Sunday, September 27, 2015

143. LELAKI 44 ISTERI



BIARLAH berjalan kaki berbatu-batu meranduk lorong tanah merah melalui hutan kayu balak, Aki Dubin tidak peduli apa-apa. Tiga hari dia melalui jalan berbukit-bukit itu sebelum sampai ke kampung di sempadan Pahang. Terkilan benar hati Aki Dubin apabila anak cucu pisahkan dia dengan isterinya Ngah Saelah. Memang dia berkeras tidak benarkan anak cucu membawa isterinya ke rumah mereka tatkala Ngah Saelah terkejang sakit.
Tetapi Dolah Ganyut tidak sampai hati membiarkan neneknya tidak siapa menjengah jauh di kampung terperosok. Ngah Saelah mesti dibawa juga ke rumahnya supaya mudah dibawa ke hospital, sekalipun neneknya berkeras tidak mahu dirawat ke hospital. Setidak-tidaknya adik beradik yang lain mudah mahu datang menjengah. Ayahnya Lebai Kidun juga bersetuju orang tua itu dibawa berpindah buat sementara.
Siapa akan merawat emaknya Ngah Saelah kalau tinggal berdua sahaja dengan ayahnya Aki Dubin jauh di pinggir hutan. Apa lagi mereka berdua sama-sama uzur hingga masing-masing tidak mampu mahu membantu di antara satu sama lain. Disebabkan Aki Dubin berkeras tidak mahu ikut sama, terpaksa Dolah Ganyut usung juga neneknya masuk ke kereta.
Tentu datuknya akan mengalah juga setelah neneknya dibawa ke rumahnya untuk dirawat. Tetapi dua hari di rumah cucunya keadaan Ngah Saelah semakin lemah. Dia tidak boleh lelapkan mata sepanjang malam hingga meracau-racau kenangkan suaminya makan tidak diuruskan sesiapa.
Terpaksa Lebai Kidun jemput juga ayahnya supaya jengah emaknya. Memang Aki Dubin sudah beritahu Lebai Kidun dia tidak akan jengah Ngah Saelah sekiranya anak cucu berkeras juga membawa keluar dari rumahnya. Sebab itu Lebai Kidun akan pujuk ayahnya supaya mematuhi kemahuan anak cucu demi kesihatan emaknya yang semakin uzur.
Tatkala Lebai Kidun bersama Dolah Ganyut sampai di halaman rumah, Aki Dubin tidak ada di situ. Rumahnya terkunci rapat menunjukkan dia sudah tinggalkan rumahnya. Siapa pun tidak tahu ke mana Aki Dubin menghilangkan diri disebabkan rumah jiran-jiran terletak jauh dari situ.
Sewaktu balik semula ke rumah Dolah Ganyut, mereka terkejut apabila mendapati Aki Dubin sudah terconggok di situ. Memang Aki Dubin mengakui dia berjalan kaki sampai tiga hari setelah menyedari isterinya tidak boleh lelapkan mata sepanjang dua malam di rumah Dolah Ganyut.
"Aku tahu emak kamu dua malam tak dapat lelapkan mata," ujar Aki Dubin meneguk air telaga yang disediakan dalam botolnya. Dia lebih selesa meneguk air telaga daripada air paip di pekan kecil tempat isterinya dibawa ke rumah Dolah Ganyut.
"Sebab itu kami mahu ayah di sini juga," Lebai Kidun memujuk ayahnya supaya menerima desakan anak cucu.
"Aku lebih selesa di rumah aku!" tegas Aki Dubin berkeras mahu membawa isterinya Ngah Saelah balik ke kampung halamannya yang terperosok di Jerantut.
"Buat sementara aje nenek di sini," sahut Dolah Ganyut ingatkan datuknya. "Kalau nenek dah sihat bolehlah balik," ujarnya memberi jaminan akan menuruti kemahuan orang tua itu.
"Di sini, nenek kamu tak akan sihat," Aki Dubin percaya suasana di pekan tidak akan memulihkan kesihatan isterinya.
Tetapi Lebai Kidun tetap tidak benarkan ayahnya membawa emaknya balik ke kampung yang jauh terperosok. Bukan sahaja anak cucu sukar mahu menjengah, tetapi kedua ibu bapanya tinggal terpencil dari jiran-jiran. Siapa akan membantu kalau mengalami uzur tatkala tengah malam disebabkan umur ayahnya sudah hampir 100 tahun.
Dalam usia demikian tentu ayahnya tidak mampu membantu emaknya. Apalah salahnya mereka tinggal di rumah Dolah Ganyut sehingga emaknya sihat betul. Siapa pun tidak melarang emaknya balik semula ke kampung halaman apabila sudah sihat semula. Kecewa benar Aki Dubin apabila Lebai Kidun tidak benarkan emaknya dibawa balik ke kampung, sekalipun Ngah Saelah mengakui tidak selesa di rumah Dolah Ganyut.
Memang tersinggung perasaan Ngah Saelah apabila anak cucu membantah kemahuan suaminya. Perkara umur mereka sudah terlalu tua tidak penting sangat. Apa salahnya anak cucu datang menjengah dia di rumahnya sekalipun jauh terperosok di kampung pedalaman sekiranya mereka benar-benar ambil berat. Kalau mereka merasakan sukar mahu datang menjengah biarlah dia terkejang dirawat oleh suaminya sahaja.
Manalah mereka tahu perasaan orang tua seperti mereka berdua apabila anak cucu memaksa tinggalkan rumahnya di kampung pedalaman terperosok!
Sewaktu bangun pagi untuk solat subuh, tiba-tiba sahaja Dolah Ganyut mendapati nenek dan datuknya tidak lagi berada di tempat tidur. Dia tahu datuknya mengajak neneknya tinggalkan rumah berkenaan tatkala mereka malam mereka tengah nyenyak tidur. Cepat-cepat dia beritahu ayahnya Lebai Kidun mengenai keputusan datuknya berdegil juga membawa neneknya balik ke kampung.
Mengeluh panjang Lebai Kidun apabila kenang ayahnya berjalan kaki memapah emaknya tengah uzur. Memang orang tua itu tidak pernah mengalah sekalipun mereka berkeras mahu menghalang.
Sekalipun terkilan dengan tindakan ayah nya membawa emaknya berjalan kaki berbatu-batu meranduk kegelapan malam, terpaksa juga Lebai Kidun mengajak anaknya Dolah Ganyut mengekori orang tua itu balik ke kampung halaman. Sewaktu sampai di rumah ayahnya, Lebai Kidun melihat rumah berkenaan terkunci kukuh.
Berdebar juga hatinya apabila kenang ayah dan emaknya yang sudah tua tidak sampai lagi ke rumah. Bimbang benar Lebai Kudin disebabkan emaknya tengah uzur terpaksa dipapah oleh ayahnya yang sudah berumur 100 tahun. Apa sangat tenaga orang tua demikian berkeras memapah emaknya yang uzur hingga lemah kaki tatkala berjejak!
"Datuk kamu ni keras hati," gerutu Lebai Kudin mengambil keputusan mahu menunggu di situ sehingga ayahnya balik.
"Tak sangka pula datuk sanggup buat macam ni," sahut Dolah Ganyut kesal dengan sikap datuknya seolah-olah melarikan nenek-nya tatkala dirawat.
"Kita kesihankan nenek kamu tu," tutur Lebai Kidun menahan rasa mendongol di hati. Tentu emaknya mengalami kesejukan sepanjang malam dipapah ayahnya melalui jalan tanah merah di tengah hutan kayu balak. Mahu dijejaki jalan berkenaan belum tentu pula mereka berdua ditemui di situ.
"Ah, datuk ni buat kerja sia-sia!" Dolah Ganyut mula tidak sabar mahu tinggalkan sahaja kampung datuknya. Kalau orang tua berkeras biarlah mereka berdua terlantar usah dijengah langsung. Tetapi dia tidak mahu ayahnya tersinggung sekiranya dia mengambil sikap demikian.
'Kalau tak balik petang ni, kita kena cari mereka ikut jalan kayu balak,°' ujar Lebai Kidun bimbang benar dengan keadaan emaknya yang tengah uzur. Lainlah emaknya sihat tentu tidak payah dipapah oleh ayahnya.
Tatkala ditanyakan pada Utih Juki jiran ayahnya di simpang jalan masuk ke situ, lelaki itu juga tidak terserempak Aki Dubin di mana-mana. Utih Juki juga menyangka Aki Dubin ikut sama ke rumah cucunya apabila dijemput Lebai Kidun sebelum itu.
Hingga santak petang mereka menunggu di rumah Utih Juki, tetapi Aki Dubin tidak juga jejak kaki balik ke rumah. Manalah tahu orang tua berkenaan tidak larat meneruskan perjalanan hingga terpaksa bertangguh di perdu pokok. Tentu emaknya Ngah Saelah tidak mampu lagi dipapah menyebabkan ayahnya terpaksa baringkan biar segar semula.
Tetapi Lebai Kidun tahu emaknya sudah lama menderita sakit, masakan boleh segar semula kalau takat berhenti rihat berbaring. Setelah diberitahu mengenai emaknya terkejang sakit dia terpaksa desak Dolah Ganyut bawa ke rumahnya. Setidak-tidaknya boleh dihantar ke hospital.
Apabila dibawa ke rumah Dolah Ganyut emaknya berkeras tidak mahu ke hospital. Keadaannya bertambah lemah asal sahaja meracau-racau memanggil suaminya Aki Dubin. Dalam masa Lebai Kidun berkira-kira mahu menjemput ayahnya itulah Aki Dubin terjongol menjengah Ngah Saelah. Sebaik sahaja dia terconggok di sisi Ngah Saelah keadaan isterinya sihat semula hingga berselera mahu menjamah bubur disudukan ke mulutnya.
Sampai tengah malam Lebai Kidun menunggu di rumah Utih Juki, ayahnya juga menjengah balik. Lantas sahaja Utih Juki teendesak supaya mereka menyusur jalan kayu balak di tengah hutan. Manalah tahu Aki Dubin tersesat hingga menemui jalan balik ke kampung. Setidak-tidaknya laporkan sahaja kepada polis biar mudah jejaki Aki Dubin kalau tersesat di hutan belukar.
Tetapi Lebai Kidun tidak percaya ayahnya tersesat di hutan. Dia mengesyaki emaknya bertambah uzur dipapah tatkala tengah malam. Wap dingin semasa angin bertiup sudah cukup membuatkan emaknya menderita. Salangkan di tengah rumah pun emaknya minta lingkupkan berlapis-lapis selimut akibat sejuk menusuk, inikan meranduk sepi malam di tengah hutan!
"Aki dengan Ngah Saelah selamat tu, Lebai," bisik Utih Juki seolah-olah dapat meramalkan keadaan orang tua berkenaan.
"Harap-harap begitulah, Utih," keluh Lebai Kidun menatap muka jiran ayahnya.
"Tapi, datuk tu dah seratus tahun umurnya," Dolah Ganyut bimbang keselamatan orang tua itu apabila berjalan kaki berbatu-batu meranduk hutan di sempadan.
"Seratus tahun umur dia tak sama dengan awak, Dolah," sahut Utih Juki tersengih-sengih apabila kenang jirannya yang sudah lama menetap di pinggir hutan. Tahu sangat dia mengenai Aki Dubin tidak pernah jejak kaki ke kedai semenjak menetap di situ bersama isterinya.
Aki Dubin sekadar pesan belikan garam sahaja sekira-nya Utih Juki mahu ke kedai jauh di pekan kecil. Tidak pernah Aki Dubin minta belikan beras, gula, kopi, minyak masak atau apa sahaja dalam usianya sudah seratus tahun. Memang Aki Dubin menanam padi huma, tumbuk kopi sendiri, perah tebu buat gula atau masak santan kelapa sampai jadi minyak.
Dalam usia tuanya Aki Dubin masih gagah menibar jala ke tengah sungai mencari ikan terbul, masai, susur batang atau sisik putih. Dia akan keringkan buat ikan masin dijemur dengan garam. Sebab itu Aki Dubin tidak akan teguk air paip disebabkan sudah menjadi kebiasaan minum air telaga seumur hidupnya.
Masakan dia mahu menjamah gula, kopi, beras atau lain-lain di rumah Lebai Kidun kalau dibeli di kedai. Sampai bila pun dia tidak akan berselera mahu menjamah. Sebab itu dia bawa bekal air telaga apabila jejak kaki ke rumah Dolah Ganyut menjengah isterinya terkejang sakit.
Utih Juki satu-satunya yang tahu mengenai rahsia orang tua itu, hingga dia kerap bertandang ke rumah Aki Dubin. Memang Aki Dubin tidak mahu Utih Juki bawa apa-apa pun ke rumahnya kalau dibeli dari kedai. Tidak satu pun yang kurang di dalam rumahnya kalau takat bekalan makan dia suami isteri. Sebab itu Aki Dubin tidak harap anak-anak membantu selagi dia masih gagah turun berkebun di keliling rumah.
Setiap kali Utih Juki menjengah selepas habis isya, memang Aki Dubin; belum rebahkan badan. Dia tidak akan tidur kalau takat terkuap-kuap sahaja. Sekiranya Utih Juki terlelap tatkala rebahkan badan di tengah serambi, dia akan kejutkan sebaik sahaja tengah malam tatkala kuang galak bersahut di rimba.
Cepat-cepat pula Utih turun ke telaga mengambil wuduk terus solat tahajud bersama. Kemudian dia ikut Aki Dubin berzikir hingga santak subuh. Bukan mudah dia mahu biasakan diri mengikut Aki Dubin bangun tengah malam. Sekiranya tidak tabahkan semangat. Tetapi Utih Juki bertandang ke situ memang harapkan dapat mengikuti orang tua itu sekali pun terpaksa melawan kelemahan yang menggangu dalam dirinya.
"Aki Dubin takkan sesat di jalan," beritahu Utih Juki perlahan ingatkan Lebai Kidun apabila menjengah rumah Aki Dubin masih terkurici rapat.
"Saya bimbang emak saya tengah uzur," tutur Lebai Kidun terharu dengan keputusan ayahnya larikan juga emaknya tatkala mereka seisi rumah tengah nyenyak tidur.
"Ngah Saelah akan lebih uzur kalau berjauhan dari Aki Dubin," jelas Utih Juki tersenyum menatap muka Lebai Kidun.
"Tak faham saya dengan sikap datuk tu!" gerutu Dolah Ganyut seolah-olah tidak mahu lagi bertahan menunggu datuknya. Kalau tidak kenang ayahnya berkuat mahu menunggu memang Dolah Ganyut akan gesa supaya balik sahaja tinggalkan kampung ter-perosok itu.
"Sabarlah dulu Dolah," pujuk Lebai Kidun tidak sampai hati mahu tergesa-gesa balik. Semenjak ayahnya berpindah jauh di kampung terperosok itu memang sukar memujuknya dia supaya tinggal bersama anak cucu. "Kalau maghrib dia tak juga sampai, kita kena beritahu ketua kampung," ujarnya meminta bantuan Utih Juki biar sampaikan perkara ayahnya tidak balik jejak ke rumah kepada ketua kampung.
Terpulanglah pada ketua kampung Haji Deramin sama ada mahu lapurkan kepada polis atau pun tidak. Sudah tentu polis akan meranduk jalan kayu balak di tengah hutan sebaik sahaja dilaporkan oleh Haji Deramin mengenai Aki Dubin hilang dalam perjalanan balik ke rumah.
Tetapi Aki Dubin bukannya hilang semasa masuk ke hutan mencari rotan atau akar kayu. Dia larikan diri dari rumah cucunya Dolah Ganyut disebabkan mahu membawa balik isterinya ke rumah. Apabila dia tidak balik ke rumah, tentu siapa pun tidak boleh tuduh dia hilang di hutan. Manalah tahu Aki Dubin tidak melalui jalan kayu balak di tengah hutan apabila membawa isterinya Ngah Saelah balik ke rumah.
"Kawan rasa, Aki Dubin to tak ke mana-mana!" tutur Utih Juki memujuk Lebai Kidun dua beranak.
Kemudian dia melangkah tiga jejak menuju ke tangga rumah Aki Dubin. Setelah dikisar tumit ke tanah, Utih Juki jejakkan kaki pada anak tangga lantas membacakan al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-lkhlas, al-Falaq dan an-Nas. Terasa bergetar tapak kakinya apabila dia membacakan:
Qod-ja akumul hoqqu mir-rabbikum famanihtada fa-innama yahtadi /inafsihi, waman dholla fa-innama yudhillu 'alaiha wama-ana 'alaikum biwakil.
Tatkala dia melihat kabus mengelilingi dirinya cepat-cepat dia kuakkan tangan. Di celah kabus yang menipis laksana asap melabun dia seolah-olah ternampak Aki Dubin mandikan Ngah Saelah dengan air embun yang bertakung pada daun-daun. Asal sahaja dititikkan embun pada ubun-ubunnya semakin segar Ngah Saelah bergerak.
Tidak bertangguh pula dia mencapai daun-daun kayu menakung embun dipercikkan pada tubuhnya. Pakaiannya juga basah lukus akibat disinggahi embun pada daun-daun kayu apabila meranduk belukar di kawasan hutan. Ketika ini Aki Dubin berlari menyusupkan kepala di celah belukar bagaikan tengah berenang di tengah air jeram.
Sekali gus pula Ngah Saelah ikut sama berlari biar tubuhnya benar-benar segar. Beberapa kali Utih Juki beristighfar menyebabkan Lebai Kidun terkejut tidak ketahuan. Hairan juga dia dengan kelakuan Utih Juki bagaikan merungut-rungut apabila merenung tajam ke udara.
"Kenapa Utih?" segera Lebai Kidun menepuk bahu Utih Juki menyebabkan Ielaki itu tersengih-sengih berpaling ke arahnya.
"Awak balik aje Iaaa, Lebai," lantas Utih Juki ingatkan dia supaya tidak bersusah payah sangat menunggu Aki Dubin di situ. "Kalau tunggu pun di sini, boleh jadi Aki Dubin tak balik ujarnya semacam mengagak memang orang itu tidak akan jejak kaki balik ke rumahnya malam berkenaan.
"Kita kena beritahu juga Haji Deramin," tidak sabar Dolah Ganyut mahu segera melapurkan mengenai kehilangan datuknya.
"Aki Dubin bukannya hilang di hutan, dia hilang di rumah awak!" tegas Utih Juki macam sengaja menyindir "Buat apa nak bagitahu Haji Deramin, lagi pun awak dengarlah cakap kawan ni, baliklah dulu,'' dia menambah bagaikan tidak mahu sangat melayani lagi setelah menyedari Lebai Kidun seolah-olah memaksa ayahnya sewaktu membawa emaknya ke rumah Dolah Ganyut.
Terpaksa juga Lebai Kidun mengajak anaknya balik, setelah diingatkan demikian oleh Utih Juki. Katau dia menunggu di situ pun belum tentu ayah dan emaknya jejak kaki balik ke rumah. Apa lagi mahu beritahu Haji Deramin, tentu ketua kampung itu akan mengejeknya apabila ayah sendiri melarikan diri dari rumah. Masakan ayahnya melarikan diri sekiranya dilayan dengan baik.
Tahu sangat Lebai Kidun ayahnya tersinggung apabila anak cucu sengaja tidak mahu menjengah setelah dia berpindah jauh di kampung pedalaman. Berkeras sangat Aki Dubin usahakan tanah di pinggir hutan diteroka tempat dia bercucuk tanam. Haji Deramin yang bantu tatkala dia memohon dapatkan tanah untuk meneroka ketika itu.
Memang masa perintah orang putih mudah sangat memohon tanah sekiranya mahu meneroka. Asal sahaja mampu menebang tebas pokok-pokok besar lima enam pemeluk, siapa pun tidak larang dia meneroka. Sebab itu Aki Dubin mengajak Ngah Saelah di kampung pendalaman di kawasan Jerantut, biar jauh terpencil daripada anak cucu.
Lebai Kidun tidak berani membantah apa-apa setelah ayahnya membuat keputusan mahu meneroka tanah. Ayahnya tidak mahu menjamah makanan kalau dibeli di kedai Cina. Kadangkala dia akan terjeluih muntah kalau gagahi juga menjamah makanan yang dibeli sama ada beras, gula, kopi, asam atau garam.
Biarlah dia tinggal terpencil di pinggir hutan asal sahaja boleh menanam padi huma, menanam tebu sampai tumbuh berumpun-rumpun, menanam kopi biar mudah ditumbuk buat serbuk. Dia akan meranduk hutan mencari buah asam gelugur, kemudian diracik sebelum dijemur kering.
Apa lagi selepas perintah orang putih, Aki Dubin tidak mahu meneguk air paip yang mencurah. Dia Iebih selesa mencedok air di telaga apabila meneguk minuman. Apabila masuk ke hutan sengaja dia menadah air jeram yang mencurah di atas batu untuk minuman bersama Ngah Saelah.
Sebab itu Utih Juki tahu sangat sikap Aki Dubin apabila sengaja menjauhkan diri daripada anak cucu. Manalah Dolah Ganyut tahu mengenai datuknya tidak mahu meneguk air paip di pekan kecil di sempadan, atau menjamah makanan yang dibeli dari kedai Cina. Malah Dolah Ganyut tidak pernah melihat Aki Dubin marah hingga meramas-ramas anak tangga sampai hancur Iaksana jerami padi diirik kaki.
Tatkala babi hutan melunggah tanaman di kebun, kepalang marahnya Aki Dubin. Dalam masa menahan kemarahan itulah dia meramas-ramas anak tangga menyebabkan Utih Juki gerun tidak menentu. Sekali gus pula Aki Dubin menampar perdu pokok kelapa di hadapan rumah melepaskan marah yang mendongkol di hati. Tiga hari sahaja selepas perdu pokok kelapa ditampar, tiba-tiba sahaja pelepah daun layu hingga luruh ke tanah.
Semenjak itu Utih Juki dapat mengagak Aki Dubin sekadar melepaskan .rasa marah dengan menampar perdu pokok. Dia tidak akan memarahi Ngah Saelah apabila isterinya terlupa tanamkan kemenyan yang dipesankan. Dia sudah sediakan tiga ketul kemenyan ditanamkan di tengah kebun biar babi hutan tidak menyondol tanah. Memang Aki Dubin tahu setelah kemenyan berkenaan didoakan nescaya babi hutan tidak akan dapat menyerbu masuk. Dia akan bacakan pada kemenyan:
Qau-lan wafi'lan inna bothsyo rabbika lasyadidun wallahhu-min wara-ihim inuhith, bal-huwa Qur-anum rnalidun fi-lohim mahfuzzin sommum bukmum 'umyun fahum layarji'un sommum bukmum 'umyun fahum laya'qilun, sommum bukmum umyun fahum layatakallamun, sommum bukmum 'umyun fahum layubsirun.
Aki Dubin sudah berpengalaman asal sahaja dibacakan doa demikian. Nescaya binatang liar tidak akan mengganggu tanaman di kebun setiap kali dia meneroka di mana-mana. Bukan di kampung pendalaman di Jerantut sahaja Aki Dubin meneroka dalam masa perintah orang putih, malah di Endau juga dia pernah meneroka.
Ketika ini dia berkawan rapat dengan Wak Sarmin apabila sama-sama berjiran meneroka tanah hutan. Beberapa kali juga Aki Dubin menemui Tok Aji tatkala orang tua itu berkunjung ke rumah Wak Sarmin. Terkekeh-kekeh Aki Dubin ketawa apabila Tok Aji beritahu mengenai Wak Sarmin melarikan diri ke Endau setelah isterinya Lisun merajuk tidak mahu menatap mukanya.
Masakan Lisun sanggup balik tinggal bersama Wak Sarmin, setelah melihat sendiri suaminya meneran ekor di tengah rumah hingga menjelma menjadi harimau. Terkaku Lisun sampai tidak sedarkan diri apabila melihat harimau melompat-lompat sampai bergegar lantai.
Tetapi Aki Dubin sengaja rahsiakan dari kawan-kawannya apabila berpindah meneroka ke Endau. Sudah beberapa kali berkahwin tidak pernah dia mendapat anak. Kadangkala isterinya keguguran sampai berminggu-minggu terkejang sakit. Sekiranya isteri Aki Dubin bersalin pun anaknya tidak sempat pandai berlari, tiba-tiba sahaja terkancing gigi terkejang tidak sedarkan diri.
Tidak sempat diubati apa-apa anaknya meninggal dunia. Sebak benar hati Aki Dubin apabila kenang kejadian yang menimpa diri-nya. Asal sahaja isterinya meninggai dunia, atau bercerai tidak selamatkan rumah tangga, nescaya Aki Dubin berpindah jauh dari kampung halaman.
"Nampaknya nasib saya sama dengan Sarmin, Abang Aji," ujar Aki Dubin apabila terserempak Tok Aji berkunjung ke rumah Wak Sarmin.
"Kamu lebih bernasib baik dari aku, Dubin!" sahut Wak Sarmin mencebek bibir apabila kenang kejadian isterinya Lisun tidak mahu balik semula ke pangkuannya. Kalau tidak disebabkan Lisun teringin sangat mahu melihat harimau hidup di tengah hutan tatkala mengandung, memang Wak Sarmin tidak rela jelmakan dirinya menjadi harimau.
"Tak tahulah, Sarmin!" tutur Aki Dubin perlahan dalam keluhan yang berat. Sewaktu berpindah ke Endau meneroka bersama Wak Sarmin memang dia belum berkahwin dengan Ngah Saelah. "Kadangkala aku rasa takut nak kahwin lagi," beritahunya secara jujur setelah beberapa kali berkahwin tidak pernah dapat bertahan lama.
Asal sahaja anaknya mati mengejut setelah berumur beberapa bulan, tiba-tiba sahaja isterinya melarikan diri. Lantas sahaja isterinya menuduh Aki Dubin menjelma menjadi beruang tatkala tengah nyenyak tidur. Asal sahaja dia berdengkur kuat nescaya isterinya terkejut tengah malam.
Tatkala isterinya bingkas bangun dia akan meiihat beruang hitam tergolek tidur di sisinya. Tidak bertangguh isterinya lari berlindung di rumah jiran dengan mengambil keputusan tidak mahu balik menjengah Aki Dubin. Bukan takat tatkala anaknya mati mengejut sahaja, malah sewaktu isterinya keguguran pun terjerit-jerit perempuan itu tengah malam apabila Aki Dubin berdengkur kuat.
Apabila Aki Dubin terkejut tidur, hairan benar dia apabila isterinya menuduh dia beruang hitam mahu menerkam. Berminggu-minggu isterinya ketakutan tidak mahu menatap muka Aki Dubin setelah melihat suaminya rnenjelma menjadi beruang.
"Buang aje susuk lantak kamu tu, Dubin," lantas Tok Aji ingatkan dia mengenai susuk lantak yang ditusuk-kan pada rusuknya.
"Tak pernah saya amalkan susuk, Abang Aji," terkejut juga Aki Dubin apabila diberitahu Tok Aji mengenai susuk lantak yang ditusukkan pada rusuknya.
"Mari aku tengok," segera Tok Aji menyuruh dia lunjurkan kaki.
Sebaik sahaja Aki Dubin lunjurkan kaki segera Tok Aji memegang ibu jari kakinya. Sekali gus pula kawannya itu terjerit apabila terasa ibu jari kakinya bagaikan tersentuh besi panas disepuh ke api.
"Kalau ada susuk, buangkan aje Abang Aji," lantas Aki Dubin mendesak setelah menyedari dirinya ditusukkan susuk lantak oleh arwah datuknya tatkala masih lagi anak kecil baru pandai merangkak.
Bimbang sangat arwah datuknya dia akan jatuh terguling hingga luka kepala lutut sewaktu tengah merangkak. Apabila ditusuk-kan susuk lantak, cucunya tidak akan mengalami luka sekalipun jatuh tergolek di mana-mana. Semasa berkahwin dengan Ngah Saelah memang Aki Dubin mengaku di depan Tok Aji dia sudah empat puluh empat kali berkahwin.
Manalah dia tahu susuk lantak yang ditusuk arwah datuknya menyebabkan isterinya menuduh dia beruang hitam tergolek apabila berdengkur kuat tatkala tengah nyenyak tidur.
Selepas berkahwin dengan Ngah Saelah lantas sahaja dia berpindah ke Pahang. Memang Aki Dubin tidak selesa tinggal di kampung didiami orang ramai, lantas sahaja mengambil keputusan meneroka jauh di pedalaman.
Sewaktu Lebai Kidun bersama Dolah Ganyut jejak kaki balik ke rumahnya, dia terkejut mendapat ayahnya terconggok di tengah serambi. Emaknya Ngah Saelah juga sudah kelihatan segar tidak terkejang menanggung kesakitan apa-apa. Ngah Saelah beritahu mengenai Aki Dubin mandikan dia dengan air embun di pinggir hutan..
Setelah dimandikan dengan air embun terasa badannya kembali segar tidak sakit sengal-sengal tubuh Iagi. Ketika ini Lebai Kidun tetap ingatkan fasal Utih Juki merungut-rungut bagaikan bercakap dengan ayahnya semasa letakkan tapak kaki pada anak tangga.
"Emak kamu dah sembuh, biar aku bawa balik pagi besok!" tegas Aki Dubin tidak akan terburu-buru balik ke rumahnya tatkala malam demikian.
Lebai Kidun tidak menyahut apa-apa. Dia menyedari kesilapannya berkeras sangat mahu bawa emaknya berubat, sekali pun terpaksa tinggalkan ayahnya bersendirian. Memang jauh di lubuk hatinya Lebai Kidun menyedari ayahnya sudah empat puluh empat kali berkahwin.
Setelah berkahwin dengan emaknya barulah ayahnya kekal beristeri sehingga berusia 100 tahun. Sebab itu dia bimbang emaknya akan mengalami kejadian yang menimpa isteri-isteri ayahnya bertahun-tahun lampau. Tentu emaknya akan terkejut sekiranya melihat ayahnya menjelma menjadi beruang hitam tergolek, dalam masa terkejang sakit.
Ke mana emaknya mahu berlindung sekiranya ayahnya menjelma menjadi beruang apabila berdengkur kuat? Sekalipun sudah beberapa kali Lebai Kidun cam ayahnya tidak manjelma menjadi beruang apabila berdengkur kuat tengah malam, tetapi dia bimbang benar emaknya ketakutan sekiranya kejadian demikian berulang juga!

No comments:

Post a Comment