besar memukul kabus putih itu sampai berkecai
habis. Dengan pantas pula Pak Tua Mahat menggenggam kabus putih yang berkecai
itu di dalam tangannya lantas bertempik,
"Kau nak tunjuk keras kepala dengan aku
ye?".
"Awak menceroboh gembala kawan tok
pawang," rintih suara serak-serak parau yang tergenggam di tapak tangannya
yang besar seperti sebuah rumah tersergam.
Saban Keme sendiri tidak nampak di mana mertuanya
berdiri ketika itu kerana kegelapan malam melindunginya. Dia hanya melihat
genggaman tangan mertuanya yang dilingkari oleh silauan cahaya putih memancar.
"Aku tak menceroboh...!" bentak Pak Tua
Mahat.
"Aku dah minta izin, tapi telinga kau
tuli" cepat-cepat tangannya memial telinga lembaga berkepala botak yang
sudah digenggamnya. Terlolong-lolong lembaga berkepala botak itu menahan
kesakitan akibat telinganya dipial.
"Ini Mahat kau tau, jangan main-mainkan
Mahat..!" jerkahnya semakin marah. "
tok pawang, ampunkan kawan" rintih suara
serak-serak parau itu meminta dilepaskan.
"Bukan sekali dua kau dah tunjuk kurang ajar
dengan Mahat!" kata Pak Tua Mahat keras.
"Ampun tok pawang, lain kali kawan tak buat
lagi" lembaga berkepala botak itu merayu-rayu. Tetapi Pak Tua Mahat tidak
juga melepaskan dia dari genggamannya.
"Apa kau
buat dengan Jonoh?" bentak Pak Tua Mahat menampar kepala botak lembaga
berkenaan.
"Bukan kawan yang buat tok pawang..."
ujarnya terketar-ketar sambil meronta-ronta dari genggaman tangan Pak Tua Mahat
sebesar sebuah rumah tersergam. Puas Saban Keme memerhati tubuh mertuanya,
tetapi tidak kelihatan di mana.
"Siapa
yang buat?" soal Pak Tua Mahat.
"Itu
kerja orang bukit yang tersesat" beritahu lembaga itu ketakutan.
"Jangan kau nak berdalih!" Pak Tua Mahat
menguatkan genggamannya menyebabkan lembaga berkepala botak itu
termengah-mengah menahan sesak nafas.
"Celaka orang bukit tu, kerja dia..kawan pula
yang sudah" keluhnya menyesali kejadian yang mengelirukan itu.
Tetapi Pak Tua Mahat tahu orang bukit yang
dimaksudkan oleh lembaga botak itu ialah puaka hutan yang datang bersama
lembaga berkepala botak itu. Disebabkan puaka hutan itulah lembaga berkepala
botak yang mengembala burung wak-wak yang didekut oleh Pak Tua Mahat terkeliru
hingga bertindak mengancam Pak Tua Mahat.
"Sekarang, kau mensti lepaskan Jonoh..!"
perintah Pak Tua Mahat mengencam.
Lembaga berkepala botak itu berjanji akan melepaskan
Jonoh. Perlahan-lahan Pak Tua Mahat melepaskan dia dari genggaman. Pak Tua
Mahat juga hilang dari silauan cahaya putih memancar itu, hanya tinggal
berbayang samar-samar di dalam gelap malam. Ketika ini kabus putih memanjang
tadi naik semula menyusup ke celah rekahan tompok-tompok awan hitam di udara.
Serentak dengan itu kedengaran semula bunyi tapak
kaki sekawan lembu berlari kencang menyerbu ke arah Saban Keme bertahan. Lembu
putih itu berombak-ombak datang dari sebelah hulu. Belum pun sempat kawanan
lembu putih itu menyerbu hujan kasar turun dari tompok-tompok awan hitam
menimpa kawanan lembu-lembu putih tersebut. Asap berkepul-kepul naik
tergawang-gawang sebaik sahaja hujan kasar seperti air panas menimpa kawanan
lembu yang datang menyerbu itu, menyebabkan semua kawanan lembu putih
bertempiaran menyelamatkan diri.
Kemudian sayup di udara kedengaran bunyi batuk
berdeguh-deguh berulang kali. Awan hitam bertompok-tompok itu bergerak perlahan
bertukar menjadi bulat seperti lekar. Deru angin kencang kedengaran bertiup
dari sebelah atas hingga seram sejuk juga kepada Saban Keme. Dia memerhati
keliling tetapi tidak kelihatan lagi mertuanya. Jonoh juga masih terlentang di pangkuannya
walaupun tidak terkinjal-kinjal menendang angin seperti mula-mula tadi.
Lembu-lembu putih yang berlari bertempiaran tadi datang semula menyerbu dari
arah yang sama. Saban Keme dapat mengagak sekiranya lembu-lembu putih itu
merempuh sudah tentu dia dan Jonoh remuk di bawah kakinya.
Sebab itu Saban Keme tidak berhenti membacakan Ayat
Kursi berulang kali seperti yang pernah saya pesankan kepadanya. Sayup di udara
Saban Keme mendengar suara garau menghalau lembu-lembu dari celah lingkaran
awan hitam. Tetapi lembu-lembu putih itu kelihatan bertambah banyak
berombak-ombak datang mahu menyerbu. Saban Keme menunggu dengan tabah serbuan
lembu-lembu putih yang datang menyerbu berombak-ombak itu. Mujurlah dia dapat
melihat bagaimana lembu-lembu putih itu datang beratus-ratus ekor dari sebelah
hulu. Tidak seperti Manan Sateh yang pernah mengalami keadaan serupa semasa
dirempuh oleh kabus putih yang menyerbu laju dibawa ribut kencang tatkala
mendekut wak-wak di Simpang Durian.
Kawannya Mat Samah sudah pun mengingatkan Manan
Sateh supaya tidak terlalu tamak setelah mereka berjaya mendapat dua karung
burung wak-wak yang didekut. Tetapi Manan Sateh tidak hiraukan nasihat Mat
Samah. Dia masih belum berpuas hati kerana melihatkan burung wak-wak masih
banyak berlompatan turun ke tengah padang terlangah-langah mengejar silauan
lampu yang disuluh oleh Mat Samah.
Manan Sateh terus menegakkan jaring pula supaya
memudahkan dia memungut burung-burung yang tersangkut pada jaring. Belum pernah
lagi dia dapat melihat terlalu banyak burung-burung berkenaan datang menyerbu
bila didekut. Malam itu Manan Sateh dan Mat Samah melihat sendiri burung-burung
wak-wak berlompatan dari udara terjun ke
tengah padang. Puas Mat Samah menangguk hingga penuh dua karung pun, masih ada
lagi burung wak-wak berlompatan turun.
Sebab itulah Manan Sateh memasang jaring yang
disediakan kalau burung-burung banyak datang menyerbu. Berkali-kali Mat Samah
mengingatkan dia supaya tidak payah lagi memasang jaring. Tetapi Manan Sateh
tidak tergamak balik segera meninggalkan rezeki sedang datang bergolek. Dia
mesti memungut burung wak-wak yang sudah terlalu banyak menyerah diri setelah
didekut itu.
Sebaik sahaja jaring direntang inilah Mat Samah
nampak kabus putih seperti bukit meluru menerpa jaring dari udara ditiup ribut
kencang. Sekaligus Manan Sateh terperangkap di dalam kabus putih itu
menyebabkan dia bergulung di dalam jaringnya sendiri. Setelah kabus putih itu
menghilang bersama ribut kencang, Mat Samah segera menerpa mendapatkan Manan
Sateh yang sudah terkapar tidak sedarkan diri. Mulut dan hidung Manan Sateh
berbuih dengan darah. Matanya terbeliak dengan kakinya terkinjal-kinjal
menggelupur.
Dengan tidak menghiraukan burung wak-wak yang sudah
penuh dua karung, Mat Samah memapah Manan Sateh balik. Hampir tiga bulan Manan
Sateh menderita sakit hinggakan luruh rambutnya di kepala. Setelah dijemput Pak
Tua Mahat di Mentaus, barulah Manan Sateh dapat dipulihkan semula.
Ketika ini memang Saban Keme dapat mengagak bahawa
lembu-lembu putih yang menyerbu ke arahnya itu sama dengan kabus putih yang
merempuh jaring Manan Sateh. Dengan tidak bertangguh lagi Saban Keme terus
melaungkan azan sekuat hatinya hingga bergema sampai ke udara. Gema azannya itu
seolah-olah menggegarkan di kawasan lembu-lembu putih itu berlari kencang,
menyebabkan semua lembu-lembu itu bagaikan tertumus ke tanah. Mereka jatuh
bertimpa-timpa sama sendiri akibat tertumus keras semasa menyerbu datang.
Semasa dia berpaling ke hulu, Saban Keme nampak dua
tapak kaki seperti bukit memijak lembu-lembu itu hingga penyek. Dia tidak
melihat lembaga kaki tersebut, tetapi hanya terbayang-bayang dari silauan
cahaya putih memancar. Setiap kali tapak kaki itu memijak, bunyi lenguhan
lembu-lembu berbaur-baur hingga sampai ke udara. Sekaligus pula lingkaran awan hitam bergerak perlahan-lahan di udara
lantas menurunkan hujan gerimis. Dalam hujan gerimis yang turun menyimbah
membasahi kepala Saban Keme inilah, Jonoh mula menggeliat-geliat menyapu
mukanya.
"Eh, hujan ke, bang?" soal Jonoh bingkas
bangun terpinga-pinga.
"Emm, hujan" beritahu Saban Keme perlahan.
"Mana ayah?" Jonoh bangun berdiri
memerhatikan sekelilingnya.
"Eh, mana wak-wak, tak ada ke kita dapat?"
dia tidak tahu apa yang terjadi ke atas dirinya sejak dua jam sebelumnya. Saban
Keme tidak menyahut. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan kepada Jonoh apa
yang telah dilihatnya. Mungkin Jonoh sendiri tidak percaya dia tidak sedarkan
diri hampir dua jam di tengah sawah dalam kegelapan malam itu.
"Mana ayah, bang?" ulangi Jonoh lagi.
Saban Keme memuncungkan bibirnya ke busut tempat
mertuanya berdiri. Tetapi tidak siapa pun dilihat berdiri di situ. Bayangan
mertuanya pun tidak kelihatan langsung. Berdebar juga hati Saban Keme setelah
mendapati mertuanya tidak juga muncul. Kalau dia mengajak Jonoh balik
meninggalkan kawasan itu, bimbang juga dia akan dimarahi mertuanya. Sejak tadi
lagi dia sudah diperintah menjaga Jonoh di situ. Masakan mertuanya sudah balik
lebih awal dengan tidak mempedulikan keadaan Jonoh yang tidak sedarkan diri.
Dia percaya tentu mertuanya akan datang juga ke
situ. Tentu mertuanya tidak tahu fasal Jonoh sudah pulih semula. Hujan gerimis
turun semakin kasar. Saban Keme terasa bajunya juga sudah basah disimbah hujan.
"Hei, bang marilah kita balik..hujan lebat
ni" kata Jonoh menarik tangannya.
"Nantilah dulu, ayah suruh tunggu di sini"
ujarnya perlahan.
"Mana ayah?" Jonoh tidak sabar mendesak.
"Tunggulah kejap" Saban Keme mengingatkan.
Dia terhangak-hangak juga memanjangkan leher mencari
mertuanya di dalam gelap malam yang mula kelam oleh hujan gerimis menitik
kasar.
"Apa jadi pada aku, bang...?" tiba-tiba
Jonoh bertanya setelah menyedari dia masih berada di tengah sawah di dalam
gelap demikian.
"Balik nantilah aku ceritakan" sahut Saban
Keme terlangah-langah mencari mertuanya Pak Tua Mahat. Dia tetap menunggu di
situ sekalipun hujan turun semakin lebat mencurah-curah. Mertuanya sudah
menyuruh dia bertahan di situ sampai orang tua itu datang semula. Sebab itulah
dia tidak akan balik lebih awal selagi mertuanya tidak terjongol.
Kira-kira 15 minit Saban Keme menunggu barulah dia
nampak bayang mertuanya terjengket-jengket dari balik busut merempuh hujan
gerimis semakin kasar.
Dia menjinjing sebatang kayu yang terikat burung
wak-wak di situ. Sampai sahaja di depan Saban Keme dia menyuruh masukkan burung
wak-wak yang terikat pada kayu itu ke dalam buntil.
"Jangan dibilang berapa ekor..." kata Pak
Tua Mahat mengeluarkan celapah rokok dari saku seluarnya.
Dia mengambil rokok daun yang siap bergulung lantas
menghisapnya di dalam hujan yang mula turun lebat. Di dalam hujan itulah mereka
bertiga meranduk kegelapan balik ke rumah.
TAMAT
No comments:
Post a Comment