Masjid Agung di Bukittinggi yang dibina daripada derma
orang ramai, tidaklah seindah masjid di sini. Karpetnya hanya terbentang di
barisan hadapan sahaja manakala di barisan belakang dibentangkan tikar rumput.
Tetapi saya merasa ketenangan yang mendalam tatkala duduk bertafakur di tengah
masjid.
Sejak beberapa hari jejak kaki di Bukittinggi menemui
Mamak Bandaro, dia telah perkenalkan saya dengan sanak saudara yang sudah lama
berpisah. Dia juga temukan saya dengan beberapa orang guru madrasah sampai
terasa ke mana sahaja pergi ramai mendapat kawan-kawan. Mungkin Bukittinggi
yang saya jejak kaki itu tidak sama dengan Bukittinggi yang ditinggalkan oleh
arwah Tok Aji sebelum dia berhijrah ke Semenanjung dulu.
Bangunan pasar yang baru dibina, tidak kurang hebatnya
dengan pasar di. Kota Bharu, Kelantan. Sewaktu dibawa Mamak Bandaro ke pasar
sempat juga saya membeli sebuah songkok tinggi yang harganya hanya sebelas ribu
rupiah sahaja. Dapat juga saya menikmati buah salak yang banyak terjual di
merata pasar.
Selama di rumah Mamak Bandaro saya merasakan seolah-olah
berada di tengah keluarga di Semenanjung juga. Malah beberapa kali Mamak
Bandaro mengesat pelupuk mata setiap kali menatap waiah saya. Memang berulang
kali dia memberitahu wajah. Saya mempunyai iras-iras wajah arwah Tok Aji.
"Alhamdulillah, kita ketemukakan juga oleh
Allah," tutur Mamak Bandaro sewaktu dia dan anaknya Fitriati menyambut.
kedatangan saya di lapangan terbang. Suami Fitriati tidak ikut sama menjemput disebabkan
masih bertugas kantornya. Sebab itulah Fitriati yang memandu kereta menjemput
saya di Medan.
Saya sendiri tidak bercakap banyak pada. pertemuan tersebut.
Terasa sebak dada apabila berjumpa sanak saudara sebaik sahaja jejakkan kaki di
Sumatera. Memang saya tidak merasa terasing sekalipun pertama kali sampai di
Bukittinggi.
"Agoes, ini
keponakan ku," beritahu Mamak Bandaro kepada menantunya sebaik sahaja
suami Fitriati balik dari kantor. Sewaktu bersalaman saya lihat juga airmata
Agoes menitis. Terharu sangat dia disebabkan dapat juga saya jejakkan kaki ke
Bukittinggi.
"Sudah lama saya dengar kisah Tok Aji, bang,"
kata Agoes perlahan masih menggenggam erat tangan saya. "Sayang Tok Aji
tak suka bergambar, kalau tidak tentu dapat saya tatap wajah abang yang sama
dengan Tok Aji tu," ujarnya lantas melepaskan genggaman tangan.
Selepas beberapa hari. di Bukttinggi terus Mamak Bandaro
mengajak ke Tanah Datar menemui sepupunya Haji Salim. Sempat juga saya singgah
melihat air terjun di tembah Anai dengan aimya yang jernih. Berhenti juga
menjengah batu bertikam dalam perjalanan melalui Gedung Indo Jelito.
Sewaktu sampai di rumahnya Haji Salim memang sudah tahu
akan kedatangan saya sekalipun Mamak Bandaro tidak menelefon. Malah isterinya
Hajah Patomah pun hairan apakala diberitahu oleh Haji Salim mengenai
keponakannya dari jauh akan jejak kaki ke rumahnya.
"Ibu sangka, bapak sengaja ngomel-ngomel
kosong," ujar Hajah Patomah sewaktu mempelawa kami masuk.
"Tok Aji tu,
mamak pada kami," beritahu Haji Salim tersenyum setelah mengajak kami
duduk. Dia masih kelihatan sihat walaupun umurnya jauh lebih tua daripada Mamak
Bandaro.
Memang terasa kemesraan sanak saudara apabila mula-mula
saya jejakkan kaki di bumi kelahiran Tok Aji. Baik di Bukittinggi, mahupun di
Padang, Tanah Datar atau Batusangkar saya tidak merasa terasing apa-apa. Semua
sanak saudara menyambut dengan mesra.
Dapat saya bayangkan bagaimana arwah Tok Aji dahulu
terpaksa melalui jalan berliku-liku di lereng gunung untuk sampai ke Pekan Baru
di Riau, sebelum meneruskan perjalanan ke Dumai menyeberangi Selat Melaka.
Di lereng-lereng gunung itulah padi subur menghijau
dengan lopaknya bertingkat-tingkat. Sewaktu melintasi lereng gunung asyik juga
saya merenung sawah padi terbentang hingga hati terasa sebak apabila mengimbau
kembali kenangan perjalanan arwah Tok Aji yang terlalu jauh.
Tatkala saya tertunduk bertafakur di tengah Masjid Agung
itulah tiba-tiba saya dikejutkan oleh seorang lelaki memberi salam. Segera saya
menyahut lantas mendongak lelaki itu yang tercegat berdiri di sisi saya. Tetapi
hati saya berdebar disebabkan ramai jemaah sudah rneninggalkan masjid, termasuk
juga Mamak Bandaro yang sudah berjalan keluar bersama jemaah yang lain.
Kenapa pula lelaki itu tidak ikut keluar bersama jemaah?
Apalagi lelaki itu berpakaian comot dengan tubuhnya berkudis hingga kupingnya
mengangkut nanah. Ketika dia menghulur tangan untuk bersalam, terpaksa juga
saya menyambutnya sekalipun belakang tangannya dipenuhi kudis.
Jauh di sudut hati saya tertanya-tanya bagaimana lelaki
demikian kotor dengan bau badan hamis meloyakan akibat kudis mengangkut nanah
itu boleh masuk ke tengah masjid?
Lantas sahaja dia duduk di sebelah saya dengan tidak
bercakap sepatah pun. Serba salah juga saya mahu melarikan diri kerana bimbang
dia akan tersinggung. Apa pula katanya kalau saya tergesa-gesa keluar
meninggalkan dia setelah duduk di sisi. Tentu dia akan menuduh saya terpaksa
keluar disebabkan jijik dengan keadaan kudisnya di seluruh badan.
Puas saya memerhatikan Mamak Bandaro, tetapi dia tidak
kelihatan lagi di kawasan masjid. Kalau Mamak Bandaro tercegat di pintu masjid
memang saya bingkas bangun juga mendapatkan dia. Biarlah lelaki berkudis
seluruh badan itu tinggal seorang diri di tengah masjid.
"Saya tahu, abang dah pergi ke rumah Haji Salim di
Tanah Datar," lelaki itu bersuara perlahan sekalipun saya tidak
menyapanya. Dia semakin rapat dengan saya hingga bertemu kepala lutut.
Tatkala saya mengerling pakaiannya yang koyak rabak itu
memang nampak tokak bernanah di kepala lututnya membengkak besar. Semakin loya
tekak saya apabila menghadapi keadaan demikian. Namun saya cuba melawan
perasaan yang memualkan itu supaya hati lelaki itu tidak tersinggung.
Dalam saat demikian saya menyedari bahawa kampung halaman
di Semenanjung terlalu jauh. Oleh itu tidak patut saya bersikap keras terhadap
lelaki berkenaan.
Apabila saya kenangkan kawan saya Haji Maliki tatkala
menunaikan fardu haji, terasa juga gementar di hati. Manalah tahu kejadian yang
dialami oleh Haji Maliki itu akan menimpa saya pula di Masjid Agung itu. Memang
kesal benar Haji Maliki apabila berkasar dengan lelaki Arab yang berkurap
seluruh badan solat di depan kaabah hingga bertembung bahu dengannya.
Puas dia mengelak untuk menjauhkan diri daripada lelaki
berkurap itu, tetapi ke mana sahaja dia tercegat di situlah lelaki berkenaan
terjongol. Semasa tawaf pun Haji Maliki cuba larikan diri di celah berjuta-juta
manusia yang sama mengelilingi kaabah. Setiap kali dia melepaskan diri, tiba-tiba
sahaja bahu bersentuhan dengan lelaki berkurap itu.
Selepas pusingan ketujuh tawaf barulah Haji Maliki berasa
lega apabila lelaki berkurap seluruh badan hilang di celah jemaah yang
berombak-ombak. Tetapi sewaktu mahu mencium hajarulaswad, tiba-tiba sahaja
lelaki berkurap itu tercegat di depannya. Selepas lelaki itu cecahkan bibir dan
hidungnya yang berkurap dengan kulit berkerak-kerak, barulah giliran Haji
Maliki pula menciumnya.
Sama ada jijik atau pun tidak Haji Maliki terpaksa juga
mencium hajarulaswad selepas lelaki berkurap itu menciumnya. Kalau mahu
mengelak tentulah orang yang di belakang akan merungut. Lagipun bukan mudah
mahu sampai ke depan hajarulaswad di tengah lautan ombak manusia yang
berasak-asak. Memang terlekat kuping kulit kurap lelaki itu di batu berkenaan
semasa Haji Maliki cecahkan mulut dan hidung ke hajarulaswad itu.
Sebab itu saya terpaksa melawan perasaan mendongkol itu,
apabila kenangkan kejadian yang menimpa Haji Maliki. Kadangkala ujian demikian
lebih terasa menyulitkan kalau tidak kukuhkan semangat melawan sifat amarah
yang mengganggu.
"Adik dari mana?" cepat-cepat saya bertanya
sambil mengelak kepala lutut daripada mencecah kepala lututnya.
Dia tidak menyahut apa-apa. Sebaliknya sengaja dekatkan
kepala lututnya biar bertemu tidak renggang sedikit pun. Memang terasa dia
seolah-olah mahu menyakiti hati saya ketika itu.
Memang saya tidak ulangi lagi bertanya setelah dia mendiamkan
diri. Apalah gunanya menegur kalau dia sengaja mendiamkan diri tidak mahu
menyahut. Tentu dia mahu menguji perasaan saya tatkala jauh di perritauan.
Kalau tidak masakan kejadian demikian berlaku selepas selesai solat Jumaat.
"Maaf dik, izinkan saya balik dulu," ujar saya
cuba bergerak, tetapi terasa punggung berat tidak boleh diangkat.
"Abang tak sudi berbual dengan saya?" dia
menyindir sambil mengerling ke arah saya. Kemudian dia menggaru pangkal
telinganya yang terkopak kuping akibatnya nanah membengkak.
"Sudi,"
saya cuba berdalih dalam keluhan pendek. "Tapi, Mamak Bandaro dah lama
tunggu di luar," beritau saya dengan harapan dapat melepaskan diri akibat
tidak dapat bergerak dari tengah masjid.
Saya mula menuduh lelaki itu jelmaan syaitan yang mahu
menganiaya. tidak bertangguh saya bacakan:
Hasbiyallahu la-ilahailla huwa `alaihi tawakkaltu wahuwa
rabbul `arsyil:azzim.
Tetapi saya masih tidak dapat juga menggerakkan badan.
Tersenyum lelaki itu berpaling ke arah saya dengan terangguk-angguk, kemudian
menuturkan perlahan mathum-nya: Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain
Dia, hanya kepada-Nya aku ber-tawakal dan Dia adalah Tuhan yang mempunyai arasy
yang agung, surah al-Taubah ayat 129.
Serentak dengan itu seluruh tubuh saya berasa seram sejuk
tidak menentu. Apa pula kesalahan yang telah saya lakukan hingga diuji
demikian?
"Betul tak,
ayat itu yang abang baca?" lelaki itu tersengih-sengih macam mahu
menyakiti hati saya.
Perlahan-lahan saya mengangguk. Kemudian saya mula
berzikir untuk membuang sifat amarah di dalam hati. Sifat amarah itulah yang
menyebabkan saya berasa terlalu jijik apabila didekati lelaki berkenaan yang
seluruh tubuhnya berkudis dengan pakaian compang-camping. Kalau dia berani
jejak kaki ke tengah masjid dengan pakaian demikian, tentu hatinya bersih.
Zikir terus bergema dalam hati saya hingga tiba-tiba
terasa angin menerobos kencang dari arah pintu. Masjid Agung itu seolah-olah
diganggu angin kencang yang menggegar. Tetapi saya tetap tidak berganjak duduk
di tengah masjid bertahan daripada gangguan angin kencang.
Lama saya berzikir tiba-tiba bahu saya ditepuk beberapa
kali. Apabila yang membuka mata, lelaki berkudis seluruh badan itu tidak ada
lagi duduk di sebelah saya. Tetapi Haji Salim dengan jubah putihnya tercegat
berdiri menepuk-nepuk bahu saya.
Tersengih-sengih Haji Salim memandang saya yang masih
terconggok di tengah masjid. Teringin juga saya mahu bertanya bila dia tiba
dari Bukittinggi yang jaraknya beratus kilometer, tetapi mulut saya bagaikan terkunci
tidak boleh dibuka langsung. Tidak dapat sepatah pun saya bercakap tatkala
bertentang mata dengannya di tengah Masjid Agung itu.
"Mamak balik dulu, ustaz, assalamualaikum,"
ujar Haji Salim terus berjalan ke pintu masjid dengan tidak menunggu saya
berdiri bangun.
Lama saya terpaku di tengah masjid selepas Haji Salim
melangkah pergi. Ketika ini memang dada terlalu sebak menahan rasa terharu yang
bergelora. Setelah dapat tenteramkan hati barulah saya bangun meninggalkan
masjid. Sebaik sahaja tiba di luar masjid, tidak pula kelihatan. Haji Salim di
mana-mana. Hanya Mamak Bandaro sahaja yang sedang menunggu saya di pintu pagar
masjid.
"Maaf, saya
terlambat sikit, mamak," lantas saya menegur Mamak Bandaro sebaik sahaja
sampai di sisinya. "Tak apa, mamak tau memang ustaz begitu," sahutnya
terus berjalan menuju ke kereta. Fitriati memang sudah lama menunggu kami di
situ.
Semasa dalam perjalanan balik sengaja saya beritahu Mamak
Bandaro kejadian yang saya alami di tengah masjid. Terkekeh-kekeh Fitriati
ketawa lantas menuduh saya terlalu mempercayai perkara tahyol. Tetapi saya
tidak tersinggung apa-apa, kerana terlalu sukar mahu menerangkan perkara
demikian kepada sesiapa sahaja seperti Fitriati.
Ketika Agoes balik dari kantor di sebelah petang, segera
sahaja Fitriati mengusik saya dengan kejadian yang dialami di Masjid Agung.
Tetapi Agoes tidak merasa hairan apa-apa sekalipun Fitriati juga mengejeknya.
"Memang Haji Salim tu begitu, bang," beritahu
Agoes perlahan. Memang dia tidak terkejut apa-apa kalau diberitahu mengenai
Haji Salim terjongol di sisi saya. "Bukan di Masjid. Agung saja, bang,
malah di Masjidil Hararn di Mekah pun pernah orang jumpa dia," jelasnya
lantas beristi.ghfar berulangkali.
Beberapa kali Agoes diberitahu oleh kenalannya yang
tunaikan umrah terserempak Haji Salim solat di tengah Masjidil Haram. Mereka
juga menemui orang tua itu solat di Masjid Nabawi di Madinah, sekalipun mereka
tahu Haji Salim tidak pun menunaikan umrah ketika itu.
Tahu sangat Agoes mengenai Haji Salim yang rnempunyai
hubungan keluarga dengan Hajah Patomah. Memang Haji Salim seringkali tinggalkan
kampung di Tanah Datar mengajar agama sampai ke Pariaman dan Maninjau. Mereka
yang tinggal di Singgalang juga ramai yang mengenali guru agama itu.
Sebab itu apabila mereka yang tingal di Maninjau atau
Singgalang terserempak Haji Salim di Masjidil Flaram ketika menunaikan umrah, mereka
terkejut juga. Haji Salim hanya sekadar mengangguk-angguk sahaja kalau mereka
tegur. Dia tidak akan bercakap apa-apa sekiranya mahu dilayan berbual. Habis
sahaja solat dia akan bingkas bangun meninggalkan mereka lantas hilang di
tengah jemaah yang berasak-asak.
Memang Agoes juga terserempak Haji Saim di Jabal Rahmah
semasa tunaikan umrah bersama Fitriati. Tetapi selepas solat sunat di atas
puncak Jabal Rahmah, tiba-tiba sahaja Haji Salim tidak kelihatan lagi di
mana-mana.
"Ah, Masjid Agung bukan jauh dari Tanah Datar,"
ujar Agoes tersengih-sengih mencapai rokok kereteknya.
Tatkala Agoes
belajar agama di madrasah Haji Salim, seringkali juga dia melihat orang tua itu
mengepal tanah di depan madrasah. Kemudian dia menyuap tanah yang dikepal itu
ke mulut. Hairan juga Agoes dengan perbuatan Haji Salim memakan tanah di depan
madrasah yang dikepalnya. Masakan Haji Salim tidak cukup makanan, kerana
padinya sentiasa penuh di kepuk.
Kadangkala Hajah Patomah marahi juga suaminya berkelakuan
demikian. Tetapi Haji Salim tidak peduli apa-apa. Dia akan terus menyuap tanah
yang dikepal itu ke mulutnya. Selepas makan dia akan sendawa lantas
mengusap-usap muka dengan menuturkan Alhamdulillah. Dia tidak akan menjamah
lagi masakan isterinya, tetapi terus berihat tidur di bilik.
Memang jarang Haji Salim menjamah makanan yang disediakan
oleh Hajah Patomah. Dalam sebulan hanya beberapa kali sahaja dia mahu makan
masakan yang disediakan oleh Hajah Patomah. Mula-mulanya memang Hajah Patomah
tersinggung juga dengan sikap suaminya, lantas lama kelamaan dia memahami juga
mengenai diri Haji Salim sekadar makan kepalan tanah di depan madrasah.
"Pak Maulana makan apa tu?" tegur Agoes setelah
lama dia memerhatikan Haji Salim tercangkung mengepal tanah. Kenakalan Agoes
sewaktu berusia belasan tahun tidak menyinggung apa-apa pada Haji Salim. Dia
tidak pedulikan Agoes berdiri di belakangnya. Mulutnya sahaja merungut-rungut
tidak tentu biji butir. "Boleh Pak Maulana beri saya rasa?" sengaja
Agoes mahu mengusik setelah melihat guru agamanya menyuap tanah yang dikepal ke
mulut.
Haji Salim tidak menyahut. Lantas sahaja dikepalnya tanah
di depannya dalam genggaman terus dihulurkan kepada Agoes dengan tidak menoleh
ke belakang pun. Sebaik sahaja Agoes memegang kepalan tanah itu dia melihat sepotong
juadah yang baunya sangat menyelerakan. Tidak bertangguh Agoes terus
menjamahnya sampai habis tidak bersisa.
Sewaktu Agoes mencicap juadah itu dengan lidahnya memang
terasa keenakan yang belum pernah dinikmatinya selama ini. Sebab itu dia memakannya
dengan gelojoh hingga terpaksa menjilat-jilat jari disebabkan terlalu enak.
Apabila dia meminta sepotong lagi daripada Haji Salim, orang tua itu hanya
memberi isyarat dengan tangan sahaja kerana tidak boleh memberinya lagi.
Seminggu terasa kelazatan juadah itu di kerengkung setiap
kali dia menelan apa sahaja makanan. Terpaksa Agoes mengendap di belakang
apabila Haji Salim mencangkung mahu mengepal tanah di depan madrasah. Tetapi
tidak pernah lagi dia melihat Haji Salim tercangkung mahu mengepal tanah.
"Pak Maulana, boleh berikan saya lagi?" desak
Agoes selepas habis belajar di madrasah selepas dua minggu dia menikmati juadah
yang diberikan oleh Haji Salim.
"Tak boleh," jelas Haji Salim lembut lantas
menepuk-nepuk mesra bahu Agoes. "Engkau masih memerlukan duniawi, cukuplah
dengan sepotong dulu," ujarnya tersengih-sengih merenung muka anak muda
yang nakal itu.
"Bagaimana kalau saya mahu juga, Pak Maulana?"
Agoes terus mengekori ke mana sahaja orang tua itu melangkah.
"Juadah itu bukan makanan kamu," gerutunya
sambil memberi amaran supaya Agoes jangan mengekori dia.
Tetapi setelah Haji Salim jauh meninggalkannya, Agoes
berkejar juga mengekorinya dari belakang. Belum pun sempat sampai di simpang
jalan ke rumahnya, Agoes nampak sinar cahaya memancar mengelilingi Haji Salim.
Tidak lama selepas itu Haji Salim hilang dalam silauan cahaya tersebut.
Segera Agoes berlari ke rumah. Haji Salim mahu memberitahu
emak saudaranya mengenai kehilangan orang tua berkenaan, tetapi alangkah
terkejutnya dia apabila melihat Haji Salim sedang berbaring di tengah rumah!
Hampir sebulan dia tidak dapat bercakap apa-apa hingga
tidak dapat memberitahu kejadian tersebut kepada sesiapa pun. Setiap kali dia
cuba ceritakan perkara tersebut, suaranya akan hilang serta merta. Dia hanya
ternganga-nganga sahaja tidak dapat menuturkan apa-apa.
"Macam
itulah, bang," jelas Agoes di depan saya menyebabkan Fitriati terus
mengejeknya kerana percayakan sangat perkara-perkara tahyul.
"Memang betul begitu, tapi mamak tak mau ceritakan
pada ustaz," sahut Mamak Bandaro apabila kenangkan sepupunya itu.
"Sebab itu saya tak hairan kalau abang temui dia di Masjid Agung,"
ujar Agoes mengerling saya yang tertunduk. "Tapi, tak sama dengan kerja
orang siluman," beritahu dia seianjut-nya.
"Siluman?" ulangi saya lantas
mengangkat muka.
Agoes mengangguk, kemudian berpaling kepada bapa
mertuanya Mamak Bandaro.
"Siluman ni macam sihir juga," ujar Mamak Bandaro
mengisar duduk sambil menghela nafas. "Mamak sendiri pernah diganggu
siluman," katanya mencepak-cepak bibir apabila ingatkan semula kejadian
yang dialaminya tatkala menjadi pemandu bas.
Sampai bila pun Mamak Bandaro tetap kenang pengalamannya
memandu bas melalui jalan ke selatan menuju ke Palembang dan Lampong yang
dikelilingi hutan rimba.
Perjalanan pergi memang dia tidak bimbang apa-apa kerana
ramai penumpang di dalam bas. Tetapi dalam perjalanan balik hanya tinggal dia
berdua sahaja dengan konduktor, Dino. Biasanya selepas meninggalkan Palembang
memang waktu malam. Terpaksalah bas yang dipandu Mamak Bandaro meranduk
kegelapan malam melalui jalan kecil di tengah hutan rimba itu. Memang malam
tidak banyak kenderaan melalui kawasan berkenaan.
Dino yang berasal dari Medan itu baru berusia dalam
lingkungan dua puluhan tahun sahaja. Dia sendiri banyak bergantung kepada Mamak
Bandaro kalau berhadapan dengan sebarang masalah sewaktu dalam perjalanan. Lainlah
kalau berlaku kerosakan enjin, memang Dino satu-satunya yang, mahir membaiki.
Tetapi kejadian malang yang menimpa mereka tatkala
melalui jalan tengah hutan itu di waktu malam bukan lagi kerosakan enjin.
Tiba-tiba sahaja enjin bas yang dipandu oleh Mamak Bandaro tersadai tidak boleh
dihidupkan. Mamak Bandaro tidak syak apa-apa lantas mengajak Dino turun
memeriksa enjin.
Puas Dino meneliti enjin tidak pula ada apa-apa yang
rosak. Masakan fomen seperti dia tidak dapat mengesan enjin rosak. Sudah
beberapa kali enjin bas rosak dalam perjalanan, memang Dino yang baiki. Tahu
sangat dia bahagian mana yang perlu diusik sekiranya enjin rosak di tengah
perjalanan.
"Macam mana kita ni, pak?" Dino mulai gelisah
setelah tidak dapat mencari punca enjin bas rosak.
"Saya sendiri tak tahu, apa malangnya kita!"
keluh Mamak Bandaro mengajak Dino naik semula ke dalam bas. "Kita terpaksa
tidur di sini, sementara besok siang dapatkan bantuan," keluhnya sebaik
sahaja duduk di bangku belakang.
"Di sini, jauh dari perkampungan, pak," ujar
Dino dalam keadaan bimbang. Dia memerhati keliling hanya pokok-pokok kayu
tersergam menyebabkan sekitarnya gelap gelita.
"Jangan putus asa, Dino," Mamak Bandaro cuba
memberi semangat kepada anak muda itu.
"Tapi saya tak pernah menghadapi keadaan begini,"
keluh Dino ikut sama merebahkan badan ke kerusi. "Di tengah hutan ni
macam-macam boleh terjadi, apalagi cuma kita berdua aje," dia menambah
dalam debar dada yang gementar.
"Jangan khuatir, Dino," kata Mamak Bandaro
berbaring di bangku belakang. Dia sudah mula berkira-kira untuk lelapkan mata
sahaja di situ sampai santak pagi.
Bukan sekali dua Mamak Bandaro tidur di bas sekiranya tersadai
di pertengahan jalan. Sebelum Dino mengikutnya menjadi konduktor, memang dia
sudah mengalami kejadian bas rosak di tengah hutan demikian. Apalah salahnya
tunggu sehingga siang di situ. Tentu ada kenderaan yang melintasi untuk
rnembantu dapatkan bengkel yang dekat.
Lainlah Dino anak muda dari Medan itu. Belum pemah dia
mengalami kejadian bas rosak tatkala tengah malam. Lagi pun fomen seperti dia
bila-bila sahaja mampu baiki enjin kereta .yang rosak. Tetapi dia sudah puas
memeriksa memang enjin bas tidak rosak apa-apa. Kenapa pula tidak boleh dihidupkan
langsung?
Dalam saat Dino resah tidak keruan itu, tiba-tiba dinding
bas diketuk kuat dari luar. Segera Dino menjengah dari cermin tingkap. Terkejut
dia apabila melihat lima lelaki berpakaian comot dengan memegang suluh mengetuk
dinding bas. Mereka ,tidak dapat naik kerana pintu bas sudah ditutup rapat oleh
Mamak Bandaro.
"Pak, cepat tengok di sini," lantas Dino
memanggil Mamak Bandaro yang hampir terlelap di bangku belakang. Cepat-cepat
Mamak Bandaro bingkas bangun apabila dipanggil oleh Dino dalam keadaan cemas.
"Ada apa, Dino?" soalnya terkuap-kuap menutup
mulut dengan penumbuk. Berdebar juga hati Mamak Bandaro sebaik mendengar
dinding bas itu diketuk, diikuti oleh suara orang memanggil dari bawah. Sewaktu
dia mahu membuka pintu, Dino segera menahannya. Tetapi Mamak Bandaro tidak
hiraukan anak muda itu terus sahaja dia meluru keluar.
"Ada apa?" jerkah Mamak Baridaro merenung tepat
lima lelaki berpakaian comot di atas jalan.
"Saya mahu menumpang. bas ni, pak," sahut
seorang lelaki tua yang gemuk pendek dengan rambut mengerbang. Lelaki itu
berseluar pendek dengan seluruh tubuhnya habis dipaliti lumpur.
"Bas ni rosak, tak boleh jalan!" ujar Mamak
Bandaro keras lantas menghalau mereka supaya berundur jauh.
Hairan Dino dengan sikap Mamak Bandaro yang berkasar terhadap
orang tersebut. Tentu mereka orang miskin dalam kesusahan yang memerlukan
pertolongan untuk menumpang bas. Dino melihat sendiri mereka berlima berseluar
koyak rabak dengan rambut mengerbang sampai paras bahu. Wajah masing-masing
sugul hingga nampak giginya rongak tatkala tersengih-sengih meminta belas
kasihan.
Disebabkan Mamak Bandaro tidak benarkan mereka naik,
kelima-lima lelaki itu terus berbaring di atas jalan di hadapan bas seolah-olah
menghalang bas itu meneruskan perjalanan. Kemudian mereka hidupkan unggun api
lantas mengeluarkan makanan dari dalam beg buruk mereka. Tidak bertangguh
mereka makan dengan rakus di tengah jalan itu.
Ketika ini juga
Dino rnerasa perutnya tiba-tiba sahaja lapar. Lantas dia mahu turun ke bawah
untuk sama-sama menjamah makanan lelaki tersebut. Belum sempat dia membuka
pintu bas segera ditarik semula oleh Mamak Bandaro ke belakang.
"Itu bukan manusia!" bentak Mamak Bandaro ingatkan
anak muda yang tidak memahami apa-apa. "Kau tau, itulah siluman, di sini
memang tempat mereka," ujarnya terus mengunci pintu bas.
Sekaligus muka Dino menjadi pucat apabila diberitahu
mengenai siluman itu. Memang dia sering mendengar cerita tentang jelmaan
siluman, tetapi dia sendiri tidak pernah rnengalaminya. Manalah dia tahu
bezakan siluman dengan manusia biasa kalau tidak pernah mengalami kejadian
terserempak makhluk berkenaan.
"Mari kita lihat apa yang dia makan," segera
Mamak Bandaro mengajak Dino ke tempat duduk pemandu di hadapan.
Alangkah terkejutnya Dino tatkala melihat siluman itu
terlalu gelojoh menyuap bangkai seekor babi! Mereka memakannya hingga darah
bangkai babi itu berlumak di mulut masing-masing.
Tiba-tiba sahaja Dino menjadi loya perutnya memual-mual
bagaikan mahu muntah. Betapa hairannya dia apabila beg yang dikendong tiba-tiba
menjadi bangkai babi tergolek. Sekali sekala siluman itu mengerling ke arah
mereka sambil menunjukkan bangkai babi yang dimakan macam menghadapi hidangan
lazat.
Tetapi Mamak Bandaro tidak berdiam diri. Dia terus
membacakan Ayatul Kursi sebanyak 113 kali hingga terasa bulu romanya meremang
tegak. Sebaik sahaja selesai membacakan Ayatul Kursi itu, tiba-tiba guruh
berdentum dengan kilat memancar terang.
Terkejut makhluk siluman itu apabila guruh berdentam
sekalipun hujan tidak mencurah turun. Dalam masa sekelip mata sahaja mereka
bertukar menjadi lima ekor babi menyondol-nyondol di tengah jalan. Seekor
daripadanya mara menyondol bahagian hadapan bas hingga terasa bas itu bergoyang
seperti dirempuh binatang besar. Marah benar Mamak Bandaro apabila bas itu
disondol tidak bersisa. Tidak bertangguh dia terjun ke tanah menyebabkan babi
yang menyondol hadapan bas berundur.
Mamak Bandaro berdiri tegak di tengah jalan terus
membacakan:
Summum bukrnum ummum fahum layar
ji'un, summum bukmum ummum fahum laya’qilun, summum bukmum ummum fahum laya
taqqalamun, summum bukmum ummum fahum layub sirun.
Apabila dia kisarkan tumit ke bumi, serta merta kilat
memancar laksana api menyambar dari udara. Babi-babi itu bertempiaran lari memanjat
tebing jalan mengelakkan diri daripada disambar kilat seperti api memanjang
dari udara. Tetapi salah seekor babi itu berdiri tidak berundur di hadapan bas
merenung ke arah Mamak Bandaro.
"Aku tau kamu siluman!" ujar Mamak Bandaro
sambil menudingkan jarinya ke arah babi tersebut. "Kalau kamu boleh
bertahan dengan kalimat-kalimat Allah, akan aku bacakan lagi," tegasnya
macam memberi amaran.
Tetapi babi itu menggeleng-geleng kepala bagaikan
bersedia mahu menyondoi Mamak Bandaro. Belum sempat dia menyerbu, Mamak Bandaro
sudah membacakan:
innallaha lahu mulkussama watiwal ardh yuhyi wa
yumitu wa malakum min durrillahi min waliyyin wala nasir.
Serentak dengan itu Mamak Bandaro menepuk tangannya tiga
kali.
Sekaligus pula babi itu terpelanting hingga terlentang di
atas aspal jalan. Terkial-kial babi itu melompat bangun tetapi kakinya menjadi
goyah tidak bertenaga. Dalam keadaan terkial-kial itulah dia menjelmakan
dirinya menjadi lelaki gemuk pendek hingga lehernya tidak kelihatan langsung.
"Kau memang
hebat," gerutu lelaki gemuk pendek itu mencebek bibir. Kemudian dia
hentakkan kakinya ke bumi sambil juruskan tangan ke arah Mamak Bandaro.
Serentak dengan itu angin bertiup kencang hingga kelihatan pokok-pokok di lereng
bukit seakan-akan mahu tumbang ke tengah jalan aspal.
"Aku takkan undur kalau sekadar berdepan dengan
siluman seperti kau," sahut Mamak Bandaro keras lantas membacakan Ayatul
Kursi. Sebaik sahaja dia bacakan Ayatul Kursi 17 kali, makhluk siluman itu terjerit
apabila kilat menyambar tepat menyinggahi kepalanya.
Dia menggelepar di atas jalan seperti seekor babi
menyembam tanah. Terjerit-jerit dia menahan kesakitan dengan darah membuak banyak
di kepalanya.
Setelah angin ,kencang berhenti, babi yang tergolek di
tengah jalan tidak kelihatan lagi. Api unggun yang dinyalakan oleh makhluk
siluman juga hilang tidak berbekas langsung.
Sewaktu Mamak Bandaro naik ke atas bas Dino masih
gementar akibat ketakutan hingga tidak bergerak menyandar di bangku penumpang.
Tersipu-sipu dia mengaku di depan Mamak Bandaro fasal terkencing di dalam
seluar tatkala melihat kejadian itu.
"Sihir memang permainan siluman," jelas Mamak
Bandaro apabila kenangkan terserempak siluman dalam perjalanan balik waktu
tengah malam dari Palembang.
Semenjak berhenti daripada memandu bas itulah Mamak
Bandaro tumpukan kepada perniagaan. Dia tidak lagi meninggalkan keluarga sampai
beberapa hari sahaja di rumah dalam tempoh sebulan. Sepanjang masa dia akan
memandu bas berulang alik dari Medan ke Palembang sahaja.
Mamak Bandaro menetap di Bukittinggi selepas berhenti
dari memandu bas. Dia tidak merantau ke Padang atau ke mana-mana. Biarlah dia
memilih Bukittinggi apabila tumpukan perhatian kepada perniagaan.
Gembira benar saya disebabkan dapat bertemu sanak saudara
di Sumatera. Hampir sepuluh hari saya menziarahi mereka tetapi tidak semua
sanak saudara yang dapat ditemui. Apalagi mereka yang tinggal di Payakumbuh dan
di Inderagiri, Riau masakan sempat mahu dikunjungi dalam masa yang singkat. Lagipun
bukan semua-nya sanak saudara itu saya kenali kecuali kalau Mamak Bandaro yang
menemukan.
"Nanti,
jangan lupa bawa keluarga ke sini," Mak Tua Sarinah isteri Mamak Bandaro
berulang kali ingatkan pada malam saya berkemas-kemas untuk balik ke Semenanjung.
Memang Agoes sendiri sudah berjanji akan menghantar saya ke Medan keesokan
paginya.
Saya sekadar mengangguk. Susah juga mahu berjanji kalau
masing-masing tinggal berjauhan. Sedangkan saudara mara yang tinggal di Johor
dengan di Kelantan jarang dapat bertemu muka, apatah lagi sekiranya terpaksa
menyeberangi Selat Melaka.
Lagipun
perbelanjaan mahu jejakkan kaki ke Bukittinggi bukanlah cukup seribu ringgit
sahaja. Apalagi kalau datang bersama keluarga semata-mata mahu temukan derigan
sanak saudara yang ditinggalkan oleh arwah Tok Aji.
"Jangan-jangan abang tak ingat lagi
Bukittinggi," sengaja Fitriati mengusik sebelum melangkah ke dapur.
"Bukittinggi ni, bumi kelahiran arwah Tok Aji,"
ujar saya perlahan menatap muka Mak Tua Sarinah sambil menahan rasa terharu
yang menyebak. "Di sini asal usul keturunan saya," beritahu saya
ikhlas terpancar dari lubuk hati yang murni.
Mamak Bandaro yang
melihat Mak Tua Sarinah membantu saya berkemas hanya tersengih-sengih sahaja. Kalau
tidak disebabkan Mamak Bandaro berusaha mencari keluarga di Semenanjung memang
kami tidak mungkin bertemu. Lama juga Mamak Bandaro berulang alik ke Kuala
Lumpur barulah dia dapat mengesan ayah saya.
Selepas dua tiga kali Mamak Bandaro menemui ayah saya,
barulah dia dapat hubungi saya. Cuma saya sahaja yang dapat jejakkan kaki ke
Bukittinggi menemui sanak saudara, kerana ayah saya sendiri belum mendapat
kesempatan lagi.
Memang teringin juga saya mahu membawa ayah atau emak
saya menziarah sanak saudara, tetapi emak saya tidaklah berkuat sangat mahu ke
sana. Lagi pun emak saya tidak tahu langsung mengenali saudara mara di
Inderagiri yang sudah terpisah sejak beratus tahun.
Lainlah Mamak Bandaro masih mempunyai pertalian dengan
arwah Tok Aji. Tatkala Tok Aji meninggalkan karnpung halaman, memang Mamak
Bandaro sudah dewasa. Dia masih ingat raut wajah Tok Aji sekalipun tubuhnya
lebih kecil daripada saya.
Semasa berkemas-kemas inilah tiba-tiba kami mendengar
jeritan langsing Fitriati di dapur. Serentak dengan itu Agoes segera mernanggil
Mamak Bandaro dalam keadaan cemas.
"Kenapa pula tu?" gerutu Mamak Bandaro segera
bergegas ke dapur diikuti oleh Mak Tua Sarinah.
Tatkala saya ke dapur menjengah, saya lihat Fitriati
terjelepoh di lantai teresak-esak menangis. Mamak Bandaro pula berdiri di
sisinya dengan menjuruskan tangan ke kepala Fitriati.
"Siapa kau?" jerkah Marnak Bandaro lantas
rnemberi isyarat kepada Agoes supaya berundur daripada memegang isterinya.
Tiba-tiba sahaja Fitriati berpusing-pusing laksana
harimau terkurung di dalam sangkar. Dia merangkak di lantai sambil mendongak ke
arah Mamak Bandaro dengan menderam. garang.
"Jangan cuba permainkan aku!" jerkah Mamak
Bandaro lantas mengisar tumit ke lantai. Kemudian dia menggamit saya datang
menghampirinya, "Nah ustaz, sekarang adikmu diganggu," katanya sebaik
sahaja saya berdiri di sisinya.
Agoes rnenjadi hairan apa-bila Marnak Bandaro berundur,
sebaliknya menyuruh saya mara ke hadapan. Dia sendiri yang iama belajar di
rnadrasah Haji Salim sebelum memasuki universiti di Padang, tidak tahu bagaimana
mahu menghadapi keadaan demikian.
Belurn pun sernpat saya berbuat apa-apa, tiba-tiba satu
lembaga hitam berbulu tercegat di jendela.. Apabila Mamak Bandaro menerpa mahu
me-nang-kapnya lembaga itu hilang dalam kegelapan
"Ini tentu perbuatan siluman!" gerutu Agoes
menggertap bibir.
Setelah merenung
mata Fitriati tepat-tepat saya bacakan al-Fatihah, diikuti dengan lima ayat
terawal surah al-Baqarah. Kemudian dibacakan pula ayat 163 dan 164 surah yang
sama serta Ayatul Kursi dengan dua ayat lagi selepasnya.
Fitriati mula
menghempas-hempas badan terus berguling di lantai. Dia terjerit-jerit seperti
hangat terbakar sambil menepis-nepis kulitnya yang disangkanya melecur habis.
"Ampun pak, ilmu apa yang bapak pakai," rungut
Fitriati dalam suara parau bagaikan lelaki tua termengah-mengah.
Saya tidak menjawab sebaliknya terus membacakan ayat 284,
285 dan 286 surah al-Baqarah. Tatkala Fitriati terbatuk-batuk, saya tidak juga
berhenti dengan mernbacakan ayat 18, 19 dan 20 surah Ali Imran diikuti dengan
ayat 54, 55 dan 56 surah al-Araaf menyebabkan Fitriati semakin lemah.
"Ampun pak,
tolong jangan seksa saya," rintihnya dengan menggapai-gapai tangan minta
dikasihani.
Ketika saya berdiri dalam bulatan cahaya antara penglihatan
alam malikun, alam jibrun dan alam zuk, segera saya mencari lembaga hitam
berbulu yang menjelma sekali imbas di jendela dapur. Sehingga saya dapat
menjejaknya lembaga berkenaan sudah terasak di tebing jeram dengan Mamak
Bandaro tercegat menjurusnya.
"Pak, jauhkan orang ini," lembaga hitam berbulu
itu menuding ke arah saya. Kepalanya menunduk tidak berani menatap muka saya.
Belum pun sempat Mamak Bandaro menyahut, tidak bertangguh saya lontarkan
lembaga itu ke dalam api yang marak menyala.
"Siluman ya, bang?" Agoes tidak sabar mahu
mengetahui sebaik sahaja saya duduk menyandar belakang setelah Fitriati mulai
sedar.
"Bukan," sahut Mamak Bandaro kesal sambil menggeleng
lemah. "Ada orang nak menguji," ujarnya mengeluh pendek dengan
beristighfar beberapa kali.
No comments:
Post a Comment