MEMANG
lama tersimpan dalam hatinya mahu jejakkan kaki ke Mekah Mukarramah, selepas
dia sembuh dari sakit lemah-lemah badan yang berpanjangan. Tetapi hasrat yang
terpendam di dalam hatinya itu tidaklah diberitahu kepada anak-anak. Bimbang
juga Haji Jilah sekiranya dia tidak dapat memenuhi hasratnya apabila sudah
diberitahu.
Lama
juga dia terlantar di serambi rumah akibat seluruh tubuh menjadi lemah-lemah,
hingga kaki juga tidak dapat gerakkan. Puas juga anak-anaknya mendesak supaya
dimasukkan ke hospital, tetapi Haji Jilah tetap berkeras. Sejak umurnya masih
muda memang Haji Jilah tidak pernah dimasukkan ke hospital mengharapkan rawatan
perubatan.
Isterinya
Hajah Denab mengakui memang suaminya tidak pernah terlantar sakit hingga tidak
boleh bangun dari tempat tidur. Kalau diganggu demam selsema sekalipun Haji
Jilah akan turun ke kebunnya biar sampai badan memercik peluh.
Balik
dari kebun dia akan masakkan madu lebah dengan rempah ratus biar pekat jadi
macam dodol. Dia akan makan rempah ratus itu sampai habis setelah
digintil-gintil sebesar ibu jari. Kalau dia demam berhari-hari, Haji Jilah akan
banyakkan solat sunatnya sepanjang hari biar seluruh tubuhnya segar bagaikan
bersenam menguatkan urat-urat.
"Ayah
tak boleh berdoa aje, eloklah berubat ke hospital," desak Haji Mosli tidak
sampai hati hati membiarkan ayahnya terlantar sahaja di hujung serambi.
"Kamu
tak payah cakap, kalau Allah sudah tetapkan aku nak mati macam ni, apa
salahnya," tegas Haji Jilah tetap berkeras tidak mahu dipujuk oleh
anak-anak.
"Perkara
mati perkara lain, tapi sekarang ni ayah sakit," ujar Haji Mosli yang
diharapkan oleh adik beradiknya boleh memujuk Haji Jilah. Cuma dia satu-satunya
anak yang dipercayai oleh Haji Jilah, kalau mahu membuat apa-apa keputusan.
Sebab
itulah kakak dan abangnya menyuruh Haji Mosli sahaja memujuk ayah mereka supaya
mahu berubat di hospital. Memang emak mereka Hajah Denab tahu sangat perangai
ayah mereka tidak pernah mahu berubat di hospital sekalipun tengah sakit terlantar.
"Kamu
tahu Li, yang sakit ni badan aku aje," Haji Jilah mencebek bibir dalam
suara yang masih pelat dengan loghat Arabnya. "Tapi, hati aku tak sakit,
hati aku sihat dan tenang," ujarnya mengusap-usap muka dengan tapak
tangan.
Haji
Jilah bukanlah tidak mahu berubat di hospital. Asal sahaja anak-anak atau
cucu-cucunya yang sakit dia sendiri mendesak supaya dihantar ke hospital atau
klinik. Masakan dia tidak percaya dengan rawatan. perubatan moden di hospital,
kalau anak atau cucunya disuruh ke hospital.
Tetapi
dia tidak pernah mahu berubat di hospital. Biarlah terbaring sahaja di rumah
sampai berhari-hari Haji Jilah tidak akan mengubah pendiriannya. Madu lebah
yang disimpannya sahaja digunakan menjadi ubat sekiranya dia mengalami sakit.
Disebabkan
Haji Mosli juga tidak dapat memujuk, anak-anak yang lain tidak berani lagi
mendesak. Bimbang juga anak-anaknya disebabkan Haji Jilah hanya terbaring
sahaja hingga tidak mampu bangun menunaikan solat. Tidak pernah dia tinggalkan
solat, sekiranya tenaganya mampu bergerak. Tentulah ayah mereka sudah tenat
sangat menyebabkan dia tidak bangun menunaikan solat asal sahaja masuk waktu.
Beberapa
hari terbaring Haji Jilah tidak pernah mengerang-erang kesakitan. Sekali sekala
dia menghela nafas hanya dia rnenyebut Allah berulang kali, kemudian senyap
semula tidak bercakap apa-apa. Hanya ombak dadanya sahaja turun naik di bawah
selimut yang dilingkupkan ke seluruh badan.
"Kita
usung aje ayah ni ke hospital," Haji Madas menggesa adik-adiknya bawa
sahaja ayah mereka ke hospital.
"Tak
usah kita langgar kata-kata. ayah," lantas sahaja Mosli membantah keputusan
abangnya. "Habis, kamu nak biarkan ayah macam ni aje," gerutu Haji
Madas tidak sabar dengan keadaan ayahnya yang terlantar sejak berhari-hari.
Serba
salah Haji Mosli mahu membantah keputusan abangnya, kerana ayahnya memang tidak
mahu dibawa ke hospital. Tetapi dia tidak akan bertengkar dengan Haji Madas
kalau semata-mata disebabkan mahu membawa ayahnya ke hospital mendapatkan
rawatan.
Haji
Madas saudara yang tua, tentulah keputusannya lebih dipersetujui oleh adik
beradik yang lain. Kalau dia berkeras bertahan manalah tahu mereka akan menuduhnya
mahu membiarkan ayahnya terlantar. Alangkah hibanya hati Haji Mosli kalau
dituduh demikian oleh sesama adik beradik.
Sekiranya
dia menuruti sahaja kemahuan Haji Madas,apa pula kata ayahnya apabila dia sudah
terlantar di katil hospital. Tentu ayahnya akan memarahi dia kerana tidak mahu
menghalang. Tahu sangat Haji Mosli sekiranya ayahnya marah dia tidak akan mahu
ditegur, kecuali selepas bermaaf-maafan di hari raya.
Ketika
ini Haji Jilah memang terkejang tidak bergerak apa-apa. Sudah berhari-hari dia
tidak bangun solat, apatah lagi menjamah makanan. Matanya terpejam hingga
mukanya pucat tidak bermaya. Keadaannya itulah menyebabkan keluarganya bimbang
berpanjangan selagi penyakit Haji Jilah tidak diubati.
Setelah
Haji Madas mengambil keputusan mahu membawa ke hospital, mereka adik beradik
cuba mengangkat ayahnya masuk ke kereta. Puas mereka cuba mencadung tubuh Haji
Jilah, tetapi tidak dapat digerakkan langsung seolah-olah terlalu berat sangat.
"Eh,
badan ayah ni kurus, kenapa berat sangat?" rungut Haji Madas tidak menyangka
tubuh ayahnya terlalu berat hingga tidak dapat diangkat beramai-ramai.
"Kita
panggil ambulan aje, sebelum ayah sedar," Ngah Bibah pula mencadang kan
kepada abangnya Haji Madas.
Tidak
bertangguh Haji Madas menelefon meminta bantuan ambulan untuk membawa ayahnya
ke hospital. Tatkala beberapa orang atendan mahu mengangkat tubuh Haji Jilah ke
atas penyorong, tiba-tiba sahaja penyorong itu terpatah dua. Mereka beramai-ramai
tidak juga dapat mengangkat tubuh Haji Jilah, sekalipun kurus sahaja.
Hairan
juga mereka apabila tubuh kecil itu terlalu berat laksaha kayu balak di tengah
hutan. Haji Madas sendiri tidak menduga tubuh ayahnya terlalu berat hingga
beberapa orang atendan juga tidak mampu mahu mengusungnya.
"Tak
pernah saya mengalami kejadian macam ni, abang haji," ujar atendan itu memberitahu
Haji Madas.
"Masa
dia tak sakit, saya seorang pun boleh angkat dia," Haji Madas semacam
kecewa setelah orang-orang yang datang bersama ambulan tidak sanggup untuk
mengusung Haji Jilah ke hospital.
"Tapi,
kenapa sekarang kita tak boleh angkat?" salah seorang daripadanya
menden-gus kerana kecewa.
Siapapun
tidak dapat memberi jawapan. Haji Madas sendiri tidak tahu kenapa tiba-tiba
sahaja tubuh ayahnya menjadi berat hingga tidak mampu diangkat beramai-ramai.
Terpaksalah
mereka yang datang bersama ambulan balik sahaja meninggalkan Haji Jilah
terkejang tidak bergerak laksana mayat terbujur di hujung serambi.
Memang
Haji Mosli dapat mengagak tentulah ayahnya tidak membenarkan diusung ke
hospital sebab itulah tubuhnya tiba-tiba menjadi berat. Dia tahu sangat
abangnya Haji Madas tidak percaya sangat dengan tegahan ayahnya itu. Sengaja
berkeras juga menelefon ambulan meminta dibawa juga ayahnya ke hospital.
Setelah
ayahnya tidak dapat dibawa ke hospital Haji Madas balik sahaja ke rumahnya.
Marah sangat dia kerana tidak dapat memenuhi hasratnya, seolah-olah ada batu
penghalang yang menegah keputusannya. Kalaulah batu penghalang boleh dilihat di
depan mata, mahu sahaja Haji Madas menerkamnya biar roboh macam longgokan pasir
dirempuh.
Haji
Madas kecewa tidak dapat menghantar ayahnya ke hospital dalam saat terlantar.
Dia sudah berusaha mahu membawanya, tetapi tidak ada siapa-pun yang dapat mengangkat
tubuhnya untuk diletakkan dalam usungan.
"Kalau
macam tu, kita jumpa dukun aje," Ngah Bibah memujuk abangnya supaya tidak
berputus asa.
Tetapi
Haji Mosli sendiri tidak bersetuju kalau abang dan kakak nya mahu menjemput
dukun. Tentu ayah mereka melarang untuk menjemput dukun ke rumah, sedangkan ke
hospital pun dia tidak mahu. Sebab itulah tubuhnya me. njadi berat tidak boleh
di-angkat, apabila anak-anak berkeras mahu membawa ke hospital.
Tentu
ayahnya tahu apa yang mereka adik beradik mahu lakukan, sekalipun ayahnya terkejang
tidak bergerak-gerak. Apalagi sekiranya mereka mahu memanggil dukun pula, sudah
tentu ayahnya akan bertambah marah.
"Jangan
memandai-mandai, kalau ayah tak suka," Haji Mosli ingatkan kakaknya.
"Takkan
kita nak biarkan ayah macam tutur Ngah Bibah melahirkan rasa bimbangnya dengan
keadaan ayahnya yang terkejang. Hanya nafasnya sahaja berombak-ombak, sedangkan
tubuhnya tidak bergerak-gerak bagaikan mayat terbujur.
Disebabkan
keadaan ayah mertuanya yang semakin tenat itu kakak saya menyuruh anaknya Jubir
menelefon saya. Semasa Jubir menelefon ke rumah saya masih lagi di Sumatera
berkunjung ke rumah Mamak Bandaro di Bukit Tinggi. Selepas dua hari Jubir
menelefon itulah baru saya balik, selepas seminggu di rumah Mamak Bandaro.
Tetapi
saya ke Bukit Tinggi bukan sekadar mengunjungi Mamak Bandaro sahaja. Menantunya
Agoes tidak bertangguh akan menelefon ke Padang memberitahu mamaknya, saya datang
ke Bukit Tinggi. Apabila Mamak Tahir diberitahu lantas dia akan datang ke Bukit
Tinggi pula untuk mengajak saya ke rumahnya.
Tidak
cukup sehari dua di Padang, akan dibawa pula ke Batu Sangkar menemui Haji
Salim. Sebab itulah serba salah sangat saya mahu ke Bukit Tinggi apabila sanak
saudara sudah tahu saya berkunjung datang. Bukan nya dekat jarak Bukit Tinggi
mahu ke Padang atau ke Batu Sangkar hingga berjam-jam di dalam kereta sahaja.
Memang
satu minggu sekiranya berkunjung ke Bukit Tinggi menemui Mamak Bandaro. Tetapi
bukanlah selalunya sangat ke sana. Sudah dua tahun saya tidak berkunjung,
apalah salahnya ke sana setelah dua tiga pucuk Mamak Bandaro menulis surat.
Lagipun
saya ke Bukit Tinggi bukan sekadar mengunjungi Mamak Bandaro sahaja, memang ada
urusan lain juga. Kalau tidak kenangkan urusan demikian memang tidak perlu saya
berkunjung ke sana.
Sebaik
sahaja saya jejakkan kaki ke rumah, tidak bertangguh isteri saya memberitahu
mengenai Haji Jilah yang terkejang sakit. Saya tidaklah tergesa-gesa sangat
mahu mengunjunginya, disebabkan baru sahaja balik dari Bukit Tinggi. Masih
terasa penat badan disebabkan sejak seminggu berjalan sahaja mengikut Mamak
Bandaro.
Tetapi
Jubir menelefon lagi memberitahu mengenai keadaan Haji Jilah yang masih juga
tidak sedarkan diri sejak berhari-hari. Isteri saya juga menggesa supaya
menjengah Haji Jilah setelah dua kali Jubir menelefon ke rumah.
Semasa
saya sampai di rumahnya semua anak-anak Haji Jilah sudah berkumpul. Haji Madas
sudah mengambil keputusan untuk mernbacakan Yassin beramai-ramai, setelah
diberitahu kawan-kawannya di masjid. Mereka semua bersetuju datang selepas maghrib
untuk sama-sama membacakan Yassin.
"Ustaz samalah tunggu sampai lepas
maghrib," Haji Madas memujuk kerana saya sampai selepas waktu zohor.
"Dia
bukan boleh berjanji-janji," sahut kakak saya mencelah. "Bila teragak
nak balik, dia balik, bukannya boleh ditegah-tegah," ujarnya macam kesal
sangat dengan sikap saya tidak mahu lama bertangguh kalau berkunjung ke rumah.
"Kalau
ke Sumatera, sampai seminggu di sana dia sanggup," isteri saya pula mengusik.
"Jangan-jangan
ada seorang lagi di sana tu," lantas Haji Madas ketawa terkekeh-kekeh
mengerling isteri saya.
"Kalau
adapun, biarlah abang aji, dia orang lelaki," sahut isteri saya tersipu-sipu
apabila diusik demikian.
Saya
tidak tersinggung pun dengan usikan mereka. Kalau mahu dikirapun bukanlah kerap
sangat saya ke Bukit Tinggi menemui Mamak Bandaro, sampai mahu dituduh ada
isteri lain di sana. Tetapi isteri saya tahu sangat isi hati saya sejak
bertahun-tahun bersama. Masakan dia mahu mempercayai sekiranya diusik fasal ada
isteri lain di Sumatera itu.
Lagipun
mana mahu letakkan muka pada anak menantu, sekiranya dalam masa kepala sudah
dipenuhi uban mahu berkahwin lagi. Lainlah kalau disebabkan perkara yang tidak dapat
dielakkan.Tetapi saya tahu Haji Madas sekadar bergurau, bukan mahu menguji hati
isteri saya.
Hanya
kadangkala apabila jejakkan kaki di perkampungan dengan sawah padi di lereng
gunung, hati saya seringkali teringatkan masa silam yang dilalui oleh Tok Aji.
Di situlah perkampungan yang.pernah didiaminya bersama sanak keluarga, sebelum
masing-masing berpindah meninggalkan kampung halaman.
Mamak
Bandaro menetap di Bukit Tinggi juga setelah meninggalkan kampung halaman
dengan sawah yang luas terhampar di lereng gunung, dengan airnya diempang dari
puncak yang mengalir ke tengah lurah. Tetapi Mamak Bandaro sudah lama tidak
jejakkan lagi kaki di lumpur sawah yang subur dengan tanaman padi.
Dari
kejauhan sayup dilihat bas melalui jalan sempit di tengah sawah di lereng
gunung itu sehingga sampai ke kelok empat puluh empat di puncak Maninjau.
Memang terpegun juga saya tatkala berdiri di pinggir danau Singkarak
me-merhatikan airnya mengalir masuk ke sungai, seolah-olah di situlah hulunya.
"Memang inilah hulu sungai Inderagiri,'
jelas Mamak Bandaro memerhati saya berdiri di tengah-tengah air yang mengalir
masuk ke sungai Inderagiri itu. Tentulah airnya juga mengalir masuk ke Selat
Melaka yang membiru, yang pernah diharungi oleh arwah Tok Aji.
Sekalipun
Inderagiri jauh di pinggir laut Selat Melaka, dengan hulu sungainya di danau
Singkarak, tetapi saya dapat bayangkan juga bagaimana datuk emak saya juga sama
mengharungi Selat Melaka seperti arwah lah adik kandung Tok Aji meninggalkan Tok
Aji bumi Inderagiri.
Aki
Bagindo memang sudah lama tinggalkan kampung halamannya di Inderagiri sejak
beratus-ratus tahun. Dia sudah berkahwin di sini dan menetap sehingga mempunyai
ramai anak. Tatkala datuk saya berkahwin dengan nenek, Aki Bagindo sudah meninggal
dunia. Sebab itu sudah terpisah lama hubungan keluarga dengan sanak saudara Aki
Bagindo di Inderagiri.
Tetapi
pertalian dengan keluarga di Bukit Tinggi masih rapat, kerana Mamak Bandaro
memang satu-satunya anak saudara Tok Aji. Ayah kepada Mamak Bandaro adalah adik
kandung Tok Aji seibu sebapa. Sebab itulah apabila saya berkunjung ke sana,
sanak saudara merasakan kepulangan Tok Aji sendiri mengunjungi mereka.
Apalagi
Haji Salim sepupu arwah Tok Aji, yang memang masih ingat lagi iras-iras wajah
arwah Tok Aji. Dialah yang memberi tahu sanak saudara fasal muka saya mempunyai
iras-iras arwah Tok Aji itu.
"Dah
selalu ke sana ke sini, sampai ke Sumatera, tentu banyak pengalaman
ustaz," Haji Madas tersengih-sengih disebabkan saya tidak menyahut apa-
apa tatkala diusik demikian.
"Di
mana-mana pun boleh dapat pengalaman," ujar saya perlahan merenung muka
Haji Jilah yang terke-jang dilingkupi selimut.
"Maksud
saya, tentu boleh ubatkan ayah ni," lantas sahaja Haji Madas berterus
terang meminta saya doakan supaya penyakit Haji Jilah sembuh.
Saya
mengangguk lemah. Saat ini saya merasakan Haji Jilah juga sama seperti arwah
Tok Aji tidaklah terbaring seorang diri dalam keadaan terkejang sakit, sekalipun
jauh terlantar di rantau orang. Tanah airnya yang lama ditinggalkan sudah luput
daripada ingatan, malah sanak saudara juga jauh dipisahkan oleh lautan dan
benua.
Dia
dihadap oleh anak menantu dan cucu-cucu. Sudah tentulah tidak ada bezanya di
tanah air sendiri ataupun jauh terlantar di mana-mana sekiranya anak-anak dan
isteri mengambil berat. Apalah bezanya tanah Arab yang ditinggalkannya sejak
bertahun-tahun, dengan Tanah Melayu yang sudah menjadi tanah air anak cucunya.
"Angah
tengokkanlah Pak Sheikh ni," Haji Mosli mencuit kepala lutut saya menyuruh
mara ke hadapan.
Memang
terkejut juga Haji Madas apabila adiknya Haji Mosli menyuruh saya rapat ke sisi
ayahnya. Dia hanya menyangka saya sekadar datang berkunjung sahaja disebabkan
lama tidak menjengah Haji Jilah. Tidak tahu Haji Madas bahawa Jubir yang
menelefon sejak dua hari sebelumnya.
Apabila
saya memegang betis Haji Jilah perlahan-lahan saya mengangkatnya hingga dua
jengkal jaraknya dari lantai. Tidak pula terasa berat seperti diberitahu oleh
Haji Madas. Hairan juga Haji Madas kerana mudah sangat saya mengangkat kaki
ayahnya, sedangkan mereka beramai-ramai mengangkat tidak bergerak sedikitpun.
"Eh,
senang aje ustaz mengangkatnya," menghela nafas Haji Madas apabila melihat
kaki ayahnya boleh diangkat.
"Dia
bukan macam kita, mudah aje gelabah," lantas Haji Mosli menyindir abangnya
yang hairan sangat dengan apa yang dilihatnya. Tahu sangat dia perangai Haji Madas
yang mudah sangat gelabah, hingga membuat keputusan juga terburu-buru.
Tetapi
masakan Haji Madas tidak gelabah apakala melihat ayahnya terkejang sejak
berhari-hari. Lainlah saya tidak ada apa-apa hubungan kekeluargaan, kecuali
kakak saya sahaja menantunya.
Dengan
tidak bercakap apa-apa, saya letakkan tapak tangan ke dada Haji Jilah, hingga
terasa nafasnya berombak-ombak itu menyerap sampai ke jantung saya. Lama saya
meletakkan tapak tangan di dadanya, sekaligus saya tersentak kerana merasa bagaikan
terlekat di situ. Sekiranya saya merentap seolah-olah tulang dadanya akan ikut
terpokah sama.
Setelah
tapak tangan saya terasa melekat ke dada Haji Jilah, lantas saya membacakan
Fatihah tujuh kali, diikuti dengan surah al-Ikhlas 17 kali. Kemudian saya
berdoa perlahan:
In-nallahha lahu-mulkus samawati wal-ardh, yuhyi wayu-mitu
wama-lakum min: dunillahhi min-waliyin wala-nasir.
Kemudian
perlahan-lahan saya terasa seolah-olah tangan saya ditarik hingga sedikit demi
sedikit bagaikan saya terjatuh ke dalam gaung yang dalam. Hingga saya
terjerumus ke pinggir jeram berolak deras di kelilingi batu-batu yang dipenuhi
lumut.
Apabila
saya mendongak ke atas, saya melihat sangkar besi tergantung dengan tiga orang
lelaki terkurung di dalamnya. Di seberang jeram lembaga besar yang tinggi sehingga
kepalanya melangkaui pucuk-pucuk pokok lima pemeluk berligar-ligar mahu
melepaskan tiga orang lelaki yang terkurung. di dalam sangkar besi.
Lama
lembaga tinggi itu berligar, tetapi tidak dapat menghampiri kawasan jeram. Asal
sahaja dia cuba merapati jeram, berpuluh-puluh batu sebesar reban ayam menerjah
ke kepalanya. Setiap kali kepalanya diterjah batu lembaga tinggi itu terpelanting
jatuh, tetapi dia segera bangun semula.
Di
tengah-tengah batu jeram itulah Haji Jilah berdiri menghalang kemaraan lembaga
tinggi yang garang berligar-ligar di situ. Selagi Haji Jilah berdiri di situ,
lembaga tinggi itu memang tidak dapat mara mahu melepaskan tiga lelaki yang
terkurung di dalam sangkar besi.
"Aku
boleh lepaskan, asal saja jangan ganggu menantu aku!" laung Haji Jilah mendongak
lembaga tinggi yang masih boleh bertahan sekalipun diterjah batu-batu sebesar
reban ayam.
"Itu
bukan urusan aku," sahut lembaga tinggi itu berdalih kerana tidak mahu
mematuhi syarat Haji Jilah. ":Aku hanya mahu membantu mereka, sebab aku
sahabatnya," dia tetap berkeras tidak mahu mengalah.
"Kalau
begitu, aku tetap berkawal di sini!" ujar Haji Jilah berdiri gagah di
tengah jeram berolak deras.
"Buat
apa awak lakukan kerja sia-sia ni?" ejek lembaga tinggi itu untuk menyakiti
hati Haji Jilah.
"Sia-sia
atau tidak, itu urusan aku," Haji Jilah terus bertahan tidak membenarkan
lembaga tinggi itu mendekati sangkar besi yang tergantung.
Tetapi
lembaga tinggi yang melangkaui pokok sebesar lima pemeluk itu sekadar tidak
dapat mendekati Haji Jilah sahaja. Beberapa kali dicubanya melontarkan besi
berbara merah, tetapi semuanya jatuh ke dalam air jeram sebelum sempat menyinggahi
Haji Jilah.
Tiga
lelaki yang terkurung di dalam sangkar besi juga berusaha mahu melepaskan diri
sambil menyeru lembaga tinggi itu membantunya. Mereka campakkan pakaiannya
hingga tidak menutupi tubuh lagi, semata-mata mengharapkan lembaga tinggi
berkenaan datang membantu.
"Baliklah
awak, sekalipun di sini bukan tempat awak," lembaga tinggi
berlenggang-lenggang seperti asap berkepul itu mengejek Haji Jilah.
"Di
mana-manapun bumi ini kepunyaan Allah," sahut Haji Jilah membentak keras.
"Tempat awak di tanah Arab, baliklah awak
ke tanah Arab," ketawa lembaga tinggi itu memanjang sengaja mahu menyakiti
hati Haji Jilah yang terus bertahan.
Tetapi
lembaga tinggi itu menjadi tidak keruan sebaik sahaja melihat saya berdiri di
tebing jeram. Haji Jilah juga mengangkat tangan ke arah saya setelah menyedari
saya tercegat di tebing tidak berkedip mata memerhati lembaga tinggi itu.
"Selama
ni hantu tinggi ni yang ganggu Sabiah," Haji Jilah mencemik muka menudingkan
jari ke arah lembaga tinggi seperti asap berkepul itu. "Itulah manusia
yang bersahabat dengan syaitan..." marah benar dia mendongak tiga lelaki
yang terkurung dalam sangkar besi.
"Kenapa tuan haji nak bersusah payah
ni?" salah seorang lelaki yang berpakaian serba hitam di dalam sangkar
besi mengejek ejek. Tetapi mereka bertiga menjadi hairan apakala lembaga tinggi
di seberang jeram keruan tidak menentu.
"Sabiah
tu menantu aku, kau fikir aku boleh diam diri?" tegas Haji Jilah tidak bercakap
mata merenung tiga orang lelaki itu yang sudah membuang pakaian.
Lantas
saya menggamit Haji Jilah naik sahaja ke tebing. Tidak perlu dia bertahan di
tengah jeram, kalau semata-mata mahu menghalang lembaga tinggi itu melepaskan
tiga lelaki yang terkurung dalam sangkar besi. Tiga lelaki itu tidak perlu
dihiraukan sama ada terlepas ataupun tidak. Biarlah lembaga tinggi seperti
kepulan asap itu melepaskan mereka kurungan mereka tetap tidak boleh berbuat
apa-apa sekiranya lembaga tinggi itu dihalau jauh.
Sebaik
sahaja Haji Jilah naik ke iebing, tersengih-sengih lembaga tinggi itu mara
untuk melepaskan sangkar besi. Sebaik sahaja dia mendekati sangkar besi
tergantung, lantas saya hembuskan dengan membaca surah al-Ikhlas. Serentak
dengan itu tiba-tiba sahaja kilat memancar di udara terus menyambarnya.
Terjerit
lembaga tinggi itu terpelanting hingga terputus dua akibat disambar kilat
memancar. Kemudian dia bingkas bangun bertukar menjadi api yang menyala hingga
menjulang melepas pucuk pokok-pokok kayu sebesar lima pemeluk.
Tidak
sempat tiga orang lelaki yang terkurung dalam sangkar besi tersenyum melihat
lembaga tinggi itu bertukar menjadi api, segera saya bacakan Fatihah tiga kali
diikuti dengan doa:
Huwallazi yurikumul barqa khau-pau watama'an wa-yunsyi us-sahabas
thi-qala.
Serentak
dengan itu kilat memancar diikuti dengan petir berdentam kuat menyambar ke arah
api yang menjulang. Bertalu-talu petir berterusan menyambar, menyebabkan api
yang menjulang berpercikan seperti bunga api dibakar.
Mereka
yang terkurung di dalam sangkar besi menjadi ketakutan setelah keadaan semakin
membimbangkan. Lembaga tinggi yang diharapkan dapat menolong mereka sudah tidak
dapat bertahan daripada terjahan petir yang menyambar keras bertalu-talu.
"Tuan
haji, cukup-lah, kami minta maaf," mereka serentak merayu dalam suara
ter-ketar-ketar.
"Kenapa
minta maaf, bukankah lebih baik bertaubat kepada Allah?" Haji Jilah
mengejek mereka.
"Buat
apa kamu bersahabat dengan syaitan untuk merosakkan orang?" dia masih
menyimpan rasa marah yang membahang di hati.
"Kamipun
diupah orang, tuan haji," lantas sahaja salah seorang daripadanya memberi
pengakuan.
"Takkan
upah tak seberapa, kau sanggup susahkan orang!" sahut Haji Jilah
selanjutnya.
Ketika
ini lembaga tinggi yang disambar petir bertalu-talu itu terdampar ke tebing
jeram. Dia termengah-mengah menjadi kepulan asap semula, sekalipun tidak mampu
untuk berdiri tegak. Tubuhnya yang terputus dua tidak dapat bercantum lagi.
Terkial-kial
dia mahu berdiri biar tubuhnya yang terputus bercantum semula. Puas
terkial-kial tubuh lembaga itu tetap terkulai asal sahaja tegak untuk bercantum.
Dia bergerak ke kiri ke kanan mengumpulkan tenaga, tetapi semuanya sia-sia sahaja.
"Nampaknya,
awak nak mencabar kami," suara lembaga tinggi itu keras mengancam saya.
Saya
tidak menyahut. Tidak bertangguh saya hentakkan tumit ke tanah, terus mengisar
kuat sambil membacakan:
Aliflam mim sad, Kaf ha ya a'in sad, ha mim a'insin kaf, uskun
aiyuhal waji'-billazi in-yasya yuskinir riha-fayaz-lalna rawakida 'ala-zahrihi
in-nafi-zalika I a- ay atin likulli sabbarin syakur.
Apabila
angin kencang bertiup menolaknya lembaga tinggi seperti kepulan asap itu
terhuyung hayang menampan terjahan angin. Pohon-pohon di kiri kanan juga
meliuk-liuk memukulnya hingga kepulan asap itu juga bercaing-caing macam
serpihan kapas diterbangkan oleh angin.
Berpusing-pusing
lembaga tinggi seperti kepulan asap itu mahu mencari tempat berlindung, tetapi
angin kencang bertiup dari segenap penjuru. Sangkar besi yang tergantung juga
teroleng-oleng ditiup angin kencang menyebabkan mereka bertiga yang terkurung
di dalamnya terjerit-jerit meminta pertolongan.
Lembaga
tinggi yang terhuyung hayang tidak dapat menolongnya lagi setelah angin kencang
bertiup tidak henti-henti. Ke mana sahaja dia bertahan tiupan angin kencang
terus menyerbu laksana air terlepas dari empangan pecah.
Lelaki yang terkurung di dalam sangkar besi
itu termangu apabila pakaiannya juga diterbangkan oleh angin. Mereka berpandangan
sama sendiri kerana sudah tidak berpakaian lagi, akibat dilucutkan sewaktu menyeru
lembaga tinggi itu datang melepaskan mereka dari kurungan.
"Hai
nenek tujuh petala langit, setinggi-tinggi sampai ke langit, tolonglah lepaskan
anak cucu!" salah seorang lelaki yang tua sedikit menyeru-nyeru.
Tetapi
mereka sekadar mendengar batuk yang kuat di udara bersama deru angin yang kencang.
Tahulah mereka lembaga tinggi itu tengah marah akibat tidak dapat bertahan di
situ. Kemarahan itu dilepaskannya ke arah lelaki yang terkurung di dalam
sangkar besi, lantas dilontarkannya dengan rantai besi yang merah menyala.
Setiap kali sebatan rantai besi menyala itu
menyinggahi jaring sangkar besi, apinya memercik ke arah tubuh mereka. Semakin
tinggi jeritan mereka menyeru lembaga tinggi memberi . pertolongan.
"Mohonlah
perlindungan dan pertolongan kepada Allah Subhanahu Wata'ala," Haji Jilah
melaung kuat dari tebing jarum mengingatkan mereka bertiga.
"Lepaskan
mereka Pak Syeikh," saya berbisik ke telinga Haji Jilah dan kemudian
menyerukan azan perlahan sebanyak tujuh kali di sebelah kanannya. Saya melihat
dia mengangguk-angguk semacam memberikan pengakuan.
Apabila
saya merasakan tapak tangan tidak lagi melekat pada dada Haji Jilah, perlahan-lahan
saya menariknya. Ketika ini Haji Jilah terbersin hingga terbatuk-batuk beberapa
kali. Cepat-cepat pula Haji Mosli mengangkatkan kepala ayahnya, yang masih lagi
kelihatan lemah akibat terkejang berhari-hari.
Sebaik
sahaja Haji Jilah membuka mata, dia tidak terkejut melihat saya duduk di
sisinya. Dia tersenyum memerhati saya dengan tidak berkedip mata. Selepas duduk
beberapa minit, lantas sahaja Haji Jilah bangun mahu bersolat.
"Ayah
tu belum sihat, berihatlah dulu," Haji Madas segera menegahnya.
Tetapi
Haji Jilah tidak peduli. Dia terus juga ke bilik air terketar-ketar melangkah.
Mahu dibantu oleh Haji Mosli memapahnya ke bilik airpun, dia membantah. Hatinya
tetap cekal mahu melakukan sendiri.
"Biarlah,
Pak Sheikh tahu apa dia nak buat," ujar saya tersenyum kerana Haji Jilah
sebenarnya tidak sakit apa-apa. Dia sekadar keletihan sahaja disebabkan terlalu
lama terkejang.
Selepas
Haji Jilah menunaikan solat sunat, saya terus sahaja balik. Tidak perlu lagi
menunggu sehingga maghrib untuk sama-sama membacakan Yassin. Haji Madas juga
sudah bercadang mengadakan kenduri doa selamat sahaja sekiranya kawan-kawan
dari masjid datang selepas maghrib.
Semenjak
badannya kembali segar itulah, Haji Jilah menyimpan hasrat untuk jejakkan kaki
ke Mekah Mukarramah. Sengaja dia tidak mahu memberitahu anak-anaknya rahsia
yang terpendam di hatinya itu, sama seperti dia mahu merahsiakan kejadian dia
terkejang berhari-hari di hujung serambi.
Kakak
saya juga hairan kerana ayah mertuanya masih gagah ke kebun, sekalipun beberapa
hari sahaja sembuh dari terkejang tidak bergerak-gerak seperti mayat
dibujurkan. Gangguan yang dialami oleh kakak saya juga tidak lagi galak
mengancam.
Hanya
dia diberitahu mengenai kawannya yang sama bertugas di pejabat terlantar di
hospital akibat seluruh badannya melecur dipercik minyak panas sewaktu menggoreng
ikan di dapur. Memang tidak terlintas di akal langsung bagaimana percikan minyak
menggoreng ikan boleh menyebabkan seluruh badan melecur habis.
"Pak
Sheikh nak tunaikan umrah aje," beritahu Haji Jilah apabila dia
menjelaskan kepada saya hasratnya mahu jejakkan kaki di Mekah Mukarramah. Dalam
masa dia bersiap-siap untuk menunaikan umrah inilah, Haji Jilah diganggu demam
selsema. Tiga hari sahaja dia demam merasa sejuk seluruh badan, saya menerima
telefon dari Jubir memberitahu datuknya meninggal dunia.
Terkilan
juga saya kerana tidak sempat memberitahu anaknya Haji Mosli mengenai hasrat
yang terpendam di hatinya itu.
No comments:
Post a Comment