Sudah beberapa kali penduduk kampung terserempak harmau
puaka yang menjadi kebimbangan di kampung berkenaan. Semenjak saya berpindah
kesitu bermacam macam berita diberitahu mengenai harimau puaka yang menjengah
sampai ke dalam kampung . Asal siapa sahaja yang bercakap besar nescaya akan
tersetempak harimau puaka berkenaan merayau rayau tetapi tidak menganggu
sesiapa.
Semasa kampung masih lagi dikelilingi hutan rimba memang
bermacam macam cerita yang didengar. Apa lagi masyarakat kampung tidak ramai yang berpelajaran, masing masing
sekadar mendengar sahaja apa yang diberitahu mengenai kejadian yang di luar
pengetahuan mereka.
Memang Sarit Buseh tergamam apakala melihat harimau
tercangkung di bawah pokok petai padi tatkala dia ke sungai untuk membasuh muka
ketika pagi masih diselubungi embun. Gementar tubuhnya menyebabkan Sarit Buseh
berlari balik ke rumah dalam keadaan lidah kelu. Sampai sahaja di rumah dia
jatuh terjelepoh di kaki tangga hingga tidak sempat naik ke rumah.
Terpaksa pula dipapah oleh ayahnya Mat Jabar ke tengah
serambi. Sebaik sahaja naik ke rumah Sarit Buseh terkejang tidak dapat bercakap
apa-apa. Disebabkan saya menyewa rumah kampung berhampiran rumah Mat Jabar,
terpaksa juga saya menjengah sebelum ke tempat kerja. Sewaktu saya sampai di
rumah Mat Jabar, adik iparnya Kohin sudah pun berkejar ke rumah Dukun Minin.
Hampir setengah jam mereka menunggu barulah Kohin balik
semula. Dukun Minin juga masih terkuap-kuap disebabkan mengantuk benar apabila
dijemput oleh Kohin. Tetapi Dukun Minin tidak bimbang apa-apa sebaik sahaja
melihat keadaan Sarit Buseh terkejang dengan gigi terkancing.
"Kena pelesit ke, dukun?" tidak sabar Mat Jabar
mendesak Dukun Minin memberitahu.
"Ah, takkan semua penyakit macam ni disebabkan pelesit!"
tersengih-sengih Dukun Minin mencebek bibir dengan sikap Mat Jabar gelabah
tidak menentu.
"Kalau bukan pelesit, kenapa budak ni?" Utih
Nah pula cemas dengan keadaan anaknya yang tiba-tiba sahaja pengsan sebelum
sempat ke sungai.
"Emmm, tengoklah dulu," sahut Dukun Minin
memberi isyarat supaya disediakan tempat perasap untuk membakar kemenyan.
Memang Dukun Minin juga tidak tahu sebab musabab yang
menimpa Sarit Buseh. Lainlah kalau anak muda itu boleh memberi tahu kenapa dia
berlari balik ke rumah dalam keadaan ketakutan. Masakan dia terserempak buaya
di tebing sungai kerana airnya cetek. Sejak bertahun-tahun mereka di kampung
itu memang tidak pernah siapa pun terserempak buaya di tengah arus.
Disebabkan keadaan Sarit Buseh masih tidak berubah,
ter-paksa juga saya bertahan di situ. Kalau tergesa-gesa ke tempat kerja apa
pula dituduh Mat Jabar dalam saat anaknya terkejang tidak sedarkan diri itu.
"Kalau ustaz
nak kerja, tak apa, pergilah," segera Utih Nah ingatkan saya disebabkan
masih juga terconggok menghadap Sarit Buseh.
"Pak dukun dah ada, saya tak bimbang," ujar Mat
Jabar berbohong kerana rawat mukanya masih membayangkan dia dalam keadaan
gelisah. "Ustaz pergilah kerja dulu, nanti apa pula kata ketua
ustaz," dia menuturkan dengan ikhlas.
Saya mengangguk perlahan. Perkara ke tempat kerja tidak
penting sangat kepada saya. Kalau terlambat pun sampai tidaklah menjadi sebab
besar boleh menimbulkan masalah. Lagi pun ketika itu masih pagi lagi, masih ada
masa untuk ke tempat kerja.
Sewaktu saya jejak kaki ke surau tatkala subuh sudah bermula,
Sarit Buseh bersama dua tiga orang kawannya masih berselimut lingkup di tengah
surau. Cepat-cepat mereka bingkas bangun sebaik sahaja saya naik ke surau terus
ke anjung.
Tidak tahu saya bila waktunya mereka yang tidur di surau
balik ke rumah masing-masing. Memang setiap malam Sarit Buseh bersama
kawan-kawannya tidur di surau menunggu durian gugur. Kadangkala tengah malam
pun mereka akan menyerbu ke bawah pokok durian menyuluh buah gugur di tengah
belukar.
Sebaik sahaja buah durian dikutip, tidak bertangguh
mereka belah di atas surau sahaja. Mereka akan pugar buah durian dengan tidak
payah membasuh muka atau berkumur-kumur pun. Kehidupan remaja ketika itu tidak
nakal sangat, kalau bandingkan dengan anak-anak muda sekarang yang liar kalau
tidak dikawal.
Selesai sahaja saya solat subuh bersama _Mat Jabar,
mereka yang tidur di surau sudah turun. Tahu sangat saya anak-anak muda seperti
Sarit Buseh akan menoreh juga. Mereka tidak buang masa tidak menentu. Kalau
tidak menoreh pun, mereka akan bantu ibu bapa turun ke sawah.
Musim habis menuai, mereka juga ikut sama mengemping di
sebelah malam. Kadang-kala sampai tengah malam baru habis mengemping bersama
jiran-jiran. Memang Utih Nah pernah juga beri saya emping untuk sarapan pagi
apabila mengemping bersama jiran-jiran. Sebab itu hubungan saya dengan keluarga
Mat Jabar begitu akrab.
Serba salah juga saya mahu terus ke tempat kerja ketika
Sarit Buseh dalam keadaan terkejang demikian. Hampir setengah jam Dukun Minin
cuba memulihkan keadaan Sarit Buseh tidak juga berubah. Disebabkan hampir jam
tujuh setengah, terpaksalah saya bergegas ke tempat kerja dulu. Kalau keadaan
Sarit Buseh melarat memang saya pesankan pada Mat Jabar supaya memberi tahu
saya di tempat kerja.
Sehingga jam 1.00 tengah hari tidak menjengah pun Mat
Jabar memberi tahu keadaan anaknya Sarit Buseh. Apabila balik sahaja dari kerja
terus saya menjengah ke rumahnya. Ketika ini Sarit Buseh sudah duduk menjamah
nasi.
"Degil cakap
orang dia ni, ustaz!" gerutu Utih Nah kesal dengan sikap Sarit Buseh.
"Tak percaya fasal harimau puaka tu," marah benar dia disebabkan
kejadian yang menimpa anaknya itu.
"Hah, memang nak geruh," sahut Mat Jabar
meminta isterinya bersabar. "Dah selamat tu, cukuplah," ujarnya
gementar juga apabila kenangkan Sarit Buseh terserempak harimau di bawah pokok
petai padi ikut lorong mahu ke sungai.
Sarit Buseh sendiri mengakui dia terserempak harimau
tercangkung sebaik sahaja sedar semula setelah dipulihkan oleh Dukun Minin.
Memang terkejut dia apakala harimau berkenaan terkuap-kuap mengangakan mulut
dalam kabus menyelubungi pagi.
Sudah beberapa kali Sarit Buseh mengejek emaknya fasal
percaya sangat dengan harimau puaka. Utih Nah tidak berani pun menyebut harimau
kalau bercakap, dia akan sebut orang tua sahaja. Siapa pun merasa seram apabila
disebut harimau puaka berkenaan, sekalipun ianya tidak pernah mengganggu.
Tahu sangat Utih Nah harimau puaka itu akan menjelma di
dalam kampung sekiranya ada sesiapa berniat salah. Jangan cuba mencemar kampung
berkenaan nescaya harimau puaka itu akan terjongol di kubur Tok Batu Tinggi.
Sebab itu Utih Nah ingatkan Sarit Buseh supaya jangan perolok-olokkan kubur Tok
Batu Tinggi itu.
Sebelum Sarit Buseh terserempak pun, Dolah Sepet juga
terkejang sampai tiga malam akibat dihidu punggungnya oleh harimau puaka. Siapa
pun tidak tahu mengenai perangai Dolah Sepet mengendap Misah Janda di baruh
kampung. Tentu Dolah Sepet mahu cemarkan nama baik kampung kalau buat hubungan
sulit dengan Misah Janda.
Apa salahnya Dolah Sepet pinang baik-baik sekiraya dia
berkenan sangat dengan Misah Janda. Pernah juga kaki Dolah Sepet ditusuk kaca
tatkala merempuh lubang sampah di belakang rumah Misah Janda, apabila Pak
Unggal menyuluh ke tengah gelap. Marah juga Pak Unggal apabila menyedari
rumahnya dihendap orang sampai terdengar bunyi tapak kaki memijak ranting patah
arah bilik tidur Misah Janda.
Sewaktu dia menyuluh ternmpak juga pada Pak Unggal bayang
lelaki merempuh ke sudut halaman menuju lubang sampah. Tetapi Pak Unggal tidak
peduli sangat setelah bayang lelaki itu hilang di dalam gelap. Kalau lelaki itu
mahu cemarkan nama baiknya, tentu tidak akan berjaya kalau anaknya Misah Janda
tidak melayani.
Apabila Dolah Sepet terdengkot-dengkot akibat kaki
ditusuk kaca, dia mengaku bukan disebabkan mengendap malam. Sekalipun dituduh
Pak Unggal dia tetap yakinkan orang-orang kampung kakinya luka ditusuk kaca
semasa menoreh getah.
"Kalau aku bohong, dicium harimau puaka Tok Batu
Tinggi punggung aku!" ujar Dolah Sepet sengaja berdalih.
"Tak payahlah sampai bersumpah macam tu," jelas
Pak Unggal nasihatkan anak muda yang nakal itu.
"Buat apa aku nak buat jahat dengan anak Pak
Unggal?" Dolah Sepet tidak mengakui dia memang menghendap Misah Janda.
"Sekarang kaki kau ditusuk kaca, lain kali entah apa
pula!" Pak Unggal tetap yakin memang Dolah Sepet yang merempuh lubang
sampah di sudut halaman rumahnya.
"Kalau Pak Unggal tak percaya, harimau puaka Tok
Batu Tinggi tu jadi saksi!" sahut Dolah Sepet sengaja memperolok-olokkan
Pak Unggal kerana dia percaya masakan harimau puaka berkenaan boleh terjongol
di mana-mana.
"Kau jangan
cakap besar, Dolah!" cemas juga Pak Unggal apabila Dolah Sepet berani
menyebut fasal harimau puaka di kampung berkenaan.
Perkara harimau puaka di kubur Tok Batu Tinggi itu tidak
boleh diperolok-olokkan sangat. Dukun Minin sendiri tidak berani sebut pun
harimau puaka ber-kenaan, hingga kadangkala tidak berani dia turun ke tengah
halaman setelah menyeru Tok Batu Tinggi dengan membakar kemenyan.
Asal sahaja berubat besar memang Dukun Minin akan menyeru
Tok Batu Tinggi supaya datang membantu. Dia akan suruh semua lampu pelita
dipadamkan sebaik sahaja merasakan jelmaan Tok Batu Tinggi akan tersergam di
hadapannya. Seisi rumah akan mendengar bunyi tapak kaki berdegam kuat di bawah
rumah hingga kadang-kala terasa lantai rumah bagaikan diangkat kuat.
Habis sahaja berubat mereka terkejut apakala melihat
bekas tapak kaki harimau mencengkam di tengah halaman. Tatkala melihat tapak
kaki harimau tersergam di tengah halaman, memang Dukun Minin tidak berani
turun. Dia akan meminta sesiapa sahaja dua tiga orang menghantarnya balik ke
rumah.
Kenapa pula Dolah Sepet sengaja perolok-olokkan harimau
puaka Tok Batu Tinggi itu? Seisi kampung tahu mengenai kubur Tok Batu Tinggi
kerana nesannya hidup hingga setinggi berdiri. Sejak turun temurun mereka
menyedari nesan kubur berkenaan bertambah tinggi. Setiap kali kampung cuba
dicerobohi pencuri mereka tahu harimau puaka akan menjelma di balik nesan kubur
Tok Batu Tinggi itu.
"Aku tak mengendap rumah Pak Unggal tu," ulangi
Dolah Sepet berkeras menafikan kakinya luka ditusuk kaca tatkala me-rempuh
lubang sampah. "Aku berani harimau puaka tu jadi saksil" tegasnya
tersengih-sengih mahu menguji Pak Unggal yang tetap menuduh dia.
Kecut benar perut Pak Unggal apabila diajak bersaksikan
harimau puaka kubur Tok Batu Tinggi. Kalau Dolah Sepet tidak bersalah tentu dia
pula akan dicium punggung oleh harimau puaka berkenaan. Pak Unggal tidak berani
kalau diajak bersaksi pada harimau puaka berkenaan. Biarlah Dolah Sepet menanggung
segala musibah kalau dia sengaja berbohong.
Hampir sebulan juga Dolah Sepet menanggung kesakitan luka
di tapak kaki akibat ditusuk kaca. Terdengkot-dengkot dia berjalan ke kedai
kopi Manap Pekak semata-mata mahu tercongkok di situ. Matanya melingas-lingas
juga asal sahaja melihat Misah Janda melintas semasa balik dari sawah.
Kadangkala diusik-usiknya juga Misah Janda kerana Pak Unggal menuduh dia
menghendap di rumahnya.
Setelah luka di tapak kakinya sembuh, Dolah Sepat gagahi
juga menghendap di celah dinding rumah Pak Unggal. Memang kenakalan anak-anak
muda ketika ini gemar menghendap apabila malam mulai gelap. Hiburan mereka
terbatas dengan membuat kerja-kerja nakal yang tidak berfaedah demikian.
Tidak sama dengan Sarit Buseh bersama kawan-kawannya yang
habiskan masa tidur di surau. Tatkala maghrib mereka akan berkumpul di kaki
lima kedai Manap Pekak yang sudah ditutup pintu. Di situ mereka akan
terjerit-jerit dengan ketawa bersembang sesama anak-anak muda. Mereka tidak
peduli pun nasihat ibu bapa yang melarang mereka membazir masa tercongkok
berceratuk di kedai kopi Manap Pekak itu.
Apabila malam mereka tidak balik ke rumah. Masing-masing tergolek
di surau dengan berbantalkan gulung tikar sahaja. Apa lagi musim buah durian
gugur Sarit Buseh akan mengajak kawan-kawannya tidur di surau sahaja sepanjang
musim. Kadangkala tersepak juga kaki tatkala saya naik ke surau waktu subuh
sebelum api pelita dipasang.
Memang Dolah Sepet tidak bimbang apa-apa. Dia hendap juga
rumah Pak Unggal terbongkok-bongkok mencari bilik tidur Misah Janda.
Tersengih-sengih dia mengintai dari celah dinding melihat Misah Janda tergolek
di tempat tidur. Setiap kali Misah Janda mengalih badan dia tersengih-sengih
bagaikan merasa puas sangat.
Sewaktu asyik menghendap inilah Dolah Sepet merasa punggungnya
dijilat-jilat hingga terasa misai kasar binatang besar di belakangnya. Apabila
dia menepis ke belakang semakin terkejut Dolah Sepet kerana terpegang mulut
binatang berkenaan dengan taringnya menyeringai.
Sebaik sahaja dia menoleh ke belakang melihat di dalam
kesamaran malam, memang jelas kepadanya seekor harimau sebesar lembu tersergam
di belakangnya. Terjerit dia meminta tolong menyebabkan Pak Unggal cepat-cepat
menyuluh ke belakang rumah.
Ketika disuluh Pak Unggal dia melihat Dolah Sepet sudah
tergolek di atas rumput. Tidak bertangguh dia anak beranak memapah Dolah Sepet
naik ke rumah. Tiga hari tiga malam Dolah Sepet terkejang tidak sedarkan diri.
Hanya ombak nafasnya sahaja turun naik dengan mulut berbuih-buih.
Puas juga Dukun Minin berusaha memulihkannya namun Dolah
Sepet terkejang tidak dapat bercakap apa-apa. Di rumah Pak Unggal itulah dia
terkejang sampai celik mata selepas tiga hari tiga malam pengsan. Memang Dolah
Sepet sendiri mengakui punggungnya dicium harimau puaka yang terjongol dari
bawah rumah Pak Unggal.
Terpaksa juga Dolah Sepet mengakui di hadapan Pak Unggal
memang dia menghendap Misah Janda sejak berbulan-bulan. Kakinya ditusuk kaca
pun Dolah Sepet mengaku akibat merempuh lubang sampah di sudut halaman. Sebab
itu dia bersetuju berkahwin sahaja dengan Misah Janda sekalipun keluarganya
tidak bersetuju sangat.
Apabila kenang kejadian yang menimpa Dolah Sepet itu
memang Sarit Buseh juga mengakui dia seringkali olok-olokkan harimau puaka
berkenaan setiap kali bersumpah. Beberapa kali Utih Nah marahkan dia disebabkan
berkumpul di luar kedai Manap Pekak bersama kawan-kawannya, Sarit Buseh
mengejek emaknya dia akan tidur di kubur Tok Batu Tinggi itu. Dia mahu biarlah
emaknya tidak berletar panjang apabila disebut fasal kubur ber-kenaan.
Memang seram benar Utih Nah hingga terasa bulu roma
tengkuk meremang apabila kenangkan harimau puaka Tok Batu Tinggi disebut Sarit
Buseh. Kalau dia tidak duduk di luar kedai Manap Pekak kenapa mesti sebut
harimau puaka berkenaan?
Tetapi Sarit Buseh tahu emaknya berleter panjang kalau
tidak disebut harimau puaka itu. Bila-bila sahaja emaknya akan terdiam tidak
berkata sepatah pun sekiranya dia ungkit mengenai harimau puaka Tok Batu
Tinggi. Siapa lagi orang tua-tua seperti emaknya yang berani berkeras apabila
bersumpah menyebut harimau puaka berkenaan?
Apa sangat harimau puaka Tok Batu Tinggi kepada Sarit
Buseh kerana dia tidak pernah terserempak di mana-mana. Kalau musim langsat
berbuah lebat di kubur, dia tidak pernah kecut perut melangkah kubur berkenaan.
Dia akan memanjat meranggah buah langsat yang masak ranum di hujung dahan.
Kalau harimau puaka Tok Batu Tinggi mahu menjongol muka
kenapa tidak menyergah dia tengah memanjat langsat di kubur berkenaan? Biarlah
Dolah Sepet terkejang akibat dicium punggung oleh harimau puaka berkenaan,
Sarit Buseh tidak pernah kecut perut pun. Bila-bila dia sanggup terserempak
asal sahaja harimau puaka itu tidak mengganggu.
Dukun Minin sendiri memberi tahu mengenai harimau puaka
tersebut tidak pernah mengganggu sesiapa. Harimau puaka itu sekadar menjelma
apabila sesiapa sahaja cuba perolokkan kubur Tok Batu Tinggi. Mereea yang
terserempak itu hanya ketakutan menyebabkan lidah jadi kelu.
Sebab itu Sarit Buseh tidak bimbang apa-apa. Sekiranya
harimau puaka itu menjelma dia tidak peduli apa-apa. Tentu harimau berkenaan
tidak akan menerkam mencederakan dia. Sarit Buseh boleh melintas di hadapan
harimau puaka berkenaan sekiranya dia tabahkan hati.
Sebaik sahaja bingkas bangun dari surau, Sarit Buseh terus
menuju ke tebing sungai. Biarlah kawan-kawannya balik ke rumah masing-masing
berkumur-kumur dan basuh muka di telaga, dia tetap ke sungai juga. Apa lagi
perut memulas-mulas disebabkan memugar durian sampai lima biji tatkala gugur
tengah malam.
Ketika sampai di selekoh dirimbuni belukar senduduk dia
melihat seekor harimau tercangkung di bawah pokok petai padi. Harimau berkenaan
tidak pedulikan dia berselimut di tengah lorong. Terkuap-kuap harimau itu
menampakkan taringnya dengan lidah dijulurkan keluar.
Perlahan-lahan Sarit Buseh berundur ke belakang biar
jejak kakinya tidak kedengaran di mana-mana. Sebaik hilang di sebalik selekoh
dia berlari kencang hingga tercungap-cungap. Terbayang di benaknya harimau
berkenaan mengekorinya di belakang menyebabkan dia semakin kencang berlari
tidak menoleh ke mana-mana.
"Dia nampak orang tua tu," Utih Nah memberi
tahu mengerling Sarit Buseh yang menunduk lesu. "Budak-budak sekarang tak
percaya lagi dengan benda-benda macam ni, ustaz," terharu benar dia dengan
sikap anaknya perolok-olokkan harimau puaka Tok Batu Tinggi itu.
"Percayalah ustaz, harimau puaka to memang
ada," jelas Mat Jabar setelah melihat saya diam tidak bercakap apa-apa.
"Agaknya ustaz pun tak percaya ni!" segera Utih
Nah memintas dalam suara yang bergetar.
Saya tersengih-sengih sahaja. Perkara percaya atau tidak
bukannya penting sangat. Tetapi kenapa Utih Nah bimbang sangat dengan harimau
puaka Tok Batu Tinggi itu, sedangkan Allah maha berkuasa ke atas sesuatu?
Harimau puaka itu kalau wujud pun adalah makhluk Allah yang tidak berkuasa
apa-apa jika tidak diizinkan Allah.
Sengaja saya pendamkan sahaja di hati supaya tidak
menyinggung Utih Nah. Semenjak saya berpindah ke kampung berkenaan, memang
seisi kampung merasa gementar kalau disebut harimau puaka Tok Batu Tinggi itu.
Sampai bila pun Utih Nah tidak akan lupa fasal abangnya
Lasah Debuk jatuh pokok petai di tengah hutan sampai patah pinggang. Siapa lagi
yang boleh harapkan kalau bukan harimau puaka Tok Batu Tinggi itu. Bukan semua
orang boleh seru puaka tersebut membantu, kecuali mereka yang tahu mengenai Tok
Batu Tinggi itu.
Satu-satunya yang tahu mengenai Tok Batu Tinggi itu
memang Dukun Minin. Seisi kampung tahu sangat Dukun Minin memang keturunan Tok
Batu Tinggi yang menjadi pawang besar sejak turun temurun. Sejak turun temurun
Dukun Minin mewarisi amalan pawang yang diturunkan oleh Tok Batu Tinggi.
Ketika Lasah Debuk jatuh memanjat pokok petai di hutan,
terpaksa ditandu dibawa balik disebabkan dia tidak boleh bergerak langsung.
Setelah di-periksa memang tulang pinggangnya patah. Seminggu Lasah Debuk tidak
sedarkan diri akibat menanggung sakit yang tidak terperikan.
Tiga bulan juga Lasah Debuk terbaring di hospital jauh di
bandar tetapi patah pinggangnya tidak boleh sembuh lagi. Apabila disimen bahagian
pinggang memang Lasah Debuk tidak boleh bergerak langsung. Kalau buang air pun
terpaksa ditadah oleh isterinya Mesiah. Kadangkala berdebar juga Mesiah
disebabkan kencing Lasah Debuk bercampur darah.
Setelah dibuka simen pun Lasah Debuk masih tidak boleh
bergerak.. Tulang pinggangnya tidak mampu lagi ditegakkan menyebabkan dia
terbaring sahaja laksana batang pisang ditetak perdu sampai tergolek di tanah.
Tiga bulan terbating tidak dapat bergerak memang menyeksakan dirinya.
"Kalau tak boleh ubat di hospital, kita ikhtiar cara
kampung," desak Utih Nah tidak sabar lagi melihat keadaan abangnya
terlentang sahaja di tengah rumah sejak dibawa balik dari hospital. Lagi pun
ketika negeri masih diperintah orang putih, memang kemudahan di hospital belum
mencukupi untuk merawat keadaan Lasah Debuk menderita akibat patah pinggang.
"Terpulanglah pada kamu Utih Nah," bisik lasah
Debuk terketar-ketar setelah berputus asa dengan nasib yang menimpa dirinya.
"Kita harapkan Dukun Minin, bang Lasah,"
ujarnya dalam keadaan terdesak.
Setelah diberi tahu kepada Dukun Minin, dia sendiri tidak
tahu bagaimana mahu merawat pinggang Lasah Debuk yang patah. Lainlah kalau
diganggu puaka atau pelesit bila-bila Dukun Minin menyanggupi. Kalau patah
tulang tidak ada upaya dirinya mahu ubatkan.
Disebabkan Utih Nah berharap sangat dia boleh membantu,
terpaksa juga Dukun Minin mencuba. Dia bakar juga kemenyan menyeru Tok Batu
Tinggi sampai terketar-ketar seluruh badan. Takut benar Dukun Minin sekiranya
membakar kemenyan terpaksa menyeru Tok Batu Tinggi menjelma di hadapannya.
Tahu sangat Dukun Minin sekiranya Tok Batu Tinggi menjelma
dalam keadaan marah, dia sendiri terpaksa berhadapan dengannya. Dia terpaksa
memujuk supaya jelmaan Tok Batu Tinggi bersedia membantu. Sudah menjadi kebiasaan
jelmaan Tok Batu Tinggi itu akan marah-marah sekiranya membakar kemenyan
menyeru namanya. Sebab itu Dukun Minin tidak akan membayar kemenyan menyeru Tok
Batu Tinggi, kalau penyakit tidak bahaya sangat kepada pesakit.
Tetapi sakit Lasah Debuk bukan alang kepalang.
Pinggangnya patah hingga tiga bulan terbaring di hospital dengan disimen kukuh.
Apabila simen dibuka, pinggangnya tetap berdenyut sakit kalau digerakkan badan.
Setelah dibawa balik ke rumah pun sepanjang malam Lasah Debuk akan
merengek-rengek menahan kesakitan.
Sewaktu membakar kemenyan Dukun Minin mendongak memerhati
kasau atap sebaik sahaja gelegar di bawah rumah bagaikan dirempuh kerbau
jantan. Terkejut semua mereka yang terconggok di atas rumah apabila lantai
bergegar kuat akibat dirempuh. Kalau mahu dituduh kerbau jantan merempuh, tidak
mungkin kerbau sesiapa pun terlepas hingga menyerbu ke bawah rumah Lasah Debuk.
"Minta maaflah tok," gementar suara Dukun Minin
seolah-olah meminta belas kesihan tatkala mendongak ke kasau atap. "Cucu
ni sakit teruk, sebab tu panggil juga tok ke sini!" ujarnya seolah-olah
bercakap dengan seseorang yang tidak kelihatan di mana-mana.
Lama Dukun Minin merungut-rungut barulah dia
terangguk-angguk sambil tersenyum. Apabila dia menyuruh dipasang semula pelita
yang dipadamkan tatkala membakar kemenyan, mengeluh panjang Dukun Minin.
"Hah, kena marah pula aku oleh orang tua tu,"
ujarnya menggeleng-geleng lemah.
Siapa pun tidak peduli sangat dengan keluhan Dukun Minin
kerana urusan dengan perkara yang tidak boleh dilihat tidak kena mengena dengan
mereka. Bagaimana mereka mahu melihat Dukun Minin dimarahi Tok Batu Tinggi
kalau mereka sendiri tidak melihat jelmaan tersebut. Mereka sekadar mendengar
pengakuan Dukun Minin sahaja.
Tetapi Utih Nah tahu sangat memang Dukun Minin dijerkah
oleh jelmaan Tok Batu Tinggi. Kalau tidak masakan Dukun Minin serba salah
sekiranya mahu membakar kemenyan menyeru Tok Batu Tinggi menjelma. Kadangkala
berpeluh-peluh seluruh badan Dukun Minin apabila mahu memulakan membakar
kemenyan.
"Awak berani atau tidak ni, Lasah?" memang
serba salah juga Dukun Minin mahu menerangkan.
"Nak buat macam mana, dukun?" Lasah Debuk
memang sudah nekad mahu lakukan apa sahaja kerana tidak tertahan lagi
terlentang tidak boleh bergerak langsung.
"Malam ni, awak kena tidur di kubur orang tua
tu," beritahu Dukun Minin resah dengan keputusan yang dibuatnya itu.
'Orang tua tu suruh buat macam tu,"jelasnya seolah-olah menyimpan rahsia
yang mahu disembunyikan.
"Aku tak takut apa-apa, bawalah aku ke sana!"
ujar Lasah Debuk menyanggupi apa sahaja yang diperintah oleh Dukun Minin. kalau
dia terus bertahan di rumah pun sia-sia sahaja, kerana akan tergolek
selama-lamanya.
Biarlah dia menanggung apa sahaja musibah tatkala
dibaring-kan di atas kubur Tok Batu Tinggi. Perkara ajal maut tidak penting
lagi pada Lasah Debuk. Kalau dibiarkan dia tergolek tengah rumah dengan tidak
boleh bergerak pun sama juga macam sudah terbujur menjadi mayat. Sebab itu apa
salahnya dia dibaringkan sepanjang malam tengah belukar kubur?
Malam itu juga Lasah Debuk diusing ke, kubur Tok Batu
Tinggi. Dia dibaringkan di situ beralaskan tikar mengkuang. Setelah dibaringkan
Lasah Debuk di atas kubur Tok Batu Tinggi, siapa pun tidak dibenarkan menemani
dia di situ.
Lasah Debuk memang tidak boleh bergerak lagi. Kalau
diterkam harimau atau dibelit ular sawa pun dia tidak akan melawan apa-apa.
Biarlah semuanya terserah kepada kudrat dan iradat Allah! Tatkala tengah malam
embun mula menitik, Lasah Debuk merasa cemas juga apabila angin bertiup
kencang. Manalah tahu kalau hujan turun mencurah tentu dia akan kesejukan
sepanjang malam. Ke mana lagi mahu berteduh dalam masa dia tidak boleh bangun
selamatkan dia.
Setengah jam dia menunggu tetapi hujan tidak juga turun
mencurah. Hanya dia mendengar dari celah belukar kubur bagaikan anak-anak kayu
dirempuh bapak kerbau. Ketika ini Lasah Debuk terasa mengantuk sangat hingga
terkuap-kuap beberapa kali.
Di antara tidur dengan tidak, Lasah Debuk terasa harimau
belang tercangkung di sisinya. lantas sahaja harimau berkenaan menjilat-jilat
pinggangnya yang patah sampai terasa ngilu seluruh pinggang. Lasah Debuk
terpaksa tabahkan hati sekalipun di sisinya harimau sebesar lembu tercangkung.
Mahu melarikan diri pun tidak berupaya apa-apa disebabkan
pinggangnya patah. Lasah Debuk sekadar menyerahkan dirinya kepada kudrat dan
iradat Allah semata-mata, dalam masa harimau berkenaan menjilat pinggangnya.
Kemudian tubuhnya digolek-golek oleh harimau berkenaan hingga denyut sakitnya
menyenak ke seluruh sendi.
Akibat menahan kesakitan yang tidak terperikan itu Lasah
Debuk mahu menjerit, tetapi suaranya tenggelam di kerengkung. Dia terkial-kial
menahan kesakitan hingga tidak sedar lagi kesudahannya. Tatkala dia bangun pagi
sudah cerah melayah. Tiba-tiba sahaja Lasah Debuk dapat menggerakkan badannya
hingga boleh duduk bersandar pada batu nesan Tok Batu Tinggi.
Sewaktu Dukun Minin bersama beberapa orang jiran datang
menjengah mereka juga semacam tidak percaya apakala melihat Lasah Debuk sudah
boleh duduk bersandar pada batu nesan. Tetapi Dukun Minin bisikkan ke
telinganya supaya tidak memberi tahu sesiapa pun apa yang dialaminya sepanjang
malam.
Setelah dibawa balik, terpaksa juga Dukun Minin memapah
Lasah Debuk berjalan setiap pagi dengan petua yang diamalannya. Tiga minggu dia
amalkan petua itu barulah Lasah Debuk dapat berjalan terdengkot-dengkot. Memang
siapa pun mendesak Lasah Debuk tetap merahsiakan pengalamannya sepanjang malam
dibaringkan di atas kubur Tok Batu Tinggi.
"Di kubur tu, Abang Lasah dibaringkan sepanjang malam,"
Utih Nah tetap kenang bagaimana abangnya diubati oleh Dukun Minin akibat patah
pinggang. Sebab itu dia tidak mahu Sarit Buseh perolok-olokkan harimau puaka
yang ditakuti oleh seisi kampung.
"Tapi, jadi pantang larang harimau puaka tu,"
sahut Mat Jabar seolah-olah menegah isterinya supaya tidak ungkit lagi kejadian
Lasah Debuk dibaringkan di atas kubur Tok Batu Tinggi. "Abang Lasah tidak
dibenarkan beri tahu sesiapa pun pengalamannya sepanjang malam," jelasnya
setelah diingatkan oleh Dukun Minin jangan mendesak Lasah Debuk.
Siapa pun tidak berani mendesak Lasah Debuk memberi tahu
setelah diingatkan oleh Dukun Minin. Tentu mereka sendiri akan ditimpa bencana
kalau berkeras sangat mahu mendesak. Perkara yang ghaib biarlah tidak
diungkit-ungkit sampai masing-masing ditimpa musibah.
Semenjak terserempak harimau puaka di perdu pokok petai
padi, Sarit Buseh tidak lagi mahu tidur di surau bersama kawan-kawannya. Dia
juga tidak mahu lagi ke kebun getah menoreh. Sarit Buseh akan turun ke sawah
sahaja membantu emaknya. Kadangkala tengah malam pun dia akan mengigau
terjerit-jerit meminta tolong seolah-olah dikejar harimau.
Terpaksa pula diminta Dukun Minin pulihkan semula keadaan
Sarit Buseh yang ketakutan sangat. Sebab itu Dukun Minin menyuruh ditapakan air
di kubur Tok Batu Tinggi semalaman. Apabila petang Mat Jabat perlu letakkan air
satu jag di atas kubur. Esok paginya dia mesti ambil semula air tersebut untuk
dimandikan kepada Sarit Buseh.
Setelah dimandikan pun keadaan Sarit Buseh masih juga
ketakutan seolah-olah terserempak harimau besar. Semasa Dukun Minin membakar
kemenyan mahu mengubati Sarit Buseh, dia menjadi gementar kerana kemenyan
tersebut seolah-olah berdarah. Saya yang duduk tidak jauh dari sisinya juga
lantas membelek-belek kemenyan berkenaan yang basah dengan warna merah.
"Kenapa ni, ustaz?" soal Dukun Minin
tersengih-sengih. "Agaknya saya dah Ianggar pantang ke?" keluhnya
menggeleng-geleng kepala semacam tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
"Entahlah, saya tak faham," beritahu saya masih
membelek-belek kemenyan yang berdarah itu.
Dukun Minin meminta Mat Jabar hantarkan dia balik ke
rumah setelah mengubati Sarit Buseh. Ketika balik inilah Mat Jabar dikejutkan
oleh bayangan seperti harimau melompat tiga kali melintasi di hadapan Dukun
Minin. Tetapi dia tidak bimbang apa-apa kerana Dukun Minin sudah memberi
jaminan harimau puaka itu tidak akan mengganggu sesiapa.
Selepas kejadian itu Dukun Minin tidak dapat lagi
mengubati Sarit Buseh disebabkan dia juga mengalami demam sejuk. Tiga hari
selepas mengalami demam itu Dukun Minin pun meninggal dunia. Terkejut juga
mereka seisi kampung dengan kematian Dukun Minin hanya selepas mengalami demam
tiga hari.
Secara kebetulan pula sedikit demi sedikit Sarit Buseh
dapat mengikis ketakutan yang menyelubungi perasaannya semenjak terserempak
harimau puaka. Dia tidak bimbang lagi meranduk belukar kebun getah menoreh
seperti kawan-kawannya yang lain.
"Saya ni, anak Sarit Buseh, ustaz," Mahani
menerangkan kepada saya semasa berkunjung bersama suaminya Mat Samah. Sudah
lebih tiga puluh tahun berlalu Sarit Buseh masih ingat lagi kejadian yang
menimpa dirinya. Sebab itu dia desak juga anaknya menemui saya setelah
meninggalkan kampung halaman.
Lama juga saya cuba ingatkan mengenai Sarit Buseh, kerana
sewaktu saya tinggalkan kampung berkenaan dia masih belum berkahwin lagi.
Pernah juga dia menulis surat kepada saya mengajak menghadiri majlis
perkahwinannya, tetapi saya tidak sempat untuk mengunjunginya. Kalau tidak
disebabkan Mahani menemui saya akibat gangguan sakit kepala semenjak berkahwin
dengan suaminya, memang tidak tahu saya mengenai hubungan dengan Sarit Buseh.
Apabila dia menyebut mengenai kampung asalnya, lantas
sahaja saya ingatkan fasal pernah bertugas di situ. Sebab itu saya kenang lagi
Utih Nah dan Mat Jabar yang selalu memberi saya emping. Apa lagi anak mudanya
yang nakal Sarit Buseh sampai terserempak harimau puaka.
"Nenek kita, ustaz yang ubati ayah saya,"
beritahu Mahani apabila kenangkan cerita Utih Nah mengenai ketakutan yang
dialami oleh Sarit Buseh.
Setelah Dukun Minin meninggal dunia, keadaan Sarit Buseh
bertambah tenat. Mudah sahaja dia terperanjat asal sahaja melintas bayang
menyerbu seperti harimau. Dia akan terjerit-jerit tidak menentu akibat
ketakutan tidak terperikan.
Saya tidak ubati Sarit Buseh pun. Apabila Mat Jabar
mendesak saya minta ubati anaknya, saya sekadar mengajak Sarit Buseh tidur di
rumah saya. Kemudian bangun tengah malam tunaikan solat sunat tahajud. Selepas
itu dia sendiri berdoa memohon kepada Allah supaya dijauhi dari segala mala
petaka. Tersenyum saya disebabkan Mahani percaya sangat saya yang mengubati
ayahnya. Perkara mengubati sesiapa pun memang saya tidak tahu apa-apa. Hanya
Utih Nah sahaja yang menganggap demikian.
No comments:
Post a Comment