Sunday, October 4, 2015

144. SUAMI BERTUKAR JADI BERUANG



TAKAT mendengar cerita orang-orang kampung samalah macam percayakan khabar angin sahaja. Manalah boleh dipercayai sangat kalau khabar angin menyebut ayahnya menjelma menjadi beruang hitam apabila tidur berdengkur kuat tengah malam. Sudah beberapa orang isterinya tergamam apabila mendapati Aki Dubin berdengkur kuat hingga menjelma menjadi beruang hitam.
Siapalah yang boleh bertahan tatkala melihat suami menjadi beruang hitam nyenyak tidur dengan mulut ternganga. Sebab itu Mak Jibah lari tengah malam tinggalkan suami minta berlindung di rumah jiran. Didesak supaya balik semula ke rumah pun Mak Jibah tidak akan jengah sekiranya menatap muka Aki Dubin.
Kejadian yang menimpa Mak Jibah berlaku apabila anak kecilnya berumur tujuh bulan tiba-tiba sahaja terkancing mulut. Dua hari anaknya terkejang akhirnya rnati dengan kesan lebam di seluruh badan. Kak Tisah juga bergegas-gegas lari balik ke rumah ayahnya sekalipun rnasih lemah badan akibat keguguran.
Kak Tisah melihat dalam kesamaran pelita jelmaan beruang hitam tergolek di sisinya dengan dengkur beralun-alun. Sepanjang rnalam Kak Tisah meracau-racau takutkan beruang hitam tidur di sampingnya. Tetapi Aki Dubin tidak tahu apa-apa mengenai beruang hitam berkenaan, sekalipun semua isterinya menuduh demikian.
Tatkala melarikan diri ke Endau meneroka bersama Wak Sarmin, memang Aki Dubin mahu melupakan kisah silamnya setelah beberapa kali berkahwin. Dia tidak mahu kejadian isterinya lari tengah malam berulang lagi sekiranya gagahi juga mahu berkahwin lain. Sebab itu dia harapkan Tok Aji buangkan sahaja susuk lantak yang ditusukkan pada rusuknya.
Tiga malam berturut-turut Tok Aji menyuruh dia minum air jeram, menyebabkan Aki Dubin termuntah-muntah hingga terasa perutnya bagaikan dirempuh kuat. Tok Aji tuliskan kalimah syahadat pada tujuh helai daun pucuk kelapa dicampakkan ke dalam telaga. Dia melarang Aki Dubin mandi di mana-mana selama 44 hari, kecuali guna-kan air di telaga berkenaan sahaja.
Selepas amalkan mandi air di telaga dan meneguk air jeram itu, Aki Dubin terserempak beruang hitam tempang kaki. Lama beruang berkenaan merenungnya sebelum terkedek-kedek meninggalkan dirinya. Semenjak itu Aki Dubin mengalami sengal-sengal seluruh badan. Mudah sahaja kakinya terluka hingga menjadi kudis mengangkat nanah.
Lantas Tok Aji menyuruhnya rebuskan daun betik yang kekuningan diminum berturut-turut tiga pagi. Setelah direbus daun betik direbus Tok Aji doakan dengan membaca tiga kali:
Tho ha, ma-anzalna ‘alaikal Qur-ana litasyqo, illaazkira tan limai- yakhs yo, tanzilam mimman kholaciol ardho wassamawatil 'ula, arrahmanu 'alal 'arsyistawa.
Sebab itu Aki Dubin tidak akan meneguk air paip, 'setelah amalkan minum air dicedok dari telaga. Kadang-kala dia sanggup angkat air jeram dengan. timba asal sahaja dapat meneguk air yang terpancut dari mata air.
"Sudah saya cam, tak pernah ayah menjelma jadi beruang, ustaz," beritahu Lebai Kidun jelaskan sewaktu saya ke Jerantut menemui Aki Dubin. Menitik juga air mata Aki Dubin apabila pertama kali menatap muka saya apabila kenang Tok Aji ketika mereka sering bertemu di rumah Wak Sarmin di Endau.
Asal sahaja tengah malam Lebai Kidun akan menjengah ayahnya tidur di tengah rumah, tetapi Aki Dubin sudah bingkas bangun mengambil wuduk di telaga. Lantas sahaja Aki Dubin solat sunat tahajud berturut-turut malam. Kalau tidak bangun solat sunat tahajud pun, Lebai Kidun tidak melihat apa-apa perubahan pada diri ayahnya.
Sekali-sekala apabila Aki Dubin membentak marah dia tidak akan menyergah sesiapa. Ketika ini Aki Dubin akan tampar tangannya pada perdu pokok sekuat tenaga. Apabila dia tampar perdu pokok kekabu hanya dalam masa beberapa minit sahaja pokok berkenaan layu daun. Tiga hari selepas itu pokok kekabu tersebut habis luruh daunnya ke tanah.
Lama kelamaan pokok kekabu menjadi kering tidak berguna. Memang tidak pernah Aki Dubin marahi anak-anak sampai memukul dengan rotan. Sewaktu Lebai Kidun masih remaja, merungut juga Aki Dubin apabila anaknya leka belajar memencak silat di rumah Malim Sawar sampai tinggalkan solat.
Disebabkan Lebai Kidun tahu ayahnya tidak akan bertindak garang, sengaja dia mengacah-acah ayahnya dengan memencak di tengah halaman. Marah juga Aki Dubin apabila diperolok-olokkan anaknya. Kalau tidak kenang perintah Tok Aji larang dia merotan anak-anak selepas berkahwin kali ke empat puluh empat dengan Ngah Saelah mahu sahaja dia terjun ke tengah halaman menampar Lebai Kidun.
Tetapi dia terpaksa menahan kemarahan yang bergejolak di hati. Lantas ditamparnya sahaja kepala tangga. Sekali gus pula Lebai Kidun jatuh terduduk apabila terasa lututnya sakit laksana dihentak kuat. Tiga hari selepas itu tiba-tiba sahaja bisul meletus pada lutut Lebai Kidun.
Lantas sahaja Ngah Saelah marahi Aki Dubin apabila melihat lutut Lebai Kidun membengkak akibat bisul meletus. Manalah Aki Dubin tahu mengenai bisul membengkak pada lutut anaknya selepas sahaja melepaskan geram menampar kepala tangga. Lainlah kalau dia jentik kepala lutut Lebai Kidun semasa memencak silat di tengah halaman.
Tetapi memang Aki Dubin mengerling kepala lutut Lebai Kidun semasa anaknya melompat memencak silat. Tahu sangat Ngah Saelah tentu jauh di sudut hati suaminya berdetak seolah-olah menjentik kepala lutut Lebai Kidun. Sebab itu mudah sahaja marahnya singgah pada kepala lutut Lebai Kidun hinggakan meletus bisul membengkak.
Sebab itu Tok Aji larang sangat Aki Dubin marahi anak kerana bimbang terlintas sahaja detik dalam sanubarinya. Asal terlintas sahaja detik di hatinya, sudah tentu anaknya sendiri menanggung padah. Ketika ini dia dapat merasakan bagaimana lutut Lebai Kidun membengkak apabila kemarahannya mendongkol laksana bisul membengkak di hati.
"Dengan anak sendiri pun nak lepaskan dendam!" gerutu Ngah Saelah kesal dengan kejadian yang menimpa Lebai Kidun.
"Hah, takkan aku nak buat kerja sia-sia," sahut Aki Dubin tidak menyangka anaknya sendiri menerima padah.
 "Buat apa amalkan ilmu, kalau anak sendiri jadi mangsa?" sengaja Ngah Saelah menyindir apabila suaminya macam tergamak menyakiti anak sendiri.
Terkilan juga hati Aki Dubin apabila dituduh demikian. Tidak terniat pun di hatinya mahu cederakan anak sendiri hingga meletus bisul pada kepala lutut. Dia sekadar menepuk kepala tangga tatkala hatinya berdetak seolah-olah menampar kepala lutut Lebai Kidun.
Tetapi dia tidak bimbang apa-apa. Segera Aki Dubin giling pucuk sembung dengan kapur sirih dengan membacakan:
Walau-anna Qur-anan suiyirat bihil jibalu au-quth-thi'at bihil-ardhu au-kullima bal-lillahhilamrujami'an, ya syafi ya kdfi ya mu'afi wabilhoqqi anzalnahu wabil-hoqqi nazala.
Setelah dipupuk semalaman dengan pucuk sembung digiling, bisul membengkak di kepala lutut Lebai Kidun sembuh serta merta. Sebab itu sampai bila pun Lebai Kidun tidak akan lupa kejadian dia mengacah-acah ayahnya dengan memencak silat. Memang dia terasa kepala lututnya seolah-olah dihentak kayu sebesar lengan sebaik sahaja ayahnya menampar kepala tangga.
Bukan dia sahaja tidak dapat melompat tatkala memencak silah mengacah-acah ayahnya, malah gajah liar tergolek apabila merempuh masuk ke tengah kebun pisang. Beberapa ekor gajah mahu meragut pucuk pisang tiba-tiba sahaja jatuh tergolek seolah-olah kakinya direntap kuat. Terkial-kial binatang berkenaan dengan kaki terjongket ke atas apabila badan tergolek tidak dapat bertampan.
Sebab itu Lebai Kidun mahu memastikan sama ada ayahnya berdengkur tengah malam menjelma menjadi beruang hitam atau sengaja khabar angin disibarkan oleh jiran-jiran. Beberapa kali dia bangun tengah malam menjengah ayahnya nyenyak tidur, tidak pula Aki Dubin tergolek menjadi beruang hitam.
Tetapi Aki Dubin tidak tersinggung apa-apa sekalipun khabar angin disibarkan fasal dia menjelma menjadi beruang hitam. Biarlah siapa pun mahu menuduhnya sampai tidak rela menatap mukanya di mana-mana, Aki Dubin tidak peduli. Dia juga ingatkan anaknya Lebai Kidun supaya tidak berkecil hati dengan khabar angin demikian.
Memang Lebai Kidun tidak peduli apa-apa setiap kali jiran-jiran ungkit mengenai ayahnya sudah berkahwin sampai empat puluh empat kali. Di mana sahaja Aki Dubin membawa diri nescaya dia berkahwin. Kadangkala tidak sampai serninggu berkahwin isterinya akan lari tengah malam tinggalkan Aki Dubin.
Sama juga macam Mak Jibah atau Kak Tisah, isteri Aki Dubin memang terkejut apabila lelaki itu berdengkur kuat. Tatkala bingkas bangun menatap muka Aki Dubin, mereka lihat sendiri beruang hitam tergolek di sisi. Mulut menganga dengan taring terseringai hingga dengkurnya juga beralun-alun.
Siapa yang sanggup bertahan apabila melihat suami sendiri menjelma menjadi beruang hitam dengan seluruh tubuh berbulu lebat. Kurrr, semangat bukan mudah mahu berhadapan dengan keadaan yang menggerunkan demikian!  Lebih baik mereka terjun ke tanah meranduk kegelapan malam berlindung di mana-mana sebelum jelmaan beruang hitam itu mengancam diri.
Masakan mereka mahu balik menjengah Aki Dubin setelah menyedari lelaki itu menjelma menjadi beruang hitam. Setelah berkahwin dengan Ngah Saelah tidak pernah pula isterinya terkejut bangun tengah malam akibat dengkur Aki Dubin bersenar kuat. Sampai bersalinkan Lebai Kidun pun tidak pernah Ngah Saelah mengalami kejadian yang dibimbangkan oleh isteri Aki Dubin sebelumnya.
"Kalau ayah amalkan amalan salah, mesti buang segera," lantas Lebai Kidun ingatkan ayahnya selepas lama belajar pondok di Patani. "Ayah perlu bertaubat supaya diridzai Allah!" sengaja dia menegur ayahnya apabila jiran-jiran ungkit mengenai kejadian isteri Aki Dubin larikan diri tengah malam.
Aki Dubin sekadar mengesat pelupuk matanya apabila kejadian masa lalunya diungkit juga. Sebab itu dia sengaja meneroka tanah jauh di pendalaman biar jauh dari sesiapa pun. Manalah mereka tahu mengenai kerusuhan yang ditanggungnya apabila isteri melarikan diri sewaktu dia tengah nyenyak tidur. Mereka menuduh dia menjelma menjadi beruang hitam hingga berdengkur kuat apabila tergolek macam tempayan tumbang.
Sengaja dia meneroka kawasan pinggir hutan di kampung pendalaman di Jerantut setelah anaknya Lebai Kidun ungkit juga mengenai kejadian masa lalunya. Dia sendiri tidak tahu mengenai beruang hitam yang menjelma tatkala dia tidur nyenyak sampai berdengkur kuat. Biarlah dia tersisih jauh dari sesiapa pun apabila diungkit mengenai kejadian tersebut.
Memang Aki Dubin tidak tahu apa-apa ketika Tok Aji beritahu mengenai susuk lantak yang ditusukkan pada rusuk kanannya. Arwah datuknya sengaja tusukkan semasa dia baru sahaja tahu bertatih. Sukar sangat emaknya mahu mengawal disebabkan Aki Dubin terlalu lasak ketika kanak-kanaknya hingga terguling di lantai. Beberapa kali kepalanya terhantuk pada bendul apabila langkahnya goyah tatkala berjejak di lantai.
 Sebab itu arwah datuknya tusukkan susuk lantak, biar tenaga Aki Dubin boleh bertahan. Setiap kali jatuh terguling kepalanya terhantuk ke bendul, tidak terjejas apa-apa pun kulitnya. Semasa berumur 10 tahun datuknya meninggal dunia, menyebabkan siapa pun tidak peduli lagi mengenai susuk lantak berkenaan.
Ketika ini mudah sahaja Aki Dubin marah sekiranya dia tersinggung perasaan. Kalau diejek kawan-kawan sebaya tidak bertangguh dia menjerit kuat. Sekali gus pula kawan-kawan sebaya bertempiaran lari apabila melihat Aki Dubin bagaikan beruk tunggal mengepak tangan. Beberapa kali juga mereka ternampak Aki Dubin menjelma macam beruk berbulu hitam seluruh badan.
Manalah emaknya tahu mengenai susuk lantak yang ditusuk pada rusuk kanan Aki Dubin. Sewaktu memanjat pokok rambutan emaknya Ulung Sarah terkejut apabila dahan rambutan sebab menyebabkan Aki Dubin tergelincir  kaki. Lantas sahaja dia terhumban ke bawah dengan rusuk kanannya tersendal pada tunggul.
Memang terkial-kial juga Aki Dubin menahan senak dada akibat rusuknya tersendal pada tunggul semasa jatuh terhumban dari pokok rambutan. Terpaksa pula Ulung Sarah urutkan belakangnya sampai Aki Dubin bernafas semula. Tetapi Aki Dubin tidak mengalami cedera apa-apa, malah tulang rusuknya juga patah terkehel.
"Saya ni tak sama dengan Sarmin, ustaz," beritahu Aki Dubin apabila saya menjengahnya bersama Utih Juki. Sengaja saya ungkit mengenai pertemuannya dengan Tok Aji dan Wak Sarmin semasa menetap di Endau bertahun-tahun sebelum itu.
"Bukankah Aki beritahu fasal Tok Aji buangkan susuk lantak tu?" lantas Utih Juki ingatkan dia mengenai Tok Aji menyuruh mandi air jeram sampai 44 pagi. Terpaksa dia masuk ke hutan bertenggek di atas batu jeram, kemudian jatuhkan badan ke tengah arus biar susuk lantak terkejut.
"Tok Aji tu dah macam ayah saya," bisik Aki Dubin perlahan terus mengesat 'pelupuk matanya yang basah akibat air tergenang.
"Kalau tak disebabkan Tok Aji, saya pun lari tengah malam ustaz," segera Ngah Saelah mencelah sengaja mahu mengusik suaminya.
 "Kenapa pula Ngah nak lari?" hairan juga Utih Juki apabila Ngah Saelah tuturkan demikian.
"Kamu nak tahu Juki, Aki Dubin kamu ni dah empat puluh empat kali kahwin, " tersengih-sengih Ngah Saelah jelaskan mengenai kejadian masa lampau yang menimpa suaminya. "Semua isterinya lari tengah malam disebabkan takut," ujarnya rnengerling Aki Dubin yang tersandar kukuh pada dinding.
"Kecuali Ngah Saelah kamu ni yang tak lari," sahut Aki Dubin terus terkekeh-kekeh ketawa dengan mengesat pelupuk matanya.
"Mereka tu nampak Aki Dubin macam beruang hitam," beritahu Ngah Saelah perlahan disebabkan dia tahu benar kejadian berkenaan hingga Aki Dubin merantau ke mana-mana membawa diri.
Memang Aki Dubin tidak dapat menyembunyikan kejadian yang menimpa dirinya itu apabila didesak oleh Wak Sarmin. Sengaja kawannya itu ingatkan dia bukan mudah orang-orang kampung mahu menerima hakikat dirinya tidak berniat menyakiti hati sesiapa. Lantas Wak Sarmin beritahu kejadian dia berkahwin dengan isterinya Lisun semasa di Kota Tinggi.
Apa sangat dengan kejadian Aki Dubin yang menjelma menjadi beruang hitam semasa tengah nyenyak tidur, kalau bandingkan dia didesak oleh Lisun mahu melihat harimau merayau-rayau tengah belukar. Tiba-tiba sahaja Lisun sedang mengandung mengidam sangat mahu melihat harimau merayau-rayau. Lisun teringin mahu menepuk-nepuk kepala harimau macam kucing di tengah rumah, disebabkan dia tahu kebolehan Wak Sarmin jinakkan harirnau ganas di hutan.
Lisun mahu melihat sendiri harimau berkenaan jinak di depannya, setelah mendengar abangnya sendiri hampir diterkam harimau ganas tetapi diselarnatkan oleh Wak Sarrnin. Seisi kampung menjadi cemas apabila abangnya tidak sempat naik ke atas pondok ran tatkala harimau ganas semakin rapat ke arahnya.
Siapa lagi boleh diharapkan kalau bukan Wak Sarmin melompat turun dari pondok ran. Terketar-ketar harimau tersebut sebaik sahaja berhadapan dengan Wak Sarmin. Sebab itu Lisun percaya suaminya boleh jinakkan harimau ganas di hutan. Tentu dia dapat menepuk-nepuk kepala harimau yang dijinakkan suaminya setelah mengidam sangat sewaktu mengandung.
Lantas sahaja dia menyuruh Lisun bersembunyi di atas loteng rumah sekiranya mahu melihat harimau jinak. Ketika ini dia membakar kemenyan lantas menyeru:
Hai, saudara ku yang berlapan, empat di sisiku empat di sanubariku, lindungkan aku siang hari ini, lindungkan aku malam hari ini.
Dalam masa beberapa minit sahaja Lisun melihat dari atas loteng rumah tubuh suaminya diliputi asap kemenyan melabun tebal. Ketika ini muka Wak Sarmin bertukar merah padam dengan pipinya kembung bagaikan membengkak. Sebaik sahaja suaminya mendengus-dengus meneran hingga terjulur ekor panjang, seluruh badannya bertukar menjelma menjadi harimau.
Apabila harimau berkenaan melompat-lompat di tengah rumah, sekali gus pula Lisun rebah tergolek. Tubuhnya terasa seolah-olah ringan melayang ke udara sebaik sahaja melihat harimau tergeleng-geleng kepala. Dia terkejut hingga mengalami sesak nafas dengan tidak sempat turun mahu menepuk-nepuk kepala.
Kejadian itulah menyebabkan Lisun tidak mahu lagi menatap muka Wak Sarmin setelah dipapah balik ke rumah ayahnya. Puas dipujuk abangnya supaya balik semula ke rumah, Lisun tetap berkeras tidak mahu lagi menatap muka Wak Sarmin. Kecewa benar dia berkahwin dengan Wak Sarmin bagaikan menjadi isteri seekor harimau yang terconggok di tengah rumah.
Sebab itu Aki Dubin merasakan kecekalan hati Wak Sarmin tidak sama dengan dirinya, setelah dituduh isteri sendiri macam harimau liar. Memang Wak Sarmin tahu mengenai jelmaan harimau berkenaan setelah menyeru dengan amalan sejak meninggalkan kampung halaman jauh di seberang.
Tetapi Aki Dubin tidak tahu apa-apa mengenai jelmaan beruang hitam yang berdengkur kuat tatkala nyenyak tidur di sisi isterinya. Kalau tidak disebabkan Tok Aji beritahu mengenai susuk lantak yang ditusukkan, sampai bila pun Aki Dubin tidak tahu mengenai jelmaan beruang hitam berkenaan. Dia sekadar dituduh Mak Jibah bertukar menjadi beruang hitam asal sahaja malam menjelang.
Bukan Mak Jibah sahaja menuduh dia demikian, malah Kak Tisah juga sampai dirasuk tidak ketahuan. Lama Kak Tisah menderita hingga tidak siuman akibat terkejut menatap suaminya menjadi beruang hitam berdengkur kuat tengah tidur nyenyak. Asal sahaja Aki Dubin berkahwin nescaya isterinya larl tengah malam setelah ketakutan apabila dengkur hitam tergolek di sisi terigau-igau berterusan.
Tatkala humbankan diri ke tengah arus jeram apabila disuruh Tok Aji mandi berturut-turut 44 pagi sebelum matahari memancar, terasa pada Aki Dubin tubuhnya laksana air jeram yang terhempas ke batu. Seolah-olah berkecai hancur tubuhnya apabila berdoa sebelum cecah ke air dengan membacakan:
Wattabl'u ahsana ma-unzila ilaikum min-rabbikum qobli ai-yatiyakumul 'azabu baghtatau wa-antum latasy-'urun.
Setelah selesai 44 pagi dia mandi air jeram, Aki Dubin terserempak beruang hitam tempang melintas di depannya. Apabila dia merenung tajam Aki Dubin nampak air tergenang pada mata beruang berkenaan. Kemudian beruang berkenaan  terdengkot-dengkot berjalan menyusup belukar tinggalkan dia terpinga-pinga di situ.
Apabila diberitahu pada Tok Aji dia sekadar diingat supaya teruskan bangun tengah malam solat tahajud sampai 100 malam. Dalam masa dia bangun amalkan solat tahajud inilah Aki Dubin berturut-turut malam bermimpi melihat datuknya menjelma. Sayu sahaja wajah datuknya Tok Lanjun dengan melangkah tertenjot-tenjot apabila tulang rusuknya patah hingga terjulur keluar macam gelegar buluh terpokah.
"Kamu amalkan apa yang diajar Tok Aji tu," ujar Tok Lanjun terketar-ketar menahan kesakitan akibat tulang rusuknya patah terpokah.
"Tapi, kenapa datuk jadi macam ni?" rusuh juga hati Aki Dubin apabila kenang keadaan diri arwah datuknya yang menderita.
"Tak apalah, perkara datuk ni biarlah habis begini aje," Tok Lanjun cuba mengukir senyum sekalipun jauh di lubuk hatinya dia menanggung kesengsaraan yang menusuk.
Memang Tok Lanjun mengakui tusukkan susuk lantak pada rusuk Aki Dubin, supaya tidak cedera sekiranya jatuh tersungkur. Disebabkan Aki Dubin terlalu lasak semasa kanak-kanak hingga sukar dikawal, tentulah mudah cedera kalau tersungkur di lantai. Apa lagi beberapa kali terhantuk kepala pada bendul.
Sebab itu dia tusukkan susuk lantak yang diperbuat dari kuku beruang. Siapa pun tidak tahu bagaimana Tok Lanjun memburu beruang hitam di tengah hutan, apabila amalkan susuk lantak. Kuku beruang berkenaan dikikis halus dijadikan macam jarum biar mudah ditusukkan pada rusuk cucunya Aki Dubin.
Sebaik sahaja dia amalkan susuk lantak, sekali gus sahaja Tok Lanjun diserbu beruang hitam sewaktu nyenyak tidur. Terasa dia sesak nafas apabila dadanya dihenyak beruang berkenaan. Apabila terkejut dari tidur, tidak bertangguh Tok Lanjun kilas tangan beruang itu ke belakang. Tenaganya menjadi gagah tidak semena-mena, lantas dicekak tengkuk beruang berkenaan.
Ketika ini dia seolah-olah mencekak tengkuk kucing tertiarap di dapur. Belum sempat dia campakkan beruang tersebut ke tanah, tiba-tiba binatang itu menjelma menjadi lelaki tua bongkok dengan jarinya berkuku panjang. Tersengih-sengih orang tua bongkok itu memuji keberanian Tok Lanjun.
Setelah jelmaan lelaki tua bongkok itu hilang dalam kesamaran malam, Tok Lanjun berasa tubuhnya sengal-sengal sendi sampai seminggu. Ketika ini kukunya terasa gatal tidak menentu. Apabila dicakar pada bendul sekali gus pula bendul rumah terkopak laksana pelepah rumbia disiat mudah.
Tahulah Tok Lanjun kekuatan kukunya sama macam beruang mencakar pokok. Sebab itu berhati-hati sangat dia sekiranya mahu marahi anak cucu kerana bimbang kuku tangannya boleh cederakan mereka. Kadangkala Tok Lanjun sendiri mengalami pitam sampai terhuyung hayang apabila menahan kemarahan yang mendongkol di hati. Memang Aki Dubin melihat jelmaan datuknya bagaikan berlari di tengah hutan tertempang-tempang kaki apabila menjadi beruang hitam.
Tok Lanjun mengalami cedera parah kalau terus bertahan apabila susuk lantak pada rusuk Aki Dubin disentap oleh Tok Aji. Sewaktu Tok Aji menyentap keluar susuk lantak berkenaan samalah macam dia mencabut habis kuku Tok Lanjun. Terjerit-jerit Tok Lanjun apabila kukunya habis tercabut hingga tidak mampu lagi mencengkam kuat.
Tetapi dia tidak marah apa-apa setelah Aki Dubin tidak lagi bersatu dengan dirinya. Memang terkial-kial Tok Lanjun mahu melepaskan dirinya dari Aki Dubin tetapi kukunya terus juga mencengkam pada rusuk cucunya. Kalau kukunya tidak dicabut habis oleh Tok Aji nescaya sampai bila pun cengkamannya tidak akan terlepas.
"Kamu turutilah amalan Tok Aji tu," tutur Tok Lanjun ingatkan cucunya apabila berundur tidak bertahan.
Beberapa kali Aki Dubin beristighfar apabila kenang terserempak arwah datuknya. Saat ini air matanya tergenang di pelupuk disebabkan terpaksa tinggalkan kampung halaman setelah diungkit mengenai dirinya menjelma menjadi beruang. Masakan dia boleh sembunyikan kejadian demikian setelah bekas isterinya menuduh!
Kalau tidak disebabkan malang menimpa dirinya memang Aki Dubin juga tidak tergamak berkahwin berulang kali. Kadangkala bimbang juga Aki Dubin mahu berkahwin lagi, tetapi mudah sangat perempuan terpikat asal sahaja terserempak di mana-mana. Asal sahaja didesak supaya berkahwin serba salah benar dia mahu mengelak.
Masakan dia mahu berterus terang mengenai dirinya menjelma menjadi beruang hitam sekiranya berkeras tidak mahu berkahwin. Tatkala Pak Junoh dibelit ular sawa yang menunggu di kandang kambingnya, seisi kampung menjadi cemas tidak menentu. Aki Dubin yang baru sahaja berpindah ke kampung berkenaan tidak bertangguh melompat mencekak kepala ular sawa berkenaan.
Sebaik sahaja tangannya mencekak seolah-olah kukunya mencengkam kuat. Tidak bertangguh disiatnya tubuh ular berkenaan bagaikan merentap empulur batang pisang. Memang terkejut orang-orang kampung dengan kekuatan luar biasa Aki Dubin. Semenjak itu Pak Junoh terasa terhutang budi sangat terhadapnya hingga mendesak supaya dikahwinkan dengan anaknya Siti Kimah.
Tidak sampai seminggu dia berkahwin dengan Siti Kimah, isterinya terkejut dengan dengkur yang kuat tatkala nyenyak tidur tengah malam. Apabila Siti Kimah mahu kejutkan Aki Dubin tergamam dia sebaik sahaja melihat beruang hitam tergolek di sisinya.
Terjerit-jerit Siti Kimah meminta tolong hingga jiran-jiran menyerbu datang menjengah ke rumahnya. Terpinga-pinga Pak Junoh suami isteri apabila Siti Kimah ketakutan mendekati Aki Dubin. Memang mereka tidak menyangka beruang hitam masih tergolek di tempat tidur dengan dengkur berombak-ombak.
Ketika Aki Dubin bingkas bangun dia sendiri melihat di cermin muka mengenai tubuhnya berbulu lebat. Malam itu juga dia turun tinggalkan rumah Pak Junoh terus ke Endau. Setelah 43 kali berkahwin apabila meninggalkan Siti Kimah memang dia sudah nekad tidak mahu berkahwin lagi.
Tetapi Tok Aji yang desak supaya berkahwin dengan Ngah Saelah, setelah susuk lantaknya dibuang habis. Lama juga dia tidak mahu tidur di sisi isterinya kerana bimbang kejadian memalukan dirinya berulang lagi.
"Biarlah, kalau dia nak jadi beruang hitam pun," tutur Ngah Saelah mengerling Aki Dubin setelah terkekeh-kekeh ketawa disebabkan suaminya sebut mengenai 44 kali berkahwin isterinya lari tengah malam.
"Kalau dulu, awak pun lari tengah malam!" ujar Aki pubin mengusik isterinya.
Memang tergambar kemesraan Aki Dubin bergurau dengan isterinya. Sebab itu dia sanggup berjalan kaki berbatu-batu mencari Ngah Saelah setelah anak cucu berkeras memisahkan mereka sewaktu Ngah Saelah tengah uzur sangat.
"Saya bawa Saelah jumpa ustaz ni, masa dia uzur tu," Aki Dubin tersenyum memandang saya apabila Utih Juki ungkit fasal Lebai Kidun gelisah bimbangkan ayah dan emaknya sesat di hutan.


No comments:

Post a Comment