Monday, December 26, 2016

208. MINYAK DAGU MERENGEK MALAM



Sampai sekarang pun saya tidak dapat bertanyakan kepada Mat Deh, bayangan lelaki berjubah hijau yang ditemui itu. Sekalipun saya hanya di beritahu mengenai namanya dipanggil sheikh sahaja, tetapi siapakah dia yang datang dalam saat Mat Deh memerlukan. Sheikh tiba-tiba sahaja memukul kepala Wak Tatang hingga keadaan keliling diserkup kegelapan. Saya melihat Wak Tatang berpusing pusing melindungkan kepalanya daripada pukulan tongkat Sheikh sebelum hilang dalam kegelapan itu.

Memang saya sendiri tidak berupaya mahu mendoakan Merijah yang termuntah-muntah asal sahaja menjamah makanan. Tidak seperti Supardin keadaannya beransur baik setelah diberi makan pucuk jambu biawas digaul dengan garam. Tiga hari dia amalkan terasa perutnya yang memual-mual tidak lagi meloyakan tekak.

Tetapi keadaan Merijah semakin tenat setelah memakan pucuk jambu biawas digaul dengan garam itu. Selepas sahaja muntah dia tidak dapat menahan buih yang keluar dari mulutnya berbau busuk hingga berwap-wap asal sahaja dia membuka mulut.

Sebab itulah saya suruh Lias Pekak menjemput Haji Maasar sahaja mencuba doakan. Manalah tahu dengan Haji Maasar penyakit Merijah boleh rasi. Belumpun sempat Lias Pekak mahu ke Segamat menjemput Haji Maasar penyakit Merijah bertambah teruk. Dia juga menjadi tidak siuman sama seperti Wak Tatang, hingga terbangun tengah malam pun menghantuk-hantukkan kepala ke bucu katil.

Terpaksa pula Supardin membawanya ke hospital tengah malam itu akibat darah bersemburan di kepala Merijah. Disebabkan keadaan Merijah demikian, Supardin sendiri tidak benarkan adiknya Lias Pekak ke Segamat menjemput Haji Maasar.

Tetapi saya ke rumah Haji Maasar selepas kejadian yang berlaku lebih dua puluh tahun itu bukanlah fasal mahu kenangkan perkara lama, tepi Badrul anaknya terkilan kerana beberapa kali tidak sempat menyampaikan pesan ayahnya. Setiap kali dia menghubungi ke rumah, saya tidak pernah ada ketika itu.

Memang isteri saya sampaikan pesan Badrul itu, tetapi manalah saya cam sangat dia anak Haji Maasar. Lagipun menyampaikan pesan melalui telefon manalah saya boleh ingat sangat. Lainlah kalau Haji Maasar sendiri yang menghubungi, bila-bila saya cam juga lenggok tuturnya.

Setelah beberapa kali Badrul beritahu mengenai dia anak Haji Maasar, tidak bertangguh saya mengajak Kadir Misai ke Segamat. Bukanlah kerana perkara mustahak sangat, tetapi sekadar menghubungi kawan-kawan lama yang jarang dapat bertemu kalau tidak ada hal yang mustahak. Apalagi sudah tinggal berjauhan hingga terpaksa aralkan kerja-kerja lain.

Apabila diberitahu mengenai wang saya yang hilang dalam dompet sama seperti kejadian yang menimpa Mat Deh, mudah sahaja dia ketawa terbahak-bahak. Dia juga percaya dengan kata-kata Mat Deh bahawa kejadian demikian sebagai ujian Allah supaya seseorang itu tidak takbur.

Manalah tahu sesiapa sahaja yang boleh menggunakan doa-doa dari al-Quran merasakan dirinya tidak boleh diganggu oleh syaitan. Semakin kuat mereka amalkan doa-doa daripada al-Quran, bertambah hebat lagi gangguan syaitan yang dihadapi.

"Semuanya ditentukan oleh Allah," bisik Mat Deh setiap kali Haji Maasar mengusiknya apabila kenangkan dirinya dapat juga ditembusi oleh gangguan syaitan.

Tetapi, memang segalanya berpunca daripada niat Merijah yang hampa setelah perasaannya tidak dilayani oleh Mat Deh. Setelah gunakan ilmu pengasih tidak juga berhasil, dia semakin nekad untuk memusnahkan terus hidup Mat Deh. Biarlah sama-sama kecewa asalkan hatinya puas dapat membalas dendam sekalipun dirinya dikuasai oleh godaan syaitan.

Tersengih-sengih Kadir Misai apakala Haji Maasar ungkit mengenai ilmu pengasih yang diamalkan oleh Wak Tatang untuk membantu anak saudaranya Merijah. Kalau tidak disebabkan ilmu pengasih memang Kadir Misai juga lama terjerumus oleh godaan syaitan demikian.

Marah benar ayahnya Lebai Manat fasal Kadir Misai sengaja berahsia mengenai botol minyak yang disimpan di biliknya. Asal sahaja bulan mengambang penuh rengekan perempuan menangis kedengaran sayup-sayup, sekiranya botol berkenaan tidak diisi dengan darah.

Hampir juga Lebai Manat menampar muka Kadir Misai sengaja berahsia mengenai botol minyak yang disimpan di biliknya. Asal sahaja bulan mengambang penuh rengekan perempuan menangis kedengaran sayup-sayup, sekiranya botol berkenaan tidak diisi dengan darah. Hampir juga Lebai Manat menampar muka Kadir Misai disebabkan minyak di dalam botol itu memang minyak dagu. Apa sangat khasiat minyak dagu itu sampai Kadir Misai sanggup ke Kelantan berguru di sana? Kalau takat belajar agama di mana-mananpun boleh, asal sahaja gurunya ikhlas mengajarkan.

"Kau nak belajar ilmu syaitan, Kadir?" jerkah Lebai Manat tidak dapat menahan sabar. memang dia boleh lontarkan botol minyak tersebut ke mana sahaja, tetapi anaknya tidak akan terlepas begitu sahaja. Godaan syaitan akan terus mendampingi Kadir Misai sekalipun botol minyak dagu itu sudah dilontarkan jauh.

Perkara syaitan perlu dipulangkan semula kepada gurunya juga. Bukan boleh dilontar macam campakkan batu ke tengah lurah. Lainlah menggenggam batu di tangan boleh jelas kelihatan, tetapi amalan syaitan sama macam menggenggam angin yang hanya boleh dirasa sahaja elusannya.

"Di mana kau ambil minyak laknat ni?" ujar Lebai Manat semakin berang merenung tepat ke muka Kadir Misai.

Tetapi Kadir Misai tidak pedulikan sama ada ayahnya marah ataupun tidak. Kalau disebabkan minyak dagu di dalam botol itu ayahnya mahu halaukan dia dari rumah, bila-bila Kadir Misai sanggup tinggalkan kampung halaman. Bukan mudah dia mahu dapatkan minyak dagu tersebut, hingga ramai gadis melutut di depannya sebaik sahaja dicalitkan ke baju mereka.

Tidak perlu dia palitkan minyak berkenaan ke tubuh badan, menjadi sahaja baju jemuran yang terampai di hujung halaman. Sebaik sahaja baju berkenaan disarungkan ke badan, tidak bertangguh wajah Kadir Misai tidak dapat luput daripada ingatannya.

Lama Kadir Misai di Kelantan mengikut Nik Suh fasal mencari minyak dagu. Marah benar dia disebabkan. Pak Jimin menuduhnya kaki judi yang tidak sesuai menjadi menantunya. Tetapi Kadir Misai bukanlah berjudi sangat hingga lupa tanggung jawab, dia sekadar mengikutkan ragam kawan-kawan untuk berseronok-seronok sahaja. Disebabkan Saenah anak Pak Jimin berkahwin dengan seorang guru sekolah, Kadir Misai merasakan dirinya disisihkan. Sebab itu dia lari ke Kelantan membawa kekecewaan hatinya dengan keputusan Pak Jimin itu.

Sampai di Kelantan dia menumpang di rumah Nik Suh dengan menyembunyikan segala kekecewaannya itu. Semasa menjadi anak angkat Nik Suh memang Kadir Misai mematuhi apa sahaja diajarkan oleh orang itu mengenai ilmu agama, sampai dia mula melupakan fasal Saenah yang sudah berkahwin dengan guru sekolah.

"Ilmu agama lebih sempurna daripada segala ilmu, Kadir," Nik Suh ingatkan dia supaya tumpukan perhatian kepada ilmu yang dipelajari.

Tetapi sejak berkawan dengan Jahid Busih hatinya kembali segar mahu mencari minyak dagu. Jahid Busih sendiri sanggup mengajaknya ke Patani kalau Kadir Misai bersungguh-sungguh sangat. Sebab itu dia membawa Kadir Misai menemui Long Pamit bapa saudaranya di kampung terpencil di Patani.

Ketawa terkekeh-kekeh Long Pamit apabila Kadir Misai memberitahu fasal minyak dagu itu. Kalau takat mahu memikat perempuan apa sangat gunanya minyak dagu itu, bandingkan dengan wang segenggam di tangan. Bila-bila sahaja perempuan boleh dipikat sekiranya wang sebanyak dalam simpanan.

"Bukan semua perempuan boleh dipikat dengan wang, Pak Long," jelas Kadir Misai masih berharap.

Terdiam Long Pamit dengan penjelasan Kadir Misai itu. Memang tidak semua perempuan boleh dipikat dengan kekayaan. Apalagi kalau dia merasakan dirinya cantik hingga terlalu berharga sangat. Hanya minyak dagu sahaja satu-satunya yang boleh mengajar mereka supaya sedar bahawa langit itu tinggi dan lautan itu dalam. Itu yang sekian lama terpendam dalam jiwanya.

Tetapi dia sengaja mahu menguji hati Kadir Misai. Kalau anak muda itu tidak jelaskan bahawa perempuan tidak semuanya terpikat pada wang dan kekayaan, memang Long Pamit juga sudah maklumi benar. Dia lebih berpengalaman kerana usianya yang sudah tua, kalau bandingkan dengan Kadir .Misai yang masih muda lagi.

Lama dia menetap di Patani pun disebabkan hatinya yang kecewa sama dengan kejadian yang dilalui oleh Kadir Misai. Mendongkol benar hati Long Pamit apabila gadis di kampungnya di Kelantan mengejek setelah dia cuba melamar. Masakan Long Pamit tidak tersinggung tatkala Marunah mencemik muka disebabkan kulitnya hitam.

Disebabkan tersinggung dengan Marunah itulah Long Pamit sanggup meninggalkan kampung halaman. Dia tidak mahu lagi menatap muka gadis yang sombong hingga tergamak menghina kulitnya yang hitam. Siapapun tidak mahu berkulit hitam sepertinya, tetapi Allah telah menentukan demikian.

Sekiranya Marunah menghina kulitnya hitam samalah macam menghina kehendak Allah terhadap hambaNya. Sebab itulah dia rela meninggalkan kampung halaman, asal sahaja tidak dihina orang disebabkan kulitnya yang hitam.

Tetapi kawannya Lahak yang mendesak Long Pamit sama-sama mencari minyak dagu. Tidak bertangguh mereka menemui Pak Ucuh di Patani yang tahu sangat mengenai minyak dagu.

"Sanggupkah awak berdua lakukan?" soal Pak Ucuh setelah Long Pamit dan Lahak mendesaknya.

"Apapun kami sanggup lakukan Pak Ucuh," sahut Lahak bersemangat kerana sudah lama sangat dia mengharapkan minyak dagu. Apalagi setelah Long Pamit juga sama-sama berharapkan minyak dagu yang memang terkenal di kampung tersebut.

"Aku dah lama tak buat minyak dagu," beritahu Pak Ucuh disebabkan sudah lama dia meninggalkan kerja-kerja demikian. Dia juga tidak lagi menyimpan minyak dagu semenjak rumahnya habis terbakar hingga tidak sempat selamatkan minyak dagu yang tersimpan di dalam pak kayunya di bawah gobok.

Selepas rumahnya terbakar, tidak lagi terniat di hati Pak Ucuh untuk membuat minyak dagu. Tetapi hatinya bersemangat juga apakala Lahak mendesak sangat. Setidak-tidaknya dia juga boleh jual minyak dagu itu sekiranya ada mana-mana lelaki yang berminat.

"Kita buatlah lagi," ujar Long Pamit pula mahu mempelajari cara membuatnya daripada Pak Ucuh.

"Tunggulah, sampai ada anak gadis sunti yang mati," beritahu Pak Ucuh meminta dua orang anak muda itu supaya tidak tergopoh-gopoh.

Tidak lama mereka di kampung berkenaan, memang ada gadis sunti yang meninggal dunia. Seripah anak tok ketua mengidap demam panas sejak dua minggu menemui ajalnya. Siapapun tidak menduga selepas mayat Seripah dikebumikan, malamnya tiga lembaga berbogel merangkak ke kawasan tanah perkuburan.

Memang Pak Ucuh bersama Long Pamit dan Lahak yang merangkak di dalam kegelapan malam, setelah menanggalkan pakaiannya di tepi belukar. Sebaik sahaja Pak Ucuh membacakan jampi mentera, dia menyuruh dua orang anak muda itu membuangkan pakaian. Mereka bertiga berbogel merangkak ke kawasan tanah perkuburan mengikut syarat yang ditetapkan oleh Pak Ucuh.

Belum pun sampai ke kubur gadis sunti berkenaan, tiba-tiba sahaja ribut kencang menderu memukul pokok-pokok di sekelilingnya. Gementar juga hati Long Pamit dengan suasana yang mendebarkan itu. Hujan juga turun mencurah-curah sehingga dia nampak lembaga hitam tercegat di atas kubur Seripah tatkala kilauan kilat memancar.

Tetapi Long Pamit terpaksa mendiamkan diri setelah diingatkan oleh Pak Ucuh supaya tidak bercakap apa-apa sekiranya melihat sebarang keganjilan tatkala mereka beramal demikian. Lembaga hitam di atas kubur Seripah melangkah dari hujung kaki ke kepala kubur tiga kali. Kemudian menghentakkan tumitnya tiga kali juga.

Sebaik sahaja lembaga hitam di atas kubur hilang menjadi asap berkepul, cepat-cepat Pak Ucuh memberi arahan supaya mereka mara ke kubur Seripah. Hujan yang turun lebat mencurah-curah tiba-tiba sahaja reda apakala mereka sampai di atas kubur.

"Lekas korek kubur tu," perintah Pak Ucuh berdiri bercekak ping-gang di kepala kubur.

Lahak dan Long Pamit tidak membantah. Mereka menggali tanah kubur yang sudah lembik akibat hujan lebat turun mencurah-curah. Tanah gembur akibat kubur baru dikambus itu mesti digali dengan tangan sahaja tidak boleh gunakan besi.

Puas juga Lahak terkial-kial mengorek tanah kubur itu dengan jari bersama Long Pamit. Bagaimana sukar pun mereka terpaksa juga lakukan asal sahaja hasrat mahu memiliki minyak dagu itu tercapai.

Hampir satu jam baru mereka berdua dapat naikkan mayat di dalam lahad naik ke atas. Sebaik sahaja mayat Seripah dinaikkan ke tebing, Pak Ucuh menyalakan api lilin. Setelah dibacakan jampi mentera dia menunggu beberapa minit sampai lembaga hitam seperti asap berkepul tercegat di depannya.

Kemudian lembaga hitam membesarkan tubuhnya sehingga mereka bertiga terlindung di bawah kangkang lembaga itu. Setelah lembaga itu berdiri terkangkang melindungkan mereka, Pak Ucuh ingatkan Lahak dan Long Pamit supaya tidak mendongak ke langit.

Tatkala ini dia membacakan jampi menteranya dengan melayurkan dagu mayat anak gadis itu ke api lilin sehingga mengalir minyak pekat. Pak Ucuh tadahkan tempurung menampung minyak yang mengalir daripada dagu mayat diganggang ke api.

Setelah semuanya siap lembaga hitam yang terkangkang itu hilang dalam sekelip mata. Cepat-cepat Pak Ucuh menyuruh Lahak dan Long Pamit kebumikan semula mayat gadis berkenaan. Balik sahaja ke rumah minyak di dalam tempurung itu ditapakan pula di atas busut sampai tujuh malam.

Ketika ini Lahak dengan Long Pamit tidak dibenarkan bertemu dengan manusia selama dua puluh satu hari. Terpaksalah mereka berdua memencilkan diri ke dalam hutan supaya tidak terserempak sesiapapun.

Malah mereka juga terpaksa berpisah membawa diri masing-masing selama 21 hari mengikut pantang larang yang ditetapkan oleh Pak Ucuh.

Long Pamit memilih gua batu di tengah hutan bersembunyi untuk mengelakkan diri daripada terserempak dengan manusia. Sepanjang masa bersembunyi itu dia dikehendaki menghafalkan jampi mentera yang diturunkan oleh Pak Ucuh.

Tiga malam terakhir dia mengasingkan diri itulah Long Pamit mendengar rengekan hiba Seripah berhampir pintu gua. Dia terpaksa mematikan diri di satu penjuru supaya gadis sunti itu tidak dapat mencarinya. Tetapi Long Pamit tidak dapat bersembunyi di mana-mana, kerana tiba-tiba sahaja Seripah terjongol di sisinya.

Terkejut benar Long Pamit apakala melihat dagu Seripah yang luruh seperti lilin cair terganggang ke api. Sebaik sahaja dia bingkas bangun terasa kakinya kaku tidak boleh digerakkan. Mahu tidak mahu Long Pamit terpaksa bertahan di situ sambil membacakan jampi serapah yang diajar.

"Sampai hati awak seksa saya macam ni," gerutu gadis sunti itu merintih dengan linangan air mata.

"Maaflah, aku nak minta izin gunakan air dagu awak," sahut Long Pamit perlahan.

"Sebab awak dah minta izin, terpaksa saya izinkan," ujar bayangan gadis sunti yang menjelma di sisinya itu. "Tapi, kalau awak dah tak mahu gunakan, awak pulangkan balik ke kubur saya," bayangan gadis itu menuntut janjinya.

"Aku berjanji akan pulangkan, kalau aku tak mahu gunakan lagi," Long Pamit memberi jam inan akan memenuhi janji tersebut.

Setelah berteguhan janji itu, bayangan gadis sunti itu hilang dalam kegelapan malam. Memang tiga malam berturut-turut bayangan gadis sunti berkenaan datang menjelma di hadapan Long Pamit menuntut janji. Long Pamit tidak boleh membantah melainkan bersetuju menerima janji tersebut.

Kalau dia sudah tidak memerlukan minyak dagu itu memang menjadi tanggung jawabnya untuk memulangkan semula ke kubur Seripah. Dia mesti gali semula kubur itu semata-mata bagi menyerahkan minyak dagu berkenaan seperti disyaratkan. Kalau dia mungkir janji tentulah bayangan hitam yang terserempak di tanah perkuburan semasa mereka menggali kubur Seripah akan mengancamnya.

Habis sahaja tempoh dua puluh satu hari itu, Long Pamit kembali semula menjengahkan muka di rumah Pak Ucuh. Dia diberikan botol berisi minyak dagu yang sudah ditapakan oleh Pak Ucuh di atas busut tujuh malam berturut-turut. Tetapi Lahak tidak juga terjongol setelah tamat tempoh dua puluh satu hari mengasingkan diri daripada manusia.

Hingga sebulan Long Pamit menunggu kawannya itu, tetapi Lahak tidak juga balik menemui Pak Ucuh. Hairan juga Pak Ucuh apabila Lahak tidak balik setelah mengasingkan diri selama 21 hari itu.

"Sehingga sekarang pun Pak Long tak tahu ke mana hilangnya Lahak," beritahu Long Pamit pada Kadir Misai dan Jahid Busih yang bersungguh-sungguh sangat mahu dapatkan minyak dagu.

Tetapi memang Long Pamit berikan minyak dagu pada Kadir Misai. Dia sendiri tidak tahu sama ada benar atau pun tidak minyak dagu, kerana Long Pamit tidak pernah memberitahu apa-apa. Terpaksa juga Kadir Misai tapakan botol minyak dagu itu di atas busut berturut-turut tiga malam, sehingga dia dapat mendengar tangisan sayu bersama elusan angin di pohon-pohon merimbun.

Tiga malam berturut-turut juga Kadir Misai bermimpi menemui gadis sunti bermuka bujur sirih dengan dagunya cair seolah-olah lilin dibakar. Lama gadis itu merenung muka Kadir Misai barulah dia tersenyum sambil tangannya menggamit manja.

"Jangan sia-siakan saya, abang," tutur gadis sunti itu meng-usap-usap dagunya yang cair. Setiap kali dia mengusap habis daging dagunya luruh berserpihan.

Sia-siakan macam mana?" Kadir Misai serba salah mahu memberikan keputusan.

"Kalau abang tak sukakan saya lagi, jangan buang tak tentu arah," rayu gadis sunti itu merintih hingga Kadir Misai terasa belas yang menusuk ke hulu hati.

"Selagi kau berguna pada aku, takkan aku nak buang," lantas Kadir Misai memberi jaminan setelah menyedari jelmaan gadis sunti yang datang dalam mimpinya itu sudah tentulah mempunyai hubungan dengan minyak dagu yang ditapakan itu.

"Dah lama Long Pamit memelihara saya, bang," beritahu gadis sunti itu menunduk hiba. "Terpulanglah pada dia nak serahkan saya pada siapa aje," katanya semacam bersedia menuruti apa sahaja perintah Kadir Misai.

Long Pamit hanya mengangguk sahaja apakala diberitahu oleh Kadir Misai mengenai mimpinya. Terasa padanya minyak dagu yang diberikan kepada anak muda ini sudah mujarab kalau digunakan. Jelmaan gadis sunti itu sudah tentulah bayangan Seripah yang digali dari kuburnya. Apabila kenangkan lembaga hitam terkangkang semasa Pak Ucuh luruhkan minyak dagu mayat di atas kubur, memang terasa meremang bulu roma Long Pamit.

Semenjak dia memiliki minyak dagu itu sampai Pak Ucuh meninggal duniapun, tidak pernah minyak di dalam botol berkenaan susut. Asal sahaja bulan mengambang penuh, Long Pamit tidak akan lupa isikan darahnya sendiri setitik ke dalam botol tersebut. Sampai bilapun minyak dagu berkenaan tidak akan susut selagi diisikan darahnya setitik.

Sebab itu kalau sesiapa mahukan minyak dagu berkenaan, Long Pamit mesti jualkan juga. Dia tidak akan memberikan percuma disebabkan sudah bertahun-tahun dia isikan darahnya sendiri ke dalam botol itu. Asal sahaja bulan mengambang penuh tidak bertangguh Long Pamit membakar kemenyan asapkan botol tersebut.

Lama dia mengasap dengan kemenyan nescaya minyak di dalam botol akan berubah hingga berbuih di permukaannya. Ketika ini Long Pamit akan menusuk ibu jari tangannya dengan jarum sehingga keluar setitik darah untuk dimasuk-kan ke dalam botol berkenaan.

Darah yang dititikkan itu samalah macam memberinya makan biar kekal menjadi suruhannya yang boleh diperintahkan ke mana sahaja. Long Pamit akan calitkan minyak itu ke baju siapa sahaja perempuan yang cuba menghina dirinya.

Setelah.dicalitkan minyak dagu itu, Long Pamit tahu botolnya akan bergerak. Ketika ini lembaga hitam akan keluar daripada botol berkenaan bagaikan asap kemenyan tengah berbara. Sebaik sahaja lembaga hitam itu keluar, nescaya dalam beberapa minit dia akan menjelma di hadapan perempuan berkenaan.

Saat ini perempuan tersebut akan resah gelisah tidak menentu sehingga Long Pamit menjelma di hadapannya. Memang Long Pamit yang dilihat oleh perempuan itu memujuknya sehingga dia terpesona. Malam itu juga perempuan berkenaan tidak bertangguh mencari Long Pamit di mana sahaja lelaki itu berada.

"Awak belalah minyak dagu ni, Kadir," ujar Long Pamit setelah Kadir Misai hulurkan wang seratus ringgit.

Balik sahaja ke kampung Kadir Misai tidak pernah calitkan minyak berkenaan kepada sesiapapun, tetapi setiap hari ada sahaja gadis datang terlangut di rumahnya. Mereka sengaja mahu bersembang panjang dengan Kadir Misai, sampai terganggu kerjanya. Berdetak juga hati Lebai Manat dengan perubahan anaknya apakala balik dari Kelantan itu.

Kalau tidak bersebab masakan mudah sahaja anak-anak gadis kampung datang melangut ke rumah, sedangkan anak Pak Jimin tidak pernah mahu menegur. Tahu benar Lebai Manat fasal Saenah tidak mahu melayani Kadir Misai bukan disebabkan anaknya suka berjudi di kedai kopi main terup, tetapi anak muda itu tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Masakan main judi sekali sekala itu dijadikan alasan oleh Pak Jimin. Apabila dia menegur, cepat sahaja Kadir Misai berhenti main terup membuang masa itu. Dia akan turuti ayahnya ke surau setiap senja. Sekali sekala Kadir Misai akan mara ke anjung surau melaungkan azan hingga suaranya gemersik bergema ke pelusuk kampung.

Memang Pak Jimin tidak sudi menerima Kadir Misai menjadi menantu kerana anaknya sendiri sudah memilih guru sekolah itu. Kalau Saenah meluat memandang Kadir Misai, kenapa pula ramai gadis-gadis kampung cuba mendampinginya?

Lebai Manat tidak berani menuduh sekira nya tidak ada bukti sahih untuk memarahi anaknya. Tetapi dia percaya memang Kadir Misai amalkan ilmu pengasih semasa berbulan-bulan menghilangkan diri ke Kelantan. Kadir Misai juga mengaku ke Patani mengikut kawannya Jahid Busih.

Kalau sekadar di Kelantan memang Lebai Manat tidak bimbang apa-apa. Dia tahu sangat mengenai Nik Soh ternpat anaknya menumpang, memang guru pondok yang boleh diharapkan. Masakan Nik Soh ter-gamak memesongkan Kadir Misai, kerana guru pondok itupun kenalan baik dengannya.

Bukan takat gadis-gadis sahaja datang melangut melayani Kadir Misai sekalipun sedang menarah rumput di kebun pisangnya., malah burung-burung juga banyak hinggap di atas pokok di halaman rumah sekiranya Kadir Misai bersiul-siul di bilik tidurnya.

Kalau tidak disebabkan Kadir Misai terlupa mahu titikan darah ke dalam botol minyak dagunya, memang Lebai Manat tidak dapat mencari puncanya. Tiba-tiba sahaja Kadir Misai terIupa asapkan kemenyan tatkala bulan mengambang penuh. Apabila tidak diasapkan dengan kemenyan, bermakna dia tidak dapat titikkan darah ke dalam botol.

Sebaik sahaja tengah malam masuk jam 12.00, angin sepoi-sepoi bertukar menjadi rintihan sayu yang memanjang. Rengekan halus suara gadis sunti beralun-alun bersama elusan angin yang menderu di luar.

"Kau membela setan, Kadir?" bentak Lebai Manat meluru ke bilik Kadir setelah cam sangat rengekan halus itu beralun-alun dari arah tempat tidurnya.

Termangu-mangu Kadir Misai bingkas bangun akibat terkejut sebaik sahaja ayahnya meluru masuk. Terpisat-pisat dia mengesat mata disebabkan terlalu mengantuk setelah tertidur sebentar. Ketika ini emaknya Ulung Binah juga menerpa ke bilik kerana terkejut setelah mendengar rengekan gadis merintih sayu di tengah malam.

"Apa setannya yang kau bela ni, Kadir?" Ulung Binah juga sebak menahan rasa terharu dengan per-buatan anaknya tergamak melakukan kerja-kerja biadah demikian.

Tertunduk Kadir Misai disebabkan tidak dapat berahsia lagi. Dia tidak boleh berbohong kerana rintihan gadis itu jelas meminta darahnya.Hanya amalan syaitan sahaja yang memerlukan darah manusia untuk me-menuhi nafsunya.

"Siapa guru kau di sana, biar aku pergi jumpa!" tegas Lebai Manat geram benar dengan perbuatan Kadir Misai mempersendakan dirinya.

Disebabkan Kadir Misai tidak menyahut apa-apa, tidak bertangguh Lebai Manat menyelongkar di mana-mana. Dia perintahkan juga Ulung Binah mencari sama, biar sampai dapat botol minyak dagu tersebut. Puas dia menyelongkar terserempak juga botol berisi minyak dagu itu tersorok di kepala tiang rumah.

Sebaik dicapai oleh Lebai Manat dia melihat minyak di dalam botol itu berbuih-buih seperti air tengah menggelegak. Sudah sah memang Kadir Misai menyimpan minyak amalan syaitan, yang memerlukan darah manusia menjadi jamunya.

"Kau pulangkan balik minyak ni pada guru kau, Kadir!" Lebai Manat memberi amaran supaya perintahnya dipatuhi oleh Kadir Misai.

Disebabkan malu kepada ayahnya, esoknya Kadir Misai terus ke Kelantan sekalipun sepanjang malam rengekan gadis itu berterusan sarnpai ke pagi. Seminggu Kadir ke Kelantan, dia terus ke Patani menemui Long Pamit. Dia mengaku tidak sanggup menjaganya disebabkan mudah terlupa hinggakan seisi kampung tahu akan rahsianya memiliki minyak dagu itu.

Sebaik sahaja balik semula ke kampungnya Kadir Misai tidak mahu keIuar lagi menemui sesiapapun disebabkan terlalu kesal. Malu benar dia sekiranya seisi kampung tahu mengenai dirinya menyimpan minyak dagu itu.

Semasa saya singgah di rumah Lebai Manat itulah dia memberitahu mengenai keadaan anaknya Kadir Misai. Sempat juga saya menjengah Kadir Misai di biliknya setelah diberitahu mengenai keadaannya seperti orang hilang akal semenjak memulangkan balik botol minyak dagu kepada Long Pamit.

Saya hanya membacakan Fatihah tiga kali dan dihembuskan ke ubun-ubunnya dengan rasa gementar kerana bimbang Allah tidak memakbulkan doa saya, di samping menyimpan penuh harapan supaya doa membacakan itu dimakbulkan Allah.

Memang saya tahu Kadir Misai tidaklah terlantar, dia sekadar terlalu kesal disebabkan rahsianya di ketahui juga oleh ayahnya.

Setiap doa yang saya baca memang penuh dengan ketakutkan kerana bimbang Allah tidak memakbulkan tatkala orang yang didoakan terlalu mengharap.  Disebalik ketakutan itulah pula saya menyimpan harapan semuga Allah makbul doa saya memohon apa jua yang diharapkan.

 "Awak patut bersyukur, Kadir," ujar saya merenung Kadir. Misai yang terkebil-kebil memandang saya. "Awak bersyukur kerana cepat sedar bahawa amalan syaitan tidak berfaedah apa-apa,": tegas saya memberi semangat kepadanya.

Air mata Kadir Misai bergenang di pelupuk. Dia tidak bercakap apa-apa selain daripada mengangguk lemah. Apabila Ulung Binah hulurkan air satu jag minta saya doakan, lantas saya mencapainya. Saya juga bacakan Fatihah 41 kali dengan setiap kali dibacakan satu nafas sahaja. Hanya kepada Allah diserahkan segalanya setiap kali menyebut: lyya kana'budu wa-iyya kanasta'in.

Saya suruh berikan pada Kadir Misai supaya meneguk air yang didoakan itu dan sapukan ke tubuhnya sama seperti mengambil wuduk. Selepas itu saya tidak lagi menjengah Kadir Misai, kerana belum dapat lagi meluangkan masa untuk menemui ayahnya Lebai Manat.

Hampir setahun tidak mendengar khabar Lebai Manat, tiba-tiba sahaja dia datang ke rumah bersama Kadir Misai. Dia memberitahu fasal Kadir Misai sudah memulakan perniagaan di Kuala Lumpur. Selepas sahaja meminum air yang saya doakan itu, Lebai Manat bersyukur kerana Kadir Misai berubah sama sekali.

"Saya berubah sikap bukan kerana air yang ustaz doakan," bisik Kadir Misai tersengih-sengih. "Tapi, saya yakin dengan nasihat ustaz bahawa syaitan itu musuh manusia yang nyata," katanya terharu kerana dapat menemui saya selepas hampir setahun tidak bersua muka.

Semenjak itu pula Kadir Misai menjadi akrab dengan saya. Selepas ayahnya Lebai Manat meninggal dunia, dia seringkali menemui saya asal sahaja teringatkan ayahnya. Kadangkala datang ke rumah saya sekadar minum secawan kopi sahaja, kemudian dia akan bergegas-gegas mahu cepat pergi pula.

Sebab itulah dia tersengih-sengih apakala disebut mengenai ilmu pengasih itu. Tentu Haji Maasar tidak tahu sangat mengenai dirinya yang terjerumus dengan ilmu pengasih yang jelas menjadi amalan syaitan itu.

"Memang saya tahu sangat fasal minyak dagu ni, tuan haji," ujar Kadir Misai mengerling saya apabila memberitahu Haji Maasar mengenai ilmu pengasih minyak dagu itu.

"Apa sahaja ilmu pengasih memang amalan syaitan," tegas Haji Maasar. macam jijik sangat apabila disebut mengenai ilmu pengasih itu. Ketika dia berpaling memandang saya, perlahan-lahan saya menunduk sambil menelan keluhan pendek.

No comments:

Post a Comment